Monday, 19 February 2018

PENUNGGU RNR (AKHIR) - Penatari Hitam


PENUNGGU RNR (AKHIR)
Karya:- Penatari Hitam


* * * * *

Aku tinggalkan Sepat sendirian di meja makan sebuah gerai di hujung kampung Kulit Rambai. Tiga langkah aku berjalan, aku toleh ke belakang, Sepat sudah hilang dalam dunianya. Memang malam itu rasa sejuknya lain sikit dari malam-malam biasa. Aku dongak ke langit, nampak bulan cerah, cantik. Teringat tiba-tiba pesan nenek aku dulu, malam-malam hendak berjalan mata, telinga dan hati kena peka. Tidak boleh buat suka-suka hati..mereka pun macam kita, ada perasaan.

Penunggu di RnR, wujudnya mereka memang tidak boleh dinafikan. Dulu kawasan lebuhraya dan kawasan RnR tersebut dipenuhi hutan rimba yang tebal. Walau banyak hutan rimba tersebut dibotakkan, penghuninya masih berkeliaran. Tempat tu kampung halaman mereka.

Kisah 3.
* * * * *
Sebenarnya sudah lama Hussin dengan Arshad berbuih lubang telinga dengar kisah-kisah RnR di lebuhraya. Macam-macam pengalaman, ceritanya pula macam-macam versi. Satu malam di rumah pak Sahak, Hussin dengan Arshad dari petang duduk bertenggek di tangga rumah pak Sahak sampai ke malam. Muka mak Wan sudah nampak ketatnya, macam terhidu bau belacan. Menyampah sangat tengok dua orang kutu berahak kampung itu menunggu suaminya.


“Dari petang korang tunggu aku, macam penting sangat je...” tanya pak Sahak sambil tangan menggulung rokok daun.

“Kami nak tanya pak Sahak sikit...” kata Arshad.

“Nak tanya pa? Macam-macam la korang ni...” kata pak Sahak sambil mengepit rokok daun di celah bibirnya yang sedikit hitam dan mengelupas.

“Gini pak Sahak, betul ke cerita yang kami dengar pasal RnR di lebuhraya kat belakang kampung kita ni?” Tanya Arshad. Hussin masih berdiam diri sambil menghirup kopi 'O'.

= = = = = = =

Aku berdiam diri, memberi peluang pada Farid mencerita kisah Hussin dengan Arshad. Farid mengambil sebatang rokok dan di selit di celah bibirnya, di cucuhnya rokok tersebut dan di hisap dalam-dalam, mata kanannya di tutup sikit sebab ada asap yang di tiup angin masuk ke dalam matanya. Kemudian dia tengok muka aku, dia sambung cerita...

= = = = = = =

“Memang laaaa. Korang pun tau kan...dulu kat belakang tu hutan rimba...tempat jin, syaitan, iblis berkampung. Aku rasa korang ingat lagi mula-mula lebuhraya tu nak di buat dulu, kawan korang juga yang hilangkan? Apa nama dia? Lupa dah aku...”

“Jenal la pak Sahak...”

“Haaaaa...Jenal. Sampai sekarang tak jumpa-jumpa. Kalau tak bertiga la korang duduk berahak kat kampung ni, kahkahkahkah...”

“Amboiiii...pak Sahak, sedap je cakap tu..” Hussin terasa .

“Aku gurau je la...Memang ramai dah orang terkena di RnR tu. Entah betul, entah tidak aku tak tau la. Korang nak buat apa?”

Lampu hijau pak Sahak sudah bagi. Konon-konon Hussin dengan Arshad hendak buat team, team memburu penunggu RnR. Mereka cuma hendak cari kebenaran cerita yang mereka dengar selama ini.

Anak kak Nah, si Anis ternampak seorang nenek melompat macam pocong di RnR tu masa balik dari kerja kilang. Kebetulan bas pekerja yang dia naik lalu ikut jalan RnR tersebut. Pak Akob..dengar cerita terkena juga, kebun pisang dia betul-betul di belakang RnR tersebut. Dia ternampak nenek itu juga melompat-lompat dari sebatang pokok pisang ke sebatang pokok pisang yang lain. Memang panas la cerita Nenek Ocong di kalangan penduduk kampung.

Hussin dengan Arshad masih mencari dua tiga orang lagi yang berani, mereka hendak serapkan dalam team pemburu penunggu RnR. Tambah-tambah lagi...Nenek Ocong. Arshad cukup sakit hati bila dengar nama Nenek Ocong. Dia memang sudah lama geram. Dalam hati dia memang berhasrat hendak jumpa sangat dengan Nenek Ocong itu. Dia hendak tengok macam mana rupanya sampai orang kampung takut sangat.

* * * * *

“Berani betul ke Arshad tu?” Tanya aku pada Farid.


“Memang Arshad berani bang...pernah dia kejar pocong sekali. Katanya hendak londeh kain pocong tu. Tapi tak dapat.”

“Fuhhhhh....berani betul tuuuu”

Malam itu aku memang dibawa oleh Farid ke RnR itu untuk aku dengar ceritanya. Merasai meremangnya bulu roma di tempat sebenar. RnR itu tidak ada medan selera. Stesen pam minyak pun tidak ada.

RnR itu cuma banyak lori besar diletak di situ sebab pemandunya berhenti berehat dan tidur di situ. Sambil bercerita Farid bawa aku jalan meronda di sekitar RnR tersebut. Rasa juga seramnya bila Farid tunjuk tempat yang selalu orang nampak Nenek Ocong melompat. Tandas dan surau ada.

* * * * * 

Kerana terlampau geram, Arshad bertindak sendirian tanpa diberitahu kepada Hussin. Kebetulan pula Hussin sibuk ke sana sini mencari siapa yang berani turut serta dengannya memburu penunggu RnR. Arshad dalam diam-diam membuat persedian tanpa di ketahui orang. Dia sudah berkira-kira hendak bermalam di RnR tersebut.


Bunyi salakan anjing malam itu cukup berlainan sekali dari malam-malam yang biasa. Bunyi cengkerik tidak henti-henti pada malam itu. Selalu tidak pernah dengar suara bayi menangis tidak henti-henti, tapi malam Arshad sampai di kawasan RnR pada malam itu, bayi di kampung berhampiran menangis tidak seperti biasa. Bagaikan mahu mengkhabarkan sesuatu.

Dia...sudah lama di situ. Ramai yang sudah tahu. Mungkin Arshad yang sengaja tidak mahu tahu. Dia di situ sudah beratus tahun dahulu. Dia tersenyum nampak giginya yang tidak teratur, mukanya rasa-rasa tidak terkira garis dan jalur kedutan. Matanya terkelip-kelip kemerahan bersembunyi di celahan dedaun pokok-pokok tua di hutan atas bukit belakang RnR tersebut. Dia tidak suka berjalan...

Dia suka melompat, sebab kalau melompat cepat sampai...tahu-tahu Arshad yang tidak tahu, dia sudah tersengih di belakang Arshad. Dia tahu siapa Arshad, silap langkah dia akan jahanam di tangan Arshad. Arshad mula rasa sesuatu yang tidak kena. Mata Arshad melilau mencari sesuatu. Arshad sudah siap keluarkan barangnya dari kereta.

“Aku tau nenek...kau ada dekat-dekat sini. Tak pa, kau tak tunjuk rupa...” kata Arshad.

Perlahan dia melompat naik ke atas bumbung kereta Arshad. Dia nampak Arshad sedang memandang kepadanya. Hatinya mula rasa sakit sangat melihat wajah Arshad yang seperti yang hebat. Tidak pernah terima akibat, semua benda diri rasa hebat. Sekali dihenyak tulang pelipat, jatuh tersungkur bangun melarat. Dia syaitan penuh muslihat, bukan susah hendak jahanamkan Arshad.

Malam semakin larut, Arshad terus menunggu sendirian di RnR itu. Sesekali datang rasa meremang. Keadaan di sekitar RnR itu tiba-tiba jadi sunyi. Sebentar tadi bunyi cengkerik yang membingitkan telinga, tapi tiba-tiba semua bunyi jadi hilang. Arshad rasa macam sudah pekak. Rupanya dia sudah tersengih, sedang menyangkung atas bahu Arshad. Dia menyeringai kegembiraan sebab kedua belah telapak tangannya telah menutup rapat lubang telinga Arshad.

“Di sini la Arshad duduk lepas bawa turun barang dari keretanya. Di sini juga Arshad hilang deria dengar sekejap.” Farid menunjuk tempat Arshad dilara oleh Nenek Ocong.

Farid terdiam, aku pun jadi kaku. Farid menunjuk isyarat kepada aku supaya jangan bersuara, cuma tengok ke atas pokok. Perlahan-lahan aku dongak tengok ke atas pokok. Hampir terkencing aku, sebab ternampak perempuan tua melompat-lompat macam pocong di atas pokok. Perempuan tua itu melompat dari satu pokok ke pokok yang lain...macam tupai. Semua pokok-pokok di situ bergoyang macam ada angin kuat.

“Jom kita balik dulu. Malam esok kita datang lagi. Kisah Hussin dengan Arshad tak habis lagi.” Farid berbisik ke telinga aku. Kami berdua tersenyum dan terus beredar dari situ.

* * * * *

Malam kembali menyusuri detik-detik misteri alam yang terbentang luas. Farid dan aku akan kembali lagi ke RnR itu. Kisah Arshad semalam masih belum tamat. Berhenti sekejap di kedai runcit untuk membeli sedikit bekalan.


“Malam ni segala percakapan kita, gerak-geri kita, kena berhati-hati.” Farid perlahan berbisik kepada aku.

Aku cuma mengangguk-angguk kepala. Malam itu ada sedikit gementar untuk melangkah pergi ke kawasan RnR itu. Kejadian semalam membuat aku tidak lena tidur. Farid terus memecut keretanya meninggalkan kawasan kedai runcit tadi. Jiwa aku masih lagi tidak tenteram. Suasana malam ketika itu seperti memomokkan aku satu kisah yang amat ngeri. Farid hanya tersenyum melihat aku gelisah.

* * * * *

Arshad mula rasa terganggu, hatinya mula tidak tenang malam itu. Padahal pada mula dia berhasrat hendak jahanamkan Nenek Ocong itu, hatinya memang bertekad. Baginya setakat mana puakanya Nenek Ocong itu dia harus puakakan dirinya lebih dari Nenek Ocong itu. Arshad masih menunggu dan melilau di RnR tersebut. Telinganya sudah tidak dapat mendengar. Seluruh badannya jadi sakit-sakit.


Tanpa Arshad sedar, Nenek Ocong bertepuk tangan kegembiraan sedang menyangkung atas bahu Arshad. Kepalanya dihayun ke kanan dan ke kiri. Bukan setakat Nenek Ocong sahaja, malah malam itu ramai cucunya turun dari hutan rimba di atas bukit belakang RnR itu.

Mungkin untuk berpesta dengan Arshad. Puas Arshad melilau dalam kawasan RnR tersebut dalam keadaan telinganya ditutup oleh Nenek Ocong, cucu-cucu Nenek Ocong kegembiraan melihat Arshad menjadi lara dan khayal. Cucu-cucu dia pun turut gembira. Fikiran Arshad menjadi kosong, Arshad tidak tahu lagi kenapa dia ke RnR itu.

Arshad keletihan, kebetulan pada malam itu tidak ada langsung lori yang singgah rehat di RnR tersebut. Memang kegelapan dan kesunyian di kawasan RnR itu cukup luar biasa pada malam tersebut.

Arshad terbaring di atas rumput kerana keletihan yang dia sendiri tidak tahu apa yang membuatkan dia keletihan. Arshad memandang kelangit yang kelam, bulan dan bintang tidak tahu kemana? Pandangan mata Arshad tiba-tiba jadi gelap-gelita. Semua langit, pokok-pokok dan pondok wakaf di situ hilang dari pandangan Arshad.

Perlahan-lahan Nenek Ocong meniarap atas badan Arshad yang sedang baring terlentang. Rambutnya yang mengerebang itu dilepaskan ke atas muka Arshad. Arshad tidak sedar. Malam itu Nenek Ocong melompat-lompat gembira, orang macam Arshad telah ditewasnya dengan senang. Dia mengilai kegembiraan. Cucu-cucunya turut mengilai di keliling Arshad. Arshad sudah terlena dipeluk Nenek Ocong.

“Kau sudah aku takluki, jiwa dan perasaan kau juga aku miliki. Kau kekasih aku sampai ke mati..” Nenek Ocong baring di sebelah Arshad sambil memeluk Arshad.

* * * * *

“Apa jadi kepada Arshad?” Tanya aku kepada Farid.

“Nanti aku ceritakan. Jom ikut aku kejap. Aku nak tunjuk sesuatu.” Farid mengajak aku pergi ke belakang tandas RnR tersebut.
“Allahuakhbar...” aku terkejut. Aku tarik tangan Farid dan tunjuk susuk tubuh terbujur di atas kerusi panjang di belakang tandas RnR tersebut.
“Nanti aku cerita...ke sini dulu.” panggil Farid.
“Apa atas kerusi tu Fariad?” aku masih tertanya-tanya.
“Nanti la aku cerita. Kau tengok ni... kenal tak apa ni? Tanya Farid.
“Telaga...???” Terkejut aku bila nampak ada telaga buruk di belakang RnR itu.

* * * * *

Arshad sudah bangun, ketawa terbahak-bahak dia bila tengok orang ramai sedang kerumun dia. Orang kampung mesti bangga dengan kehebatan dia menumpaskan Nenek Ocong. Arshad sengaja biarkan orang kampung tertunggu-tunggu cerita dari dia. Hussin pun ada bersama Kamal, Budin, Tahir, Watie dan Laili.


Mereka lima orang ini budak-budak yang Hussin cari untuk menyertai team pemburu penunggu RnR. Bagi Arshad semua budak-budak itu sudah tidak berguna lagi. Dia seorang pun boleh tewaskan puaka Nenek Ocong.

Tapi semua itu cuma dalam khayalan Arshad. Hakikat sebenar Arshad sedang meracau-racau, suaranya pun suara nenek. Orang ramai puas mencari Arshad, hari ketiga baru orang kampung menjumpainya di dalam telaga buruk di belakang tandas RnR tersebut. Keadaannya masa itu lemah tidak bermaya. Bawa balik ke rumah, dia mula meracau-racau dengan suara nenek. Malam-malam Arshad akan pergi ke RnR tersebut dengan melompat-lompat macam Nenek Ocong.

“Kau nak ke mana Arshad? Ni kan rumah kau...” pujuk pak Sahak. Arshad terus meracau hendak lari pergi ke RnR tersebut.

“Kau ni sapaaaaa??? Sini bukan rumah aku la!! Orang tua bodoh! Rumah aku di sanaaaa..jauhhhh!” Arshad marah dengan suara seorang nenek.

Tanpa disedari oleh sesiapa pun, Nenek Ocong waktu itu sedang menyangkung di sebelah pak Sahak, dia sedang bertepuk tangan sambil ketawa terkekek-kekek. Sesekali Nenek Ocong menganga mulutnya luas-luas.

Arshad ketawa dan menganga mulutnya luas-luas juga, nampak macam isi pipi Arshad hampir-hampir terkoyak. Mata Arshad jadi merah menyala macam biji saga. Macam itu juga lah mata Nenek Ocong yang terbeliak sedang menjegil ke muka pak Sahak. Tapi tidak seorang pun yang nampak. Arshad seorang sahaja yang nampak, sebab jiwa mereka sudah bersatu.

Keadaan kesihatan Arshad sekejap elok, sekejap dia meracau lagi. Pernah orang kampung hendak dicederakannya. Keadaan makin tidak terkawal...Arshad akhirnya dikurung. Tiga hari sahaja Arshad di kurung, akhirnya Arshad hilang dari kurungan. Orang kampung ternampak kelibat Arshad dengan Nenek Ocong sedang melompat-lompat di kawasan RnR tersebut. Nenek Ocong sudah ada teman.

Hussin pula sudah tidak duduk di kampung itu lagi. Dia dengan kumpulan pemburu penunggu RnR itu aktif di kawasan RnR lain. Hussin tidak mahu ganggu Arshad dengan Nenek Ocong. Sekarang Nenek Ocong tidak mengganggu lagi, dia sudah ada bahagianya sendiri. Yang ternampak itu cuma habuan kebetulan.

* * * * *

Malam semakin dekat menyingkap tirai pagi. Bangunan tandas dan surau di RnR itu semakin menampakkan bentuknya. Tanda subuh hampir tiba. Benar atau tidak ini semua cerita dari Farid. Apa yang dia tahu, dia cerita kepada aku. Farid tiba-tiba tarik tangan aku.


“Kau tau apa yang kau nampak terbujur di atas kerusi panjang di belakang tandas semalam???”
“Entah!!!...apa tu?!” Sambil aku geleng-geleng kepala.
“Dia lah penunggu RnR ni sekarang.” Kata Farid.
“Hah!? Nenek Ocong?” Tanya aku.

“Bukan Nenek Ocong. Nenek Ocong dengan semua suku sakat dia dah dimusnahkan oleh seorang Ustadz. Nenek Ocong dah tak ada. Itu la pakcik Arshad, dia la penunggu kat sini.” kata Farid.

“Tapi Farid...” suara aku tersekat kat situ bila aku nampak pakcik Arshad menjegil matanya pada aku.

“Tapi apa???...dah la. Jom kita solat subuh.” kata Farid.

Perlahan aku nampak pakcik Arshad melompat, bukan berseorangan tapi berdua menuju ke arah bukit di belakang RnR tersebut. Terdetik di hati aku...'Nenek Ocong...”. Subuh sudah masuk...

ALLAHUAKHBAR....ALLAHUAKHBAR.....


TAMAT.
Suntingan: Nadey
Gambar: Dikmang

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: