Sunday, 28 January 2018

FLAKKA VERSI II - Gongpal Topek


FLAKKA – VERSI II
Karya: Gongpal Topek



AMARAN: Kisah fiksyen ini dihasilkan untuk menggambarkan bahana penyalahgunaan dadah. Tiada kena mengena dengan yang hidup, atau yang telah meninggal dunia.
Sebarang perlakuan dan amalan watak-watak di dalam kisah ini bukan berniat untuk mengaibkan mana-mana pihak, mahupun sesebuah profession yang terlibat.
JAUHI PENYALAHGUNAAN DADAH. ANDA PASTI DAPAT MENGUBAHNYA.

********

Maisara duduk di kerusi menunggu. Nombor giliran ditenung lesu, lalu ditarik nafas dalam-dalam. Nombor 1073. Giliran sekarang menunjukkan nombor 1055 pada papan monitor di atas kaunter preskripsi ubat di bahagian farmasi itu. Setelah lebih dua jam lamanya sesi kaunseling di bahagian sakit jiwa hospital itu, dia letih. Tiada peneman semenjak tadi, membuatkan dia bosan.

Itulah kehidupannya sebagai seorang anak tunggal. Bapanya, Dato’ Nazri, seorang yang sangat sibuk. Semenjak kecil lagi, dia tidak mendapat kemesraan seorang bapa, seperti anak-anak kecil yang lain. Seorang ahli usahawan bergelar datuk yang tenggelam dengan urusan dunia, melebihi tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. Ibunya? Datin Mahfuzah. Seorang yang mementingkan status dan imej selaku seorang datin. Bergiat aktif dalam kerja-kerja persatuan dan badan kebajikan. Justeru, tinggallah Maisara berseorangan di rumah, ditemani pembantu rumah dan pemandu khas keluarganya.

Kehidupan sunyi ini membentuk emosi yang tidak stabil buat diri Maisara. Dia, mengalami tekanan perasaan yang serius. Mahu dikhabarkan kepada ibu bapanya, mereka sekadar mengambil enteng hal itu.

“Manja sangatlah kamu ni, Mai. Apa saja kamu mahu, mummy dan daddy boleh tunaikan. Tekanan perasaan? Tipulah. Kamu sepatutnya bersyukur lahir dalam keluarga ni. Tak luak dengan tuah.” Itulah jawapan Datin Mahfuzah, apabila Maisara cuba mengusulkan kepada ibunya untuk merujuk kepada pakar sakit jiwa tentang tekanan emosi yang dia alami. Bungkam. Dia serba maklum, bapanya sama pendirian dengan ibunya. Tatkala kata-kata ibunya itu dilafazkan, Dato’ Nazri ada di sebelah, menikmati sarapan pagi di hujung minggu.

Dia kini di institut pakar sakit jiwa berdekatan, untuk sesi ketiga bersama Doktor Ismail. Cuba meluahkan apa yang dirasainya selama ini. Dia bersyukur, masih ada yang sayang. Dia ditemani Pak Karman, pemandu peribadi keluarganya untuk bertemu doktor pakar sakit jiwa. Isteri Pak Karman, Mbak Nasuha, tidak turut serta, bimbang tiada sesiapa yang tengok-tengokkan rumah keluarga Maisara.

Bagi Maisara, pasangan suami isteri warganegara Indonesia itulah keluarganya. Sentiasa di sisi, menemaninya untuk ke mana-mana. Apa sahaja masalah yang melanda, sekecil-kecil hal, dari segi cinta, pelajaran, agama, semuanya dikongsi dengan Mbak Nasuha dan Pak Karman. Kedatangannya ke institut pakar sakit jiwa ini, adalah saranan dan inisiatif Pak Karman dan Mbak Nasuha sendiri, tanpa pengetahuan majikan mereka.

********

“Cik Maisara, sudah selesai semuanya, ya? Obatnya, sudah diambil?” Soal Pak Karman, sejurus terlihat Maisara mendekati kereta yang dipandu. Cepat-cepat pintu dibuka, selayaknya untuk anak majikan yang satu ini. Maisara tidak terus menjawab, hanya memasuki kereta, menghempaskan tubuh pada kerusi pemandu.

Pak Karman sudah masak dengan kerenah anak gadis 17 tahun itu. Jika tidak banyak celoteh, adalah sesuatu yang mengganggu di fikiran. Si gadis yang diperhatikan dan dijaga olehnya sejak kecil lagi. Mungkin, sesi kali ini sedikit memenatkan. Dua jam bukanlah suatu tempoh masa yang singkat.

“Apa doktor itu bilang, Cik Maisara? Apa nama itu, oh ya! Dr Ismail, ya?”

“Ya, Dr Ismail. Dia bilang, bawa kereta pandang ke hadapan. Takut terlanggar pokok nanti, Pak Karman.” Pak Karman segera memandang ke hadapan, lalu memandu dengan cermat. Sah, angin Maisara tidak baik. Pak Karman meneruskan pemanduan tanpa berbicara. Memberi ruang untuk Maisara melayan perasaan, dan memperbaiki moodnya pada pagi itu.

********

“Maisara tak ada kawan rapat? Apa yang budak-budak zaman sekarang panggil? BBF?” Soal Dr Ismail. Maisara tertawa kecil, terasa lucu dengan soalan ringan Dr Ismail.

“BFFlah, doktor! Ada pula BBF.” Dr Ismail tersenyum. Kali pertama melihat gadis genit itu tertawa, selepas kali ketiga bertemu untuk sesi rawatan mental. Dr Ismail menyemak catatan berkenaan Maisara kembali, di dalam notanya. Pertama kali bertemu, sangat kurang berbicara. Perasaan bimbang, dan tidak selamat dapat dilihat pada raut wajahnya. Ada catatan tempoh hari, berkenaan anxiety dan insecure yang teruk dialami oleh Maisara.

Pertemuan kedua, Maisara menunjukkan kemerosotan emosi yang ketara. Dia menyebut tentang keinginan membunuh diri, dan pengambilan dos Panadol yang berlebihan dalam satu masa. Syukur, percubaan membunuh diri itu gagal, apabila sistem tubuh badan Maisara menolak kehadiran ‘bendasing’ itu. Kesemua Panadol yang ditelan, diluahkan kembali dalam muntah secara spontan.

Berbeza buat kali ketiga pertemuan mereka. Maisara sudah mampu tersenyum, tetapi jauh di sudut hati, masih ada duka di dalam hati. Dr Ismail dapat melihat peningkatan, yang dia sendiri maklum, cuba dibuat-buat. Senyuman tadi, cuba menopeng kedukaan di dalam hati. Cuba mengelak daripada realiti tekanan yang dihadapinya. Dr Ismail seorang yang pakar. Tidak terlepas pandang tentang gejala seperti ini.

“Doktor, cantik cincin ni. Doktor beli di mana?” Soal Maisarah tiba-tiba, selepas mereka tamat sesi bersama.

“Oh, ini?” Dr Ismail menunjukkan jari di tangan kirinya, bersarung cincin besar. Maisarah mengiyakan pertanyaan doktor kacak itu.

“Hadiah, daripada seseorang.”

“Someone special?” Duga gadis genit itu, seraya tertawa kecil.

“Hmmm…macam mana nak cerita, ya? Ya, someone special, but not that ‘special’ in my heart,” balas Dr Ismail, cuba berkias.

“Apa maksud, not that special, in doc’s heart?”

Dr Ismail datang menghampiri Maisara sepantas kilat, mengejutkan hati kecil gadis itu. Jeritan kecil terpacul keluar dari mulut Maisara. Bisikan lembut dihembus ke telinga Maisara.

“Orang itu, sememangnya istimewa di hati semua orang yang pernah berjumpa dengannya. Tetapi kamu, istimewa di hati saya.”

Berbunga hati Maisara, mendengar kata-kata di telinganya itu. Adakah dia bermimpi? Adakah Dr Ismail benar-benar mencintai dirinya? Gadis 17 tahun yang disahkan sakit mental itu? Apa yang ada pada dirinya, sehingga membuatkan Dr Ismail menyukainya?

********

“Ha, tu dah kenapa itu? Senyum sendiri saja,” teguran Mbak Nasuha, mematikan lamunan Maisara. Maisara terus berlagak seperti biasa, menyibukkan diri dengan basuhan pinggan mangkuk di sinki.

“Eh, Cik Mai. Jangan dicuci. Susah susah, aja. Biarkan Mbak cucikan. Tugas Mbak.”

“Tak apa, Mbak. Anggap saja Mai tolong ibu sendiri, ringankan beban,” balas Maisara, penuh ikhlas. Sejuk hati Mbak Nasuha, mendengar jawapan tersebut. Tidak sia-sia didikannya selama ini, sementelah dia dipinggirkan oleh kedua-dua ibu bapanya yang sibuk tidak mengira masa.

“Ayo, udah. Tadi, kenapa senyum sendiri? Ada cinta berputik di hati, ya?” Duga Mbak Nasuha, meneka maksud senyuman Maisara sebentar tadi.

“Eh, tak adalah Mbak. Tahun ni, Mai ada peperiksaan penting, Mbak. Mana mungkin boleh bercinta cintun sekarang.”

“Iya? Mbak tidak pernah nampak Cik Mai gembira macam ini, sebelum ini. Ada apa-apa, bukan?” Soal Mbak Nasuha lagi. Maisara kembali tersenyum, tidak menjawab pertanyaan itu. Diam itu benar. Mbak Nasuha cuba mengorek rahsia Maisara, tetapi tetap tidak dijawab. Mungkinkah cinta?

********

Maisara berasa aneh. Ubat kali ini, seperti lain daripada biasa. Bentuknya sedikit berbeza dengan apa yang dimakan sebelum ini. Kesannya? Turut berbeza. Saban hari, suara-suara asing yang pernah menjengah di telinga Maisara, semakin kerap kedengaran. Tidak lagi menghilang apabila ubat dimakan. Ubat yang dia terima sebelum ini, berkesan. Apa yang telah terjadi?

“Mesej saya di nombor ini sekiranya kamu perlukan bantuan segera. Jangan risau. Saya ada 24 jam untuk pesakit saya.” Kata-kata Dr Ismail terngiang-ngiang di kepala Maisara. Adakah perlu untuk dia memberi mesej bertanyakan masalahnya kali ini? Dia bimbang, kalau-kalau Dr Ismail berasa kurang senang dengan mesejnya nanti. Ditambah rasa malu, semenjak bisikan Dr Ismail di telinganya tempoh hari. Merah mukanya, mengingatkan semula kejadian itu.

-JANGAN MESEJ DIA! KAU MILIK AKU!

-DR ISMAIL ITU KASANOVA. JANGAN PERCAYAKAN DIA! DIA CUBA MENIPU HATI DAN PERASAAN!

Bertalu-talu bisikan dan jeritan sukma kedengaran di telinganya tika itu. Maisara bingung. Kenapa bisikan suara itu menghalangnya daripada menghubungi Dr Ismail untuk bantuan? Ternyata, suara-suara itu suara yang jahat. Perlu ditangani segera. Dia cuba mencapai telefon bimbit di atas meja kecil, di sisi katil.

Tiba-tiba, tangannya dirasakan seperti disentuh oleh tangan lain. Kuku terasa mencengkam pergelangan tangannya. Dingin tangan itu. Perit mula terasa dek kerana cengkaman kuat itu. Serta merta, Maisara menoleh ke arah tangan itu. Tiada apa-apa. Perasaankah itu? Dia yakin, ada tangan yang memegang tangannya sebentar tadi. Diusap-usap pergelangan tangan yang terkena kesan cengkaman kuku asing itu. Tiada apa-apa kesan kelihatan. Sakit juga menghilang.

“Ah, pedulikan saja. Perasaan aku itu,” getus hati Maisara. Dia yakin, mindanya terganggu. Mungkin, ubat yang dipreskrip untuknya itu salah. Kesan sampingan mula dirasai, agaknya.

“Doktor Ismail, saya ni. Maisara.” Mesej Whatsapp Maisara hanya bertanda ‘tick’ dua berwarna hitam. Maisara berdebar. Jelas dirasa, debaran di hati. Bagaikan menunggu balasan daripada seseorang yang tersayang.

“Ya, Mai. Apa khabar? Ada masalahkah? Tiba-tiba saja mesej, ni,” jawapan dari Dr Ismail diterima, dua minit kemudian. Bertambah suka hati Maisara. Berbunga. Bagai dibawa pergi ke taman syurga, hanya dengan mesej itu. Terlupa sebentar masalah yang dihadapi.

-DIA MUSIBAH UNTUK KAMU, MAISARA! JANGAN DEKATI DIA!

“Macam ni, doktor. Ubat yang saya dapat hari tu, tak berkesan. Semakin teruk, suara kedengaran di telinga doktor. Malam ni, saya tak dapat tidur. Dah tiga jam saya dengar suara tu, sejam selepas makan ubat. Maaf, doktor. Saya tidak berniat untuk mengganggu malam-malam macam ni. Dah pukul 3 pagi pula.”

“Tak perlu bahasakan saya doktor di luar waktu kerja, tidak mengapa. Panggil Abang Is sahaja. Baik, esok datang jumpa saya. Kita tukar ubat. Jangan ke farmasi. Saya akan dapatkan sendiri ubat untuk kamu. Maafkan saya. Mungkin diagnosis saya salah untuk sakit kamu. Sebab itu kesan sampingan semakin buruk.”

“Tidak mengapa, Abang Is. Boleh ke ni, panggil Abang Is?”

“Boleh saja, sayang. Untuk kamu, apa saja.” Jawapan yang menguatkan lagi degupan jantung Maisara. Sah, dia tidak bertepuk sebelah tangan lagi.

Serta merta dirinya berasa tidak lagi mempunyai masalah. Mesej Dr Ismail itu, dibiarkan tiada jawapan. Tergantung sepi, begitu sahaja. Terus sahaja Maisara menutup mukanya dengan bantal. Tersenyum riang, tidak terkira gembiranya hati. Tiada lagi dirasakan suara itu mengganggu hidupnya. Bayangan Dr Ismail di dalam lamunannya, silih berganti dengan jeritan suara yang mengganggu.

-DIA BUKAN PENYELESAI MASALAH KAMU, MAISARA! BANGUN DARI TIDUR!

Tiada dihiraukan lagi jeritan suara aneh di telinganya. Terus sahaja Maisara masuk tidur, mematikan gangguan pada malam itu begitu sahaja.

********

Pagi itu, Maisara tidak dapat bangun. Kepala membingit. Sangat sakit. Kesan sampingan ubat yang diberi itu, terlalu kuat. Dia tidak dapat membuka walau sedikitpun matanya.

“Cik Mai, apa sudah jadi ni? Bangun, Cik Mai,” ucap Mbak Nasuha, cuba mengejut Maisara yang masih terbaring kaku di atas katil. Dia sepatutnya ke kolej pagi itu. Tidak berdaya untuk memberi sebarang respon fizikal. Erangan sahaja menjadi pengiring jawapan Mbak Nasuha.

Telefon bimbit Maisara dicapai, lalu Mbak Nasuha menelefon suaminya.

“Bang, ayuh ke bilik Cik Maisara. Dia sakit! Ayo, pantas!”

********

“Cik Maisara? Dengar apa saya cakap?” Satu suara menegur, dalam kegelapan pandangan mata Maisara.

“Saya…saya di mana?” Soal Maisara, bingung.

“Cik di hospital. Ini saya, Dr Ismail.”

“Abang…Dr Ismail. Apa dah berlaku?” Maisara kini sudah dapat membuka mata. Cuba menangkap memori kembali, apa yang telah berlaku. Hampir tersasul dengan panggilan manja Dr Ismail, di hadapan Mbak Nasuha dan Pak Karman.

“Kamu pengsan di rumah. Mujur ada Pak Karman, dan Mbak Nasuha lihatkan kamu di bilik.”

“Mummy, daddy?” Diam. Tiada jawapan daripada ketiga-tiga pelawat itu. Dr Ismail, hanya mampu memandang sayu gadis kecil itu. Sedih mula menyelubungi hati Maisara.

“Saya yakin, mereka akan tiba tidak lama lagi. Bersabarlah ya, Maisara. Pak Karman sudah maklumkan kepada Dato’ Nazri, dan Datin Mahfuzah.” Itu sahaja kata-kata penyedap hati untuk Maisara, yang dapat Dr Ismail katakan buat kali ini.

“Nampaknya, ubat itu memberi kesan yang sangat teruk untuk kamu, Maisara.”

“Mungkin, doktor. Saya tidak pernah jatuh sakit sebegini sebelum ini.”

“Pak Karman, Mbak Nasuha. Izinkan saya berbicara dengan Maisara berdua sahaja?” Kedua-dua orang tua itu mengangguk tanda setuju. Tiada tanda curiga diterbitkan daripada raut wajah Mbak Nasuha dan Pak Karman. Mereka berlalu pergi, meninggalkan Dr Ismail dan Maisara.

Tiada sesiapa di dalam bilik wad kelas pertama itu. Dr Ismail segera mengusap-usap kepala Maisara, seperti seorang kekasih yang kasihan akan keadaan kesayangannya itu. Maisara rasa dihargai, lalu tersenyum hambar. Tidak mampu memberi respon dengan baik, kesan kesakitan yang ditanggung di kala itu.

Tangan Maisara dicapai, dan diletakkan sesuatu oleh Dr Ismail. Seperti bungkusan tablet, beberapa biji. Maisara menarik tangannya, cuba melihat apa yang telah diberikan oleh Dr Ismail.

“Apa ini, doktor?”

“Ubat ganti kepada yang diberi sebelum ini. Hentikan makan ubat yang farmasi beri tempoh hari, makan ini. Bila discaj nanti, makan lepas kamu bertenang di rumah, waktu malam.” Maisara seperti ragu-ragu dengan apa yang dia terima daripada Dr Ismail. Setahunya, ubat secara rasminya perlu melalui kaunter priskripsi oleh bahagian farmasi terlebih dahulu, menurut slip priskripsi yang diterima dari doktor seperti Dr Ismail. Kali ini, Dr Ismail sendiri yang menyerahkan ubat. Benarkah ini ubat?”

“Ingat, sayang. Jangan beritahu siapa-siapa. Ubat ini, paling mujarab. Makan, jangan gusar dan ragu-ragu.” Bisikan di telinga, oleh Dr Ismail, terus memadam rasa curiga di hati Maisara. Apa sahaja kata-kata lembut Dr Ismail itu, akan berjaya menakluk hati gadis bernama Maisara ini. Diangguk lemah, menerima arahan Dr Ismail. Di sebalik pandangan mata Maisara, Dr Ismail tersenyum jahat. 
MANGSA TELAH TERMAKAN JERAT!


********

Maisara diberi kebenaran untuk discaj keesokan harinya. Dato’ Nazri dan Datin Mahfuzah turut hadir bersama-sama pemandu mereka, Pak Karman. Mbak Nasuha tinggal di rumah sahaja. Masam mencuka muka kedua-dua ibu bapa Maisara. Ternyata, rahsia Maisara yang sedang mengambil ubat untuk pesakit jiwa, sudah diketahui.

“Mummy dah cakap, semua tu mainan di kepala saja. Kamu degil. Tengok, kesannya. Makan ubat yang bukan-bukan.” Belum sempat masuk ke dalam kereta lagi, kedengaran cemuhan suara daripada Datin Mahfuzah, tidak merestui tindakan Maisara dalam hal itu. Maisara membungkam. Rasa ingin melawan, tetapi ditahan di dalam hati.

Dirasakan seperti dia berseorangan di dunia ini. Tiada sesiapapun yang memahami isi hatinya, tidak walaupun darah dagingnya sendiri. Sementara itu, dia hanya mengharapkan Dr Ismail, cinta hatinya, untuk meluahkan segala yang dia rasakan. Hanya lelaki agung itu, bertakhta di hatinya. Bungkusan ‘ubat’ yang diberikan oleh Dr Ismail, digenggam erat di tangan. Tiada sesiapapun yang mengetahui akan kehadiran ‘ubat’ itu.

*********

11 malam. Baru sebentar tadi, Maisara memakan ‘ubat’ yang telah Dr Ismail berikan itu. Seperti yang diarahkan. Maisara menulis ringkas mesej kepada kekasih hatinya, memberi isyarat bahawa dia patuh dengan arahan.

“Sayangku, Abang Is. Mai sudah makan ubat itu.”

“Bagus. Rehatlah. Nanti, baik-baik sahaja semua.” Balasan pantas diterima dari Dr Ismail.

*********

Pengawal pada malam itu dikejutkan dengan jeritan nyaring dari dalam rumah. Segera dia memerhatikan kamera CCTV untuk mengenalpasti apakah yang telah berlaku di dalam rumah tuannya, Dato’ Nazri. Kamera hanya dipasang di ruangan umum, seperti ruang tamu, dan kawasan sekitar perkarangan rumah. Dilihat pada kamera di ruang tamu, susuk gadis sedang membaham leher Datin Mahfuzah!

“Masakan itu… Cik Maisarah?” Pengawal tersebut mengeleng-gelengkan kepala, tanda tidak percaya. Segera mencapai telefon di pos pengawal, cuba mendail nombor kecemasan polis. Tiba-tiba, cermin tingkap pos pengawal diketuk dari luar. Seseorang menghampiri.

POM!

Satu das tembakan tepat di muka pengawal keselamatan di rumah Dato’ Nazri. Pendatang itu segera memasuki pos pengawal, lalu mencapai kunci-kunci pendua penting yang tergantung di sisi kocek seluar pengawal. Masa untuk bertindak.

Pendatang itu segera mencari memasuki rumah Dato’ Nazri. Masih jelas kedengaran jeritan demi jeritan dari dalam bilik di tingkat atas. Maisara sudah hilang kawalan. Mangsa, sudah pasti sesiapa sahaja yang ada di dalam rumah itu.

Pendatang itu mencari kotak perakam CCTV di sekeliling rumah itu. Rupa-rupanya, perakam CCTV ada di dalam bilik setor di bawah tangga. Dengan pantas, segala sambungan wayar CCTV ditarik, dan suis utama dicabut. Perakam CCTV itu dihempas ke lantai, lalu dipijak-pijak sehingga hancur. Peranti simpanan rakaman turut dihancurkan, ditembak di tengah-tengah. Bukti pembunuhan Maisara dan pendatang itu, kini sudah terkubur.

Pendatang itu lalu ke tingkat atas. Suasana menyeramkan dapat dilihat. Percikan darah dilihat di dinding dan lantai. Terbaring kaku Mbak Nasuha di lantai. Di sisinya, terburai isi perut dan leher Pak Karman. Mati dengan mata terbeliak.

Pendatang itu terus menceroboh masuk ke dalam bilik utama. Dato’ Nazri dalam ketakutan. Maisara sedang merobek jantung Datin Mahfuzah di depan mata mereka. Tanpa belas kasihan. Pendatang itu tersenyum sinis.

“Tolong…Tolong! Tolong aku! Mai, apa yang dah berlaku ni?!” Jeritan Dato’ Nazri, meminta tolong kepada penceroboh tidak diundang itu. Mencari belas ihsan kepada yang asing, tidak sedar bahawa situasinya kini sudah tidak memihak kepada dirinya. Sanggup meminta ihsan kepada penceroboh, kerana takutkan anaknya sendiri. Anaknya yang telah menjadi ‘sesuatu’ yang berbeza.

Suntikan pantas dicucuk ke leher Maisara. Sedatif kuat untuk melalikan gadis itu daripada terus menggila. Serta merta, Maisara terjelepuk di lantai. Datin Mahfuzah sudah hilang nafas. Di ambang maut. Dato’ Nazri menarik nafas lega seketika. Pantas, dicapainya isteri tersayang. Meraung kesedihan.

“Kamu sangka, kamu sudah selamat?” Soal pendatang itu.

“Siapa kamu?” Soal Dato’ Nazri, menyedari bahawa lelaki yang berdiri di hadapannya itu, bukanlah pengawal keselamatan.

Satu das tembakan tepat di dahi Dato’ Nazri. Maut serta merta, di samping mayat kaku isterinya. Darah membuak-buak mengalir keluar dari lubang tembakan di dahinya.

“TIGA PULUH DUA! HAHAAHAHAH!”

Gelak tawa pendatang itu menyelubungi segenap ruang di rumah itu. Dato’ Nazri menjadi mangsa seterusnya, selepas Saiful. Walaupun Datin Mahfuzah, Mbak Nasuha, dan Pak Karman tidak dikira di dalam bilangan mangsanya, dia puas. Dia berjaya menghapuskan keluarga si kaya yang lupa diri.

********

Maisara membuka mata. Berpinar-pinar pandangan. Gelap di sekeliling.

“Di mana aku? Tolong!” Maisara masih tidak dapat menangkap apa yang telah berlaku. Dia telah membunuh, dibawah pengaruh dadah. Dadah yang merbahaya. Dia tidak tahu, ubat yang diambilnya sebelum tidur itu adalah punca musibah yang melanda! Dia juga tidak tahu, dia telah membunuh semua ahli keluarganya.

Pintu bilik gelap itu dibuka. Barulah Maisara dapat melihat segenap ruangan kosong di bilik itu. Bukan kosong, tetapi penuh dengan tubuh kaku manusia. Penuh, menutupi segenap lantai di dalam bilik itu.

“Kamu sudah bangun?” Pendatang yang membuka pintu itu, tidak dapat dikenalpasti siapa gerangannya. Sinaran cahaya matahari dari ruangan pintu terbuka itu, menusuk mata. Bersilauan susuk tubuh pendatang itu. Namun, Maisara kenal akan suara itu.

“Abang Is?”

Tidak semana-mana, Dr Ismail memeluk Maisara, lalu mereka berdua berdiri dalam keadaan berpelukan. Maisara lega. Dia bimbang, dia diculik dalam tidur, dan tidak sedar dek kerana kesan ubat. Penyelamatnya sudah tiba. Semakin jelas ruangan bilik itu. Seperti setor, penuh dengan mayat! Maisara mula berasa aneh. Kenapa Dr Ismail dapat mencarinya di ruangan misteri dan aneh itu? Siapa sebenarnya Dr Ismail?

Tiba-tiba, dirasakan hangat di perut Maisara. Ada bendalir hangat mula dirasakan di panggal perutnya. Maisara melepaskan pelukan daripada terus merangkul Dr Ismail. Dilihat pada perutnya. Pisau dapur besar tertancap rapi di perutnya. Dia bingung. Dipandang muka Dr Ismail. Lelaki itu, tersenyum lebar. Penuh misteri, dan makna tersendiri senyuman itu. Menambah kebingungan di hati Maisara, si gadis yang telah dipermain-mainkan dengan cinta palsu!

“Abang Is?”

“Selamat tinggal, sayang.” Dr Ismail melangkah pergi, menutup pintu bilik itu. Maisara terjelepuk jatuh, kudrat di kaki mula meluntur. Terbaring lesu, dalam kegelapan. Nasibnya serupa dengan mayat-mayat bergelimpangan di dalam bilik itu. Tiada lagi rasa seram melanda. Dia dan mayat-mayat tersebut, bakal menjadi satu.

********

Pintu bilik setor dikunci dari luar. Dr Ismail berpaling, lalu melangkah pergi. Lokasi bilik tersebut di belakang rumahnya, di luar bangunan asal banglo milik doktor sakit jiwa yang gilakan nyawa manusia lain itu. Tersenyum puas. Sungguh, dia puas!

“TIGA PULUH TIGA! TUJUH LAGI, MAKA SAKTILAH AKU! HAHAHAHAHA!”


-TAMAT-
KARYA INI MERUPAKAN HAKCIPTA PENULIS DAN ARKIB ANGKER NEGARA. SEBARANG BENTUK PLAGIAT ADALAH DILARANG KERAS, DAN TINDAKAN AKAN DIAMBIL.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller, ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda menerusi emel ke:
aanrc2017@gmail.com
Sila sertakan nama akaun Facebook, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: