SIRI H.E.R.O - HASNAN
=========================
“Mari Kak! Mari Bang! Daging segar, daging segar, daging segar!”
Begitulah rutin harian Hasnan. Terjerit terlalak demi sesuap nasi sehari-hari. Waktu kerjanya dari pukul 5.00 petang sehingga pukul 10 malam. Kalau ada rezeki lebih, dapat lah dia balik awal. Kalau tidak, sampai pukul 10 malam pun, belum tentu meja jualannya licin.
Hasnan bukannya tak ada kelulusan yang boleh bawa dia bekerja di tempat yang selesa, pakai baju kemeja kemas-kemas, naik kereta Honda, hujung bulan beratur dekat ATM, tapi dia ini jenis memang tak suka kerjanya dikongkong dan diarah-arah. Ijazah Matematik dan Pendidikan yang dia ambil itu sekadar nak puaskan hati mak dan ayahnya sahaja. Pekerjaan dia sekarang, dia nak puaskan hatinya sendiri.
Nama dia Hasnan. Dia tokey daging fresh, pasar malam Seksyen 7.
Hari ini mood Hasnan cukup baik. Siang tadi dia menerima sepucuk surat daripada Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa dia berjaya ditempatkan ke SMK Pulau Bayang. Nampaknya, impian mak dan ayahnya nak tengok dia kerja pakai kemeja, ada tag nama berwarna hitam di poket kiri dan ada title Cikgu di depan nama, tercapai.
Tapi, malam itu lain pula halnya. Abang Muaz, tokey ikan dekat gerai sebelah bergaduh dengan seorang pelanggan cina. Entah apa yang digaduhkan sangat sampai dua-dua mereka terpekik terlolong. Nak tak nak, Hasnan terpaksa leraikan kedua-dua mereka.
Keadaan jadi reda. Pelanggan cina perempuan itu pergi dengan muka masam. Hasnan tanya Abang Muaz, apa yang berlaku tetapi Abang Muaz hanya terus membebel, tak menjawab soalan dari Hasnan.
Biarlah. Orang hati tengah panas, memang macam tu.
Namun, tak sampai beberapa minit. Perempuan cina itu datang semua dengan sekumpulan lelaki cina yang lain. Lagak macam gengster. Apa lagi, habis gerai ikan Abang Muaz dikerjakannya.
“Haiyaa. Ini tempat orang cari rezeki maa..jangan ini macam lah geng.” Hasnan cuba memujuk mereka tetapi gerai Hasnan juga habis dimusnahkan bersama. Kata mereka, dia kawan Abang Muaz, jadi dia pun mesti menerima habuan yang sama. Mereka siap ugut pekerja gerai lain, kalau masuk campur, gerai mereka juga akan diranapkan.
Mood Hasnan swing teruk malam itu. Dia kemas semua peralatan kemudian terus memandu pulang dengan saki baki daging yang sudah rosak.
Telefon Hasnan berdering setibanya dia di muka pintu rumah.
“Aku dengar kau gaduh dengan cina?” soal Pak Jamlus apabila Hasnan angkat panggilan dari lelaki itu.
“Wow, laju betul cerita tersebar!”
“Jadi betullah kau gaduh dengan cina?”
“Mana ada Pak Jamlus. Saya cuma backup si Muaz tu je.”
“Aduh..kau ni memang cari nahas lah Nan. Kau kenal tak cina tu siapa?”
“Tak..kenapa?”
“Tu samseng Klang kau tahu.”
“Jadi?”
“Aku dengan Ah Long tu kamcing. Kau pula buat taik. Tak pasal-pasal aku dapat call dari dia tadi, mintak aku berhenti bekalkan daging segar dekat kau.”
“Eh apsal pula macam tu? Mana lah saya tahu. Mana boleh macam tu Pak Jamlus.”
“Itu lah kau. Buat benda tak fikir baik buruk. Dah, aku taknak banyak cakap. Esok kau nak meniaga, kau cari lah supplier baru. Aku tak dapat nak bagi kau daging lagi.” Bentak Pak Jamlus lalu terus mematikan perbualan.
Hasnan terkedu seketika di muka pintu rumah.
“Apa aku nak buat ni? Mana aku nak dapatkan bekalan daging lembu untuk meniaga esok?”
Ish, inilah lumrah meniaga. Ada pasang surutnya. Padahal bukan salah dia pun.
Satu mesej dari sahabat lama masuk ke telefon bimbit melalui aplikasi Whatsapp ketika Hasnan sudah labuhkan kepalanya ke bantal, kawan ketika zaman belajar dulu. Hadi namanya.
“Man, kau jadi tak join esok?”
“Join apa?”
“Aduh..kau lupa lah ni. Esok kan Darius ajak buat reunion sempena dia nak kahwin dua minggu lagi. Lupa ke?”
“Aduh..aku lupa lah Di. So, macam mana? Ramai pergi esok?”
“Semua budak kelas kita pergi. Kau sorang je belum confirm ni.”
Hasnan terdiam seketika. Biarkan sahaja mesej dari Hadi itu bertanda biru. Fikiran dia sebenarnya lebih memikirkan apa yang perlu dia lakukan esok untuk selesaikan masalah bekalan daging.
Ish, pusing kepala aku macam ni! – rungutnya.
“Boleh lah. Aku follow lah esok. Tapi, kau kena datang ambil aku. Kereta aku belum service lagi. Tak boleh jalan jauh.
“Cantik! Complete kelas A1P6. Tak ada hal bro. Esok pagi selepas subuh aku terpacak depan rumah kau. Hahaha”
Rehat-rehat dulu lah. Nak kejarkan sangat duit tu bukannya boleh bawa ke mati – gumamnya lagi.
Dua minggu lagi salah seorang daripada rakan sekelas Hasnan ketika belajar di Matrikulasi Tangkak dahulu, akan melangsungkan perkahwinan. Dan, dia nak ajak semua rakan-rakan sekelas ini untuk menghabiskan waktu bujangnya dengan berkhemah di Hutan Merangkak.
“Macam dulu-dulu. Kita dulu kan, pantang ada cuti panjang, mesti nak pergi camping. Pantai lah, pulau lah, air terjun lah. Semua tempat kita nak try. Hahaha.” Jelas Hadi ketika dia datang menjemput Hasnan di rumah.
Kata-kata Hadi itu membuatkan Hasnan mula teringat-ingat memori ketika belajar di Matrik. Mereka satu kelas memang kaki camping. Jalinan persahabatan antara kami mereka cukup kuat. Mungkin juga jumlah mereka tidak ramai. Hanya ada 18 orang termasuk aku.
Apabila mengenangkan waktu dulu-dulu, fikiran Hasnan mula meneropong kepada Farah. Crush zaman matrik.
Agak-agak Farah follow tak trip ni? – fikirnya teruja.
“Tu beg besar tu, apa?” soal Musa, salah seorang dari kami yang turut sama menumpang kereta Hadi hari ini.
“Khemah lah. Kata nak camping.” Jawab Hasnan.
“Tak payah. Simpan je.”
“Apsal? Dah ada khemah? Takpe lah bawak je extra nanti tak cukup at least dah ada spare.”
“Ikut kau lah Hasnan.” Sampuk Faiz sambil menghembuskan asap rokoknya ke udara.
Hadi memacu kereta laju di atas lebuhraya. Matahari senja berlabuh keperangan cantik di langit barat. Kotaraya Metropolitan Lembah Klang makin lama makin hilang dari pandangan.
“Weh, ada pasar malam lah. Jom singgah nak?” cadang Musa sambil menunjuk ke arah pasar malam yang kelihatan cukup meriah di depan, setelah dua jam Hadi memandu.
“Ok juga. Lapar lah weh. Kita ni entah berapa lama lagi nak sampai?” soal Faiz.
“Lagi sejam sampai lah kot.” Jawab Hadi.
Hasnan hanya diam.
Pasar malam. Hampir setiap hari dia tengok pemandangan itu di depan mata. Hari ini kononnya nak rehatkan diri dari segala kesibukan dan keriuhan dunia itu tetapi di sini jugalah tiga lelaki ini hendak berhenti.
“Jom lah Nan!” Hadi memperlawa.
Hasnan mengangguk lalu menapak keluar dari kereta. Mereka berempat kemudiannya berjalan ke sana.
Gerai yang paling depan adalah gerai air jambu batu. Rupanya cukup menyelerakan. Musa awal-awal lagi sudah serang ke situ. Macam tak pernah jumpa pasar malam sahaja lagaknya.
Mata Hasnan sempat mengerling ke arah papan tanda yang ada di sudut tepi jalan sana.
TAPAK PASAR MALAM BUSUT JIN
Wow, boleh tahan scary nama tempat ni – gumam Hasnan sambil tersengih.
Baru beberapa detik dia memandang ke tempat lain, tiga lelaki tadi sudahpun hilang dari pandangan mata. Aduh, mamat tiga ekor ni memang jenis tak tunggu kawan ke macam mana?
Hasnan memanjang-manjangkan leher mencari mereka bertiga di dalam lautan manusia yang ramai itu namun kelibat mereka langsung tak kelihatan. Sejujurnya, dia dah lupa mereka pakai baju warna apa dan bagaimana rupa mereka sekiranya dilihat dari belakang.
5 tahun (atau mungkin lebih) dia tak bersua muka dengan semua rakan-rakan A1P6 ini – bukan jarak masa yang singkat. Manusia boleh berubah dengan mudah dalam masa 5 tahun.
Hasnan melangkah jauh ke dalam. Semakin ke tengah, suasana pasar malam beransur semakin riuh. Dari gerai-gerai makanan, dia kini entah macam mana boleh berada di gerai-gerai barangan basah. Langkahnya terhenti betul-betul di depan gerai menjual daging segar.
“Mari Kak! Mari Bang! Daging segar, daging segar, daging segar!”
Hasnan terkesima mendengar lolongan itu dari gerai di depannya. Dia terkedu. Kakinya tak mampu melangkah seolah-olah terpasak pada bumi. Dia cuba untuk berundur tetapi kakinya rasa lemah, langsung tak mampu diangkat.
Tangannya menggeletar. Dia mula rasa seram sejuk.
Lelaki di depan betul-betul serupa dengan wajah Hasnan. Mungkin pelanduk dua serupa. Kan orang selalu bercakap, dalam dunia ini, ada tujuh orang muka sama macam kita. Tapi, di depan dia kini bukan sahaja serupa tetapi sebiji!
Gaya pergerakannya, senyumannya, matanya, kumisnya, suaranya yang melolong, tingginya, warna rambutnya, semua sama. Malah, baju yang dipakai, Hasnan ada baju itu.
Lelaki itu sedang sibuk memotong daging. Hasnan telan air liur. Bulu romanya merinding tegak. Yang dipotongnya itu..lengan manusia!
“Bang, daging sekilo.” Ujar seorang pelanggan perempuan yang membelakangi Hasnan. “Nak yang bahagian batang pinang ni ye bang.”
“All right, no problem!” nadanya sama sahaja seperti Hasnan melayan pelanggan.
“Abang, biji mata ada tak bang?” soal perempuan itu lagi.
“Aduh..adik lambat lah. Biji mata ada orang dah beli siap-siap tadi.”
“Susah lah nak dapat biji mata.”
“Stok terhad dik. Sehari abang jual dua biji je.” Jawab lelaki itu. “Dua puluh, dik.”
Perempuan itu hulurkan sekeping not bernombor 20 yang Hasnan sendiri tidak kenal. Bukan not ringgit 20 berwarna kuning yang selalu dia lihat. Yang ini lain, betul-betul lain.
Perempuan itu berpusing sebelum menapak pergi. Sekali lagi mata Hasnan terbungkam kaget. Wanita itu langsung tidak memiliki wajah. Kosong sahaja tanpa mata, hidung dan mulut.
Pada masa itulah baru dia sedar, rupa-rupa wajah pengunjung di sini semuanya tidak normal. Lelaki bertopi di sana sedang menjilat aiskrimnya, lidahnya bercabang seperti ular. Wanita tua bertongkat di sana, kakinya seperti sotong. Budak kecil dua orang yang bemain kejar-kejar di tepi sana, tubuh mereka berwarna hijau dan biru macam disimbah cat. Mata mereka berkilau merah.
Ssssss! – bunyi desiran melintas di telinga sebelum Hasnan dikejutkan dengan seorang perempuan berambut ular sedang lalu di sebelah, menuju ke kedai apam balik berinti tikus cheese leleh special di sana.
Adrenalin Hasnan mungkin sudah banyak bertugas, dia akhirnya berjaya gagahkan diri untuk melangkah pergi. Bulu roma masih belum berhenti berdiri. Dia terlalu takut. Dia mahu cepat-cepat keluar dari sini. Entah apa tempat yang dia masuk ni?
Namun, baru kakinya melangkah setapak,
“Tak meniaga malam ni?” lelaki di gerai daging itu menegur Hasnan. Perlahan-lahan dia berpaling ke arah lelaki itu.
Lelaki itu memandang Hasnan sambil tersengih. Tangannya gigih membasuh darah-darah yang mengotori meja jualannya menggunakan air putih yang telah dibawa siap-siap – seperti selalu Hasnan buat. Senyuman itu..senyuman itu..
Handsome juga bila aku senyum sinis macam tu – gumam Hasnan.
“Apa tempat ni? Kau siapa?” soal Hasnan
“Kau salah masuk tempat ni kawan. Ini bukan tempat kau.”
“Aku tahu.”
“Tapi kau dah nampak.” Lelaki itu bertegas.
“Nampak apa?” soal Hasnan takut-takut.
“Jangan tanya aku soalan bodoh.”
Hasnan terdiam. Mungkin maksud lelaki itu, sekelilingnya ini. Ini rupa sebenar mereka. Dan dia tak sepatutnya nampak. Ah, dia sendiri tak tahu kenapa dia boleh lihat semua ini.
“Aku tak ceritakan pada orang. Percayalah.”
“Manusia. Kaum kau mana pernah pegang pada janji.”
“Aku janji! Aku janji!” Hasnan bertegas walaupun nada dia sebenarnya seakan-akan hendak menangis.
“Baik..kalau macam tu, kau kena buat sesuatu untuk aku. Selepas itu, kau tak ada apa-apa hutang lagi dengan kami.”
“Kami?” soal aku.
Mata lelaki bermuka Hasnan itu mengerling ke arah sekeliling. Hasnan juga turut pandang ke sekeliling. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat semua orang di kawasan itu sedang memandang ke arahnya dengan mata yang terjegil.
“Bawa kepada aku satu tubuh manusia untuk aku jual.”
“Kau gila?! Aku takkan membunuh!”
“Kalau macam tu..” lelaki itu bergerak menghampiri Hasnan. Ada beberapa antara mereka yang lain di situ juga datang menghampiri. Yang bermuka katak, yang berlidah ular, yang bermata satu, yang ada belalai gajah, yang bertelanjang bulat, yang rambutnya mengurai sampai ke kaki, yang merangkak seperti labah-labah, semuanya datang mendekat. Mengepung Hasnan di tengah-tengah.
“Sekali lagi aku tanya. Kau nak bawakan aku tubuh manusia atau tidak. Bukannya susah pun. Aku tak minta banyak. Satu sahaja.”
“Taknak! Kau semua ni setan!”
Grrrrrrrrr – lelaki bermuka Hasnan mula berdengus. Deraman dari tekaknya kedengaran garau dan marah.
“Bunuh dia!!!” jerit lelaki itu.
Serta merta Hasnan melompat ke udara lalu tubuhnya bertukar menjadi seekor burung hantu berbulu coklat yang cukup besar.
“Huh?!” semua yang ada di atas tanah terkejut dengan perubahan yang berlaku pada tubuh Hasnan. Hasnan kemudiannya mengepak terbang laju meninggalkan tapak pasar malam itu lalu menuju ke kereta milik Hadi.
Hadi nampaknya sedang runsing menelefon seseorang di luar kereta., sambil melabuhkan punggungnya ke bonet depan keretanya. Satu tangan memegang telefon, satu lagi memegang puntung rokok yang sudah separuh dihisapnya. Faiz dan Musa sedang duduk di dalam kereta, di tempat duduk belakang. Faiz sedang makan manakala Musa sedang bermain game di telefon bimbitnya.
Hadi tidak sedar kehadiran Hasnan yang dengan pantas mendarat di belakang kereta dan bertukar ke tubuh manusianya semula. Menonong sahaja Hasnan melangkah masuk ke tempat duduk di sebelah pemandu.
“Weh, Hasnan! Kau pergi mana?” soal Faiz terkejut dengan kehadiran lelaki itu.
“Pasar malam lah. Korang banyak beli makanan?” soal Hasnan tercungap-cungap.
“Kau tahu tak dah dekat dua jam kitorang tunggu kau. Budak-budak kelas kita tak henti-henti telefon kita orang, tanya kenapa tak sampai-sampai lagi.”
Hasnan terdiam. Dia dilema sama ada dia patut bagitahu hal sebenar atau memberikan sebarang alasan lain.
“Di, ni Hasnan dah muncul.” Faiz memanggil dari tingkap. Hadi menoleh ke belakang. Apabila dia menyedari kehadiran lelaki itu, dia segera masuk ke dalam kereta.
“Kau pergi mana Nan?” soal Hadi, sedikit marah.
“Aku lepak makan dekat kedai sup tadi. Ada pakcik tu ajak borak tak henti-henti. Aku cakap nak blah tapi dia asyik duk tahan. Terpaksa lah aku layan sekejap.” Hasnan berbohong.
“Sekejap? Kau tahu tak dah dua jam kitorang tunggu kau.”
“Sorry la.”
Hadi tergeleng kecil. Laju sahaja dia memasukkan gear lalu meluncur laju ke depan. Ketika kereta itu berselisih dengan kawasan pasar malam, Hasnan dapat lihat ada beberapa entiti tanpa muka sedang berdiri di bawah papan tanda TAPAK PASAR MALAM BUSUT JIN.
***
45 minit perjalanan.
Sepatutnya perjalanan itu memakan masa lebih dari satu jam. Entah apa yang digesakan sangat oleh Hadi sampaikan dia memandu terlalu laju untuk sampai ke destinasi. Faiz dan Musa hanya diam di belakang padahal Hasnan dah berdebar-debar melihat cara Hadi melayan selekoh.
Mereka akhirnya tiba di sebuah perkarangan rumah banglo yang cukup cantik. Lampu pagarnya bulat-bulat dipasang terang hampir di seluruh pelusuk banglo. Rumah mewah itu terletak di atas sebuah bukit.
Hasnan menapak turun setelah Hadi menghentikan keretanya di sebelah deretan kereta-kereta yang lain. Rata-rata kereta yang ada semuanya kereta import. Tiada satu pun kereta buatan Malaysia.
Hasnan kemudiannya memandang ke arah pemandangan lautan lampu yang datang dari kawasan bandar di bawah bukit sana. Such a nice view.
“Patut lah korang cakap tak payah bawak khemah.” Hasnan bersuara.
“Last minute cancel. Darius cakap dia dah sewa banglo untuk kita buat gathering.” Jelas Hadi. Nada suara dia nampaknya sudah elok. Mungkin marahnya sudah reda.
“Tapi kalau kau teringin nak pacak khemah dekat laman dia ni pun apa salahnya.” Faiz berseloroh mengundang tawa dari mereka semua.
Lega. Mereka nampaknya dah tak marah pada aku. – gumam Hasnan.
“Yo! Guys! Lambat gila korang sampai. Party already started!” Darius menyapa dari ruang tamu banglo itu setelah mereka semua melangkah masuk dari pintu utama yang cukup besar dan tinggi. Pintu kayu jati dengan corak ukiran abstrak bunga-bunga. Ukiran tampak teliti.
Harga pintunya sahaja boleh jadi hampir sama dengan harga rumah sewa Hasnan sekarang.
“Guys!!!” segerombolan rakan-rakan perempuan dalam kumpulan ini terpekik kegembiraan sambil melambai-lambai menerima kehadiran mereka.
Mereka semua sedang berkumpul di tepi kolam renang yang terdapat di tengah-tengah hall. Meja penuh dengan makanan.
“Jemput makan. Letak dulu beg korang kat tepi. Nanti dah malam, semua nak masuk tidur, aku bawa korang ke bilik masing-masing.”
“Bilik ada banyak ke Darius?”
“Banyak. Kalau kau nak tidur sorang-sorang pun boleh. Tapi..” Darius tersenyum sinis. “Banglo ni jarang orang guna. Kau tahu kan kalau rumah ditinggalkan lebih dari 40 hari ada apa duduk?”
“Woi, cabul mulut kau ni.” Hadi mencelah.
“Kau tengok muka Hasnan, pucat dah tu.” Faiz berseloroh mengundang tawa mereka berlima di situ.
“Dah, dah. Let’s partying!”
Darius menyauk lengannya ke belakang leher aku dan Musa lalu kami berempat dibawa ke arah kolam renang di tengah-tengah hall itu. Ada beberapa rakan-rakan Hasnan di situ yang sudahpun tidak berbaju dan hanya berseluar pendek, sedang berendam di dalam air. Di tangan mereka ada gelas berkaki halus yang berisi air berwarna merah pekat.
“Nan! Lama aku tak jumpa kau. Come, lepak-lepak chill dalam kolam ni.”
“Korang tak sejuk ke malam-malam berendam macam ni.”
“Come on Nan. Tak ada sejuk lah.”
“Takpe. Korang borak-borak dulu. Aku ambik makanan sekejap.”
“All right. No problem dude.”
Hasnan menuju ke arah meja besar yang penuh dengan makanan di atasnya. Nampaknya macam ada spegeti, pizza, ayam goreng, coleslaw, salad buah, ayam madu, cupcake, epal, pisang bakar, coklat fountain, marshmallow, macaroons, beberapa botol air yang Hasnan tidak kenal rupanya dan seorang lelaki yang lengkap berpakaian putih seperti pelayan di sebuah restoran mewah sedang berdiri di tepi meja. Dia satu-satunya manusia yang Hasnan tak kenal di situ.
“Air apa ni?” soal Hasnan kepada lelaki itu.
“Sparkling tuan.” Jawab lelaki itu.
“Mabuk?” soal Hasnan lagi.
“Eh, tak.” Jawabnya lagi sambil tersenyum. “Tuan nak cuba, saya boleh recommend yang ini.”
Lelaki itu ambil satu botol sparkling anggur lalu dituangkan ke dalam gelas berkaki ramping – gelas yang selalu orang putih guna buat minum arak itu lah.
“Hai, Man.” Farah menegur dari belakang.
“Hai..Farah.” Hasnan membalas, malu-malu. Apatah lagi apabila melihat gadis itu sekarang sudah tidak bertudung seperti lima tahun dulu. Time changes, so do people.
Hasnan pernah sukakan Farah masa belajar di Matrik dahulu. Masa tu, dia dah ada boyfriend. Hasnan pula jenis budak baik, takkan ambil hak orang. Dia selesa berkawan dengan Farah. Budaknya manis, baik dan yang membuatkan Hasnan suka gila-gila pada Farah, perempuan itu sangat tak kisah dalam bab tolong-menolong. Cuma itulah, apabila terlalu caring dekat semua orang, Hasnan rasa Farah layan dia dengan lelaki lain seolah-olah sama sahaja. Tak ada yang special cara Farah melayan Hasnan.
“Cantik Farah sekarang.” Hasnan memuji.
Takkan tak cantik. Tengok lah tu, dah pandai pakai make up, rambut dah perang sedikit, mata nampak makin besar bila pakai contact lens tu.
“Kenapa? Dulu Farah tak cantik ke?” soal gadis itu.
“Dulu budak-budak lagi. Cantik juga tapi tak jelita macam sekarang.”
“Ada-ada je lah Nan ni. Nan pun, Farah tengok handsome sekarang.” Farah ketawa kecil. Muka Hasnan merah padam apabila dipuji gadis itu. Air sparkling anggur ditangan dicicipnya sekali bagi menghilangkan gugup.
“Nan buat apa sekarang ni? Lama aku tak dengar khabar berita tentang Nan.” Soal gadis itu lagi.
“Nan meniaga. Kecik-kecik je.”
“Wow, businessman. Mesti masyuk.”
“Tak ada lah. Bisnes kecil je.” Jawab Hasnan. “Farah pula, sekarang buat apa?”
“Farah kerja dekat Petronas. Account Exec..”
“Wow, wanita korporat.” Hasnan pula memuji, lagak nada sama seperti Farah tadi. Farah terhambur ketawa.
“Lawak lah Nan ni. Sama macam dulu-dulu.” Ujarnya lagi.
“Ai, cinta nak berputik ke?” Hadi mencelah.
Farah sekadar ketawa kecil. Hasnan juga tersipu-sipu malu. Dalam hati Hasnan ketika itu, wow minah ni tak membantah. Adakah ini hint?
***
Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Ramai yang sudah naik ke bilik masing-masing. Hasnan juga tak terkecuali. Dia tidur sebilik dengan Hadi. Mamat tu, sudah sejam lebih terbungkam di atas katil. Pakej sekali dengan dengkuran yang cukup merimaskan. Sejujurnya, Hasnan tak boleh tidur dalam keadaan bising seperti ini.
Dia turun semula ke Hall lalu berbaringan di atas sofa. Remote tv yang ada di atas meja, dia capai lalu televisyen dipasang. Dia pilih siaran HBO. Filem Inggeris yang Hasnan tak kenal tajuk dan ceritanya, dibiarkan bermain. Dia capai telefon bimbit. Tiba-tiba ada satu mesej melalui Whatsapp masuk dari nombor yang tak dikenali.
Tak tidur lagi ke?
Siapa ni?
Pandang belakang
“Laa..Farah ke? Kenapa tak tidur lagi?” soal Hasnan lalu bangun dari baringan.
“Entah lah. Tak mengantuk.”
Farah duduk di sebelah Hasnan, di atas sofa yang sama. Betul-betul di sebelah membuatkan Hasnan mula rasa tidak keruan.
“Tengok movie apa?” soalnya lalu meletakkan secawan kopi ke atas meja di depan.
“Tak tengok pun. Saje je bukak.”
“Oo..nak kopi?” soal Farah.
“Tak apa lah. Nanti makin susah tidur pula.”
“Farah ni pelik sikit. Senang tidur kalau dapat kopi.”
“Serious la?”
“Betul. Dulu masa study accounting dekat UUM, Farah selalu buat kopi kalau nak masuk tidur. Roommate semua pelik tengok Farah senang tidur lepas minum kopi.”
“Wow, that’s weird.”
“Nan cakap Farah pelik?” wajah gadis itu sedikit berkerut. Satu tumbukan manja sengaja dihayunkan ke bahu.
“Weird but unique. At least Farah ada identiti sendiri. Farah – Si Gadis Kopi O.”
“Hahahaha..lawak lah Nan ni.” Sekali lagi tangan gadis itu ringan menampar bahu kekar Hasnan.
Mereka berdua senyap kemudiannya. Suasana tiba-tiba menjadi janggal. Hasnan mula rasa nak menggelabah sampaikan beberapa kali dia berdehem sambil berpura-pura melihat ke arah telefon bimbit. Dia kalau masuk fasa gemuruh macam ni, mesti rasa nak berdehem sahaja.
“Nan dah kahwin?” soal Farah tiba-tiba. Hasnan pantas memandang ke arahnya yang duduk di sebelah.
“Belum. Siapalah nak dekat Hasnan ni Farah..”
“Girlfriend?”
“Man sibuk cari duit untuk hidup. Tak ada masa lagi nak cari perempuan. Lagi pun, Nan rasa Nan muda lagi lah.”
“Umur macam kita ni dah sesuai cari pasangan hidup. Takut nanti terus tak kahwin-kahwin.”
“Kalau untuk perempuan, betul lah kot. Kalau lelaki, Nan rasa kita muda lagi.”
“At least carilah girlfriend, Nan. Buat kenal-kenal dulu setahun dua. Lepas tu nak kahwin, kahwin lah.”
“Siapa lah nak dekat Nan ni Farah..”
“Eh, siapa yang tak suka dekat orang macam Nan ni? Baik, rajin, rupa pun ada.”
“Ada ke orang suka lelaki pasar malam macam Nan ni Farah? Perempuan zaman sekarang, nak lelaki pakai Honda. Tak layan lelaki bawa lori daging macam Nan ni.”
“Ada..Farah suka.” Bisik Farah perlahan ke telinga Hasnan.
Hasnan mula rasakan telinganya panas. Nafas Farah dia dapat dengar cukup jelas walaupun televisyen di depan hampir separa menjerit volumnya.
Mata mereka saling bertentang. Farah memandang Hasnan dengan pandangan yang cukup dalam. Senyumannya cukup manis. Bibirnya tampak gebu dan lazat.
Tiba-tiba Farah memejamkan matanya. Mukanya semakin lama semakin didekatkan dengan wajah Hasnan sehinggalah bibir mereka bertaut. Hasnan dapat rasakan nafasnya yang hangat itu dihembus perlahan dan manja. Bibirnya terasa cukup manis.
“Hmmmm” Farah merintih nikmat.
Farah kemudiannya bangun sambil ketawa kecil. Matanya melirik manja bersama kuntum senyuman yang menggoda. Dia tarik tangan Hasnan yang nampaknya kelihatan semakin dahaga, menuju ke sebuah bilik yang tidak digunakan di sudut belakang.
“Tunang Farah tak pernah layan Farah sebegini rupa. Setiap kali Farah cuba, dia pasti menolak.” Ujar Farah perlahan lalu leher Hasnan pula menjadi sasarannya. Tangannya pula pantas memecat baju yang Hasnan pakai.
Hasnan berlenging, mendedahkan tubuh sasa seorang lelaki yang dia bangga-banggakan. Dia dahulu pemain ragbi pasukan universiti yang disegani. Tubuhnya kemudian ditolak jatuh ke atas katil empuk di belakang. Dadanya disasar oleh lidah Farah - rakus.
Udara atas bukit ini kira-kira mungkin mencecah 23 darjah celcius. Cukup sejuk untuk manusia berdarah khatulistiwa seperti Hasnan ini tidak berbaju tetapi kehangatan Farah berjaya menenggelamkan hawa dingin ini.
“Kau dah bertunang?” Hasnan menolak kepalanya agar dadanya tidak lagi dikucup Farah penuh nafsu.
“Come on, Nan. Don’t stop it. We do it well.”
“No! Kau tunang orang!”
Hasnan segera bangun dari pembaringan, menolak Farah turun dari terus terkangkang di atas tubuhnya.
“Aku tau kau suka. Jangan jadikan alasan tunang aku tu untuk kita berhenti.” suara Farah tiba-tiba garau. Perlahan-lahan wajah gadis itu bertukar menjadi..
Wajah HASNAN!
Hasnan terpempan. Bulu romanya naik remang.
Aku berjimak dengan diri aku sendiri? Fuck! – bentaknya.
“Sial kau setan!” Hasnan memekik lalu dia hayunkan tangan ke wajah lelaki bermuka sepertinya itu.
Tiada kesan. Wajahnya lelaki itu masih jitu tak berganjak walaupun ditumbuk. Tangan Hasnan pula yang memerit sakit. Hasnan meraung pedih. Wajahnya keras macam batu.
Aku nak daging manusia!!! Waarrrggghhhh!!
Lelaki itu mengangakan mulutnya besar-besar lalu meluru laju ke arah Hasnan, seperti hendak menelan. Serta-merta Hasnan berubah wajah. Tubuhnya membesar. Bulu-bulu kasar tumbuh disekeliling tubuh. Hidung dan mulutnya makin tirus ke depan.
Grrrrrrrr – Hasnan berdengus garang. Dia kini seekor Serigala.
“Siapa kat dalam ni? Aphal bising-bising ni?” Farah yang entah sejak bila turun ke bawah, membuka pintu bilik itu. Menyedari ada seekor Serigala besar sedang berdiri di dalam bersama-sama ‘Hasnan’, Farah lantas menjerit.
‘Hasnan’ berlari laju ke muka pintu itu lalu tangan gadis itu ditariknya.
“Lari!” ujar ‘Hasnan’
Aaauuukkkkkkkk – Hasnan yang sebenar menyalak panjang. Dia kemudiannya melompat keluar dari bilik itu menuju ke ruang tamu.
“Aaaaaaa!!” Farah menjerit semakin kuat. ‘Hasnan’ masih ada bersamanya. Dia tersenyum sinis berjaya membawa Farah lari dari diri Hasnan yang sebenar. Mereka berdua berlari keluar dari banglo mewah itu.
“Kereta Farah yang mana?” soal ‘Hasnan’
“Vios tu tapi Farah tak ada kunci sekarang.” Jelas Farah cemas.
Cip! Cip! – lampu menyala. Kereta Toyota Vios milik Farah berjaya dibuka, entah macam mana. Farah buntu seketika.
“Masuk sekarang!” pekik ‘Hasnan’.
Setelah mereka berdua masuk ke dalam, Bamm!! Hasnan sang Serigala melompat ke atas bonet depan kereta itu. Dia mengetuk cermin depan kereta itu menggunakan kukunya yang tajam. Farah di dalam menjerit-jerit sambil memeluk ‘Hasnan’. ‘Hasnan’ tersenyum puas dan sinis sambil memandang ke arah Hasnan Sang Serigala yang sedang marah.
“Hasnan!” satu suara memanggil tidak jauh dari situ. Hasnan Sang Serigala memandang ke arah kelibat seorang lelaki yang entah sejak bila sedang berdiri di bawah tiang lampu di depan sana.
“Ikut saya.”
“Kau siapa?!” jerit Hasnan. Bungkam mata Farah apabila melihat Sang Serigala boleh berkata-kata.
“Abraham.” Lelaki itu memperkenalkan diri. “Saya nak kamu ikut saya.”
“Ah, aku kena hapuskan setan ini dulu!”
“Jangan kau terpedaya dengan tipu helah mereka Hasnan! Perempuan itu juga lakonan mereka!”
Kedua-dua Hasnan dan Farah di dalam kereta ketawa berdekah-dekah apabila melihat Hasnan Sang Serigala terkejut mengetahui hal yang sebenar.
“Waaaarrrrgggghhhhhh!!” Hasnan mengaum lalu tubuh Serigalanya itu makin membesar lalu bertukar bentuk menjadi seekor Gorilla pula. Cermin kereta itu diranapkan cukup mudah namun apabila kacanya berderai, kedua-dua Hasnan dan Farah tadi menghilang bak debu hitam – berderai melayang ke udara. Suara gelak berdekah-dekah mengejek sayup-sayup kedengaran.
“Aku akan datang tuntut janji aku Hasnan! Kau hutang dengan aku satu tubuh manusia!” suara lelaki itu menitip pesan sebelum hilang.
Perlahan-lahan tubuh Hasnan kembali menjadi tubuh manusia. Dia tercungap-cungap letih. Abraham datang mendekat.
“Tidur lah. Aku akan bawa kau ke tempat sepatutnya kau berada.”
Hasnan lelap selepas itu.
***
“Nan, makan jom.” Khai memanggil dari luar bilik selepas beberapa sesi ketukan dibuat pada pintu.
Laju sahaja Hasnan bangkit bangun menuju ke pintu. Pintu di buka. Lelaki kacukan Melayu-Korea itu sedang berdiri sambil tersengih di luar biliknya. Dia hanya berbaju t-shirt hijau Iron Maiden. Seluar jeans biru ketat yang kadang kala buat Hans rasa confuse itu seluar jeans lelaki atau perempuan. Tahu lah kaki tu keding.
“10 minit. Aku bersiap sekejap.” Ujar Hans. “Masuklah dulu.” Dia mempelawa rakan baik merangkap rakan setugasnya itu.
Hari ini hari Sabtu. Hari cuti hujung minggu. Dia tak perlu mengajar. Nak keluar ke Bandar Teluk Bayang pun rasa malas. Khai ada ajak semalam tetapi entah kenapa dia berasa berat kaki untuk ke sana. Sebetulnya, dia nak berehat. Minggu ini terlalu penat di sekolah. Dia sibuk menguruskan latihan teater yang akan dipertandingkan oleh pelajarnya tak lama lagi.
Khai sekadar menggeleng kecil. Dia dah masak benar dengan perangai Hasnan walaupun mereka baru berkenalan cuma sejak setahun yang lalu, ketika kali pertama Hasnan dibawa masuk oleh Cikgu Abraham. Khai lantas masuk lalu melompat berbaringan ke atas katil. Dia capai sebuah komik yang ada di dalam rak di tepi katil.
“Jom lah.” Hasnan mencuit kaki Khai, yang masih sibuk dengan komik yang baru dibelinya semalam di kedai buku.
“Kata sepuluh minit. Ni aku tengok dah setengah jam.” Rungut Khai sambil melihat ke arah jam tangannya. Komik ditangan disisip semula ke dalam rak.
“Aku dah siap lama dah. Kau tu aku tengok asyik je baca buku tu. Tak tergamak pula nak ganggu.”
“Habis tu, yang ni kau kacau juga.”
“Lapar lah pula. Tak boleh tahan. Tangan aku ni menggigil kalau tak makan. Karang aku bertukar jadi singa, makan kau karang. Nak?”
“Ye lah. Ye lah. Jom lah.”
Kedua-dua rakan baik itu menapak menuju ke kafeteria. Hari ini hari Sabtu. Suasana di kafeteria tidaklah sibuk seperti hari-hari kebiasaan. Menu Set Jimat hari ini, nasi putih panas-panas, ayam masak merah serta acar timun dan nenas serta air teh o ais. Berselera sungguh kedua-dua mereka menjamu selera.
“Kau ada dengar tak, ada budak baru masuk Isnin lepas. Perempuan. Form 3.” Hasnan membuka topik sambil tangannya masih gigih menyuap nasi ke mulut.
“Cun?” soal Khai.
“Boleh tahan.” Hasnan tersenyum teruja. “Aku dengar dia tu lemah semangat sikit. Hari kedua dekat sini dia dah pengsan dalam kelas.”
“Terkejut sangat kot.” Khai menduga “Kita dulu masa masuk sekolah ni pun boleh tahan culture shock juga. Kau tu, tiap-tiap hari cakap nak resign. Tak ingat?”
“Kahkahkah apa benda lah ungkit cerita lama.”
“Alah..lama-lama nanti budak perempuan tu dapat la biasakan diri.”
“Tapi..” Hasnan mula kedengaran serius. Khai menghentikan suapannya. Dia memandang ke arah Hasnan. “Dia duduk sebilik dengan Marisa, budak kelas 3 Zuhal tu.”
Mendengar kata-kata Hasnan itu, Khai terus berhenti mengunyah. Dia betul-betul terperanjat. Kenapa dalam banyak-banyak pelajar di sekolah ini, Cikgu Abraham tempatkan gadis baru itu dengan Marisa? Ah, dia tak boleh nak salahkan Cikgu Abrahan seratus peratus. Cikgu Abraham sendiri tak kenal siapa Marisa. Malah satu sekolah ini sebenarnya tak kenal siapa Marisa. Hanya dia dan Hasnan yang tahu. Terima kasih buat lukisan yang pernah Khai hasilkan. Dari situlah dia dapat tahu siapakan Marisa sebenarnya.
“Serious la?” soal Khai.
“Betul. Masa hari kedua dia dekat sini, dia pengsan dalam kelas. Marisa yang temankan dia dekat bilik sakit. Ada juga budak-budak nampak dia duduk lepak petang-petang dengan Marisa dekat taman tasik depan sekolah.”
“Tak boleh jadi ni. Kita kena buat sesuatu sebelum Marisa apa-apakan budak perempuan tu.”
“Kau nak kita buat apa? Tak ada orang tahu pasal Marisa tu. Cuma kau dan aku je. Susah Khai.”
Hasnan sudah mati selera. Dia segera bangun menuju ke singki untuk mencuci tangan. Khai membontotinya.
“Panjang umur. Tu lah perempuan yang aku cakap tu.” Ujar Hasnan sambil memandang ke dalam cermin. Khai memandang ke arah gadis yang sama, juga di dalam cermin. Bulu romanya naik meremang.
“Baru aku ingat, kalau tak silap aku, nama dia Orkid.” Ujar Hasnan. Khai segera berpaling ke belakang - cemas. Dia pandang dalam-dalam ke arah gadis itu yang sedang mengambil makanannya di kaunter. Marisa ada di belakang gadis itu. Marisa sedar dia sedang diperhati oleh kedua-dua gurunya itu. Dia lantas melemparkan senyuman ke arah mereka berdua.
Khai rasa berdebar. Dengan pantas Khai melangkah laju pulang ke biliknya. Hasnan mengekori.
Khai berdiri memandang ke arah dinding biliknya. dinding biliknya ada banyak lukisan yang dia sendiri lukis. Dan salah satu lukisan yang ada di situ, gambar seorang perempuan yang sedang beratur membeli makanan. Dia belakang perempuan itu, ada seorang lagi perempuan yang sedang menerung tajam ke arah sini.
“Weh, sama! Sebijik!” komen Hasnan apabila melihat gambar lukisan yang ditatap dalam oleh Khai itu. Gadis di dalam lukisan itu sama seperti rupa Orkid.
“Aku lukis ni setahun lepas.” Jelas Khai sedikit gugup.
“Wait. Ini pun Orkid kan?” soal Hasnan apabila melihat satu lagi gambar lukisan seorang perempuan, wajahnya cukup iras dengan Orkid, sedang berdiri di tengah-tengah padang ais yang penuh ceracak-ceracak tajam. Mukanya garang dan penuh rasa marah.
Mayat-mayat bergelimpangan di sana-sini. Bangunan utama SMK Pulau Bayang kelihatan ranap di belakang.
-Tamat Bahagian 4-
=========================
Siri H.E.R.O sebelum ini:
1. ORKID
2. EHSAN
3. ROBYN
=========================
SIRI H.E.R.O - HASNAN
© Muiz Robyn
*gambar hasil carian Google.
Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaaa pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!
No comments:
Post a Comment