JANGAN TINGGAL IBU!
============================================
Amar menggosok-gosok kedua belah matanya. Kelopak mata terasa lekit dan pandangannya sedikit berpinar. Mamai. Terasa seperti dia berada di alam lain seketika. Dia mencapai telefon bimbit di sisi katil.
"Hemm, dah pukul 10 malam rupanya. Lama jugak aku tidur!"
Ya. Itulah Amar. Jejaka yang sangat suka tidur di waktu petang. Kerap tidurnya lajak hingga ke malam. Bila tersedar, maka dia akan berjaga pula hingga ke pagi. Habit yang tidak ubah seperti burung hantu.
Sekali lagi dia menjeling ke arah paparan skrin telefon bimbitnya. Dia perasan, ada notifikasi di kotak mesej. Arghhh. Malas mahu membaca lalu Amar tidak mengendahkannya.
Kedengaran bunyi audio televisyen di ruang tamu. Amar bingkas bangun lalu mencapai tuala berona biru yang tersidai di penyangkut kayu belakang pintu. Dia melangkah keluar dan terus ke ruang tamu. Kelihatan ibunya sedang leka menonton televisyen.
Dia mendekati ibunya.
"Ibu, ayah mana?"
"Ayah kau dah keluar. Ada mesyuarat kat dewan kampung. AJK nak bincang tentang kenduri minggu depan."
"Ohhh..." Jawab Amar pendek.
Sebut sahaja soal kenduri, baru Amar teringat. Pasti mereka mahu bincangkan tentang majlis kenduri kahwin anak perempuan Pak Ali. Ratika. Anak gadis Pak Ali yang bekerja di bandar.
Cantik orangnya, sayang dah berpunya pula. Amar mengeluh kecil sebelum dia melangkah ke dapur menuju ke bilik air. Badannya terasa lemah dan kurang bermaya. Penat tidur barangkali.
Selepas berkubang di bilik air, Amar menjadi segar bugar. Padu sungguh bermandikan air kolah simen. Sejuk gila. Ketar tubuhnya hingga menggigit tulang belulang. Beku. Amar melalui ruang tamu. Ibunya masih lagi tekun menonton televisyen.
Usai lengkap berpakaian, Amar menuju ke dapur sekali lagi. Kali ini adalah untuk mengisi perut. Tudung saji beranyamkan daun mengkuang di atas meja makan, diangkat.
Terhidang semangkuk ayam masak cuka, sepinggan ikan kembung goreng dan semangkuk kecil sambal belacan. Dia menelan liur. Menu yang benar-benar membuka seleranya.
"Ibu oh ibu! Jom makan." Jerit Amar.
"Makanlah. Ibu dah kenyang." Balas Ibunya.
Tanpa berlengah, Amar mengambil pinggan dan menceduk nasi. Semua lauk diambilnya memenuhi pinggan. Amar makan agak lahap. Gaya seperti tidak makan 3 hari. Bertuah punya budak.
"Buurrrrrpppp!!" kenyang.
"Amboi. Kenyang betul anak ibu ni."
"Heheh. Sedap sangat ibu masak." Senyum.
"Amar, meh teman ibu."
Amar melangkah ke kerusi panjang, tempat ibunya sedang duduk. Punggungnya mendarat di sebelah ibunya. Kepala Amar diusap perlahan. Amar senyum memandang wajah ibu kesayangannya.
"Amar. Sini baring kat peha ibu. Dah lama ibu tak belai anak ibu ni."
"Aduhh ibu ni. Malulah. Amar bukan budak-budak lagi." Mengekek tawa Amar.
"Malu? Amar kan anak ibu. Mari baring sini." Ibunya menepuk-nepuk peha kanannya.
Amar mengeluh kecil. Dia malu tapi dia menurut sahaja permintaan ibunya. Jaga hati. Dia berbaring. Rambutnya dibelai lembut. Arghh. Terasa tenang dia dimanja sebegitu rupa.
"Ah sekali sekala. Apa salahnya. Lagipun aku ni kan anak tunggal." Monolog Amar di dalam hati.
Leka Amar dibelai, tiba-tiba telefon bimbitnya di dalam kocek berdering. Dia mencapai telefonnya keluar. Tertera nama "ayah" pada hamparan skrin.
"Assalamualaikum Amar."
Errkkk. Suara perempuan, bukan suara ayah. Dan, suara ini macam....
"Waalaikumussalam."
"Amar, ni ibu ni. Telefon ibu habis bateri. Ibu dengan ayah baru habis mesyuarat kat dewan ni. Lepas ni kami nak jenguk Pak Lang kejap. Tak sihat orang tua tu. Mungkin kami balik lewat sikit. Ibu dah 'SMS' Amar tadi. Tapi Amar tak balas. Kat dapur tu ada lagi nasi dengan lauk. Jangan tak makan pula ya. Okay Amar. Assalamualaikum."
Panggilan ditamatkan. Amar yang sedang berbaring itu sudah tidak merasa betah. Jantungnya berdegup kencang. Tubuhnya mulai menggeletar. Tangan 'Ibu' masih lagi lembut membelai rambut Amar.
"Hehehe. Kenapa Amar? Ibu dengan ayah pulang lewat yaa?"
Amar menelan air liur. Suaranya tersekat di rengkungan.
"Amar, kenapa tak jawab? Takut keeee....hihihihi."
Tangan lembut yang membelai rambutnya kini mendarat di atas dahi. Aduhh. Usapannya bertukar kasar. Bagaikan sengaja, jari-jemari 'Ibu' diawang-awangkan di hadapan matanya.
Allah! Amar dapat melihat kuku milik 'Ibu' itu sangat panjang dan runcing. Jari jemari itu mendarat pula ke pipinya. Spontan Amar menutup kedua belah kelopak matanya.
Otaknya ligat befikir bagaimana dia ingin menyelamatkan diri. Cupp!! Satu ciuman mendarat di dahinya. Allahu! Bukan sahaja terperanjat dengan tindakan itu, tetapi aroma 'Ibu' kini bertukar. Busuk sebusuknya! Bau bangkai! Amar, menekup hidungnya.
Ini tak boleh jadi. 1...2...3...
Papp!!
Amar bangun dan melompat jauh dari keberadaan 'Ibu'. Dia melarikan diri dan hilang ke dalam bilik. Daun pintu ditutup dan dikunci dari dalam.
Tukkk!! Tukkkk!! Tukkkk!!
"Amar kenapa masuk bilik? Kenapa Amar tinggalkan ibu sorang-sorang kat luar?"
"Aduhhh. Drama apa pulak ni!" Kecut perut.
Amar lari naik ke atas katil. Selimut ditarik laju lalu membalut tubuhnya.
BAM!
BAM!
BAM!
BAM!
BAM!
BAM!
"Argghhh! Tadi ketuk, ni main hempas-hempas pintu pulak menatang ni!"
"Pergi! Pergi dari sini! Jangan ganggu aku!"
Amar menjerit dari dalam selimut. Dia menutup telinganya. Segala surah dan ayat suci Al-Quran seakan-akan terpadam dari otaknya. Dia lupa terus!
Pintu biliknya tidak lagi dihempas, tapi.... cermin tingkap nako di biliknya pula dicakar. Celaka betul! Bunyinya menggangu.
"Amar, ibu bukan nak ganggu. Ibu cuma bosan duduk sorang-sorang. Sampai hati Amar tinggalkan ibu... huuuuuu....huuuuuu..."
Makhluk itu mula menangis. Mendayu-dayu.
"Arghhh!! Kau bukan ibu aku!" Balas Amar yang sangat mengharapkan 'ibu sebenarnya' dan ayahnya segera pulang.
"Amar...keluar nak."
"Aku taknak!!!"
"Amar....keluarlah sayang. Anak ibu."
"Ehhh, aku taknak keluarlah babi!"
"AMAR MESTI KELUAR!! TEMAN IBU JUGAK! IBU NAK AMAR! KELUAR SEKARANG!" Suara yang tadinya lembut kini memekik ke oktaf maksima. Kasar dan garang.
Dinding berlapikkan kayu di sekeliling biliknya itu kini dihentam kuat. Bergegar. Barang-barang yang tersusn di rak dinding jatuh satu persatu.
"Arghhhh!!"
Amar terperanjat. Spontan, daun pintu almari bajunya terbuka dan tertutup sendiri berulang kali. Segala pakaian yang terlipat cantik berhambur. Pakaian yang bersangkut hanger, melayang keluar dari almari.
"Plapp!"
Lampu bilik Amar padam. Badan Amar terhuyung hayang. Katilnya digoyang dengan kuat.
"Arghhhh!!!"
Amar menahan gelora hatinya yang semakin takut. Dia menggigil lebih dari tadi. Dia pasti, kini makhluk itu sudah berada di dalam biliknya. Atau mungkin sudah berada dekat dengannya. Di sebelahnya barangkali?
"Zapp!!"
Selimutnya ditarik kasar hingga terlayang di udara. Amar mengerekot lalu memejamkan matanya rapat. Peluh jantan mula merenek di atas dahinya. Sungguh, dia amat takut.
"Kenapa Amar pejam mata? Amar tak sudi tengok ibu? Buka lah mata Amar tu sayang." Lembut, memujuk.
"Arghhhhh!!!"
"Ohhh, gelap ya?"
"Plapppp!!"
Bilik tidur Amar terang semula dek lampu kalimantang yang terpadam tadi.
"Amar..Ibu dah buka lampu. Bukalah mata tu. Ibu nak Amar tengok Ibu. Senyum dengan Ibu macam tadi."
"Amar..."
"Aaaamaarrr..."
Diam. Amar diam. Entah dari mana datangnya kekuatan atau kebodohannya, Amar perlahan-lahan membuka kelopak mata. Dia menyorot pandangan ke arah sesuatu yang berdiri di hadapannya.
Berdiri satu makhluk yang menyerupai seorang wanita tua. Wanita tua yang mempunyai rupa paras yang sangat buruk. Kulitnya melayut, menggerutu. Berkuping-kuping dengan kudis bernanah. Bibirnya hitam. Matanya putih total tanpa dasar hitam.
Kelopak matanya seakan-akan terlipat keluar menampakkan bahagian yang berwarna merah. Hidungya panjang, jatuh hampir menutup bibir. Giginya pula bertaring tajam melepasi dagu.
Kukunya runcing dan panjang. Rambutnya berwarna putih, kusut masai panjang hingga membawa ke pinggang.
"Pergi kau dari sini! Pergi!!!"
"Amar, ini Ibu nak."
"Bukan! Kau bukan ibu aku! Kau setan! Pergi! Jangan ganggu aku!"
"Amar..."
"Allahhuakbar Allahhuakbar!"
Amar mula melaungkan azan sambil menutup mata dan telinganya. Tidak sanggup dia menatap tubuh makhluk itu berlama-lama. Mahkluk itu mula mengilai. Mendengarkan hilaian makhluk itu, Amar meneruskan azan. Kali ini lebih yakin. Dia yakin bahawa Allah akan bantu dia.
Tanpa Amar sedari, dia melaungkan azan berulang kali sehingga tidak terkira kalinya. Apa yang dia tahu, dia perlu melakukannya untuk mengusir makhluk buruk itu.
Tiba-tiba, tubuhnya dipegang. Kemudian, bahunya terasa digoncang. Arghhh, sudah! Makhluk tu ada lagi?
"Amar."
Suara ayah! Laju, Amar membuka kelopak matanya. Kelihatan ibu dan ayahnya berdiri di sisinya. Riak wajah mereka nampak kehairanan. Tanpa berlengah, Amar memeluk ibu dan ayahnya serentak, sambil menangis.
"Ehh, kenapa ni Amar?" Tanya ibunya, sedikit cemas.
"Ibu, tadi ada setan datang ganggu Amar."
"Setan?" Tanya ayah.
Amar memgangguk, lantas menceritakan latar kejadian yang berlaku dari awal kepada kedua orang tuanya.
"Syukur, Alhamdulillah Amar selamat."
"Macam mana ni bang?" Tanya ibu Amar kepada suaminya dengan nada risau.
"Esok petang lepas Asar saya akan jumpa Imam Berahim. Jemput dia datang ke rumah lepas isyak. Minta tolong dia apa yang patut."
Ayah Amar menjawab. Matanya tertumpu pada luar tingkap. Merenung jauh entah ke mana.
"Malam ni Amar tidur dengan ibu dan ayah boleh? Err, Amar tidur bawah, bukan satu katil." Pinta Amar.
"Boleh Amar." Jawab ibu Amar sambil memandang suaminya yang berdiri di sebelah.
"Aduhh, rosak program ayah malam ni."
"Ehh abang ni."
Letus suara ayahnya mengekek tawa.
******
Keesokan hari. Di ruang tamu rumah.
"Imam, apa pendapat Imam tentang benda halus yang menggangu Amar?"
"Ikutkan pengamatan aku, makhluk yang mengganggu anak kau ni namanya pelesit. Tapi kau jangan risau, aku dah pagar rumah ni. Dia tak boleh masuk dah."
"Pelesit? Eemmm... "
"Iya, dulunya bertuan. Kini dia bebas, mencari tuan baru. Mungkin dia berminat untuk bertuankan Amar."
"Imam, ada apa-apa yang Imam nak pesan untuk anak saya ni."
"Ada. Amar, air ni saya dah ruqyahkan. Buat minum ya. Surah-surah lazim yang saya sebutkan tadi, dibaca terlebih dahulu sebelum minum."
"Baik Tok Imam."
"Lagi satu, saya nak pesan. Jangan amalkan tidur petang lagi-lagi selepas asar. Tak elok. Inikan pula tidur tu membawa ke malam. Lemah tubuh awak, otak pun ikut lemah. Solat wajib jangan tinggal Amar. Kalau boleh, amalkan ayat mathurat setiap malam. Jika tidak mampu, baca seminggu 3 kali. Ingat pesan saya Amar."
"Insyaallah Tok Imam."
Amar diam. Pesan Tok Imam menusuk di hatinya. Ya, dia tahu dia culas solat apatah lagi membaca al-quran. Mungkin kerana sikap tidak acuh beliau memdekatkan makhluk itu kepadanya. Dia insaf. Harap rasa sesalnya berkekalan.
Dari tingkap nako di biliknya, ada mata yang tekun memerhati. Sugul wajahnya.
"Amar... Nanti ibu datang lagi ye."
Terdengar sayup lolongan anjing yang mendayu-dayu.
Jauh tapi dekat?
===================================
Gambar: Dikmang
Karya asal adalah hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk urusan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment