Tuesday, 9 January 2018

HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 2) - DeeFen DF


HIKAYAT LAKI-LAKI YANG TAK PUNYA APA-APA UNTUK BERSANDAR (Bahagian 2)
Karya: DeeFen DF


Selepas beberapa hari pengebumian moyang, aku selalu memikirkan pasal saka tu. Entah kenapa aku jadi sedikit risau pasal perihal saka tu sedang mencari tuan yang baru. Kadangkala aku selalu buat teruk. Jadi paranoid. Padahal takda apa-apa pun. Mungkin sebab aku jenis penakut hantu kot.

Selepas seminggu daripada tu, hampir setiap malam aku dapat mimpi ngeri. Bukan setakat malam, tidur petang pun aku mimpi. Aku selalu mimpi binatang berbisa kejar aku. Selalunya ular dengan kala jengking.

Kala jengking tu sebesar rumah. Bapak besar! Memang aku terpaksa pecut untuk melarikan diri. Aku tak tau la masa aku tengah mimpi tu, aku berlari setempat atas katil ke, lari pusing dalam bilik tidur ke camna, aku tak pasti la. Tapi yang pastinya, aku terjaga tidur je mesti berpeluh satu badan.

Tak pasal-pasal cadar katil cepat je bau kepam. Dah la bangun pagi rasa penat badan. Hangin betul aku masa tu. Aku rasa la kalau hari-hari mimpi lari macam ni, mesti badan aku jadi fit. Stamina tip top. Kalaulah aku gemuk, mesti aku dah kurus sikit dah sekarang.

Disebabkan aku masih lagi mentah, cuma ajet-ajet dewasa, aku taktau pun pasal tanda-tanda gangguan jin saka sakau semua ni. Aku pun tak cerita kat nenek. Jadi aku layan je la mimpi-mimpi buruk yang menghiasi setiap malam aku.

Selepas lebih kurang dua minggu, mimpi tu tiba-tiba berhenti. Dah aman damai tidur aku. Aku dapat rasa nikmat tidur. Masa tu mata aku dah bengkak tahap mamat K-Pop punya sepet. Manataknya, dua minggu tidur aku terganggu. Kejap-kejap terjaga.

* * *

Mimpi-mimpi seram ni kembali semula bila aku dah setengah tahun di tingkatan 5. Semuanya bermula di suatu malam pada hari Khamis. Aku ada tuisyen matematik tambahan yang aku pi sebanyak 4 kali masa awal tahun saja.

Bulan-bulan seterusnya sampai ke SPM aku ponteng tapi duit yuran tuisyen yang nenek aku bagi semua aku kelepet buat beli rokok dan main game kat cyber cafe. Lihatlah betapa kurang asamnya aku dulu.

Berbekalkan motosikal Yamaha Sukan peninggalan arwah ayah, aku merempit balik rumah kira-kira jam 11 malam selepas selesai “tuisyen” dan melepak di padang permainan. Tapi sebelum tu, aku kena hantar Bob balik rumah dia dulu.

“Siiiiiiiiiaapaaaaa sejambak mawar merahhhhh! Harum di kamar hati mu.. Hingga diriku disingkirkan…..”

“Oi Pakli! Hang jangan nyanyi kuat sangat. Malu weh orang dengaq.” Tegur Bob sambil menempeleng kepala aku sebanyak 2 kali. Rumah Bob terletak di taman perumahan tak jauh dari rumah nenek aku. Rumah nenek aku pula rumah kampung tanah lot biasa ja.

“Redup senja… di kaki awan… menghilangkan, padang dan lalang… dan cintaku bagaikan… berkasihani…” Aku melalak tanpa menghiraukan larangan Bob. Walaupun aku tak berapa ingat lirik, tapi aku tetap mencoba.

“Bangang la hang ni! Dah la lirik bersepah!” Marah Bob betul-betul kat telinga aku. Dia kembali meneruskan penempelengannya ke kepala aku bertubi-tubi.

“Ha laaa! Ha laaaa! Aku tak nyanyi dah! Gelabah la lu brader! Gua memang susah la der nak control volume suara gua! Bob, aku rasa la kan… masa depan aku sebagai penyanyi agak cerah. Sedapkan suara aku?”

“Hotak hang! Nah hambik ni!”

Dusyum!

Ketika melalui satu selekoh yang mana di kiri dan kanan jalan semuanya bertanah merah yang baru ditolak untuk dibangunkan kawasan perumahan yang baru, aku terperasan ada satu sosok tubuh besar tegap hitam di kiri jalan. Kemudian kami ditegur dengan satu suara garau yang cukup kuat.

“HOI PAKLI!!”

Yang sangat menggerunkan sebab dia tegur nama aku. Nama aku weh! Bukan nama Bob. Mana dia tau nama aku? Suara tu sangat kuat macam orang pakai hailer. Dia tegur masa aku tengah dok ambil selekoh dengan kelajuan sedang-sedang aja.

Ya rabbi aku punya terkejut tu rasa macam aku dah kena mild heart attack. Nasib baik kami tak berterabur kat atas jalan. Aku punya skill tunggangan dan pengawalan motosikal di kala terdesak dan memerlukan refleks pantas adalah sangat membanggakan.

Bob yang membonceng di belakang dah memeluk erat dengan pipi dia dah berlaga pipi aku. Seumpama pasangan songsang yang bahagia kami waktu tu. Sesiapa memandang pasti rasa cemburu akan keintiman kami.

Aku terus drop 1 gear. Lancar. Tiada senggukan enjin yang ketara. Terus aku memulas pendikit secara berkala. Tidak terlalu pantas untuk mengelakkan wheelie yang tidak perlu yang hanya akan merugikan masa. Hamburan kuasa daripada enjin terus memacu kami pantas ke hadapan.

Walaupun aku rasa geli-geleman bila Bob memeluk erat aku kat belakang, tapi perasaan takut aku melebihi segala-galanya. Tapi sesekali rasa geli tu akan datang bila moto tersentak akibat jalan tak rata, maka pipi kami akan bergesel berulangkali. Jerawat dan minyak muka kami telah bersatu.

“Laju weh! Laju!” Jerit Bob menggelabah. Aku yang terdengar suara Bob menggelabah, maka aku jadi lebih menggelabah. Aku sendiri tak pasti ‘makhluk’ yang tegur kami tadi tu ada mengejar kami atau pun tak.

“Bob, baca ayat kursi! Ayat apa-apa pun boleh lah!”

“Hang la baca!”

“Aku tak ingat! Aku dok fokus bawak moto ni! Hang la baca Bob!”

“Aku lupa jugak! Aku pun tengah dok fokus dengan ketakutan aku ni!”

“Bongokkkk!”

Kelajuan kami masa tu memang tak terbayang. Bingit daripada ekzos Yamaha Sukan memecah kesunyian malam yang gelap tanpa malap bulan. Segala selekoh 45 darjah, 60 darjah mahupun corner patah 90 darjah semuanya ditibai selamba oleh aku. Mencicit tayar sotong cuba mencengkam jalan.

Akibat terlalu ralit memfokus penunggangan, aku hampir terlepas rumah Bob. Tapi belum sempat betul-betul aku dah perlahankan moto, Bob dah terjun!!! Bob ni kadang-kadang suka buat kerja bodo lagi bangang.

Bila aku toleh ke belakang, aku nampak terguling-guling mamat tu atas tar depan rumah dia. Belum habis golek beliau dah terkocoh-kocoh bangun lalu panjat pagar rumah. Aku pulak dah serba-salah nak lepak rumah Bob dulu atau terus balik ja.

Tapi memandangkan aku pun dah lapar dan belum makan malam lagi, aku ambil keputusan terus balik ja. Sekali lagi aku memecut balik rumah. Asap berkepul-kepul keluar daripada ekzos. Aku harap dengan asap yang banyak keluar daripada ekzos akan mengaburkan pandangan ‘makhluk’ tadi dan dia tak nampak jalan untuk mengikut aku balik rumah. Sungguh optimistik walaupun bangang.

Sepanjang perjalanan balik rumah, mulut aku terkumat-kamit membaca apa sahaja ayat yang terlintas kat otak aku. Segala jenis doa aku baca. Doa makan, doa sebelum belajar, doa tidur, doa masuk tandas semua aku bantai baca.

Walaupun sepanjang perjalanan balik tu ada ja brader-brader dan pakcik-pakcik dok melepak depan rumah, tapi aku tetap paranoid. Aku anggap antara dorang tu mesti ada yang bukan manusia. Menyamar jadi manusia. Kalau aku bawa slow mesti dia tiba-tiba terkam aku. Itulah apa yang aku dok fikirkan.

Aku terpaksa melalui mini tar untuk ke rumah nenek. Jarak antara rumah tak terlalu jauh tapi agak menggerunkan sebab lampu jalan yang malap dan jarang-jarang jaraknya. Ditambah dengan pokok yang besar dan ranting merendang menunduk jalan, memang setiap kali aku balik malam-malam akan terasa seram.

Tapi… Tapi malam ni lebih seram sebab baru ja disergah tadi.

Sebaik saja aku tiba di jalan nak masuk rumah nenek, mata aku tertacap pada sosok hitam betul-betul di tepi jalan masuk. Itupun sebab lampu moto tersuluh lembaga tu. Dia ada kat laluan titi masuk.

Ini bermakna aku terpaksa menunggang lalu melepasi sebelah dia. Ini memang kerja gila! Aku terbayangkan makhluk durjana tu melompat dan membonceng moto sambil memeluk erat pinggang aku. Lepas tu dia kata, “Adik tumpang ye banggggg. Nak balik kubor tapi tak larat nak jalan.”

Macam-macam imaginasi aku.

Aku yang panik terus terjun moto dan berlari melompat melepasi tali air yang berkelebaran 3 meter lebih. Segala teknik sukan lompat jauh yang aku pelajari semasa kelas Pendidikan Jasmani, aku praktikkan dengan jayanya. Pastu cikgu PJ berbangga akan pencapaian aku. Sepanjang hidup, aku tak pernah melompat sejauh itu.

“ARGGGHHHHHHHHHHHH!!!!!!!”

Panjang jeritan aku sepanjang larian pecut menuju ke pintu rumah. Kedua-dua belah selipar jepun aku pula putus masa landing dari lompatan Olimpik tadi. Namun keduanya masih terselit di buku lali. Sesekali aku hampir terjatuh kerana keberadaan selipar tu menganggu teknik larian aku.

Sebaik tiba di pintu rumah, tiba-tiba pintu rumah terbuka sendiri sebelum sempat aku menghulurkan tangan pada tombol. Tercegat di depan aku seketul makhluk hitam berbadan gempal, berperut buncit dan bertetek layut.

“Omakkau hantu gemok!” Aku melatah sekonyong-konyong terlihat makhluk gempal tersebut. “TEPI! Aku nak masuk! Nah amik kau!” Spontan tindakan refleks aku mengambil selipar yang tersangkut pada buku lali dan terus membalik tepat ke muka makhluk tersebut.

“BABI!!! Sakit la muka aku bodo!”

Baru aku perasan, rupanya makhluk hitam gempal tu adalah abang aku yang lebih terkenal dengan panggilan Jon Gemok. Makin berlemak dia sekarang. Abang kandung aku ni bekerja di negeri bersebelahan. Sebulan sekali dia akan pulang rumah nenek.

“Hang pasaipa menjerit macam orang gila?!” Soal abang aku, Jon Gemok.

“Aku nanananampak hahahahahahahahahaha…”

“Hahahahahaha apa?!!” Tingkah Jon Gemok akibat kegagapan luar biasa aku dikala itu.

“Hahahahantu!”

“Huhh mana?”

“Jajajajajalan mamamamamasuk tutututututu,” ujar aku dengan sekadar memberi isyarat ibu jari menunjuk ke arah belakang. Aku langsung tak berani nak menoleh. Risau makhluk tu ada tercegat belakang aku. Mau terberak aku kat situ jugak.

“Dok tututututututu apadia? Sekali aku backhand muka hang baru hang tau!”

Abang aku memanjangkan leher memerhatikan ke arah titi jalan masuk rumah nenek ini. Mukanya selamba, kening diangkat dan bibir dijuihkan – tiada apa-apa.

Aku yang berasa lembik lutut terus berpaut dan memeluk paha abang aku. Bergetar teruk kaki aku. Aku dah tak mampu nak berdiri dah ni. Rasa lemah seluruh badan aku.

“Weh takdak apa-apa pun. Hang silap tengok kot,” abang aku bersuara lepas dia berpuas hati meng-usha tempat aku kena ganggu tadi.

“Memang la takdak. Takkan mambang tu nak tunggu kot. Dia pun takut tengok rupa hang yang tak hensem lagi gemok tu!”

“Bagero! Dah la sakit muka aku kena selipar jepun keras Tat Sing hang tu. Ni kutuk pulak rupa kejadian aku!”

Aku memberanikan diri menoleh perlahan-lahan ke arah titi. Aku tekup muka aku dengan jari-jemari runcing dan melihat melalui celahan jari. Aku punya la penakut masa tu.

Dari arah dalam tali air, kelihatan samar-samar cahaya kuning memancar menyuluh lalang yang tumbuh meliar di tebingan. Kelihatan begitu aneh kejadian itu. “Mana datang cahaya dari dalam tali air? Benda apa yang ada dalam tali air yang memancarkan cahaya?” Persoalan ini terus bermain di kotak fikiran aku.

“MOTO!!!!" Aku menjerit dengan bebola mata yang dah terbuntang.

Terkocoh-kocoh aku berlari ke arah tali air dengan dibontoti oleh abang aku. Memang tepat telahan aku, motosikal lejen tu telah melongkangkan dirinya. Abang aku dah mula terbahak-bahak gelak sambil memegang perut dan sesekali menunding jari ke arah motosikal.

“Dejei betoi la. Sudah-sudah la gelak sakan tu.” Tegur aku yang makin menyampah tengok gelagat abang aku. Lemak-lemak perut dan buah dadanya berhinggut mengikut nada dia ketawa. Meluat.

Mata aku meliar memandang ke arah tempat makhkluk durjana berdiri tadi. Dah tak ada. Dalam hati menyumpah seranah mambang tu sebab menyusahkan hidup aku. Dah jadi satu hal nak tarik motosikal lejen tu naik atas pulak.

“Bang! Tolong aku tarik moto ni naik,” ujar aku kepada abang aku yang sedang mengelap air mata yang merembes.

“Esok je lah. Dah tengah malam dah ni. Malas aku. Lagipun manatau ada ulaq ka bewak ka boya ka dalam tu. Tak memasal masuk hospital.” Termengah-mengah abang aku bercakap. Sesekali kedengaran dia mengekek ketawa lagi.

“Yelah. Aku nak matikan enjin dulu.” Aku perlahan-lahan turun ke dalam tali air dengan dibantu kemalapan cahaya lampu jalan yang menyinar dari kejauhan. “Harap-harap tak hujan lebat malam ni. Tak pasal-pasal hanyut moto ni sampai dalam bendang.”

“Aku harap hujan lebat la malam ni. Kahkahkahkahkah! Aduh! Sakit kepala. Gelak sampai sakit kepala!” Sekali lagi abang aku kembali ketawa terbahak-bahak. Menjengkelkan betul perangai abang aku sorang ni. Geram je rasa nak starlight ja dahi dia.

Sebelum aku masuk rumah aku londeh semua seluar dan baju. Aku gantung kat ampaian di halaman rumah. Tinggal boxer ja.

“Ni hang pasaipa dok separuh bogel kat luar rumah ni? Buang tebiat apa pulak dah hang ni!” Tegur abang aku yang pelik melihat kelakuan aku. “Kena sampuk dah?”

“Orang tua-tua cakap, kalau kena tegur dengan makhluk halus, sebelum masuk rumah, londeh baju seluar atau pakai terbalik. Kalau tak, nanti dia ikut masuk rumah. Ngeri weh kalau dia ada dalam rumah ni. Nak berak pun tak aman,” jelas aku panjang lebar.

“Suka hati hang la. Awat tak bogel terus? Londeh sekali dengan boxer tu. Segala jenis jembalang pun lari tengok hang. Kehkehkehkeh.”

“Haa suka la tu kan? Mambang tu ikut hang pulak baru tau. Biaq dia kokak telinga hang waktu tidoq. Padan muka.”

Nak dijadikan cerita, awal pagi tu memang hujan lebat. Resah gelisah aku tak boleh tidur memikirkan motosikal. Nasib baik bila aku check lepas subuh motosikal tu ada lagi kat situ. Tersangkut kat tiang titi. Dia berjaya berpaut daripada hanyut. Memang lejen.

* * *

Kira-kira dua hari selepas kejadian aku jumpa mambang tu, aku mula dapat semula mimpi yang pelik-pelik. Kali ni paling kerap aku selalu dikejar makhluk berbulu hitam lebat. Gaya bentuk badan macam beruk. Tapi agak besar.

Mimpi tu memang akan terjadi dalam waktu yang sama setiap hari. Tepat jam pukul 3:30 pagi aku mesti terjaga daripada mimpi kena kejar dengan beruk tu. Berpeluh satu badan.

Mula-mula tu memang aku takut, berdebar semua cukup. Tapi lepas dua minggu asyik mimpi yang sama ja, aku jadi mangli. Terjaga 3:30 pagi, kuatkan kipas sebab berpeluh-peluh, sambung tidur. Dah malas nak layan.

No comments: