DESEO
=========================
Ana Stern mendongak penuh kagum pada binaan bangunan dihadapannya. Santiago de Compostela, istana yang siap dibina pada tahun 1211 itu menarik minatnya sehingga dia sanggup menjelajah hingga ke selatan negara Sepanyol itu untuk melihat sendiri gereja itu.
Ana merenung dua menara gereja itu, menelek batuan granit yang digunakan pada bahagian luarnya. Sentuhan Baroque dan Gothic pada sebahagian besar seni binanya ditelek Ana melalui teropong kecil yang dibelinya dari seorang perempuan tua di sebuah kedai cenderamata berhampiran kawasan gereja itu.
Puncak menara kedua gereja itu direnungnya lagi dengan mata dikecilkan. Menara sama yang muncul dalam mimpinya sejak tiga bulan lalu dan atas sebab itulah, dia membulatkan tekad untuk terbang ke negara ini. Kerja gila! Ana mengeluh sebelum berpaling mengorak langkah meninggalkan bangunan gereja itu di belakangnya.
*****
Rumah penginapan San Clemente.
Ana tersentak bangun dari tidurnya yang lena. Tangannya menggapai jam yang diletakkan di atas meja kecil di sisinya sebelum dia mengeluh berat melihat jarum panjang dan pendek yang bertindih pada satu angka yang sama.
Setiap hari selama tiga bulan ini, dia akan terjaga tepat pada pukul 12 tengah malam seolah-olah ada seseorang yang mengejutkannya bangun dari tidur. Ana menyebak rambutnya ke belakang sebelum dia duduk menyandar pada kepala katil.
Gebar tebal yang menyelimuti tubuhnya di tarik sehingga menutupi dadanya. Bunyi desiran angin yang mengena kaca tingkap bilik penginapannya beralun menakutkan di cuping telinganya.
"Tak..tak..."
Ana menelan liur. Tingkap biliknya diketuk dari luar! Siapa di luar sedangkan biliknya terletak di tingkat tiga bangunan rumah penginapan itu. Ana merebahkan badannya ke atas katil lalu gebar tebal yang membalut tubuhnya ditarik menutupi seluruh badannya. Matanya dipejamkan rapat, mahu mengusir fikiran menakutkan yang mula menerjah mindanya.
'Mimpi...aku bermimpi!'
Ana melaung perkataan itu berkali-kali. Memaksa otaknya menerima bunyi ketukan itu sebagai fantasi mimpinya sahaja.
"Kau tak mimpi!"
Satu suara garau lelaki menyapanya dari belakang membuatkan matanya terbuntang buka dan entah atas alasan apa, Ana menoleh mencari tuan empunya suara itu. Seorang lelaki dengan kot hitam labuh separas lutut menyapa pandangan matanya. Ana mengengsot menjauhkan diri. Suaranya tertelan direngkungan tidak mampu diluahkan. Dia bungkam di atas katil, merenung susuk lelaki itu dengan badan yang mengeletar ketakutan.
"Hello!"
Hello?? Lelaki tu cakap hello?? Ana memejamkan mata cuba mengingat jika dia ada minum selepas makan malam tadi dan sembereno mengajak lelaki itu naik ke biliknya.
"Tak..kau tak minum. Aku masuk sendiri."
Lelaki itu menjawab sebelum tersengih. Ana membeliakkan mata. Macam mana lelaki itu boleh membaca apa yang difikirkannya!?
"Kau siapa!?"
Ana mengundur ke belakang merapatkan badannya ke dinding bilik, merenung jauh ke dalam mata lelaki itu. Hakikat yang ada seorang lelaki asing dalam biliknya dan lelaki itu tidak begitu mengerunkannya membuatkannya berfikiran aneh seolah dipukau.
"Jazert."
Ana terdiam sebelum mengangguk selamba dan tanpa sedar dia bergerak ke arah lelaki itu, merapati susuk misteri itu. Kulit sepucat salju lelaki itu direnungnya hairan di balik sinaran lampu jalan yang menjengah dari luar tingkap biliknya. Lama wajah pucat itu direnungnya sebelum dia menyelak rambut ikalnya ke belakang, mendedahkan tengkuknya.
Jazert menyeringai. Renungan matanya berjaya mengkhayalkan gadis itu sehingga dia tunduk menyerah. Jazert menarik pinggang gadis itu rapat ke dalam pangkuannya, dekat sehingga nafas mereka bersatu dalam dingin kamar lalu dia membenamkan taringnya ke tengkuk Ana. Menghirup darah gadis itu penuh nikmat!
******
Santiago de Compostela 1817
Dewan utama istana mewah itu dihiasi sinaran lampu dan pelita di setiap cerucuk besi yang dilekatkan di dinding, menyemarakkan api jingganya ke lantai marmar yang dipijak puluhan pasang kaki berkasut kulit dan baldu mewah yang berpusing mengitari ruang itu mengikut rentak muzik yang dimainkan.
Gaun-gaun kembang terhayun mengikut alunan tubuh si pemakai seiring lentukan tubuh mengikut melodi. Rancak dan meriah! Istana itu bergemerlapan malam ini dengan majlis tari menari yang diadakan. Nun jauh di tengah dewan, seorang gadis berambut ikal dengan gaun labuh berlapis kembang rona biru firus berpusing kebingungan di lantai tarian, jelas terganggu.
Ana melilau melihat keriuhan di sekelilingnya. Hairan dan pelik melihat suasana di sini. Dia mengecilkan mata cuba mengamati wajah-wajah yang menari asyik di sekelilingnya. Tidak ada seorang pun yang dikenalinya. Ana memegang kepalanya. Buntu.
"Celia..kamu tak sihat ke..?"
Sentuhan lembut pada bahunya membuatkan Ana tersentak sedikit. Dia mendongak, mencari empunya tangan.
"Celia...?" Ana mengerut dahi. Kenapa lelaki ini memanggilnya Celia? Dia Ana. Ana Stern!
"Kamu nampak pucat. Mari kita duduk di atas sahaja."
Lelaki itu bersuara lagi, jelas tidak mengendahkan raut kebingungan Ana. Tangan gadis itu ditarik lembut lalu dia berjalan menyusuri tubuh-tubuh yang masih asyik menari mengikut alunan muzik di lantai dewan itu. Ana hanya menurut.
Dia benar-benar buntu. Fikirannya cuba dikerah untuk mengingat bagaimana dia boleh tiba ke tempat ini, dan mengapa mereka berpakaian aneh begini. Ana menjeling gaun meleret panjang dengan fabrik lace dan jumbai merambu yang tersarung di tubuhnya dengan jelik. Sesuatu yang tidak akan sama sekali dipakainya! Langsung tidak kena dengan gayanya!
"Tunggu di sini, saya ambilkan air."
Lelaki itu membuka mulut lagi apabila mereka telah tiba di bahagian atas dewan sebelum dia menghilang di balik beberapa kumpulan manusia yang duduk berborak di sepanjang laluan mengarah ke sebuah altar batuan mozek putih di puncak kedua menara istana itu yang mengkagumkan.
Ana melilau pandang melihat binaan bangunan itu. Entah kenapa binaan itu seperti pernah dilihatnya. Pandangan matanya diarah ke altar putih itu tadi, tepat pada seorang pemuda dengan mantel labuh rona putih gading yang sedang merenungnya tajam.
****
Rumah penginapan San Clemente. 2017
Jazert merangkul pinggang gadis itu dekat ke tubuhnya. Manis darah gadis itu seperti sudah terasa di lidahnya. Dia sudah tidak sabar! Mukanya di dekatkan ke tengkuk gadis itu, lalu taring tajam miliknya dibenam menembusi lapisan kulit si gadis malang itu. Darah merah pekat menyeruak memenuhi mulut, meliputi salivanya dengan rasa lazat penuh kenikmatan. Namun kenikmatan itu membawanya jauh melangkaui waktu....
****
Santiago de Compostela 1817
Jazert kebingungan. Dia berpusing di sebuah altar keputihan dengan mantel rona putih labuh melepasi lutut. Dia mengecilkan mata, merenung lantai tarian yang dipenuhi manusia yang asyik menari mengikut rentak lagu instrumental yang dimainkan beberapa orang lelaki di sebelah kanan kedudukannya.
Riakan lembut gaun kembang yang meliuk menghasilkan pergerakan berwarna warni di lantai tarian menyesakkan nafasnya. Jazert meliar pandanganya ke sebelah timur, melihat dari kejauhan seorang lelaki memimpin tangan seorang gadis menaiki tangga batu marmar menuju ke ruang atas, menjauhi lantai tarian. Gadis berambut ikal kemerahan itu spontan melirik ke arahnya lalu mereka bertembung pandang...
****
Rumah penginapan Clemente 2017
Ana tersentak terkejut. Nafasnya terasa tersekat di rengkungan. Spontan dia menolak kasar susuk di depannya menjauh sehingga badannya terdorong ke belakang. Bagaimana mereka berdua boleh melangkaui masa dan berada di zaman yang jauh terkebelakang?
Ana meromok ketakutan. Pandangannya meliar pada seluruh bilik. Tiada lagi altar yang mengkagumkan itu. Tiada lagi tarian menggasyikkan di tengah dewan. Dia mengangkat lengannya, menelek baju yang dipakainya lalu mengeluh lega melihat gaun tidurnya.
"Apa yang terjadi ta.."
Ana mematikan kata. Lelaki di hadapannya itu sedang merenungnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Dia menelan liur yang terasa pahit.
"Celia....."
Lelaki itu mengumam dengan suara yang tenggelam timbul sebelum air matanya jatuh berlinangan menuruni lekuk pipinya. Ana tergamam. Lelaki itu menangis! Kenapa?? Dan siapa..Celia??
"Err.. kenapa kau menangis?? Siapa Celia?"
Ana bertanya takut namun belum sempat dia merenung ke muka pucat bercahaya itu lagi, dia sudahpun berada di dalam dakapan lelaki itu semula. Tubuh sedingin salju lelaki itu terasa melekap ke badannya. Ana terpempam dengan tindakan spontan lelaki itu.
"Maaf....maaf.."
Lelaki itu berbisik hiba ke telinganya sebelum menolak lembut tubuh gadis itu menjauhi dirinya lalu berlari keluar dari tingkap yang terbuka. Ana merenung langsir yang terbuai lembut ditiup angin. Bingung. Dia bermimpi kah? Kalau bermimpi, kenapa hatinya terasa sayu begini? Langkah kakinya diarah ke birai tingkap lalu matanya merenung gelap pekat malam yang terbentang di hadapannya. Tanpa sedar, air matanya menitis laju menuruni pipi. Ada sesuatu yang dia terlupa..tetapi apa?? Dan siapa sebenarnya lelaki itu...
****
Imbas kembali Istana Santiago de Compostela 1817
"Pengawal?? Puteri raja beta jatuh cinta dengan pengawal istana!!!"
Raja Henry mengaum marah. Wajah bermisai tebalnya kemerahan menahan amarah yang membuar. Memalukan! Anak gadisnya jatuh cinta dan berkasih sayang dengan pengawal bawahan!
"Saya pilih untuk kekal bersama Jazert ayah! Saya cintakan dia!"
Celia membentak dengan linangan air mata. Wajah bengis ayahandanya ditentang tegar.
"Berani kamu ya!??? George, kurung dia di dalam biliknya! Jangan benarkan dia keluar sehingga upacara tari menari itu diadakan!"
***
Bilik tahanan bawah tanah.
Lelaki itu meromok di tepi sudut kurungan. Seluruh badannya terasa sakit ditumbuk dan dihentak sebentar tadi sebelum tubuh longlainya dilempar ke dalam kurungan itu. Dia kekal diam tidak melawan. Darah merah pekat mengalir mencemari mukanya.
"Jazert...."
Satu bisikan halus kedengaran dekat di telinganya. Dia membuka mata yang terasa kabur.
"Kenapa kau tak melawan...? Kekuatan kau melebihi mereka.."
Joseph mengeluh lemah. Dia tunduk menelek darah pada wajah sahabatnya itu. Tiada lebam yang terhasil di sebalik darah yang mencemari wajah lelaki itu. Sesekali dia mengerling cemas ke pintu, bimbang jika kedapatan dia di situ. Luka Jazert dilap dengan sapu tangannya dari balik jeriji kurungan yang memisahkan mereka. Jazert jauh lebih ampuh daripada pengawal diraja...tetapi lelaki itu memilih untuk menjadi lemah.
****
Imbas kembali. 3 tahun lalu (Hutan pokok pines berdekatan istana)
Langkah kakinya diatur perlahan mengekori susuk tubuh Jazert. Sudah lama dia memerhati dalam diam ulah kawan baiknya itu yang selalu sangat menghilangkan diri ke dalam hutan ini. Entah apa yang dibuatnya disini. Dia pernah bertanya, namun Jazert hanya membalas dengan senyuman, lalu hari ini tekadnya membulat ingin tahu rahsia apa yang cuba dipendam rakannya itu.
Jazert tiba-tiba berhenti, lalu mengeluarkan sesuatu dari guni yang dikendongnya sejak tadi. Joseph ikut berhenti. Tingkah Jazert dilihatnya dari balik dedaun pohon Srimmus yang merimbun. Lelaki itu mengeluarkan seekor anak pelanduk yang masih hidup. Haiwan kecil itu meronta minta dilepaskan namun sepantas itu jugalah Jazert mengigit tengkuk haiwan itu.
Pelanduk itu mengelupur kesakitan. Darah pekat menyeruak keluar dari luka koyakan di bahagian tengkuknya. Jazert menyeringai melihat darah menitis membasahi lantai hutan sebelum dia menghumban mukanya ke leher pelanduk itu, menghirup penuh nikmat darah panas haiwan yang baru dibunuhnya itu. Joseph tergamam.
Jantungnya terasa laju berdegup melihat insiden itu dengan mata kepalanya sendiri. Langkah kaki diundur menjauhi kawasan itu namun kakinya terlanjur memijak ranting yang berselerakan di hutan itu. Bunyi derakan ranting dipijak membuatkan Jazert menghentikan hirupan rakusnya. Dia melempar pelanduk yang sudah kekeringan darah itu menjauh lalu sepantas kilat mendekati arah bunyi itu.
"Joseph??" Jazert bertanya hairan melihat wajah ketakutan rakannya itu.
"Err..hai."
Joseph termengkelan. Ketakutan terasa menjalar mengitari seluruh tubuh membayangkan dia pula bagai dilapah Jazert.
"Aku takkan buat begitu pada manusia..." Jazert mengeluh lemah.
"Kau..boleh baca fikiran aku!?" Joseph berteriak kagum. Jazert mengangguk.
"Jadi kau...kau memang.." Joseph terdiam. Tidak sampai hati mahu menuturkannya.
"Vampire..? Ya. Tapi aku pilih untuk mengawal kuasa yang ada pada aku. Aku pilih untuk minum darah haiwan, bukannya manusia."
"Kenapa..?"
"Supaya aku diterima di kalangan manusia..dan kita kekal bersahabat.."
Jazert mengumam sayu. Renungan matanya menusuk lembut pandangan. Tiada riak membunuh pada lirikannya. Joseph mendengus. Langkah kaki diatur ke arah sahabat baiknya itu.
"Aku akan sentiasa ada dengan kau! Kita akan kekal berkawan untuk selamanya!"
Joseph menepuk bahu Jazert, mengikat janji lalu sebuah senyuman ikhlas dihadiahkan pada lelaki berwajah gusar di hadapannya itu. Terharu, Jazert menarik tubuh Joseph ke dalam pelukannya. 'Kita akan kekal berkawan untuk selamanya!'
****
Kurungan bawah tanah Istana Santiago de Compostela 1817
Derap tapak kaki menuruni tangga ke kurungan bawah tanah itu mematikan lamunan Joseph. Dia tergamam tidak sempat melarikan diri.
"Wah..wah..wah..menemani kawan baik sampai ke sini ya..??" George, pengawal berwajah dempak itu menegur sinis.
"Bagus. Lebih mudah kerja aku. Bangunkan kawan kau! Pakaikan dia dengan pakaian ini! Baginda mahu dia berada di altar malam ini, sebagai saksi perkahwinan Puteri Celia dengan Putera Thadeus!"
Baju putih itu dilempar ke tanah mengenai kaki Joseph sebelum dia melangkah keluar dari kurungan sempit itu. Joseph mengutip baju yang melambangkan taraf hamba yang paling hina di kalangan rakyat itu lalu dengan esak tangis terpaksa, baju itu disarung ke tubuh Jazert.
*****
Dewan utama Istana Santiago de Compostela 1817
Raja Henry memandang puluhan pasangan yang sedang asyik menari mengikut alunan biola di tengah dewan utama istana dengan senyuman tersungging puas di bibirnya. Matanya melirik pada Jazert, pengawal yang berjaya mencuri hati puteri kesayangannya dengan renungan benci dan menghina. Lelaki itu dipaksa berdiri di altar utama dengan tangan digari untuk menjadi saksi perkahwinan puterinya itu dengan seorang putera sebentar nanti. Biar jiwa batin anak muda itu terseksa sebelum dia menjatuhkan hukuman mati!
Jazert merenung sayu susuk Celia yang sedang dibawa mendaki tangga marmar ke bahagian atas dewan, menjauhi lantai tarian yang mulai sesak dengan pasangan yang asyik menari. Gadis itu meliar pandang ke sekeliling sebelum pandangannya jatuh tepat padanya. Mereka berbalas pandangan. Merenung satu sama lain dari kejauhan.
Thaddeus kembali dengan gelas berisi air di tangannya. Dia kelihatan cuba memujuk Celia yang masih terpaku memandang Jazert. Huluran gelasnya dibiarkan sepi sebelum gadis itu mengorak langkah meninggalkannya terkapar keseorangan. Celia berlari mendaki tangga ke altar, menuju ke arah Jazert yang tergamam dengan tindakan sembereno gadis itu. Thaddeus mengejar dari belakang. Kekecohan berlaku, pengawal diraja berlari menghalang...
*****
Istana Santiago de Compostela 2017 (9.32a.m)
Sinaran lembayung pagi semakin terasa hangat menyapu kulit mukanya ketika dia mendongak tinggi merenung puncak menara kedua itu lagi. Lama dia di situ. Semenjak mendaftar keluar dari rumah penginapan, dia terus sahaja ke Istana itu lagi. Dia menarik nafas panjang.
Rasa sayu terasa mengigit hati. Terasa berat hatinya mahu meninggalkan istana lama itu. Tapi kenapa..? Ana mengeluh dalam, sebelum menarik beg berodanya menghampiri jalan utama. Sebuah teksi yang sentiasa singgah ke kawasan perlancongan itu ditahannya. Dia berpaling ke belakang, melihat istana itu buat kali terakhir sebelum meloloskan dirinya ke dalam perut teksi.
*****
Dewan utama Istana Santiago de Compostela 1817
Celia mengangkat gaun labuhnya lalu dia mula berlari ke arah Jazert, satu-satunya lelaki yang dia cintai. Perkahwinan dia dan Thaddeus tidak sepatutnya terjadi! Tangannya mendepang ke depan, mahu menggapai tubuh Jazert yang dirantai di sebelah ayahandanya namun larian kakinya kaku serta merta sebelum dia rebah ke lantai.
Bunyi pekikan dan teriakan terkejut kedengaran bergemuruh mengegar dewan. Celia ditikam Thaddeus dari belakang! Darah mula menyeruak dari luka tusukan pedang lelaki kepercayan ayahandanya. Raja Henry terpunduk kaku di tahtanya melihat tubuh anakanda puteri kesayangannya rebah.
Jazert melolong perit. Dia cuba menghentak besi yang menggari tangannya namun tidak berhasil lalu dengan keupayaan yang kian luntur dimamah pilu, Jazert merangkak ke arah Celia. Tubuh longlai Celia ditarik, lalu dirangkulnya erat.
"Mi...num...da..rah...a..ku.."
Celia bersuara terketar-ketar, merayu. Jazert menggeleng laju. Dia mula menangis. Semakin erat tubuh gadis itu dirangkulnya. Thaddeus mara menghampiri mereka. Lelaki itu tidak akan puas selagi mereka berdua hidup.
Beberapa pengawal istana yang cuba menghalang dirodoknya rakus. Jazert memejamkan mata melihat pedang milik Thaddeus menembusi tubuh Joseph sebelum lelaki itu tumbang ketika cuba menjadi benteng penghalang.
"To...long..lah..mi..num. Ba...las. den..dam..un..tuk..a.ku.."
Celia merayu lagi. Jazert mencium wajah gadis itu sebelum mengangguk terpaksa lalu taring yang sedaya upaya disembunyikan selama ini dibenamkan ke leher gadis itu. Menghisap darah gadis itu tanpa nikmat selain kesumat mahu membalas dendam pada Thaddeus semata-mata.
Darah manusia memberinya kekuatan ampuh yang tiada setaranya pada darah haiwan. Jazert meletakkan tubuh Celia dengan perlahan ke atas lantai sebelum dia bangun menyeringai ke arah Thaddeus. Lelaki itu perlu mati malam ini!
****
Menara Kedua Istana Santiago de Compostela 2017 (9.45a.m)
Jazert merenung sayu susuk Ana dari tingkap menara kedua istana itu. Teksi yang dinaiki gadis itu mula membelok di persimpangan jalan sebelum hilang terus dari pandangannya. Beratus tahun lamanya mereka terpisah dan dia tidak pernah menyangka akan bertemu semula dengan gadis itu di kelahiran ini.
***
Imbas kembali Istana Santiago de Compostela 1817
Jazert menghumban kepala Thaddeus yang berlumuran darah ke arah Raja Henry. Biar lelaki itu menelek sendiri putera kebangaannya selama ini. Puas? Ya.Tetapi kepuasan itu sia-sia. Celia telah pun mati. Jazert terduduk melutut di sisi gadis itu. Jasad kakunya dipeluk rapat ke dada. Satu persatu perbualan antara mereka berdua terngiang kembali di telinganya...
"Aku..."
"Vampire! Aku tahu."
"Macam mana kau tahu?!"
"Kau fikir aku percaya dengan helah lapuk kau tu? Memburu pelanduk konon..."
"Kita tak patut ber.."
"Hanya kerana kau minum darah, jangan cuba-cuba mengarah aku apa yang patut dan tak patut aku buat!" Celia membentak. Tangannya di cekak ke pinggang dengan mimik muka marah.
Jazert terdiam, sebelum mereka berdua tertawa lepas. Ahh..Celia, gadis itu terlalu unik! Dia melirik ke arah gadis itu yang sedang tersenyum ke arahnya. Senyuman yang tidak akan dilupakan seumur hidupnya...
TAMAT
============================================
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment