PSIKIK 1
============================
Dia - duduk berdepan dengan wanita yang masih tidak sudah membebel dan mempersoalkan bila dia akan berkahwin. Mahu tak mahu terpaksa mendengar. Soal kahwin memang tidak masuk kepala. Baginya, ada jodoh nanti, hadirlah depan mata.
Wanita itu lantang bersuara, memandangkan lelaki di depannya adalah satu-satunya anak yang ada, maka wanita itu memang teringin sangat untuk menimang cucu. Habis berbicara, wanita itu menghirup air oren di dalam gelas, meneguk beberapa kali membasahi tekak, cawan diletakkan semula di atas meja, kemudian menyambung kembali bebelan.
Dia - hanya tenang, duduk menyilang kaki, kedua tangan dirapatkan di dada, matanya tidak lepas memandang wanita yang masih berlegar-legar dengan bulu ayam terselit di celah ketiak. Bibirnya dicalit lipstik glow, nampak sedikit berkilat, masih mengunyah jeruk yang sudah diperam semalaman.
Wanita itu sekadar memakai baju kelawar separas lutut, dengan rambut yang penuh penyepit, digulung dan bertepek-tepek di atas kepala. Bertindih antara satu sama lain dan bedak sejuk berwarna hijau masih lagi penuh di muka. Hanya bebas bedak dibahagian mata.
Wanita itu, memakai kasut nipis berbulu, berwarna putih pudar, ada pula gambar kepala kucing dengan misai panjang yang sudah pun berpintal antara satu sama lain. Kasut itu menutup sebahagian jari depan.
Dia - berfikir. Entah siapa yang reka kasut berbentuk sebegitu rupa. Malah banyak kasut lain yang dibeli supaya wanita itu boleh bertukar ganti, tapi... itu juga yang dicarinya.
“You dengar tak apa yang mommy cakap?!.” Pekik wanita itu.
Dia - tersentak, mendongak, kemudian tersenyum. Hanya ala kadar, sebenarnya dia juga mengelamun tadi. Masih lagi wanita itu memandang dengan mata yang membulat. Nampak sangat tak puas hati. Badannya sedikit membongkok terus merenung anak tunggal yang berada di hadapan.
Itu bukan soalan pertama wanita itu. Soalan awalnya tadi yang ditanya, dibiarkan oleh dia tanpa berjawab.
“Mommy tak cakap dengan tunggul kayu! Mommy cakap dengan you Adam.” Wanita itu meneguk air. Berdiri tegak semula. Sebelah tangan menahan meja. Sudah macam ibu tiri dalam cerita cindarella lagak wanita itu. Sedikit sebanyak serbuk bedak sejuk yang tertampal di wajah itu jatuh berjujuran setiap kali wanita itu membuka mulut.
Adam, menurunkan sebelah kaki, menapak keduanya ke lantai. Masih lagi kedua tangan di tengah dada, bercantum antara satu sama lain. Dia mengerling jam di belakang wanita itu berdiri. Sudah hampir setengah jam rasanya wanita itu tidak berhenti berleter.
“Mommy tahu you bosan!.” Wanita itu turut berpaling dan melihat jam di belakang. Setiap gerak geri anaknya diperhatikan. Tidak ada satu pun yang terlepas.
“Tapi you dah berumur 34tahun Adam!! Ada you nampak mommy happy???.”
Wanita itu mengalihkan tangan, namun tersenggol gelas yang berisi air tadi. Gelas itu yang kebetulan diletakkan terlalu tepi, jatuh dari atas meja.
“Allah...” Wanita itu tidak sempat menyambut,
Namun gelas itu tidak jatuh ke lantai, terapung-apung di udara. Hanya air sahaja yang melempah dan membasahi karpet di bawah.
Wanita itu menoleh ke arah anaknya.
Adam sedang menjulurkan tangan kanannya ke hadapan, dengan tapak tangan menegak, jari jemari dikatup antara satu sama lain. Matanya merenung gelas itu yang terapung di antara lantai dan permukaan meja.
Dia - kemudian, mengangkat kedua kening sambil tersengih ke arah ibunya.
Wanita tadi mengurut dada. Set gelas jenama dari Paris itu merupakan koleksi kesayangannya, dibeli sewaktu berkunjung bersama lawatan makcik bawang. Nasib baik sahaja Adam sempat menahan dari terjatuh.
“Thanks Adam... sebab selamatkan gelas kesayangan mommy...This is one of my favourites.” Barulah suara wanita itu mengendur.
Walaupun dari jauh, walaupun tanpa menyentuh, ternyata Adam mampu menggunakan keupayaan mindanya untuk menggerakkan atau mengalihkan sesuatu barang.
“You’re welcome Mrs. Jenny...” Senyum anaknya sambil mengenyit mata. Panggilan biasa yang boleh dikategorikan mesra dari dulu. Atok sebelah ibunya dari British namun sejak kebelakangan ini, jarang sudah lelaki itu berkunjung ke Malaysia menjenguk mereka berdua.
“Assalamualaikum!.” Pintu depan terbuka kasar. Seorang lelaki muncul berwajah gembira.
Adam lekas menarik tangannya kembali, berwajah sedikit terkejut di atas kemunculan lelaki itu yang secara tiba-tiba.
Dan cawan tadi jatuh menghempas bumi – pecah!
“Noooo!!!!!!!!.” Jerit wanita itu memegang kepala dengan kedua tangan.
“Nooo owh nooo!!!.” Wanita itu tidak boleh menerima hakikat langsung dengan apa berlaku. Dia memegang dada, dengan sebelah tangan memicit kepala. Habis bedak sejuk di muka, semuanya turut sama bersepai mengikut raut wajahnya yang berkerut.
Adam dan lelaki itu, menoleh ke arah Puan Jenny yang sedang membongkok mengutip deraian kaca set kesayangannya. Wanita itu kemudian menoleh kebelakang memandang tajam lelaki yang berdiri di muka pintu.
“Yoouuuu!!!!.” Jarinya menunjuk ke arah lelaki itu. Merenung tajam!
Puan Jenny bangun dengan serpihan kaca masih di tangan. Masih lagi memandang pintu depan. Pandangannya terhalang apabila Adam sudah berdiri di hadapan matanya sekarang.
“Sabar mommy....” Adam berdiri dan berjalan menghampiri ibunya, memegang kedua bahu wanita itu yang masih lagi serabut dengan bedak sejuk dan rambut yang sedikit berjurai tidak kemas. Memang setiap kali bangun tidur, Jenny akan menyiapkan sarapan tanpa membersihkan dirinya terlebih dahulu.
Kadang-kadang Adam rasa itulah punca ibunya ditinggalkan tanpa khabar berita.
“Set gelas mommy kurang satu!!.” Marah wanita itu.
“Adam belikan set baru nanti.” Dia tersenyum manis - Memujuk! Adam mencapai jaket hitamnya dan kasut yang siap disusun di rak depan.
“Becareful sayang....” Jenny membelai wajah anaknya, memeluk erat. Terlintas rasa pelik, namun Adam biarkan, mungkin ibunya bosan dirumah berseorangan.
“Don’t worry, Mrs. Jenny...I know how to take care myself, I love you.” Seraya mencium dahi wanita itu. Adam berjanji akan pulang cepat. Dia segera mencapai topi dan keluar dari rumah.
PINTU lobi apartmen ditolak kasar, baju jaket berwarna hitam itu di sarungkan di tubuh. Dia kemudian berjalan di sebelah lelaki tadi. Wajahnya tertoleh kiri dan kanan, melintas jalan cepat. Kakinya laju melangkah
“Amboii marah sangat??.” Tanya Rico
Adam berhenti – tengah-tengah jalan! Jari telunjuknya sudah berada di depan mata rakannya.
“Kau pecahkan set gelas Mommy aku dari Paris!.” Matanya dijegil, memandang tepat anak mata Rico. Lelaki itu pula buat muka tidak bersalah, tergaru-garu sambil matanya melirik sekeliling.
“How many times aku perlu beritahu tolong belajar untuk mengetuk pintu?.” Dia mendepa tangan, berharap Rico tidak mengulangi. Walaupun dia tahu itu kebiasaan bagi lelaki itu kerana mereka mengenali, namun ianya tidak sopan langsung!
Hooon!!!!!.
Sebuah kereta berhenti di belakang mereka. Pemandu lelaki berkaca mata terjengah sedikit kepala dari tingkapnya. Cerut di mulut ditarik keluar dengan kedua jari. Dia menunjuk ke arah dua lelaki di tengah jalan, cerutnya berasap mengaburi pandangan.
“Bro! dah habis tempat nak berbincang ke dalam dunia ni?.” Marah pemandu tadi apabila melihat dua anak muda di tengah jalan raya. Cerutnya di gigit kembali. Mengangkat kening dengan wajah mencuka.
Kedua mereka kemudian berlalu dari situ.
____________________________________________
RICO dan Adam duduk berhadapan dengan lelaki berkaca mata hitam. Semua menggelarnya Tiger. Nama haiwan itu dipilih kerana sesuai dengan diri – mungkin!
Tangannya bertatu, bulu ketiaknya panjang hingga jelas terlihat walaupun dikepit, dadanya penuh bulu dan lelaki itu punyai gigi taring hadapan yang agak panjang. Pengolahan struktur gigi yang kurang teratur.
Tapi selama Adam berurusan, belum pernah lagi terdengar lelaki itu mengaum mahupun berjalan menggunakan kedua tangan dan kaki. Ya! Maksudnya seperti mana harimau bergerak dan merangkak sesuai dengan gelaran yang diberi pada asalnya.
“Mana duit?.” Sapa Tiger menepuk meja
Dia - mengeluarkan beberapa keping wang kertas berjumlah Rm2000 lalu diletakkan di atas meja. Duit itu diserah secara tunai.
“Sampai bila nak habis bayar ni Dam? Lama dah hutang ni.” Tanya Tiger menghembus asap rokok sambil menarik duit tadi, kini not itu bertukar tangan.
Mereka di dalam sebuah tempat tertutup. Kawasan rumah juga, jauh dari bandar. Terdapat beberapa lagi orang suruhan Tiger di situ, namun mereka tidak campur urusan. Hanya sesekali terdengar hilai tawa, entah apa yang lucu.
Dia - melirik mata ke kiri, rumah itu tidak lengkap dengan perabot. Malah tilam bersepah di ruang tamu, rumah bujang. Beberapa baju kotor berterabur. Baldi terletak di depan dan....
Apa tu? Coli? Dia membeliakkan biji mata, melihat jika ada antara mereka yang kelihatan seperti... Ah! Faham-faham sahajalah.
Dia- menoleh pula ke kanan, dapur mereka penuh dengan pinggan yang tidak dibasuh. Bertindan-tindan, bertingkat-tingkat.
Atas para tersusun dengan tin sardin. Masakan paling mudah! Tidak ada barang mewah pun di situ. Lantai kotor, penuh pasir. Dia sendiri tidak berselera melihatnya. Dan matanya tertancap pada almari bawah yang separuh terbuka.
Apa tikus buat di dalam almari usang itu? Ada dua antara mereka, sedang mengokak kotak coco crunch berwarna coklat yang dibiarkan tanpa bertutup. Kemudian tikus itu mencecet lari membawa khazanah tersebut.
Adam mencebik, terasa geli dengan keadaan di depan matanya. Sudah tentu sahaja petang ini mereka yang di dalam rumah itu akan makan makanan yang sama. Satu perkongsian hidup yang sangat ‘mesra’ dengan haiwan. Tapi sebenarnya kalau nak difikirkan...
“Hoi!!!.” Tiger memetik jari di hadapan mata.
Adam menoleh, berkelip beberapa kali. Bersepai dialog yang belum dihabiskan lagi.
“Bulan depan jangan lupa bayar ok.” Pesan Tiger terus bangun dari kerusi. Dia berjalan ke arah sofa dan menghempaskan badan, dibiarkan kedua tetamu itu di tempat tadi sendiri.
Adam dan Rico berpandangan.
“Pintu keluar belah sana!.” Jerit Tiger sambil mengira duit tidak menoleh. Tersenyum senyum wajahnya melihat not berwarna ungu yang tebal di depan mata.
_______________________________________
“MAKANLAH....” Pelawa Puan Jenny, membetulkan pasu bunga berkaca hijau di atas para dinding. Dia memastikan pasu itu betul-betul menghadap ke arah meja makan di mana dia dan Akirah berbual. Bukan apa, dia sengaja mahu buat suprise! Dia kemudian berdiri di depan pasu kaca hijau itu membetulkan diri dan rambut seperti dia berdiri depan cermin pula.
Dari dalam pasu, cahaya kelip berwarna merah terlihat menandakan video dirakam. Hanya dia sahaja yang tahu. Kebanyakan video anaknya diambil secara sembunyi, namun dia berhajat untuk menyatukan kesemua sekali dan hadiahkan untuk hari jadi. Jenny bersedia apabila melihat dirinya sudah kelihatan kemas.
Akirah hanya tersenyum memandang kelakuan Pn Jennya, tidak tahu untuk apa, tapi dia terhibur, sebenarnya dia sangat pemalu. Akirah memakai baju kurung hari ini. Kurung berwarna baby blue itu nampak sesuai pada pemakainya. Rambutnya diikat tocang kebelakang, menyerlahkan wajah gadis kampung. Ya! Memang nampak lembut dan sopan. Sebuah beg hitam yang digalas diletak di bawah meja bersebelahan kaki.
Makanan di hadapan hanya ditenung, Akirah tidak menjamah, walhalnya bau masakan itu sahaja sudah menggoda jiwa. Hatinya kini berdebar-debar.
“Sekejap lagi anak mommy balik.” Jenny mengumpan, sengaja menggembirakan hati wanita itu. Angin dari luar sudah mula kedengaran. Seperti mahu hujan.
Akirah semakin merah wajah, semakin malu! walaupun memang niatnya untuk berjumpa dengan Adam, namun apabila niatnya dapat dibaca mudah, terasa seperti perigi mencari timba pula.
“Mommy memang suka dengan Akirah ni.” Puan Jenny duduk berdepan. “Mommy nak jodohkan you dengan anak mommy.” Terus terang sahaja kali ini, tidak mahu selindung. Lagipun anaknya susah diajak bicara. Paling senang membawa Akirah dan biarkan kedua mereka berjumpa.
Akirah tidak pula mengangguk atau menggeleng, hakikatnya dia suka, tapi tidak mahu ditunjukkan perasaan yang berkobar-kobar.
“Adam tidak mahu tinggalkan auntie...”
Pn Jenny berdehem beberapa kali. “Panggil mommy.... jangan panggil auntie.” Wanita itu berdiri dan berlalu ke dapur, menutup tingkap.
Angin agak kuat pada malam ini, sehinggakan barang-barang yang diletakkan berhampiran tingkap semuanya jatuh.
Pn Jenny menarik langsir, lama Akirah memerhatikannya dari tempat duduk di hadapan. Dia duduk di sebuah meja empat segi, ada lapan kerusi kayu, atas meja ada pasu bunga yang menempatkan tiga tangkai rose.
Ruang rumah itu tidak besar, banyak sahaja hiasan antik, mungkin Puan Jenny menyukainya.
Beberapa kasut tersusun cantik, pasti kepunyaan Adam – kekasih dalam diamnya. Semua warna hitam. Dia tahu Adam gemar warna hitam. Bibirnya tersenyum.
Akirah kembali menoleh ke hadapan, melihat wanita itu yang masih sibuk dengan urusannya.
Tingkap itu kelihatan sukar ditutup kerana kayunya sudah hampir patah – tersekat. Berkerut-kerut wajah Pn Jenny mengerah tenaga.
“Berapa kali dah mommy suruh Adam betulkan, tapi you tahulah, dia sentiasa sibuk!.” Suara Pn Jenny agak meninggi dari kejauhan. Lincah dia membetulkan kayu yang tersangkut. Langsir tingkap berkibar-kibar mengenai wajah. Cuaca agak mendung dan angin berlalu laju
Segaris senyuman terzahir di bibir Akirah. Dari bawah meja dia menggenggam sesuatu. genggamannya erat. Matanya tutup dan buka beberapa kali cuba mencari nafas.
“Adam kata, dia tak akan berkahwin, dia mahu jaga aunt... mommy....” Ujar Akirah perlahan. matanya merenung masakan di hadapan yang masih tidak disentuh. Sudah beberapa kali juga dia merayu untuk dicintai, namun Adam masih sama. Alasannya Puan Jenny adalah segalanya.
Pn Jenny mengendurkan senyuman. Tangannya yang masih memegang tingkap dilepaskan perlahan-lahan. Barulah dia berpaling melihat Akirah yang duduk terkaku di atas kerusi meja makan.
“Selagi mommy ada... sudah tentu Adam tidak boleh bahagia...” Ujar Akirah tanpa berlapik. Masih lagi matanya merenung makanan di dalam pinggan atas meja, wajahnya menunduk. Jari jemarinya digenggam erat.
Akirah puas sudah memujuk. Percintaannya yang makan masa hampir 5 tahun itu langsung tidak pernah diendahkan Adam. Seperti dia pula yang melebih-lebih.
Pn Jenny berjalan perlahan menghampiri meja, kali ini tidak lagi tersenyum.
_____________________________________________
RICO mengejar dari belakang, langkah Adam terlalu besar untuk dituruti. Dia berlari anak. Mengelap peluh.
“Kau kejar apa ni bro?.” Rico berhenti dan membongkok memegang kedua lutut.
“Mommy suruh balik cepat ada hal.” Dia terus berjalan. Hanya sekali menoleh kebelakang, Kali ini mommynya tidak terangkan pula atas alasan apa dia perlu segera. Tapi suaranya kelihatan gembira.
Sebaik tiba di kereta barulah Adam berhenti. “Cepatlah Rico...”
Rico yang terkocoh-kocoh mengeluarkan kunci, tersadung hingga tersungkur menyebabkan kunci yang dipegang termasuk dalam longkang besar lagi dalam.
“Aiseyh...” Rico menakup kepala. “Macam mana ni?.” Rico cuba menjengah, namun dia tidak nampak langsung kerana suasana sudah gelap. Longkang itu pula tertutup dengan jeriji besi. Tidak tercapai ke dasar.
“Kau ambil kayu atau apa-apa yang panjang,” Arah Adam, tanpa menoleh.
Sebaik sahaja Rico pergi, sudah menjauh dan tidak kelihatan, Adam menghulur tangan kanannya mendekati jaring besi tadi, dia membuka tapak tangan, kelima jarinya mengembang. Matanya masih melirik arah di mana Rico menghilang.
Zuuup!!
Sekeping tin minuman kosong naik dan melekat di jeriji besi itu.
Adam menggenggam tangannya berbentuk penumbuk, lantas tin minuman tadi jatuh kembali. Matanya awas melihat sekeliling, tidak mahu sesiapa pun nampak.
Rico masih belum muncul dan Adam dalam keadaan mencangkung, dengan sebelah lutut mencecah bumi. Tangan kirinya pula diletak di atas lutut satu lagi.
“Mana ni....” Sekali lagi Adam mengembangkan tapak tangan menghampiri jeriji tadi, menyebabkan beberapa barang di dalam longkang bawah tertarik naik dan melekat di jeriji besi.
Bukan juga kunci!
Adam menggenggam tangannya kembali sekaligus barang tadi jatuh semula. Dia berdiri menoleh dari arah mana longkang ini bersambung. Tidak terlihat hujung pangkalnya. Hanya suasana malam yang sunyi.
Telinganya tiba-tiba berdesing.
“Arghh!!!.” Dia terduduk mencangkung, menutup telinga dengan kedua tangan. Bunyi itu berdengung, sakit! Tunenya nyaring.
“Apa ni....” Adam mencucuk telinga dengan jari telunjuk. Tidak lama, bunyi itu hilang dan Adam bernafas lega.
PSIKIK atau lagi mudah PSIKOKINESIS – perkataan itu menggambarkan bagaimana seseorang boleh menggerakkan sesuatu objek atau barang hanya dengan menggunakan kuasa minda. Samaada memandang atau berimaginasi, Adam boleh menjadikannya ia satu realiti.
Sudah tentu dengan keizinan Allah! Tanpa izinya tidak ada apa di dunia ini menjadi hak milik kita.
Ya! kuasa minda ini dia dapati dari kecil, tidak mewarisi sesiapa, samaada mommy ataupun daddy. Bagi Adam dia menerima dengan hati terbuka tapi ada beberapa masa dan ketika dia sukar mengawalnya.
Dan siapa dirinya? Hanya mommy sahaja yang tahu.
Adam menoleh kiri dan kanan. Tidak ada sesiapa. Telinganya yang berdesing itu menyakitkan kepala. Dia mengibas-ngibas jaket dan menghembus nafas kuat. Mendongak memandang langit malam.
Sekali lagi, Adam mencangkung sebelah lutut menapak bumi. Menghulur tapak tangan ke arah jeriji besi, mendekat dan membuka jari jemari.
“Bismillah.....” Ucapnya perlahan
Zuuup!!!
Segugus kunci naik dan dia menyambut gembira. “Yesss!!!.”
RICO berlari membawa kayu terkocoh-kocoh. Adam segera berdiri, menyorokkan kunci dengan kedua tangan diletak di belakang badan. Memandang Rico tersenyum.
“Nah.” Kayu itu diserahkan. Adam menyambut
Rico kemudian menunggu tindakan selanjutnya seperti kanak-kanak mengikuti ayahnya bekerja. Dia duduk memandang jeriji besi di longkang. Tergaru kepala.
Pada fikirannya sekarang sudah tentulah aktiviti mereka akan mengambil masa yang lama dan sudah tentu sahaja Adam akan marah kerana kecuaiannya.
Melihat Rico yang sedang membongkok, Adam melirik mata ke arah setimbun kotak dan kayu. Dia mengangkat tangan separas bahu, menjulur tapak tangan kehadapan dan...
“Kita nak buat apa?.” Tanya Rico seraya mendongak.
Cepat-cepat Adam menarik tangannya semula, dia menggaru dahi, nasib baik sahaja tidak terkantoi. “Errr aku tengah fikir lah ni.”
Rico kembali menunduk melihat ke dalam longkang tadi.
Dan dengan perlahan Adam mnggerakkan jari telunjuk dan jari tengahnya ke arah serimbun kotak tadi. Digerakkan ke kiri sedikit sahaja. Kotak itu terpelanting dan bersepah.
Rico terkejut, dia berdiri menoleh, memegang dada. “Apa tu!!!.”
“Errr apa kata kau pergi tengok.” Arah Adam juga berwajah berpura-pura terkejut.
Rico tidak membantah, menurut kerana dia sudah melakukan kesalahan pada awalnya.
Sebaik Rico menjauh, Adam berpura menyeluk tangan di dalam longkang mengambil kunci. Kemudian dia berdiri dengan mengangkat sebelah tangan, tersengih! Dengan kunci yang digenggam erat.
“Dah jumpa!!!.”
Rico berhenti. Dia berpaling ke arah Adam semula. Ternganga! Belum lagi beberapa saat dia bergerak, Adam sudah pun siap kerjanya?
Kunci di tangan Adam diperhatikan kemudian dia melangkah mendekati. Memerhatikan patung kecil teddy bear yang menghiasi kunci tersebut, kain jenis baldu berwarna biru royal. dan apabila diperhati.
Tidak basah!
Rico menunduk, cuba mendengar bunyi. Air di longkang itu laju mengalir. Barulah dia mendongak memandang rakannya hairan.
“Errr kenapa?.” Adam tidak selesa diperhati begitu. Wajahnya pula yang malu, mencebik sambil melirik ke arah sekeliling.
“Cepatnya kau ambil?.”
________________________________________________________
AKIRAH menikam pisau tadi di dada Pn Jenny. Menolak dan menekan dalam. Pn Jenny tersandar di dinding.
“Aku akan dapatkan Adam!! dan kau! Kau tak akan mengganggu.” Pisau itu dipusing mengunci tikaman. Akirah membiarkan wanita itu mengaduh sakit dan bernafas sempit.
Pn Jenny menyepak perut Akirah lantas dia berlari mendapatkan telefon.
“Kau menyusahkan aku!.” Akirah menarik kaki wanita itu. Lama sudah dia bersabar, namun alasan yang sama masih diterima. Adam kata dia perlu menjaga Puan Jenny dan dia tidak mahu memikirkan soal kahwin buat masa sekarang.
Ya! Memang Akirah terluka. Lepastu tempoh hari dia lihat Adam berbual dengan seorang gadis yang dia tidak tahu siapa. Ah! Adam tidak boleh lepas ke tangan orang lain!!!. Bagi Akirah, jika dia tidak mendapat Adam, tidak siapa akan memilikinya.
Akirah mengambil tali yang dibawa di dalam beg tadi, dia menjerut leher Pn Jenny bersungguh. Terkapai-kapai tangan wanita itu mengambil pasu di depannya.
Sebaik dicapai, dia menghentak pasu itu di kepala Akirah. Akirah menumbuk wanita itu kuat. Sekaligus menyebabkan Pn Jenny tersembam ke lantai.
Akirah berdiri, mengangkat pisau tinggi, dia menikam belakang tubuh wanita dihadapannya. Sekali lagi dia mengangkat dan menikam bekali-kali.
Pn Jenny semakin lemah. Dia tidak berdaya. Akirah terlalu kuat baginya.
“Goodbye Mrs Jenny.... Have a nice moment in the hell...” Kerusi meja makan dibelakang diangkat tinggi dan dihentak di kepala wanita itu sehingga terkoyak.
Pn Jenny tidak lagi bergerak. Akirah puas!
“Senang kerja aku selepas ini.” Ujar Akirah selajur mengemas semua sekali barang tadi semula.
___________________________________________________
“Arghhh!!!!!” Sekali lagi Adam menutup kedua telinga. Sakit itu menjalar ke kepala. Dia mengerekot di dalam kereta. Sesekali kepalanya terhentak tingkap dan dashboard depan.
“Woooo wooo, apahal kau ni dari tadi ni?.” Tanya Rico hairan. Belum pernah lagi dia lihat Adam sedemikian rupa, namun hari ini lelaki itu kelihatan tidak sihat langsung.
Rico meneruskan pemanduan namun keadaan rakannya tidak mengizinkan dia duduk diam, sekejap-sekejap dia menoleh.
“Bro... kenapa ni bro?? ko ada kanser otak ke? Tahap berapa?.” Begitu celupar sekali mulut Rico ketika ini.
“Kepala... aku... sakit....” Tertahan-tahan Adam bersuara, masih memegang dengan kedua tangan.
Rico jadi tidak senang. Dia tidak dapat menumpukan perhatian dalam pemanduan. Keretanya bergerak kiri dan kanan, tidak mengikut haluan. Suara Adam menahan sakit sangat merisaukan.
Kereta mereka melalui sebuah kawasan lintasan pejalan kaki, lampu isyarat sudah bertukar merah, namun kereta yang dinaiki semakin laju. Orang ramai mula memenuhi jalan raya. Ada yang membawa anak ada yang berlari. Ramai lautan manusia di situ.
Rico menarik kasar jaket hitam yang dipakai rakannya. “Apahal kau ni!!?.”
Adam mendongak. Pandangannya terarah di cermin depan kereta, ramai manusia melalui jalan tersebut. Dia terkejut besar!
“Rico berhenti!!!.”
Rico yang terperanjat segera berpaling dan dia terkejut apabila dia sudah terlalu hampir. Brek tidak sempat ditekan, dia kelam kabut.
“Noooooo!!!!.” Adam menyentak kedua tangannya ke hadapan, tapak tangannya dikatup erat, tanpa sengaja momentuk tolakan itu, memecahkan cermin hadapan kenderaan dan mereka yang berada di hadapan kenderaan yang sedang melintas, terpelanting jauh dari situ.
Ada yang terhentak di tiang dan ada yang terlempar di atas jalan raya.
Rico menutup wajah dengan menyilang kedua tangan apabila cermin itu bersepai mengenainya. Dia menekan brek dan kenderaan itu berhenti betul-betul di mana kawasan zebra hitam putih tempat kesemua manusia tadi melintas.
Suasana sepi. Semua tergamam!
Diam!
Sunyi!
Keadaan beransur reda apabila suasana mula tenang. Perlahan-lahan Rico menurunkan tangan yang menutup wajah tadi, matanya liar memandang semua tempat.
“What the....” Rico terbeliak melihat keadaan cermin depannya. Seolah-olah cermin itu dihentak dengan besi yang besar, retak seribu habis.
Keadaan sekeliling sunyi, semua mata tertumpu kepada kenderaan mereka. Rico turun dari kereta, melihat cermin depannya dari arah hadapan, dia mendepa tangan, tidak faham apa berlaku, kemudian berpusing melihat belakang, membantu beberapa orang yang terjatuh dan cedera.
Adam bernafas kencang. Dengungan tadi hilang. Dia lega. Tapi apa yang berlaku membuatkan dia sedikit menyesal. Dia benar-benar tidak sengaja. Kepalanya sudah memikirkan kerugian Rico sekarang. Ah! Itu lebih baik daripada masuk penjara kerana melanggar orang. Pintu kereta dibuka dan dia berjalan ke arah hadapan.
Dari jauh Rico berdiri, menoleh ke arah Adam yang terpinga-pinga. Kerosakan yang teruk berlalu pada kenderaan mereka.
Beberapa kaca terjuntai dari atas bumbung kereta, yang selebihnya bersepah di mana Adam berpijak. Adam menunduk mengangkat kedua kaki, melihat kaca berterabur di atas jalan.
Wanita dan lelaki yang tercampak tadi, turut bangun perlahan dibantu oleh orang ramai. Masing-masing tidak tahu apa berlaku. Suasana seperti mereka semua baru menghadapi ribut taufan yang hebat. Masing-masing berpandangan.
___________________________________________________
KEDUA mereka terdiam di dalam kereta. Dan vaos hitam kepunyaan Rico membelah jalan raya. Selepas mendapatkan rawatan di klinik berdekatan, Rico tidak mahu berlama-lama. Lagipun dia perlu pulang.
Angin menerpa masuk melalui cermin depan yang sudah kosong, jadi pemanduan itu perlahan. Beberapa daun kering dan ranting turut singgah di hadapan. Muka mereka masing-masing kepenatan. Kenderaan itu melintasi beberapa pokok dan bahagian bangunan yang belum siap. Lampu jalan menyala terang. Signal dipasang untuk membelok, namun tidak mengeluarkan cahaya. Beberapa kali Rico menghentak sterengnya.
“Rosak.” Rico menunjuk kepada Adam, dan lelaki itu hanya mengangguk. Sakit di kepalanya sudah elok dan dia berasa sedikit sihat.
Suasana malam itu hujan renyai, perjalanan mereka terasa lambat. Adam tidak mahu ibunya membebel kerana lewat pulang. Walaupun dia sudah dewasa, namun Pn Jenny masih menganggapnya seperti kanak-kanak. Kedua wajahnya disapu apabila air hujan mula merintik dan tempias pada kulit muka.
Akhirnya kenderaan mereka berhenti di apartment di mana mereka tinggal. Namun kereta polis sudah memenuhi perkarangan bangunan. Kedua mereka saling berpandangan – terpinga.
Sebaik turun dari kenderaan, Adam menoleh ke atas.
“Kenapa ni encik?.” Tanya Zubir kepada salah seorang di situ.
“Ada kes bunuh di atas.” Jawab lelaki yang tidak diketahui siapa. Walaupun mereka hidup berjiran, kadang-kadang kesesakan masa menyebabkan mereka tidak mengenali rapat sesama mereka.
“Adam... your mom...” Akirah berlari mendapatkan lelaki itu, memegang perlahan lengannya. Wajah mulusnya muram dan air mata masih bersisa. Dia tidak menghabiskan kata.
“Kenapa dengan Mrs. Jenny?.” Tanya Adam kembali.
Soalan itu tidak dijawab dan Akirah masih menangis lagi. Sapu tangan putih berbelang coklat itu dipegang erat, dia menunduk kesedihan.
Adam tidak menunggu bicara, dia berlari menaiki tangga menuju ke rumahnya. Itu paling cepat pada perkiraannya.
Sebaik tiba dia tergamam. Kedua tangannya memegang bingkai kayu coklat hiasan luar pintu.
“Mommy?...” Adam berjalan masuk, tidak membuka kasut.
Di atas lantai, sekujur tubuh yang penuh luka, berdarah hebat! Mengalir membasahi karpet. Di lehernya bergaris warna merah. Tikaman itu dilakukan berkali-kali sehingga habis kulit dan isi dalamnya terlihat.
Beberapa anggota polis mendekati, namun Rico yang menahan dan menawarkan diri untuk menjawab segala persoalan.
“Mommy....” Sekali lagi Adam memanggil. Perlahan namun sayu dalam nadanya. Sebenarnya dia berharap ada sahutan, berharap ada panggilan. Dia berjalan lagi.
Sebaik tiba di sisi, Adam duduk di atas kedua kaki yang dilipat. Memegang tubuh dan tangan ibunya. Wanita itu tidak lagi bernyawa.
“Noo mommy... no....” Baru pagi tadi wanita itu membebel dan berceloteh dengannya. Dan dia keluar sekejap sahaja, berjanji akan pulang cepat. Tapi apabila sampai hanya mayat sahaja yang dia jumpa?
“Mommy please wake up....” Adam memeluk tubuh itu, tidak kisah dirinya dicaliti darah, tidak kisah dengan bau hanyir yang ada pada tubuhnya. Dia membelai perlahan rambut wanita kesayangannya.
Rumah itu penuh dengan kehadiran polis, pita kuning diletakkan di kawasan yang tidak boleh dilintasi.
Rico masih lagi berbual dengan beberapa anggota polis. Akirah tiba dan duduk di sisi, menepuk bahu Adam turut bersedih. Dia berusaha menenangkan lelaki yang disayangi.
“Mommy saya Akirah... mommy....” Adam menoleh, meluahkan rasa hati.
“Sabar Adam... kita serahkan semua pada pihak polis...”
Adam masih lagi memeluk ibunya tidak dilepaskan. Fikirannya kosong saat ini. Hanya dadanya sahaja yang turun naik laju cuba mengimbangi marah dan sedih yang sedang ditempuh.
Akirah menyandarkan kepala di bahu lelaki itu, lelaki yang sangat dicintai... wajahnya terukir senyuman.
No comments:
Post a Comment