Sunday, 25 February 2018

ADIKKU - Ariff Budiman Zainal Abidin


ADIKKU

==========================

Salam admin dan pembaca semua. Sekali lagi aku Ariff Budiman bersiaran.Aku pernah hantar kisah Puteri Rambutan Gading. Di akhir episod, ada aku nyatakan yang adikku telah lemas di dalam telaga tu. Inilah kisahnya. Walaupun ianya bukanlah sebuah kisah seram yang diimpikan tapi ia telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keluarga dan lebih-lebih lagi aku yang terlalu kerap bermain di sekitar telaga tersebut.

******************************************

Kisah ini berkisar pada tahun 1978.Ketika adik berusia 3 tahun. Hermantika bin Zainal Abidin. Itulah nama yang ayah berikan kepada kehadiran seorang keluarga baru kami yang bergelar adik. Adik ku tatang bagai minyak yang penuh. Aku amat menyayanginya. Dia membesar dengan ilmu yang ayah curahkan kepadanya.

Dalam masa 3 tahun sudah pandai mengenal huruf. Ayat-ayat Quran juga sedikit sebanyak dapat dihafalnya. Adik pula pandai buat lawak jenaka. Jiran dan sahabat handai amat senang sekali dengan adik.

Pernah adik berkata kepadaku; "abang, bila adik besar adik nak ikut macam abang Danial. Adik nak jadi doktor."


Itulah idola adik walau tidak pernah bersua muka. Cukup dengan melihat beberapa keping gambar abangnya.

"Adik tak mau ikut abang Diman ka?" Tanyaku kepada adik.

"Abang Diman suka menyanyi tapi adik suka juga." Adik menjawab.

Memang aku suka sangat menyanyi. Teringat bila cikgu tanya kepada semua pelajar, semua mempunyai visi yang baik masa hadapan. Aku cuma mampu berkata bahawa aku ingin menjadi penyanyi bila dewasa.Terkejut cikgu mendengar.

Kalau cuti sekolah aku kerap membawa adik menangkap ikan laga di sawah padi. Adik begitu seronok bila melihat begitu banyak ikan yang kami dapat. Lepas berjaya menangkap ikan laga, kami akan ke telaga untuk membersihkan badan yang kotor. Airnya begitu jernih dan sejuk.Adik aku terlalu suka bermain.Airnya yang mencecah tebing memudahkan adikku bermain dengan air. Pernah adikku bersuara padaku;

"Abang…Semalam adik mimpi perempuan cantik dalam telaga. Dia dok lambai adik." Aku memarahi adik.Kataku adik bercakap merepek dan aku ketawakan dia.

Setelah ikan dimasukan ke dalam botol dan diletakan di jelapang iaitu tempat menyimpan padi ketika itu, terus kami masuk ke dalam rumah. Keesokan harinya hujan turun renyai-renyai.

Entah kenapa pagi ini adik buat perangai. Semua orang dimarahinya. Emak nak ke pasar pun adik tak bagi. Adik marah pada mak dan berkata;

"Adik tak mau kawan dengan mak. Adik nak pergi jauh-jauh. Adik nak kawan dengan orang lain." Emak hanya tersenyum sebelum ke pasar. Aku memujuk adik agar tidak marah-marah terhadap emak. Adik meminta aku mainkan lagu Broery Marantika. Lagu Rinduku Rindumu. Lagu itu memang kesukaanku.Suara Broery begitu memukau. Bila hari-hari asyik mendengarnya adik juga terikut. Berkali-kali adik minta diulang lagu itu. Aku hanya akur saja sebab diluar hujan masih turun. Mesti adik bosan, tak ada apa yang dia boleh buat.

Tak lama kemudian, hujan pun berhenti. Aku mengajak adik ke bilik air untuk mandi. Kami berlari-lari menuju keluar. Tiba-tiba aku terpandang pintu jelapang tempat simpanan beras terbuka. Aku menyuruh adik masuk dulu ke bilik air dulu sementara aku pergi menutup pintu. Dari jauh adik mencari ku. Terdengar suara nyaring memanggilku.

"Abang! Abang di mana?" Jerit adik.

"Abang di belakang ni dik." Jawabku sambil mempercepatkan tugas menutup pintu jelapang.Selesai saja menutup pintu aku terus ke bilik air.

"Aiiik, mana adik? Tadi dia ada." Aku berbisik sendirian. Nama adik aku panggil.Namun tiada jawapan. Aku bertanya kakak dan adik-adikku yang lain. Mereka kata tidak nampak akan adik. Panik juga mencari.

Segenap rumah kami semua mencari namun tidak berjumpa atau terdengar suara adik. Adikku yang perempuan menangis-nangis mencari adik. Aku menjelajah segenap ceruk kampung mencari adik. Namun tidak berjumpa. Aku melalui satu tempat iaitu telaga di bawah pokok rambutan gading di mana aku kerap bersama adik ketika selesai mencari ikan akan membasuh kaki di telaga itu. Seorang kawan aku sedang mandi di situ.

"Haa Diman. Hang cari apa?" Tanya rakanku.

"Aku cari adik aku. Hang ada nampak tak dia?" Tanyaku kembali tetapi mendapat jawapan yang hampa. Kami berborak sebentar di situ. Tiba-tiba aku terpandang selipar yang mirip adik aku yang selalu pakai. Aku berkata kepada kawanku;

"Tu macam selipar adik aku. Jangan-jangan adik aku ada di dalam tak?" Kawanku hanya memandang selipar kecil itu.

Tanpa berlengah aku terus terjun ke dalam telaga. Pengalaman mandi dan menyelam di dasar sungai Tok Keramat membuatkan aku tidak ada masalah. Aku terus menyelam dan aku terkejut bila melihat sekujur tubuh kecil sedang tersangkut di bawah lekukan dan akar pokok rambutan di dalam telaga.

Dalam hati aku berkata itu adikku. Hampir aku lemas bersama adik. Aku merangkul adik dan dengan sekali nafas aku melonjak keatas bersama adik. Kawanku tergamam melihat aku membawa adik ke atas.

Aku baringkan adik di tanah lalu menekan perutnya. Aku tak tahu melakukan pertolongan cemas. Aku hanya menekan perut adik untuk mengeluarkan air dan membuat pernafasan dari mulut ke mulut seperti apa yang aku lihat di kaca TV.

Terdengar suara lemah adik menyebut "mak." Kemudiannya adik pengsan. Keadaan di situ menjadi kelam kabut dengan kehadiran jiran-jiran. Sebentar saja ambulan dah datang. Aku terus masuk ke dalam ambulan bersama adik. Kami menuju ke hospital.Sebelum itu, aku sempat menyuruh kawanku memberitahu keluargaku.

Di hospital aku menanti akan berita dari doktor. Aku jadi tidak senang duduk. Mundar-mandir di ruangan menunggu. Aku hanya memikirkan adik. Aku tak peduli dengan pakaianku yang basah kuyup sekarang ini. Kepada Tuhan aku berdoa agar tiara apa-apa yang buruk berlaku kepada adik. Air mataku mulai bertakung.

Tak lama kemudian, doktor datang ke arahku.Katanya adikku tidak dapat diselamatkan lagi. Jantungku bagai hendak gugur apabila mendengar kata-kata doktor itu. Dadaku sebak. Aku tak mampu menahan lagi. Lututku terasa longlai. Aku menangis sesungguh hati.

Polis serta wartawan dari syarikat surat khabar Cina datang mengambil cerita dari aku. Polis segera menahan mereka dari mengerumuni aku. Seorang anggota polis membawa aku ke tempat lain sambil cuba menenangkan aku. Beliau juga ingin mengambil statement dari aku tentang kematian adik. Dalam suasana yang riuh itu, aku terdengar suara ayah. Aku berpaling. Terlihat ayah berjalan pantas ke arahku.

"Ayahhh...Diman tak bunuh adik." Aku menangis lagi. Orang ramai memberi tumpuan kepadaku. Ayah minta aku bertenang dan mengingati Allah. Kata ayah semua itu Allah yang atur.

Kami membawa jenazah adik pulang selepas selesai bedah siasat. Di rumah keluarga sedang menanti akan berita adik. Van mayat memasuki jalan kampung. Aku takut macam mana nak berhadapan dengan mak. Ramai orang sudah berada di perkarangan rumah. Bila jenazah dikeluarkan, adik perempuanku meraung dan merangkul jenazah adik. Jiran-jiran tidak dapat menahan sedih. Bagi mereka, apa yang kami sekeluarga lalui dapat dirasai mereka.

Press dan wartawan terus mengikuti aku. Macam-macam soalan diajukan kepadaku. Aku hanya membisu. Seluruh kampung bersedih. Emak lagi sedih sehingga terjelopok duduk. Kata-kata dari adik nak tinggalkan emak masih terngiang-ngiang di telinga mak.

Jenazah adik dikebumikan pada hari itu juga. Orang ramai pulang selepas bacaan talkin tamat. Tapi aku tidak. Aku tinggal sendirian di kubur menemani adik. Aku tak boleh berpisah langsung dengan adik. Ayah datang memujuk aku. Lama kelamaan aku akur lalu mengikut ayah pulang. Aku menoleh ke arah kubur adik yang masih merah tanahnya. Aku memandang dengan penuh sayu.

Di rumah, aku asyik berkurung. Aku menjadi murung. Akibatnya aku gagal dalam peperiksaan LCE. Ayah memberi semangat kepadaku. Lagu Rinduku Rindumu amat terasa sekali bila aku mendengarnya. Itulah lagu terakhir aku bersama adik. Adik diatas riba aku dan aku menciumnya. Itulah ciuman terakhir dari seorang abang. Aku mendoakan supaya adik tenang di sana.

Al-Fatihah, Hermantika bin Zainal Abidin.


-TAMAT-
Suntingan Karya: Dikmang
Gambar: Dikmang

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: