GRAB
==============================
Selamat malam semua. Nama aku Mutt. Itu bukan nama sebenar aku. Aku seorang gadis yang bertubuh agak gempal dan berkaca mata. Disebabkan oleh ekonomi negara yang semakin menyempit ni, aku dibuang kerja. Jadi masa aku dipenuhi dengan kerja-kerja sambilan dan antara yang paling kerap aku laksanakan adalah memandu Grab. Aku nak ceritakan satu kisah yang tak mungkin aku lupakan sampai bila-bila…
Hari itu langit gelap dan hujan lebat membasahi bumi. Sudah 3 hari begini. Aku duduk dalam kedai serbanika di stesen minyak berdekatan. Makan Maggi Cup. Seharian aku tak makan. Aku lupa nak makan sebenarnya. Sibuk membawa penumpang ke sana ke mari. Kepul-kepul asap yang keluar daripada mangkuk mi segera itu sedikit sebanyak menghangatkan tangan aku yang seperti mahu membeku. Mi segera yang hanya tinggal separuh itu aku suap ke mulut.
‘Ah… Nikmatnya’
Perisa kari memenuhi deria rasa aku. Aku capai air teh lemon dan membuka penutupnya. Belum sempat air disuakan ke mulut, telefon pintar aku menyala. Aplikasi Grab Driver yang sentiasa aku hidupkan itu menunjukkan ada pelanggan berhampiran.
Aku segera menekan butang ‘accept’ dan menghabiskan mi segera yang berbaki dengan sekali suap. Minum nanti sahaja di kereta. Aku menaikkan hud dan berlari laju keluar daripada kedai dan masuk ke dalam Proton Pesona yang aku parkir agak jauh sedikit. Sampai sahaja di kereta, aku membetulkan rambut pendek ala-ala Janna Nick yang sedikit kusut akibat ditutup dengan hud tadi dan terus memandu laju.
‘Pick-up location’ berada di Suria KLCC. Daripada jauh aku dapat melihat seorang mak cik berpakaian seperti Datin dan seorang lelaki muda berbadan sasa di sebelahnya. Mereka berdiri tegak sambil berbual mesra. Sesekali si Datin mencuit jejaka itu. Anak ikan ke?
Walaupun aku diajarkan untuk Husnuzon tapi susah nak bersangka baik bila melihatkan kemesraan mereka. Mak dengan anak kot… Tapi, muka jauh beza. Ah! Aku nak cari duit, jangan sibuk hal orang. Aku memberhentikan kenderaan aku di hadapan mereka kerana navigasi menunjukkan bahawa mereka lah yang perlu aku ambil.Tingkap aku turunkan separuh.
“Afendi Zainal?” Aku bertanya untuk memastikan mereka adalah pelanggan yang betul.
“Ya, saya,” jejaka tadi menghampiri tingkap dan menganggukan kepalanya.
Aku buka kunci pintu dan membenarkan mereka masuk. Jejaka itu terlebih dahulu membuka pintu dan membenarkan mak cik tadi masuk, barulah dia juga meneroboskan dirinya ke dalam kereta. Mereka tidak berbual langsung sepanjang pemanduan. Berbeza dengan yang tadi.
‘Drop-off location’ mereka sangat jauh dari sini. Tapi tak apa, masyuk sikit. Bagi menghilangkan suasana janggal aku mula bersuara. Ya, sebab aku peramah.
“Sejukkan hari ni? Hujan dah 3 hari tak berhenti-henti,” suara aku lontarkan agak kuat supaya mereka dengar.
Senyap. Mereka sekadar tersenyum dan mengangguk.
“Anak Datin ke ni? Segaknya lahai,” aku cuba bertanya lagi. Air teh lemon aku buka penutupnya.
“Tak payahlah panggil Datin. Panggil Aunty je. Bukan. Afendi ni ‘boyfriend’ Aunty,” nak tersembur air yang berada di dalam mulut aku. Nasib baik sempat ditahan. Kalau tak, basah stereng kereta aku.
Biar betul! Wei, macam langit dengan bumi. Tapi betullah kata orang tua-tua, cinta itu buta. Kalau perempuan boleh kahwin dengan lelaki berumur. Lelaki pun apa salahnya kalau nak kahwin dengan perempuan berusia. Aku menganggukkan kepala beberapa kali.
Untung Aunty ni… Aku? Hmm… Pemanduan diteruskan lagi dengan aku yang banyak bertanya ini. Hanya Aunty yang menjawab pertanyaan aku. Afendi sekali-sekala tersenyum memandang aku dan Aunty. Lirikannya sedikit aneh setiap kali dia memandang Aunty. Lirikkan yang buat aku rasa nak muntah.
‘Drop-off location’ semakin hampir. Tapi tiada sebiji rumah atau bangunan pun yang aku nampak. Aku pandu perlahan. Semakin hampir. Hanya ada sebuah kilang tinggal yang dikelilingi hutan. Hujan masih turun renyai-renyai. Aku memandang keluar tingkap. Daun kering menutupi sebahagian besar kawasan kilang itu. Aku naikkan hud. Sejuk…
“Betul ke ni tem…,” aku memandang ke belakang. Ayat aku dimatikan dengan senyuman sinis kedua-dua penumpang di tempat duduk belakang.
Senyuman itu menyeramkan…
“Aunty… Afendi… Kenapa ni?” Aku bertanya.
Tiba-tiba Aunty menurunkan hud dan menarik rambut aku kasar. Dia sangat kuat bagi seorang mak cik. Aku meraung kesakitan. Aku cuba menarik dan melepaskan kembali rambut aku. Tapi cengkamannya sangat kuat. Afendi mengeluarkan sapu tangan dan menekupnya ke mulut aku. Aku tahu bau ini. Klorofom. Aku cuba menahan nafas tapi rambut aku yang ditarik ganas mengagalkan aku berbuat demikian. Siapa mereka? Penglihatan aku semakin kelam dan tenggelam.
….
Aku membuka mata perlahan. Aku melihat Afendi di hadapan aku. Keadaan sekeliling gelap. Aku hanya dapat menangkap cahaya lampu daripada sebuah bilik kecil di hujung bangunan. Afendi duduk di atas bangku kecil sambil menyilang kaki memandang aku dengan pandangan yang kejam. Dia tersenyum senget. Aku cuba mengangkat tangan untuk memegang kepala yang masih sakit. Tak boleh! Aku di atas sebuah kerusi roda dan tangan aku diikat pada palang tempat duduk.
“Lepaskan aku!” Aku panik. Sangat marah melihat Afendi tersenyum begitu. Badan aku terasa sangat lemah.
“Kau tak payah melawan. Aku dah ‘inject’ kau dengan dadah. Kau takkan kuat untuk berdiri pun,” Afendi menurunkan kaki yang disilang.
“Apa salah aku?” Amarah tadi bertukar menjadi ketakutan dan tangisan.
“Kau tak pernah tengok TV ke?” Afendi bertanya dengan wajah yang selamba. Dia menarik bangkunya dan duduk dekat dengan aku.
Aku diam… Afendi mengangkat tangannya dan menampar pipi aku berulang kali. Aku dapat merasakan ada darah keluar daripada hidung aku.
“Aku tanya, kau kena jawab,” suaranya dilembutkan.
“T…Tak,” aku jawab lemah.
“Kesian kau,” Afendi menggelengkan kepalanya lagi.
Dari bilik kecil itu, seseorang keluar dan berjalan menuju ke arah Afendi. Aunty! Dia memakai pakaian seperti seorang doktor bedah. Siap dengan penutup kepala dan sebagainya.
“Fendi, bawa dia masuk bilik bedah sekarang,” suara itu benar milik Aunty…
Afendi berdiri dan menolak kerusi roda yang aku duduki. Mereka akan membawa aku ke bilik bedah? Bilik bedah? Bilik bedah apa dalam tempat seburuk ini… Bilik itu tidak berpintu. Aku dapat melihat banyak peralatan pembedahan di atas meja kecil di sebelah katil besi. Katil besi!
“Afendi, angkat dia. Letak atas tu,” Aunty mengeluarkan arahan lagi.
Afendi akur dan dia membisikkan sesuatu yang tidak mungkin aku lupakan.
“Terima kasih sebab bagi organ kau dekat kami.Senang betul uruskan kau,” aku tersentap. Organ? Aku akan mati?
Aku masih lemah. Afendi mengangkat aku dengan sangat mudah. Aku dibaringkan dan disuntik dengan sesuatu. Aku dapat rasa badan aku yang sudah sedia lemah menjadi semakin lemah. Aku bagai melayang. Aku masih boleh melihat walaupun kabur. Aunty mendekat dengan pisau bedah. Dia memotang dada aku. Aku tidak merasa sakit hanya sedikit ngilu. Dan… Itulah perkara terakhir yang aku ingat.
….
Sekarang, aku masih di kilang ini. Selepas mereka mengambil semua organ aku, aku ‘ditempatkan’ di belakang kilang ini. Rupannya sudah banyak mangsa mereka. Sekurang-kurangnya tidaklah aku sendirian di sini. Ada 3 orang kanak-kanak, seorang lelaki dewasa dan seorang wanita remaja.
Remaja itu memberitahu aku bahawa mereka yang mengambil organ aku itu adalah sindiket penjualan organ. Patutlah Afendi tanya sama ada aku pernah tengok TV atau tidak. Aku jumpa telefon lama aku dekat bawah pokok di tepi kilang ini. Jadi aku tulis kisah ini. Jangan lupa bagitahu polis di mana kami berada. Kami merayau-rayau tanpa hala tuju. Atau lebih tepat lagi… Bergentayangan!
P/S: Cerita ini hanyalah fiksyen semata-mata. Jangan telefon polis betul-betul pula. Hehehe… Dalm cerita ni, saya nak tekankan agar pemandu Grab, Uber, teksi atau apa-apa sekali pun supaya berhati-hati. Nyawa anda amat berharga. Bawalah benda yang boleh melindungi diri bersama dengan anda dan pastikan benda itu sentiasa dekat dengan anda. Jangan tiru perbuatan ini kerana tindakan itu sangat buruk.Ingat, Allah nampak. Sekian… XX
================================
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negera.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment