LAPAR
Karya: MCN
=====================
Pada tahun 60-an di pedalaman Sarawak terdapat sebuah kampung yang dihuni oleh penduduknya dari pelbagai peringkat umur. Kampung tersebut diberi nama Kampung Ai (Bukan nama kampung yang sebenar).
Untuk sampai ke Kampung Ai perlulah menggunakan perahu dek kerana sungai juga merupakan laluan utama penduduk di kampung Ai. Kampung Ai adalah satu perkampungan yang terpencil dan agak jauh dari kampung lain. Penduduk kampung tersebut terdiri daripada orang Dayak.
Penduduk di kampung Ai masih mengamalkan ritual "miring" disebabkan kesemua penduduk kampung tidak mempunyai agama. Ritual ini bukanlah untuk memuja roh-roh orang yang dah meninggal tapi menurut kepercayaan suku kaum Dayak, ritual miring ini adalah untuk menyembah orang Kayangan terutamanya Keling dan Kumang. Bagi mereka, Keling dan Kumang merupakan pelindung mereka.
Namun yang hendak diceritakan adalah sebuah kejadian menyeramkan yang menimpa salah satu keluarga penduduk di Kampung Ai. Karut atau benar, mitos atau tidak, kita tidak tahu sejauh mana kesahihannya. Namun kisah ini diturunkan sejak dari zaman ke zaman.
Tersebutlah kisah, pada dahulunya ada dua adik-beradik yang bernama Pak Anab dan Pak Sani. Kedua adik-beradik ini digelar belangkas oleh penduduk kampung dek kerana keakraban mereka.
Dimana ada Pak Anab, di situlah ada Pak Sani. Pak Anab dan Pak Sani sudah mempunyai isteri. Pak Anab dan isterinya, Mak Anab sudah lama mendirikan rumah tangga namun belum dikurniakan cahaya mata. Manakala Pak Sani dan isterinya, Mak Sani sudah mempunyai dua orang cahaya mata walaupun usia perkahwinan mereka baru setahun jagung.
Pada suatu petang, Pak Sani menemui Pak Anab yang sedang ralit membaiki pukat kesayangannya. Pak Sani memberitahu hasratnya ingin ke kebun pada hari esok sebab sudah lama kebun peninggalan arwah orang tua mereka tidak dijenguk. Pak Anab setuju dengan adiknya dan bercadang ingin bertolak tengahari esok. Mak Anab hanya tersenyum dari jauh menyaksikan kemesraan dua beradik tersebut.
Hari semakin gelap, Mak Anab menyediakan barang keperluan mereka untuk perjalanan esok harinya. Namun Mak Anab tidak senang duduk dan memberitahu suaminya bahawa dia tidak sedap hati dan berniat untuk membatalkan saja perjalanan mereka. Namun Pak Anab menolak niat Mak Anab kerana Pak Anab tidak ingin mengecewakan hati adiknya. Mak Anab mengikut saja keputusan Pak Anab.
Pada keesokan harinya, mereka bertolak pukul 12 tengahari kerana perjalanan dari rumah ke kebun mengambil masa beberapa jam. Dalam perjalanan mereka mendengar 'Burung Ketupung' berbunyi.
Mereka berempat mengetahui itu adalah petanda tidak baik. Mak Anab yang dari semalam tidak sedap hati mengajak mereka untuk berpatah balik. Namun kerana perjalanan mereka sudah terlalu jauh Pak Anab mengajak mereka meneruskan saja perjalanan. Mak Anab terpaksa akur walaupun dia tahu akan terjadinya pekara buruk kepada mereka.
Sudah beberapa jam mereka berjalan menempuhi jalan yang berbukit-bukau akhirnya mereka sampai ke destinasi. Hari semakin senja, Mak Anab dan Mak Sani menyediakan juadah untuk makan petang.
Pak Anab sudah lama tidak kelihatan kerana mencari kayu api tadi. Mak Anab memanggil Pak Sani dahulu untuk makan, namun Pak Sani menolak kerana ingin ke sungai mengambil air. Mak Anab menegur Pak Sani untuk menjamah sedikit makanan tersebut kerana tidak baik (takut kempunan) namun Pak Sani tetap berdegil kerana terlalu teruja hendak ke sungai. Pak Sani berlalu begitu saja dan terus ke sungai.
Di sungai ,sedang leka Pak Sani mencedok air sambil bersiul tiba-tiba Pak Sani melihat kelibat Pak Anab di seberang sungai. Pak Sani memanggil Pak Anab agar balik ke seberang disebabkan hari semakin gelap namun Pak Anab hanya senyum dan bediri kaku.
"Oii Apai Anab, pulai ke seberai kitu nuan. Ari makin petang tu..." jerit Pak Sani.
(Oii Pak Anab, balik ke seberang sini, hari makin gelap ni)
Namun tiada sebarang jawapan dari Pak Anab. Pak Sani dari tadi terjerit-jerit dan akhirnya Pak Sani membiarkan saja Pak Anab di seberang. Pak Sani menyambung kembali kerjanya yang tergendala. Sudah selesai kerjanya, Pak Sani mengangkat air yang telah penuh diisinya, sewaktu hendak berpaling Pak Sani terkejut bukan kepalang kerana Pak Anab tiba-tiba saja ada di belakangnya!
"Kemaya nuan datai ditu Apai Anab? Ukai nuan ba seberai tadi?" Soal Pak Sani kebingungan.
(Sejak bila kau berada disini Pak Anab? Bukan ke tadi kau di seberang?)
Tiada sebarang jawapan dari Pak Anab, malah Pak Anab tersenyum sambil air liurnya meleleh ditambah pulak matanya merah menyala. Namun Pak Sani tidak sedar akan perubahan Pak Anab kerana dia berfikir bahawa Pak Anab sengaja hendak menakutkannya walhal Pak Anab sudah lama keluar mencari kayu api.
"Nama nuan isu pia? udah gak ai liur neritik. kamah udu"Pak Sani memerli kawannya itu.
( Engkau bisu ke? Dahlah air liur menitis. Pengotor)
Masih tiada jawapan dari Pak Anab.Tiba-tiba sepantas kilat, Pak Anab menerkam Pak Sani, terjadinya pergelutan di antara Pak Anab dan Pak Sani. Namun Pak Sani tidak mampu melawan kudrat Pak Anab yang jauh lebih kuat daripadanya. Akhirnya Pak Sani mati dicekik dengan keadaan lidah terjelir dan mata terbuka.
*Di pondok*
Pak Anab sudah lama balik dari mencari kayu api namun dia tidak nampak bayang tubuh adik kesayangannya. Pak Anab berasa tidak sedap hati kerana hari semakin gelap.
"Indai Anab, kini ke tunga Apai Sani tadi? Ari nyau ka malam tu nama nadai meda ia ayan?" Soal Pak Anab pada isterinya.
(Mak Anab, Pak Sani ke mana? Hari dah nak malam ni tapi kenapa tak nampak Pak Sani muncul?)
"Udah nurun ke sungai ia tadi ngambi ai ko aa tang alu empai pulai. Uji abas nuan kin..." balas Mak Anab.
(Pak Sani turun ke sungai tadi mencedok air katanya tapi belum balik. Engkau pergilah jenguk dia)
Tanpa berlengah lagi Pak Anab ke sungai. Setibanya di sungai alangkah terkejutnya Pak Anab melihat adiknya sudah kaku tidak bernyawa. Dengan kudrat yang ada Pak Sani mengendong mayat adiknya ke pondok dengan air mata yang mengalir. Inilah pertama kalinya air mata jantan Pak Anab jatuh. Manakan tidak, Pak Sanilah satu-satunya ahli keluarga yang dia ada.
Setibanya di pondok, Pak Anab memanggil Mak Anab dan Mak Sani. Pak Anab memberitahu bahawa Pak Sani sudah meninggalkan mereka. Jatuh terjelepuk Mak Sani, luluh hati seorang isteri bila mengetahui suami yang dicintainya sudah pergi menghadap Sang Pencipta. Mayat Pak Sani dibaringkan di tengah-tengah pondok.
"Indai Anab, Indai Sani peda seduai dulu niang tu. Aku ka pulai ke rumah ngagau ke tuai rumah enggau org bukai. Niang mesti bai pulai ke rumah malam tu. Pintu langkau tu kunci enti aku nurun. Enti nyema bisi orang datai kitu legi. Peda dulu mulut ia bisi garis tauka nadai, Enti nadai anang sesekali ngasuh niki, tu kampung puang tu..." pesan Pak Anab pada mereka berdua .
(Mak Anab, Mak Sani tolong tengokkan mayat arwah, aku nak balik ke rumah nak panggil tuai rumah ngan orang lain. Mayat arwah harus dibawa balik ke rumah malam ni. Pintu pondok ni kunci bila aku dah turun. Bila ada orang lain datang engkau harus memerhatikan garis mulutnya kalau tiada maka jangan benarkan mereka naik. Kita duduk di tengah hutan tebal ni)
Mak Anab dan Mak Sani tidak terdaya hendak menjawab Pak Anab. Tanpa membuang masa Pak Anab bergegas mendapatkan tuai rumah dengan orang kampung walaupun Pak Anab tahu bahawa balik ke rumah memakan masa beberapa jam namun Pak Anab bertekad membawa mayat adiknya pulang ke rumah kerana firasatnya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.
Mak Anab mengunci pintu pondok seperti yang diarahkan oleh suaminya setelah Pak Anab bergegas pulang ke rumah. Beberapa minit kemudian, Mak Anab terdengar namanya dipanggil.
"Indai Anab, ohh indai Anab. Buka pintu tu, aku tu tuai rumah!"
(Mak Anab, ohh Mak Anab. Buka pintu ni, aku ni tuai rumah)
"Au, nganti dulu!" balas Mak Anab
(Okay, tunggu dulu)
Mak Anab membuka pintu pondok. Dia melihat tuai rumah dan 3 orang lelaki yang tidak dikenalinya.
"Ni laki ku tuai rumah? Nama Apai Anab nadai enggau kita? Sapa sida 3 nya?"
(Suami aku ke mana tuai rumah? Pak Anab takde dengan korang ke? Lelaki 3 orang tu siapa?)
"Ehh, laki nuan asuh ku ngiga kayu tadi.Sida 3 tu kaban aku. Nama kedinga ku Apai Sani mati? Ni bangkai ia?"
(Ehh, suami engkau aku suruh cari kayu. Dorang bertiga ni kawan aku. Aku dengar Pak Sani mati, mana bangkai dia?)
"Din niang ba tengah langkau. Masuk Meh..." balas Mak Anab
(Arwah di sana, tengah pondok. Masuklah)
Mak Anab terlupa akan pesanan suaminya. Mak Anab juga terlupa bahawa tuai rumah dan 3 orang lelaki tersebut tidak mempunyai garisan mulut seperti manusia.
Selepas menerima jemputan Mak Anab untuk naik ke pondok, tanpa berlengah lagi Tuai rumah dan 3 orang lelaki tersebut masuk ke pondok lalu menghadap mayat arwah Pak Sani.
Mak Sani yang duduk di dapur bertanya siapakah gerangan yang datang. Mak Anab memberitahu bahawa Tuai Rumah dan 3 orang lelaki yang dia tidak kenali.
Mak Sani bercadang hendak membuatkan kopi untuk tuai rumah dan 3 orang lelaki tersebut manakala Mak Anab di ruang tengah bersama Tuai Rumah dan lelaki tersebut.
Kopi yang hendak disajikan oleh Mak Sani kepada tetamu mereka sudah siap. Mak Sani bercadang hendak menyajikan kepada tetamu tetapi langkahnya terhenti apabila melihat tuai rumah dan lelaki tersebut kelihatan pelik. Mak Sani memanggil Mak Anab ke dapur.
"Indai Anab, uji nuan meda sida 4 tak nyelai amai peda ku. Nama nyau meliur meda mayat Apai Sani?" Soal Mak Sani
(Mak Anab, cuba kau tengok mereka berempat kelihatan pelik. Kenapa sampai meliur lihat mayat Pak Sani?)
Mak Anab: "Ba ia Indai Sani, nyau nyeregu bulu pegu aku meda sida 4. Alu enda bemunyi.Bai aku berandau enda nyaut. Enda nyamai ati ku Indai Sani. Manah kita nurun ke baruh. Engka nya ukai sida tuai rumah enggau org rumah panjai"
(Yelah Mak Sani, bulu roma aku pun berdiri tengok mereka berempat tu. Diajak berbual mereka tak jawab. Aku tak sedap hatilah Mak Sani. Lebih baik kita turun ke bawah. Kemungkinan mereka berempat bukan Tuai Rumah dan orang Rumah Panjang)
Mak Sani setuju dengan cadangan Mak Anab, Mak Sani membawa anaknya turun ke bawah pondok. Nasib baik ketika itu anak Mak Sani yang muda tidak merengek dan tidak menyukarkan mereka turun ke bawah.
Melihat Mak Anab tidak muncul, Tuai Rumah cuba memanggil Mak Anab dan Mak Sani. Namun tiada sebarangan sahutan dari mereka. Tanpa membuang masa, tuai rumah dan 3 orang lelaki tersebut terus menjamah bangkai Pak Sani. Dengan rakusnya mereka memakan bangkai Pak Sani. Manakan tidak dari tadi mereka menahan lapar.
"Haha ari tadi aku ngetat ke nyawa ka majuh nuan. Baru diatu aku ulih ngasai ke isi nuan," ngomel Tuai Rumah berkenaan.
(Haha dari tadi aku menahan diri untuk memakan kau. Baru sekarang aku dapat merasakan daging engkau)
Di sebalik dinding pondok, Mak Sani dan Mak Anab menyaksikan sendiri bagaimana makhluk tersebut menjamu selera mayat Pak Sani. Inilah pertama kali mereka menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri kejadian yang tak tercapai dek akal manusia. Dulu mereka hanya mendengar khabar angin dari penduduk kampung bahawa 'antu gerasi' yang boleh menyerupai orang terdekat adalah wujud.
Mak Sani menahan sebak di dada. Sudahlah suaminya meninggal tidak tahu puncanya, mayat pula dijadikan santapan makhluk tersebut. Ngeri sungguh ngeri.
Sesudah puas meratah mayat Pak Sani, Tuai Rumah (palsu) sekali lagi memanggil Mak Anab dan Mak Sani. Sepertinya Tuai Rumah sudah tahu bahawa Mak Anab dan Mak Sani mengetahui bahawa mereka bukan manusia.
Tuai Rumah dan 3 orang lelaki tersebut kini menggunakan rupa mereka yang sebenar. Berbulu lebat seperti beruk, mata merah menyala dan air liur terus menerus meleleh.
Mak Anab dan Mak Sani lari meninggalkan pondok kerana makhluk tersebut menyedari mereka sudah mengetahui siapakah diri mereka. Mak Anab dan Mak Ani berlari sekuat hati sambil mengendong anak Mak Sani. Mereka berlari pulang ke rumah untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa seterusnya oleh makhluk berbulu itu.
Sudah jauh mereka berlari akhirnya Mak Anab dan Mak Sani hilang tenaga. Mereka tidak larat lagi untuk meneruskan perjalanan. Dari kejauhan terdengar seperti pokok dipatah-patah
Mak Anab dan Mak Sani tahu bahawa makhluk berbulu itu sedang mengejar mereka. Mak Anab dan Mak Sani terpaksa meneruskan larian mereka walaupun tenaga semakin berkurangkan.
Sedang asyik berlari tiba-tiba kaki Mak Anab tersadung batu menyebabkan Mak Anab terjatuh dan kakinya terseliuh. Mak Sani membantu Mak Anab berdiri tetapi Mak Anab mengarahkan supaya Mak Sani mencari bantuan. Mak Sani berlari sambil membawa kedua anaknya.
Mak Anab menyedari nyawanya seperti telur di hujung tanduk kerana makhluk itu semakin menghampirinya. Tidak jauh dari Mak Anab jatuh terdapat pokok buluh. Mak Anab teringat bahawa makhluk tersebut takut akan pokok buluh. Mak Anab berusaha berdiri dan mengheret kakinya lalu bersembunyi di sebalik pokok buluh.
Ya, makhluk itu tidak menyedari bahawa Mak Anab sedang bersembunyi di sebalik pokok buluh.
Tanpa membuang masa, makhluk tersebut mengejar Mak Sani dan nekad untuk meratah daging Mak Sani seperti mereka meratah mayat Pak Sani.
Mak Sani berlari membawa anak anaknya semampu yang boleh. Sedang ralit berlari, Mak Sani terlanggar sebatang tubuh. Mak Sani berpaling dan mendapati dia terlanggar Tuai Rumah (Asli). Mak Sani berasa lega kerana bertembung dengan manusia benar. Pak Anab berasa pelik dan bertanya kenapa Mak Sani meninggalkan pondok.
"Nama kedambi nuan kitu Indai Sani? Nama ninggal ke langkau? Ni bini aku?" Soal Pak Anab
( Engkau kenapa ke sini Mak Sani? Kenapa tinggalkan pondok? Isteri aku mana?)
"Ke..ke kami lari A..Aaa Apai Anab. Be..bebisi utai nya..nyaru baka ge..gamal tuai rumah. Be..bangkai aapai Sani uu... dah di empa se.. sida ia..." ujar Mak Sani gagap.
(kami lari pa.. Pak Anab. Aa.. ada benda menye..menyerupai mu..muka tuai rumah. Ba..bangkai pakk Sani su..dah di makan ooo..leh mereka)
Dari jauh Pak Sani, Tuai Rumah dan penduduk kampung terdengar seperti pokok patah dan pokok tumbang. Tuai Rumah terus membuka langkah dan membaca mantera. Dengan beberapa langkah Tuai Rumah meletakkan tapak tangannya ke tanah sambil membaca manteranya.
Usai mantera habis dibaca bunyi seakan-akan pokok patah dan pokok tumbang tidak lagi kedengaran. Tuai Rumah memberitahu Pak Anab supaya bergegas mencari Mak Anab manakala Mak Sani dan anaknya dipapah orang kampung balik ke rumah.
Pak Anab, Tuai Rumah dan Sali (orang kampung) mencari Mak Anab. Beberapa minit kemudian Pak Anab, tuai rumah dan Sali berjaya menemuai Mak Anab. Pak Anab memapah Mak Anab balik ke rumah dengan kadar segera sebab Tuai Rumah memberitahu bahawa makhluk tersebut akan datang lagi.
Sementara itu di rumah panjang, sebelum makhluk tersebut datang, Tuai Rumah dan beberapa orang tua kampung yang mempunyai ilmu, memagar kawasan rumah panjang tersebut. Wanita dan kanak-kanak tidak dibenarkan sama sekali keluar ke ruai walau apapun yang terjadi.
Selepas kawasan rumah panjang dipagar dan beberapa barang ritual disediakan. Beberapa minit kemudian haiwan peliharaan penduduk kampung mula kecoh. Tuai Rumah dan orang tua kampung mula membaca mantera untuk menghalau makhluk tersebut.
Setelah beberapa jam tuai rumah bertarung dengan makhluk tersebut akhirnya makhluk itu menyerah kalah dan meninggalkan rumah panjang mereka. Keadaan rumah panjang kembali seperti biasa.
Pengebumian Pak Sani.
Matahari kian meninggi, Tuai Rumah, Pak Anab dan beberapa orang kampung bergegas ke kebun Pak Anab untuk mengebumikan mayat Pak Sani. Beberapa jam kemudian mereka selamat sampai di pondok kebun Pak Anab.
Orang kampung bekerjasama mengebumikan mayat Pak Sani tidak jauh dari pondok tersebut. Mayat Pak Sani tidak dapat dibawa pulang ke rumah kerana keadaan mayat Pak Sani hanya tinggal tulang-belulang. Pak Anab sangat menyesal kerana tidak mendengar nasihat isterinya untuk membatalkan niat mereka untuk ke kebun.
*Nota kaki:
1. Bagi kepercayaan suku kaum Dayak, jika kita pergi ke hutan dan mendapati burung ketupung berbunyi. Jangan sesekali meneruskan perjalanan kerana besar kemungkinan sesuatu yang buruk akan terjadi.
2. Garis mulut: makhluk ghaib, jin yang menyerupai manusia tidak akan mempunyai garisan atas mulut seperti manusia biasa. (Kepercayaan orang Dayak)
3. Antu gerasi atau sebutannya hantu gergasi. Hantu ini boleh bertukar dalam pelbagai rupa, pelbagai saiz. Hantu ini memakan manusia, boleh menyembunyikan manusia.
4. Manusia yang dilihat oleh makhluk tersebut akan kelihatan seolah-olah khinzir. Bagi mereka, mereka memakan daging khinzir walaupun faktanya mereka memakan daging manusia.
5. Kisah ini ada diubahsuai kerana terlalu panjang terutamanya bahagian makhluk tersebut ke Rumah Panjang Pak Anab dan cara tuai rumah menghalau 4 ekor makhluk tersebut.
-TAMAT-
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment