PENGHANTAR PIZA
=========================
“Hello, The Pizzalicious sedia mengambil pesanan,” profesional sahaja suara penerima panggilan.
“Hello, saya nak pesan piza.” Jelas suara lelaki pertengahan usia.
“Sebelum itu boleh tak saya dapatkan alamat lengkap dan nombor telefon encik ?”
“No 411, Jalan Seri Angsana, 70300 Seremban, Negeri Sembilan. Nombor telefon saya 010-3123840.”
“Baiklah, terima kasih. Encik mahu pesan apa ?”
“Beri saya pineapple and chicken pizza empat set dan lima mozzarella pizza. Semua largeya.”
Seperti yang diketahui, The Pizzalicious terkenal dengan keenakan pizanya di Seremban. Sebelum ini cawangannya ada dikembangkan di Kuala Lumpur dan Melaka.
‘’Itu sahajakah encik ?’’
"Ya.’’
"Terima kasih, Encik. Penghantaran piza dalam masa lebih kurang 30 minit.’’
Tutt...
Talian terputus. Si pemesan piza tadi terus meletak panggilan. Walhal, Azrina baru sahaja ingin memberi nombor kod diskaun piza untuk pesanan yang akan datang.
“Edry, ada pesanan, cepat hantar. Kalau tak kita kena bagi free. Dahlah customer pesan banyak.” Arah Azrina.
"Siapalah yang order pukul 12.30 pagi ni.’’ Edry merungut sambil berjalan ke arah dapur untuk mengambil kotak-kotak piza yang telah siap disediakan oleh Azrina.
"Kau kena faham, kedai kita ni 24 jam. 24 hours ! I repeat, 24 hours. Mesti ada orang yang akan pesan. Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku. Settle kerja.’’
Kebetulan, malam itu hanya Edry dan Azrina sahaja yang bertugas manakala rakan-rakannya sudah awal-awal pulang kerana ingin menguruskan hal dan tanggungjawab keluarga.
Edry, baru sahaja berumur 22 tahun. Adakalanya, dia digelar Edry KRU kerana nama mereka sama bezanya bin sahaja. Hanya memiliki Sijil Peperiksaan Malaysia walaupun keputusannya cemerlang. Dia tidak berpeluang melanjutkan pelajarannya kerana keluarganya hidup susah di kampung. Hanya dia sahaja yang merantau untuk bekerja. Mujur dia berminat dalam pengurusan perniagaan, jadi dapatlah dia berniaga walaupun sebagai pekerja bawahan bukan bos. Gaji pun cukup-cukup sahaja. Tapi yang penting bagi Edry ialah pengalaman yang mematangkan usianya.
Azrina pula?Diasebaya dengan Edry.Cumanya dia memiliki Diploma Teknologi Makanan. Jadi, dia diangkat sebagai manager di The Pizzalicious. Wajah dan badannya agak montel mungkin kerana acap kali makan makanan segera. Namun, tudung bawal bidang 60 yang dipakai memperlihatkan sisi cantiknya.
Setelah piza yang dipesan siap disediakan, Edry terus mengambil resit dan cuba mengingati jalan ke rumah itu. Pada layar fikirannya, dia dapat melihat jalan tersebut seperti aplikasi Waze yang memandunya ke sana. Jika lihat pada alamat yang tertera, itu memang rumah agam putih. Pemiliknya tak silap orang Melayu tetapi tidak pasti pula tentang pekerjaannya. Edry memasukkan kotak piza ke dalam beg khas di belakang motornya agar piza dihidangkan dengan segar. Dia menghidupkan motorsikal syarikat dan menyarung helmetnya yang berwarna merah kuning.
"Ingat pesan mak, kalau bawak motor pakai helmet. Jangan ingat kepala tu dah keras sangat. Bawak jangan laju. Better late than never !’’
Teringat pula pesan maknya, Mak Kalsom. Kadang-kadang lucu benar bila Mak Kalsom cuba menyebut perkataan orang putih yang pernah Edry ajar waktu sekolah menengah dahulu. Maklumlah orang kampung.Edry ketawa kecil apabila mengenangkan kenangan bersama ibunya itu.
Selepas mengemaskan ikatan helmetnya, Edry mengerling jam tangan digitalnya di lengan kiri. Jamnya baru menunjukkan jam 12.45 pagi. Dia perlu hantar sebelum atau pada 1.15 pagi.Andai lewat, piza itu akan menjadi percuma. Itu memang polisi Pizzalicious kepada pelanggannya. Setelah berkira-kira mengenai masa perjalanan untuk sampai ke rumah agam putih itu, dia boleh sampai pada jam 1.05 pagi memandangkan jalan tidak sesak. Kalau siang pula, dia boleh cilok-cilok bawak motor. Nasib baik, Edry tidak pernah terlibat dalam kemalangan. Kalau tidak, Azrina itu pasti risau akan dirinya atau piza yang dihantarnya.
Perjalanan ke rumah agam putih itu berjalan lancar dan Edry memang penunggang motosikal yang memang pandai mengagak masanya. Akhirnya, dia sampai tepat pada jam 1.05 pagi.
Dia kini sampai di pintu pagar rumah agam. Ada loceng tekan dan pembesar suara di luar tembok pagar dinding rumahnya.
Ting..tong…ting..tong…
Edry menekan-nekan loceng itu sambil memandang kawasan perumahan itu.
Kemudian, beberapa saat ada balasan suara melalui pembesar suara itu.
‘’To….tolong." Tersekat-sekat bunyinya.
‘’Encik?” Edry agak musykil.
Pintu pagar yang tinggi itu terbuka luas seolah-olah menjemput kehadiran si miskin ke sebuah majlis gilang-gemilang. Semasa melangkah masuk ke perkarangan rumah agam putih itu, mata Edry sempat memandang kawasan sekeliling rumah itu.
"Wah, ada swimming pool.’’ Jakun bunyinya. Dia sememangnya tidak pernah melihat rumah sebesar itu. Jadi, perasaan itu sukar digambarkan.
Rumah agam putih itu dihiasi dengan lampu-lampu sorot biru di dalam swimming pool dan terdapat lampu sorot berwarna putih di taman orkidnya. Sesudah sampai di porch, beberapa kereta mewah seperti Mini Cooper, Jaguar, Ferrari dan motosikal berkuasa tinggi BMW,serta Myvi baru terlihat gah sesuai dengan rumah agam itu.
"Uishh, kaya betul dia ni. Kerja apalah sampai jadi jutawan. Aishh kenapa aku tak lahir dalam keluarga macam ni. Kan best. Tak perlu fikir masalah.’’
Edry mematikan langkahnya. Bau hanyir hinggap pada lubang hidungnya. Dia tercegat dan terkesima di depan pintu masuk utama. Mulutnya sedikit melopong dan matanya tidak berkelip. Mungkin sedang memastikan apa yang dilihatnya.
Keluarga si jutawan itu semuanya sudah dibasahi darah yang mengalir. Edry panik. Dia hampir terjatuh tergelincir semasa menghampiri seorang lelaki berkepala botak yang sedang nyawa-nyawa ikan. Tikaman tepat pada jantung.Dia sedang bertarung dengan ajalnya. Edry terus menelefon panggilan kecemasan 999 dan memaklumkan kejadian itu kepada pegawai operator.
Dia menghampiri lelaki yang sedang bertarung nyawa. Nafasnya berat. Tidak henti-henti menyumpah seranah. Edry tidak mampu berbuat apa-apa. Lelaki itu akhirnya mati. Semasa menunggu polis tiba, Edry memandang semua wajah-wajah mayat itu. Ada seorang wanita berusia pertengahan, mungkin si isteri jutawan. Seorang anak teruna memakai seluar jeans dan t-shirt hitam dan seorang wanita lanjut usia seperti orang gajinya. Semuanya ada kesan tikaman pada dada. Setiap pasang mata terbeliak seolah-olah menahan kesakitan yang teramat. Ruang tamu rumah agam putih itu agak tunggang-langgang. Kristal-kristal perhiasan dalam almari semuanya pecah berderai di lantai. Bukan itu sahaja, beberapa helai duit berwarna ungu, RM100 bersepah di serata ruang tamu. Terpalit darah pada duit itu.
Edry pening kepala. Dia termuntah di situ akibat tidak tahan dengan bau hanyir darah. Selepas 10 minit menunggu, pihak polis tiba di rumah agam putih itu. Edry telah disoal oleh pihak polis bagi membantu kejadian.
“Encik Edry, jam berapa Encik sampai di sini?”Tanya pihak forensik.
“Jam 1.05 pagi untuk hantar piza.” Jelas Edry.
“Ada apa-apa yang pelik berlaku?” Soal pegawai itu lagi.
"Hanya semasa saya tekan loceng, pembesar suara itu meminta tolong dangate dibuka.’’Bersahaja Edry menjawab.
"Itu sahaja, Encik Edry. Terima kasih kerana memberi kerjasama dengan pihak forensik."Ucap pegawai itu sambil mencatat sesuatu di dalam buku nota kecilnya.
Seorang pegawai perubatan datang kepada Edry untuk memeriksanya. Selepas diperiksa, Edry disahkan mengalami sedikit kejutan. Mungkinterkejut melihat kejadian pembunuhan didepannya. Disebabkan itu, Edry diberi cuti seminggu untuk menenangkan fikiran. Dia pulang ke kampung di Bahau.
Ibunya, Mak Kalsom meminta dia sentiasa solat dan jangan tinggal berzikir. Itulah amal ibadah yang boleh membuat hambaNya tenang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
****
Berita utama jam 8 malam - Polis dapat menyelesaikan kes bunuh keluarga Allahyarham Zainuddin iaitu pemilik syarikat kapal kontenaPelabuhan Klang, Selangor.
Polis telah meneliti bahawa kematian keluarga Allahyarham Zainuddin disebabkan satu pergaduhan kecil antara keluarga tersebut dan diakhiri dengan pembunuhan. Pihak forensik dapat mengesan cap jari Allahyarham Zainuddin pada pisau yang menjadi senjata untuk menikam ahli keluarga dan orang gajinya.
Allahyarham Zainuddin kemudiannya dipercayai mengambil keputusan untuk menikam dadanya sendiri. Kematian ini amat mengejutkan ramai pihak memandangkan keluarga Allahyarham mudah didekati oleh masyarakat setempat. Seorang saksi yang namanya dirahsiakan juga telah memberi keterangan yang jelas pada malam kejadian kepada pihak polis. Orang ramai diharap dapat menghentikan spekulasi tanpa bukti yang kukuh.
Berita seterusnya….
Tup !
Edry menutup televisyen dengan alat kawalan jauhnya. Riak muka Edry biasa-biasa sahaja. Dia berasa agak lega. Mak Kalsom mahu saja menjerit nama anaknya kerana menutup siaran berita secara tiba-tiba namun Mak Kalsom mengubah fikirannya apabila teringat akan nasib anaknya yang menjadi saksi pembunuhan itu. Dia mulai faham. Anaknya mencari rezeki untuknya. Pak Bakar, suami Mak Kalsom sudah lama meninggal selepas Edry tamat sekolah menengah.
“Dah, Edry. Kamu pergi solat Isyak. Sebelum tidur ambik wuduk.” Arah Mak Kalsom.
“Jangan nak fikir-fikirkan lagi. Esok kamu kena bangun awal solat Subuh berjemaah di surau dengan mak.” Tambah Mak Kalsom.Edry bangun dengan malas.
Malam itu di Kampung Bahau, hanya unggas dan cengkerik kedengaran. Semua orang kampung telah dibuai mimpi. Ditambah pula dengan cuaca dingin menjelang malam cukup membuatkan Edry tidur dengan lena.
“BangunEdry, dah subuh ni. Kita nak pergi ke surau berjemaah.” Mak Kalsom menggoncang-goncang bahu si Edry.
“Tak boleh ke kalau jemaah je kat rumah?” Edry bersuara malas dengan matanya yang masih terpejam.
“Cepat bangun sebelum mak simbah air perigi kat kamu.” Suara Mak Kalsom agak tinggi.
Edry bingkas bangun. Dia masih ingat betapa sejuknya air hingga membuat badan dan jarinya pijar semasa ibunya mengejutkan dia sewaktu tahun 6.Lantas, Edry mencapai tuala dan menguruskan diri untuk ke surau.
****
-Jam 7.10 pagi -
Suasana kawasan perkampungan di Bahau masih berkabus. Rumah-rumah kampung masih mempunyai atap Minangkabau walaupun Bahau sudah hampir sempadan ke Pahang. Edry merasakan sudah lama dia tidak ronda-ronda ke sekeliling kampung. Kali terakhir dia mengelilingi kampung adalah semasa mendapat keputusan SPMnya. Tujuannya semata-mata untuk menghebahkan bahawa dialah murid cemerlang.
"Aahhhh, segarnya udara.’’ Bisik Edry
Dia mengayuh basikal lamanya dengan perlahan bagi merasakan angin dingin pagi itu.
****
- Jam 8.30 pagi -
Sebuah kereta Honda Civic hitam memarkir di perkarangan rumahnya. Mak Kalsom berasa pelik kerana dia tidak pernah melihat orang-orang kampung memandu kereta besar kecuali pada hari raya. Itupun hanya anak-anak orang kampung yang bekerja hebatsahaja yang memandu kereta sebegitu.
“Siapa pulak yang datang ni. Gelap sahaja cerminnya.” Bisik Mak Kalsom sambil menjenguk melalui tingkap rumahnya.
“Edry, tolong tengokkan siapa yang datang ni.” Perintah Mak Kalsom.
Edry keluar dari biliknya. Dia memegang sebuah diari. Rambutnya kusut masai. Pada pengamatan Mak Kalsom, anaknya tidur semula selepas meronda kawasan kampung.
Dua beranak itu pun turun ke depan tangga untuk melihat orang berkereta besar itu datang.
Mak Kalsom bermanis muka.
“Ya, tuan ? Tuan mencari siapa ?”
“Assalamualaikum, Puan. Saya Razali, peguam firma Syed & Associates dari Kuala Lumpur. Hajatnya mahu berjumpa dengan Edry bin Badrul.’’
“Waalaikumusalam, naiklah dulu tuan.”
“Baiklah, terima kasih.”
Selepas Mak Kalsom menghidangkan kopi dan biskut kering, Razali memulakan bicara. Dia membuka fail dari beg galas hitamnya. Pada hemat Edry, segak benar pekerjaan peguam kerana berpakaian seperti mat saleh dengan bersut, bertali leher, berkemeja dan berkasut kulit. Berbeza dengannya yang bekerja sebagai penghantar piza.Berpanas terik setiap kali membuat penghantaran.
“Begini, Edry. Untuk pengetahuan awak, Allahyarham Zainuddin telah meninggalkan semua hartanya yang bernilaiRM 3.5 jutakepada kamu.Ini wasiatnya.Saya peguamnya yang sah.”
Mak Kalsom hampir pengsan. Edry pula tersenyum sinis. Razali kemudiannya menerangkan dengan lebih lanjut mengenai wasiat itu. Usai melakukan tugasnya, Razali meminta diri. Kelibat kereta Honda Civic itu kini hilang dari pandangan. Edry masuk ke bilik. Dibelek diarinya.
“Mak, malam ni Edry nak keluar.” Edry melaung dari biliknya. Mak Kalsom hanya membenarkan. Meskipun dia pelik dengan kehadiran peguam tadi dan wasiat jutawan yang meninggal tempoh hari, namun, Mak Kalsom tidak mengesyaki apa-apa.
Malam itu, Edry keluar. Ke tempat biasa yang agak tersorok dari kampung. Kemenyan dibakar untuk ‘kawannya’. Diseru berulang kali. Dia senyum penuh makna. Harta itu kini miliknya. Tidak perlulah dia bersusah-payah untuk membanting tulang lagi.
Tiba-tiba Edry teringat sesuatu.Diari itu! Dia mengeluarkan diari yang tercatat sesuatu. Sekilas, berbekalkan cahaya unggun api, Edry meneliti catatannya pada diari.
‘Sebenarnya pada malam kejadian, Zainuddin telah membunuh seisi rumah dengan menggunakan pisau. Aku, Edry telah melihat kejadian itu namun Zainuddin ternampak aku. Jadi, aku dan dia berunding untuk menutup ceritanya. Dia berjanji ingin memberikan hartanya kepada aku. Lantas aku bersetuju.Tapi dia tak sedar yang sebenarnya ‘kawan’ aku akan pengaruh dia untuk bunuh dirinya sendiri. Aku sanggup memanipulasikan cerita yang sebenar kepada pihak polis. Aku memang pandai membuat cerita demi harta. Ahh! Iman manusia boleh naik dan turun..’
Edry tersenyum sinis. Diarinya dicampakkan ke dalam api. Perlahan-lahan, helaian catatannya dimakan api. Seolah-olah menghapuskan sisa bukti tentang perbuatan sebenarnya pada malam itu.
-TAMAT-
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment