JALAN KERAMAT
==========================
“Fairuz, cepat sikit! Kita dah lambat ni. Ayah berjanji dengan Pak Malik kau pukul lapan setengah. Ini dah hampir pukul sembilan.” Pungung Pak Imran dilabuhkan di atas tempat duduk motorsikal Yamaha C90 kepunyaannya.
“Ya, ayah. Kejap ye, Fairuz tengah ambil beg dompet ni.” Sahut Fairuz yang pada ketika itu masih lagi berada di dalam rumah. Fairuz terkocoh-kocoh berjalan menuju ke motorsikal ayahnya lalu meletakkan punggungnya betul-betul di tempat duduk belakang.
“Sudah Fairuz?” Pak Imran bertanya.
“Dah ayah.” Fairuz menjawab ringkas.
Tanpa berlegah lagi Pak Imran terus menekan gear motor tersebut lalu mereka berdua bergerak menuju ke rumah Pak Malik. Pada malam itu, Pak Imran ingin ke rumah Pak Malik kerana ada sesuatu perkara yang ingin dibincangkan. Kebetulan pula malam itu, Fairuz hanya duduk termenung saja di rumah. Oleh kerana kesian melihat Fairuz keseorangan di rumah lalu dibawanya juga Fairuz ke rumah kawan baiknya itu.
----
Kampung Parit Selamat, 8.55 minit malam
Bunyi motor kapcai Pak Imran memecahkan kesunyian di jalan Kampung Parit Selamat. Kesunyian pada waktu itu seperti menyambut bunyi bingit dari ekzos buruk motor Pak Imran. Sudah menjadi kebiasaan, motor kapcai Yamaha C90 selalu menjadi pilihan untuk digunakan dua beranak tersebut ke mana sahaja.
Walaupun keadaan motor tersebut sudah usang dengan ketiadaan lampu serta keadaan badan motor tersebut yang sudah seperti tidak sebuah motor. Namun, Pak Imran tetap menggunakan motorsikal tersebut. Bertemankan lampu picit berbaterikan energizer. Pak Imran menyuluh arah haluan mereka. Takut jikalau ada binatang melintas, itu yang dirisaukan.
Perasaan Fairuz pada malam tersebut rasa sangat berbeza dengan hari sebelum-sebelum ini. Dirinya seperti dikuasai rasa bimbang yang amat sangat seperti ada sesuatu kuasa jahat yang ingin mencengkam dirinya.
Sejak dari rumah lagi, Fairuz sudah berada dalam keadaan demikian. Namun, dek kerana telah diajak oleh ayahnya. Dia akur menemani ayahnya ke rumah rakan karibnya itu. Tak sampai hati melihat ayahnya menunggang sendirian pada waktu malam.
Kesan daripada kebimbangan yang amat telah menyebabkan Fairuz mengalami sedikit pening di kepalanya. Dipicit-picit kepalanya mengunakan jari-jemarinya yang kecil itu.
“Moga allah melindungi aku dan ayah, malam ini.” Getus di benak hati Fairuz sambil menarik nafas lalu dihembuskan dengan perlahan seraya jari-jemarinya tak henti-henti mengurut kepalanya.
“Ayah, Fairuz hari ini tak sedap badanlah. Nanti balik boleh singgah kedai tak? Nak beli panadol.” Tanya Fairuz kepada bapanya yang pada ketika itu tak henti-henti menyuluh jalan yang ingin dilalui.
“Urm..Baiklah!” Pak Imran menjawab dengan nada yang ringkas. Matanya masih difokuskan kehadapan dan sekali sekala dileretkan ke kiri dan ke kanan. Keadaan mata Pak Imran yang kurang awas ketika waktu malam digagahkan jua untuk melihat halangan yang berada di hadapannya.
---
Jalan Keramat, 9.10 minit malam
Mereka masih lagi dalam perjalanan ke rumah Pak Malik. Keadaan yang sunyi dan sesekali embun malam menjilat kulit Pak Imran dan Fairuz. Mereka mengigil menahan kesejukan.
Sampai di satu simpang. Pak Imran menghala motornya ke kanan dan mereka berdua sedang melalui jalan yang mempunyai lampu. Agak lebih terang Pak Imran mematikan lampu suluhnya lalu diletakkan ke dalam bakul motor. Sementara itu, Fairuz tak henti-henti memerhatikan keadaan sekeliling. Keadaan agak samar-samar. Kiri dan kanan mereka hanya berlatarbelakangkan kebun kelapa sawit.
“Jalan Keramat!” Fikir Fairuz. Jalan yang menjadi bualan hangat oleh penduduk kampung. Banyak kisah kisah misteri yang menjadi ketakutan oleh para penduduk ketika ingin mengunakan jalan tersebut.
Banyak gangguan yang berlaku di Jalan Keramat ini dan kebiasaannya yang diganggu ialah pengguna jalan tersebut. Jalan tersebut ibarat laluan utama jin untuk ke sesuatu kawasan yang lain.
Malahan, ada yang mengatakan pohon beringin yang tumbuh besar di tepi Jalan Keramat itu merupakan tempat penunggu jin. Pohon itu ibarat punca terjadinya gangguan. Sejauhmana kebenarannya, masih lagi menjadi tanda-tanya para penduduk kampung di situ.
“Laluan jin?” Fairuz terfikir lagi. Beliau seakan-akan memasuki kisah disebalik Jalan Keramat tersebut. Dia tidak dapat menghilangkan lakaran misteri yang bermain dimindanya. Walaupun cuba disapu dengan mengingati Tuhan. Namun, pemikirannya serta keimanannya ibarat dicarik dengan cakaran ketakutan yang melampau. Syaitan seperti membisik. Iblis tertawa dibalik ketakutan Fairuz. Peningnya semakin terasa.
Sementara itu, Pak Imran masih lagi tenang menunggang motorsikalnya. Keadaan kesunyian serta cerita misteri Jalan Keramat sepertinya tidak diendahkan. Bola matanya hanya memandang ke arah hadapan dan sesekali ke kiri dan ke kanan.
Pak Imran menoleh ke kirinya. Pergerakan seperti tertarik dengan sebuah pohon beringin yang tumbuh di bahu jalan. Terdapat satu pohon beringin yang cukup tinggi. Pak Imran tidak berfikir bukan-bukan. Cerita mengenai pohon tersebut diabaikan dari pemikirannya.
Di fikirannya hanya memikirkan bahawa pohon tersebut hanya pohon biasa yang tidak perlu ditakutkan. Namun, matanya masih lagi melihat ke arah pohon tersebut.
Belum sempat Pak Imran mengalihkan pandangan daripada pohon beringin tersebut.
“Astagfirullah…” Pak Imran beristigfar. Di hadapan Pak Imran tampak dua biji mata yang merah menyala sedang bertengek di atas dahan pohon tersebut. Mukanya nampak marah. Badannya penuh dengan bulu hitam. Teliganya seperti kelawar di malam hari, tapi lebih besar saiznya. Setinggi 9 kaki. Lembaga tersebut hanya memerhatikan Pak Imran dan Fairuz yang menggunakan jalan tersebut. Dalam daripada itu, Pak Imran terus membaca Qalam Allah. Dalam benaknya berharap bahawa anaknya tidak perasan akan kehadiran lembaga hitam yang bertengek itu.
“Kenapa ayah? Ada yang tak kena ke?” Fairuz mula nampak risau.
Ditambah lagi dengan cerita misteri yang masih berlegar di fikirannya. Fairuz bertambah takut. Punggungnya digerakkan ke hadapan sedikit. Lebih dekat dengan badan Pak Imran. Fairuz masih lagi tidak nampak kedudukan lembaga itu. Namun, akibat tindakan Pak Imran membaca kalimah suci Allah membuatkan Fairuz lebih tampak risau.
“Urm..tak ada apa-apa Fairuz. Ada kucing melintas tadi.” Pak Imran menarik nafas. Mulutnya tidak henti-henti memuji nama Tuhan. Tapi tak kuat sebutannya. Bunyinya seperti dihembus oleh angin malam yang mereka lalui. Sesekali Fairuz dapat mendengarnya. Pak Imran hanya memandang ke hadapan tanpa melihat lembaga hitam itu. Dia yakin lembaga hitam itu tidak menganggu dirinya dan Fairuz.
Fairuz hanya bersangka baik. Namun risau masih lagi membelenggu dirinya. Dalam fikirannya tertanya-tanya seperti ada yang disembunyikan ayahnya daripada pengetahuan beliau. Mereka dua beranak semakin jauh dengan pohon tersebut. Kelajuan motorsikal Yamaha C90 tersebut turut ditingkatkan kelajuan. Panas enjin dapat dirasakan. Asap berkepul-kepul keluar dari motor buruk itu.
Pak Imran masih lagi menenangkan hatinya. Dikuatkan batinnya supaya tidak runtuh pada ketakutan yang meluru. Keimanannya hampir membuncah dek syaitan yang ingin menjatuhkan kekuatan batin hamba-Nya.
Mujur Pak Imran masih kukuh dengan kepercayaan hanya takut pada Allah Yang ESA dan bukan pada makhluk yang durjana. Nafasnya kini kembali normal. Jatungnya mula berdegup seperti manusia yang lain.
Kini tidak sampai seratus meter lagi mereka sampai di rumah Pak Malik. Pak Imran tampak lebih tenang dan gembira untuk menemui rakannya. Manakala, Fairuz kelihatan agak resah. Dahinya berkerut. Tangannya digengam erat kerana kerisauan ketika itu. Kepalanya diarahkan ke rumah Pak Malik yang kian hampir dengan mereka berdua. Keresahan yang membelenggu dirinya terlerai tatkala Fairuz melihat Pak Malik berada di anjung rumahnya. Tegak leher Pak Malik melihat Pak Imran dan Fairuz tiba dirumahnya.
“Assalamualaikum…” Pak Imran memberi salam kesejahteraan kepada rakan karibnya. Salamnya disambut mesra Pak Malik seraya menjemput mereka masuk ke dalam rumah.
---
Rumah Pak Malik, 11.20 minit malam
Jam dinding menunjukan tepat pada pukul 11.20 minit malam. Pak Imran dan Pak Malik sedang rancak berbual. Tiada tanda berhenti. Cerita yang dibualkan seperti mempunyai rangkain cerita yang panjang. Fairuz kini lebih mendiamkan diri. Tiada perkara yang ingin dibualkan kepada mereka berdua.
Kini, pening kepalanya beransur pulih setelah Pak Malik memberikan panadol yang terdapat di rumahnya. Fairuz agak malu untuk meminta panadol daripada rakan ayahnya itu. Namun, Pak Imran sepertinya tidak segan silu meminta pertolongan. Kesian melihat Fairuz pening kepala semenjak keluar dari rumah. Disebabkan itu dia meminta panadol dari rakannya itu untuk diberikan kepada Fairuz.
Fairuz mengeluarkan telefon bimbit jenama Samsung J2. Button telefon ditekan untuk melihat ruang menu telefon bimbit berkenaan. Ibu jarinya menyentuh papan skrin lalu dialihkan ke sebelah kiri.
Terdapat aplikasi internet, ‘facebook’,’whatsapp’ dan ’instagram’. Ditekan aplikasi whatsapp, namun tiada siapa yang menghantar pesanan kepada Fairuz. Hampa. Kecewa. Riak wajah Fairuz berbaur bosan.
Dialihkan ke aplikasi ’facebook’. Paparan skrin telefon bimbitnya memaparkan jawapan yang mengejutkan Fairuz. “No Connection”.
“Lah, patutlah whatsapp tak masuk, facebook tak boleh buka. Internet tak ada rupanya.” Dipandang ‘line’ internet tidak menunjukan tanda-tanda internet akan timbul.
Kedudukan rumah Pak Malik yang berjauhan dengan kawasan pekan serta berkedudukan di hilir kampung memberikan kesan kepada jalur internet di kawasan itu. Fairuz menarik nafas panjang dan dihembuskan berat. Kepalanya digelengakan ke kiri dan ke kanan.
“Haih, apa nak jadi dengan kawasan ini. Setiap kali aku datang. Mesti tak ada internet. Sudahlah malam ini aku nak main ‘Game Mobile Legend’.” Fairuz mengeluh, dia seperti dirasuk jikalau tidak bermain permainan video kesayangannya itu. Rasa seperti akan mati jika seharian tidak bermainan permainan ‘Mobile Legend‘ tersebut. Fairuz sanggup bersengkang mata setiap malam hanya untuk memenangi perlawanan.
Fairuz masih lagi bersungut dengan telefon bimbitnya. Pak Imran nampak perubahan pada air muka Fairuz.
“Fairuz, kenapa ni? Ada yang masalah ke? Sekejap lagi kita pulang. Sabar…” Pak Imran bersuara agak tinggi sedikit.
“Tak ada apa-apa ayah. Baiklah…” Fairuz akur. Tidak berani dia menyatakan hasratnya untuk pulang lebih awal. Anggaunya bermain ‘Mobile Legend’ masih terkawal lagi. Dibelek-belek telefon bimbitnnya. Fairuz bersandar lalu didongakkan kepalanya melihat jam dinding yang kini menunjukan pukul 11.30 minit malam.
---
Pak Malik melihat kegalauan yang dialami oleh kedua-dua beranak tersebut. Pak Malik tidak dapat membaca apa yang menggangu fikiran Fairuz.
“Kalau tidak keberatan. Tidurlah di rumah aku malam ini, Imran. Fairuz pun boleh tidur sini. Lagipun Minah (Isteri Pak Malik) pergi rumah saudara aku di Pontian. Ada kenduri. Esok baru pulang. Kau dengan anak kau bolehlah tidur di bilik belakang. Esok pagi bolehlah pulang ke rumah. Kalau lihat jam pun sudah larut malam. Alangkah baiknya kau tidur di rumah aku sahaja malam ni..” Pak Malik mempelawa dua beranak tersebut untuk tidur di rumahnya apabila melihat malam kian mencapai kemuncaknya.
“Urm, tak apalah Malik. Kami rasa bersalah pula nak tumpang di rumah kau. Rumah kami pun, tidaklah sejauh mana. 15 minit saja dari rumah kau.” Pak Malik mengukirkan senyuman seraya dipandang pada Fairuz yang dari tadi membelek telefon bimbitnya.
“Alah, apa nak rasa bersalahnya Imran, kau dari kecil aku kenal. Zaman sekolah dulu pun. Rajin juga tidur rumah mak aku.” Jawab Pak Malik.
Pak Imran memandang semula ke arah rakannya, Malik.
“Haha, itu dulu Malik. Sekarang sejak dah berkeluarga. Susah nak tinggalkan rumah.” Pak Imran memberikan jawapan kepada rakannya, Malik. Lantas, Pak Imran mendongakkan kepalanya untuk melihat jam di dinding.
“Ok lah, Malik. Aku rasa nak pulang ke rumah. Maaflah tolak tawaran kau. Insyaallah lain kali ye.” Pak Imran menolak dengan penuh tertib. Dia tidak mahu rakan karibnya itu berkecil hati.
Jam menunjukkan 12.05 minit malam. Pak Imran dan Fairuz melangkah pergi bersama motorsikal kapcainya dengan perlahan. Ditinggalkan Pak Malik keseorangan di hadapan rumah. Fairuz kini kelihatan agak gembira kerana dia dapat pulang. Hatinya girang. Tidak sabar untuk mencapai hajatnya.
“Alhamdulilah, nasib baik tak tidur dekat sini. Kalau tak. Mahu aku meroyan sepanjang malam.” Kata Fairuz di hati kecilnya. Tangannya mengeluarkan semula telefon bimbit dari saku seluarnya. Dibelek-belek kembali.
---
Jalan Keramat, 12.11 minit malam
Pak Imran dan Fairuz masih menyelusuri Jalan Keramat. Keadaan semakin gelap. Bulan kelihatan kedekut memancarkan sinar ke lantai bumi. Lampu jalan raya yang berjarak agak jauh. Tidak dapat menerangi Jalan Keramat tersebut. Sama keadaan seperti tadi. Jalan masih sunyi. Tiada tanda-tanda manusia akan menggunakan jalan tersebut.
Pak Imran yang tadinya tenang ketika berada di rumah rakannya, kini terasa seperti ada sesuatu yang mengusarkan hatinya. Tidak sedap hati. Dikenangkan peristiwa yang berlaku ketika mula-mula ingin ke rumah rakannya, Malik.
Kejadian di mana lembaga hitam yang seakan-akan marah melihat mereka menggunakan jalan tersebut. Pak Malik hanya berdoa di hati kecilnya.
“Ya Allah, aku berlindung dengan kekuatan dan kekuasaan-Mu.” Doa Pak Imran di sudut hatinya. Pak Imran meneruskan perjalananya seraya menyuluh jalan yang berada di hadapanya. Jalan sunyi tiada penghuni.
Fairuz masih lagi sibuk membelek telefonnya. Yang diperhatikannya dari tadi ialah ‘”line internet”. Dia seperti tidak menghiraukan keadaan sekeliling yang semakin gelap.
Hampir 50 meter sudah kelihatan pohon beringin. Pak Imran cuba menyapu perasaan ketakutan yang menyelubungi dirinya. Hatta, dia berdoa, tapi sifat takut seorang manusia yang lemah imannya masih lagi terpancar dalam hati Pak Imran. Fairuz masih lagi sibuk dengan telefonnya. Motor Yamaha C90 Pak Imran dan Fairuz semakin hampir dengan Pohon Beringin tersebut.
Bola mata Pak Imran cuba dipaksa memandang ke hadapan tanpa mencuba melihat pohon tersebut. Keadaan semakin gelap apabila tiba-tiba lampu suluh Pak Imran seperti kehabisan tenaga. Lampu jalan raya tersebut, turut terpadam.
Gelap.
“Alamak bateri habis ke? Kenapa masa macam ini? Ini satu lagi. Kenapa lampu jalan pun terpadam? Macam mana aku nak tengok jalan ni?” Merungut Pak Imran.
Pak Imran mengecilkan matanya untuk melihat halangan di hadapan. Lampu suluh ditekan butang buka berkali-kali namun gagal untuk menghidupkan lampu tersebut. Diletaknya lampu tersebut di dalam bakul motor.
Fairuz mulai cemas. “Ayah, kenapa padam lampu suluh? Satu lagi, lampu jalan pun terpadam. Ayah kenapa ni?” Fairuz melihat keadaan sekeliling. Dia memerhatikan pohon beringin yang kini berada berberapa meter dari motor yang dipandu ayahnya.
“Tak tahulah, bateri habis agaknya..” Pak Imran menjawab sambil dia memerhati keadaan dihadapannya.
“ALLAH…” Suara Pak Imran tiba-tiba terpacul dari mulutnya. Suara itu ibarat pentanda buruk sedang berlaku kepada dua beranak itu. Pak Imran tidak dapat mengendalikan motorsikalnya.
Ketika itu, motosikalnya seperti dikendalikan seseorang sehinggakan Pak Imran tidak mampu menghalakan motosikalnya ke hadapan. Fairuz cemas. Dipeluk ayahnya seraya mulutnya juga mengeluarkan kalimah-kalimah suci.
Motorsikal tersebut menghala ke pohon beringin yang besarnya dua kali pemeluk manusia. Puas Pak Imran menekan brek motorsikalnya. Namun usahanya sia-sia sahaja. Kelajuan semakin bertambah Pak Imran tidak mampu berbuat apa-apa. Fairuz pejamkan matanya dan dipeluk erat ayahnya.
“ALLAHUAKHBAR…” Motorsikal Yamaha C90 menghentak keras pohon beringin tersebut. Pecah bahagian depan motorsikal tersebut. Pak Imran terlepas dari kawalan motorsikal lalu terpelanting 10 meter dari Pohon Beringin. Kepalanya jatuh dahulu. Tak sempat ditahan dengan tangan lalu terhantuk keras pada sebuah batu keras.
Darah memercik di sekitar batu tersebut. Darah mengalir deras dari kepala Pak Imran. Di bahagian betisnya terasa amat sakit seperti dicarik dengan kuat. Kulit pada bahagian betisnya tercarik 10 inci dari lututnya sehingga menampakan dagingnya. Darah perlahan keluar dari celah-celah kulitnya. Pak Imran lemah. Badannya tidak berdaya.
Matanya sempat dialihkan padangan ke arah motosikalnya untuk melihat keadaan Fairuz namun tindakannya tidak mampu melangkaui kudratnya ketika itu. Terasa sakit di bahagian kepalanya semakin teruk. Kepalanya sukar menoleh ke arah motorsikal untuk melihat kedudukan Fairuz.
Pak Imran hanya mampu memandang ke arah langit. Dapat dilihat melalui mata hitamnya asap hitam bercantum di atas kepalanya. Asap itu bercantum antara satu sama lain lalu membentuk satu lembaga hitam yang besar. Tingginya lebih kurang 9 kaki. Terbeliak biji mata Pak Imran melihat mahkluk itu.
“Ini makhluk tadi…” Pak Imran kini kian lemah. Banyak darah keluar dari kepalanya. Melihat lembaga itu. Dia hanya mampu mengutus seuntai doa dari hati kecilnya. Matanya kian layu. Dilihat bumi seperti melambai. Ajal seperti memanggil. Pak Imran menutup mata. Semakin gelap. Kelam lalu sunyi.
Lembaga hitam tersebut memandang dengan gembira dan angkuh melihat jasad Pak Imran yang kaku di lantai bumi. Lagak lembaga hitam tersebut seperti dia mempunyai kuasa untuk menghacurkan manusia. Tertawa besar sambil kedua-dua tangannya dikuakan mendada.
Lembaga hitam itu memandang di satu sudut pohon beringin. Dilihat Fairuz sedang mengerang kesakitan. Lembaga itu kelihatan marah apabila melihat Fairuz masih bernafas.
Lembaga hitam tersebut memerhati tanpa ada tindakan yang seterusnya. Nafasnya mendegus. Kuku yang tajam dan panjang dikeluarkan dari jari jemarinya. Semangat membunuh dan menyesatkan manusia kian membuak.
Fairuz menahan kesakitan akibat hentakan kuat di bahunya. Jasadnya kini longlai di bawah pohon beringin yang besar itu. Perkara pertama yang terlintas di kepalanya ialah ayahnya. Dia tidak dapat melihat di mana ayahnya terjatuh ketika motorsikalnya melanggar pohon beringin itu.
Ketika kejadian pelanggaran itu berlaku, Fairuz terlepas daripada memeluk ayahnya. Bola matanya cuba melihat keadaan sekeliling namun belum menemui hasil yang diharapkan.
Fairuz bangun walaupun berada dalam kesakitan di bahunya. Mujur kakinya masih lagi boleh digerakkan. Dia bangun penuh gagah menapak beberapa langkah dari tempat dia terjatuh. Matanya memerhati disetiap semak yang berhampiran. Keadaan gelap meyukarkan dia melihat keadaan sekeliling.
Fairuz cuba kembali ke arah pohon beringin itu untuk mencari lampu suluhnya walaupun dia tahu lampu itu tidak boleh dihidupkan setelah diberitahu oleh ayahnya tadi.
Belum sempat dia memulakan langkah, badannya dihentak oleh angin yang kuat dari sebelah kanan. Fairuz terpelanting beberapa kaki.
“Aduh, sakitnya. Apa yang langgar aku tadi? Kuat betul..” Fairuz cuba bangkit seraya perlahan lahan melihat pohon beringin tersebut. Alangkah terkejutnya, selang empat kaki dihadapannya terdapat mahkluk yang besar dan hitam sedang memerhatikannya.
Fairuz terundur beberapa langkah ke belakang lalu terjelepok ke tanah.
“Ya Allah!,"
"Siapa kau? Kenapa engkau ganggu aku?” Fairuz berkata dengan gugup sambil matanya ditutup. Perasaan ketakutan yang melampau kini merasuk jiwa Fairuz.
Dibuka matanya perlahan lahan. Lembaga hitam itu merungkai badannya menjadi asap lalu terlerai dari bentuk aslinya. Asap itu menongkah arus lalu menuju ke hadapan Fairuz. Asap itu bercantum dengan pantas membentuk separuh badan Lembaga tersebut.
“Arghh…Manusia lemah.” Mahkluk tersebut menjerit dengan kuat. Fairuz tertunduk ketakutan.
Lembaga hitam tersebut perlahan-lahan menggerakan kepalanya ke arah telinga kanan Fairuz.
“Wahai manusia, adakah engkau takut kepadaku?” Suara itu seperti berbisik tetapi penuh dengan makna. Fairuz kaku matanya ditutup. Perlahan-lahan dia bersuara.
“Aku tidak takut kepada engkau wahai mahkluk terlaknat. Aku hanya takut pada ALLAH!” Fairuz menjawab dengan terketar-ketar. Lidahnya seperti kelu untuk menjawab persoalan lembaga hitam itu.
Lembaga hitam itu tertawa dan mengilai-gilai seraya terbang mengeliling Fairuz.
“Engkau manusia lemah. Mulut sahaja berkata-kata. Tetapi hatimu penuh dengan ketakutan. Takutlah kepadaku wahai manusia. Nescaya engkau akan selamat daripada aku membunuhmu.” Lembaga itu berkata lagi dan kini lebih kuat serta angkuh. Gayanya seperti dia yang berkuasa dimuka bumi.
“Aku hanya takut ALLAH. Dia mencipta aku dan dia juga yang mencipta engkau.” Kini Fairuz lebih yakin dengan apa yang keluar dari mulutnya. Perasaannya perlahan-lahan merintih pada sang pencipta. Mohon diselamatkan dari kekuasaan lembaga hitam tersebut.
Lembaga hitam tersebut kembali ke bentuk asalnya setelah terbang mengeliling Fairuz. Kini dia amat marah. Perasaan bencinya serta ketaatannya pada perintah iblis membuatkan dia berniat ingin membunuh dengan melapah badan Fairuz. Tangan kanannya kini dihayunkan dengan kuat lantas mengenai badan Fairuz.
Fairuz terpelanting jauh. Badannya terseret beberapa kaki, dipermukaan kulitnya seperti digilis dengan pisau yang tajam. Batu-batu kecil dipermukaan jalan tersebut bagai menambah kesakitan pada badannya.
"Celaka punya manusia! Engkau manusia lemah. Tiada siapa yang dapat melawanku. Aku yang berkuasa di sini. Lihat sahaja sekarang tiada siapa yang mampu membantu engkau”Lembaga hitam itu angkuh dengan kekuasaanya seraya menapak beberapa langkah dan kali ini berniat ingin membunuh Fairuz dengan libasan kukunya.
Fairuz tidak berdaya lagi. Dia hanya mampu berdoa sahaja. Kudratnya tidak mampu digerakkan selepas menerima libasan pertama dari Lembaga hitam tersebut.
“Ya ALLAH, lindungi hambamu yang lemah ini. Sesungguhnya aku sedang dizalimi. Lindungilah aku yang ALLAH. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Mu Ya ALLAH YANG MAHA TINGGI lagi AGUNG.” Fairuz mengucapkan dengan penuh rintihan seraya membaca beberapa ayat suci al-quran yang diingatnya. Fikirannya kini penuh dengan tawaduk meminta pertolongan ALLAH. Fairuz diambang kematian namun kepercayaannya kini bertambah kuat dengan kekuasaan tuhan.
“Allahuakhbar…” Fairuz melaung dengan kuat. Angin seperti menderu kuat. Awan beralih pantas. Kini lembaga hitam itu berada pada jarak yang sesuai untuk membunuh Fairuz.
“Matilah engkau wahai manusia.” Lembaga itu mengangkat tangannya kebelakang dan belum sempat dia melibaskan pukulan mautnya.
Satu pukulan kuat yang datang dari arah bawah kepalanya membuatkan lembaga hitam itu terpelanting ke arah pohon beringin itu. Badannya terhentak kuat lalu timbul api di badannya. Api itu merebak cukup pantas badannya terbakar dengan api yang cukup marak. Lembaga itu meronta-ronta kesakitan. Ketika dia hampir menemui ajalnya lembaga itu sempat berteriak dengan kuat. Seperti amaran yang tersurat.
“Aku akan hancurkan hidupmu manusia. Akan datang bala tenteraku kepada keturunanmu” Suara lembaga itu semakin perlahan. Lalu badannya hilang bersama api yang membakar tubuh lembaga tersebut.
“Alhamdulilah, ya ALLAH” Fairuz bersyukur. Fairuz amat berterima kasih kepada Allah kerana melindungi dirinya. Namun, kegembiraannya belum sepenuhnya, hati Fairuz masih lagi berwalang tatkala teringat akan ayahnya, namun kudratnya tidak mampu segagah tadi. Fairuz lemah. Matanya tertutup, nafasnya dihembus dengan perlahan. Angin pada malam itu seperti membawa berita. Tenang. Sunyi.
---Jalan Keramat, 12.19 minit malam---
-TAMAT-
Gambar: Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment