AISHA; ENDING
KARYA: Nil Kuhaku
==========================================
Aisha termengkelan.
“Zikrullah Aisha, zikrullah.” Bisik Lam. Aisha menurut. Nama Allah diulang-ulang dalam hati.
Mereka kini sampai ke sebuah pekan yang sibuk. Kedai-kedai kain, makanan, buah-buahan, gerai-gerai kecil yang menjual makanan panas. Aisha memerhati takjub. Penduduknya, bunian itu, mungkin manusia-manusia paling cantik Aisha pernah lihat. Telinga mereka meruncing, tajam. Yang lelaki tinggi lampai, tidak terlalu kurus, tidak terlalu gemuk. Sama seperti wanitanya yang berkulit putih mulus, menyarung selendang di kepala. Pekan itu yang awalnya riuh-rendah - kini perlahan-lahan terdiam. Menyedari kehadiran Aisha.
“Manusia. Ada manusia.” Mereka berbisik sesama sendiri. Aisha menelan air liur.
“Dia nampak kitakah? Bagaimana dia masuk ke sini?”
“Shh. Tengok, dia pandang kau. Dia nampak tu.”
“Dari mana dia datang? Siapa dia ni?” suara berbisik itu bercampur baur. Berpuluh pasang mata biru, hijau dan jingga yang cemerlang memerhatinya kini. Dia terasa kerdil sekali, dengan baju kurungnya yang lusuh, dan kain tudung batiknya yang lama. Berbeza dengan mereka yang berpakaian kemas. Aisha menarik nafas, mengumpul kekuatan.
“N… namaku Aisha. Aku tiada niat jahat. Aku mahu berjumpa raja kalian.” ujar Aisha gementar. Bunian-bunian itu berpandangan sesama sendiri, sebelum muncul dua bunian lelaki yang berpakaian dengan lagak hulubalang. Pedang tersisip di pinggang mereka.
“Apa urusanmu?” Ujar lelaki bunian berambut hitam panjang, diikat. Aisha mendongak. Nama Allah diulang-ulang dalam hati sebanyak mungkin.
“Suamiku tersesat ke alam bunian. Aku datang mahu menuntut hak aku sebagai isterinya.” Ujar Aisha.
“Apa nama suamimu?” Lelaki berambut emas pendek bertanya.
“Ini urusan antara aku dan raja. Aku mahu bercakap dengannya sendiri.” Aisha menjawab. Menyembunyikan gentar dalam suaranya.
“Bagaimana kau masuk ke sini?”
“Itupun, hanya urusan aku dan raja.” Jawab Aisha lagi. Kedua-dua lelaki itu saling berpandangan.
“Baiklah. Mari ikut kami.” Ujar lelaki berambut hitam panjang. Dia tinggi, dengan aura seorang yang serius. Seorang pemimpin. Aisha menurut.
“Sekurang-kurangnya, bagitahu kami nama kau.” Ujar lelaki berambut emas, bertelinga runcing.
“Aisha.”
“Islam?”
“Ya, aku Islam, bermazhab Shafie.” Jawab wanita itu, membetulkan anak rambut yang terkeluar. Aisha melihat lelaki berambut panjang itu mengangguk. Mereka diam selepas itu, menelusuri jalan-jalan pekan, direnungi para bunian yang bereka bertembung - hinggalah Aisha melihat berbalam sebuah istana dari jauh. Istana itu berkilau, seumpama dibina dengan kristal biru. Aisha menghela nafas, takjub.
Mereka melangkah masuk istana yang tersergam indah itu - dengan cahaya biru malap memancar hebat dari seluruh pelusuk istana. Langsung tiada lampu, tetapi istana itu bercahaya sendiri. Aisha memandang sekeliling terkesima, hampir sahaja dia melupakan Lam di belakangnya.
“Kita dah sampai.” Lelaki berambut hitam berkata pendek. Aisha mengintai dari balik bahu lelaki berambut hitam. Di belakangnya - tersergam sebuah singgahsana yang indah. Seorang lelaki duduk di singgahsana tersebut - wajahnya dibayangi oleh lelaki berambut hitam yang tinggi.
Lelaki berambut hitam dan emas - mengangkat sembah separas dahi. Aisha mengikut, menunduk takut-takut.
“Ampun tuanku. Patik pacal yang hina datang mengadap.” ujar lelaki berambut hitam.
“Apa kehendakmu, Maalik? Siapa gerangan perempuan manusia ini?” balas suara lelaki serak-serak basah.
“Ampun tuanku. Kita jumpa dia di pinggir bandar. Katanya, suaminya ada di Alam Zara.” Lelaki berambut emas pendek berkata.
Aisha mengintai. Raja itu - Khalifatullah Umar Satria, berwajah mulus, dengan kedutan di tepi mata. Rambutnya memutih bak salji, matanya biru cemerlang. Mahkotanya berupa tanduk rusa yang dihiasi emas.
“Kemari, wahai anakku. Kedepan.” Ujar raja tua itu. Aisha menurut, mengangkat sembah.
“Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik cuma rakyat manusia biasa, ingin meminta sekelumit masa mendengar bicara manusia biasa ini, yang makan padi huma cuma. Merafa’ sembah ke bawah Duli Tuanku Sultan serta sekalian Raja-Raja, Ampun Tuanku.” ujar Aisha, sopan. Walau gentar dalam hatinya, hanya Allah yang tahu. Dia mengulang lagi zikrullah dalam hatinya, seakan bunyi loceng yang berdenting, gemanya tidak berhenti.
“Apa benar, suamimu di sini?”
“Ampun tuanku. Patik pacal yang hina ini, sudah beberapa kali suami patik yang dianggap mati itu; datang bertandang melalui mimpi. Mimpi itu memimpin patik ke pokok Hu milik tuanku, dan seterusnya mendorong patik untuk berkelana di bumi bunian ini. Ampun tuanku, patik tiada berniat jahat, patik bukan petualang celaka, patik cumalah seorang isteri yang merindukan suaminya, yang datang bagi pihak bonda mertua patik, yang merindukan anakandanya, seandainya benar dia di Alam Bunian ini.” Aisha berkata sebak. Lelaki bunian berambut hitam dan emas itu berpandangan dengan wajah kasihan.
“Bukan calang-calang manusia yang nampak Pohon Hu milik beta. Malah, kau juga dapat melepasi si Tsa.” Raja itu mengangguk. “Jadi, anakku, apa nama suamimu? Hulubalang beta, Maalik dan Shiddiqin pasti akan dapat membantumu.”
Aisha menggeleng.
“Ampun tuanku. Atas beberapa sebab, patik tidak dapat kemukakan nama suami patik. Nama itu, sudah patik cagarkan pada penjaga gerbang kedua, Lam.”
“Penjaga gerbang kedua?” Maalik, si bunian berambut hitam berkerut dahi. Aisha mendongak, mengangguk.
“Anakku.” Raja itu berkata hairan. “Hanya satu sahaja penjaga yang beta ada. Si Tsa. siapa gerangan Lam yang kamu khabarkan ini?” Ujarnya lagi.
Muka Aisha berubah pucat.
“Lam?” ujar Aisha ke belakangnya. “Lam, Lam. tolonglah menyahut.”
Sunyi. Aisha merenung wajah Maalik dan Shiddiqin. Kedua-duanya merenung Aisha dengan wajah kasihan.
“Tidak. Dia di gerbang kedua. Pasti ada tersilap.” Ujar Aisha tergagap. “Dia ada. Dia minta saya cagarkan nama suami, kerana dia mahukan badan dia kembali.” sambung Aisha lagi, merenung Maalik seakan mahu menangis.
Maalik menggeleng dengan muka bersimpati.
“Aisha, aku tidak pernah dengar nama Lam ini. Hanya Tsa, si penjaga gerbang pertama.” kata Maalik.
Aisha terduduk.
“Mungkin itu jin kafir yang menyesatkan. Kasihan.” Geleng Maalik. Aisha menangis teresak-esak. Dia menekup mukanya.
“Sudahlah tu nak. Maalik, perkenankan dia sedikit hadiah untuknya. Bawa dia ke jalan keluar.” Ujar Raja itu bersimpati. Aisha menggeleng-geleng kepala.
“Tidak, tuanku. Patik pasti, Lam tak akan mungkir janji.” tangis Aisha. Waktu itu, beberapa dayang istana muncul dengan pakaian mereka yang indah, memimpin Aisha keluar dengan tangan mereka yang lembut.
“Tolonglah, tuanku, dengarkan patik.” Aisha merayu lagi, sewaktu dayang-dayang itu membawa Aisha keluar. Dia menangis pilu. Wajah suaminya langsung tiada di kepala. Suaranya. Sentuhannya. Langsung, tiada.
===========================
Aisha diberikan emas, permata. Emas dalam uncang itu kecil-kecil, seperti pasir yang berkilau. Dalam tangisannya, Aisha dipimpin ke jalan tadi oleh Maalik dan Shiddiqin. Alam bunian itu sedang meraikan sesuatu, sesuatu yang Aisha sendiri tidak pasti. Kenapa dia sangat bodoh? Percaya bulat-bulat?
“Kami sedang meraikan perkahwinan Maalik dan Puteri Raudhatina Balqis yang bakal menjelang. Kau bukan bodoh. Ini bukan alam kamu, mana-mana manusia sahaja mudah tertipu.” Shiddiqin, lelaki bunian berambut emas berkata simpati. Aisha mengangguk, memandang pada Maalik yang merenungnya dari tadi.
“Tahniah.” Aisha berkata, dalam sebak.
“Terima kasih.” Maalik membalas hormat.
Maalik dan Shiddiqin tiba-tiba berhenti. Maalik memegang hulu pedangnya, begitu juga Shiddiqin.
“Kenapa?” Tanya Aisha.
Satu suara dasyat - memenuhi ruang angkasa. Mereka mendongak.
Tsa!
Jembalang itu sedang dipanah oleh berpuluh panah berapi. Sebaik sahaja panah itu singgah di kulit Tsa - ia bernanah, membengkak penuh ngeri - sebelum terkatup kembali. Jembalang gergasi itu menjerit kesakitan sebelum jatuh berguling di hadapan Aisha.
“Ya Allah, Tsa!” Ucap Aisha terkejut.
“Apa ini? Apa yang kalian buat?” Jerkah Maalik kepada hulubalang yang membawa panah.
“Arahan raja.” mereka berkata ringkas. Bertalu-talu, anak panah itu menghujani tubuh Tsa. Jembalang itu langsung tidak melarikan diri, malah duduk diam, menjerit kesakitan. Pasti, kerana janjinya kepada kaum bunian.
“Sudahlah!” Tangis Aisha. “Aku yang salah! Bukan dia!” Aisha menangis lagi. Tsa menjerit-jerit kesakitan, memandang wajah Aisha meminta tolong.
Aisha mengambil emasnya. Ditabur ke tanah.
“Tsa!” laung Aisha. “Tsa! Lihat tanah!” Aisha berkata lagi.
Tsa berpaling.
“Tanah… sudah bertukar menjadi emas.” Bisiknya, melihat tanah yang bercampur gaul dengan butir emas.
“TSA SUDAH BEBAS!” Tsa melaung. Jembalang bertubuh burung hantu, berkepala manusia itu berbunyi nyaring; dasyat, seakan bunyi helang. Dia bangkit, mengibas kepaknya gagah, membuatkan bunian-bunian terpelanting dengan kibasannya yang kuat.
Waktu itu, seorang lelaki muncul. Lelaki itu, berkulit sawo matang, dengan rambut keemasan, mata emas bersinar - dan kepala bermahkota tanduk rusa.
“Aisha!” jerit lelaki itu. Aisha kenal suara itu. Itu Lam!
“Aisha! Kau sudah bebas. Aku sudah bebas dari sumpahan! Bawa suamimu pergi, cepat!” laung Lam, yang pantas menunggang Tsa.
“Tuanku!” Sembah Tsa terhadap Lam.
“Tak… tak mungkin. Itu Raja Kabilah Aswad! Khalifatullah Abdussalam!” ujar Shiddiqin terkejut.
Aisha terpinga-pinga. Dari tangan Lam, bercahaya satu bentuk kalimah ; Jalal.
“Dinda?” Bisik Maalik. Dia merenung Aisha tidak percaya.
Aisha terpempan.
“Allahuakbar. Allahu…” Bisik Aisha dalam linangan air mata. Maalik adalah Jalal!
Dalam hiruk pikuk itu, satu gerbang terbuka luas - menarik Aisha dan Jalal keluar. Terpelanting di pinggir hutan.
Mereka kembali ke dunia manusia.
“Dinda. Ampunkan kanda. Kanda… langsung lupa…” Ujar Jalal tergagap. Aisha menggeleng kepala dalam linangan air mata. Diraih tangan suaminya, dikucup lembut.
Kampung Batu 48, kecoh sekecohnya.
==============================
“Khalifatullah Umar Satria - dia mempergunakan kanda, apabila raja Kabilah Aswad datang melamar Puterinya.
Raja Kabilah Aswad, Khalifatullah Abdussalam dan tunggangannya, Tsa itu - diperalat raja waktu mereka di pinggir hutan. Umar Satria mahu kuasa kedua-dua belah Kabilah. Dan kanda, kanda diperalatkan, ingatan kanda dipadam, kanda menjadi pak sanggup.
Ampunkan kanda. Kanda langsung lupa. Kanda tak berniat sebegitu.” cerita Jalal, sewaktu mereka duduk-duduk di beranda. Aisha menggeleng.
“Tidak mengapa kanda. Yang penting, kanda di sisi dinda sekarang.” Ujar Aisha, tersenyum.
“Kanda masih bermimpi bunian lagi?” Tanyanya. Jalal menggeleng. “Sudah berkurang.” Dia meraih Aisha dalam pelukannya.
Aisha menutup mata, bahagia. Namun, ada satu masalah.
Lam, tidak sempat menutup kembali hijabnya!
-TAMAT-
Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment