Tuesday, 9 January 2018

HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 6 - Akhir) - DeeFen DF


HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 6 - Akhir)
Karya: DeeFen DF


Usai peperiksaan SPM, aku mula mencari pekerjaan part-time sementara menunggu result keluar. Akhirnya aku mendapat pekerjaan sebagai promoter di sebuah pasaraya di bandar.

Mulanya aku bercadang nak bekerja di restoran sebagai pelayan, tapi disebabkan Apit dan Bob nak kerja dalam air-cond, aku pun menurut dorang sahaja bekerja di pasaraya. Ada geng seronok sikit nak kerja.

Setelah satu minggu bekerja, aku terserempak dengan seorang gadis cantik bak bidadari turun ke bumi. Aku rasa dia tersesat di bumi. “Pergi balik! Tempat kau bukan di sini! Sini spesis manusia hanya suka melakukan kerosakan. Di sini ku ragukan kejelitaan mu itu kan jadi debu. Nampakkk.” Ya ampun cantiknya itu kalah Hannah Delisha versi baru sudah mandi, berkemban dan rambut berbau shampu.

Namanya Nadirah. Indah namanya, juga tingkahnya. Memang menjadi bualan di sini sana.

Rupa-rupanya gadis itu bekerja di bahagian pakaian dalam wanita di pasaraya yang sama dengan aku. Sejak dari hari tu, hari-hari aku akan lalu di bahagian larangan buat kaum lelaki itu untuk menatap wajah bidadari tersesat tersebut.

Walau sekejap aku dapat menatap wajahnya, akan terasa gembira sepanjang hari-hari ku. Oh inikah yang dinamakan cinta? Indah sekali perasaan yang mengasyikkan ini. Hari-hari aku dibuai angan-angan yang aku sedang ber-couple dengan gadis tu.

Tapi aku sedar diri. Muka yang tak siap macam muka aku ni mana ada gadis nak kat aku. Akak cleaner Nepal pun tak pandang muka aku ni. Oh kejamnya dunia!

Pada suatu malam selepas pulang dari tempat kerja, aku sedang berbaring dan berangan saat-saat indah aku dan Nadirah bermain-main bersama anak-anak kami. Begitu bahagia sekali angan-angan ku. Begitulah kelaziman rutin harianku sejak aku jatuh cinta pandang pertama.

“Teddy!”

“TUAN!”

“Aku ada suka kat sorang awek ni kat tempat kerja aku.”

“AKU TAU SEMUANYA TUAN.”

“Senyap-senyap ye hang skodeng aku?”

“AKU MEMANG MENDAMPINGI TUAN SETIAP MASA. JADI AKU TAU APA YANG TUAN BUAT.”

“Hang boleh tolong aku mengorat awek tu tak?”

“ITU BUKAN BIDANG SAYA TUAN. TUAN BOLEH CUBA GUNA MINYAK PENGASIH.”

“Gila! Tak pasal-pasal jadi sasau budak tu tergila-gilakan aku. No! No! Tidak!”

“HMMMM”

“Ada tips mengorat awek tak? Hang dah hidup ratus-ratus tahun kan. Takkan takdak tips kot?”

“TAK ADA TUAN. AKU TAK PERNAH BERCINTA. AKU HANYA MENCINTAI DIRI AKU DAN TUAN AKU SAHAJA. TAPI AKU AKAN BANTU SEMAMPU AKU.”

“Jadah cinta diri sendiri? Hahaha. Hang cinta kat aku? Geli-geleman aku weh.”

“HMMMM.”

* * *

Pada suatu hari, ketika telah masuk waktu rehat tenghari, aku bergegas ke arah lif kerana telah terlewat. Perut memulas sejak pagi menyebabkan aku ke tandas untuk memerut dahulu sebaik waktu rehat bermula.

Ketika laju berjalan bersama Apit dan Bob, dengan tak sengaja aku terlanggar seseorang. Bahu aku betul-betul mengenai bahu orang tersebut.

Sakitnya boleh tahan meraung sebab kawasan terlanggar tu baru sahaja menjadi tempat hisapan darah oleh Teddy. Lebam hasil tusukan taring Teddy masih belum sembuh.

“Adoi! Sorry tak sengaja! Saya minta maaaa…” kata-kata aku terhenti. Di hadapanku berdiri gadis pujaan hati yang ku dambakan selama ini.

Mata bertentang mata. Adakah kau pun merasa cinta kian memekar di hati kita? Kau istimewa paling utama yang satu. Betapa manisnya senyumanmu. Debaran penuh makna, kelu tidak terkata. Seringkali terjadi bila kau di sisi. Namun yang pasti membuatku jatuh hati, manisnya senyumanmu.

“Sa… sa… saya min… min… minta couple. Eh! Maaf. Minta maaf. Ya maaf. Maaf!”

Apit dan Bob dah terguling-guling gelakkan aku. Lahanat punya member. Aku rasa muka aku dah kembang, merah padam. Ni peristiwa paling memalukan hidup aku.

“Hihihihi comel la awak ni. Sorry juga sebab terlanggar,” ujar gadis pujaan ku sambil tersenyum manja. “Awak OK ke? Nampak mengaduh teruk sangat tu.”

“Saya? Saya OK. OK. Awak OK kan? Tak sakit kan?” Berkerut dahi aku cuba menahan kesakitan di bahu. Gadis pujaan di depan mata, mesti la tunjuk gagah perkasa. Lantas aku mendada sedikit supaya nampak tegap – cuba melindungi kerempengnya badan aku.

“Saya OK. Tak sakit apa pun. Saya Nadirah.”

“Dah lama tahu.”

“Eh?”

“Aaaa… Maksud saya, tu dah nampak awak kat name tag tu.”

Nadirah tergelak kecil sambil menekup mulutnya yang mulus suci murni sesuci lebaran. Saat ini, jantung aku beberapa kali terhenti melihat keayuan dan kecomelan dan keanggunan dan kemanjaan dan kecantikan permaisuri hati beta.

“Saya dah perasan awak selalu tengok saya selama ni…Hihihi. Kawan saya yang dua orang ni pun boleh perasan awak selalu tengok saya. Betul tak Fatin dengan Adila?”

Kedua-dua rakannya serentak menganggukkan kepala sambil tersenyum simpul.

“Alamak! Kantoi la selama ni? Malunya camni.”

Apit dan Bob makin menjadi-jadi hilaian tawa. Dah macam orang sewel. Suka betul ye gelakkan aku yang tengah nampak bangang di depan crush.

“OK saya dengan dua ekor budak ni nak pi lunch. Nadirah dah lunch?”

“Dah. Baru je. Kami rehat sesi pertama.”

“Kalau macam tu. Kami gerak dulu ye. By the way, nama saya Pakli. Jumpa lagi ye Nadirah. Fatin dengan Adila pun ye.”

Aku terus segera menarik tangan budak dua ekor yang masih tercungap-cungap akibat gelak berlebihan.

Sayup-sayup aku terdengar Nadirah berkata kepada kedua orang rakannya. “Hensem juga ye Pakli tu.”

Lantas aku terus menoleh ke belakang. Nadirah turut sama menoleh ke arah aku dan melepaskan lambaian ‘tata’ kepadaku. Hatiku telah berbunga mekar.

Sejak daripada itu, makan ku tak lalu. Mandi pun entah basah ke tidak. Tidur pun termimpi-mimpi Nadirah. Aku dah angau. Dipendekkan cerita, kami pun telah ber-couple.

* * *

Aku dan Nadirah tetap terus berpasangan sampai result SPM kami keluar dan aku masuk ke universiti. Manakala Nadirah meneruskan persekolahan di tingkatan 6.

Semasa di semester pertama di universiti, kebetulan roommate aku merupakan geng usrah. Zaffran namanya. Dia pun ada ilmu sikit-sikit tentang alam mistik sebab ayahnya merupakan seorang perawat perubatan alternatif Islam. Maka sedikit sebanyak, dia juga mendapat tempias ilmu itu.

Selepas dua bulan aku duduk sebilik dengannya, Zaffran menegur yang dia tak pernah nampak aku solat. Melainkan solat Jumaat sebab aku akan membonceng dengannya ke masjid. Aku sekadar mendiamkan diri bila ditegur.

Kadang-kadang aku sound dia balik. “Ala weh, buat hal sendiri dah la. Hang pi je la usrah hang tu.”

Tapi perlahan-lahan Zaffran tetap menasihati aku. Menceritakan tentang dosa dan balasan orang yang mengingkari suruhan Allah. Tak dinafikan sesekali terjentik juga hati aku bila dia tegur macam tu. Aku pun rasa macam hati aku dah keras sejak aku menerima pendamping si Teddy.

Akhirnya pada hari terakhir kami di semester satu, iaitu pada hari Jumaat. Usai solat Jumaat dan masih di dalam masjid, Zaffran memberitahu yang dia tahu aku ada saka pendamping.

Aku nak kata terkejut pun tidak juga, sebab aku tahu dia memang ada ilmu.

“Sejak bila hang tau?” Tanya aku menunduk sambil mata aku menjeling ke arah orang yang berpusu-pusu ke arah pintu keluar masjid. Semua berlumba-lumba nak balik cepat. Tapi semasa nak datang ke masjid, semua nak dilambat-lambatkan.

“Sebulan dua lepas kita duduk sebilik. Aku terjaga waktu malam, nampak ada makhluk hitam tegap di tepi katil lau. Mengikut serba-sedikit ilmu yang aku tau, itu merupakan saka. Betul kan?”

“Hmmm… Betul. Aku pun terima secara tak sengaja.”

“Ya. Aku pun bila tanya ayah aku, dia pun kata yang tu adalah saka. Dia arahkan aku supaya membimbing dan nasihatkan kau ke arah jalan Allah secara perlahan-lahan.”

“Emmmm…”

“Saka kau masih agak baru lagi berdamping dengan kau kan? Sementara dia belum betul-betul sebati dengan hidup kau, aku sebagai sahabat kau, aku sarankan kau buang saka tu. Kita tak tau bila kita nak mati. Sementara kita masih sihat, eloklah dibuang saka tu. Saka yang dibuang dengan rela hati oleh tuannya ketika sihat lebih mudah berbanding dipaksa-paksa keluar ketika ajal sudah hampir menjemput.”

Aku tersentak mendengar penerangan Zaffran. Seumpama aku baru terjaga daripada lena. Aku baru mulai sedar yang aku dah semakin jauh tersesat.

Lantas aku mulai teringat kata-kata Pak Ngah dahulu. Masih terngiang-ngiang di telinga aku. “Sementara Pak Ngah dengan nenek dok hidup lagi ni, elok la pi buang. Kalau kami dah takdak nanti, sapa nak tolong hang?”

“Pakli… Aku boleh tolong bawa kau kat ayah aku. Mungkin dia boleh tolong buang saka kau tu. Kita usaha Pakli.”

“Takpa la. Aku rasa aku balik bagitau nenek aku dulu. Aku rawat kat area rumah aku. Nak pi rumah hang, jauh sangat ke selatan semenanjung. Aku ikhtiar cari tempat rawatan kat utara dulu.”

“Kalau macam tu OK jugak. Apa-apa hal roger aku. Tapi make sure sem depan dah clear saka hang tu. Jangan tangguh-tangguh.”

“OK bro.”

* * *

Sebaik memaklumkan kepada nenek tentang saka Teddy, beberapa das tempeleng hinggap di tulang belakang aku. Berjam-jam kena bebel sampai hangit gegendang telinga. Aku pasrah.

Nenek dan Pak Ngah terus memulakan operasi mencari tempat rawatan membuang saka. Beberapa tempat rawatan aku di bawa. Ada yang menolak mentah-mentah. Katanya saka tu dah tua, dah kuat.

Ada yang berjaya menghalau sekejap. Tapi lepas beberapa hari, Teddy datang kembali. Mengamuk sakan Teddy di sekeliling rumah sebab dia tak dapat masuk rumah yang dah ‘dipagar’. Habis pokok bunga raya dan pokok bendi nenek dipatah-patahkan. Merajuk sungguh Teddy si Beruk.

Sepanjang cuti semester aku selama 2 bulan setengah, kesemuanya hampir dipenuhi dengan rawatan di sini sana. Sudah 6 tempat rawatan aku pergi.

Ada yang jenis perawat bersilat dan ada yang sakit habis satu badan aku lepas selesai rawatan. Ada juga yang aku duduk relax chill ja, si perawat tu yang berborak dengan saka Teddy.

Lepas berkali-kali rawatan tapi tetap tak berjaya, aku pun dah mula putus asa. Lagipun tiap-tiap malam aku kena ganggu dengan Teddy. Marah betul dia. Mimpi jangan cakap la, semuanya mimpi ngeri gila-gila.

Dah tak ada lagi mimpi basah aku dengan Nadirah. Berganti dengan Si Teddy pula yang menghiasi malam-malam suram aku. Dah la muka hodoh. Potong stim betul.

Lepas terjaga daripada mimpi ngeri, mesti aku kena sergah dengan Teddy. Suka betul dia buat muka bengis depan muka aku. Aku pun dah malas layan dia. Aku tekup ja muka aku dengan bantal.

Berdentam-dentum bunyi dalam bilik aku. Teddy membuat tunjuk perasaan dan protes la tu sebab aku tak layan dia. Padan muka!

Tak dinafikan sesekali aku akan jadi seperti orang hilang ingatan bila saka Teddy merasuk dan menganggu badan aku. Meracau dan meraung. Neneklah yang kelam-kabut menjaga aku. Kalau pada hujung minggu, abang aku akan balik membantu.

“Pakli dah malas dah la nak pi berubat ni. Semua tak menjadi ja,” ujar aku kepada nenek sewaktu melepak di pangkin rumah. Di hadapan terhidang air kopi cap Gantang dan bahulu Mak Senah, namun semuanya tidak membangkitkan selera aku. Aku bungkam.


“Sabaq la Pakli. Sementara nak jumpa perawat yang serasi memang makan masa.” Nenek menjawab polos. Sebiji bahulu yang dicicah air kopi disuap ke mulutnya.

Pin! Pin! Pin!

Sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu tahi anjing perlahan melintasi hadapan pangkin. Pemandunya menekan hon sambil mengangkat tangan ke arah kami. Nenek membalas kembali sambil tersenyum.

“Amboi nek. Senyum lebar nampak. Sapa tu? Kekasih gelap? Hahahaha.”

“Mengarut la hang. Tu Wak Lebor. Dia dok kampung sebelah. Dia yang dok jual minyak atar, cincin, kayu-kayu hutan kat pasar tani. Rasanya lama dah kita tak pi pasar tani.”

“Lusa ada pasar tani, jom la kita pi la.”

“Eh! EH! EHHHHhhh! Ohoiiiii!!!”

“Awat nek ni?!! Tiba-tiba melatah!”

“Wak Lebor!”

“Awat dengan Wak Lebor?”

“Dia tu boleh membuang saka-saka ni! Awat aku tak ingat langsung pasal Wak Lebor selama ni. Rata-riti dok bawa hang berubat jauh-jauh, padahal orang kampung sebelah ja pun ada jugak yang pandai. Nyanyuk dah aku ni!”

“Hmmm… Dia pandai ka? Kalau biasa-biasa. Pakli malas la nak pi. Buang karan ja.”

“Kita ikhtiar. Esok aku panggil Pak Ngah hang mai bawa kita pi rumah Wak Lebor. Sat aku nak masuk rumah telefon Wak Lebor dulu. Nak buat appointment.”
“Ye lah.”

* * *

Sebaik saja melangkah ke dalam rumah Wak Lebor, badan aku terasa sekejap sejuk sekejap panas. Mata kadang-kadang berpinau, tak boleh nak fokus. Peluh mula memercik di dahi jendul aku.

Tanpa berlengah Wak Lebor terus segera memulakan rawatan sebab katanya nanti pukul 6 petang ada drama yang dia dok follow. Tepuk dahi aku dengar.

Selepas beberapa minit Wak Lebor terkumat-kamit membaca sesuatu dan diselang-selikan dengan hembusan tak diundang ke arah aku, maka muncullah si Teddy betul-betul di tengah-tengah kami.

Teddy hanya duduk bertinggung menghadap ke arah Wak Lebor. Sesekali kepalanya berpusing 180 darjah melihat ke arah aku. Kecut perut aku tengok perlakuan yang menyeramkan tu.

Nenek dan Pak Ngah seperti langsung tak menghiraukan Teddy. Mungkin dorang tak dapat melihat. Hanya aku dan Wak Lebor saja yang mampu melihat akan kehadiran Teddy.

Wak Lebor kemudian berborak dengan Teddy dalam bahasa yang langsung aku tak fahami. Aku cuba memasang telinga kot-kot ada perkataan yang aku fahami, namun sepatah haram aku tak faham. Alien benar tutur bahasa dorang.

Seketika kemudian wajah Wak Lebor kelihatan bengis. Urat-urat hijau muncul berselirat di lehernya. Kulit muka putihnya kelihatan semakin merah padam. Urat mata semakin menonjol.

Nada suara Wak Lebor semakin tinggi. Memarahi si Teddy dalam bahasa alien membuatkan aku rasa macam nak tergelak. Berkali-kali aku berdehem cuba untuk cover gelak. Nenek hanya menjegilkan mata suruh aku behave.

Seterusnya Wak Lebor memercikkan air ke arah Teddy. Berasap-asap bahagian badan Teddy yang terkena percikan tersebut. Meliang-liuk tubuh tegapnya menahan kesakitan. Suara garau memenuhi segenap ruang tamu rumah Wak Lebor.

Tangan Wak Lebor membuat gerak aksi di udara yang menarik perhatian aku. Setiap aksi tangannya menyebabkan Teddy semakin meraung-raung. Seterusnya Wak Lebor membuat aksi seperti mengilas tangan, dengan spontan tangan Teddy turut terkilas kedua-duanya di belakang badan.

Barulah aku faham yang Wak Lebor menyerang Teddy dari jauh sahaja. Seterusnya gerak aksi mencekik dilakukan. Terbatuk-batuk dan tercungap-cungap Teddy. Sesekali dia cuba meronta untuk melepaskan diri, namun gagal.

Teddy merenung sayu ke arah aku seolah-olah cuba mengharapkan pertolongan dariku. Namun aku hanya sekadar memerhatikan sahaja.

Dengan menggunakan kakinya, Wak Lebor memercikkan air jampi ke arah Teddy. Kali ini lebih banyak percikan yang menghambur. Teddy semakin meronta kuat tapi setelah beberapa minit dia semakin lemah dan kelihatan tak bermaya.

“Mana jagung rebus yang aku suruh bawak?” Tiba-tiba sahaja Wak Lebor bertanya ke arah aku. Kemudian dia beralih pandangan ke arah nenek dan Pak Ngah. Seolah-olah mengharapkan jawapan daripada salah seorang antara kami.

“Hang letak mana Pakli jagung rebus tu?” Nenek pula menyoal aku.

“Jagung rebus setongkol tu ka? Yang bawak dari rumah?” Giliran aku pula menyoal kembali sambil menggaru kepala yang tak gatal.

“Ha laaa. Jagung yang aku suruh hang rebus malam tadi tu la. Kan aku suruh hang bawak setongkol tadi. Hang letak mana?”

“Pakli tertinggal dalam kereta Pak Ngah. Sat nak pi ambik.” Aku terus bergegas keluar. Aku agak pelik apa kena mengena jagung rebus dengan rawatan saka. “Lain macam cara rawatan Wak Lebor. Entah betul ke tidak.” Bisik hati kecil ku.

Sebaik aku menyerahkan kepada Wak Lebor jagung rebus tu. Kedengaran Wak Lebor beriringan, senada dan seirama bersama Nenek dan Pak Ngah beristighfar panjang. Sambil memejamkan mata dan menggelengkan kepala. Sungguh khusyuk sekali.

“Jagung rebus yang togel ni nak buat apa?” Ada nada kelucuan dalam suara Wak Lebor. “Sepanjang hidup aku dok buat rawatan, ini la pertama kali orang bawa jagung rebus togel macam ni. Mana isi dia? Sapa makan?”

“Sa… sa… saya makan tadi Wak masa dok dalam kereta. Saya lapar sangat. Saya ingatkan jagung tu untuk buat bekal perjalanan datang sini.” Begitu ikhlas penerangan aku.

Pak Ngah dah menepuk dahi. Nenek dah mula membebel.

“Jagung ni sebagai perjanjian dengan saka hang tu. Selagi tak tumbuh menjadi pokok, selagi tu dia tak boleh balik kat hang. Faham?” Jelas Wak Lebor tegas.

“Oooooo… Baru saya tau. Sorry sorry. Saya tak sengaja termakan jagung tu. Boleh ganti benda lain tak?”

“Hang pikir la sendiri nak ganti benda apa. Cepat pikir. Otak aku dah jem dah ni nak pikir apa pun tak dapat dah. Tapi ingat! Konsep kena sama dengan jagung tu, dan benda tu mestilah hang sendiri yang buatkan. Bukan ambil daripada orang lain. Contohnya macam jagung tu, hang sendiri yang rebus kan semalam?”

“OK Wak. Sat saya pikir nak bagi apa sebagai perjanjian.”

“Cepat! Nanti terlepas balik saka hang ni.”

Setelah beberapa puluh saat aku berfikir, ditambah dengan Nenek yang sakan membebel tak berhenti-henti. Maka aku pun dapat satu idea untuk memberi sesuatu.

Tangan ku di angkat tinggi, kemudian lengan baju di selak ke paras bahu. Dengan sekali rentapan, beberapa helai bulu ketiak aku tercabut.

Lantas aku memilih bulu ketiak yang paling panjang dan paling kerinting lalu diserahkan kepada Wak Lebor.

“Nah Wak bulu ketiak saya. Bagitau kat saka tu yang selagi dia tak dapat meluruskan bulu ketiak ini, selagi itu dia jangan balik kepada saya,” ujar aku dengan wajah yang serius teramat.

Pak Ngah menepuk dahinya buat kali kedua. Nenek pula tercengang. Dah tak mampu membebel lagi. Manakala Wak Lebor terlepas juga gelak yang ditahan sejak tadi. Menyembur air liur Wak Lebor mengenai Teddy. Menggelupur lagi Teddy.

Makanya perjanjian telah dipersetujui antara aku dan Teddy melalui perantaraan Wak Lebor. Aku melihat Teddy berjalan perlahan berlalu pergi sambil jarinya berulang kali menarik-narik bulu ketiak aku agar menjadi lurus.

Apabila tiba di muka pintu, Teddy berhenti sejenak dan menoleh ke arah aku sambil membuat muka sedih. Menunduk lalu dia terus berjalan longlai dan menghilang bagaikan asap yang ditiup angin.

* * *

Hubungan aku dengan Nadirah telah putus kerana dia berkata muka aku nampak lain sangat. Macam orang lain. Dalam makna tersiratnya adalah aku tak hensem macam sebelum-sebelum ini. Rupanya baru aku tahu yang selama ni si Teddy yang memperelokkan wajah aku setiap kali Nadirah memandang aku.

Semasa aku masuk ke semester dua, Nenek mulai kerap sakit. Batuk berdarah. Sakit sendi sehingga susah untuk bergerak. Hingga akhirnya ketika cuti semester dua bermula, Nenek telah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya.

Kira-kira 4 bulan lepas itu, Pak Ngah pula meninggal dunia. Sakit yang sama seperti yang Nenek alami. Menurut Mak Ngah, sakit Nenek dan Pak Ngah merupakan hasil gangguan daripada saka aku.

Sudah berulang kali Nenek dan Pak Ngah pergi membuat pemeriksaan di hospital dan klinik. Tapi doktor sendiri tak dapat mengesahkan jenis penyakit yang dialami. Semuanya kelihatan normal pada setiap ujian yang dijalankan.

Disebabkan saka itu terikat dengan perjanjian dan tidak bertuan, maka dia mula mengganggu Nenek dan Pak Ngah. Iaitu orang yang rapat dengan aku. Nasib baik abang aku tidak diganggu olehnya.

3 tahun selepas itu, abang aku pun berkahwin dan dia juga dah jarang-jarang balik rumah nenek. Orang dah berkeluarga, biasalah. Tinggallah aku berseorangan melalui kehidupan yang penuh liku. Hampir sebatang kara tiada tempat bergantung. Tiada tempat untuk berharap.

Bila aku dah dewasa dan matang sekarang ni, baru aku hargai setiap jerih-perih dan pengorbanan Nenek. Kudrat tua dia tu la yang menjaga aku dan abang aku ketika kedua orang tua aku pergi menghadap Ilahi.

Garis-garis kasar di tangan dia tu la yang membanting tulang setiap hari mengusahakan sawah yang sekangkang kera. Sekarang bila Nenek dah tak ada, baru nak rasa kehilangan. Baru nak meleleh air mata.

Tapi aku bersyukur masih ada sahabat-sahabat yang sentiasa di sisi bila aku memerlukan. Membesar sama-sama, nakal sama-sama, susah dan senang bersama.

“Buat sahabat-sahabat ku, kalau satu hari nanti aku diam, carilah aku. Kalau aku sakit, ubatilah aku. Kalau aku mati, kafankanlah aku, sedekahkanlah Al-Fatihah. Sesungguhnya di dunia ini, aku hanya ada hangpa sahaja. Hangpa sahajalah tempat aku menumpang kasih, tempat untuk aku bersandar.”

-pakli-


-TAMAT-
KARYA INI ADALAH HAKCIPTA PENULIS DAN ARKIB ANGKER NEGARA
Dapatkan novel SEGITIGA hasil kolaborasi antara DeeFen DF, Shizu dan SenyumanPerantau SP. Butiran pembelian boleh disemak di FB penulis atau whatsapp di nombor 0145390603.

No comments: