Sunday, 7 January 2018

LIMA DALAM SATU - SIRI II -SEKOLAH - Suzie Aziz


LIMA DALAM SATU - SIRI II -SEKOLAH
Karya: Suzie Aziz

======================

KISAH SATU: TANDAS LELAKI

Azim sudah tidak senang duduk. Perutnya memulas. Telinganya sudah tidak mendengar apa-apa lagi yang dibebelkan Cikgu Rohana. Peluh sudah memercik di dahinya. Ah, tak boleh jadi ni. Azim bangun lalu menghampiri Cikgu Rohana.

“Cikgu, izinkan saya ke tandas.”

Cikgu Rohana merenung Azim, melihat peluh yang membenih di dahi anak muridnya itu. Perlahan Cikgu Rohana mengangguk, memberi kebenaran. Azim meluru ke luar, menuju ke tandas paling angker dalam sekolah. Tandas di Blok J. Tidak ada siapa yang berani pergi ke tandas itu seorang diri. Tetapi disebabkan polisi Cikgu Rohana hanya membenarkan seorang sahaja pelajar lelaki ke tandas, mahu tak mahu Azim terpaksa juga memberanikan diri ke sana seorang diri.

“Harap-harap adalah budak kelas lain kat tandas.”

Azim membuka pintu tandas. Blok J adalah blok lama yang menempatkan stor sukan, bilik fail, makmal Kimia dan bilik Pengawas.

Azim berdiri di muka pintu. Dia menelan air liurnya yang terasa pahit. Aduh, kosong pulak tandas masa ni. Perutnya yang semakin pedih memaksa Azim untuk masuk ke dalam kubikel yang hujung. Itulah satu-satunya kubikel yang masih mempunyai pintu. Usai menyempurnakan hajatnya, Azim menarik tali flush.

‘Bluupp!’

Terdengar bunyi aneh datang dari dalam tangki flush. Azim menarik tali flush beberapa kali tetapi air masih belum keluar. Seolah-olah ada sesuatu menyekat aliran air. Ah, tak boleh jadi ni. Azim memang sudah terbiasa flush selepas menggunakan tandas.

Azim membuka penutup tangki flush yang berwarna putih kekuningan. Dia bernasib baik kerana kedudukan tangki flush berada sama paras dengan kepalanya.

‘Bluupp!’
‘Bluupp!’

Azim sedikit cuak. Tapi dia tetap berusaha membuka penutup tangki. Apabila dia berjaya membukanya, sesuatu muncul dari dalam tangki yang membuatkan Azim terperanjat besar. Dia rebah ke belakang. Ketakutan yang dialaminya membuatkan pintu kubikel dirempuh hingga tercabut. Azim melarikan diri dari situ. Dia takkan lupa bagaimana sebiji kepala timbul dari dalam tangki dan sepasang mata kemerahan merenung tepat ke dalam matanya. Wajah makhluk itu berlumut dan menggerutu.

Pengetua Omar yang sedang memantau keadaan sekolah melalui CCTV menelan air liur apabila melihat sebiji kepala berambut panjang terbang keluar dari tandas pelajar lelaki selepas seorang pelajar kelihatan lintang pukang melarikan diri. Lebih menakutkan lagi apabila kepala itu perlahan-lahan berpusing memandang CCTV sambil menyeringai.


KISAH DUA: BILIK GURU
Cikgu Wani masuk ke bilik guru di tingkat dua dalam keadaan kepenatan. Jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Semua rakan gurunya sudah balik pukul 2:40 petang tadi. Sekolah sudah lama sunyi. Tambahan pula esok bermula cuti panjang selama seminggu sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Cikgu Wani mengemas mejanya. Suis aircond ditutup. Ketika dia menghampiri kubikel yang dijadikan tempat solat, telinganya menangkap suara seperti seseorang sedang solat. Cikgu Wani merasa sedikit cuak. Seingatnya semua rakan bilik gurunya sudah balik. Dia berbelah bahagi samaada menjenguk ke dalam kubikel itu atau tidak.

Suara berbisik-bisik itu kedengaran tenggelam timbul. Cikgu Wani memberanikan diri menjenguk ke dalam kubikel. Kelihatan seseorang memakai telekung solat sedang sujud. Peluh mula membenih di dahi. Cikgu Wani menelan air liurnya yang terasa pahit. Siapa tu?

Cikgu Wani yakin itu bukan rakan bilik gurunya. Kalau itu rakan bilik gurunya, takkan dia solat melawan kiblat. Cikgu Wani perlahan-lahan mengundurkan diri. Dia tergesa-gesa mencapai beg tangannya. Tanpa mengunci pintu bilik guru, Cikgu Wani berlari menuju ke tangga. Ketika dia menoleh ke belakang, dia melihat seekor makhluk berkelubung sedang berdiri di muka pintu bilik guru…sedang melambai-lambai.


KISAH TIGA: DEWAN
Disebabkan tiada peruntukan, perkhemahan perdana pada tahun ini terpaksa dibuat di sekolah. Seramai 120 orang pelajar dari 12 unit beruniform mengambil bahagian di dalam perkhemahan ini. Kesemua mereka adalah pelajar-pelajar tingkatan lima. Aktiviti pada hari pertama berjalan lancar,namun pada malam hari kedua hujan turun dengan sangat lebat memaksa semua pelajar dikumpulkan di dalam dewan.

Cikgu Muhammad yang bertindak sebagai kem komandan mengarahkan semua pelajar berkumpul mengikut unit masing-masing. Disebabkan hujan yang terlalu lebat, tiada aktiviti yang boleh dijalankan. Selesai solat Isyak berjemaah, Cikgu Muhammad bercadang mengadakan sedikit sesi tazkirah. Tetapi belum sempat Cikgu Muhammad membuka mulut, satu dentuman kuat menggegarkan dewan sebelum lampu tiba-tiba terpadam. Cikgu Muhammad dibantu lima orang guru lain yang bertugas, berusaha menenangkan pelajar-pelajar perempuan yang menjerit ketakutan.

Cikgu Muhammad mengarahkan Cikgu Salman memeriksa kotak fius yang berada di belakang pentas. Bertemankan sebatang lampu suluh, Cikgu Salman pergi ke belakang pentas. Lima minit… sepuluh minit… lima belas minit berlalu, lampu masih belum menyala. Dan Cikgu Salman masih belum muncul.

“Aish, mana pulak Cikgu Salman ni.”

Cikgu Muhammad meminta Cikgu Suraya, pembantu kem komandan untuk mengawal pelajar sementara dia pergi mencari Cikgu Salman. Ketika kaki Cikgu Muhammad memijak tangga pentas, hidungnya tercium bau minyak tanah. Tiba-tiba dalam kegelapan dewan, kelihatan api membakar langsir pentas yang tebal. Cikgu Muhammad menjerit mengarahkan pelajar keluar dari dewan.

Pelajar-pelajar yang melihat api yang membakar pentas bertolak-tolakan menuju ke pintu dewan di kiri dan kanan.

“Cikgu, pintu tak boleh bukak!” jeritan beberapa orang pelajar yang berusaha membuka pintu dewan mengejutkan Cikgu Muhammad.

Cikgu Muhammad terbatuk-batuk. Asap tebal kian memenuhi dewan. Hiruk pikuk di dalam dewan kian meruncing. Pelajar-pelajar perempuan menjerit-jerit sambil berpelukan. Cikgu Muhammad berusaha memecahkan pintu tetapi gagal. Kedengaran bunyi rantai besi terikat pada pintu yang menghalang pintu dari dibuka. Api kian merebak membakar dinding dewan. Beberapa orang pelajar bergelimpangan akibat terhidu asap tebal.

Di luar dewan kelihatan satu lembaga manusia sedang berdiri berpeluk tubuh melihat dewan sekolah yang terbakar. Kelihatan tangan-tangan pelajar terjulur keluar dari celah pintu yang terbuka sedikit. Di belakang mereka api sudah merebak membakar sebahagian pelajar yang pengsan terhidu asap tebal. Mereka yang masih hidup menjerit meminta tolong namun hujan lebat dan guruh menenggelamkan bunyi jeritan penuh kesengsaraan dari dalam dewan.

Lembaga manusia itu menarik nafas dalam-dalam, menikmati bau hangit daging yang terbakar. Dia tersenyum puas. Esok pasti berita kematian seratus dua puluh enam orang pelajar dan guru itu menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar.


KISAH EMPAT: KANTIN
Usop terjaga dari tidur. Telefon yang berada di atas meja di sebelah katil dicapai. Jam di ‘lockscreen’ menunjukkan pukul 8:40 pagi. Patutlah rumah dah sunyi. Dia sebenarnya sudah lambat ke sekolah tetapi Usop tidak menghiraukannya. Selalunya paling awal dia pergi ke sekolah pukul sembilan pagi. Selepas mandi dan bersiap, Usop keluar dari rumah. Dia hanya berjalan kaki kerana rumahnya berada di belakang sekolah. Pagar yang agak rendah memudahkan Usop memanjat masuk dan keluar dari sekolah. Pelajar tingkatan lima Kencana ini memang terjal. Sudah dua kali digantung sekolah pun masih belum mampu membuatkan Usop serik.

Usop masuk ke kelasnya yang berada di tingkat dua. Rakan-rakan sekelasnya begitu asyik menulis dan Cikgu Hisham, guru bahasa Inggerisnya hanya duduk di meja guru memerhati. Usop merasa aneh melihat telatah rakan-rakan sekelasnya yang tidak seperti biasa.

“Wei, Mat. Rajin kau belajar hari ni.” Usop menyiku rakan baiknya yang duduk di sebelah kiri.

Mat hanya mendengus dan menjeling Usop, tajam. Usop merasa kurang senang berada di dalam kelas. Apatah lagi Cikgu Hisham sedari tadi begitu asyik merenungnya. Dah kena sampuk agaknya kelas aku ni. Usop bangun.

“Sir, saya nak pergi toilet kejap.” tanpa menunggu kebenaran dari Cikgu Hisham, Usop berlalu keluar dari pintu belakang.

Dia bersiul-siul kecil menuju ke kantin sekolah. Sunyi betul sekolah hari ni. Orang ada. Usop dapat melihat kelas-kelas dipenuhi pelajar tetapi masing-masing hanya berteleku mengadap buku.

Sampai di kantin, Usop melihat deretan mi kari yang sudah siap terhidang dalam mangkuk polisterin. Kecur liurnya mencium bau mi kari yang lazat. Usop mencapai dua mangkuk mi kari berharga RM2.50 semangkuk lalu dihulurkan duit RM5 ke tangan pembantu kantin yang memandangnya tidak berkelip-kelip. Usop berlalu ke belakang kantin, port biasa dia makan pagi bersama kawan-kawannya.

“Mak aih. Sedapnya mi kari ni. Resepi baru agaknya.” Usop menghabiskan dua mangkuk mi kari yang lain macam sedapnya sampai dijilat-jilat mangkuk selepas kuahnya dihirup licin.

“Errkk!”

Usop tersandar kekenyangan. Sedap betul mi kari makcik kantin hari ni. Baik aku bungkus. Boleh makan kat rumah. Usop bangun lalu kembali ke kaunter. Kelihatan dua bungkus mi kari sudah siap dibungkus terletak di atas meja. Usop tersengih sebelum membayar harganya. Dia agak pelik ketika melihat pekerja-pekerja kantin hanya berdiri dan kesemua mereka memandang ke arahnya dengan muka yang masam.

Usop malas memikirkan tentang pekerja kantin dan keanehan yang dirasakan di sekolahnya ketika ini. Lebih baik dia balik dan sambung tidur. Selepas dia terjun dari pagar sekolah, Usop disergah dari belakang. Terperanjat bukan kepalang Usop dibuatnya.

“Wei, Sop. Kau buat apa dalam sekolah. Siap pakai baju sekolah lagi ni?” Jeman, rakan sekelasnya menegur.

“Aku pergi sekolahla. Buat apa lagi. Kau tu tak pergi sekolah ke hari ni?” Usop membalas sedikit menyindir.

“Hahahaha kelakar la kau ni. Hari ni mana sekolah. Kan sekolah bagi cuti sebab semalam hari sukan.”

Usop terdiam. Dia terbayang keanehan yang dialaminya sebentar tadi. Kalau hari ni sekolah cuti, jadi semua orang yang dilihatnya tadi tu…

“La... kau nak mancingke? Cari cacing sampai pakai baju sekolah bagai.” Jeman menjuih ke arah plastik yang membungkus mi kari di tangan Usop.

Mendengar kata-kata Jeman, tangan Usop terketar-ketar mengangkat plastik di tangannya. Usop rebah pengsan apabila melihat sebungkus cacing tanah meliuk lentok di dalam plastik yang dipegangnya.


KISAH LIMA: STOR SUKAN
Joey merungut-rungut ketika kunci stor sukan dibuka. Hatinya sebal bila Samad dan Roslan buat muka tidak memahami ketika dia meminta dua orang kawan baiknya itu menemaninya ke stor sukan. Bukan mereka tidak tahu yang dia seorang yang penakut. Walaupun Joey pada mulanya enggan mengikut arahan yang diberikan, tetapi setelah menerima jelingan maut Cikgu Shahrul, guru PJK alias Harimau Berantai, dia terpaksa juga menggagahkan diri mendapatkan alatan yang diperlukan.

‘Kreeekkk!’

Pintu ditolak. Angker sungguh bunyi pintu kayu yang dibuka menjamah telinga Joey. Dia menelan air liur yang terasa pahit ketika melihat suasana di dalam stor sukan yang suram. Bangunan stor sukan itu adalah bangunan lama yang dahulunya menempatkan bengkel Kemahiran Hidup.

“Ass...assalamualaikum warahmatullahhi wabarakaaatuh.” Joey teragak-agak memberi salam.

Setelah dipastikan tiada sebarang entiti yang akan menyahut salamnya, Joey melangkah masuk ke dalam stor. Matanya melilau mencari bola tampar. Puas dibelek, diselongkar, bayang bola tampar langsung tak kelihatan.

‘Kreeekkkk...dummm!’

Joey melompat akibat terperanjat. Dia mengurut-ngurut dada yang berdebar kencang. Macam nak gugur jantung dibuatnya. Pintu yang tertutup membuatkan stor kelihatan kelam. Sewaktu kakinya melangkah menuju ke pintu, ekor matanya seperti melihat sebiji kepala berambut panjang di atas para. Joey mula menggelabah. Aduh, apa benda pulak tu.

“Allah…Allah humma…Allah humma…” Kerongkong Joey terasa berpasir.

Segala ayat-ayat penghalau hantu syaitan berterabur dalam kepala. Perlahan-lahan dia menoleh sambil menggertap bibir menahan ketakutan. Apabila pandangan matanya melihat dengan jelas apa yang ada di atas para...la bola tampar rupanya. Joey menghembus nafas lega. Terus dicapainya bola tampar yang terletak elok di atas para bersama-sama bola baling dan bola sepak. Sedang dia membelek bola tampar itu tiba-tiba-

“Hihihihihihihi.”

Sekujur tubuh Joey bagai terkena renjatan elektrik. Bulu romanya terpacak. Suara mengilai itu kedengaran betul-betul dibelakangnya.

“Hihihihihihihi.”

Joey tidak mahu menunggu lama. Pantas dia menerpa pintu stor. Ah sudah, kenapa tak boleh bukak pulak ni. Puas ditolak daun pintu namun Joey gagal membukanya. Dia sudah berpeluh sakan.

“Hihihihihihihi.”

Suara mengilai tadi kedengaran lagi. Bunyinya sangat dekat. Seperti yang empunya suara sedang mengilai di tepi telinga. Joey mula menendang-nendang pintu stor.

“Hihihihihihihihi.”

Ketakutan Joey sudah berada di puncak. Dia sudah tidak berdaya lagi menolak pintu yang seakan dikunci dari luar.

“Tolong! Tolong!”
“Hihihihihihihihihi.”
“Tolong! Hantu! Tolong!”

Kreekkk! Pintu ditolak dari luar. Kelihatan Cikgu Shahrul bersama-sama Roslan berdiri di muka pintu. Joey melompat memeluk Cikgu Sahrul. Sekujur tubuhnya menggigil.

“Cikgu, ada…ada hantu cikgu.”

“Hantu?” Dahi Cikgu Shahrul berkerut. Dia menolak tubuh Joey yang erat memeluknya.

“Mana ada hantu dalam stor ni.”

“Ada cikgu. Tadi…tadi dia mengilai kat belakang saya. Lepas tu…lepastu pintu tak boleh bukak. Puas saya tolak.”

“La, yang kau pergi tolak pintu ni memangla tak boleh bukak. Kau kena tarik.” Cikgu Shahrul mengeleng kepala melihat sikap penakut Joey.

“Habis tu bunyi mengilai tadi tu.” Joey cuba mempertahankan kenyataanya.

Roslan yang sedari tadi tersengih-sengih di sebelah Cikgu Shahrul mendail nombor Joey.

“Hihihihihihihihi.”

“Tu bunyi ringtone kau la. Tu lah, berlagak sangat nak pakai ringtone hantu mengilai.” Roslan ketawa mengejek.

Joey menggertap bibir menahan malu. Perlahan diserahkan kunci stor ke tangan Cikgu Shahrul lalu pergi meninggalkan Cikgu Shahrul dan Roslan yang tersenyum-senyum memandangnya.

Ketika lima belas langkah dia berjalan meninggalkan stor sukan, Joey teringat sesuatu. Eh, kejap. Waktu sekolah mana aku bawak telefon.

“Hihihihihihihihi.”


-TAMAT-
======================
Suntingan dan Gambar : Kucing Kelabu
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
Pengumuman: Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaan pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!

No comments: