KHILAF! (Part 1)
========================
Ini adalah kisah aku, kisah yang membuatkan aku tertanya-tanya tentang kehidupan, tentang peluang.
"Daruis!.. ohh Daruiss!," aku sangat kenal suara itu. Suara Anjika seorang sahabat yang tidak mungkin aku lupakan.
******
Aku bangun melihat jam di dinding 10:10 pagi, mimpi yang sama masih menghantui. Aku bangun dan membuka tingkap bilik yang diperbuat dari kayu. Rumah ini diperbuat dari kayu yang utuh, ukiran-ukiran di setiap dedaun tingkap dan pintu sangat cantik. Tapi, ini bukanlah rumah aku, malah ini juga bukan dunia aku.
"Haa datang pun Daruis, marilah kita ke hujung desa," teriak Anjika dari luar rumah.
"Kejap Daruis turun!" Balas aku dari tingkap.
Aku berlari anak keluar dari bilik lalu menuju tangga halaman rumah untuk keluar bersama Anjika. Walaupun aku tidak kenali sepenuhnya tentang Anjika, tetapi hati kecil aku sangat mempercayainya dia adalah sahabat ku.
"Daruis hendak ke mana?" Tiba-tiba suara seorang wanita dari belakang menegurku.
"Hendak ke hujung desa bersama Anjika..," balasku tanpa menoleh, semua ini sudah aku lalui dan aku tahu penamatnya.
"Hati-hati..." balas wanita itu.
Aku berlari anak ke arah Anjika dan kemudian berjalan menuju sehingga ke hujung desa.
"Daruis, betul ke tak mahu duduk dengan kami?" Tanya Anjika sambil matanya memandang ke langit.
"Eh kenapa Anjika tanya macam tu? Aku kan ada dengan kau sekarang ni...."
"Tapi, mak dan ayah Daruis kata, Daruis tak mahu tinggal di sini."
"Errmm..." aku hilang kata.
Aku dan Anjika meneruskan perjalanan, sebelum sampai ke hujung desa aku melihat beberapa buah rumah yang cantik dan indah, ada yang diperbuat dari buluh kuning, ada yang diperbuat dari kayu. Tetapi yang pastinya semua itu cantik dan unik.
"Sebenarnya siapa aku? Di mana aku sekarang?" Fikiran aku mula mencari identiti sendiri.
"Daruis, kenapa?" Tanya Anjika apabila melihat aku merenung sambil berjalan. Atau mungkin dia sedang membebel kepada aku, tetapi tidak dihiraukan olehku.
"Eh, tak ada apa-apa..," kata ku sambil melemparkan senyuman.
Sungai! Aku ingat sungai di hujung desa inilah yang telah meragut nyawa aku! Tapi sekarang aku sedang melaluinya!
"Daruis?" Tegur Anjika apabila melihat aku berhenti dari melangkah. Sungai itu kini hanya beberapa langkah dari aku.
"Iya? Maaf, Daruis terpegun melihat air sungai," balas aku cuba menyembunyikan apa sebenarnya yang aku rasa.
Aku melihat Anjika sudah pun duduk di tepi sungai sambil kakinya terjuntai ke air. Aku melangkah lemah, lalu turut duduk di sebelah Anjika.
"Anjika, andai Daruis pergi, adakah Anjika akan mencari Daruis?" Sengaja aku mengajukan soalan begitu.
Anjika melihat ke arah aku, direnung wajahku dalam-dalam.
"Pasti akan Anjika cari sehingga di hujung dunia!" Balas Anjika sambil tersenyum.
"Terima kasih!, Daruis pasti akan tunggu Anjika waktu itu."
Aku melihat air sungai yang tenang, sebenarnya aku menanti sesuatu! Iaitu sesuatu yang mengubah hidup aku dan pastinya ia menukar pemikiran aku sehingga kini.
"Daruis, sihat ke tak sebenarnya? Anjika lihat Daruis seperti memikirkan sesuatu."
"Sebenarnya, Daruis sedang...," belum sempat aku menghabiskan kata-kata makhluk itu muncul di hadapan aku bersama Anjika. Ini yang aku tunggukan dan inilah saat berakhirnya kisah antara aku dan Anjika.
Makhluk yang hanya berbentuk gabus hitam keluar dari pusaran air yang terjadi secara tiba-tiba. Makhluk ini aku tidak ketahui malah rupa dan wajahnya juga tidak dapat aku lihat, hanya kepulan gabus hitam berbentuk tubuh sahaja di hadapan aku.
"Anjika lari!" Teriak aku sambil menolak Anjika ke belakang setelah melihat makhluk hitam itu cuba menerkam ke arah Anjika.
Hampir separuh tubuh aku sudah dikuasai makhluk hitam berupa gabus itu. Aku melihat Anjika masih terpegun melihat ke arah aku.
"Larriiiiii!" Jerit aku ke arah Anjika kerana kini sudah hampir 70% tubuh aku tidak dapat dikawal. Aku yakin makhluk ini sedang cuba menguasai tubuh aku.
Anjika kelihatan sudah mula mengorak langkah berlari meninggalkan aku yang semakin dimamah kepulan gabus hitam.
Inilah saat terakhir sebelum hidup aku berubah, sebelum dunia aku berubah!
"Warrrghhhhhhh!" Satu suara bergema kuat, sebelum aku merasakan diri ini di lambung ke udara kemudian terbenam ke dalam sungai.
Gelap! Semuanya gelap!
Qershah~~ ..... Qershah~~~!
Huhhh! Mata aku terbeliak besar. Aku di mana!?
"Qershah, are you okay?" Seorang lelaki di hadapan aku menegur.
Aku tidak menjawab, terus aku melihat sekeliling. Semuanya berbeza! Arghh aku bermimpi lagi!
"Okay! Biasa la..mimpi ngeri!" Balas aku kepada sahabat serumahku.
"Haisshh kau ni, buat risau je. Dah pergi sambung tidur..." kata Zairul sambil kembali ke biliknya.
Aku melihat jam di dinding 02:17am. Mimpi ini masih menghantui hidup aku semenjak kemalangan 2 tahun lalu. Sebenarnya siapa aku? Siapa Daruis? Anjika?!
Aku bangun lalu melakukan solat tahajut, itu adalah yang akan aku lakukan apabila terjaga di waktu begini. Malah setiap doaku juga sama! Aku ingin tahu apakah kaitan hidup aku dengan Daruis. Atau sebenarnya memori aku yang sudah hilang!
*****
"Wei Qershah! Kau selalu mimpi apa sampai terjerit-jerit?" Tanya Zairul pada aku, sewaktu kami sedang duduk bersarapan.
"Hurm, mimpi yang sama! Macam aku ceritakan pada kau sebelum ni," kataku sambil menyuap makanan ke dalam mulut.
"Kau tak cuba faham atau cari maksud mimpi ke?" Zairul cuba membuatkan minda aku dijerat dengan mimpi.
"Abaikan jela. Aku pun tak kenal siapa Daruis dengan Anjika tu..."
"Tapi mimpi tu kerap sangat, dan paling pelik ia tetap sama!"
"Sekadar mimpi..," balasku sambil melihat ke arah wajah Zairul.
"Maknanya kau tak kisahlah?"
"Iya, sebab aku sendiri tak faham dengan mimpi tu!"
"Tapi sungai tu macam satu petunjuk!" Zairul cuba memanipulasikan fikiran aku.
"Hurm, entahlah. Biar jela!" Kataku sambil bangun dan bersiap untuk ke pejabat. Zairul masih merenung tajam ke arah aku. Dia seakan-akan cuba berharap aku mencari maksud mimpi itu.
Di tempat kerja, aku tidak dapat fokus pada tugasan kerja aku. Mimpi itu bermain di fikiran malah ditambah dengan kata-kata Zairul, "tapi sungai tu macam satu petunjuk!" Mungkin benar kata Zairul sungai itu mungkin adalah satu petunjuk kerana aku juga kemalangan terbabas ke dalam sungai. 'Aku kena mintak cuti dan pulang ke kampung!' Bisik hatiku nekad.
"Apa! kau nak balik kampung? Aku nak ikut..." kata Zairul apabila aku memberitahunya tentang hajat untuk pulang ke kampung beberapa hari.
"Eh, kan kau kerja?"
"Aku mintak cuti la, sebab cuti aku banyak lagi. Boleh ye aku ikut?" Rayu Zairul
"Okay boleh," kataku, tersenyum melihat gelagat Zairul.
Kali ini aku tekad akan mencari maksud mimpi dan siapa Daruis serta Anjika. Mereka telah menganggu tidur aku setiap hari malah hidup aku.
"Zairul, Kau dah siap ke?" Teriakku sambil memasukkan beg ke dalam kereta.
"Dah!" Balas Zairul, terkocoh-kocoh datang sambil memimbit beg bajunya.
Selesai semuanya aku dan Zairul terus memulakan perjalanan. Aku, dengan misi membongkar sesuatu yang menghantui hidup ini setelah sekian lama. Manakala Zairul pula sekadar mengikut aku pulang ke kampung, tetapi mungkin juga dia boleh membantu aku serba sedikit membongkar misteri diri aku.
*****
Sampai sahaja di halaman rumah, kelihatan ibu membuka pintu. Senyuman ibuku membuatkan hati ini tenang. Rindu pada masakannya dan bebelannya.
"Cantik juga kampung halaman kau!" Zairul memuji sambil terbaring menunggu matanya terlelap.
"Semua kampung halaman cantik, sebab itu namanya kampung" kataku sambil melihat ke siling rumah.
Bunyi cengkerik mengindahkan suasana malam itu, udara juga terasa segar. Seharian dari sampai tadi aku asyik bersembang dengan ibu. Begitulah aku apabila pulang ke kampung, pasti ada sahaja yang akan aku ceritakan kepada ibu.
"Arrghhhh, huh!" Mimpi yang sama menghantui aku. Zairul nyenyak tidur di sebelah, aku melihat jam di dinding menunjukkan pukul 3:04 am.
'Sampai bilalah mimpi ni nak ganggu hidup aku!' Bebel hatiku sambil berbaring, aku harap semua ini cepat berakhir. Pastinya esok aku akan ke sungai.
"Qershah, bangun dah subuh ni!" ibu mengejutku dari tidur untuk solat subuh.
Aku pantas bangun begitu juga Zairul, selesai mandi dan solat subuh. Aku duduk menjamu nasi goreng masakan ibu.
"Qershah, bila kita nak pergi ke sungai?" Tiba-tiba Zairul bertanya.
"Eh kita makan dululah, sungai tu tak lari." Balasku sambil menghulur pingan yang berisi nasi goreng ke arah Zairul.
"Kamu berdua nak ke sungai buat apa?" Tegur ibuku, apabila mendengar pertanyaan Zairul tadi.
"Tak ada apalah ibu, saja nak bawa Zairul ni tengok suasana kampung kita..." aku cuba menipu.
"Hati-hati..." pesan ibu kepada kami.
Aku hanya membalasnya dengan senyuman. Aku tahu ibu terlalu bimbang kejadian 2 tahun lalu akan berulang kembali.
Perlahan motor kapcai arwah ayahku membelah udara pagi itu. Aku membawa Zairul ke sungai di mana pengalaman pahit dalam hidupku. Dan bermulanya gangguan dalam tidur.
"Sinilah tempat aku terbabas dan terjunam ke dalam sungai..." kataku sambil memberhentikan motorsikal.
"Hummm, lepas tu? Macam mana kau terselamat?" Zairul cuba mencari sesuatu.
"Entahlah, ibu aku cakap. Ada orang selamatkan aku..."
"Kau tahu tak siapa yang selamatkan kau?"
"Tak, sebabnya aku tak sedar masa tu."
"Owh, hurmmm...." Zairul merenung ke arah sungai, tenungannya jauh.
"Kenapa? Apa yang kau fikirkan?"
"Aku tengah fikir macam mana kau boleh terselamat dengan keadaan air macam ni," kata Zairul sambil melihat air sungai yang agak deras.
"Takdir!" Balasku ringkas.
"Kau tak ingat selain tu?" Tanya Zairul lagi.
"Tak,"
"Cuba kau datang dekat sikit, cuba renung air sungai tu!" Arah Zairul.
Aku mengikut apa yang dicadangkan oleh Zairul, kaki aku melangkah perlahan mendekati tebing sungai manakala Zairul hanya melihat setiap gerak geri aku. Kemudian aku merenung ke arah air sungai, cuba mengingat kembali detik-detik di dalam mimpi.
"Anjikaa!..... Tungguuuuuu Daruuiissss," suara halus itu bergema di ruang angkasa.
Aku tergamam sambil mata melilau melihat kiri dan kanan. Suara siapa tadi!? Anjika? Gadis di dalam mimpi aku!
"Qershah? Kau okay tak?" Zairul menegur, apabila melihat aku mula panik.
"Eh, aku okay je. Cumaa...."
"Cuma apa?" Zairul pantas memotong kata-kata aku.
"Cuma aku dengar suara menjerit suruh tunggu"
"Kau kenal suara tu?" Tanya Zairul lagi.
"Hurmm macam kenal!"
"Siapa?"
"Daruis!"
Zairul melihat ke arah sungai, kelihatan dia juga cuba mencari sesuatu. Aku pula terus duduk dan menikmati udara segar kampung. Siapa sangka aku duduk meratapi sesuatu yang aku tidak tahu, malah sesuatu yang tidak ada kaitan denganku.
Aku melihat Zairul bersungguh-sungguh mencari apa-apa petanda atau petunjuk, sedangkan aku hanya duduk menikmati keindahan alam. Zairul tak ubah seperti seorang penyiasat, yang cuba membongkar sebuah cerita.
"Hei Zairul!, jom balik!" Aku teriak memanggil Zairul yang semakin obses untuk mencari sebuah cerita.
"Okay!" Sambil dia belari anak ke arah aku yang sudah siap sedia di atas motor kapcai.
Sedang aku melihat Zairul itulah tiba-tiba di seberang sungai kelihatan seorang gadis sedang berdiri melihat aku dan Zairul, tetapi aku tidak mengenali gadis itu. Mungkin orang baru di kampung ni.
"Haa cepatlah jalan," tegur Zairul selepas melihat aku masih tidak mengerakkan motor.
-bersambung-
==============================
Suntingan & Gambar: Nadey
Karya merupakan hak cipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment