KAMPUNG ALOR – LANGSIR RUMAH NENEK
=========================
Dah beberapa hari macam ni. Setiap kali aku sumbatkan earphone ke telinga, selang beberapa minit aku akan dengar macam orang panggil nama aku. Pada mulanya akan cabut juga earphone, nak cuba dengar betul-betul. Tak ada apa-apa pula. Lama-lama aku pun dah tak layan. Kesimpulan yang aku buat sendiri adalah; coil dalam earphone aku rosak lalu mengeluarkan nada bunyi bergetar seakan-akan memanggil nama aku.
“Zzzak... Zzzak... Zzzak...”
Bila bercakap tentang terdengar orang panggil-panggil ni, aku teringat kisah masa aku tidur di rumah nenek aku beberapa tahun dulu. Nenek aku duduk tengah bendang di Kampung Alor, Banting. Ya, Kampung Alor! Mungkin ada yang tak pernah dengar tentang kampung ni. Tapi siapa yang tahu, korang faham-fahamlah. Aku rasa kampung yang paling jarang orang masuk dalam Malaysia ni, kan? Sekeliling rumah dia adalah sawah padi. Hanya ada satu benteng di tengah-tengah sawah padi tu yang menjadi jalan untuk ke rumah nenek aku. Muat untuk sebiji motor lalu. Nenek aku duduk seorang diri. Jadi, kalau ada cuti dan kalau aku rajin, aku akan balik rumah nenek.
Setiap kali aku tidur rumah nenek, tiba waktu manghrib, nenek akan minta aku tutup semua tingkap-tingkap dan langsir. Tingkap rumah nenek semuanya tingkap kayu berengsel tepi dan bersendal di tengah. Macam biasa, tingkap rumah kampung. Ada satu malam tu, aku rasa malas nak tutup semua tingkap-tingkap yang ada entah berapa banyaknya tu, aku tarik jer tingkap-tingkap tutup. Aku tak sendal tengahnya. Sebab aku malas. Lepas tu aku tarik langsir supaya nenek aku tak perasan.
Okay, tingkap-tingkap dekat depan dah selesai. Aku pergi tutup tingkap bahagian belakang pula.
"Razak, kau sendal tak tingkap-tingkap tu?"
"Sendal, nek."
"Yelah. Jangan tak sendal. Takut apa-apa."
"Takut apa-apa pulak nenek aku ni?" Aku fikir sendirian. Nak takutkan akulah tu.
Selesai aku tutup tingkap terakhir dekat ruang hujung dapur, aku pun ambil air sembahyang dan solat. Aku solat sendirian di rumah. Nenek pergi surau jalan kaki.
Selesai solat, aku pasang TV, duduk atas kerusi rotan depan TV. Nak kata aku tengok TV tu pun tak juga. Aku tenung jer. Dalam fikiran aku; assignment, assignment, assignment. Lepas 15 minit aku dok bayangkan assignment, aku pun bangun dari kerusi dan masuk ke bilik tengah untuk betul-betul buat assignment.
Bilik tengah ni bilik tetamu. Dulu-dulu ni bilik Pak Long aku. Masa muda-mudalah. Sekarang dia pun dah tua. Takkan nak duduk dengan nenek aku lagi. Dia duduk dengan anak bini dia di Shah Alam. Jadi, setiap kali aku balik rumah nenek, bilik tetamu tu akan jadi bilik rasmi aku.
Tengah aku meniarap atas katil sambil buat assignment, aku dengar bunyi berkeriut dari arah ruang tamu. Macam bunyi engsel yang berkarat. Aku fikir mungkin tingkap terbuka sebab angin. Aku pun abaikan dan sambung buat assignment aku. Beberapa minit lepas tu, aku dengar lagi bunyi berkeriut, kali ni dari arah dapur. Hati aku dah tak sedap. Dari dok meniarap atas katil tu, aku terus tegak berdiri dekat tepi katil. Dada aku berdebar-debar sampai aku dapat rasa sampai ke tekak.
"Ah, sudah! Aku dahlah tinggal seorang ni." Aku fikir sendiri. Menyesal betul aku tak sendal tingkap-tingkap tu tadi.
Aku memang tak beranilah nak keluar dari bilik tu pergi tinjau tingkap mana yang terbuka. Aku tercegat berdiri tepi katil tu. Tak berganjak. Otak aku ligat berfikir apa aku perlu buat.
Tiba-tiba aku terdengar lagi bunyi berkeriut, tapi kali ni betul-betul dari tingkap sebelah katil aku. Aku berdiri membelakangi tingkap tu, menghadap pintu bilik. Aku kaku. Aku nekad; apa pun yang terjadi, aku takkan menoleh ke tingkap tu. Tertahan-tahan nafas aku bila bunyi berkeriut tingkap tu terbuka perlahan-lahan. Aku rasa macam nak pitam sebab tak cukup nafas.
Bunyi tu berhenti sebaik sahaja aku dengar suara nenek bagi salam.
"Assalamualaikum!"
"Wa'alaikumsalam!" Aku jawab.
"Razak, buka langsir. Nenek nak masuk."
Aku tergamam. Kenapa pula nenek nak masuk, kena buka langsir?
"Nenek ni dah nak nyanyuk ni." Aku fikir.
Aku pun berjalan keluar bilik untuk ke ruang tamu nak buka pintu untuk nenek. Berani juga aku kalau nenek dah balik.
Aku buka pintu, tak ada orang.
Dari kejauhan aku dengar suara orang surau tengah bertahmid. Biasanya nenek akan tunggu semua selesai di surau, baru dia balik. Takkan orang tengah bertahmid, nenek balik? Aku pandang kiri kanan. Bila dah pasti memang tak ada sesiapa, aku pun nak tutup pintu. Tak sampai sesaat aku tolak pintu, tiba-tiba ada kaki tahan pintu tu dari luar. Aku pandang kaki tu. Kaki nenek! Aku pun buka pintu semula.
"Eh, awal nenek balik?"
Nenek senyum lalu terus berjalan ke arah tingkap ruang tamu. Tanpa selak langsir, nenek tarik tingkap yang terbuka sedikit tadi dan sendalkan tingkap tu.
"Kau tak sendal ya tingkap-tingkap ni tadi Zak?"
"Err... tak nek."
"Sekarang, kau pergi sendal semua tingkap-tingkap dalam rumah ni. Tapi jangan selak langsir."
"Eh. Jangan selak langsir? Kan susah nek nak sendal tingkap tapi tak selak langsir?"
Nenek tak jawab sepatah pun. Merajuk ke orang tua ni? Aku pun turutkanlah kata-kata nenek. Aku pergi ke setiap tingkap-tingkap yang aku tutup tadi dan sendalkan tanpa aku selak langsir. Lepas dah sendal semua, aku pergi ke ruang tamu. Nak tanya lagi sekali kenapa nenek balik awal. Rasa tak sihat ke dia? Sampai di ruang tamu, aku tengok sekeliling, nenek tak ada. Aku pun periksa satu-satu bilik dengan bilik air sekali. Nenek tak ada!
"Nek! Oh, nenek!" Laung aku hampir setiap langkah. Lepas entah berapa minit aku dok ke hulu ke hilir dalam rumah tu, aku pun duduk depan TV kehairanan. Mata aku tertumpu pada skrin TV sahaja. Aku tak pandang langsung tingkap-tingkap sekeliling ruang tamu tu. Otak aku ligat berfikir. Mana pula nenek pergi ni?
Lepas dalam 15 minit aku duduk depan TV,
"Assalamualaikum!" Suara nenek datang dari luar.
Aku terpaku.
"Assalamualaikum!" Lagi sekali nenek bagi salam.
"Nenek ke?" Tanya aku dari depan pintu.
"Neneklah! Siapa lagi? Hish, budak ni!" Jawab nenek sedikit tidak sabar.
Aku pun buka pintu. Nenek dengan kain telekungnya berdiri depan pintu. Aku diam.
"Kau kenapa Zak? Muka pucat ni. Demam ke?"
Aku tak jawab. Nenek pun masuk ke dalam rumah lalu terus masuk ke dalam bilik dia. Selang beberapa minit, nenek keluar dari bilik pakai baju kurung kedah dengan kain sarung. Aku duduk termenung depan TV.
Selama aku duduk dengan nenek depan TV tu, nenek asyik mengadap berita. Aku pula asyik mengadap nenek. Tak lama lepas tu, nenek perasan aku dok tenung dia.
"Kau ni kenapa Zak? Kau tenung apa?"
Untuk mendapatkan kepastian, aku terus bertanya pada nenek;
"Nenek, kenapa kalau nenek suruh Razak tutup tingkap, nenek suruh Razak sendal tingkap tu dan tutup langsir sekali?"
Nenek tenung aku dalam-dalam. Macam memikirkan sesuatu.
"Kalau tak sendal, terbukalah tingkap tu." Jawab nenek sambil mengalihkan pandangannya ke TV.
"Habis, langsir tu? Kenapa? Kan bila dah tutup tingkap, memang dah tak nampak luar?"
Nenek buat tak tahu jer dengan soalan aku. Matanya fokus ke skrin TV. Aku nak tanya lagi sekali pun rasa serba salah. Aku diam sahaja selepas tu.
Waktu tu, jam menunjukkan pukul 11:30 malam.
"Nek. Malam ni Razak tidur sekali dengan nenek boleh?" Tanya aku.
Nenek mengalihkan pandangannya dari skrin TV, kepada aku. Keningnya yang memang sudah berkerut, dikerutkan lagi. Nampak kehairanan. Nenek biarkan soalan aku tergantung tanpa jawapan selama beberapa minit. Matanya tetap kepada aku tapi aku tahu fikirannya ke arah lain.
"Kau ada nampak apa-apa ke tadi, Zak?" Tanya nenek serius.
"Apa-apa, apa nek?"
Nenek diam sejenak. Wajahnya kelihatan tenang, tetapi matanya merenung menembusi aku. Seperti dia sedang berfikir jauh. Jauh dari apa yang aku fahami dalam dunia ni.
"Entahlah Zak. Kadang-kadang nenek rasa nenek ni ada peneman dalam rumah ni. Setiap kali nenek lupa buat sesuatu, dia akan buatkan. Kalau nenek lupa tutup api dapur, dia tutupkan. Kalau nenek lupa kunci pintu, dia kuncikan. Kalau nenek tak tutup tingkap dan langsir masa maghrib, dia tutupkan."
Aku tak tahu nak buat reaksi muka macam mana dah masa tu. Aku tak pandang pun muka nenek aku. Aku pandang lantai jer. Tangan aku dah genggam pemegang kerusi rotan yang aku duduk tu dah.
"Siapa dia nek? Macam... macam mana rupa dia nek?" Aku tanya perlahan-lahan.
"Entah. Nenek pun tak tahu. Nenek tak pernah nampak. Tapi nenek tahu dia ada." Jawab nenek tenang.
"Sebab tu ke nenek selalu suruh Razak sendal tingkap dan tutup langsir?"
"Oh, tak. Itu sebab benda lain." Jawab nenek sambil matanya memandang tingkap tepi ruang tamu tu. "Benda tu suka masuk melalui tingkap. Tapi kalau langsir pada tingkap tu bertutup, dia tak boleh masuk."
Cerita nenek membuatkan aku rasa semakin pelik. Terasa panik, tapi mendapat jawapan pada waktu yang sama. Aku pun mulalah bercerita tentang apa yang aku alami tadi.
"Tadi Razak dengar tingkap terbuka. Adalah dalam tiga tingkap. Lepas tu Razak dengar suara nenek bagi salam, suruh Razak buka langsir. Tapi Razak tak buka langsir. Razak buka pintu. Tak ada orang. Lepas tu, bila nak tutup pintu, nenek tahan pintu dengan kaki. Razak pun buka pintu untuk nenek masuk. Nenek suruh Razak sendal semua tingkap, tapi jangan selak langsir. Bila Razak datang balik ke ruang tamu, nenek dah tak ada. Nenek pergi mana sebenarnya?"
Muka nenek berubah. Dari tenang, terus ke runsing. Mulut nenek macam nak cakap sesuatu. Tapi macam tak tahu macam mana nak susun ayat. Selepas beberapa detik, nenek pun bersuara;
"Razak... kalau nenek cakap ni, kau jangan takut ya. Dalam dunia ni bukan kita saja yang ada. Banyak makhluk ciptaan Allah yag lain. Nenek dah faham apa yang jadi dekat kau tadi. Yang bagi salam, benda lain. Yang tahan pintu, benda lain. Yang depan kau ni, barulah nenek."
Malam tu, aku call mak minta ambil aku dari rumah nenek. Jam 1:30 pagi, mak dan ayah sampai depan rumah nenek. Nenek nampak kecil hati dengan keputusan aku. Tapi aku jujur dengan nenek. Semangat aku lemah. Aku tak boleh terima kejadian-kejadian macam ni dalam hidup aku. Mungkin untuk menjaga hati nenek, mak dan ayah buat keputusan untuk bermalam di rumah nenek pada malam tu.
Sampai situ sahaja yang aku ingat kisah aku tidur rumah nenek aku ni. Apa terjadi selepas tu aku dah tak ingat. Kejadian tu pun berlaku masa aku mula-mula masuk belajar diploma dulu. Sekarang tengah tahun akhir ijazah. Nenek pun dah meninggal dua tahun lepas. Rasa juga kehilangan nenek. Tak dapat dah balik rumah nenek bila cuti semester.
Hmm.
Aku pun sumbatkan earphone yang dah entah kali ke berapa aku hentakkan pada bucu katil ni. Manalah tahu kalau betul cara hentak, coil dia okay balik. Tapi walau berapa kali aku hentak dan lagu apa aku pasang pun, bunyi tu tetap ada. Dalam nada bergetar; Zzzak... Zzzak... Zzzak...
“Zzzak... Zzzak... Zzzak...”
“Zzak... Zzak... Zak...”
“Zak... Buka langsir Zak... Nenek nak masuk…”
Dengan tak sempat tarik nafas, aku campak handphone aku sekali dengan earphone entah ke mana, macam spring aku melompat, berlari macam tak cukup tanah terus ke luar rumah.
Tidur rumah Pak Long lah aku malam ni.
P/s: ini hanya sebuah kisah rekaan.
==============================
KAMPUNG ALOR : LANGSIR RUMAH NENEK
©Ahmad Rusydi
Suntingan: Ahmad Rusydi
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com
No comments:
Post a Comment