Monday, 8 January 2018

BELAAN - Shaha Rahman


Tajuk: BELAAN.


==================================


Aku dan Iman berjalan seiringan di bahu jalan. Hanif hanya mengikuti dari belakang, setia membontoti langkah kami berdua. Suasana pada malam itu sedikit lengang, kenderaan yang melalui jalanraya itu dapat dibilang dengan jari. Aku dan Hanif hanya berdiam diri, menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi. Hanya Iman sesekali bersiul riang, entah apa yang bermain di kotak fikirannya.


Aku mendongak memandang langit yang luas terbentang, gelap bagaikan kanvas yang di cat hitam. Bulan sabit berselindung disebalik awan, malu-malu ingin menunjukkan dirinya yang indah. Bintang pula bertaburan di dada langit, menjadi peneman setia kepada sang rembulan. Indah..

"Subhanallah..," gumam hatiku sendirian. Maha Suci Allah yang menjadikan alamnya penuh dengan keindahan, kecantikan. Tanpa disedari, aku tenggelam dalam keasyikkan fatamorgana dunia.

"Harapan hatiku ingin hidup bahagia. Tetapi mengapa sering saja hati ini diluka.. Baru ku cuba hendak bercinta, lalu engkau pun buat angkara.. Mengapa mesti, aku yang menjadi mangsa.." Iman menyanyi lagu yang berjudul Siapa Yang Rampas Cintamu, nyanyian kumpulan Ukays.

"Amboi lagu.. Jiwang.. Baru putus cinta ke?" Aku menyoal, mengusik Iman.

"Biasalah.. Orang miskin macam kita ni siapa lah nak kan.. Hahaha." Jawab Iman bergurau.

"Elehhh. Takde orang nak konon. Padahal memilih." Kata aku lagi mengejek. Iman hanya mampu tersengih seperti kerang busuk sambil tangannya menggaru kepala yang tidak gatal.

"Ehhhh. Gelap je kedai Makcik Leha. Kedai Pakcik Ramli pun gelap jugak tuu." Ujar Iman sambil tangannya menunjukkan ke arah kedai makan yang berjarak 50 meter dari kami.

"Laaa.. Tutup ke? Takleh rasa laaa nasi goreng pataya Makcik Leha. Mengidam lama dah ni." Kata aku sedikit mengeluh.

"Lahhhh.. Dah macam perempuan mengandung, mengidam bagai." Kata Iman mengejek. Aku hanya mencebik. Hanif yang berdiam diri sedari tadi hanya tersenyum melihat gelagat kami berdua.

"So, kita nak makan kat mana nie?" Soal Iman tidak sabar, memandang aku dan Hanif bergilir-gilir.

"Tu.. Kedai Pak Kassim bukak. Jom laaa.." Aku mengajak sambil menapak langkah ke arah kedai Pak Kassim yang berada paling hujung.

"Ok ke makanan kat kedai dia? Kalau tak silap, hari tuu Faiz cakap kurang sedap." Soal Iman. Kata-kata Faiz yang bermain-main di kotak fikirannya terus diluah tanpa berselindung. Dia bagaikan berat hati ingin ke sana.

"Nak buat macam mana, kedai dia je bukak. Lagipun, tu ramai orang tu kan. Sedap la kot." Balas aku cuba menyedapkan hati Iman. Iman akur, kaki dipaksa untuk melangkah.

"Anak Pak Kassim cantik tau." Aku berkata sambil menjeling kearah Iman. Muka yang sedikit masam mencuka tadi mula tersenyum lebar.

******************************

"Huishhhh. Boleh tahan ramai jugak pelangan kedai Pak Kassim ni ye." Kata Iman lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Hanif mengangguk perlahan, mengiyakan kata-kata Iman. Aku duduk berhadapan Iman, manakala Hanif mengambil tempat di tepi aku.

"Minum?" Soal Pak Kassim yang berdiri tercegat di tepi meja, entah bila dia datang ke meja kami.

"Bagi milo ais." Aku mulakan bicara.

"Saya nak teh tarik kurang manis." Iman pula mencelah.

Hanif?" Soal aku.

"Bagi air suam." Jawabnya ringkas.

"Air suam je?" Soal Iman lagi. Hanif mengangguk.

"Nak makan tak?" Soal Pak Kassim dengan suara garaunya. Wajahnya yang bermisai lebat menambahkan lagi aura kegarangan.

"Bagi saya nasi goreng pataya. Iman nak makan apa?" Aku menyoal Iman sejurus menjawab soalan Pak Kassim.

"Chicken chop ada?" Soal Iman sambil memandang muka Pak Kassim.

"Ada.." Jawab Pak Kassim ringkas, acuh tak acuh.

"Haaaa.. Kalau macam tuu bagi chicken chop laaa." Kata Iman sambil menggaru tangannya yang gatal digigit nyamuk.

"Hanif nak makan tak?" Soal Iman seraya memandang wajah Hanif. Hanif hanya menggeleng sambil bibirnya tersenyum kelat, menyembunyikan sesuatu.

"Hmmmmm.." Dengus Pak Kassim lalu beredar dari situ. Aku terpinga melihat kelakuan Pak Kassim, sedari tadi dia merenung tajam wajah Hanif, bagai menahan marah yang membuak. Hanif memandang ke bawah apabila terasa kakinya bergesel dengan sesuatu, lembut dan halus.

"Meow.. Meow.." Seekor anak kucing berwarna oren bermain-main di kaki Hanif. Ia mengiau manja apabila melihat Hanif memandangnya.

Hanif mengangkat anak kucing itu lalu menciumnya, diletakkan di atas riba dan dibelai lembut. Memang haiwan kesayangan Rasulullah s.a.w itu sangat disukai oleh Hanif.

"Iman, cantik tak ni?" Soal aku, mengacau Iman yang sedang asyik membelek skrin telefon pintarnya.

"Apa?" Jawab Iman spontan sambil melihat ke arah aku.

Hanif mengangkat lalu mendukung anak kucing tersebut, memperlihatkan kepada Iman.

"Comel.." kata Iman ringkas sambil membelai kepala anak kucing tersebut.

"Ni nama apa ni?" Soal Iman, bercakap dengan anak kucing.

Meowww.." Anak kucing dalam dukungan Hanif mengiau, seperti menjawab soalan Iman.

"Dia cakap nama apa Iman?" Aku mengusik.

"Ishhh.. Mengacau jeee ko ni." Balas Iman.

"Oooo.. Takde nama lagi erkk? Abang Iman bagi nama Oyen kat kamu ye.." Ujar Iman lagi sambil memandang anak kucing tersebut.

"Kenapa laaa kau ni comel sangat. Aku gigit jugak nanti kan.." Sambung Iman lagi, wajahnya geram melihat kecomelan anak kucing tersebut. Beberapa orang pelangan yang berada di meja yang berhampiran hanya tersenyum melihat telatah Iman.

"Uwaaaaaa.. Uwaaaaa.." Bayi yang berada selang beberapa meja dari meja kami menangis kuat, bagai menanggung sakit yang teramat.

"Laaaa.. Kenapa ni sayang?" Soal ibunya seraya mendukungnya.

"Kena gigit nyamuk kot.." Si suami menjawab, membuat andaian.

"Duu duu duu duu duu duu.." Ibu mendodoi sambil tangannya menepuk lembut anaknya yang masih tidak berhenti menangis, teresak-esak. Aku merenung lama, seperti ada satu kabus hitam yang berlegar-legar di sekeliling meja yang diduduki oleh keluarga tersebut. Sesekali aku menggosok mata, cuba memastikan apa yang aku lihat.

Hanif merenung tajam ke arah yang sama, matanya tidak berkelip. Wajahnya sedikit serius, terasa jelas aura kegarangan terpancar. Makhluk berkepala botak, tidak bermata dan tidak berhidung jelas pada pandangan Hanif, menggigit rakus kepala bayi sehingga si kecil itu menangis kesakitan.

"Tapppp.. Tappp.. Tapppp.." Aku menoleh laju, jantung bagaikan mahu luruh kerana terkejut.. 

‘’Cissss.. Pak Kassim ni buat suspen jeee….’’ Monolog aku sendirian apabila melihat Pak Kassim menghantar makanan, meletakkan di atas meja kami. Mata Pak Kassim masih merenung Hanif, tajam. Tiba-tiba, Hanif menoleh lalu membalas jelingan mata Pak Kasim, pandangan mereka bertemu.

Pak Kassim melarikan pandangan matanya setelah beberapa detik, tidak lagi merenung Hanif.

"Terima kasih." Ucap aku apabila melihat Pak Kassim seperti mahu beredar dari meja kami. Ucapan aku tidak berbalas, Pak Kassim menapak langkah ke dapur tanpa menoleh ke kiri kanan.

"Waaaaaah.. Nampak macam sedap.." Terpancul keluar kata-kata tersebut dari mulut Iman apabila dia melihat chicken chop berada di hadapannya. Nasi goreng pataya yang berasap nipis ditarik dekat, nampak menyelerakan. Aku menelan liur sendiri, terasa tidak sabar untuk mengisi perut yang kosong.

"Makan dulu yaaa." Kata Iman tidak sabar untuk menyumbat ketulan chicken chop yang dipotong kecil ke dalam mulutnya.

"Doa jangan lupa." Celah Hanif sebelum sempat Iman menyuap ke dalam mulut.

Hehehehe.. Terlupa laaa.." Balas Iman teragak-agak, termalu sendiri. Selesai membaca doa, aku dan Iman terus mengisi perut tanpa berfikir panjang.

"Sedap ni Hanif. Ambik laa try..," pelawa Iman kepada Hanif yang sedari tadi berdiam diri.

"Ehhh.. Takpe laaa.. Tak lapar.. Makan laaaa.." Balas Hanif sambil tersenyum.

Air suam di dalam gelas lutsinar yang berada di hadapannya direnung lama, dicapai gelas lalu diangkat perlahan-lahan.

"Bismillahirrahmanirrohim.." Bisik Hanif perlahan. Gelas disuakan ke mulut, lalu air di dalamnya diteguk perlahan-lahan.

"Uwaaaaaaaa.. Uwaaaaaaaaaaa.." Bayi tadi menangis lagi, kali ini lebih kuat tangisannya kedengaran.

"Duu duu duu duu duu.." Latifah setia mendodoi supaya anaknya berhenti menangis, makananya sudah tidak dihiraukan.

"Iqbal.. Kenapa ni? Sakit perut yaaa?" Soal Rahim, cuba berbicara dengan bayinya walaupun dia tahu mustahil bayinya bisa menjawab.

"Uwaaaaaaa.. Uwaaaaaaa.. Uwaaaaaaa.." Tangisan semakin kuat, bayi tersebut semakin galak menangis. Keluarga tersebut menjadi perhatian, semua mata di kedai Pak Kassim tertumpu kepada mereka. Ada yang memandang kasihan, ada juga yang memandang sinis, seperti tidak selesa dengan tangisan tersebut.

"Sekejap ya. Kita nak ke sana kejap." Kata Hanif. Aku dan Iman mengangguk serentak, tidak bersoal walau sepatah. Anak kucing di atas ribaannya diletakkan di atas kerusi di sebelah, Hanif berdiri lalu berjalan menuju ke arah keluarga tersebut. Oyen membuka luas mata, menggeliat lalu menutup kembali matanya, menyambung tidur yang terganggu.

Makhluk tersebut berhenti menggigit, kepalanya diangkat apabila terasa kehadiran seseorang menuju ke arahnya, terasa panas membahang. Menyedari manusia yang menghampirinya ini bukan sembarangan orang, makhluk tersebut menjauhkan diri, lari menuju ke dapur.

"Assalamualaikum." Sapa Hanif memulakan bicara. Bibirnya tidak lekang dari senyuman manis.

"Wa’alaikummussalam.." Jawab suami isteri tersebut hampir serentak, memandang hairan ke arah Hanif.

"Yaa, ada apa dik?" Soal Rahim memulakan bicara, bertanya akan tujuan Hanif.

"Tak ada apa. Nak tengok adik ni jee.." Jawab Hanif sambil memandang ke arah bayi yang di dalam dukungan Latifah. Bayi tersebut tangisannya sedikit mereda, menggapai tangannya ke arah Hanif seperti inginkan Hanif mendukungnya.

"Ohhh. Entah kenapa dia meragam malam ni dik. Kembung perut kot." Jelas Rahim, riak wajahnya sedikit gusar. Hanif hanya tersenyum, mengangguk faham.

"Boleh kita dukung dia sekejap abang, akak?" Soal Hanif meminta kebenaran. Si suami dan isteri saling berpandangan antara satu sama lain, berinterasi dengan raut wajah.

"Ohh.. Bo.. Boleh dik.. Dukung laaa.." Jawab Rahim teragak-agak, tidak yakin dengan jawapannya. Latifah menghulurkan bayinya yang masih menangis, walaupun sudah sedikit perlahan. Bayi bertukar tangan, berada dalam dukungan Hanif.

Bayi di dalam dukungan ditatap penuh kasih, dibelai dengan perasaan sayang.

"Dia kacau adik ya. Nanti abang pukul dia ya.." Kata Hanif perlahan, berbicara dengan si bayi. Si bayi di dalam dukungan memandang tepat wajah Hanif sambil badannya terhinjut-hinjut menahan tangisan yang masih bersisa. Dia bagaikan mengerti akan kata-kata yang keluar dari mulut pemuda asing yang mendukungnya.

"A’uzubillahiminassyaitonnirrojim. Bismillahirohmannirrohim.." Hanif membaca taawuz, diikuti oleh bacaan Basmallah. Pasangan suami isteri itu hanya melihat perbuatan Hanif, tidak membantah.

Mulut Hanif berkumat kamit membaca beberapa potong ayat-ayat suci al-Quran, lalu dihembus lembut ke arah wajah si bayi. Iqbal ketawa perlahan, dia menyangka Hanif bergurau dengannya apabila terasa tiupan angin lembut menjamah wajahnya yang gebu.

"Dia dah tak kacau adik kan?" Soal Hanif lagi seraya tersenyum, memaniskan roman wajahnya. Bayi tersebut ketawa terkekek, seperti mengiyakan kata-kata Hanif. Pasangan suami isteri itu dilanda hairan, tapi tidak berani untuk bertanya.

Iqbal menguap luas, mengantuk akibat keletihan. Hanif menepuk perlahan, penuh kasih sayang. Sesungguhnya bayi itu umpama kain putih, ibubapalah yang akan mencorakkannya kelak. Tidak sampai lima minit, bayi tersebut terlelap, lena ke alam mimpi. Melihat Iqbal sudah tidur lena, Hanif menyerahkan kembali kepada bapanya.

"Terima kasih dik. Dah tidur si Iqbal ni." Kata Rahim apabila bayi bertukar dukungan.

"Sama-sama abang." Jawab Hanif ringkas.

"Abang nak tanya sikit boleh?" soalnya Rahim.

"Boleh abang, InsyaAllah. Abang nak tanya apa tu?" Soal Hanif kembali setelah menjawab soalan Rahim.

"Kenapa dengan anak abang ni? Ada apa-apa mengacau ke?" Soalnya penuh waspada. Si isteri hanya pasang telinga, dia juga tidak sabar untuk tahu.

"Biasalah abang. Budak kecik memang nampak makhluk-makhluk ghaib nie. Hati mereka suci, masih bersih. Pandangan mereka tidak berhijab." Ujar Hanif panjang lebar. Rahim mengangguk tanda faham.

"Sekarang, hantu tuu ada lagi ke?"Soal Rahim, wajahnya sedikit gusar.

"Entah abang, mungkin dah balik tempat dia. Allahu a’lam.." Jawab Hanif berselindung, tidak beritahu perkara yang sebenar. Hanif sempat mengerling, jin yang berkepala botak, tidak bermata dan tidak berhidung itu sedang terapung terawang-awangan di dapur Pak Kassim. Sesekali ia mnyeringai kepada Hanif, menampakkan giginya yang tajam umpama duri, gigi yang rakus mengigit kepala Iqbal sebentar tadi.

"Jangan risau abang. Sebelum keluar amalkan ayat pendinding ya. Lazimkan bacaan al-Quran, agar sentiasa meniti di bibir. Ingat Allah sentiasa yaa..’’ Jelas Hanif lagi panjang lebar. Rahim mengangguk perlahan, wajahnya sedikit ditundukkan.

"Kita mintak diri dulu yaaa. Kawan dah lama tunggu tuuu.." Kata Hanif meminta diri.

"Ohhh.. Baik.. Baik.. Terima kasih dik." Ucap Rahim tersenyum.

"Sama-sama.." Jawab Hanif ringkas sambil membalas senyuman, lalu berlalu dari situ. Pak Kassim mencerlung Hanif, tajam.Matanya berurat merah, terjegil memandang pemuda itu.

"Dasar celaka.. Jaga kau budak bangsat.." Gumam hati Pak Kassim sambil mengetap gigi.

*******************************

"Jom.." Ajak aku selepas membayar, tidak mahu berlama-lama di kedai Pak Kassim. Sejujurnya aku berasa tidak selesa semasa berada di situ, bulu roma sentiasa meremang.

"Bye Oyen." Ucap Hanif lalu mencium anak kucing tersebut.

"Meoww.." Anak kucing itu mengiau manja, menghantar kami pulang dengan pandangan mata.

*******************************

"Boleh tahan jugak makanan kat kedai Pak Kassim. Sedapnya lain macam.." Ujar Iman sambil matanya fokus di hadapkan ke jalan. Jalan yang sedikit berbatu itu menyukarkan kaki untuk melangkah, harus berhati-hati agar tidak jatuh tersembam membaham bumi.

"Laa laaa laaa laaa laaaa.." Iman menyanyi-nyanyi, suaranya timbul tenggelam ditelan suara cengkerik yang turut berlagu riang.

"Happy nampak." Aku bersuara, membunuh kesunyian. Iman hanya tersengih, menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

Tiba-tiba, satu deruan angin yang agak kuat menerpa dari belakang. Serentak dengan itu, lampu jalan di hadapan mula berkelip-kelip ingin terpadam. Di bawah lampu itu kelihatan ada satu kelibat hitam yang sedang merenung tajam ke arah kami bertiga.

"Ehhhh.. Tiba-tiba jeee seram sejuk nie. Lampu pulak berkelip-kelip. Dah macam cerita hantu dah. Hehehe.." Kata Iman, menyuarakan apa yang terbuku di hati, seraya ketawa.

Hanif hanya tersenyum mendengar celoteh Iman. Aku juga turut tersenyum kelat, senyuman yang dipaksa-paksa untuk menyedapkan hati.

"Ehhh. Kenapa berhenti ni. Jom laaa balik. Nanti nak buat assignment pulak." Tambah Iman lagi.

"Iman. Tunggu jap. "Ujar aku sambil memegang lengannya.

"Kenapa?" Soal Iman hairan sambil memalingkan wajahnya memandang aku.

"Ada benda kat depan tuuu. Bawah tiang lampu." Ujar aku.

"Ehhh.. Main-main pulak ko ye." Balas Iman yang menganggap aku hanya bergurau.

"Betul ke?" Soal Iman apabila melihat reaksi muka aku serius, tidak senyum walau sedikit.

"Betul ke Hanif?" Soal Iman pula kepada Hanif, cuba mendapatkan kepastian, wajahnya sedikit gusar.

"Nak tengok ke?" Soal Hanif kembali sambil tersenyum.

"Ishhh.. Sempat lagi mamat ni bergurau.." Getus hati aku. Iman mula kecut perut, wajahnya menampakkan riak ketakutan.

"Jom.." Ajak Hanif seraya membuka langkah, tidak menghiraukan akan kehadiran makhluk tersebut. Aku berjalan seiringan Hanif, jantung berdegup dengan kencang. Iman pula berjalan di belakang Hanif, matanya melilau melihat ke semua arah. Dia tidak dapat melihat lembaga hitam yang berbangsa makhluk ghaib itu. Lampu yang berkelip-kelip sedari tadi tidak lagi meragam, kembali menyala terang benderang.

Mata lembaga tersebut yang merah membutang tidak lepas dari merenung kami, bagaikan ada magnet diantara kami dengan matanya. Saat kami hampir melepasinya, tiba-tiba dia hilang dari bawah lampu, dan terus muncul beberapa meter di hadapan kami. Hanif menghentikan langkah, Iman yang mengikuti rapat dari belakang terus terlanggar badan Hanif.

"Kenapa? Kenapa?" Soal Iman cuak, peluh dingin mulai terbit. Aku juga turut terkaku, mulut umpama bisu. Tidak pernah aku jumpa jin yang bersaiz sebesar ini.

"Assalamualaikum.." Tegur Hanif tenang, sambil kepalanya didongakkan ke atas untuk melihat wajah makhluk tersebut.

"Hurrmmmmmm.. Hurrmmmmmm.." Salam Hanif tidak dijawab, hanya dengusan kasar yang keluar dari mulut makhluk yang setinggi 12 kaki itu. Makhluk berbulu lebat seperti mawas di hadapan kami itu menyeringai garang, menampakkan giginya yang tajam meruncing. Yang anehnya, wajah makhluk tersebut persis seseorang, seperti wajah Pak Kassim, pemilik kedai makan yang kami kunjungi sebentar tadi.

Tangan yang besar, berbulu lebat itu diangkat tinggi, lalu dihempas ke arah Hanif sekuat hati. Laju, sepantas kilat. Aku menutup mata sambil mengelak ke tepi, tidak sanggup melihat Hanif dihenyak sehingga hancur berkecai.

"Baammmmmm!!!" Dentuman yang kuat kedengaran, telinga aku sedikit bingit. Hanif tidak mengelak, tidak juga menangkis, hanya berdiri tegak sambil tangannya berada di sisi seperti tadi. Bagaikan ada satu bulatan ghaib yang melindungi Hanif, memaksa tangan makhluk berbulu itu berhenti sebelum mencecah kepala Hanif.

Makhluk itu berundur beberapa langkah ke belakang lalu meraung kegeraman, tidak berpuas hati kerana serangannya tidak membuahkan hasil. Hanif mendapatkan aku yang sedang terbaring di tanah, tersungkur saat mengelak ketepi sebentar tadi. Lengan kanan sedikit terluka akibat bergesel dengan batu jalan yag tajam, berbentuk tidak sekata. Iman terpinga-pinga memandang aku dan Hanif, tidak tahu apa yang berlaku.

"Ok tak ni?" Soal Hanif, memandang tepat ke dalam mata aku. Aku hanya mengangguk, tidak menjawab walau sepatah.

"Iman, jaga Uwais.." Pesan Hanif ringkas. Dia berdiri, lalu menapak langkah maju ke depan, ke arah makhluk yang berbulu lebat tadi. Iman mengangguk teragak-agak, fikirannya sedikit kacau.

"Kita tidak mencari gaduh. Kenapa kamu mengganggu kami?" Soal Hanif apabila berjarak 5 meter dari makhluk tersebut.

"Tuan aku perintahkan aku supaya mencelakakan engkau." Jawab makhluk tersebut dengan suara yang garau.

"Kita tidak bermusuh dengan tuan kamu." Balas Hanif dengam tenang.

"Tuan aku bencikan engkau. Engkau mencabarnya, menganggu urusannya.." Balas makhluk tersebut. Hidungnya kembang kempis menyedut oksigen.

"Balik ke tempat asalmu sebelum kita gunakan kekerasan.." Kata Hanif tenang, masih cuba berlembut.

"Aku tak akan..!!!" Jerkah makhluk itu lalu menerpa Hanif sepantas kilat. Tangan makhluk tersebut dihayun rambang, ke kiri dan ke kanan untuk menghentak Hanif. Satu serangan pun tidak mengena Hanif yang mengelak lincah, seperti ikan yang meliuk di dalam air. Sesekali tangan besar makhluk tersebut terpantul ke belakang apabila bertembung dengan perisai ghaib yang mengelilingi Hanif.

Hanif melepas keluhan berat yang bertakung di dada. Mahu atau tidak, dia terpaksa menggunakan kekerasan memandangkan makhluk tersebut belum juga mahu mengalah. Makhluk hitam yang berhenti menyerang untuk mengambil nafas sebentar tadi, kini datang menerpa lagi, menggila. Tangan kanannya yang sebesar tiang elektrik diacungkan ke arah leher Hanif, ingin mencekik sehingga Hanif tidak lagi bernafas. Hanif bertenang, tidak mengelabah walau serangan musuh semakin hampir.

Mulut Hanif berkumat kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran, khusyuk. Diangkat sedikit kaki kanannya lalu dihentak ke bumi sekuat hati.

"Baammmmm!!" Makhluk yang menyerangnya terduduk di tanah, tangan dan kakinya dipasung ke bumi, tidak dapat digerakkan walau seinci. Makhluk tersebut meronta-ronta cuba melepaskan diri, namun hampa, usahanya tidak berhasil. Rantai ghaib yang mengikatnya terlalu kemas, terlalu kejap.

Hanif menghampiri, ditenung lama wajah makhluk di hadapannya yang menyerupai wajah Pak Kassim, tuannya. Makhluk tersebut mendegus garang, matanya terjengil memandang Hanif.

"Kita bagi kamu peluang. Pergi dari sini, dan jangan ganggu kami lagi." Ujar Hanif lembut, masih cuba berdamai.

"Aku tak akan ingkari arahan tuan aku. Aku rela mati." Kata makhluk tesebut bengis, menyatakan pendiriannya.

"Pertarungan ini tidak membawa ke mana, tiada memberi manfaat." Kata Hanif lagi cuba memujuk.

"Aku akan binasakan engkau. Aku benci orang seperti engkau. Manusia seperti engkau menggugat bangsa aku." Kata makhluk tersebut marah, sesekali air liurnya tersembur saat berbicara.

"Jika begitu, jangan salahkan kita." Balas Hanif lalu tangan kanannya diangkat, dihalakan ke arah makhluk tersebut.

"A’uzubillahiminasysyaitonnirrojim. Bismillahirrahmannirrahim.. Aamanar rosuulu bima unzila ilaihi mirrobbihi wal mu’minuun. Kullun aamana billahi wa mallaikatihi wa kutubihi wa rusulih. La nufarriqu baina ahadim mir rusulih. Wa qoolu sami’na wa atho’na ghufroo naka robbana wa ilaikal mashir.." Hanif mula meruqyah, suaranya timbul tenggelam dibawa angin.

"Huaarrggghhhhhhhh!! Huaaarrgghhhhhh!!!" Makhluk tersebut menjerit nyaring, matanya terbeliak menahan kesakitan.

Tidak jauh dari situ, kelihatan lembaga berkelubung hitam sedang memerhatikan gelagat Hanif. Makhluk yang tidak bermata dan tidak berhidung itu sesekali mendengus, tidak berani untuk menolong rakan sebangsanya. Setelah hampir lima minit, suara yang menjerit nyaring sedari tadi mula tidak kedengaran. Makhluk berbulu lebat itu tertunduk keletihan, tidak lagi menangkat muka merenung Hanif. Rasa sakit masih menjalar di seluruh batang tubuh, seperti dibakar api oleh yang marak.

Hanif berpaling, membelakangkan makhluk berbulu tersebut.

"Kita tidak suka menjadi pembunuh. Pergi.." Ujar Hanif tenang, suaranya terselit ketegasan. Hanif mengangkat sedikit kaki kanannya lalu dihentakkan ke tanah. Seraya dengan itu, makhluk yang dipasung tadi jatuh terjelopok ke atas tanah.. Rantai ghaib yang membelengu dirinya sudah dilepaskan. Hanif menapak langkah, menuju ke arah aku dan Iman yang berada di bahu jalan.

Belum sempat mengangkat langkah ke tujuh, satu deruan angin yang kuat menyambar Hanif dari belakang.

Menyedari musuh kembali menyerang, Hanif segera berpaling, berdiri dalam siaga. Makhluk berbulu tadi menerpa laju, melompat ke arah Hanif. Mulutnya dibuka luas menampakkan gigi yang meruncing tajam, ingin dibenamkan ke leher Hanif. Hanif mengukuhkan langkah, tangan kanannya ditarik sedikit ke belakang. Apabila makhluk tersebut berjarak tiga langkah darinya, Hanif terus menolak telapak tangannya ke arah dada makhluk tersebut.

"Buukkkkkk!!" Jurus angin tepat mengenai sasaran, tidak terhadang. Makhluk tersebut terpelanting jauh ke belakang, tersungkur memakan pasir. Darah hitam mengalir laju dari mulutnya, baunya busuk bukan kepalang. Hanif merenung tajam, tandanya dia tidak akan berlembut lagi. Melihat Hanif sudah mula bersungguh, makhluk berbulu itu bergegas bangun, cuba melarikan diri ke dalam belukar yang berhampiran. Langkah makhluk tersebut goyah, sesekali ia hampir jatuh rebah. Tangan kanan menekup dada yang sakit manakala tangan kiri digunakan untk menongkat tanah dalam menapak langkah.

"Kamu pun nak jugak?" Soal Hanif kepada makhluk berkepala botak yang bersembunyi di sebalik pokok, tidak jauh dari situ. Menyedari kehadirannya disedari, dia lalu terbang menjauhkan diri.

"Uwais, ok tak ni?" Soal Hanif apabila menghampiri aku. Aku mengangguk laju, lidah masih terasa kelu.

"Jom laaa balik. Dah lewat ni. Nanti kena kejar dengan hantu. Hehehe.." Ajak Hanif sambil berseloroh. Aku tersengih menampakkan gigi, ingin ketawa tapi tiada suara.

"Ada hantu lagi ke?" Soal Iman sedikit takut, mula merapati aku semasa melangkah. Aku tidak menjawab, jantung masih laju berdegup. Hanif hanya tersenyum, juga tidak membalas. Hanya nyanyian cengkerik menjadi peneman kami.

***************************

Pak Kassim terlentang di atas lantai. Mulutnya berbuih dan matanya terbeliak. Pinggan dan gelas berselerak berhampirannya. Dia rebah semasa melangkah ke dapur sebentar tadi. Para pelangan segera mendapatkan Pak Kassim yang tidak sedarkan diri.

"Hantar hospital. Cepat.." Suara pelanggan riuh rendah, berdengung umpama bunyi lebah.

Makhluk berkepala botak singgah di atap kedai Pak Kassim. Dia melihat tuannya terlentang di atas lantai, dikerumuni ramai orang. Dia tidak berbuat apa-apa, hanya sekadar melihat. Melalui pandangan matanya yang ghaib, dia melihat terdapat kesan lebam yang kebiruan di dada Pak Kassim, umpama dihentak dengan yang tukul besar...



Suntingan & Gambar: Azman Zainordin

KamenRider



Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaaa pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!

No comments: