Thursday, 1 February 2018

MAAFKAN SURAYA - Suhana Azman


MAAFKAN SURAYA


Aku ingin menceritakan satu kisah dan kisah ini adalah berdasarkan kisah benar. Kisah ini diceritakan oleh suami ku tentang kejadian yang pernah terjadi di kampungnya. Kiranya waktu itu keadaan telah menjadi sangat menakutkan penduduk kampung sehingga mengganggu ketenteraman penduduk kampung dalam seminggu yang kelam itu.

Sehinggakan ada yang masih trauma apabila melihat penampakan yang tidak sepatutnya. Ia sememangnya tidak di hebohkan kerana ia boleh mendatangkan keaiban ahli keluarga yang terlibat. Oleh sebab itulah kesemua nama watak-watak didalam kisah ini telah diubah termasuklah nama kampung tersebut. Harap pembaca sudi membaca dan ambil iktibar di atas kejadian tersebut dan mari menyelusuri perjalanan kisah gadis yang bernama SURAYA.

* * *

Suraya termenung di jendela sambil melihat manik-manik hujan yang turun jatuh melimpah ke tanah. Semakin lebat hujan yang turun membasah disetiap laman rumahnya. Malam itu di kampung Bertam Hilir, mulai ditangisi hujan lebat seolah-olah menangisi kepedihan yang terpendam di lubuk hati Suraya. Bak kata pepatah 'hujan diluar boleh dilihat, hujan di hati tiada siapa yang mengerti'.

Esok dia bakal bernikah dengan Faizal anak tok sidang dari kampung sebelah. Sudah lama Haji Sufian teringin bermenantukan Faizal. Dia berjawatan tinggi dalam sektor kerajaan. Kerana itulah sedaya upaya Haji Sufian ingin menjodohkan Suraya dengan Faizal.

Tetapi Suraya sedang menyulam kasih bersama Azman, kekasih yang sudah lama dikenali semenjak di bangku sekolah lagi. Namun Azman bukan pilihan Haji Sufian untuk dijadikan menantu. Sudah sehabis daya Suraya memujuk rayu kepada ayahnya untuk menerima Azman tetapi dibantah keras oleh Haji Sufian.

Ibunya pula seakan mendiamkan diri, langsung tiada bangkangan yang terkeluar dari bibir ibunya seolah-olah bersetuju dengan keputusan ayahnya. Tetapi Hajah Rahimah seboleh-bolehnya cuba untuk menyebelahi Suraya anak kesayangannya. Tetapi dia terpaksa menerima keputusan suaminya. Di sini suami, di sana anak. Diluah mati suami, ditelan mati anak.

Akhirnya Suraya terpaksa mengalah dan terpaksa menerima keputusan ayahnya dengan hati yang berat. Ini disebabkan dia benar-benar kecewa dengan Azman yang terus menyepi dan langsung tiada khabar berita setelah mengetahui dia telah dijodohkan dengan Faizal.

Suhaila pula adalah satu-satu adik Suraya. Penguat semangat dan sentiasa bersamanya di saat dia memerlukan. Pada Suhaila jugalah tempat dia meluah rasa, namun Suhaila hanya dapat memberi bahunya sahaja untuk kakaknya bersandar. Tidak berani juga Suhaila untuk membantah keputusan ayah mereka.

* * *

Hari yang di nanti pun tiba, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga semakin ramai memenuhi rumah Haji Sufian dan Hajah Rahimah untuk melihat Suraya dan pasangannya bersatu sebagai suami isteri.

Akhirnya Suraya dan Faizal sah menjadi suami isteri, hanya sekali lafas sahaja mereka sah bergelar suami isteri. Tersenyum bangga Faizal dapat memperisterikan Suraya yang memang terkenal dengan kecantikannya.

Usai upacara pembatalan air sembahyang antara Suraya dan Faizal, dengan segera Suraya bangun dan terus menuju ke bilik. Namun para jemputan yang hadir langsung tidak menyedari raut wajah Suraya yang bermuram durja. Sangkaan mereka kemungkinan Suraya malu kepada Faizal.

Tetapi Suraya hanya duduk termenung di dalam bilik. Dengan penuh debaran Suraya menanti di dalam bilik sambil menatap wajahnya di cermin. Ada sedikit genangan air mata mulai terlihat di kelopak matanya. Di kotak fikirannya mula mengenangkan nasib diri berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak di cintainya.

Ayah dan ibunya langsung tidak cuba memahami gejolak di hatinya. Sebagai manusia biasa dia juga punya hati dan perasaan. Dia juga punya hak untuk mengatakan tidak. Tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Dia sudah pun selamat bernikah dan sudah menjadi isteri orang.

Tiba- tiba pintu bilik di kuak dari luar oleh seseorang.

Faizal memandang Suraya sambil duduk di sebelahnya. Dengan segera Suraya menyeka air mata yang bertakung di kelopak matanya. Sehabis daya cuba untuk menahan air mata dari terus mengalir ke pipi dan seboleh-bolehnya Suraya tidak mahu dia menangis di hadapan Faizal. Cuba untuk selindung durja di hati.

"Suraya menangis.?" Faizal bertanya ringkas.

"Eh.taklah. Mana ada Su menangis." Suraya cuba mengelak.

"Tu. kat hujung mata tu masih basah lagi. Suraya tak suka ke kahwin dengan abang?" Faizal bertanya lagi sambil menunjuk ke arah sisi mata Suraya yang masih berbaki kebasahan dengan air mata.

"Mana ada. Kalau ya pun Su menangis, sebab Su gembira. Gembira sangat-sangat." Suraya tersenyum kelat, cuba untuk sembunyikan perasaan laranya.

Lalu Faizal merapati Suraya sambil mengenggam erat tangan Suraya lalu di renung wajah isteri yang baru dinikahinya.

"Su. abang bahagia sangat sebab Su sudi terima jadi isteri abang. Dan abang berjanji abang akan cuba sedaya upaya untuk membahagiakan Su." Sepasang mata mula bertemu. Suraya memandang sayu.

"InsyaAllah..bang. Su pun berjanji akan jadi isteri terbaik buat abang." Suraya tersenyum manja.

Lalu Faizal bingkas bangun mengajak isterinya keluar melayan tetamu yang datang. Tetapi segera Suraya mengelak untuk keluar berdua bersama Faizal.

"Abang keluarlah dulu. Lagipun Su nak ke rumah Fiza sekejap. Ada benda yang Su nak cakap kat dia." Suraya memberi alasan.

"Sekejap saja ya." Faizal mencuit hidung Suraya sambil berlalu keluar dari biliknya.

Lalu Suraya pun keluar dari biliknya tanpa menukar pakaian nikahnya untuk menuju ke rumah jirannya yang berhadapan dengan rumahnya yang juga merangkap sahabat baiknya, Fiza.

* * *

Ketika di rumah Fiza, Suraya terus ke belakang rumah. Sebolehnya Suraya tidak mahu terus ke depan rumah Fiza memandangkan ramai tetamu yang masih datang bertandang ke rumahnya tambahan pula dia masih lagi memakai baju nikah.

"Assalamualaikum!" Suraya memberi salam.

Tidak lama kemudian muncul emak Fiza, Hajah Rohani di muka pintu dapur.

"Waalaikummussalam. Su rupanya, makcik ingatkan siapalah tadi. Ada apa Su? Fiza takde dia keluar kedai kejap." Terang Hajah Rohani.

"Tak apalah. Lagipun Su bukan nak jumpa Fiza, ayah suruh Su pinjamkan racun rumput." Suraya bersuara perlahan.

Terbeliak mata Hajah Rohani dengan permintaan Suraya. 'Biar betul budak ni.' Hajah Rohani bermonolog dalam hati.

"Sekejap makcik ambilkan." Hajah Rohani berlalu masuk ke dalam untuk mengambil botol cecair racun rumput yang dipinta Suraya.

Kemudian Hajah Rohani pun keluar dengan sebotol racun rumput yang tidak sampai separuh isi dalamnya.

"Kenapa dengan ayah Su tu. Macam dah tak ada hari lain ke nak mintak racun. Bukan ke sekarang ni ramai orang kat rumah Su? Kenduri kahwin pun tak habis lagi." Hajah Rohani membebel.

"Dah tak ada orang lain ke nak mintak pinjamkan racun? Kenapa disuruh Su? Su tu kan pengantin. Sepatutnya pengantin duduk diam-diam kat rumah. Tak payah buat kerja." Sambung amarah Hajah Rohani kepada ayah Suraya. Difikirannya tidak patut Suraya disuruh keluar dari rumah. Malah masih berpakaian nikah pula. Tetapi Hajah Rohani langsung tidak mengetahui akan muslihat Suraya. Serta rancangan Suraya yang sebenar-benarnya.

"Bukan macam tu makcik. Su memang nak datang sini ambilkan. Lagipun Su kan dah jadi isteri orang. Tak lama lagi nak pergi jauh. Masa inilah buat kali terakhir Su nak tolong ayah." Itu antara dialog terakhir Suraya kepada Hajah Rohani sebelum dia ditemui mati di belakang rumah Cik Nor yang tinggal bersebelahan dengan rumah Fiza dan Hajah Rohani.

Dengan meminum cecair racun sehingga berbuih-buih mulutnya dan mengeluarkan darah merah pekat. Itupun Cik Nor sendiri yang terjumpa Suraya di belakang rumahnya kerana dia terdengar seperti suara batuk dan tersedak-sedak. Sampai sahaja di belakang rumahnya, dia terlihat Suraya sudah terbaring terlentang sehingga terbuntang matanya.

* * *

Tiga hari selepas kematian Suraya…

"Allahuakbar. Kenapa Su sanggup buat kita macam ni? Kenapa dia korbankan diri dia?" Hajah Rahimah menekup mukanya. Dia menangis semahu-mahunya di sisi Haji Sufian.

Manakala Haji Sufian hanya mampu mendiamkan diri. Tidak mampu mengungkap dengan kata-kata. Terasa benar dirinya bersalah. Rumahnya kini kosong. Semua tetamu sudah pulang selepas kenduri tahlil malam terakhir di rumahnya tadi.

Tiada lagi saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Sunyi. Suhaila sejak dari tadi hanya berkurung di dalam bilik. Menangisi nasibnya yang kehilangan kakak. Satu-satunya kakak yang dia ada. Di fikirannya siapa yang harus di persalahkan. Suraya? Ayahnya?

Suhaila benar-benar buntu. Ingin sahaja dia menjerit. Tetapi siapa yang akan mendengar? SIAPA???

* * *

Dan bermulah kisah seram diKampung Bertam Hilir…

Kamarul baru sahaja habis kerja lebih masa di sebuah kilang berhampiran Kampung Bertam Hilir. Jadi malam itu dia tidak dapat hadir ke kenduri tahlil malam terakhir di rumah Haji Sufian untuk arwah Suraya.

Bekerja sebagai operator pengeluaran berapalah sangat gaji yang dia boleh dapat dengan berbekalkan sijil Spm sahaja. Tambahan pula dia sudah bertunang dan perlu mengumpul duit secukupnya untuk segala perancangan perkahwinannya. Malam itu Kamarul memecut motosikalnya kerana jalan pada malam itu sungguh lengang.

"Baru pukul 10.00 malam dah lengang jalan?" Kamarul bermonolog dalam hati.

Dengan penuh cermat Kamarul menunggang motosikalnya di malam yang suram itu. Di hatinya mula terdetik, kenapa suasana malam itu tidak sama seperti malam-malam yang lain. Bukan tidak pernah dia berkerja lebih masa seperti malam sebelumnya. Lebih lewat daripada malam itu pun pernah. Tetapi suasana malam itu sungguh suram dan kenderaan juga tidak banyak.

"Ahh! Sudah!" Baru Kamarul perasan, rasanya sudah terasa lama dia menunggang motosikalnya, tetapi langsung dia tidak menemui simpang hendak masuk ke Kampung Bertam Hilir.

Kamarul pasrah, dia redha apa yang bakal terjadi selepas ini. Kerana nalurinya kuat mengatakan seperti ada sesuatu yang bakal terjadi.

Tidak lama kemudian baru dia terjumpa simpang ke Kampung Bertam Hilir. Sebaik memasuki simpang itu, dia perlu melalui hadapan sekolah rendah dan di hadapan sekolah rendah tersebut ada satu pokok ara tua yang sudah merimbun daunnya.

Sesampainya dia di hadapan pokok ara itu, Kamarul terlihat sosok seorang perempuan sedang mengendong bayi. Perempuan itu berdiri mengadap pokok itu dengan berpakaian kurung berwarna putih lusuh serta memakai selendang putih yang menutupi sebahagian rambutnya. Jadi sudah tentulah Kamarul tidak dapat melihat wajah perempuan tersebut. Kamarul memberhentikan motosikalnya di hadapan perempuan itu. Apabila menghampiri perempuan itu, hidungnya terhidu bau bunga cempaka.

'Wanginya.' Kamarul bersuara di dalam hati.

"Kak, kakak nak kemana? Nak pergi rumah siapa malam-malam ni? Akak bergaduh dengan suami ke?” Bertalu-talu soalan yang ditanya oleh Kamarul.

Hanya kedengaran suara cengkerik sahaja. Tiada jawapan daripada perempuan itu. Senyap. Kamarul mati akal hendak bertanya lagi. Kemudian…

"Awak boleh tolong saya?"

Baru kedengaran perempuan itu bersuara.

"Tolong apa kak? Kalau saya boleh tolong, saya cuba tolong. Tapi saya tolong mana yang termampu sahajalah. Akak cakaplah nak saya tolong apa?" Sedikit lega hati Kamarul kerana mahu juga perempuan itu bersuara.

Tiba-tiba…

"TOLONG RINGANKAN AZAB SAYA BOLEH?"

Perempuan itu bersuara seraya menoleh kepada Kamarul. Alangkah terkejutnya Kamarul kerana perempuan yang dilihatnya itu memang cukup dikenalinya. Ya! Memang dia kenal perempuan itu, perempuan itu adalah…

"SURAYA...!!!!!!"

Menjerit Kamarul kerana terperanjat melihat jelmaan Suraya di hadapannya. Lemah longlai segala sendi dan lutut. Hendak hidupkan enjin motosikal pun Kamarul tidak mampu kerana ketakutan.

Lebih menakutkan apabila dia melihat wajah jelmaan Suraya yang elok bertukar sedikit demi sedikit menjadi buruk. Kedua bebola matanya mulai terkeluar sedikit demi sedikit dan mulutnya mengeluarkan darah dan nanah busuk yang banyak hingga memenuhi rongga hidung.

Kemudian semakin lama semakin rapat pula jelmaan Suraya menghampirinya. Kesudahannya Kamarul pengsan di situ juga. Dia ditemui orang kampung pada waktu subuh ketika hendak pergi ke masjid berhampiran.

* * *

Cik Nor terjaga dari lenanya. Perut terasa memulas- mulas. Hendak bangun terasa malas kerana matanya yang mengantuk tidak mengizinkan untuk pergi membuang hajat. Tetapi rontaan kesakitan dalam perut meminta untuk dikeluarkan saki baki makanan yang tidak diperlukan telah mengatasi segala-galanya.

'Ah..sudah pukul 2 pagi.' Getus hatinya.

Suaminya di sebelah sedang enak dibuai mimpi. Kerana tidak tahan hendak membuang hajat, di paksakan juga diri untuk bangun. Lalu Cik Nor melangkah lemah menuju ke tandas yang terletak di hujung dapur rumahnya. Sedang Cik Nor melepaskan hajat mutawasitahnya, dia terdengar rintihan dan tangisan dari belakang rumahnya. Betul-betul di belakang tandas.

Makin lama makin kuat tangisan yang didengarinya. Sungguh mendayu-dayu tangisan tersebut. Merintih hiba. Selepas membuang hajat dan membasuh apa yang patut. Terus Cik Nor dengan beraninya keluar membuka pintu dapur rumahnya. Apabila dia melihat diluar, tiada apa yang kelihatan. Sunyi dan gelap-gelita.

'Tak ada apa-apa pun? Hmmm…' Getus hatinya.

Tetapi sebaik sahaja Cik Nor berpaling ke kanan, cuba untuk meninjau ke arah di mana dia terjumpa mayat Suraya tempoh hari. Alangkah terperanjatnya Cik Nor apabila melihat jelmaan Suraya di depan matanya sambil duduk dengan kedua-dua tangannya memegang leher seakan dalam kesakitan yang amat sangat.

Kemudian terkeluar lidahnya bagai terjelir sehingga mencecah perut. Lalu terdengar suara jelmaan Suraya dengan tersekat-sekat memohon pertolongan.

"TO…LONG… TO… TOLONG... SAYAAA!"

Terperanjat Cik Nor sehingga terkeluar suaranya dengan kuat melaungkan..

"ALLAHUAKBAR!!!!"

Cik Nor pengsan di situ juga. Disebabkan jeritannya yang kuat itulah membuat suaminya yang sedang lena diulit mimpi itu terus terjaga dan bangun meluru ke arah isterinya di dapur.

* * *

Nani berjalan sendirian pulang dari sekolah. Dia baru di tingkatan dua dan bersekolah petang telah terlewat pulang dari sekolah kerana tertinggal bas. Kebiasaannya dia pulang bersama Maya.

Tetapi Maya tidak dapat hadir ke sekolah kerana mememani ibunya yang pengsan di dapur rumahnya malam semalam kerana terkejut melihat jelmaan Suraya. Ya ibu kepada Maya adalah Cik Nor. Nani melihat jam ditangan, hampir ke angka 7.00 malam.

“Dah lambat.” Nani kegelisahan.

Semakin laju hayunan langkah kakinya. Saat ini bermacam-macam bayangan berada di fikirannya. Perogol bersiri, penculik dan yang paling terkini di kampungnya iaitu HANTU SURAYA. Apabila difikirkan hal itu, semakin laju dia berjalan seakan berlari-lari anak.

Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi.

HMMM... HMMM… HMMMM!!!

Terdengar seakan orang bisu sedang memanggil seseorang. Nani memberhentikan langkahnya sambil melihat sekeliling. Siapakah gerangan yang sedang memanggilnya?

Tiba-tiba Nani ternampak satu sosok tubuh seorang perempuan sedang duduk di buaian kanak-kanak berhampiran di sebuah pra-sekolah. Perlahan sahaja buaian itu dihayunnya. Nani cuba mengamati siapakah gerangannya itu.

Perempuan itu mula berhenti menghayunkan buaian tersebut. Namun, dengan pantas dia merenung kembali dengan renungan yang tajam ke arah Nani dengan wajah yang pucat. Tersentak Nani apabila dipandang begitu. Kemudian barulah segala urat saraf diotaknya dapat berhubung dengan jayanya dan barulah dia dapat berfikir dengan waras.

Perempuan yang berada beberapa langkah di hadapannya itu adalah..

"SURAYA!!!!"

Mujur dia tidak pengsan di situ. Sempat dia berlari tanpa menoleh ke belakang sedikit pun. Lintang pukang Nani berlari bagai tak cukup tanah.

* * *

Suhaila masih tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya berserabut memikirkan kata-kata orang kampung tentang arwah kakaknya. Pelbagai versi yang didengarinya tentang jelmaan arwah kakaknya.

Kamarul nampak macam tu, Cik Nor nampak macam ni dan semalam si Nani pula ternampak sewaktu pulang dari sekolah waktu senja. Tiga hari berturut-turut penampakan jelmaan kakaknya berlaku dan ini adalah malam ke tujuh ketiadaan kakaknya. Suhaila masih lagi tertanya-tanya, adakah ini dinamakan mati dalam kesesatan. Langit dan bumi tidak menerima jasad, maka roh si mati bergentayangan.

“Nauzubillah. Minta dijauhkan.” Suhaila mengurut-ngurut dadanya.

Suhaila melirik jam dinding. Sudah hampir pukul 1.00 pagi. Esok dia perlu bangun awal pagi. Solat subuh dan seterusnya ke sekolah. Tetapi susah benar malam ini matanya untuk dilelapkan. Sedangkan maghrib tadi berlaku sebaliknya. Susah benar dia hendak membuka mata, mengantuk teramat sangat sewaktu dia sedang membaca surah yassin selepas solat maghrib bersama ayah dan ibunya.

Dalam keadaan Suhaila mencari rentak matanya untuk tidur, tiba-tiba dia terdengar bunyi suara seseorang menangis sayu dari arah bilik kakaknya. Mendengar sahaja suara tangisan itu, serta merta bulu romanya mencanak naik.

"Ya Allah, apa yang aku dengar ni?"

Ketakutan sedang melandanya saat ini. Apa yang diceritakan oleh orang kampung tentang arwah kakaknya kini sudah terhidang di telinganya. Saat itu juga degupan jantungnya mengepam laju. Peluh di dahi sudah mula membasah. Suhaila benar-benar gelisah.

Hendak keluar bilik takut jelmaan kakaknya muncul di hadapan pintu. Mahu tidak mahu terpaksalah dia membatukan diri di dalam bilik. Mengharapkan "kakaknya" di bilik sebelah tidak muncul di depannya nanti. Kemudian bunyi tangisan itu berhenti.

BUMMM!!!!

Satu bunyi kuat seakan dinding biliknya ditendang oleh seseorang dari dalam bilik kakaknya. Suhaila dapat mendengar bunyi itu dengan jelas memandangkan bilik mereka bersebelahan.

"MAKK!!!!"

Suhaila terkejut sehingga terlompat dari katil lalu terus membuka pintu biliknya sambil berlari ke arah bilik ayah dan ibunya.

* * *

Di masjid Kampung Bertam Hilir, mesyuarat tergempar sedang diadakan selepas solat asar. Ramai jemaah yang hadir untuk mendengar taklimat tentang kejadian yang berlaku di tempat mereka.

Haji Sufian pasrah. Dia menerima sahaja keputusan yang akan diambil oleh imam dan ahli jawatan kuasa masjid. Hanya riak bermuram durja sahaja yang terpamer di wajahnya. Mujur ada Faizal yang bergelar menantunya yang tidak sampai 24 jam berkahwin dengan Suraya ada di sisi menemaninya.

Imam Hamzah datang menghampiri Haji Sufian. "Sufian, kami semua dah sepakat. Kita akan pergi ke kubur Suraya malam ini untuk membaca surah yassin selama tujuh malam berturut-turut di samping kita buat solat hajat. Banyak-banyaklah bersabar. Ampunkan dosa-dosanya dan berdoa pada Allah minta petunjuk dari-Nya." Imam Hamzah bersuara lembut.

Maka pada malam itu orang kampung pergi beramai-ramai ke kubur Suraya. Apa yang dilihat amatlah memeranjatkan mereka. Kubur Suraya BERLUBANG! Ada lubang di tengah kuburannya dan di tengah lubang tersebut mengeluarkan asap dan baunya teramatlah busuk.

Baunya memenuhi rongga hidung serta meloyakan tekak mereka. Mahu tidak mahu mereka tetap meneruskan rancangan yang sudah dipersetujui. Haji Sufian dan Faizal juga turut serta duduk di kubur Suraya untuk membaca surah yassin selama tujuh malam berturut-turut secara bergilir-gilir. Alhamdullillah, sepanjang 7 malam mereka berada dikubur Suraya, langsung tidak ada gangguan yang mereka hadapi.

Di rumah Haji Sufian selepas selesai bacaan surah yassin dikubur Suraya...

Hajah Rahimah dan Haji Sufian termenung jauh memikirkan arwah anaknya. Rupa-rupanya tekanan yang dihadapi oleh Suraya adalah dia telah dihamili oleh lelaki yang tidak bertangggungjawab dan lelaki itu adalah Azman. Kerana itulah Azman telah menghilangkan diri. Itu pun setelah di beritahu kisah sebenar oleh Fiza siang tadi.

Tiba-tiba…

Suhaila menjerit memanggil ayah dan ibunya. Suhaila menunjuk ke dalam bilik kakaknya setelah dia membuka pintu. Ini kerana sejak kematian Suraya membunuh diri, pintu bilik Suraya tidak pernah dibuka. Ibunya membiarkan pintu biliknya dikunci kerana tidak sanggup hendak melihat barang-barang milik Suraya.

Akan tetapi Suhaila memberanikan diri membuka pintu bilik kakaknya. Apa yang memeranjatkan adalah adanya tulisan berdarah di cermin solek yang bertulis… MAAFKAN SURAYA.

- TAMAT –
Karya : Suhana Mat Lazim
Suntingan Karya & Gambar (sumber internet) : DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: