Tuesday, 13 February 2018

SIMBIOSIS: ENDING - Nil Kuhaku



SIMBIOSIS: ENDING
KARYA: NIL


====================

Karl cuma memandang susuk tubuh gadis itu berlalu. Hari telah menjengah Maghrib, dan dia masih tercongok duduk di birai pintu.

Sekarang, apa?

Apa yang dia harus buat?

Kesemua mangsa bulinya - dia telah jejaki. Ada yang menghalaunya dengan sumpah seranah. Ada yang memukulnya. Ada yang menelefon polis. Dia tak kisah. Dia tak akan tenang selagi dia tidak meminta maaf.

Rokok dinyalakan. Disedut perlahan.

Yang terakhir, adalah Radhi.

Sayup-sayup, dia mendengar pakcik Mihar masih mengaji dalam suara tuanya. Bergema perlahan dalam rumah usang. Dia bingkas bangun.

“Mari pakcik. Kita masuk dalam. Dah senja ni.” Dia berkata lembut, menolak kerusi roda pakcik Mihar ke dalam. Lelaki tua itu menurut, tak banyak cakap. Nyamuk mula mengerumuni mereka. Karl mencari-cari ubat nyamuk berlingkar hijau yang dijumpainya sewaktu mengemas tadi.

Selepas dipasangnya, dia ke dapur yang telah tersusun kemas. Ada beras. Beberapa biji telur yang diberikan Atikah tadi. Kicap, beberapa biji bawang.

Cukuplah. Dia mengeluarkan barang-barang, menanak nasi di dalam ‘rice cooker’ sebelum dia mengambil wudhuk.

Kenapa dia buat semua ini?

Dia tidak tahu.

Takbir diangkat. Dari hujung ekor matanya, kelibat lelaki dengan leher terkulai menyeringai. Dia menutup mata sekuat mungkin, cuba fokus pada ayat-ayat Quran yang dibaca.

Usai solat, dia ke dapur. Memasak apa yang ada. Pakcik Mihar tiba-tiba muncul, membawa sekeping gambar.

“Kenapa pakcik? Pakcik lapar ke?” Tanyanya.

Lelaki tua itu menggeleng, sebelum menghulurkan sesuatu. Sekeping gambar. Karl menyambut.

Wajah dua budak lelaki tersenyum memandangnya dari gambar tersebut, seorang beruniform pengawas, seorang beruniform biasa. Dia tergamam.

“Radhi.” suara lelaki tua itu berkata serak, menunding ke arah susuk lelaki beruniform pengawas. 
“Ni, kau.” Sambungnya, menunjuk ke arah pelajar lelaki beruniform putih.


“Pakcik ingat saya…?” ucap Karl terpana.

Mihar mengangguk, menautkan kedua belah tangannya. Memandang gambar itu sedih.


“Banyak arwah Radhi cerita tentang kau. Kau kawan baik dia.”

Karl terdiam, merenung gambar di tangan.

“Macam mana… Radhi meninggal…?” tanya Karl, tergagap.

Giliran Mihar pula terdiam. Seraya, dia menggerakkan kerusi rodanya ke sebuah bilik tertutup. Karl menurut.

Pintu bilik tersebut dibuka kunci, dikuak perlahan. Karl menolong memetik suis.


Karl merasakan jantungnya seakan luruh, berhenti berdegup.

Bilik itu seakan sudah terlalu lama tidak bersentuh. Di atas katil ada lapisan debu nipis; menutup baju yang disangkut di kerusi dan buku-buku yang disusun di meja. Ditengah-tengah bilik tersebut, terbuai satu tali. Ada bekas dipotong pada tali tersebut, yang tergantung sepi.

Karl menelan air liur. Terasa seram sejuk satu badannya, nafasnya terasa sesak tiba-tiba. Dia mengundur ke belakang.

Radhi menggantung diri?

“Kenapa?” dia menggigil. Bertanyakan pakcik Mihar. Namun pakcik Mihar kini telah diam, kembali ke ‘dunia’nya. Merenung hadapan kosong. Karl mengesat mata, sebelum menutup pintu bilik tersebut.

“Mari pakcik. Kita makan ya.”

Selepas makan, Karl mengangkat lelaki tua itu ke katil. Dia - terbaring di atas kerusi, berkira-kira mahu pulang esok.

“Kau lupa, Karl? aku masih disini.” suara itu berbisik mengejek. Karl menarik bantal, menekup matanya. Berdoa agar suara itu hilang. Saat dunianya kian kelam, dia akhirnya terlena.

===============

“Karl!” Dia mendengar seseorang memanggil.

Dia berpaling. Radhi sedang mengejarnya, berpakaian uniform pengawas.

“Kau nak apa?”

“Kau kenapa asyik mengelak aku?”

“Aku rimas.” Jawab Karl kasar. Radhi terdiam seketika. Angin petang mengelus tubuh mereka perlahan. Damai. Radhi memakai baju sekolah yang sengaja tidak disemat ke dalam seluar. Tidak bertali leher. Rambutnya dibiarkan panjang menyentuh kolar baju. Berbeza dengan Radhi, yang berpakaian kemas dari hujung rambut ke hujung kaki.

“Kau nak kemana ni? Petang ni kan ada kelas tambahan?”

“Kau nak kemana ni? Petang ni kan ada kelas tambahan?” Karl mengajuk Radhi. Merah muka Radhi, bengang.

“Jangan nak sibuk hal aku boleh tak? Pondan.” Getus Karl, sebelum berlalu.

“Kau nak ‘fly’ kan? Kau nak pergi jumpa samseng-samseng tu kan?” Laung Radhi.

Karl yang sedang berlalu, terhenti. Perlahan, dia berpaling. Menatap wajah Radhi yang menggeletar. Marah? Takut? Dia tak pasti. Radhi memang tinggi lampai. Namun badannya tak setegap Karl, yang biasa mempertahankan diri dari dipukul ayah tirinya.

“Jangan rosakkan hidup kau, Karl. Ingat kenapa kau datang sini. Kau nak bawa mak kau keluar dari hidup tu kan?”

“Fuck off.”

“Dengar cakap aku, Karl. Aku pernah dengar kisah diorang. Diorang yang jual pil kuda kat budak sekolah harian, kawasan ni kan? Jangan rosakkan hidup kau.”

Karl senyum sinis, sebelum mengangkat kaki. Berlalu dari situ. Radhi cuba mencapai bahu Karl, namun lelaki muda itu - pantas menolaknya. Radhi jatuh terduduk, songkoknya turut tergolek jatuh.

“Fuck off la. Gay.” Karl berkata jelik. Radhi tergamam.

“Aku beritahu tu, bukan sebab aku nak kau ejek aku, Karl.” Radhi membalas.

“Aku beritahu tu bukan sebab aku nak kau ejek aku Karl.” Karl mengajuk kata-kata Radhi sinis. Radhi mengetap bibir. Dia hanya memerhati rakan baiknya - bekas rakan baiknya, berlalu.

Radhi terkial-kial bangun. Matanya berair jernih.

Selepas insiden pergaduhan Karl dan senior itu, Karl berubah. Dia seperti harimau yang pertama kali merasa daging manusia - dan mula ketagih.

Kisah pergaduhan Karl itu sampai ke telinga samseng sekeliling kawasan mereka - yang kebanyakannya tokan pil kuda. Tokan dadah. Karl perlahan-lahan menjauhkan diri daripadanya selepas itu.

Mungkinkah kerana dia mengaku pada Karl, dia sukakan kaum sejenis?

“Kau suka lelaki?” Ujar Karl terkejut waktu itu. Dia mengangguk.

“Aku? Kau… suka aku ke?” Tanya Karl. 

Radhi menggeleng. “Kau bukan taste aku. Kau bukan hensem sangat pun.”


“Kuangjo.” Karl menjawab sambil mengekeh tertawa, sebelum kembali serius. Dia merenung Radhi yang sedang menunduk.

“Serius, aku anggap kau macam kawan je. Kawan baik sendiri.” Radhi berkata perlahan. Karl mengangguk. “Aku tak kisah. Kawan je lah macam biasa. Tapi kau jangan tetiba nak raba aku. Berterabur gigi kau kang.” Karl memberi amaran dalam lawak. Radhi membuat muka.


Perkara itu tak pernah ditimbulkan Karl. Sesekali dia bergurau dalam mesej-mesej telefon bimbit, adalah.

Radhi mengesat mata. Dia menunduk, mencari songkoknya, sebelum terpandang satu susuk tubuh lelaki, mengutip songkok yang jatuh itu terlebih dahulu.

“Ustaz Awang…?” Ujar Radhi terkejut. Ustaz yang tinggi dengan misai ala-ala polis itu memerhatinya serius.

“Saya dengar semua perbualan awak dengan Karl.”

Radhi meraup muka. Badannya mula berpeluh sejuk.

“Saya kesal awak tidak laporkan kepada saya terlebih dahulu. Awak pengawas, Radhi.” Ustaz itu berkata, keras.

“Ap- apa ustaz nak buat?” Radhi tergagap. Dia hanya mampu memerhati ustaz yang memang terkenal dengan reputasi ketegasannya itu - merenungnya garang, sebelum beredar meninggalkannya.

Malam itu, sekolah heboh. Waktu ustaz dan warden-warden lain mengintip Karl, mereka menyaksikan jual beli dadah kepada pelajar sekolah. Karl di belakang kumpulan itu, memerhati penuh minat.

Terpaksa, mereka menelefon polis. Karl digantung sekolah. Dimasukkan ke sekolah pemulihan akhlak. Radhi langsung gagal menghubungi Karl.

Hinggalah, beberapa bulan kemudian.

Mesej-mesej gurauan Karl dan Radhi mengenai dirinya yang sukakan kaum sejenis - tersebar. Jelas, dari telefon bimbit Karl gambar itu diambil, dicetak, disepahkan ke seluruh sekolah.

Sejak dari hari itu, hidup Radhi - huru-hara.

“SEMUA SALAH KAU, KARL!” Suara itu menjerit. Karl terbangun, tercungap-cungap. Lelaki berleher terkulai itu sedang berdiri di hujung kakinya, menyeringai dengan mata terbeliak.

Karl mengensot ke belakang.

“Berambus!” Jerkah Karl. “Berambus kau!” Dia melaung lagi. Dia dapat mendengar bunyi dasyat - berkeriuk patah di tengkuk puaka itu setiap kali ia menghampiri Karl.

Perlahan, ia menarik baju Karl. Mendekatkan bibirnya yang dingin ke telinga Karl. Waktu itu, bunyi jantung, bunyi nafasnya - seakan lenyap tiba-tiba. Yang ada, cumalah bisikan makhluk itu. Bibir biru berbirat itu menyentuh cuping telinga Karl, sebelum berbisik.

“Aku tak wujud.”
“Aku khayalan kau sahaja.”
“Kau tahu siapa aku, Karl.”
“Sebut nama aku.”

Perlahan, lembaga itu melepaskan cengkamannya. Merenung Karl dengan mata memerah.
Karl menarik nafas dalam gigilnya.


“Radhi.” Ucapnya dalam sebak. “Radhi, aku minta maaf. Maafkan aku, sahabat.”
“Aku yang sebarkan mesej-mesej itu. Aku yang buat. Aku minta sekuriti sebarkan.”
“Aku tahu, hidup kau susah lepas tu. Semua buli kau. Aku dengar cerita, kau gagal SPM sebab tu semua. Kau ditarik jawatan pengawas. Kau susah. Sebab aku.” Karl menekup matanya.
“Aku bersalah. Radhi, aku bersalah. Maafkan aku. Maafkan aku…” Air mata Karl tumpah selaju-lajunya. Lama dia menangis, dan waktu dia mengangkat muka,

Lelaki kepala terkulai itu hilang.

Yang tinggal, cumalah susuk pengawas lelaki berbaju biru. Tersenyum ke arahnya polos.

“Ayah… ayah bersalah juga.” Karl mendengar suara serak pakcik Mihar di pintu biliknya. Lelaki tua itu sedang mengheret separuh badannya yang tidak lumpuh, dengan kudrat tuanya.

“Ayah malu bila tahu kau sukakan kaum sejenis… ayah malu. Ayah halau kau hari itu. Ayah suruh kau kemas baju… dan bila ayah buka pintu. Kau… kau…” Pakcik Mihar mengongoi seperti budak kecil.

“Radhi anak ayah… ayah minta maaf. Ayah minta maaf… Ibu kau meninggal tak lama lepas tu. Ayah dah sorang-sorang. Ambil sahaja nyawa ayah… Ayah minta maaf, Radhi…”

Karl tergamam. Bayangan lelaki muda berbaju pengawas itu cuma memerhati pakcik Mihar, tersenyum sedih.

Dia kemudiannya memandang Karl.

Perlahan-lahan, seperti kunang-kunang, ia hilang.

===============

Pagi itu, Karl bertembung dengan Atikah yang menjinjit bungkusan sesuatu. Makanan, barangkali. Dari bau roti canai, Karl pasti itu makanan.

“Tak kerja ke?” Karl cuba berbasa-basi. Atikah menggeleng. “Hari ni kan Sabtu?”
“Oh. Bukan ke… jururawat kerja shif?”
“Saya kerja klinik.” Atikah membalas. Karl mengangguk. Menguis-nguis hujung kakinya di tanah berumput. Atikah merenungnya.

“Kenapa pandang saya macam tu?”
“Bayangan tu dah hilang, kan?” Atikah berkata perlahan. Karl mengangguk, tersenyum.
“Terima kasih.”

“Saya tak buat apa-apa.” ujar Atikah, mengangkat bahu. “Jadi, awak dah nak balik lah ni?” Tanya Atikah.
Karl menggeleng.

“Saya tinggal disini sahaja. Biar saya jaga pakcik Mihar. Tapi sebelum tu, saya kena cari kerja.”
“Ha. Kedai runcit di pekan tu ada nak pakai orang.” Atikah menjawab.
“Macam ni, siapa nak ambil?” Karl menunding dagunya. Atikah tersenyum licik.
“Pakailah mekap.”
“Mekap?”

“Ya. Foundation, concealer. Bukan payah pun.” Ujarnya sambil menghulurkan bungkusan roti canai tersebut kepada Karl. Karl menyambutnya teragak-agak, dan gadis itu segera berlalu.

“Terima kasih!” Ujar Karl sedikit kuat.

“Sama-sama. Kalau nak berkenalan dengan orang kampung, rajin-rajinlah ke surau. Malam ni ada majlis kat sana.” Atikah menjawab.

Karl tersenyum. Lega.

Buat pertama kalinya, hidupnya terasa bebas. Tidak lagi keseorangan.
Benarlah. Hanya dengan simbiosis yang tepat dengan orang sekelilingnya, dia rasa… tenang.




TAMAT
============================
Suntingan dan Gambar: Nil 
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com

No comments: