Sunday, 11 February 2018

CINTA HATI ABAH - Cik Sri Pagi


CINTA HATI ABAH
Kiriman: Cik Sri Pagi
==================

Kuseru namamu!
Kuseru jiwamu!
Dua jiwa menjadi satu!
Aku dan kamu!
Selamanya kita bersatu..!


"Allahu Akhbarrr!!"

Pekikan bergema lantang kedengaran. Mengejutkan seisi rumah yang sedang nyenyak diulit mimpi. Memanglah, dah tengah malamkan. Puaka sahaja yang akan berjaga.

"Kenapa ni? Jerit-jerit tengah-tengah malam ni! Kan abah dah cakap. Tidoq awal-awal. Jangan dok membaca sepanjang malam."

"Bukan cheq tak mau tidoq la abah! Dah tak boleh nak lena! Cheq tak tau nak buat apa. Cheq baca ja lah."

"Menjawab! Menjawab! Asyik menjawab saja. Kalau dok baca diam-diam tu tak apalah juga. Ni dok terjerit-jerit sampai orang nak tidoq pun tak boleh. Dah macam puaka ja abah tengok."

"Hek eleh, abah jealous la tu!"

"Jealous tengkorak hangg!! Tak kosa aku!! Apa punya nasib daa..Dapat anak puaka cam hang la pula."

"Uitt! Abah! Apa dok kata kat orang lagu tu? Satgi cheq tak mau sayang abah dah baru tauu ."

"Anak puaka macam hang? Tak hingin aku. Dah, pi tidoq nuu!! Esok abah jugak la nak kena kejut hang bangun pagi. Bukannya hang nak bangun sendiri. Dari kecik sampai besaq, sampai jadi puaka pun abah juga yang dok kena jaga hang. Bila hang nak jaga abah pula? Takkan nak tunggu abah kiok dulu baru hang nak sedaq?"

"Amboi abah!! Merajuk pulak dah. Ya la cheq nak tidoq la ni. Abah pun pi la tidoq nuu... . Satgi tak pasai cheq pula nak kena kejut abah bangun subuh."

"Hang gila ka apa?"
"Awatnya abah?"
"Hang dah lupa ka?"
"Lupa apa pula abah ni... ?"
"Takpa la. Dah, abah nak tidoq dulu."

-----

Kuseru namamu!!
Kuseru jiwamu!!
Dua jiwa menjadi satu!!
Aku dan kamu!!
Selamanya kita bersatu!!


Kata-kata seruan itu bergema lagi di telinganya. Dia cuma mampu beristighfar sahaja. Dibacanya Ayatul kursi, tiga Qul dan al-Fatihah. Berulang-ulang kali lalu dihembuskannya ke sana sini. Dia tidak hafal ayat-ayat ruqyah dan juga manzil.

Tetapi dia pernah terdengar bahawa sejauh mana berkesannya apa yang kita baca sebenarnya terletak kepada ikatan isbat hati kita dengan Tuhan. Yakni kepada peratusan kebergantungan dan keyakinan kita kepada qudrah dan iradah Tuhan.

Ingin dia menjerit seperti tadi tetapi ia hanya akan mengejutkan abahnya lagi. Sudahlah abahnya punya darah tinggi. Kang tak pasal kiok terus pula. Bukan dia tidak nampak abahnya mengusap-ngusap dadanya tanda menahan sakit sebentar tadi.

Alhamdulillah, dia sempat mencapai buku Bertarung Dengan Syaitan sebentar tadi. Yang berada di atas kepala katilnya. Berpura-pura membaca sewaktu abahnya datang melihatnya.

Sedangkan hakikatnya dia terjerit kerana terkejut bila kata-kata seruan itu tiba-tiba berdesing di telinganya. Biarlah dia simpan sahaja perkara itu dari pengetahuan abahnya.

Tidak sanggup dia melihat kerisauan di wajah abahnya lagi. Tidak! Dia tidak sanggup lagi.

Tetapi, apa yang dia terlupa? Sungguh! Dia tidak dapat menghadam apa sebenarnya maksud abahnya.

-----

"Kita nak pi mana ni abah?"
"Kita pi jenjalan la. Tak suka ka?"
"Suka-suka... Cheq suka sangat. Ni yang cheq sayang kat abah nii... ."
Chupp!!

Satu ciuman melekap di pipi orang tua tu. Terkejut orang tua tu sampai melelong terus kereta yang sedang dipandunya. Tak pasal-pasal kereta honda civic putih itu habis dihon dengan semua kenderaan yang ada di situ.

"Woii!! Hang gila ka apa?"
"Awatnya abah?"
"Hang dah lupa ka?"
"Cheq lupa apa pulak dah kali ni?"
"Tak pa la. Dah duk dendiam situ. Abah nak bawa kereta nii."

Lelaki separuh usia itu terus memandu dengan fikirannya yang berkecamuk. Sedangkan perempuan muda di sebelahnya itu sudah tersenyum-senyum memandangnya.

Geleng kepala dia memikirkan entah apa pula yang akan dilakukan oleh perempuan itu kepadanya sebentar lagi.

'Dah dok tersengih-sengih tu. Sat lagi ada la tuu... .' Galau hatinya berbisik.

-----

Ponnn!! Ponnn!!
Hon tidak henti-henti berbunyi. Bunyi brekk mengejut pula kedengaran di sana-sini. Masing-masing mula mengelakkan kenderaan mereka dari bertembung dengan sebuah kereta yang tidak ketahuan pemanduannya. Sebentar di kanan. Sebentar di kiri. Seolah-olah hilang kawalan.

-----

"Astaghfirullahal 'Azhiimmm!! Kenapa ni pakcik? Tanya seorang lelaki dengan termengah-mengah.

"Tolong! Tolong pakcik!!" Terdengar suara dari dalam kereta yang baru sahaja terbabas ke dalam longkang di tepi jalan itu. Senget sebelah jadinya kedudukan kereta itu.

"Nak tolong la ni!! Yang pakcik ni dah kenapa bawa kereta macam orang gila ni? Nasib baik kenderaan tak banyak. Kalau tak... ."

"Kalau tak, apa? Nak aku arwahkan kau sekali kaa... ?" Jawab satu suara dari kereta itu dengan garau sekali.

"Eh! T.. t.. tak..Tak lah, pakcik. Pakcik ok ka?" Tergagap-gagap lelaki berseluar denim dan t-shirt putih itu menjawab. Perlahan dia mengundurkan langkahnya ke belakang setapak demi setapak.

Pap!

Satu tepukan hinggap di bahunya. Beserta alunan suara yang merdunya bak buluh pecah itu.

"Kenapa ni?" Tanya pemilik tangan yang menepuk bahunya itu.

"T.. t..tak, tak lah pakcik. Pakcik ok ka?" Lelaki berseluar denim dan t-shirt putih itu mengulangi ayat yang baru dituturkannya sebentar tadi.

"Aku ok. Yang hang ni awatnya?" Tanya pakcik separuh umur kepada anak muda itu yang sudah pun merembes peluh di wajahnya.

"T.. t.. tak, tak lah pakcik. Pakcik ok ka?” Anak muda itu mengulangi lagi bicaranya.

"Sah tersampuk!! Dah bawa dia duduk kat warung tu!" Arah pakcik separuh umur itu kepada beberapa pemuda yang baru tiba di situ.

"Siapa pun jangan dekat dengan kereta tu!"

Arah pula Tok Imam yang kebetulan melalui jalan itu. Dengan pantas dia berjalan ke arah mereka dengan seberapa segera. Sengaja dihentikan kenderaannya jauh sedikit dari situ.

Setelah dari jauh tadi dia melihat sesusuk lembaga hitam sedang asyik berdangdut bersama kereta itu. Sebentar digelekkannya ke kanan. Sebentar ke kiri la pula. Kiri kanan! Kiri kanan! Haipp!!

"Tapi Tok! Macam mana dengan orang yang kat dalam kereta tu?"

"Haji!" Panggil Tok Imam kepada lelaki separuh umur itu memintanya menjawab soalan anak muda sebentar tadi. Sebaik sahaja dia tiba di sisi Pak Haji itu. Namun tidak sekali dia mengalihkan pandangannya dari kereta itu.

"Subhanallah!!”

Terlantun lafaz suci itu dari bibir Tok Imam. Setelah dia dapat mengamati dengan begitu jelas sekali. Akan siapakah gerangannya yang berada di dalam kereta itu.

"Tak apa. Biar aku dengan Tok Imam sahaja yang tengokkan dulu keadaan mereka. Minta siapa yang ada di sini perkuatkan pertahanan dalaman diri. Isbatkan hati dengan Allah setiap saat. Pejamkan mata. Ulang sebut kalimah Allah di dalam hati dan fikiran sehingga terlihat lakaran kalimah itu seolah-olah terpampang di hadapan mata. Siapa yang tak kuat semangat tolong beredar dari sini."

Jawab Pak Haji itu dengan lantang sekali sambil melihat-lihat siapakah lagi yang ada di situ.

"Baik Pak Haji."

Akur suara beramai-ramai bergema memenuhi tempat kejadian itu. Ada yang bergegas pergi meninggalkan tempat itu. Dan ada yang masih menunggu di situ. Mungkin ingin membantu.

Memerhati? Mungkin juga. Atau sekadar ingin melihat dan kemudiannya bergosip di sana sini? Adat lah hari ini bila segala kisah dijaja tanpa rasa berdosa. Belum lagi disnapkan gambar-gambar untuk diviralkan pula.

Niat di hati ingin berkongsi cerita. Sehingga terlupa untuk memelihara aib mangsa. Maka jadi lah amal jariah bertukar pula sebagai dosa jariah. Tanpa disedari. Mula menggali lubang neraka. Buat diri dan juga mangsa.

Tidak lama kemudian, kawasan itu mulai senyap sunyi. Hening seketika. Dibuai rasa syahdu. Jiwa pun merindu. Zikir turut berlagu. Tok Imam dan Pak Haji pun mula melangkah ke arah Honda Civic itu perlahan-lahan.

Terkumat-kamit bibir mereka dengan mata yang cuma fokus kepada kereta itu. Dan, dengan perlahan juga bulu roma mula tegak berdiri bagaikan diseru-seru. Kenapa aku yang rasa seram pulak nii?

-----

Kuseru namamu!
Kuseru jiwamu!
Dua jiwa menjadi satu!
Aku dan kamu!
Selamanya kita bersatu!


"Tidaaaaaaaaakkkk!!" Pekikan bergema membelah udara.

"Jauh-jauh dariku!!”

Suara itu memekik lagi. Suara wanita itu yang lantangnya bagaikan bunyi guruh di langit akhirnya telah menyebabkan kereta yang senget sedikit ke dalam longkang itu tiba-tiba terhenjut keluar dari longkang itu.

Habis menyala semua lampu termasuk lampu hadapan sebelah kiri yang sudah hancur lebur berderai di dalam longkang tadi.

"Tu diaaa.. Aihhh!! Berapa Megawatt tu?" Satu suara dari dalam warung di tepi jalan itu kedengaran.

"Mana aku nak pi tau. Hang pi la..Ukur sendiri."

"Gila tenaga suara dia! Sampai boleh bawa keluar kereta tu dari longkang."

"Alah sikit je pun kereta tu terbabas. Tak heran la."

"Takat lampu menyala sebab tenaga suara tu, aku pernah tengok la juga. Tapi ni lampu dah hancur pun boleh menyala lagi. Pelik sungguh la."

"Tu la, pelik kan!!! Bela saka kott."

"Woii! Pak Haji suruh ingat Allah la. Yang dok pong pang pong pang ni, dah kenapa?"

"Eh! Kata kat orang! Dia pun sama!"

-----

"Tidaaaakkkk!!"

Pekikan itu bergema lagi sekaligus mendiamkan mulut-mulut mereka yang tak boleh tidak mesti nak berbunyi juga. Sedangkan Pak Haji dah pesan pun tak nak dengar juga.

"Ish.. ish"

"Jangan mengeluh Pak Haji! Itu semua kerja syaitan yang nak mengalihkan perhatian kita." Tegur Tok Imam setelah mendengar keluhan Pak Haji terhadap mereka yang asyik berceloteh di dalam warung berhampiran di seberang jalan sana.

Terhenti gelengan kepala Pak Haji. Bukan kerana teguran Tok Imam tetapi kerana apa yang terlihat di depan matanya.

"MasyaAllah!!"

Tok Imam pula yang tergeleng-geleng kepalanya setelah terlihat adegan di hadapan matanya.

"Ya Allah, anak abah!!"
"Abah! Tolong cheq abahh!! Huhuhu…”
"Ya, abah nak tolong la ni…"
"Abah, cheq takut abah!! Cheq takut!!"
"Cheq takut apa ni ?"
"Cheq takut dekat yang belakang abah tuuu…Dia nak ambil cheq abah!!"

"Ya... Abah tau. Biaq pi kat dia naa. Cheq ingat Allah dalam hati. Isbatkan sekukuhnya. InsyaAllah. Dia tak boleh buat apa dah kat cheq. Ingat Allah lagi Maha Berkuasa atas sesuatu. Ingat!"

Orang tua yang wajahnya penuh beruban itu mula memejamkan matanya sesaat dua. Setelah dia mengisbatkan hatinya kepada Allah S.W.T baru lah dia berpaling ke belakangnya. Melihat kepada sesusuk lembaga yang sedang menyeringai garang di sisi pintu keretanya.

"Dia milik akuuu... !!!"

Kata lembaga hitam bermata merah dan bertanduk dua itu. Dingangakan seluas-luasnya mulut yang bertaring itu, mungkin nak tunjuk yang giginya putih bersih dengan Colgate tu.

"Dia milik Allah!!" Balas Pak tua itu tenang. Walaupun kedua-dua tubir matanya sudah pun bergenang.

"Tidak! Dia milik aku! Seperti yang dijanjikan.!" Kata lembaga hitam itu menuntut janji.

"Tetapi kami tidak berjanji apa-apa dengan kamu atau dengan siapa sekali pun!!" Tegas Pak Tua lagi.

"Argghh!! Aku tidak peduli!! Yang penting perjanjian itu sudah dimeterai dan nama anakmu itu sudah tertulis di dalamnya!!"

Bentak lembaga hitam itu garang. Segera digoncang-goncangkannya kereta itu sehingga terlambung-lambung tubuh Pak Tua di dalamnya. Darah mula memercik di seluruh tubuh Pak Tua kerana terhentak di sana sini.

Sudah lah serpihan kaca telah memenuhi kenderaan itu. Di tambah pula bila kereta itu digoncang-goncangkan oleh lembaga hitam itu. Menyebab kan tubuh Pak Tua tertusuk dan terhiris kaca di sana-sini.

"ALLAH!! Ya Rahmann!! Ya Rahimm!! Selamatkanlah kami dari musuh Adam Ini!!" Doa Pak Tua di dalam hati sambil mengelus-ngelus dadanya. Tanpa putus-putus doa dan harapan dipanjatkannya. Kepada Tuhan yang Maha Esa.

Zuppp..!!!

Satu cahaya dari langit pantas menyambar lembaga hitam itu. Menggelupur tubuh lembaga hitam bermata merah dan bertanduk dua itu terbakar.

"Cepat semuaaa!! Baca Ayatul Qursi tanpa henti!! Jangan putuskan isbat dengan Tuhan!"

Laung Pak Haji kepada semua mereka yang berada di situ. Serentak bergema bacaan Ayatul Qursi di tempat itu. Di kiri kanan jalan. Tidak kira siapa. Tua muda lelaki dan wanita, semuanya mula membaca bersama-sama. Termasuklah pemuda yang tersampuk tadi pada mulanya.

Yang telah pulih semangatnya sebaik sahaja terlihat keajaiban kenderaan itu yang terletak elok kembali setelah terbabas ke dalam longkang sebentar tadi. Apatah lagi dengan petir yang tiba-tiba datang menyambar tanpa adanya hujan dan sebagainya.

'Wow,fantastic!' Itu lah yang difikirnya.

Entah apa nak jadi dengan anak-anak muda hari ini. Yang pelik dan yang tak masuk di akal itulah yang dikagumi dan digilai. Padahal Al-Quran itu dah ribuan tahun dah semua ilmu hebat dan fantastic ada di dalamnya. Tak nak pula pergi buka, baca dan pelajari.

Bila yang non-muslim pergi pelopori dan praktikkan, barulah mula pakat kagum sembah hormat semua bagai. Padahal semuanya Allah dah bagi lama dah. Tapi tak nak belajar. Tak nak amalkan. Lepas tu mula lah nak salahkan agama. Salahkan Tuhan. Orang islam mundurlah. Miskinlah.

"Miskin…Nak kayaaa!! Ingin dihormati, diseganii!! Itu lah perjanjian tuuu!! Dia tak akan dapat semua itu selagi tiada dua nyawa yang dikorbankann!!"

Jerit lembaga hitam bermata merah itu sewaktu tubuhnya mula dihujani panahan-panahan berapi dari langit. Api mula marak membakar seluruh tubuhnya.

"Dia siapaaa... ?" Tanya Pak Tua dengan suara yang terketar-ketar.

Dikesatnya perlahan-lahan bibirnya yang berlumuran darah dengan telapak tangannya yang juga dipenuhi darah.

"Kau tahu siapa dia. Aarrgghh!!" Laungan terakhir dari lembaga hitam bermata merah dan bertanduk dua itu benar-benar mengejutkan Pak Tua. Dan sewaktu tubuh lembaga itu menjadi debu sebelum lenyap begitu sahaja, ingatan Pak Tua mula melayang kepada seseorang.

-----

Beberapa bulan yang lalu...
"Abah! Abah boleh dak jaga anak abah sementara waktu. Saya nak pergi kerja kat luar negara sekejap. Ingat nak cari pengalaman. Lagi pun dekat sana gaji mahal. Kerja cleaner pun dah boleh dapat beribu ringgit Malaysia. Mana tahu kot-kot balik nanti boleh jadi orang kaya. Baru lah orang akan hormat kita, kannn.. abah!!"

"Tak apa lah. Pergi lah. Buat lah apa yang terbaik untuk keluarga kamu. Abah sentiasa doakan untuk anak menantu abah."

-----

"Abah! Abah!! Tok Imam! Tolonglah tengokkan abah saya nii!!"
"Pak Tua! Pak Tua! Jangan putus kalimah di bibir!!"

Tok Imam mula mentalkinkan Pak Tua yang sudah mula kelihatan nazak. Pak Haji pula membawa tubuh Pak Tua keluar dari Honda Civic putih itu dengan dibantu pemuda berdenim biru dan bert-shirt putih itu. Turut dibantu beberapa anak muda yang lain.

"Abahhh!!”

Perempuan muda itu terus menerpa kepada tubuh Pak Tua yang sudah dibaringkan di atas rumput dengan berbantalkan sila Pak Haji. Bagaikan Superman dia terbang saja dari dalam Honda Civic putih itu. Tidak dipedulinya kepada Tok Imam yang tidak henti-henti mentalkinkan bapanya.

"Cinta hati abah... ." Terketar-ketar Pak Tua bersuara memanggil anak perempuan kesayangannya.
"Cheq, Abah!!"

Dengan teresak-esak anaknya menjawab. Lantas dipeluk bapanya itu sambil tangannya memegang tangan bapanya yang berhampiran dengan tusukan kaca di dada bapanya itu.

"Cheq ingat dak, hadis ke empat dari hadis empat puluh?"
"Cheq ingat abah. Yang sebut sejak kita usia empat bulan di rahim ibu lagi sudah ditulis rezeki dan ajal tu kan."
"Alhamdulillah."
"Kenapa abah?"
"Abah nak ikut cheq laa... ."
"Tak paham la abah."
"Abah jealous tengok cheq pi sensorang."
"Abah buat gila apa ni abah?"
"Cheq lupa lagi la tuuu…"
"Cheq lupa apa abah?"
"Laa ilaha illallah... Muhammadurr rasulullah... ."
"Abaahhhh!!"

-----

Beberapa hari lalu...
"Abaaahhhh…!!"
"Ya Allah!! Anak abah!!"
Kuseru namamu!
Kuseru jiwamu!
Satu jasad dua jiwa!
Kau dan aku!
Selamanya bersatu!

Kuseru jiwamu!
Kuseru ragamu!
Selamanya bersatu!
Rohmu milikku!!

"Abaaahh…!!"
"Allah! Sebut ALLAH!!"

"ALLAHHHH…" Terhempas lagi tubuh perempuan muda itu setelah ucap terakhir itu dilaungkan. Tubuhnya yang melengkung tinggi mendada naik ke atas berulang kali sebentar tadi akhirnya terkulai lesu.

"Ya Allah, aku redha." Perlahan ucap Pak Tua sebaik sahaja dia memeriksa denyutan nadi anaknya. Dirangkul tubuh anak kesayangannya itu lalu dibisikkan di telinga anaknya,

"Pergi lah. Abah redha. Sudah berapa lama cheq terseksa begini. Duhai..

ANGAH! CINTA HATI ABAH."
===================================
Suntingan: Ratika
Gambar: Dikmang

Karya asal merupakan hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama pihak Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: