Wednesday, 21 February 2018

KEMBALI - Akio Akiyama


KEMBALI
Karya Oleh: Akio Akiyama

===========================

Di satu sudut ruang tamu, aku rebahkan tubuh pada sofa yang empuk ini. Sambil di tangan masih memegang telefon bimbit yang sudah menjadi sahabat baik. Jejariku perlahan menelek satu per satu status-status ucapan awal tahun baru di Facebook. Macam biasa, bersepah ucapan tanpa jiwa. Semua itu hanya mengikut trending!.

Aku campak lembut telefon ke sebelah, bosan dengan status-status sama setiap tahun. Lalu aku mengiringkan tubuh, sambil kepala dibenamkan pada celahan kusyen, begitulah sifat aku bila ingin merasakan keselesaan.

"Mengapalah tahun baru ini aku perlu duduk sendirian di sini!" Lebih baik jika aku turut ikut Najwa balik tadi."

Aku merungut sendirian menyalahkan diri kerana tidak turut ikut balik ke kampung halaman. Aku sendiri pun tidak tahu mengapa aku boleh membuat keputusan untuk tidak ikut bercuti sekali.

Sedang aku sibuk menyalahkan diri yang dilanda kebosanan, aku terlena di sofa.

Tukk...tukkk...tukkk...., bunyi tingkap rumah diketuk. Selalunya yang mengetuk tingkap sebegitu adalah Najwa. Dalam keadaan mamai aku cuba bangun dari sofa.

"Kejap!" Jerit aku tanpa melihat ke arah pintu dan tingkap.

Dengan mata hanya dibuka sedikit, aku berjalan menuju ke tingkap untuk menjengah terlebih dahulu. Sebaik sahaja tingkap dibuka jantung aku bagaikan terhenti, mata aku yang tadinya kecil kini terbuka besar. Satu lembaga berbungkus dan digelar POCONG berdiri tegak di hadapan aku. Bau kapur barus dan setanggi menyelubungi rongga hidung.

Kaki aku kaku, terasa sendi-sendi semuanya rapuh hancur. Aku tidak tahu bagaimana orang boleh melarikan diri ketika bertemu hantu. Sedangkan aku hanya mampu terpaku dan yang paling penting, aku sudah mula rasa sekeliling aku gelap.

"Gedebukk!"

Aku pengsan, tanpa sempat aku menjerit tanpa sempat aku lari. Semuanya berjalan pantas.

Rintik hujan di atas bumbung zink menyebabkan aku tersedar dari pengsan. Aku tidak tahu waktu itu pukul berapa. Akuhanya boleh tahu sekarang di luar sedang hujan lebat atau mungkin sedang ribut.

Bulu roma aku mula berdiri, otak ligat mengingatkan kejadian yang baru sahaja berlaku tadi. Aku pun tidak tahu sudah berapa lama aku pengsan. Aku cuba bangun sambil tangan mengosok kepala. Terasa sakit mungkin akibat terjatuh tadi. Kaki aku mengigil kuat, begitu juga tangan aku. Nampaknya ketakutan masih kuat menguasai diri.

Perlahan-lahan aku bangun menuju ke dalam bilik, jantung berdebar kencang. Aku tidak berani memandang ke arah cermin tingkap. Aku terus baring dan menyelubung tubuhku dengan selimut.

"Eh bau apa pula ni?!"
"Kapur barus!.. Kemenyan..!"
"Memang tidak salah lagi, bau ini adalah bau mayat!"
"Ya Allah.... kau lindungilah aku dari gangguan iblis dan syaitan."

Tap!... Tap!...Tap!... Bunyi langkah semakin menghampiri. Aku seperti membungkus diri dari balutan selimut, merekotkan badan sekecil mungkin. Takut. Kedengaran derapan tersebut dalam kebasahan kerana bunyi setiap langkahnya seakan berbecak, basah.

"Shira!" Suara kasar perempuan memanggil aku. Herdikannya membuatkan aku semakin takut.

"Shiraa! Ini aku Najwa la!" Suara itu memanggil aku lagi, sememangnya suara itu milik Najwa. Tetapi Najwa sudah pulang ke kampungnya petang tadi. Tidak mungkin Najwa! Bisik hati aku.

"Hey! Shira, kau ni kenapa?!" Herdik Najwa sambil merentap selimut aku.

Apabila selimut aku terbuka, Najwa sedang berdiri di hadapan aku sambil basah kuyup. Rupanya memang Najwa, aku sangkakan hantu POCONG tadi yang cuba menipu aku.

"Eh.. kau kenapa Najwa? Maaf tadi aku kena kacau hantu weh!" Sambil aku meluru ke arah Najwa dalam ketakutan dan memegangnya, sebenarnya aku ingin memeluk Najwa kerana dia bagaikan penyelamat aku ketika itu.

"Aku tertinggal barang la..." kata Najwa sambil masuk ke biliknya lalu mencapai tuala untuk mengelap tubuhnya yang basah.

"Barang apa kau tertinggal?" Tanya aku serupa Mak Nam.

"Ni haa anak patung aku, nak letak kat kampung..."

"Laaa, sayang sangat dengan anak patung tu. Sampai sanggup patah balik! Gila!" Agak kasar aku berjenaka. Aku tahu Najwa memang terlalu sayang dengan anak patungnya itu, katanya itu adalah pemberian seseorang yang amat istimewa.

Aku duduk di ruang tamu bersama Najwa, sambil kami berborak kosong. Ketakutan yang aku alami tadi sudah hilang sikit demi sedikit manakala jam pun sudah menunjukkan pukul 5 pagi. Sengaja aku tidak ceritakan kepada Najwa apa yang aku nampak tadi. Khuatir dia akan ketakutan nanti.

"Eh okay la Shira, aku nak balik dulu. Family aku semua dah tunggu aku..." kata Najwa sambil bangun dari kerusi.

"Okaylah, hati-hati balik."

Najwa memandang ke arah aku dengan senyuman sebelum dia menutup pintu. Aku merebahkan kembali tubuh di kerusi sofa ruang tamu.

"Huhh! Pagi nanti aku kena balik kampung jugalah. Tak sanggup aku menempuh kejadian macam malam tadi," aku mula merancang sambil terbaring dan akhirnya tertidur.

=========================

Pagi ini semua barang keperluan dimasukkan ke dalam kereta, selepas menutup semua suiz plug elektrik. Aku bergegas pulang ke kampung halaman.

"Ibu!" Jerit aku selepas tiba di hadapan halaman rumah aku.
Aku berlari anak ke arah ibu yang datang dari tepi rumah,.
"Eh, kata tak balik?" Tegur ibuku selepas aku bersalaman.
"Nantilah Shira cerita dekat ibu..." kataku sambil menuju masuk ke rumah mengikut ibu. Beg baju aku campakkan sahaja di dalam bilik kemudian berlalu ke dapur.
"Mari makan ni, ada sikit lagi nasi goreng."
"Eh ayah mana ibu?"
"Ayah kau macam biasalah, ke kebun dia."
"Ohh,"

Aku makan nasi goreng yang dihidangkan oleh ibu, suasana kampung sememangnya tenang membuatkan aku lupa peristiwa semalam. Selepas siap makan aku capai surat khabar ayah, sambil lagak seperti seorang ahli perniagaan yang berjaya. Air kopi di sebelah dan tangan memegang surat khabar. Ibu hanya tersenyum melihat gelagat aku.

Ahad 31/12/2017- Setiawangsa, pada jam 7:30pm kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan lori di persimpangan jalan. Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, Lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 45 tahun itu hilang kawalan sebelum merempuh kereta yang dipandu oleh seorang remaja perempuan berusia 25 tahun. Pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori dirawat sebagai pesakit luar.

Surat khabar aku terlepas dari tangan aku apabila melihat wajah mangsa di suratkhabar itu adalah gambar Najwa!. Maknanya siapa yang aku temui pada pagi itu?

Aku terus menghubungi keluarga Najwa untuk mengesahkan apa yang telah aku baca di suratkhabar dan keluarganya mengesahkan itu adalah Najwa. Perlahan-lahan airmata aku mengalir, Najwa masih ingin berjumpa dengan aku. Dia sempat memberikan senyuman terakhirnya sebelum dia pergi buat kali terakhir. Adakah bau yang aku hidu malam itu sebagai petanda?


-TAMAT-
Suntingan Karya & Gambar (sumber dari internet) : Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: