BUKIT TANGGA
Karya: SenyumanPerantau SP
------------------------------------------------
"Kalau kono komat Jolobu, tak mati badan meghasai." Ungkapan yang biasa kita dengar. Malahan, dalam lagu Gadis Jelebu pun ada rangkap ini.
Apa makna sebenarnya? Komat Jolobu ni umpama keramat/ajaib Jelebu. Menghasai ni maksud dia merana.
"Kalau terkena keramat Jelebu, tak mati badan merana!" Seram bukan?
Asalnya ungkapan ini, aku pun tak pasti. Yang pasti, selalu orang tua guna perumpamaan ini apabila orang luar Jelebu jika berkahwin dengan orang Jelebu, pasti detik akhir, akan kembali di Jelebu. Sama ada buat rumah atau pun dikebumikan di Jelebu.
Untuk hal berkaitan mistik, aku dimomokkan sejak kecil lagi, jangan buat main-main dengan orang Jelebu. Kalau kau dapat lepas pun, pasti hidup kau akan merana. Relevan kenyataan ini? Aku pun tak pasti walaupun aku sendiri anak jati Jelebu.
Ok, episod lepas aku berkongsi cerita fiksyen Jelebu. Kali ni, kisah benar yang dialami aku sendiri pada Disember 2017. Buat sesiapa yang mengikuti laman Arkib Angker Negara, pasti akan kenal dengan para kurator laman ini, terdiri daripada WanSC, Deefen, Dee Edot, KK, Gongpal topek, Shizu, Nadey, Nil Kuhaku, Ahmad Rusydi (AR) dan aku sendiri, SP.
Kenapa aku sebut nama mereka? Sebab kisah seram yang terjadi ni ada kaitan dengan perjumpaan pertama kami. Asalnya kami bercadang untuk berjumpa di restoran steamboat di Senawang. Tapi memikirkan kantung poket yang semakin kosong, ada seorang di antara kami mempelawa barbeque diadakan di rumah agamnya.
"Weh korang! Lepak rumah aku je la. Tu pun kalau korang sudi?" AR mempelawa.
"Bereh. Aku on. Aku balik pun balik semenanjung ni." Balas aku.
"Kita wat barbeque ke. Aku nak makan. Hahahaha!" Pesanan suara Nadey disertai dengan gelak tawa keramat agungnya.
"Kak dee join!"
"Aku nak tumpang Dey! Boleh?" Nil Kuhaku menyampuk.
"Jangan lupa Shizu yang hensem!"
"InsyaAllah aku join." Gongpal Topek memberi kepastian.
"Maaf. Aku tak dapat. Jauh weh!" Emoticon sedih panjang ditekan Deefen.
"Ana pun tak dapat join antum,maaf," balas KK dengan penuh adab dan sopan.
"Tak susahkan kau ke Syudi?"
"Nope. Aku berbesar hati korang sudi datang!"
----
Maka, hari yang dijanjikan pun tiba. 10 Disember 2017. Tarikh keramat yang menemukan kami semua secara bersemuka. Jika sebelum ini perjumpaan hanyalah sekadar di laman maya, kini di dunia nyata!
Aku tiba di rumah AR tepat jam 3.20 minit petang. Yang lain dah sampai seawal jam 2 petang lagi. Biasa la, yang paling dekat, paling lambat sampai. Jelebu dan Seremban cuma mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja.
Maka, aktiviti-aktiviti santai kami pun bermula. Mula dengan menonton televisyen gergasi, beralih kepada penyediaan minum petang, kemudian diikuti dengan aktiviti kemuncak -ayam bakar, kerang bakar, sosej dan spaghetti dijamah bersama.
Meriah! Itu perkataan pertama muncul di benak fikiran aku. Setiap dari kami memang berperangai pelik dan aneh. Tetapi pelik dan aneh itu melengkapi dan menyempurnakan keserasian bersama kami.
Aku ni jenis menganalisa muka orang berdasarkan luaran. Tabiat ni agak kurang bagus. Tapi aku memang suka begitu. Haha.
WanSC memang dengan keletah celuparnya seiiring bersama nama pena dan buku sulungnya -Koleksi Seram SiCelupar.
Nil Kuhaku pula tersipu-sipu malu, hanya sesekali sahaja berkata-kata. Tak sama seperti hantaran status FB atau cerita dia, yang sering dihidangkan dengan cerita-cerita potong sana sini, lapah daging orang, makan manusia dan macam-macam lagi.
Nadey pula jenis yang tak berhenti-henti gelak. Gelak dia sentiasa membingitkan suasana. Tapi bak kata orang, orang yang selalu gelak ni, dia dah lalu macam-macam tangisan. Benar atau tak, hanya dia yang tahu.
AR atau si empunya rumah, adalah seorang yang sentiasa cool, berwajah tenang, rupa-rupanya mempunyai kegemarannya tersendiri. Suka bermain api serta kelakar! Sungguh tak sangka jika dibandingkan misteri cerita 7 pintunya.
Shizu? Lawak dan nampak tak matang. Perwatakan itu seperti dibuat-buat. Maklumlah, dia antara yang termuda di kalangan kami. Jauh di sudut matanya, dia juga mempunyai auranya tersendiri.
Dee Edot pula berperangai seperti akak-akak, mak-mak. Sentiasa memberikan pendapat dan hujah tersendiri. Dia paling tua, tapi tidak dominan. Pendapatnya dilontar sebagai cadangan, bukan paksaan.
"Assalamualaikum, boleh masuk?" Sapa satu suara yang agak serak basah ala-ala Saleem.
Analisa aku tertangguh. Aku merenung.
Seorang lelaki sasa mula melangkah masuk bersama anak isteri. Ya. Seorang lelaki penyayang. Telahan pertama aku.
Gongpal Topek.
Analisa aku diteruskan. Gongpal Topek, berwajah agak serius dan mempunyai visi tersendiri dalam menulis kisah-kisah episod Ismethnya. Idea dia sentiasa mencurah-curah menceritakan kepada kami.
SP? Mana ada orang analisa diri sendiri. Mesti la angkat bakul sendiri.
----
Perut semakin penuh. Silih berganti mulut masing-masing mengunyah makanan. Ayam, kerang, sosej, Spagheti istimewa Nadey, marshmallow pisang coklat bakar, kek dan pelbagai lagi tersedia.
Jam menunjukkan jam 10 malam. Selepas makan, kami terus ke agenda seterusnya. Kami berbincang tentang projek penulisan seterusnya. Kami juga sempat membuat video promo untuk AAN.
Lawak dan mesra walaupun pertama kali berjumpa. Sambil berbincang, kami sempat bergambar bersama tanda kenangan.
"Eh.. Eh.." Terketar-ketar suara Nadey memegang fon Gongpal Topek.
"Pek.. Apsal aku nampak.. Nampak.." Nadey tergagap-gagap.
"Nampak apa giler! Kau nampak apa sengal!"
"Tengok gambar ni. Aku nampak macam orang!" Tegas Nadey.
"Meh tengok!" -kami semua berkerumun. Skrin fon Topek ditatap teliti.
"Ya la. Nampak muka orang dalam potret belakang ni! Seram doh," Nil bersuara.
Wajah seorang tua kelihatan dalam pembalikan imej di dalam gambar tadi. Kami meremang. Semua meremang. Masing-masing terdiam.
"Ala, biasa la tu reflection cahaya je tu. Bila dia pantul, nampak la macam muka orang tua kedut-kedut," Shizu melontar hujah logik, cuba menafikan unsur mistik.
"Aah. Ya la. Betul kata Shizu!" Aku mengangguk seolah-olah bersetuju dengan pendapat Shizu. Tetapi bulu roma aku semakin meremang. Dalam potret itu, terlakar gambaran tangga dan kapal. Langsung tiada imej wajah manusia !
----
"Sedap. Slurrpp," Nadey berulang-kali menghisap puding roti yang dibuat khas oleh isteri Topek.
"Topek. Sedapnya. Puji wife hang tau. Sedap lain macam," sampuk Nil.
"Drama la korang," ujar Gongpal Topek.
Rasa seram sebentar tadi mula dilupakan. Kali ni sesi video untuk promosi buku Segitiga dan Ghostpital. Macam-macam gaya. Ada yang mengusap-ngusap hiasan tengkorak emas, ada yang menyeka rambut ke belakang sambil mengenakan topeng muka, ada yang terus menyanyi lagu Sandiwara dendangan Xpose band dan pelbagai ragam lagi.
Sedang semua berseronok, kami merancang seperti 'kehadiran' sesuatu ketika sesi video. Wan SC beraksi sebagai makhluk misteri. Wan menjegilkan mata putih di sebalik tirai langsir. Ketika rakaman video berjalan lancar, tiba-tiba Dee Edot menjerit.
"Ya tuhan! Meja tu," Sambil menekup kedua belah mata.
"La, kau dah kenapa kak Dee, nak habis dah ni," potong Wan sedikit tak berpuas hati.
"Hurm. Takdak apa la. Maaf, akak mengigau kot. Ye la, dah pukul 12 tengah malam kan."
"Ok-ok kita sambung."
----
"Ok, part aku selesai. Aku nak pi toilet sat na," aku minta diri dan menuju ke tandas yang terletak di hujung dapur.
Langkahan aku tiba-tiba terhenti setelah melihat kain putih melayang di ampaian rumah belakang. Bulu romaku kembali mencanak. Tak semena-mena, paip kumbahanku terasa seperti bagai nak pecah. Pandangan mataku dileret ke hadapan.
Aku percepatkan langkah dan selesaikan hajatku.
Fuhh. Lega. Ni semua gara-gara air sprite pudina dan air kopi kaw-kaw yang dibancuh khas oleh Rusydi. Sedap. Apa dia letak!
Zip seluar aku tarik memaksanya ke atas. Agak sukar. Memandangkan kulit perut yang semakin memeri.
Fuuhhh..Fuhhh..
Telingaku terasa seperti ditiup. Dingin. Aku kibas telingaku beranggapan ia hanyalah habuk atau nyamuk atau angin. Atau tiupan hantu?
Arghhh. Celaka zip ni!
Fuhhh...Fuhhh...
Sekali lagi hembusan angin di pangkal telinga kiriku. Perasaan takut aku tak terkawal lagi. Lantas, aku mengorak langkah dan melompat keluar dari tandas.
"Eh, Jie. Kenapa kalut sangat keluar tu?" Soal Dee.
"La, takdak apa la kak. Saya nak pi tengok video. Best!" Sengaja aku cipta alasan untuk tidak membantutkan suasana ceria.
"Kalau camtu takpa la. Akak nak pi toilet pulak ni."
----
Sesi rakaman video selesai. Semua sibuk melakukan tugasan masing-masing, mengembleng tenaga berkemas.
"Dey, teman aku kat atas. Nak mandi la, esok aku kerja ngantuk dah ni," Nil menarik baju Nadey.
"Ok-ok. Aku pun rasa tak sedap hati," bisik Nadey.
"Agak-agak ler mandi pun berteman!" Usik Shizu.
"Kau diam GALAH!"
Aku ketawa kecil. Setiap rangkap gurau senda mereka, aku curi dengar sambil tanganku ligat mencuci pinggan mangkuk. Hilang seketika masalah yang berkecamuk dalam ruang fikiran aku.
Sinki dapur rumah Rusydi terletak menghadap betul-betul ampaian jiran belakang rumah. Kepala aku masih terbayang-bayang kain putih tadi.
Ahhh! Kepala aku ni pun boleh tahan drama! Aku bermonolog.
Allah! Panjang umur kau kain putih.
Kain putih lusuh sekali lagi bergentayangan terbang turun naik di ampaian. Apa yang bermain di kepala aku sebentar tadi, muncul kembali.
Fuuhhh... Fuhhh..
Telinga aku dihembus lagi, kali ni lebih kuat. Nyata! Angin dia lebih padu dan jitu.
Astaghfirullah Al-Azim.
Shit! -spontan perkataan ni keluar dari mulut aku.
Rusydi menghembus telinga aku sambil tersengih.
"Eh, kau ni Rusydi. Mengusik aku plak. Sekeh kang." Laung amarahku. Tapi jauh di sudut hati, aku lega. Tidaklah aku keseorangan di dapur.
"Hehe. Tinggal je situ bro. Tak yah rajin sangat. Eh, apsal muka kau pucat ni?"
"Takdo po. Mato den ngantuk."
Aku berpaling ke hadapan semula. Lega. Kain putih terapung tadi dah lenyap. Alhamdulillah.
Baki satu, dua bekas makanan aku tinggal.
Biar la Nadey lak basuh. Takkan aku je nak kena kacau. Aku gelak jahat.
----
"Alhamdulillah. Selesai semua," ucap Rusydi.
"Makanan bungkus jangan lupa lak. Kang basi esok," leter Nadey.
"Ok boss."
Aku dah resah masa ni. Aku sorang je yang bakal memandu pulang ke Jelebu. Yang lain balik Kuala Lumpur. Carpool lagi.
Adeh. Terpaksa la aku redah Bukit Tangga pukul 3.30 pagi -gumam aku sendiri.
"Weh. Hari makin lewat ni. Aku gerak dulu," aku cuba mengundur diri.
"Jap, jap. Jie sini jap. Semua sini," Wan memanggil kami.
"Ya. Apa benda Wan?"
"Korang tengok atap rumah Syudi tu. Macam video Indah Ruhaila tu. Best!"
"Lagu apa? Apa yang best video apa?" Soal aku acuh tak acuh.
"Ala korang ni, cuba tengok klip video lagu dia, Percayalah." Tegas wan.
"Ya. Kenapa?"
"Tak la. Dalam video tu dia nyanyi atas atap. Tengok-tengok dia pontianak. Haha," Wan ketawa terbahak-bahak.
Hati aku menggelegak. Celuparnya mulut kau Wan SC! Bentak hati aku sendiri.
"Ok lawak sangat Wan. Aku dah la nak lalu Bukit Tangga sorang ni woi!" Balas aku.
"Ok jumpa lagi semua. Drive elok-elok Jie." Laung mereka.
----
Vroom! Vroom! Vroom!
Ke tepi ke tengah kereta aku mengelak beberapa buah kereta yang berlumba di Jalan Seremban 2.
Myvi turbo berlumba sesama sendiri. Nyaris kereta aku terhumban di pembahagi jalan.
Bodoh. Setan. Perangai macam hantu!
Aku menyumpah. Aku berang dengan tindakan bodoh mereka. Beginilah keadaan jalan di Seremban tika lewat malam dan awal pagi di hujung minggu. Tempat berlumba sesuka hati.
Bukan tak ada nyawa yang melayang. Tapi entah la. Tak serik-serik. -aku mengomel sendirian.
Kereta aku menyusur keluar Paroi Jaya menuju ke Jelebu. Jalan makin sunyi dan tiada kenderaan lain mengikuti atau bertentang arus keretaku.
Sunyi dan gelap. Restoran d' Pantai juga telah gelap menandakan aku betul-betul lewat kali ini. Radio Era aku pasang dengan volume sederhana rendah.
Setibanya aku di persimpangan Sikamat, mata aku tertancap seorang wanita tua, berkain batik sarung, berbaju kurung Kedah sedang membelakangi jalan. Aku mulai tak sedap hati. Kereta aku melintasi sosok tubuh si wanita tua tadi. Dia sedang asyik membakar sampah.
Perasaan seram dah mula menyerang aku masa ni. Gila! Mana ada orang bakar sampah pukul 3.30 pagi oiiii!
Kereta Viva jingga kepunyaan adik aku pecut. Laju meninggalkan si tua. Lega sebentar.
Kereta Viva aku mulai mendaki Bukit Tangga. Dan jalan masih sunyi tanpa kenderaan. Di atas jalan yang bersimpang-siur, hanya aku dan kereta Viva yang dipandu.
Kalau sesiapa yang pernah guna Bukit Tangga, kalian akan melintasi air terjun kecil di pangkal Bukit Tangga, dari arah Seremban ke Jelebu. Sekali lagi mata aku terpasung di air terjun kecil itu.
Allah. Astaghfirullah Al-Azim. Allah. Allah. Kuatkan semangat aku..
Mulut aku tak henti terkumat-kamit segala bacaan ayat suci. Peluh dingin memercik di dahi dan belakang tengkuk. Jantung berdegup kencang seakan mahu pecah dada. Radio kereta aku matikan.
Mata aku masih melekat di wajah air terjun kecil itu. Seorang wanita muda berkebaya, ramping pinggangnya sedang bermandi-manda di bawah pancuran air terjun. Sengaja aku tidak merenung dalam wajah gadis itu, takut semangatku tidak sekuat pandangan mata.
Allah. Allah. Allah. Kuatkan semangat aku.
Pedal minyak aku tekan rapat ke lantai. Jarum meter mengarah ke angka 120km/h. Kereta Viva mulai bergegar.
Berikanlah jawapan
Huraikanlah simpulan
Biar tenang jiwaku
Setelah kasih lama berlalu
Tidak mungkin kulupa
Perjanjian kita
Di bawah rumpun bambu
Di kala bulan sedang beradu oh..oh..
Mengapa terjadi perpisahan ini
Di kala asmara melebar sayapnya
Mengapa kau pergi di saat begini
Di kala hatiku terlukis namamu
Allah, kenapa lagu ni! Radio kereta terpasang sendiri. Allah. Mulut aku tak putus-putus membaca ayat lazim. Al-Quran.
Radio aku matikan setelah beberapa kali mencuba. Seram sejuk. Menggigil tubuh badanku. Gangguan itu tak habis di situ.
Sreeettt..
Aku brek mengejut di papan tanda Jeram Toi. Terkejut melihat seekor bangkai babi hutan sebesar kereta kancil tersadai di lorong kiri. Ada yang berpendapat, itu memang bangkai. Tapi di kala pekat malam, perasaan takut melebihi perasaan teruja. Aku tak kagum atau bangga melihat babi hutan sebesar itu!
Perjalanan aku teruskan sehingga sampai di pintu pagar rumah. Lega. Buat pengetahuan kalian, di hadapan pintu pagar utama rumah ku, terdapat pohon manggis yang merendang. Ada bapa saudaraku menceritakan perihal pontianak bertenggek di situ.
Ah! Masa ni la semua cerita itu menyerang bertubi-tubi.
Pagar besi aku tarik dan buka.
Seusai aku siap membuka pintu pagar, tiba-tiba PAAAP! Belakang tengkuk ku terasa seperti direntap kasar.
Allah! Apa ni! -aku meraung kuat.
La.. Ranting manggis. Aku menghela nafas lega. Aku tersenyum sendiri.
Aku melangkah lesu memasuki rumah. Perjalanan 30-40 minit, aku rasakan seperti 2 jam.
Fuh. Takut. Seram. Aneh. Pelik. Semua menyerang serentak.
"Haih along, baru sampai. Abah ingat kau tido Somban!" Abah menegur sebaik kakiku melangkah masuk.
"Aduh. cukup la sekali sey Bah, macam-macam kono malam ni," aku mengeluh.
"Tu la ekau. Abah dah koba. Jangan lewat bonar. Orang jolobu sejati pun tak lalu Bukit Tangga lopeh 12 malam."
"Hehe. Untuk pengalaman abah. Sey pun orang Jolobu apo," aku bergurau.
"Ekau orang Jolobu colup. Dah poie wudu' baru tidur. Kang tak pasa-pasa ado bondo bertenggek ateh belakang!"
"Baik abah."
----
Keesokkan harinya, aku menceritakan semua perihal gangguan yang aku alami di sepanjang jalan dalam Whatsapp group AAN.
"Haha. Seram nak mampus!" Suara Nadey lantang.
"Ni semua gara-gara mulut Wan la ni," Rusydi menyambung.
"Tak la. Sebelum tu lagi aku kena kacau kat tandas. Aku rasa telinga aku kena tiup," aku menyampuk.
"Bukan tu je, kain putih buruk terbang-terbang kat ampaian belakang rumah Syudi!"
"Eh-eh, Jie. Tak baik la. Takut tuan rumah terasa hati." Tegur Dee Edot kepadaku.
"Takpa kak, kak cerita dulu. Saya pun ada je nak cerita," balas Rusydi.
"Akak dalam tandas lepas Jie masuk. Akak tengah memerut. Akak nampak satu sosok lembaga tinggi, berbulu lebat, hitam legam, berdiri menghadap akak. Akak buat-buat tak nampak. Tapi dia dok tiup-tiup telinga akak macam Jie kena!"
"Akak. Aku meremang." Nil tiba-tiba masuk.
"Owh. Lupa satu lagi. Waktu Wan jadi hantu tu, akak tutup muka tiba-tiba sebab nampak kelibat budak bawah meja makan Rusydi!" Tegas Dee Edot.
"Hehe.. Aku malas nak cerita je semalam. Masa aku tengah mandi, Nadey kat luar. Kami dengar orang bertukang, budak kecil ketawa, main-main, seronok sangat bunyi." tambah Nil.
"Aku pun dengar apa Nil dengar. Rasa nak lari masuk toilet sekali je. Hahaha!"
"Sebenarnya kawan-kawan kolej aku dulu pun pernah kena lebih kurang macam tu juga," terang Rusydi.
"La. Ye ke. Di, potret tu?" Soal aku.
"Potret tu ada cerita dia gak. Nak tau. Kita wat gathering 2.0 lak. Muahaha."
Aku tersenyum. Mujur aku tak demam. Aku pun tak pasti. Gangguan pada malam itu berpunca dari belakang rumah Rusydi atau memang penunggu Bukit Tangga.
Yang pasti, Ahmad Rusydi, Wan SC dan Nabil, tak rasa apa-apa malam tu. Melainkan gambar orang tua dalam potret tersebut, semua mata kami menjadi saksi kejadian mistik tersebut.
Ya. Kami penulis cerita-cerita seram. Tapi tak semestinya kami sebulat hati tersedia berani.
Ini kisah benar. Tak dapat tidur malam ni? Itu bukan kebetulan. Memang ada gangguan di sekeliling anda! Baca la apa yang patut...
TAMAT
----------
Karya: SenyumanPerantau SP
Suntingan Gambar (sumber internet): SenyumanPerantau SP
Karya merupakan hakcipta penulis.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan
No comments:
Post a Comment