Sunday, 11 February 2018

LELAKI TUA - Mat Lester


LELAKI TUA
Karya Khas Ahli baharu AANRC : Mat Lester
===================================


Sebuah kereta Myvi berwarna kuning berhenti betul-betul bersebelahan dengan sebuah pondok pengawal keselamatan. Cahaya lampu depan Myvi itu menerangi pagar berpalang yang merupakan satu-satunya jalan masuk ke dalam kawasan apartment.

"Aduh! Makan gaji buta je tahu."

Rungut si gadis pemandu Myvi sebaik saja dia melihat palang pagar di depan keretanya itu langsung tidak bergerak.

Gadis itu bengang. Dia menghentak butang hon pada stereng berulang-ulang kali.

Pon..pon..pon!!!!!!!

Kebingitan bunyi hon yang bertalu-talu menyebabkan pengawal keselamatan lelaki yang sedang tidur di atas kerusi dalam pondok keselamatan itu terus terjaga.

Dia terpisat-pisat. Dalam keadaan sedikit kelam-kabut, butang suis pagar di atas meja terus ditekan. Palang pagar bergerak ke atas dengan perlahan.

Cermin tingkap pemandu Myvi diturunkan. Gadis pemandu Myvi yang berkulit cerah itu mengukir senyuman kepada pengawal keselamatan. Daripada segi raut wajahnya, dia seperti berusia dalam lingkungan 20an.

Muka pengawal keselamatan itu nampak ketat. Sebabnya, dia tahu senyuman yang terukir di bibir si gadis Myvi itu tidak lain tidak bukan hanyalah satu senyuman yang berbaur sindiran semata-mata.

"Esok buat lagi ya. Takpe, jadi guard ni kerja dia memang tidur je. Cukup bulan dapat gaji." Sindir si gadis Myvi sambil menaikkan semula cermin tingkap.

Myvi itu mula bergerak melepasi pagar berpalang sambil diperhatikan oleh pengawal keselamatan. Dia melihat jam merah bulat yang tergantung di dinding pondok.

Sudah pukul 4.30 pagi.

"Hek eleh. Poyo. Pergi clubbing lah tu. Pastu nanti sibuk up status dekat Fb, lelaki yang baik takkan tanya kisah silam perempuan. Opah kau." Cebik pengawal keselamatan itu. Dia kemudiannya kembali menyandarkan badannya pada kerusi.

Sementara itu, Myvi kuning tadi diparkir secara mengundur di tempat biasa. Radio, penghawa dingin diikuti enjin kereta dimatikan. Tangan kiri si gadis mengatur cermin pandang belakang. Tangan kanan pula sibuk mengemaskan rambutnya yang hitam pekat.

Menerusi cermin pandang belakang kereta itu, si gadis Myvi tiba-tiba terlihat seekor makhluk aneh berkepala botak serta bertelanjang bulat sedang berdiri di luar belakang keretanya.

Dari segi ketinggian makhluk itu pula menyamai ketinggian normal manusia biasa. Kedua-dua matanya putih dan telinganya pula tajam.

Gadis itu menurunkan tangan kirinya dari cermin pandang belakang. Dia mengalihkan sebentar pandangannya dari cermin . Matanya berbinar. Ketakutan sedang menyelubungi dirinya.

Si gadis cuba memberanikan diri untuk menoleh ke arah belakang. Tapi, kelibat makhluk yang dilihatnya tadi sudah langsung tidak kelihatan. Dia menarik nafas lega, cuba menyedapkan hati, mungkin apa dilihatnya tadi sekadar mainan perasaan.

Si gadis terus mencapai tas tangan merah jambu atas kerusi penumpang sebelah kerusi pemandu.Pintu pemandu kereta Myvi dibuka dan ditutup dengan hempasan yang agak kuat. Gadis itu terus berjalan dengan laju menuju ke salah satu blok apartment.

Rasa tak sedap hati, gadis itu melajukan pergerakannya. Kini, si gadis berdiri depan lif. Butang anak panah lif ditekan.

‘Ting!’

Pintu lif terbuka. Gadis itu bergegas melangkah masuk ke dalam lif.Semasa pintu lif hendak tertutup, si gadis sempat melihat seekor kucing hitam mengiau kira-kira 50 meter dari luar lif.

“Ngiau....ngiau....ngiau...ngiau…”

Pintu lif tertutup rapat. Suara kucing tadi tidak lagi kedengaran.

Lif bergerak ke atas.

Ting!

Butang lif nombor 4 menyala.

Pintu lif terbuka. Si gadis melangkah keluar dari lif dan terus berjalan menuju ke arah apartmentnya. Entah kenapa dia merasakan dirinya seolah-olah sedang diekori seseorang.

Pantas dia menoleh ke belakang. Matanya tajam melilau ke sekeliling.Tapi, tiada sesiapapun di tingkat empat apartment itu. Si gadis memalingkan semula muka ke depan. Dia berjalan semula dan akhirnya sampai ke pintu apartment..

Zip tas tangan dibuka. Tangan si gadis menyelongkar barangan dalam tas tangan. Kunci pintu apartment dikeluarkan. Kunci itu dimasukkan ke dalam lubang kunci pintu apartment.

Pintu apartment yang bernombor 4-A-17 dibuka.

Dengan terkocoh-kocoh, si gadis bergegas masuk ke dalam, kemudian menutup dan mengunci pintu apartmentnya itu. Dia menyandarkan badan ke pintu dan mengurut dada. Lega rasanya bila berjaya menapak masuk ke dalam rumah.

“Arrghhhhhh!!!!!!”

Gadis itu terjerit. Terperanjat dia tatkala terpandangkan sesuatu di hadapannya. Makhluk yang berdiri di belakang luar kereta Myvi tadi muncul semula betul-betul di depan si gadis.

Mulut makhluk itu ternganga luas, menampakkan kedua-dua gigi taring serta air liurnya yang meleleh-leleh.

"Roarrrrrr!" Sergah makhluk itu.

Si gadis hanya mampu tergamam. Mulutnya terkunci. Kakinya terasa amat berat. Makhluk itu semakin lama semakin dekat dan menghimpit dirinya. Gadis itu lemas. Nafasnya tersekat. Air matanya menjejeh keluar. Hatinya kini cuma mengharapkan dirinya akan selamat dari cengkaman makhluk itu…

***

Jari jemari Detektif Thariq bergendang di atas permukaan meja. Dari tadi lelaki yang duduk di hadapan Detektif Thariq dalam bilik soal siasat itu menundukkan kepalanya.


"Come on Sham, jangan buang masa kat sini. Banyak lagi benda yang aku nak kena uruskan. Kalau kau tak nak cerita, straight to the point. Kau beritahu je aku, Julia sekarang ada kat mana?" Soal Detektif Thariq.

"Sumpah! Aku memang tak tahu." Nafi Sham sekeras-kerasnya tanpa memandang wajah Detektif Thariq.

"Okey, masalahnya sekarang, kau adalah orang yang terakhir dilihat keluar bersama dengan Julia pada hari tu. Siap sempat pergi clubbing sama-sama." Tutur Detektif Thariq lagi.

Sham ditahan oleh pihak polis kerana disyaki sebagai suspek utama dalam kes kehilangan tunangnya, iaitu Julia. Sejak sebulan yang lepas, Julia hilang tanpa sebarang perkhabaran berita.

Sampai sekarang, dia masih belum ditemui. Kali terakhir kelibat Julia dilihat secara sahih adalah di depan pondok keselamatan dalam kawasan apartment tempat dia tinggal.

Apa yang menjadi misteri, meskipun tas Julia ditemui berada di atas lantai berdekatan dengan pintu apartment sewanya, tiada satu pun barangan berharga yang dilaporkan hilang. Lagi aneh, tiada sebarang tanda pecah masuk mahupun kesan pergelutan dalam apartment Julia itu.

"Jadi sekarang kau memang tak nak beritahu aku apa-apa?"

Sham hanya membisu.

"Okeylah..tak apa. Terpulanglah kalau kau nak terus macam ni. Aku tak rugi apa-apa pun."

Detektif Thariq kelihatan hendak meninggalkan Sham. Namun, belum sempat Detektif Thariq bangun ,Sham mendongakkan kepala dan bersuara semula.

"Ok, ok...Kalau aku ceritakan pun, kau akan percaya tak?"

"Aku tak janji, tapi semua tu bergantung dengan cerita kau." Jawab Detektif Thariq ringkas sambil melabuhkan punggung ke kerusi semula.

Tanpa melengahkan masa, Detektif Thariq meletakkan pita perakam suara di atas meja.

"Ada dua jenis cerita. Pertama, cerita benar dan kedua, cerita palsu. Kau bercakap benar, kau untung, kau bercakap bohong, kau rugi. Mula bercerita dalam kiraan tiga, dua, satu...”

Butang ‘rec’ pita perakam suara ditekan. Sham menghembuskan nafas dengan perlahan.

"Semuanya bermula selepas aku dan Julia dalam perjalanan menuju ke Pantai Air Papan kat Mersing...

***

Seawal jam 7.00 pagi, kereta Myvi kuning milik Julia yang dipandu oleh Sham melalui jalan kampung menghala ke arah Mersing. Suasana di kawasan jalan kampung itu agak lengang.

Lampu isyarat kiri Myvi itu berkelip-kelip. Sham membelokkan kereta memasuki ke dalam stesen minyak Petros. Dia keluar dari kereta tanpa mematikan enjin dan terus berjalan menuju ke tempat juruwang.

Sham bukannya nak bayar duit minyak, tapi sekadar bertanya sesuatu kepada juruwang itu. Selesai bertanya, Sham masuk semula ke dalam kereta.

Julia yang duduk atas kerusi penumpang sebelah sedang asyik berswafoto dengan telefon pintarnya. Sham hanya menggelengkan kepala melihatkan telatah Julia. Myvi dipandu keluar dari stesen minyak.

"Betul kan jalan ni bie?" Soal Julia. Dia tidak lagi berswafoto. Sudah bosan barangkali.

"Ya. Jalan ni straight . Dalam 30 kilometer je lagi."
"Jauh lagi..hm..penat dah ni ha.."
"Habis, ingat bie tak penat ke, ha?" Sergah Sham tiba-tiba.
"Apa bie ni? Melenting tak tentu pasal ni dah kenapa?"

Julia terus mencebikkan bibir dengan muka ketat. Melihatkan riak wajah Julia sebegitu, timbul rasa kesal dalam hati Sham kerana terlepas cakap kasar. Tangan kiri Sham cepat-cepat mengenggam erat tangan kanan Julia.

"Sorrylah, bie tak sengaja. I Love You so much sayang..." Pujuk Sham kembali.
Hati Julia terus cair.

"Hmm...Janganlah macam tu dah. Sayang tanya je pun." Tutur Julia dengan nada manja.
"Ya, ya..sorry..salah bie. Mintak ampun.''
Sham menundukkan kepala sedikit untuk mencium serta menggigit manja tangan Julia sekali.

"Argh! Bie ni... Hahaha.." Julia menjerit kecil sambil tergelak.
Tiba-tiba Julia ternampak seorang lelaki tua berambut uban putih sedang berlari melintasi jalan di depan mereka dalam keadaannya bertelanjang. Gelak tawa Julia tadi bertukar menjadi jeritan panik.

"Bie...!"
Sssretttttt....!!!!!!

Sham yang terkejut dengan jeritan nyaring Julia lekas menekan brek. Sepertinya, orang tua yang berlari tadi telah dilanggar. Sham dan Julia saling berpandangan antara satu sama lain. Kedua-dua mereka tak berani nak keluar dari kereta.

“Bie..ke..luar..lah te..ngok.” Suara Julia terketar-ketar.
Sham yang masih terperanjat menggeleng-gelengkan kepala.
“Kita blah jelah. Lagipun tak ada orang tengok pun.” Kata Sham.
‘Tok... tok... tok.’

Cermin tingkap di sebelah Julia diketuk. Sham dan Julia sama-sama menoleh. Rupa-rupanya, orang yang mengetuk cermin kereta adalah lelaki tua yang baru saja mereka telah langgar tadi. Mukanya penuh berlumuran dengan darah.

“Bie!” Julia menjerit dengan kedua-dua matanya terpejam. Sham memeluk badan tunangnya itu dari belakang.

“Rileks yang, rileks...” Sham cuba menenangkan keadaan.

Lelaki tua yang berdiri di luar tingkap menjelirkan lidah lalu menjilat cermin tingkap tempat Julia duduk. Dia kemudian menuding jari telunjuknya ke arah Julia. Julia memejamkan mata.

Sham mula berasa seriau. Kakinya pantas menekan pedal minyak.

Vroooom...

Myvi dipecut laju meninggalkan lelaki tua itu. Julia kembali membuka mata, dan memandang cermin sisi. Kelibat lelaki tua tadi sudah ghaib.

***

“Lepas tu?” Soal Detektif Thariq.

“Tu jelah yang berlaku. Masa balik, kitaorang tak guna jalan sama.” Balas Sham.

“Apa yang kau merepek ni? Cerita kau tergantung. Kau cuba nak main-mainkan aku ke apa?” Detektif Thariq berang.

“Aku tak merepek. Apa yang aku cerita ni benar-benar berlaku.” Sham mempertahankan diri.

“Aku boleh agak apa kesimpulan cerita yang kau cuba sampaikan. Lelaki tua tu ada kaitan dengan kehilangan Julia?”

Sham mengangguk kepala.

“Sejak kejadian tu juga, hampir tiap malam Julia mengigau. Dia asyik bermimpi lelaki tua tu.” Sham kembali bercerita.

“Mimpi apa?” Detektif Thariq ingin tahu. Dia saja melayan cerita Sham yang dianggapnya memang mengarut.

“Kena rogol dengan lelaki tua tu.” Jawab Sham.

“Tiga hari sebelum Julia hilang, aku temankan Julia pergi berjumpa dengan seorang bomoh ni untuk berubat. Bomoh tu beritahu yang nasib kami memang malang sebab terserempak dan terlanggar lelaki tua tu..”

“Bomoh tu dapat ubati Julia tak?” Detektif Thariq inginkan kepastian.

“Lepas jumpa bomoh tu, Julia cakap yang dia tak ada mimpi dah lelaki tua tu. Cumanya bomoh tu ada pesan, kena sentiasa berhati-hati. Lelaki tua tu akan terus mencari dan mengejar sesiapa saja yang dia inginkan. Apa-apa pun boleh berlaku sebab dia tu bukan manusia biasa, tapi sejenis makhluk...”

Tap!

Belum sempat Sham menghabiskan ayatnya, Detektif Thariq menekan butang ‘stop’ pada pita perakam suara.

“Maaflah. Kau sebut makhluk je aku dah terus rasa cerita kau macam melalut.” Detektif Thariq berterus terang. Dia menyimpan semula pita perakam suara ke dalam kocek kemejanya. Detektif Thariq bangkit dari kerusi.

“Jumpa lagi.” Kata Detektif Thariq sebelum dia beredar pergi dari meja.

“Kau nak tengok lelaki tua tu depan mata kau sendiri, kau cuba cari dia kat sekitar hutan tempat aku langgar dia tu. Dia tinggal dalam hutan tu. Bomoh yang aku jumpa tu yang beritahu.” Ujar Sham dari belakang.

Langkah kaki Detektif Thariq terhenti. Dia menoleh ke belakang. Sham hanya mengangguk-angguk tanda mengiakan kata-katanya tadi.

***

Kereta Perdana Hitam yang dipandu Detektif Thariq diparkir di tepi jalan tempat berlakunya pelanggaran dengan lelaki tua aneh seperti yang diceritakan oleh Sham.

Detektif Thariq melihat jam tangannya. Nampaknya, sudah pukul 7.30 malam. Dia kemudian membuka laci kereta. Sepucuk pistol jenis Revolver dan sebatang lampu suluh dikeluarkan.

Pintu kereta dibuka. Detektif Thariq keluar dari kereta, lalu memerhatikan keadaan hutan di sekeliling. Tiada bunyi manusia lain di situ melainkan hanya kedengaran bunyi cengkerik.

Detektif Thariq menyalakan sebatang rokok. Asap ditarik dan dihembus Detektif Thariq. Penuh nikmat. Lampu suluh dinyalakan. Detektif Thariq mula melangkah masuk ke dalam hutan.

***

Hampir 20 minit berlalu, Detektif Thariq semakin jauh ke dalam hutan. Langkah Detektif Thariq terhenti. Dia ternampak sebuah pondok kayu kecil terpacak kira-kira 100 meter di hadapannya.

Detektif Thariq menghampiri pondok itu. Pintu pondok nampak sedikit terbuka. Sepertinya, dalam pondok itu diterangi dengan cahaya pelita.

‘Kreekkkkkk...'

Berkeriuk bunyi pintu pondok ditolak Detektif Thariq. Ada seorang lelaki tua berambut uban putih yang memakai jubah hitam sedang duduk bersila mengadap Detektif Thariq. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang membaca mantera. Nampaknya, benarlah segala cerita Sham.

"Hello…boleh tanya sesuatu?" Detektif Thariq memberanikan diri untuk bertanya.Lelaki tua itu tersenyum.

"Kau datang tanpa dijemput..." Balas lelaki tua itu dengan nada yang begitu garau sekali. Dia kemudian berdiri, lalu menanggalkan jubah hitamnya.

Kini, lelaki tua itu bertelanjang bulat! Dia senyum menyeringai kepada Detektif Thariq. Menampakkan sebaris giginya yang jelek. Kedua-dua matanya bertukar menjadi putih.

Bulu roma Detektif Thariq mula meremang. Jantungnya pula berdegup semakin laju. Tangan kanan Detektif Thariq bersedia mengeluarkan pistol yang diselit pada bahagian pinggang seluar.

Tapi, belum sempat dia berbuat demikian, api pelita terpadam. Keadaan dalam pondok menjadi gelap gelita. Detektif Thariq mengetuk-ngetuk lampu suluh pada tapak tangan. Namun, lampu suluh itu langsung tidak boleh dihidupkan.

Kedengaran hembusan nafas Detektif Thariq mengeluh. Dia cuba menyalakan pemetik api. Percubaan yang pertama, tidak menyala. Detektif Thariq mengeluh. Dicuba dihidupkan pemetik api itu sekali lagi.

Percubaan yang kedua juga tidak membuahkan hasil. Tangannya menggigil cuba menyalakan pemetik api itu buat kali ketiga.Berjaya! Cahaya kecil pemetik api itu menerangi wajah makhluk berkepala botak yang berada betul-betul di depannya.

"Roarrrrr!"

Sergahan makhluk itu menyebabkan pemetik api Detektif Thariq terpelanting jatuh. Keadaan dalam pondok itu menjadi gelap-gelita. Dia teraba-raba mancari pemetik api itu.

Jantungnya berdegup kencang. Risau andai makhluk itu menyerangnya.

Prapp!

Kakinya terpijak sesuatu. Sepertinya lampu suluh tadi. Lampu itu menyala secara tiba-tiba. Pantas Detektif Thariq mencapai dan menghalanya ke arah makhluk itu. Seperti yang dijangka, makhluk hodoh itu berada di hadapannya. Mencangkung dan memandangnya.

Detektif Thariq mulai geram. Dia cuba menembak makhluk it. Malangnya, makhluk itu tidak lut dek peluru. Malah, peluru itu terpantul balik ke arah Detektif Thariq.

“Arghhhhhhh!!!!!!!’

Peluru terkena tepat ke dada Detektif Thariq. Merobek isi serta organ dalamannya. Darah mula keluar membuak-buak. Dia terpaku di situ. Pistolnya terjatuh. Dia merengkuk menahan kesakitan. Makhluk itu tersenyum. Di seret Detektif Thariq dan dibawa ke suatu sudut pondok.

“Ini tempat untuk tetamu yang tidak diundang.”

Dia membiarkan sahaja mayat Detektif Thariq di situ. Berminggu-minggu mayat itu dibiarkan di situ. Sehinggakan mayat itu mereput dan berulat. Menggeletik ulat-ulat itu jatuh. Makhluk itu mencangkung dan mengutip ulat-ulat itu. Disuapkan ke mulutnya. Dia tersenyum sendiri. Kemudian, dia memakai jubah hitam dan keluar dari pondok itu.

***

Kehilangan Detektif Thariq menimbulkan tanda-tanya. Jejaknya tidak dapat dikesan. Orang awam hanya menemui keretanya sahaja tersadai di tepi jalan.

Timbul tanda tanya di benak masing-masing kerana tiada tanda-tanda rompakan yang berlaku memandangkan kereta itu terletak elok. Malah, tiada barang-barang yang hilang. Operasi mencari Detektif Thariq diteruskan namun semuanya menemui jalan buntu.

Sham cuba tampil untuk menjelaskan tentang lelaki tua yang mungkin berkait dengan kehilangan Detektif Thariq. Namun, dia telah dituduh sebagai gila. Maka, kes itu ditutup.

Tiada seorang pun tahu, kewujudan orang tua itu sehingga kini. Mungkin dia di dalam hutan. Ataupun, mungkin juga dia sedang memerhatikan orang yang dia inginkan. Hati-hati.

-Tamat-
===================================
Suntingan: Ratika
Gambar: Dikmang

Karya asal merupakan hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama pihak Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: