ALISHA (Bahagian 1)
Karya: Shaha Rahman
Dia berlari laju meredah kegelapan malam yang pekatnya bagaikan dakwat hitam. Pantas. Langkah kaki dihayun sekuat hati. Dia ingin segera keluar dari hutan tersebut yang bagaikan bernyawa sepertinya ingin menelannya hidup-hidup.
Dia menjeling sekilas ke belakang, ingin memastikan makhluk yang mengejarnya jauh ketinggalan di belakang. Sesekali dia hampir jatuh tersembam apabila kakinya tersepak akar-akar pokok yang tumbuh meliar, menjalar berselirat.
Prappp.. Praapppp.. Prraapppp....
Derapan kaki sudah semakin hampir mendekatinya membuatkan hatinya semakin tidak keruan. Ingin sahaja dia menjerit tetapi suaranya bagaikan tersekat di kerongkongan. Dia semakin letih kehabisan tenaga, kakinya semakin goyah dalam melangkah. Terasa maut semakin menghampiri tapi dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Hanya mampu menghayunkan kakinya menggunakan tenaga yang masih sedikit bersisa.
“Mak.. Tolong mak.. Kakak takut..,” eritnya di dalam hati kecil.
Di saat-saat genting tersebut, hanya gambaran wajah emaknya sahaja yang bermain-main di fikiran. Wajah sang ibu yang tenang sambil tersenyum manis padanya. Tanpa dipinta, air matanya mula merembes laju, deras bagaikan hujan lebat yang mencurah ke bumi.
’Argghhhhhhh...
Dia terjerit kesakitan apabila kakinya yang tidak beralas tersepak bongkahan batu yang besar membuatkannya hilang kawalan terhadap dirinya yang berlari laju. Lalu jatuh tergolek di tepi curam yang agak tinggi.
Gedegukkk gedeguukkk.. Bukkkk…
Dia tersandar pada sebatang pokok tumbang yang sebesar pemeluk, berlumut licin dan hampir mereput. Mungkin menyembah bumi akibat ditiup angin kencang. Dia mengambil nafas perlahan. Terasa kesakitan mula menjalar di segenap anggota tubuhnya akibat daripada jatuh tergolek di tepi curam sebentar tadi. Darah merah mula mengalir dari luka di dahinya. Pekat dan likat.
Dengan kudrat yang masih bersisa, dia mengesat darah di wajah dengan tangan kirinya yang terketar-ketar. Kaki kirinya patah. Terlihat jelas tulang betisnya terkeluar. Putih. Tangan kanannya pula hancur, bagai dirobek binatang buas. Bauan hanyir darah mula menyelubungi kawasan, membangkitkan selera kepada pemangsa pemakan daging.
“Prraapppp.. Praappp.. Praapppp.. Prraappp…
Derapan kaki yang mengejarnya sedari tadi, kini berhenti detul-betul di hadapannya. Buruannya sudah cedera parah tidak bermaya, tidak mungkin mampu untuk melarikan diri lagi.
Dia memejam rapat matanya, pasrah jika nyawanya melayang ketika ini, walaupun dia tidak bersedia dan tidak rela. Air matanya mengalir lagi membasahi pipinya dan terus menitik ke bumi. Laju tidak tertahan.
“Alishaaaaaaa.. Alishaaaaaa..”
Kedengaran jelas suara seorang perempuan tua memanggil namanya. Garau, bernada sinis.
“Alishaaaaaa.. Dah tak mahu lari ke? Hihihihihi.. Hahahahahaha..”. soal perempuan tua tersebut mengejek, dikuti oleh hilaian kuat ketawanya. Bulu roma Alisha mula meremang, seram.
“Buka matamu Alisha.. Buka..!!!” Sergah perempuan tua tersebut mengarah apabila dia melihat Alisha hanya memejamkan mata sedari tadi.
Kelopak mata gadis tersebut terbuka perlahan, bagaikan ada satu kuasa memaksanya untuk celik walaupun dia melawan dengan sepenuh hati. Mata Alisha yang masih merah akibat tangisan membutang apabila melihat apa yang ada dihadapannya. Mulutnya yang hampir ternganga ditekup laju oleh tangan kirinya yang terketar-ketar. Ternyata, ramai tetamu yang mendatanginya pada malam ini.
“Bagus Alisha.. Dengarlah cakap aku wahai gadis muda.. Hihihihi…,” kata perempuan tua di hadapannya yang berselubung dengan kain berwarna kelabu, lusuh dan kotor. Dia memegang sebatang tongkat kayu yang bengkang bengkok di tangan kanannya, sesekali dilihat bagaikan ular kena palu. Wajah perempuan itu tidak kelihatan, hanya rambutnya yang panjang keputihan terkeluar dari kelubung yang dipakainya, beruban.
Ggggrrrrrrrr.. Ggrrrrrrr.. Ggggrrrrrrr…
Tujuh ekor anjing hitam yang berada di samping wanita tua tersebut merenung tajam wajah polos Alisha, hanya menunggu arahan untuk menerkam. Anjing-anjing tersebut mendengus garang sambil menampakkan giginya yang tersusun rapi, tajam dan runcing. Air liurnya meleleh tiada henti, tidak dapat diseka.
“Aa apaa ya.. Aapa yang kaau nakk?” Bicara Alisha terketar, ketakutan.
“Kau tahu apa yang aku nak, gadis muda…” balas perempuan tersebut sambil tersenyum di sebalik kelubung yang menutupi wajahnya.
“Aaku takk naakkk…” balas Alisha lagi. Terketar. Berani dalam takut.
Perempuan tua tersebut mendengus marah sambil tangan kanannya mengangkat sedikit tongkat yang dipegangnya, lalu dihentak laju ke tanah.
Ktaakkkk…
Anjing-anjing hitam yang berada di samping wanita tua tersebut terus menerkam Alisha apabila mendapat arahan. Seluruh anggota badan Alisha digigit rakus, anjing-anjing hitam tersebut terus merobek daging Alisha tanpa sebarang simpati.
“Arrghhhhh.. Argghhhhh..” Alisha menjerit kesakitan sambil tangan kirinya dihayun untuk menghalau makhluk-makhluk tersebut. Namun tangan yang semakin melemah itu tidak mungkin dapat menghalau anjing-anjing yang semakin menggila. Tangan kiri Alisha digigit kemas, lalu direntap sekuat hati.
“Arrgghhhhhhhhh!” Alisha mengerang kesakitan. tangan kirinya bercerai dari badan. Darah membuak-buak mengalir laju, anjing-anjing hitam tersebut semakin bernafsu.
Perempuan tua itu tersenyum puas melihat keadaan Alisha yang kesakitan diambang maut. Alisha mula berasa nyawanya bakal melayang, dia menatap sayu ke arah perempuan tua di hadapannya yang masih belum berganjak.
Tiba-tiba wanita tua tersebut meluncur laju ke arah Alisha bagaikan terbang.
“Ini adalah peringatan terakhir.. Ingat Alisha.. Hihihihi.. Hahahahaha..” kata perempuan tua tersebut sambil mempamerkan wajahnya apabila jaraknya sejengkal dari wajah Alisha. Kulit mukanya berkedut tua, urat-urat penuaan bergaris jelas di wajahnya. Berhidung mancung seperti paruh burung, dagunya meruncing tajam dan bibirnya biru kehitaman. Mata kirinya tergantung, terkeluar dari soket. Ngeri.
Alisha terasa pening, dunia bagaikan berputar laju tetapi telinganya masih jelas mendengar hilaian ketawa perempuan tua tersebut. Suasana gelap, gadis muda tersebut termanggu di ruangan kosong yang tidak berpenghuni. Tiba-tiba dia didatangi cahaya yang terang, memaksanya untuk menutup matanya, silaunya bukan kepalang.
* * *
“Alisha.. Alisha.. Bangun Alisha…” Najihah memanggil-manggil nama Alisha, cuba mengejutkan dia dari tidur. Tangannya kuat menggoncang tubuh Alisha,berharap rakan sebiliknya itu segera terjaga dari lena.
“Arrrggggghhhhhhhhhhhh!” Jerit Alisha sekuat hati, terus terbangun dari tidurnya. Najihah terperanjat dengan jeritan Alisha, secara spontan dia terundur beberapa langkah sehingga terduduk di atas lantai.
“Huuhhhhhh.. Huuhhhhhh..” Alisha bernafas laju. Paru-parunya mengepam pantas oksigen.
Kedengaran jelas jantung Alisha berdegup kencang, bagaikan bom detik yang menunggu masa untuk meletup. Peluh yang memercik sedari tadi belum berhenti, masih laju mengalir. Alisha membangunkan diri. Matanya melilau memandang keadaan sekeliling, bimbang jika dia masih berada di alam mimpi tadi. Najihah di hadapannya tidak diendahkan, bagaikan tidak wujud.
Setelah memastikan dia benar-benar berada di alam nyata, Alisha menghela nafas lega yang bertakung di dada. Gadis muda itu meraup wajahnya yang masih berkeringat seraya memandang Najihah lalu tersenyum kelat. Mata bundarnya mula berkaca, air jernih mula bertakung di empangan mata. Dia kembali membaringkan tubuhnya, mengiring membelakangi Najihah lalu menangis tersedu-sedan.
Najihah yang terpaku sedari tadi mula tersedar apabila mendengar tangisan halus sahabat sebiliknya. Dia segera menghampiri Alisha, lalu dipeluk kawannya itu dengan penuh rasa kasih sayang. Suara tangisan Alisha semakin galak kerana dia terasa sudah tidak mampu untuk menanggung ujian tersebut.
Najihah mula sebak, terasa kasihan dengan nasib yang menimpa Alisha. Tanpa disedari, airmatanya juga turut tumpah, mengalir membasahi pipi.
* * *
“Ok, jangan lupa siapkan tugasan yang saya bagi ya.. Pastikan minggu depan ada atas meja saya. Lagi satu, minggu depan ada kuiz. Study tau, nanti jangan cakap saya tak bagitau pulak. Faham?” Jelas pensyarah bernama Cik Sarah seraya tersenyum.
”Baik cik!” Jawab pelajar hampir serentak.
Senyuman Cik Sarah semakin melebar melihat gelagat pelajarnya. Bermacam ragam yang sangat mencuit hati. Sesekali matanya melirik ke arah Alisha yang sedang sedang menunduk melihat lantai. Pandangannya kosong.
Rasa kasihan mula terbit di hati Cik Sarah apabila melihat perubahan yang sangat ketara berlaku pada gadis muda itu. Dahulunya Alisha seorang siswi yang cergas dan ceria, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya. Namun sekarang, dia lebih banyak berdiam diri dan suka menjauhkan diri dari orang lain.
“Hisshhh.. Entah apa masalah Alisha nie.. Bila tanya tak nak bagitahu..” monolog Cik Sarah di dalam hatinya. Tanpa disedari, di hujung kelas tersebut terlihat satu kelibat lembaga memandang tepat wajah Alisha sambil mengukir senyuman sinis. Tetamu yang tidak diundang, bakal membawa musibah.
Masa yang berbaki diisi dengan bualan kosong. Semua pelajar membuat ulangkaji masing-masing. Beberapa orang siswa sedang bermain permainan di telefon pintar mereka, khusyuk melihat skrin telefon masing-masing. Alangkah bagusnya jika mereka juga khusyuk sebegitu sewaktu menimba ilmu. Cik Sarah juga sibuk menjawab pertanyaan beberapa orang pelajar, sesekali mereka ketawa ceria.
“Tak nakkkkkk..!!!” Jerit Alisha sekuat hati.
Kelas yang tadinya riuh rendah bagaikan pasar malam itu terus sunyi sepi. Tiada sebarang bunyi yang kedengaran. Semua mata memandang ke arah Alisha yang sedang memejam mata sambil menekup telinganya. Airmatanya mula menitik perlahan-lahan.
“Alisha.. Alisha..” panggil Cik Sarah sambil mendekati Alisha.
“Alishaaaaaaaaaaaa.. Alishaaaaaaaaaa… Buka matamu Alisha.. Hihihihi..” suara perempuan tua yang muncul di dalam mimpinya kini kedengaran.
“Alishaaaaaaa.. Kamu sudah tiada masa.. Hahahaha..” kata perempuan tua itu lagi sambil ketawa mengejek. Perempuan tua yang berkelubung itu berada di hujung kelas, kelibatnya tidak dapat dilihat oleh orang lain melainkan Alisha seorang.
“Alisha..” panggil Cik Sarah apabila dia berada di hadapan Alisha yang masih menutup telinga dan matanya. Suara Cik Sarah tidak berapa kedengaran di pendengaran Alisha kerana tenggelam ditelan oleh suara garau perempuan tua tersebut. Alisha masih berkelakuan demikian, sesekali dia menggeleng-gelengkan kepalanya laju.
“Allahu Akbar!” Spontan terkeluar kalimah tersebut dari mulut Cik Sarah kerana dia mula berasa seram sejuk. Bulu romanya mula merinding.
“Alisha.. Alisha..!!!” Cik Sarah meninggikan sedikit suaranya dan tangannya menggoncang laju tubuh Alisha, berharap gadis muda itu segera tersedar dari lamunannya.
Alisha yang tersentak terus membuka mata, mendongak melihat siapa yang mengejutkan dia dari gangguan tersebut. Wajah Cik Sarah yang berkerut memandangnya ditenung lama. Setelah beberapa detik, Alisha memandang sekeliling bagaikan baru terjaga dari tidur.
Semua mata yang berada di dalam kelas itu tertumpu kepada Alisha. Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh kawan-kawan sekelasnya, ada yang kasihan, ada juga yang takut. Melihat dirinya menjadi tatapan umum, Alisha mula bergegas mengemas barang-barangnya di atas meja tanpa menghiraukan orang di sekelilingnya.
Airmata yang masih berbaki dikesat menggunakan hujung tudung labuh yang dipakainya. Beg disandang di bahu, dia mula menapak langkah dan berlari keluar dari kelas tanpa menoleh kebelakang, meninggalkan Cik Sarah dan kawan-kawannya terpinga-pinga.
“Kenapa dengan Alisha tu Cik Sarah?” Soal Nurul sedikit kaget. Pelajar lain juga menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut pensyarah tersebut.
“Entah lah.. Saya pun tak tahu..” jawab Cik Sarah ringkas sambil matanya masih menatap pintu yang digunakan oleh Alisha semasa keluar dari kelas tadi. Jauh di dalam lubuk hatinya, dia tahu Alisha mengalami gangguan makhluk ghaib.
Senyuman puas terukir di bibir perempuan tua yang berkelubung hitam di penjuru kelas, dia berjaya menyeksa mental Alisha. Kemudian dia mula hilang secara perlahan-lahan bagaikan kabus pagi yang disinari cahaya mentari.
Karya: Shaha Rahman
Suntingan Gambar (sumber Internet): DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment