Tuesday 30 January 2018

SIMBIOSIS: PART II - Nil Kuhaku


SIMBIOSIS: PART II
KARYA: Nil

===================================

"Dan kau khianati satu-satunya rakan kau, Karl." Suara itu berbisik sinis.

Karl menggenggam tangannya, erat.

“Kenapa kau sisihkan aku, Karl? Kenapa kau pura-pura tak dengar aku?” Suara itu berbisik lagi lirih.

Karl terdiam. Dia mendengar hembus nafas puaka itu di belakangnya.

“Dengar suara aku Karl. Dengar.” Ia berbisik lagi.

“Suara… kau?”

“Ya. Suara aku. Dengar. Ikut…” Bisiknya.

“HEI!” Satu suara nyaring perempuan mengejutkan Karl. Dia tersentak, dan penyapunya jatuh. Berbunyi bising. Bayangan tadi seakan hancur, hilang ditelan udara.

‘Atikah.’

Tag nama hitam di uniform putih itu yang pertama Karl baca, sebelum matanya bertentang dengan seorang gadis kecil molek. Beruniform putih.

“Encik ni siapa? Saudara pakcik Mihar ke?” Ujarnya.

“Hah?”

“Apa hah hah? Ke encik ni pencuri? Saya telefon polis sekarang, nak?” gertak gadis itu. Rendah. Separas dagu Karl sahaja, barangkali.

“Tak. Tak. Bukan. Saya… saya kawan kepada anak pakcik Mihar.”

“Anak pakcik Mihar?” Gadis itu mengangkat kening, dingin.

“Ya.” Karl menunduk, mengangkat penyapu yang jatuh.

Seraya, gadis beruniform jururawat itu memeluk tubuh. “Anak pakcik Mihar sorang je. Dah lama meninggal. Anak dia yang mana?” Katanya.

Kata-kata gadis itu menusuk kalbu Karl. Tajam.

“Radhi… dah meninggal? Jadi betullah, dia dah meninggal?” Karl tergagap.

Jururawat yang menyarungkan tudung putih, riben biru itu mengerutkan dahi.

“Encik tak tahu ke?”

“Saya… dah lama terpisah dengan Radhi. Saya sampai ke sini, lepas tu…” Karl termangu. Gadis di hadapannya memiringkan kepala.

“Habis tu, encik buat apa ni?”

“Kemas… kemas rumah.”

“Kenapa?” Gadis itu bertanya.

Karl menggeleng. Dia memegang erat batang penyapu tersebut. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Sebab belas kasihan?

Tak. Dia rasa bersalah.

Dia mendengar gadis di hadapannya mengeluh.
 
“Okaylah. Saya percaya encik berniat baik. Tak ada pencuri yang datang tiba-tiba nak bersihkan rumah orang tua lumpuh.” Ujarnya jengkel. “Apa-apa pun, saya di sebelah. Nampak tak rumah tu? Tu rumah sewa saya dengan beberapa kawan-kawan lain.” Gadis itu menekankan perkataan ‘beberapa kawan-kawan lain’. Dia menunding jari ke arah sebuah rumah batu kecil, bercat biru yang agak jauh. Rumah itu satu-satunya rumah berdekatan.


Teragak-agak, Karl mengangguk.

“Saya bagi amaran. Apa-apa perkara pelik saya dengar, saya tak teragak menelefon polis.” Ujarnya bersahaja, sebelum mendekati pakcik Mihar yang merenung pintu keluar, kosong.

“Nanti Atikah datang lagi ya, pakcik.” ujarnya lembut, sebelum menjeling Karl.

Karl terpinga-pinga.

Dia memandang sekeliling. Suara itu tiba-tiba hilang apabila gadis ini muncul. Terus diam.

============================

Habis dikerjakan di dalam rumah, dia menarik pakcik Mihar yang meronta-ronta tidak mahu dimandikan. Najis berkuping, keras di atas kerusi roda. Sekuat hati, dia mengangkat lelaki tua itu ke tandas. Mujurlah waktu diangkat dia tidak meronta. Oleh kerana dia tidak berjumpa baju bersih di dalam rumah tersebut, dia terpaksa pakaikan pakcik Mihar baju dan kain pelikat miliknya.

Habis dimandikan, dia mendudukkan pakcik Mihar di atas kerusi roda. Air wajah lelaki tua itu sedikit jernih, mungkin selesa selepas dimandikan. Baju Karl menggelebeh di badan tuanya yang kecil, terlondeh di bahu. Dibetulkan Karl.

Dia menyelongkar peti sejuk. Tiada barang basah. Langsung tiada.

“Nanti lepas saya tebas lalang, kita cari makanan ya, pakcik?” ujar Karl.

“Ambilkan Quran aku.” Tiba-tiba lirih suara lelaki itu menyapa telinga Karl.

“Quran pakcik? Kat mana pakcik simpan?”

Diam.

Karl menyelongkar kembali di timbunan buku-buku. Tiada Al-Quran, namun ada satu tafsir.

“Ini boleh?” Karl menyuakan.

Tangan tua itu menyambut lembut. Seraya, dia membuka tafsir itu berhati-hati. Berhenti di satu halaman. Karl mendengar perlahan suara tua itu mengaji, lembut.

Karl biarkan. Segera, dia mengambil parang yang dijumpainya. Mahu menebas lalang.

“Kenapa kau khianati aku, Karl?”

Wajah menyeringai dengan kepala terkulai itu muncul lagi.


Karl terpaku.

“Kau ingat tak, kau buat apa kat aku, Karl?”

-Tiga belas tahun dahulu, sekolah berasrama penuh-

“Weh, kau dah makan?” Radhi menjenguk. Terkejut Karl yang sedang berselimut.

“Dah.”

“Kau tipu kan? Kau kena denda tadi dengan Cikgu Khair. Kau balik lambat sebab dia suruh habiskan latihan. Aku nampak kau masuk dewan makan. Masa tu makanan dah lama habis.” Radhi berkata, bersahaja.

Karl diam.

“Nah, aku dah simpankan nasi dengan lauk dewan makan tadi.” Radhi menghulur.

Karl bingkas bangun. Aroma ayam masak pedas, kuah sayur lemak dan nasi putih menyapa baunya.
“Bukan ke tak boleh tapau dari dewan makan? Kau pecah amanah eh?”


“Mana ada. Cikgu Khai yang suruh. Dia tak la kejam sangat.” Sengih Radhi, duduk di sebelah Karl.

“Terima kasih Radhi. Mujur ada kau.” Senyum Karl, menjamah makanan lapar. Dia memang kelaparan. Pagi tadi dia tak sempat bersarapan pagi. Nak beli makanan di kantin? Kirim salam. Dia mana ada duit. Sudahlah berlapar sampai ke tengah hari, dia dihalang pula balik oleh Cikgu Khai. Gara-gara dia gagal menjawab soalan Biologi, dia didenda. Dah pukul tiga baru dia dibenarkan balik. Sampainya dia di dewan makan, makanan telah habis.

“Sama-sama. Kau ajarkan aku Add Math nanti. Lemah betul aku.” Rungut Radhi. Radhi mahir subjek Biologi dan Kimia, lemah dalam subjek Matematik dan Fizik. Berbeza dengan Karl, Matematik itu ‘forte’nya. Menyesal pula dia tak ambil kelas Perakaunan.

“Tak ada masalah. Malam nanti, masa ‘prep’ aku pergi kelas kau.” Karl menyuap nasi.

“Nak kulit ayam kau.”

“Bodo ni aku punya. Kau dah makan kan. Kau dah kenyang kan. Kau tak nampak ke aku kebulur?”

“Bak la sikit. Kedekut gila.”

“Kau jangan buat perangai boleh tak.”

“Sikit la wehhhh!” Radhi cuba mencapai kulit ayam. Itu memang saja Karl tinggalkan. Dia mahu makan kulit ayam itu di suapan terakhir. Dia menyiku-nyiku Radhi, sebelum beberapa senior mereka melalui bilik.

“Korang berdua ni gay ke apa?” Terpacul dari mulut mereka, sebelum mereka ketawa terbahak-bahak.

Karl memerhati mereka garang.

“Weh.” Radhi menepuk Karl.

“Kau apahal pandang aku macam tu?” Lelaki tegap itu mengerling. Karl kenal mereka. Pasukan bola ragbi sekolah.

“Dah la Karl. Dah. Sambung makan.” Radhi berkata perlahan.

“Kau apahal cakap aku macam tu? Ke kau yang gay? Tak tahan tengok bontot aku?” Karl menjawab, tidak endah pujukan Radhi.

“Kau cakap baik-baik sikit!” Lelaki itu menjerkah.

“Kau fikir aku punya mulut je kena cakap baik? Mulut kau tak fikir busuk ke tak?”

Lelaki itu menyerbu masuk. Pinggan berisi nasi dan ayam masak merah bertaburan, Karl turut bangun menyerang. Radhi memaut kedua bahu Karl, dan senior itu dipegang rakan-rakannya yang lain.

“Kau jangan nak tunjuk besar kepala sangat la sial! Dasar miskin tak sedar diri!” senior itu menjerkah lagi.

“Lepaskan aku Radhi!” marah Karl, bergelut dengan pegangan kejap Radhi.

“Sabar Karl, sabar! Jangan ikut perasaan!” Balas Radhi.

“Kau ingat satu sekolah tak tahu ke kau ni anak luar nikah? Aku sendiri tengok salinan surat beranak kau kat bilik guru la. Anak haram! Surat beranak kau tak ada nama ayah pun!”

Karl tiba-tiba mengeras dalam pegangan Radhi.

“Karl…?” Ujar Radhi bimbang.

Karl mengilaskan badannya - lincah, dan lolos dengan mudah dari Radhi. Dia menjerit marah, sebelum menghambur tumbukan bertubi-tubi ke muka senior tersebut.

“Karl!” dia mendengar Radhi menjerit. Dia rasa beberapa pasang tangan cuba memegangnya, cuba menahannya, semua dia tempis. Satu sahaja difikirannya sekarang ini, dia mahu mengajar lelaki bangsat ini cukup-cukup. Beberapa tumbukan dan sepakan mengenanya, tapi dia tidak hirau. Lama kelamaan, hanya dia yang memukul, menyerang.

Tangan-tangan itu yang awalnya beberapa pasang sahaja, bertukar berbelas. Apabila dia sedar, hampir sekumpulan pelajar lelaki sedang memegangnya. Radhi di sebelahnya, turut luka-luka. Akibat diakah? Radhi sedang memegang bahunya, tercungap-cungap. Senior bola ragbi itu terbaring, kaku.

Tangannya yang merah dengan sambal ayam tadi, kini berlumuran darah.

“Kau tak rindukan semua itu, Karl?” Bisik lembaga kepala terkulai.

Karl memegang parangnya erat.

“Biar aku pimpin kau balik, Karl.” Suara halus itu menyulami.

Karl merenung parangnya, lama.

“DAH! JANGAN KACAU DIA!” lamunan Karl hilang. Makhluk itu hilang. Suara gadis itu nyaring, memecahkan bayang-bayang hitam itu kepada seribu.

Karl mengangkat muka, terkejut. Memandang Atikah yang tercungap-cungap. Pucat. Dia kini berpakaian baju muslimah labuh, seluar track hitam, dan tudung bawal yang dipin labuh. Dia membawa beberapa bungkusan makanan.

“Aku tak pernah lihat,” Dia berkata kepada Karl dengan mata bulat ketakutan,

“Halusinasi seutuh itu. Halusinasi kau hidup.” Sambungnya lagi, terketar.

Karl mengangkat kening.

“Awak… nampak…?” Karl terkejut.

“Aku… Aku. Ini, aku tak tahu nak jelaskan bagaimana. Dari kecil, aku nampak ‘imaginasi’. Bukan apa yang kau fikirkan. Aku tak boleh baca fikiran. Bukan. Aku nampak imaginasi. Halusinasi seseorang. Tapi biasanya, apa yang aku nampak kesemuanya kabur. Tidak utuh. Legap seperti cermin hitam. Tapi yang kau… yang kau. Lelaki terkulai itu tampak ‘real’. Aku tak tipu.” Gadis itu berkata panjang lebar, seolah-olah takut Karl tidak percaya.

Suara itu hilang. Langsung hilang. Karl merasa sedikit tenang kini.

Karl menarik bandananya, menampakkan tatu yang berlingkar dari dagu ke tulang selangka. Mata gadis itu membulat terperanjat.

“Aku percaya.” ujar Karl perlahan.

=======================


Karl memerhatikan gadis itu menghidangkan nasi dan lauk kepada pakcik Mihar. Terketar-ketar dia makan. Selepas itu, dia menarik bakul berisi baju basah, dijemur di ampaian. Sempat dia memandang Karl dengan wajah serius. Rasanya, dari tadi, gadis ini tak pernah lagi tersenyum ke arahnya.

Karl ralit menebas lalang. Buat pertama kali, suara itu tidak lagi menjengah benak fikirannya. Lalang itu kemudiannya dikumpulkan ke suatu tempat, mahu dibakarnya. Dia masuk ke dalam rumah, mahu mengambil empat bungkusan hitam besar sampah yang dikumpulnya. Ditarik satu bungkusan.

Dia terdengar bunyi heretan di sebelah. Atikah sedang menarik bungkusan satu lagi.

“Eh, tak payah! Berat ni!” Tegah Karl.

Atikah tidak hirau. Dia tetap menarik plastik besar itu ke tempat lalang dikumpul. Karl menggeleng kepala. Boleh tahan degil.

Selepas sampah-sarap itu dibuang, Karl melangkah masuk ke dalam rumah. Gadis itu menyambung kerja Karl nampaknya, rumah itu dikemaskan lagi. Buku-buku bertaburan disusun. Kerusi rotan ditempatkan elok-elok. Gadis itu sedang berbual seronok dengan pakcik Mihar, yang tersengih gembira. Kenyang, barang kali.

Anehnya, bila gadis ini ada, suara itu hilang. Karl terasa normal. Tenang.

Dia kata, dia nampak halusinasi Karl.

Karl memiringkan kepala. Mahu bertanya lebih lanjut, tapi dia segan melihat perwatakan Atikah.

“Uhhh… Maaf. Tadi awak kata… Awak nampak? Kan?” ujar Karl, cuba berbasa-basi.

Atikah mengerling. Dia menuang air teh o yang berasap nipis, sebelum disuakan kepada Karl.


“Terima kasih.” Gumam Karl.

Atikah mengangguk.

“Sejak kecil, saya mudah ‘nampak’. Bukan makhluk halus, tapi imaginasi seseorang. Apa yang dia bayangkan. Contoh, dia bayangkan kereta. Saya nampak kereta terawang-awang di atas kepalanya.” Atikah menggayakan tangannya di atas kepala. “Saya tak boleh baca fikiran. Cuma ‘gambar’ imaginasi itu, dibentukkan seperti ‘projektor’. Biasanya, semua tak nampak sangat. Kabur. Legap. Ada yang hitam putih.” Atikah menunduk.

“Tapi yang awak, saya nampak. Jelas. Awalnya saya datang tadi, saya tengok rumah pakcik Mihar terbuka. Waktu saya melangkah, saya nampak halusinasi awak. Buruk. Kepalanya terkulai. Mujur saya tak menjerit.” Atikah menyapu-nyapu bulu roma yang merinding.

“Bagaimana awak tahu tu halusinasi? Bukan hantu?”

“Senang. Halusinasi cuma akan berinteraksi dengan tuan badan. Dengan saya, ia tidak hirau.” Atikah menyambung. “Awak… tak percaya, kan?” Dia mengutis-ngutis meja yang terkopek.

Karl terdiam. Sekiranya gadis ini tidak menceritakan fizikal suara itu, dia tidak percaya juga.

Anehnya, apabila dia ada, bayangan itu hilang.

Karl tersenyum.

“Saya percaya.”

TAMAT PART II
============================
Suntingan dan Gambar: Nil 
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com

1 comment:

Anonymous said...

Mane part III 😢😢😢😢