Tajuk: URBAN LEGEND - JAMBATAN KE-2 PULAU PINANG
================================
“Assalamualaikum bro! Pekerja baru ke?” Azlan menegur seorang lelaki yang sedang mundar-mandir di perkarangan pejabat gerak kerja pembinaan itu.
Sudah menjadi kebiasaan bagi semua pekerja buruh binaan untuk berkumpul di pejabat itu selama dua kali setiap hari, iaitu sebelum memulakan kerja dan juga setelah selesai kerja. Tujuannya sama iaitu untuk mendapatkan taklimat ringkas sebelum memulakan kerja dan juga sebelum meninggalkan perkarangan tapak binaan itu.
“Waalaikumsalam. Ya saya pekerja baru. Sepatutnya saya memulakan tugas esok tetapi bos suruh datang sentri jambatan malam ni,” jawab lelaki tersebut.
Kerja-kerja pembinaan jambatan ini hanya dijalankan pada waktu siang memandangkan pelbagai perkara tidak diingini berlaku. Semasa bulan pertama pembinaan jambatan yang menjadi mercu tanda kedua negeri Pulau Pinang ini, pihak pemaju masih mengarahkan kerja-kerja dijalankan pada malam hari tetapi setelah peristiwa demi peristiwa tidak diingini berlaku, pemaju mengambil keputusan untuk menghentikan kerja pembinaan pada waktu malam.
Jambatan itu juga sudah hampir 100% siap. Hanya bersisakan beberapa kerja lagi sebelum ia dibuka kepada semua pengguna jalan raya. Namun, pada waktu malam, kerja-kerja yang tidak melibatkan konkrit seperti penyelenggaraan tiang-tiang lampu tetap dijalankan memandangkan faktor keselamatan yang masih boleh dipertimbangkan.
Selain itu, kerja sentri jambatan pada waktu malam turut dijalankan. Azlan menjadi ketua sentri tersebut. Hampir setiap malam dia akan berulang alik melalui jambatan belum siap ini untuk memastikan orang ramai tidak menggunakannya. Minggu lepas sahaja sudah tiga kali dia menghambat orang ramai yang tetap berkunjung ke jambatan itu walaupun ditegah untuk berbuat demikian.
Faktor keselamatan orang ramai sangat penting kerana kerosakan pada jambatan boleh berlaku dan ini bakal menjejaskan keselamatan mereka. Oleh sebab itulah pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menutup jambatan ini walaupun ianya sudah hampir siap sepenuhnya.
Sepanjang kerja-kerja melibatkan konkrit dijalankan pada waktu malam di bulan pertama pembinaan, pelbagai perkara buruk berlaku seperti kemalangan ngeri. Kemalangan yang melibatkan konkrit. Terdapat seorang pekerja yang kakinya hancur akibat ditimpa konkrit yang tiba-tiba jatuh di atasnya. Ada juga yang mengadu terdengar suara memanggil nama mereka yang datang daripada dalam laut di bawah jambatan itu.
Oleh sebab itulah kerja-kerja melibatkan konkrit dihentikan pada waktu malam. Suasana sepi dan gelita pada waktu malam terus memenuhi segenap ruang di atas jambatan yang hampirt siap itu. Maklumlah cuma ada beberapa orang pekerja yang menyelenggara tiang elektrik dan juga Azlan bertemankan seorang lagi rakannya.
“Oh begitu ye. Kalau begitu kita berdualah sentri malam ni. Aku Azlan. Salam kenal!” Azlan menghulurkan tangannya untuk berjabat tanda perkenalan.
“Selamat berkenalan, Azlan! Aku Bakri. Harap hang boleh bagi aku tunjuk ajar. maklumlah aku orang baru. Banyak yang aku perlu belajar.”
“Takpa Bakri. Aku yakin hang boleh buat sebab tu pengurusan pilih hang. Selamat bertugas! Aku akan tolong hang. Tapi untuk malam ni kita sentri sampai hujung jambatan. Aku akan ikut hang sebab hang pun tak biasa lagi.” Dalam fikiran Azlan ada beberapa tanda tanya. mengapa pula pengurusan tiba-tiba meletakkan orang baru untuk sentri sedangkan Bakri bukannya rasmi lagi jadi pekerja kerana tugasnya bermula esok.
Azlan terus mencapai telefon pintarnya untuk memeriksa jadual sentri yang disimpannya di dalam galeri telefonnya. Diamatinya betul-betul. Giliran malam ini untuk bersentri bersamanya adalah Fairuz.
“Ohh patutlah. Fairuz rupanya. Sah budak ni mengelat lagi. Pemalas betul budak ni. Patutlah pihak pengurusan hantar budak baru, mesti takdak orang nak ganti si Fairuz ni!” Getus Azlan dalam hatinya sendirian.
“Kenapa hang kena ikut aku? Bukannya kalau sentri kita akan berpecah ka?” Tanya Bakri kebingungan tatkala mendengar kenyataan Azlan yang ingin mengikutinya semasa sentri.
“Untuk malam ni saja. Aku nak tunjuk kat hang tempat mana yang hang kena hati-hati.”
“Hati-hati? Maksud hang hati-hati pasaipa? Bukan ka jambatan ni dah siap ka?” Tanya Bakri kehairanan.
“Ambil torchlight ni.” Azlan menghulurkan torchlightnya kepada kepada Bakri.
“Aku dah ada torch. Buat apa hang bagi lagi?” Tanya Bakri dalam kadaan sangat hairan.
“Nanti hang tahu sendiri lah.” Jawab Azlan selamba.
“Bakri, kita sentri di tengah-tengah laut tau dak? Cuma sebab duduk atas jambatan saja kita tak perasan. Hang tau kan laut tu tempat benda-benda tu suka bermain,” Jelas Azlan.
“Okay dah tak payah cerita! Hang jangan nak lemahkan semangat aku pada hari pertama aku kerja.” Kata-kata itu disambut dengan tawa oleh mereka berdua.
Setelah selesai bersolat Maghrib di pejabat gerak kerja itu, mereka berdua memulakan tugas. Azlan menunggang motosikal jenis Honda EX5 yang selalunya dibawanya untuk menemaninya meredah bayu sepi dan gelita di atas jambatan itu. Motosikal Bakri turut berada betul-betul di sebelahnya. Kebetulan pula malam itu pasukan penyelenggara elektrik atas jambatan itu tidak masuk kerja. lagilah bertambah sunyi dan sepi.
Mereka menjalankan tugas dengan lancar pada mulanya sehinggalahlah mereka tiba di bahagian tengah jambatan tersebut. Bakri tiba-tiba sahaja memberhentikan motosikalnya di bahu jalan. Melihatkan tindakan melulu yang diambil oleh Bakri itu, Azlan turut sama memberhentikan motosikalnya.
“Kenapa hang stop, Bakri? Tiba-tiba pulak tu. Bahaya tau dak. Nasib baik aku tak langgar hang,” bebel Azlan kepada Bakri.
Bakri pula menunjukkan memek muka terkejut yang teramat di sambil mendekatkan dirinya kepada Azlan. Azlan pula agak aneh dengan perlakuan rakan barunya itu.
“Aku dengar orang panggil nama aku, Lan. Aku nak pi tengok sat.” Bakri menghampiri tembok pembahagi jalan arah menghadap laut dan melemparkan pandangannya ke arah dalam laut itu.
Angin bertiup kencang secara tiba-tiba. Lautan terus bergelora. Kedengaran bunyi bising ombak membadai tiang ceracak jambatan tersebut. Bersama bunyi bising itu juga bunyi suara wanita memangil nama Bakri terus-menerus semakin tinggi nadanya.
“Bakri! Bakri! Bakri!” Suara panggilan itu semakin lama semakin kuat.
Bakri terus memandang ke arah laut sambil mencari-cari dari mana arah datangnya suara tersebut. Serentak dengan itu juga kedengaran seperti sesuatu menghempas ombak di dalam laut. Bakri dan Azlan menoleh sesama sendiri sebelum kedua-duanya melemparkan pandangan ke arah laut. Dalam samar-samar malam berhiaskan cahaya daripada bulan purnama yang gah mengambang, mereka dapat lihat bentuk berlingkar mirip ular dalam saiz yang sangat besar sedang berenang di permukaan laut.
Setiap gerakan ular gergasi tersebut menghasilkan arus ombak yang terlalu kuat. Begitulah besarnya saiz ular tersebut. Seluruh tubuh Bakri menggeletar. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia berasa sangat takut dan gementar. Ketika itu juga kedengaran suara azan yang dilaungkan oleh Azlan. Sebaik azan selesai dilaungkan, angin yang kencang kembali normal manakala arus ombak yang kuat turut berubah. Makhluk yang berupa ular itu juga lesap dari pandangan.
“Sabar Kri. Macam tu lah ujian untuk kita yang kerja malam macam ni.” Azlan cuba menenangkan Bakri yang masih pucat wajahnya.
“Apa tu Lan? Aku tak pernah tengok ular sebesar tu?”
“Itulah jin, Kri. Jin boleh menyerupai pelbagai bentuk untuk menakut-nakutkan kita. Mungkin dia menyerupai ular gergasi supaya kita takut dan lari balik rumah. Aku dah biasa dengan semua ni, Kri. Hang pun kena biasakan diri kalau nak kerja dekat sini. Aku yakin hang akan kena jaga sentri malam lagi lepas ni dan kalau hang kena sentri dengan aku takpa aku boleh tolong jaga hang tapi kalau tak kena dengan aku, kena dengan orang lain, susah hang.” Azlan cuba menasihati Azlan.
“Betul ka hang dah kena sebelum ni? Boleh cerita dekat aku macam mana hang kena?” Tanya Bakri dengan penuh rasa ingin tahu.
“Macam-macam Kri. Setakat ular gergasi tu dah berapa kali aku nampak. Pernah sekali aku tengok dia menjalar kat tiang ceracak jambatan ni. Hang bayangkan masa tu cuma ada aku seorang. Aku hanya mampu tawakkal. Alhamdulilah Allah tolong. Aku laungkan azan dan benda tu hilang.”
“Apa lagi yang hang kena selain daripada tu?” Bakri masih lagi bersemangat ingin tahu.
“Aku pernah kena kejar dengan bebola api. Tiga bulan lepas. kebetulan masa tu aku kena sentri dengan si Fairuz juga tapi budak tu pemalas, last minute baru bagitahu tak dapat datang. Pengganti tak dapat cari dan akhirnya aku kena sentri seorang diri. Masa aku pernah meronda naik moto tengah sentri, tiba-tiba sahaja aku rasa panas datang dari bahagian atas. Aku dongak kepala ke atas dan masa tu aku nampak berpuluh-puluh bebola api kejar aku. Nasib baik dalam beberapa kilometer, aku jumpa brother-brother yang selenggara tiang elektrik. Depa tolong aku dan Alhamdulilah semua bebola api tu pun hilang,” Jelas Azlan secara terperinci.
“Wow! Menarik jugak eh jambatan baru ni! Lagi! Apa lagi yang hang kena?”
“Ok yang ni yang last. Ni kira urban legend lah jambatan kedua Pulau Pinang ni. Hang tau kenapa aku bagi hang torchlight walaupun hang dah ada?”
“Tak tau lah!” Bakri menjawab selamba.
Serentak itu juga sesosok tubuh wanita muncul di tepi Bakri sambil menghulurkan tangannya. Tapak tangannya dibuka luas manakala kesemua jarinya diangkat ke hadapan sekali petanda meminta sesuatu.
“Jangan tengok dia, Kri! Nanti hang takut. Hang bagi je torchlight tu. Sat lagi dia pi lah,” arah Azlan.
Tanpa menoleh muka ke sisi, Bakri pun menghulurkan lampu suluhnya ke dalam genggaman wanita itu. Sungguhpun Bakri tidak menoleh, namun bau yang datang daripada wanita itu sungguh menyeramkan. Bau harum bunga melur! Wanita itu mengambil torchlight tersebut dan berlalu pergi dari situ dan akhirnya hilang daripada pandangan.
“Hang tengok sendiri kan? Tu yang aku selalu kena. Dia memang suka mintak torchlight. Nak buat apa pun taktau banyak sangat. Tapi tu lah urband legendnya. Kalau tak bagi, dia ikut hang sampai rumah. Sebab tu lah aku bagi hang satu lagi torchlight. Aku dah agak hang akan kena sebab hang tak biasa datang sini lagi.”
Setelah hampir satu jam berbual, Bakri dan Azlan memulakan tugas masing-masing dengan meronda di seluruh jambatan. Kejadian itu sungguh tidak boleh dilupa oleh mereka berdua. Itulah urban legend yang popular didengarkan oleh pekerja-pekerja. Semua yang berada di Jambatan Kedua Pulau Pinang pada waktu malam semuanya sudah didatangi oleh kelibat wanita itu meminta lampu suluh yang mereka pegang. Jika bawa hanya satu lampu suluh nasib kau lah jenuh bergelap..
Sejak hari itu juga, tiada lagi kelihatan wajah Bakri di sekitar tapak pembinaan. Bakri dah surrender. Dia tidak sanggup lagi menerima gangguan jika dipilih untuk sentri malam kelak. Notis berhenti kerja 24 jam turut diletakkan di atas meja bos oleh Bakri.
===========================
Suntingan dan Gambar: Azman Zainordin
Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaaa pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!
No comments:
Post a Comment