Sunday, 18 February 2018

PRANK - Ratika


PRANK
Oleh: Ratika
==============


Mazlan menggosok-gosok matanya. Sudah beberapa kali dia menguap. Malam itu, seperti kebiasaan dia mengendalikan slot Seram Lewat Malam menerusi stesen radio paling popular, Kembara FM.

Slot iklan dimainkan, dia mencapai mug berisi kopi pekat yang telah dibancuh awal-awal lagi. Aroma kopi pekat itu tidak lagi semerbak di ruangan konti. Sudah sejuk. Tapi, itu sahajalah pilihannya. Untuk memastikan matanya bertahan sehingga ke pagi.

Kopi dihirup perlahan. Tekaknya terasa sedikit lega. Sedari tadi dia hanya mengeluh. Tiada cerita yang betul-betul menyentap dan menggugat keberaniannya. Semuanya hanya suam-suam kuku. Tidak langsung meremangkan bulu roma.

Kopi diletakkan ke tepi. Ruang iklan dihentikan. Ada panggilan baru masuk. Pantas tangannya menukar ke muzik latar seram sebelum menjawab panggilan.

“Ya, selamat malam. Saya Lan, DJ anda pada malam ini. Siapa di talian?”
“Saya Jason.”
“Ok Jason, sila kongsikan cerita anda."
“Saya nak cerita masa kami nak balik raya.” Kedengaran pelat tiong hua Jason.
“Raya ya. Mesti nak sambut tahun baru.”
“Ya, kami sekeluarga nak balik raya maa…”
“Okay, teruskan.”

“Cerita ini terjadi dua tahun lepas. Kami dari Kuala Lumpur nak pulang ke utara tanah air. Syok sangat.Sebab tahun itu semua ahli keluarga besar kami balik. Berkumpul di rumah nenek.” Ujar Jason gembira. Jelas keterujaan digambarkan melalui intonasi suaranya yang agak ceria.

“Untuk mengelakkan kesesakan, kami lalu jalan lama. Seram memang seram sebab tak banyak kereta lalu. Masa ni semua orang tidur. Hanya saya dan bapak sahaja yang tidak tidur.” Jason mengeluh sebelum menyambung.

“Tiba-tiba, kami ternampak satu lembaga putih berambut panjang. Mukanya tidak jelas kelihatan, tertutup dengan rambut.”

“Hantu?” Mazlan mencelah.

“Mungkinlah bang. Tapi masa tu kami tak ambil kisah sangat. Bapak saya teruskan perjalanan.”

“ Bukankah hantu cina yang lompat-lompat tu? Pakai kertas di dahi? Kenapa korang nampak benda macam kak ponti pulak?”

“Manalah saya tahu bang. Dah itu yang kami nampak. Lepas tu, kami teruskan perjalanan. Kami anggap, tadi cuma ilusi sahaja. Sehinggalah sampai di satu selekoh..” Jason menarik nafas panjang. Suaranya mula berubah. Terdapat sedikit getaran dalam butir bicaranya.

“Sampai di selekoh, ada sesuatu yang melayang melintasi hadapan kami. Seolah-olah terbang dari arah kiri jalan menuju ke kanan. Terus hilang di sebalik pokok.”

“Habis tu, apa jadi?” Mazlan teruja. Cerita ini agak menarik baginya.

“ Bapak hilang kawalan. Kereta terus terbabas. Terlanggar pokok.”

Mazlan meneguk air liur. Sepertinya, dia dapat meneka sesuatu. Selamatkah mereka?

“Abang nak tahu tak apa yang terjadi pada malam itu?”
Mazlan hanya mengiyakan.


“Saya sedih sangat-sangat. Mama, adik-adik saya mati. Bapak saya juga, tidak sedarkan diri.” Kedengaran suara lirih Jason di hujung talian. Mazlan dapat menangkap esakan tangisan Jason.

“Habis tu, hanya Jason yang hidup?” Mazlan meneka.

“Kami tak sempat raya sama-sama. Dalam kesamaran malam itu, saya ternampak ‘hantu masyarakat’ yang menjadi dalang malam itu.” Jason bersuara lirih.

“Dalang? Saya tak faham.” Mazlan menginginkan kepastian.

“Mereka berempat. Salah seorang memegang sesuatu yang menyerupai lembaga wanita berpakaian putih dan berambut panjang. Saya syak sesuatu.”

“Maksud awak, prank?”

“Mungkin. Saya tidak tahu dengan lebih lanjut. Kali terakhir saya sedar, mereka menyelongkar kereta kami. Bukan untuk menolong, tetapi merampas barang-barang kami.”

“Saya sudah tidak terdaya ketika itu. Cuma, saya ingat semua muka mereka.”

“Tak buat laporan polis?”

“Macam mana nak buat bang? Sebab saya sendiri pun sudah matii……..”

‘Tutt……….’

Talian terputus. Mazlan terkedu. Peluh mula memercik. Bahang menyelubungi dirinya walaupun dia dalam bilik berpenghawa dingin.

“Ya, pendengar sekalian. Bertenang. Saya pasti ini adalah prank semata-mata.”

Mazlan cuba menyedapkan hati. Dia cuba menghubungi nombor itu semula tetapi tiada dalam perkhidmatan. Slot iklan dimainkan sekali lagi. Dalam pada itu, Mazlan cuba mendapatkan nombor yang menghubunginya tadi. Dia meyakinkan diri bahawa panggilan tadi sengaja ingin mempermainkannya. Mungkin kerja budak-budak nakal.

Mazlan cuba mendengar balik rakaman tadi. Malangnya, tiada! Hilang sama sekali. Dia dipagut rasa hairan.

“Tak mungkin. Mustahil tiada.” Mazlan bermonolog sendiri. Dia sudah merasa sedikit seram-sejuk. Jam sudah menunjukkan ke angka 1 pagi.

‘Ting!’

Mesej dari khidmat pesanan ringkas (SMS ) masuk.Datangnya mesej itu dari nombor yang tidak dikenali.

“Anda pasti ini prank? Ingat balik…hihihihi…”- yang teraniaya; Jason.

Ahh.. Sudah. Apa benda ni?

“Dah-dah lah prank tu. Kau ingat aku takut?”

‘Ting!’

“Sebuah jalan kecil di Alor Setar, 2016.”

Mesej itu mula menggugat keberanian Mazlan.Fikirannya menerawang. Kesalahan yang menghantui seumur hidupnya kembali menjengah. Pada malam itu…..

*****

Dua tahun sebelumnya…


“Woii Sop, kau jaga weh. Kereta ni macam tak terkesanlah dengan percubaan pertama.”

Kedengaran suara Mazlan di hujung talian. Mereka berkomunikasi menggunakan walkie talkie. Tempat terceruk begitu mustahil untuk mereka menggunakan telefon pintar.

“Tak apa, serahkan kepada kami. Rudy dah standby tu. Kalau kereta tu lalu, kita kasi patung kak Lang ni ‘terbang’.” Ujar Usop.

Mazlan hanya tersenyum. Dia memutuskan panggilan. Rambut palsu ditanggalkan. Rimas juga terpaksa berlakon jadi ‘pontianak’ palsu. Dengan baju yang lusuh dan koyak rabak, mekap tebal di muka, dia cukup yakin pengguna jalan raya akan terkejut.

Namun, ia tidak seperti yang diharapkan. Kenderaan yang baru lalu tadi tampaknya tidak terkesan. Dia gagal menakutkan pemandu itu. Gagal menakutkan orang, maksudnya, gagallah mereka untuk mendapatkan video. Gagal mendapatkan video, projek mereka untuk mendapatkan bahan bagi rancangan hiburan akan gagal.

Selalunya, orang akan buat panggilan prank. Bagi Mazlan, itu sudah agak ketinggalan. Klise. Lambakan troll dan prank menyebabkan dia terpaksa mencari jalan lain untuk meningkatkan rating rancangan hiburan yang dikendalikannya.

“Fuad, jom kita pergi tempat mereka kat selekoh depan tu,”

Mazlan memanggil Fuad yang sedang leka membelek kamera. Fuad mengangguk. Dia bergegas mendapatkan motorsikal yang sengaja disembunyikan di belakang semak. Sementara itu, Mazlan membersihkan mekap yang dikenakan ke muka. Pakaian usang itu ditanggalkan. Disimpan ke dalam beg yang sedia dibawanya.

Di selekoh, Usop dan Rudy sedang menunggu kelibat kereta Honda Civic tadi. Menurut Mazlan hanya itu kenderaan yang lalu. Rudy sedang menanti di atas pokok untuk melepaskan patung berupa kelibat wanita itu dari seberang jalan. Sengaja dia ikat tali melintang atas jalan, menyeberangi ke pokok sebelah sana. Patung hantu jadian itu dipasang dengan cangkuk khas untuk membolehkan dia meluncur nanti. Usop pula bersiap sedia dengan kamera.

Tidak berapa lama kemudian, telinga mereka menangkap deruan enjin kereta. Mereka bersiap sedia. Lensa kamera ditumpukan ke arah kereta tersebut.

‘Zzuuussssss….’ Boneka perempuan yang berpakaian usang itu dilepaskan. Meluncur laju ia mengikut alignment tali yang tergantung merintangi jalan.

‘SSshhretttt….!!’

Brek ditekan secara mengejut. Kelihatan pemandu hilang kawalan. Kereta itu berpusing-pusing sebelum terperosok ke dalam hutan berhampiran. Asap tebal menyelubungi kenderaan. Usop tersenyum. Dia tertawa sendiri menyaksikan kepanikan sang pemandu ketika nampak hantu jadian tadi.

Mazlan dan Fuad sampai di tempat kejadian.

“Weh, macam mana?” soal Mazlan. Dia tidak menyedari keadaan kereta yang terbabas itu.

“Terbaikk!!!!” Tempik Usop sambil mengangkat ibu jari.

“Mana, aku nak tengok jugak!”

Rudy bersuara. Dia sudah selesai ‘membersihkan’ kawasan kejadian. Tali yang diikat pada pokok telah dibuang sepenuhnya.

“Nah!” Usop menghulurkan kamera kepada mereka bertiga. Butang play ditekan.

“Hihihi…Lawak gila muka uncle ni!”

Fuad tergelak kecil.


“Weh, serius lawak. Hahahahaha…”

Rudy ketawa terbahak-bahak.Geli hati dia melihat telatah pemandu yang kelam kabut menekan brek.

Dari kejauhan itu, sepasang mata sedang menyaksikan perbuatan mereka dengan perasaan hiba. Ya, dia adalah Jason. Kudratnya direntap akibat kemalangan itu. Keluarganya sudah mati kesemuanya. Hatinya merintih sayu melihatkan manusia-manusia bertopengkan syaitan itu sedang ketawa.

“Tapi, uncle ni mana. Dia teruskan perjalanan kan?” soal Mazlan.

“Hahaha.. Teruskan macam mana? Tu, terbabas. Hahahaha..” Ujar Usop bersahaja sambil memuncungkan bibir ke arah kereta yang sudah remuk. Mazlan terperanjat.

“Weh, jom pergi tolong!” Mazlan bersuara cemas.

“Tolong buat apa? Sikit je tu. Langgar pokok, mana boleh mati.” Rudy dengan telor cinanya bersuara.

“Ha’ah. Biarkan je.” Fuad menambah. Mazlan dihimpit rasa bersalah. Dia berlari ke arah kereta itu.

“Woii, bro. Rilekslah.” Laung Usop. Mazlan tidak peduli. Dia harus berbuat sesuatu.

“Hey, are you ok?” Tiada respons.

“Diaorang dah mati ke?” Detik hati Mazlan.

“Korang, ke sini cepat!” Mazlan menjerit memanggil kawan-kawannya. Ketiga-tiga mereka melangkah malas.

“Kenapa?”
“Kau tanya kenapa? Kau tengok ni!” Bentak Mazlan geram.

“Ya, aku nampak.” Fuad tersengih-sengih. Dia segera membuka pintu kereta.

“Fuh, duit. Handphone!” Teriak Fuad gembira. Usop yang menyaksikan perkara itu tidak melepaskan peluang.

“Weh, korang buat apa ni?”

“Kau diam Lan. Nah, pegang nih!”

Fuad membentak kasar dan menyerahkan barang-barang yang diambil tadi kepada Mazlan.

Dia kemudiannya membuka pintu belakang. Diambil pula tas tangan sang wanita. Beg komputer riba berjenama Dell direntap. Mayat penumpang belakang yang menindih beg itu ditolak kasar.

Mazlan termangu-mangu. Buntu dengan tindakanrakan-rakannya.

“Weh, kau berdiri di situ buat apa?” Soal Rudy. Dia menolak kasar tubuh Mazlan. Tangannya galak menyelongkar kereta itu. Matanya liar mencari barang-barang berharga.

Ketika itu, Jason masih lagi hidup. Dengan badannya yang agak lemah dan penglihatannya mulai kabur, dia menyaksikan mereka yang menyelongkar kereta mereka tanpa belas kasihan. Diteliti wajah itu satu persatu.

“Korang takkan selamat..” Hati Jason memasang tekad. Mazlan perasan Jason bergerak-gerak.

“Guys, budak ni hidup lagi.” Jerit Mazlan. Ketiga-tiga mereka berhenti menyelongkar kereta.

“Dah, jom blah!” Ajak Usop. Langsung tiada niat untuk membantu. Dia sudah selesai mencatatkan nombor plat kenderaan. Hajatnya ingin menikam nombor itu nanti. Mazlan tidak berganjak. Hatinya berbelah bahagi.

“Dah, jom!” Rudy menarik lengan Mazlan kasar.Dengan berat hati Mazlan melangkah dari situ.

*****

“Sop! Kau rasa betul ke tindakan kita?” Mazlan bertanyakan soalan itu lagi. Sudah seminggu berlaku peristiwa tempoh hari. Fikirannya serabut. Setiap saat dia akan terbayangkan wajah keluarga yang terlibat nahas akibat perbuatan mereka.


“Eisyy.. Lan. Kau boleh rileks sikit tak? Gelabah tak tentu pasal!”

“Macam mana aku tak gelabah. Kita dah bunuh orang tau tak!” Bentak Mazlan. Terkuat sedikit suaranya sehinggakan semua pengunjung kafe tertumpu ke arahnya.

“Hehehe.. Maaf semua, kawan saya tengah praktis untuk prank. Maklumlah, dia pengacara rancangan prank orang.” Usop memberi alasan kepada pengunjung kafe sambil tersengih-sengih. Maka, semua pelanggan menyambung aktiviti masing-masing.

“Kau dah gila? Bukan kita, kau.Semua ni idea kau. Kami ikut je.” Usop mengejek. Merah padam muka Mazlan menahan marah.

“Dah, aku nak tolong budak tu kau suruh blah!”

“Kau guna otak sikit Lan. Kalau kita bawak budak tu ke hospital, dah tentu kena soal macam-macam. Silap-silap polis pun terlibat. Kau nak jawab apa kalau budak tu kata kita yang hantu tu?" Mazlan terdiam. Benar. Dia tidak rela dikenakan tindakan. Musnahlah kariernya nanti.

“Kkring...kkringgg…”
Deringan telefon Usop mematikan perbualan mereka.

“Hah? Kau biar betul Fuad?” Usop terkejut ketika menjawab panggilan itu.
“Lan, jom ikut aku. Pergi rumah Rudy.” Agak cemas Usop bersuara.
“Kenapa?”
“Jom! Ikut aku.”

Setelah membayar bil, mereka melangkah pergi dari kafe itu. Usop nampak keruh. Resah. Seolah-olah sesuatu mengganggu fikirannya. Mazlan terkejar-kejar membontoti Usop. Usop mencapai helmet dan terus menghidupkan motor. Tanpa menunggu Mazlan yang baru berjalan ke arah keretanya.

“Vvvvroommm….”

Keras bunyi deruman ekzos motorsikal Usop. Usop menunggang motornya secara membuta tuli. Kelajuan motornya menggusarkan hati Mazlan yang sedang mengekori dari belakang.

“Dummmm!!!!!!!!!!!”

Di depan mata Mazlan kini menyaksikan Usop dilanggar lori. Dia bertembung dengan lori saat memotong kereta hadapannya. Jasadnya terperosok ke bawah lori itu. Mazlan pantas memberhentikan keretanya di bahu jalan.

Dia berlari menuju ke arah Usop. Orang ramai mula mengerumuni tempat itu. Namun, semua tidak mampu berbuat apa-apa. Usop meninggal serta-merta di tempat kejadian.

Mazlan terduduk. Saat itu dia ternampak remaja bermata sepet berhampiran tempat kejadian.

"Tolong keluarkan kami dari tempat itu."Ujarnya sambil berlalu pergi. Mazlan mula menyedari. Kejadian yang menimpa mereka mungkin berkait dengan kesalahan mereka tempoh hari.

"Fuad, kita kena laporkan kejadian tempoh hari. Kau tengok, Usop dah meninggal. Rudy pulak meracau-racau. Kita kena buat sesuatu." Usul Mazlan tatkala keluar dari kawasan perkuburan itu. Usop sudah selamat dikebumikan.

"Taknak,kalau kau nak, kau pergi lah. Dah, kita putus kawan sampai sini. Jangan sabitkan aku atas apa yang terjadi.”

Fuad berlalu pergi dari situ. Meninggalkan Mazlan yang sedang bingung dengan apa yang terjadi. Dia buntu dan keliru tentang tindakan yang patut diambil.

******

Sudah dua tahun berlalu. Fuad juga khabarnya telah meminum racun untuk menamatkan riwayatnya sendiri. Mazlan tahu, Fuad turut dihantui Jason. Setiap hari Mazlan diselubungi rasa serba salah. Dia tidak menyambung kontrak untuk rancangan prank itu lagi. Dia bertekad untuk beralih kepada bidang pengacaraan radio pula. Dia tidak sanggup mengingati kesalahan yang pernah dia lakukan dahulu.

Konti itu kembali sunyi. Mazlan menitiskan air mata mengingatkan peristiwa yang berlaku. Dia kesal. Hanya kerana mengejar keseronokan dan rating, dia sanggup melakukan kerja bodoh. Dia tidak dapat meneruskan slotnya malam itu. Dimainkan lagu-lagu dari carta.

Dia tahu, salah. Tetapi dia terpaksa. Para pendengar juga terpinga-pinga dengan kehadiran pemanggil bernama Jason. Masing-masing meninggalkan komen di page radio itu dengan pendapat sendiri. Kebanyakan mereka berpendapat itu tidak benar.

Selesai kerjanya pagi itu, dia memandu kereta menuju ke arah balai polis.Kebenaran harus disingkap. Dia tidak sanggup lagi dibebani rasa bersalah.

“Encik, saya nak buat laporan.”

Segala butir-butir kejadian diceritakan secara terperinci. Satu persatu diterangkan kepada pegawai polis itu. Maka, serta merta mereka ke tempat kejadian bersama unit forensik. Mazlan turut dibawa sekali.

Benarlah seperti didakwa Mazlan. Ada sebuah kereta di tepi jalan yang tersembunyi di sebalik semak-samun. Remuk. Di dalamnya ada jasad yang telah mereput.

Paling menyedihkan, terdapat kotak limau mandarin yang sudah hancur hampir keseluruhan fizikalnya. Cukup menggambarkan tragedi mereka itu berlaku sebelum mereka menyambut tahun baru.

Keterujaan dan ketaksuban anak muda dalam budaya prank yang menyebabkan nahas itu. Gurauan tidak bertempat mereka telah mengundang padah buat orang lain.

Mazlan merenung kenderaan itu dengan perasaan hiba. Dia cukup terkesan. Mungkin, hukuman yang bakal diterimanya nanti sedikit sebanyak mengurangkan keralatan hati. Namun, ia tidak mungkin boleh mengembalikan insan-insan yang terbunuh akibat perbuatannya.


-TAMAT-
Jadi, anda suka dengan budaya prank? Fikirkan sekali lagi. Berpada-padalah. Jangan sampai menyesal dikemudian hari.
-TAMAT-
___________________________
Gambar: Dikmang
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: