TEKSI MERAH RIZ AQASHA
=========================
Malam yang dirasakan cukup panjang. Baru pukul 10. Hujan turun tidak lebat tetapi sudah masuk 12 jam hujan tak berhenti sejak pagi tadi. Waktu hujan sebegini, perkhidmatannya memang sangat diperlukan. Dulu lah, sekarang dah susah. Sejak dua jenama kereta sewa melalui aplikasi telefon bimbit itu diperkenalkan.
Riz Aqasha tak kisah pun sebab tak semua orang pandai pakai perkhidmatan itu. Lebih-lebih lagi mereka dari golongan tua dan buta teknologi. Masih ramai sebenarnya penduduk Malaysia ni yang tak up-to-date. Jadi Riz ambik peluang di atas kelemahan mereka itu. Yang penting kena tahu lokasi mereka.
Tapi malam itu, Riz malas nak bertugas. Afzan duduk di sebelah. Termangu. Memandang ke luar cermin tingkap yang kebasahan dek hujan malam yang renyai. Penghawa dingin teksi merah Riz ini terasa cukup sejuk, rasa menggigit-gigit ke tulang tetapi berjaya juga dihangatkan oleh sweater berlogo Adidas yang dipakainya, dibeli di kedai bundle berdekatan dengan kawasan perumahannya. Radio sedang memainkan lagu Aku Dan Kamu dari band Flop Poppy yang pernah popular sekitar sepuluh tahun dahulu.
Kau Masih Cantik Seperti Dulu
Saat Pertama Ku Jumpa Denganmu
Terasa Ingin Ku Bersama Mu
Tapi Aku Tidak Seperti Dulu
“Kau ingat tak lagu ni?” soal Afzan kepada Riz.
“Ingat.” Riz ketawa kecil. “Lagu ni lah yang kita duk jamming dekat atas pentas masa majlis makan malam dekat matrik dulu kan. Esoknya, bertimbun-timbun awek datang mintak nombor telefon kau. Semua tak sangka suara kau sedap macam Ezad Exist. kahkahkah”
“Adoi lawak lah.” Afzan ketawa. “Salina yang tak pernah pandang aku selama setahun kita kat matrik tu, tiba-tiba mesej aku. Kalau tak, asyik aku je yang kacau dia. Mesej aku dia tak pernah balas langsung.”
“Apa citer Salina sekarang, ha?”
“Entah lah. Last aku dengar, dia dah kahwin. Dengan budak matrik kita juga. Budak Sains Hayat. Doktor. Kita ni siapalah dia nak pandang.”
“Kahkahkah. Ada hati lagi ke?”
“Itu first time kot aku dapat awek. Walaupun kitorang tak declare apa-apa. Setahun lebih juga la aku dengan dia main mesej jarak jauh lepas masing-masing masuk U sambung degree.”
“Sedar-sedar, mintak clash. Sebab ada jantan lain. Cibai punya pompuan.” Riz cuba menyimbah minyak ke dalam api.
“Tak ada jodoh Riz nak buat macam mana.”
Riz terus memandu, membelah udara malam. Langit masih gelap. Tak ada bintang, tak ada bulan. Lebuhraya Persekutuan terasa sunyi walaupun kereta masih banyak yang lalu-lalang. Warga kota masih berlumba-lumba pulang ke sarang masing-masing. Tak sabar mahu berselubung di bawah selimut di malam Jumaat yang dingin ini.
“Awek kerja kilang Gardenia tu apa cerita dengan kau?” soal Afzan pula kepada Riz apabila teksi merah yang dipandu Riz itu melintasi kilang Gardenia di sebelah kanan.
“Awek zaman sekarang mana nak laki kerja bawak teksi Zan.”
“Kau bawak teksi malam je kan? Siang kau kerja. Gaji masyuk pula tu.”
“Entah lah. Aku tak hensem kot. Sebab tu dia dump aku macam tu je. Balak baru dia aku tengok boleh tahan la. Bawak Honda”
“Alah! Entah-entah Honda hutang loan bank. Kau ni teksi beli tau. Tak ada hutang-hutang. Aku ingat lagi kau gigih meniaga nasi lemak masa kita study kat UiTM dulu. Subuh-subuh kau dah tercongok dekat tepi jalan depan Petronas sana. Pasang payung, buka meja, jual nasi lemak. Ramai kot orang beli. Sampaikan pensyarah-pensyarah kita pun ada yang tanya pasal nasi lemak kau tu.”
“Tapi aku tak boleh challenge nasi lemak arwah mak aku. Kau tak rasa lagi.”
“Ah, kau! Berapa kali dah aku cakap nak follow kau balik kampung, kau tak bagi. Ni mak kau dah arwah, tak dapat kau nak membuktikan nasi lemak mak kau tu paling power di muka bumi ni. So, kenyataan kau tu tak valid. Tak ada bukti.”
“Rumah aku buruk Zan. Rumah kampung, rumah papan. Aku takut kau tak selesa. Aku takut kau malu bekawan dengan aku.”
“Alah kau ni Riz, macam lah kau tak kenal aku. Aku tak kisah semua tu. Rumah besar ke, kereta mewah ke, pakaian branded ke, tu semua bukan ukuran dalam persahabatan. Yang penting hati. Macam mana aku percaya kau, macam mana kau percaya aku.”
“Cis, kau dah kenapa bermadah pujangga memalam buta ni gila?!”
Afzan ketawa. Dia kembali memandang ke luar tingkap teksi merah Riz. Hujan masih turun renyai. Macam tak ada tanda nak berhenti langsung. Teksi merah terus meluncur laju ke depan. Semakin jauh menyelusup masuk ke kota raya Kuala Lumpur. Iklan-iklan billboard berceracak di sana sini. Gambar Janna Nick nampak megah bersama-sama Vivo V7+. Billboard iklan dari Management and Science Universiti ada di sebelah. Raut wajah model-modelnya membuatkan Riz tersenyum seketika.
“Kau cakap kau nak sambung master, jadi ke?” soal Afzan lagi.
“Hajatnya memang macam tu tapi duit aku tak cukup lagi lah Zan.”
“Apply lah scholarship.”
“Leceh lah scholarship ni. Nak kena interview bagai. Kau tahu kan aku tak suka interview ni semua. Lagipun, result degree aku dulu kan cukup-cukup makan je. Tak layak nak apply scholarship. Sebab tu aku jadi pemandu teksi. Nak kumpul duit lah kononnya..kahkahkah.”
“Kau ni aku tengok cita-cita melambung tinggi, tapi kuat sangat merungut. Ada je alasan kau dalam nak buat sesuatu. Lepas tu, belum cuba lagi kau dah cakap takkan berjaya.”
“Hahahahahaha..aku kan meleis! Tak melayu lah kalau kau tak ada cita-cita tinggi dan kau tak merungut. Merungut dulu baru berusaha, barulah meleis sejati!”
Kedua-dua rakan baik itu pecah tawa. Lagu Aku Dan Kamu nyanyian band Flop Poppy baru sahaja habis. Iklan radio pula mengambil alih.
Teksi merah yang dipandu Riz, berhenti di sebuah stesen minyak. Indicator pada dashboard dah berkelip sejak lima minit tadi. Riz berjalan menuju ke kedai serbaneka. Dia capai dua tin Nescafe Black Roast dan sebotol Pringles hijau. Setelah bayaran dibuat, dia kembali menuju ke pam bernombor 6.
“Nah, aku belanja.” Riz hulurkan air dan makanan yang dibelinya itu kepada Afzan.
“Alah, Nescafe dengan Pringles je ke? Drive thru lah McD lain kali. Itu pun aku nak ajar ke?”
“Babi lah kau! Kira bersyukur lah tu ada benda nak makan.”
Muncung pam RON 95 dihulur cermat ke lubang. Meter bernombor menggila naik dari satu angka ke satu angka sehinggalah mencecah nombor 30 lalu pam berkepala kuning itu terjentat dengan sendiri.
Kereta disambung pandu membelah malam. Afzan sedang seronok mengunyah Pringle berkeping-keping ke mulutnya.
“Teksi kau pakai petrol ke?” soal Afzan dengan mulut yang penuh.
“Ha’ah. Macam tahi minyak naik lagi 3 sen.” Rungut Riz. “Woi, tadi kata ‘Pringle Je’! Ni aku tengok macam kau dah setahun tak jumpa binatang ni?”
Afzan sekadar tersengih. Dia teguk Nescafe Black Roast pula selepas itu. Bunyi ahhhh yang terhasil spontan dari kerongkongnya itu membuatkan Riz juga turut merasa dahaganya.
“Tolong buka yang aku ni.” Riz hulurkan Nescafe Black Roast miliknya pula.
Mulut tin dibuka Afzan, berdecit bunyinya. Bunyi gas dari perut tin yang berlumba keluar dari mulut tin yang sempit itu menambahkan lagi rasa teruja Riz untuk mencicipnya.
Sllrrrrpp – Afzan mencicipnya terlebih dahulu.
“Woi, air aku lah setan!”
“Air aku dah habis.”
“Tahi lah kau ni!”
“Alah, kata brotherhood.”
Riz menggeleng kecil sambil tersenyum nipis. Dia dah masak dengan perangai Afzan. Sejujurnya dia tak kisah pun. Memang dia dah Afzan sudah cukup rapat sejak dahulu lagi. Makan sepinggan tidur sebantal bak kata orang.
Zaman belajar dulu, ramai orang ingat mereka kembar. Muka mereka kalau diamati betul-betul, ada lah iras-iras tu sikit. Tinggi sama, bentuk badan pun lebih kurang. Pergi ke mana-mana selalu berdua. Kalau orang tak anggap dia kembar, mesti ada yang anggap mereka gay.
“Lain kali beli la lebih. Kau macam tak tahu aku ni bukan jenis makan sikit.”
“Tu aku pelik dengan metabolisma badan kau ni. Makan macam bela saka tapi badan tak pernah naik. Maintain je dari dulu.”
Riz menyalakan lampu tinggi kepada kereta depan yang memandu macam siput babi di lorong kanan.
“Kau sebut pasal saka kan, kau ingat tak Ika, minah Hong Leong yang pernah makan sekali dengan kita dulu tu dekat Hakim Seksyen 7?”
“Ha, aku ingat dia. Yang asyik duk ‘Abang Afzan’, ‘Abang Afzan’ tu?”
“Haa, dia lah!”
“Berbulu je mata aku ni tengok dia duk bergesel-gesel dengan kau malam tu. Kenapa dengan dia?”
“Minah tu ada saka. Babi lah! Aku kena kacau dengan saka dia tu.”
“Kena kacau? Bila?”
“Hari tu, aku bawak minah tu balik rumah aku. Masa tu hujan. Macam ni lah renyai-renyai. Aku masuk bilik ak…”
“Sekejap. Kau bawak minah tu balik rumah? Serious la?”
“Ha’ah.”
“Aphal dowh kau bawak dia balik rumah?”
“Alah, kau ni macam tak paham-paham lagi. Tu bukan first time. Kan aku dah pernah bawak orang lain. Liza budak kerja Giant tu. Akak Misi Hospital Klang. Siapa lagi entah aku tak ingat. Sial lah, takkan kau tak ingat. Kau sendiri bawa diorang naik teksi merah kau ni.”
“Ingat lah yang lain tu. Memang aku rakan subahat dunia neraka kau tu pun.”
“Hahahahaha..ok aku nak citer pasal minah saka tadi. Aku masuk bilik, aku pecat baju apa semua. Aku pakai tuala je. Bila aku keluar, aku tengok minah tu dah takde. Aku panggil tapi dia tak menyahut pun. Aku check bilik air apa semua, tak ada pun dia. Aku buka pintu rumah, aku nampak dia tengah duduk tadah tangan dekat depan, main air hujan yang turun dari atap. Baju dia basah habis. Dia dah lah pakai baju kemeja putih masa tu. Memang nampak habis tali bra dia semua. Apa lagi, ‘adik’ aku ni tak boleh duduk diam dah lah. Meronta-ronta! Geram je aku tengok. Aku panggil dia masuk. Aku risau juga kalau ada jiran nampak dia. Sekali dia pusing belakang, ambik kau! Tak ada muka! Plain! Kosong!”
“Weh babi! Meremang aku sial!”
“Aku terus tak contact minah kerja Hong Leong tu dah lepas tu.”
“Kahkahkah itu lah kau. Kuat sangat main perempuan. Sekali kena macam ni..kau dah serik belum?”
“Serik? Belum lagi der. Aku masih muda. Masih banyak masa untuk aku berfoya-foya.”
“Peerrgghhh! Acah-acah buaya.”
Kereta yang dipandu Riz masuk ke Lebuhraya KL-Karak menghala ke pantai timur. Kereta semakin berkurang di kiri dan kanan. Jam di dashboard menunjukkan pukul 11.00 malam. Lagu Cinta Untuk Nabila dendangan kumpulan Melissa pula diputarkan oleh DJ Lin dari Suria.fm itu. Hujan masih renyai.
“Bulan enam ni aku nak pergi Jepun.” Riz memberitahu penuh teruja.
“Pehh! Tak ajak aku pun.”
“Aku pergi dengan team photographer aku. Ada kerja sikit. Sambil tu, jalan-jalan lah. Company sponsor.”
“Untung lah. Company aku nak buat annual dinner pun terkulat-kulat. Inikan pula nak hantar pekerja ke Jepun.”
“Rezeki bro.”
“Itu aku tak paham dengan kau ni pula. Kerja dah sedap. Gaji dah masyuk. Malam bawa teksi. Bertungkus-lumur betul kumpul duit, kalah orang nak kahwin.”
“Masa muda ni lah nak cari duit gila-gila Zan. Dah tua nanti, sakit sana sakit sini dah tak ada masa nak cari duit. Tak perlu nak tunggu kahwin baru nak beriya-iya.”
“Betul lah tu. Meleis macam aku ni, beriya kumpul duit sebab nak kahwin je. Tak fikir langsung bab sepuluh dua puluh tahun akan datang.” Afzan termalu sendiri. “Nanti beli lah ke aku apa-apa. Dapat fridge magnet Maria Ozawa pun jadilah. Fully naked.”
Riz ketawa berdekah mendengarnya. “Siot je. Sempat lagi.”
Perjalanan dua sahabat baik itu menjadi sunyi untuk dua jam seterusnya. Afzan sudah lena di tempat duduk sebelah. Setibanya mereka di tepi Pantai Batu Hitam, Riz mengejut Afzan bangun. Hujan sudah berhenti sejak sejam tadi. Suasana sekeliling sunyi sepi. Lokasi itu jauh dari perkampungan orang. Ini memang tempat kesukaan mereka berdua.
“Sampai dah ke?”
“Dah. Jom lah.”
Riz menapak turun dari teksi merahnya. Dia buka booth belakang. Ada sebungkah plastic hitam besar di dalamnya. Riz langsung tak pedulikan plastik hitam itu malah dia capai pula dua batang joran yang ada di atasnya. Booth belakang teksi merah itu kembali ditutup. Semua perkakas dibawa ke tepi pantai. Setelah semuanya lengkap dipasang, Riz membaling umpannya jauh ke laut di depan sana. Dia kemudiannya duduk di atas pasir pantai yang samar-samar sahaja keputihannya.
Afzan duduk di sebelah. Hoodie dinaikkan ke kepala lalu dia memeluk kaki, kesejukan.
“Tempat ni banyak kenangan kan?” Afzan bersuara.
“Hmm.” Riz mengangguk perlahan, entah Afzan nampak ataupun tidak.
“Aku ingat lagi geng-geng kita datang sini, camping. Kita buat barbeque, unggun api. Main truth or dare ramai-ramai.”
“Hahahahaha. Sial lah game tu. Sampai sekarang aku trauma kena buat Dare cium si Paiz Rosman tu.” Riz ketawa berdekah.
“Eleh..padahal kau suka kan?” Afzan mengusik.
“Puiihh! Dari aku cium dia, baik aku cium kambing tepi jalan.” Riz naik berang. Mengekek Afzan menghambur tawa.
“Sebut pasal si Paiz Rosman, aku tengok dia makin popular sekarang dekat Instagram.” Ujar Afzan.
“Femes memang femes tapi terkinja-kinja depan kamera, jual maruah jual harga diri, buat apa? Masa muda ni memang lah seronok, follower ramai suka cara dia tu. Tapi bila dah tua, kau kenang balik. Malu woi! Anak-anak cucu cicit tengok. Benda dekat alam maya ni, sekali kau upload sampai bila-bila akan kekal. Generasi akan datang tengok. Masing-masing mengidolakan. Punah anak bangsa, woi. Itupun kalau dia ada anak cucu la. Tengok gaya macam susah nak berzuriat je.”
“Mulut kau puaka betul ye! Kalah makcik bawang. Kahkahkah.”
“Aku cakap benda betul lah. Paiz Rosman tu kan kuat menyotong.”
“Betul lah tu. Aku kalau dia lembut-lembut jemah camtu aku langsung tak kisah. Tapi kalau dah sampai pakai pakaian perempuan, main make-up bagai..hmmm..entah lah.”
“Kejutan budaya. Dua tiga tahun lagi insaflah. Orang macam tu tak akan kekal lama. Tuhan nak bagi rezeki dekat umat dia, ada dua cara. Satu, dia akan bagi dalam keadaan yang baik. Di tatang, dia bagi dengan elok. Kedua, dia lempar. Macam kau selalu lempar tulang bagi stray cat makan tu. Macam tu lah. Masih dapat rezeki. Janji Tuhan pada manusia. Siapa berusaha dapatlah ganjarannya. Tapi usaha yang macam mana? Dan macam mana Tuhan bagi kau rezeki tu. Diberi dengan elok, atau dilempar.”
“Pehh! Dah macam ustad dah hujah kau ni. Kau taknak daftar masuk Pencetus Ummah ke?”
Kedua-dua mereka mengekek ketawa. Joran di depan Riz masih lagi belum menunjukkan reaksi umpannya disambar ikan.
“Sebab tu aku sayang kau ni Riz. Kau kawan aku yang paling bagus. Walaupun kau tu pun subuh gajah, kau tetap tahu bab-bab agama dan pandai nak nasihat orang.” Afzan terus-menerus memuji.
“Geli lah aku bodoh sayang-sayang ni.”
“Aku rindu kawan-kawan kita sebenarnya.” Afzan mula perlahankan nadanya. “Sekarang dah susah nak jumpa member-member. Semua dah busy dengan life masing-masing. Kerja, keluarga. Plan reunion tak pernah jadi, kalau jadipun tak semua dapat datang.”
“Paling kelakar sebelum habis belajar dulu bukan main gempak lagi buat perjanjian, lagi lima tahun kita set buat reunion. Tengok-tengok bukan setakat reunion, jemput datang beraya ke rumah pun payah nak nampak batang hidung.”
“Itu lah hakikat kehidupan ni. Semakin usia kita meningkat, kita akan kehilangan banyak benda dalam hidup walaupun dalam masa yang sama kita akan menempuh hal-hal yang baru, orang-orang yang baru tetapi kita still akan kehilangan beberapa perkara. Macam waktu-waktu gembira, persahabatan, ahli keluarga. People come and go.”
Riz mengangguk bersetuju. Dia hidupkan rokoknya lalu asap kepul-kepul penuh nikmat dihembur ke udara. Laju sahaja asap itu berlalu ke belakang mengikut bayu laut yang bertuip ke daratan.
“Dan bila usia kita makin meningkat, boleh jadi kita semakin tak kenal siapa kawan kita. Lebih-lebih lagi, kawan yang rapat dengan kita.” Nada Afzan semakin perlahan. Ada kalanya kedengaran sebak.
“Macam sekarang..aku rasa aku belum cukup kenal kau Riz..” Afzan meluah isi hatinya. Riz buat-buat tak pandang ke arah Afzan.
“Kita dah kawan hampir sepuluh tahun. Kita masuk matrik yang sama, universiti yang sama. Duduk menyewa rumah yang sama masa belajar dekat U. Kita share macam-macam kisah suka duka. Tapi..”
Afzan menghentikan kata-kata. Air mata mula keluar dari kelopak. Meleleh perlahan ke pipi. Merah. Pekat dan likat. Kontra dengan warna kulit mukanya yang putih pucat.
“..tapi kenapa kau bunuh aku Riz?” soal Afzan yang masih duduk memeluk kaki di sebelah.
Riz hanya diam memerhati jorannya yang masih kaku. Umpannya masih belum mengena. Sejujurnya dia memang tak berapa pandai memancing. Ada keinginan tetapi tidak pandai. Sama macam hal dalam memikat perempuan. Nak, tetapi tak pandai. Dia sukakan Aina Safira. Gadis itu berjaya menambat hatinya sejak pertama kali mereka bersua muka lima tahun dulu. Mereka berkawan rapat. Kadang-kala Riz rasa mereka berdua sedang bercinta walaupun tidak pernah membuat janji. Cukup sekadar masing-masing percaya, aku ada kau dan kau ada aku.
Bertungkus lumus dia mencari wang untuk menghalalkan Aina Safira. Siang dia bekerja di pejabat, malam dia memandu teksi merah yang dibeli secara tunai hasil mengumpul duit berniaga nasi lemak ketika belajar dulu.
Dia sudah beli cincin. Dia sudah bagitahu dekat mak dan abah di kampung. Mak suruh cari perempuan lain sebab mak takut Aina Safira tak boleh terima keluarga kampung macam mereka. Riz kata, jangan risau. Aina Safira lain. Dia baik. Tak menilai manusia melalui harta.
Malam itu, Riz putuskan untuk melamar Aina Safira. Dia bawa Aina menaiki teksi merahnya, jalan-jalan. Aina nampak gembira. Beberapa kali dia ada menyebut dia bahagia mengenal lelaki macam Riz.
“Kita gi Kuantan nak?” Riz mengemukakan cadangan.
“Weh, jauhnya!”
“Aku ada port best memancing kat sana. Rasa nak memancing lah malam ni. Joran ada dah kat booth belakang.”
“Weh, memancing! Bestnya! Kau macam tahu-tahu aku minat memancing.”
Perjalanan dari Shah Alam ke Kuantan itu cukup panjang. Sengaja dia bawa gadis itu jalan jauh-jauh. Dia nak mereka berdua menikmati perjalanan satu malam yang panjang bersama-sama. Kononnya, subuh nanti, ketika matahari terbit di ufuk timur, dia hendak menghulurkan sebentuk cincin kepada Aina Safira.
“Maaf Riz, aku tak boleh terima. Aku dah ada orang lain.” Kata-kata Aina Safira betul-betul membuatkan Riz kaget. Riz terdiam seribu bahasa. Tak tahu nak berkata apa-apa. Matahari sudah separuh muncul di seberang Laut Cina Selatan sana.
“Minggu depan aku dengan Afzan akan bertunang.” Sambung Aina Safira lagi membuatkan Riz hilang kata-kata.
Seminggu Riz kemurungan. Dia tak pergi kerja. Dia tak memandu teksi merah. Dia berkurung di bilik. Aina Safira cuba menghubunginya tetapi dia langsung tak mengangkat panggilan. Sehinggalah malam ini.
Riz menuju ke rumah Afzan. Hujan turun tidak lebat tetapi sudah masuk 12 jam hujan tak berhenti sejak pagi. Dia melangkah masuk ke halaman rumah. Pagar terbuka luas. Di muka pintu, Riz nampak ada kasut perempuan.
Riz lantas memanggil Afzan dari luar pintu yang berkunci. Afzan menyahut. Apabila lelaki itu muncul di muka pintu, Riz nampak seorang gadis sedang berbogel di atas sofa di ruang tamu. Riz jadi marah.
Bukankah esok kau nak bertunang dengan Aina Safira? – fikirnya tak terluah.
Gadis yang berbogel di dalam cepat-cepat bangun dan lari ke dalam bilik. Beberapa minit kemudian, dia sudah lengkap memakai baju kurung lengkap dengan Duck Scaft bercorak kota raya Kuala Lumpur.
“I balik dulu.” Ujarnya ringkas lalu keluar dari rumah. Sebuah kereta lengkap dengan pelekat Uber berhenti di depan rumah sebelum membawa gadis itu pergi.
“Esok majlis tunang kau kan?” soal Riz.
Afzan memandang ke arah Riz, serba salah.
“Dan malam ni kau kongkek minah mana pula tadi?” nada Riz kedengaran geram.
Afzan masih diam. Mungkin dia serba salah. Sudahlah dia merampas Aina Safira daripada lelaki itu, malam ini sempat pula dia bermadu asmara dengan perempuan lain.
“Aku haus.” Ujar Riz lalu melangkah laju ke dapur. Dia capai gelas kaca yang ada. Air sejuk dituang lalu diminum rakus. Matanya tertancap pada bilah-bilah pisau yang ada di atas rak. Entah dorongan apa, dia capai sebilah lalu kembali ke ruang tamu.
CAK! – satu tikaman tepat menusuk ke purut Afzan. Tanpa sebarang amaran mahupun mukadimah. Bulat mata lelaki itu, terkejut dengan tindakan pantas Riz.
CAK! CAK! – Riz pulas pisau yang masih tertusuk ke dalam perut lelaki itu. Afzan mengerih-ngerih sakit. Nak menjerit tetapi suaranya seolah-olah terlekat di celah kerongkong.
“Sakit tak tikaman ni? Ini lah rasanya apabila kau ditikam oleh kawan baik sendiri. Bezanya, kau rasa tikaman dari depan. Aku rasa tikaman dari belakang.” Bisik Riz sebelum nyawa Afzan melayang dari badan. Dia usung jasad Afzan masuk ke booth belakang teksi merahnya. Berhati-hati, risau kalau ada jiran yang nampak. Tubuh itu ditutup dengan plastik hitam.
Enjin teksi merahnya dihidupkan. Afzan ada sedang duduk di sebelah. Kulitnya pucat. Dia memandang ke luar tingkap. Termangu.
Perjalanan yang panjang nak bermula dan hujan masih renyai.
"Dan ini dia lagu Sahabat daripada Aizat Amdan, permintaan dari pendengar kita di Shah Alam, Aina Safira. Dengan ucapannya, selamat malam kepada semua sahabat yang mengenali diri ini termasuklah yang tercinta, Afzan Selamat." suara DJ Lin berkumandang di corong radio.
***
KUANTAN – Dua mayat lelaki warga tempatan ditemui oleh penduduk kampung sekitar Pantai Batu Hitam semalam dalam keadaan yang sungguh tragis. Satu mayat ditemui di dalam but belakang sebuah teksi merah dalam keadaan perutnya ditusuk dengan objek tajam. Manakala satu lagi ditemui terdampar di gigi air dalam keadaan kembung dipercayai lemas. Terdapat mata kail tersekat di celah kerongkongnya berserta tali tangsi daripada batang joran yang dibawa bersama. Punca kematian masih lagi dalam siasatan Polis Kontinjen Kuantan.
-Tamat-
=========================
TEKSI MERAH RIZ AQASHA
©Wan SC
Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com
No comments:
Post a Comment