Malam Wanpret
====================
Suasana di Wat Machimmaprasit malam itu tidak seperti selalu. Malam ini lebih ceria dengan longgokan makanan yang bertimbun dan hiasan spiritual yang memenuhi segenap ruang wat tersebut. Jika malam-malam sebelumnya, wat ini hanya dihuni oleh golongan sami yang berperanan sebagai pendeta agama tetapi malam ini ramai yang hadir untuk memeriahkan rumah ibadat mereka ini.
Semua masyarakat Siam di kampung itu sudah bersedia untuk meraikan perayaan Wanpret ataupun lebih dikenali sebagai menjamu roh-roh yang telah mati. Untuk memahami dengan lebih jelas perayaan ini, korang boleh rujuk kepada perayaan hungry ghost yang disambut oleh kaum Cina.
Untuk pengetahuan korang masyarakat Siam juga merupakan pengganut agama Buddha tetapi yang membezakan mereka dengan kaum Cina hanyalah mazhab. Masyarakat Siam memegang mazhab Theravada yang lebih berpegang kepada kepercayaan spiritual berbanding mazhab Mahayana yang dipegang oleh kebanyakan kaum Cina yang beragama Buddha. (Korang kaji sendiri lah pasal mazhab Buddha ni. Aku malas nak terang banyak-banyak.)
Wanpret akan disambut pada keesokan harinya. Pelbagai persediaan untuk menjamu pret (roh) telah dirancang rapi. Tidak lupa juga kostum-kostum dan topeng hantu yang menjadi simbolik perayaan tersebut. Segalanya sudah tersedia di wat itu. Kostum yang berbentuk muka hantu yang mengerikan bakal menambahkan lagi keceriaan perayaan tersebut.
Mungkin bagi kebanyakan orang lain, perayaan ini hanyalah biasa. Tiada apa yang menarik jika nak dibandingkan dengan pesta air songkran dan loy krakthong yang lebih berbentuk menghiburkan. Namun, bagi Pherapat, perayaan Wanpret lah yang paling tidak disukainya. Dia memperoleh kelebihan daripada Tuhan untuk melihat perkara-perkara ghaib yang tidak dilihat oleh orang lain.
Dan pada malam itu juga ketika semua ahli keluarganya sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut wanpret esok, Pherapat sudah tidak senang duduk. Dilihatnya berpuluh-puluh roh orang yang sudah mati berdiri teratur di luar wat.
Ada antara roh-roh itu merupakan orang-orang kampung yang dikenalinya, yang sudah mati beberapa tahun lepas. Semuanya berfizikal tidak lengkap. Ada yang sudah hampir reput dagingnya, ada yang separuh muka hanya menampakkan rangka dan ada juga yang berlubang pada perutnya.
Kegelisahan semakin terpaut pada hatinya apabila melihat roh-roh tersebut sedang malambai-lambai kepadanya daripada luar wat. Sayup-sayup juga kedengaran roh-roh tersebut menyebut-nyebut namanya.
“Kau ni dah kenapa?” Tanya Alyn, kakak Pherapat yang aneh melihat Pherapat yang gelisah semacam.
“Takde apa lah kak!” Pherapat masih menyembunyikan perkara sebenar.
“Kau nampak benda tu ke?” Alyn sebenarnya sudah tahu akan kelebihan adiknya itu. Alyn sahajalah tempat untuk Pherapat berkongsi cerita dan perasaan. Ibu bapa mereka sama sekali tidak kisah tentang perkara itu. Pernah juga Pherapat buka mulut memberitahu mereka akan kelebihan yang diperolehinya tetapi jawapan ibu bapanya tetap sama.
“Kau jangan takut. Anggap saja itu semua mainan perasaan kau.” Itulah jawapan mudah daripada kedua-dua ibu dan bapanya.
“Ye kak! Aku nampak roh-roh kat luar tu. Ramai sangat. Dok minta makan,” Kata Pherapat tergagap-gagap dalam ketakutan.
“Jom kita balik! Tak bagus kau duduk sini lama-lama.” Alyn memimpin tangan adiknya itu sementara sebelah lagi tangan Alyn menggenggam erat serbuk jampi yang telah diberikan oleh Tok Cha Surin sebagai pelindung dan persediaan jika roh-roh tersebut bertindak agresif terhadap mreka.
Alyn telah membawa Pherapat berjumpa dengan Tok Cha Surin minggu lepas bagi mencari ikhtiar untuk mengubati hijab matanya yang telah terbuka. Tok Cha membekalkan serbuk jampi yang berperanan sebagai pelindung daripada diganggu makhluk halus dan juga dua helai daun sirih bagi menutup hijab matanya. Namun, dengan menggunakan daun sirih itu hijab matanya hanya tertutup sementara.
Alyn menyapu dua helai sirih itu pada kedua-dua kelopak mata Pherapat sambil memimpin tangannya pergi dari situ. Pandangan Pherapat terhadap roh-roh tadi terus dihijabkan. Tiada lagi roh yang dilihatnya di luar wat itu kecuali satu kelibat wanita muda yang berjubah putih yang dipenuhi darah, berambut panjang paras pinggang dan bergigi taring memerhati tepat ke arahnya.
Cuma makhluk itu tidak terhijab pada matanya. Tanpa menghiraukan makhluk itu, Pherapat terus berjalan pulang dengan laju sambil tangannya dipimpin oleh Alyn. Mereka akhirnya selamat tiba di rumah dalam keadaan tercungap-cungap.
“Kamu berdua ni kenapa? Macam nampak hantu saja? Dah hantar makanan kat wat ke?” Tanya ibu mereka sebaik mereka tiba di muka pintu rumah.
“Takde apa-apa mak. Dah hantar dah pun.” Jawab Pherapat malas melayan ibunya. Dia tahu jika dia ceritakan perkara sebenar sekalipun, ibunya itu tidak akan percaya.
Pherapat terus masuk ke bilik untuk melelapkan mata. Sebelum sempat dia melelapkan mata, ekor mata Pherapat menangkap kelibat perempuan berambut panjang dan bertaring yang berada di hadapan wat tadi sedang berdiri di hadapan pintu biliknya. Makhluk itu turut melemparkan senyum menyeringai menampakkan wajahnya yang menggerunkan.
Tubuh Pherapat bagaikan kejang. Dia seolah-olah tidak mampu bergerak walaupun seinci. Terpaksa juga dia menghadap wajah buruk makhluk yang semakin lama semakin mengorak langkah mendekatinya.
“Pergi dari sini. Pergi! Pergi!” Pherapat menjerit sekuat hati dengan harapan makhluk hodoh itu akan pergi.
Semakin kuat Pherapat menjerit semakin tinggi nada suara makhluk itu mengilai. Hilai tawa makhluk hodoh tersebut memecahkan sunyi malam serta mengejutkan Alyn yang sudah leka dibuai lena. Alyn terus bergegas ke bilik Pherapat.
“Kau kena apa? Aku dengar ada suara perempuan menjerit?” Soal Alyn dari luar bilik Pherapat yang tertutup pintunya.
“Tolong! Tolong aku Lyn. Benda tu dalam bilik aku!”
Alyn pantas berlari mendekati pintu bilik Pherapat. Di pulasnya tombol pintu tersebut tetapi gagal seolah-olah dikunci. Alyn mencuba lagi namun tetap juga gagal.
“Kenapa kau kunci pintu? Buka pintu ni Pherapat!” Jerit Alyn dari luar.
“Aku tak kunci pun pintu tu. Tolong aku Lyn!”
Sejenak itu juga suara hilai tawa kedengaran semakin kuat berselang-seli dengan suara Pherapat meminta tolong.
“Ada apa ni?” Soal ibu Pherapat yang baru sahaja datang kerana bunyi bising tersebut mengganggu tidurnya.
“Ada pret dalam bilik Pherapat!” Jawab Alyn cemas.
Ibu dan ayahnya juga cuba untuk membuka pintu tersebut termasuklah dengan cara merempuhnya tetapi tetap juga tidak berjaya. Segala usaha yang dilakukan untuk membuka pintu bilik itu semuanya menemui jalan buntu.
“Saya akan pergi panggil Tok Cha! Mak dan ayah tunggu sini.” Alyn berlalu pergi ke rumah Tok Cha untuk mendapatkan bantuan.
Bunyi bising daripada dalam bilik Pherapat tiba-tiba hilang. Suasana yang tadinya hingar-bingar kini bertukar sunyi serta-merta. Ayah Pherapat cuba memulas tombol pintu itu sekali lagi. Kali ini berjaya. Pintu berjaya dibuka dan mereka berdua terus mendapatkan Pherapat.
Namun, Pherapat tidak seperti selalu. Dia duduk mencangkung di atas katilnya sambil sambil memeluk kedua-dua lututnya seraya memandang rapat ibu bapanya. Kelakuan aneh Pherapat itu mula menimbulkan rasa tidakj sedap hati mereka.
“Hai Euwan. Hai Chica. Lama tak jumpa kau berdua.”
Tiba-tiba Pherapat bersuara. Namun, suara itu bukanlah miliknya. Suara Pherapat berubah seratus peratus menjadi suara seorang wanita tua tergagap-gagap. Euwan seperti mengecam pemilik suara itu.
Pailin!
Pailin adalah seorang bidan terkenal di kampung itu. Siapa sahaja tidak mengenali tok bidan Pailin. Seluruh penduduk Siam di Perlis mengenalinya. Malah ada juga warga Siam dari Kedah yang datang ke kampung ini semata-mata untuk mendapatkan khidmat urutan selepas bersalin daripada Pailin. Namun, setiap perkhidmatan urut yang dijalankannya ada pengeras. Pengerasnya adalah darah daripada perempuan selepas bersalin itu.
Setiap pelanggannya yang datang mengurut akan menghiris sedikit pada hujung jari mereka untuk dihisap oleh Tok Bidan Pailin. Dia dipercayai mengamalkan tabiat pelik itu sejak mula membuka khidmat urutan lama dahulu. Dia juga dipercayai membela ‘benda’ dan oleh sebab itulah urutannya dikatakan istimewa. Pengeras darah setiap kali selepas urutan itu pula adalah untuk santapan belaannya.
Euwan dan Chica pergi berjumpa dengan Pailin selepas kelahiran Pherapat untuk mendapatkan urutan untuk Chica. Keadaan Chica yang kurang sihat pada hari itu memaksanya untuk tidak memenuhi permintaan Pailin. Dia tidak menghiris jarinya dan memberikan darahnya sebagai pengeras kepada Pailin atas alasan kesihatan.
Tetapi dia berjanji akan memberikan darah pada hari esoknya. Nasib tidak menyebelahi Chica apabila malam itu tekanan darahnya turun mendadak dan dia terpaksa dimasukkan ke hospital. Pailin masih lagi tidak mendapatkan darah Chica untuk diberi kepada belaannya.
Ketika itulah belaannya menunjukkan diri di hadapan Pailin dengan reaksi muka yang sangat marah. Wajahnya mirip seorang perempuan berambut panjang dan bertaring serta bermata merah memerhati tepat ke dalam mata Pailin. Makhluk itu menggigit bahagian leher Pailin dan menghisap darahnya. Pailin meraung kesakitan. Akhirnya dia mati kerana kehilangan terlalu banyak darah.
Orang ramai menemui mayatnya pada keesokan hari. Wajah Pailin tidak seperti selalu. Wajahnya bertukar kedut dan menjadi sangat tua. Penduduk kampung hanya menutup mulut kerana tidak mahu berbicara mengenai perkara ini. Sejak itu, sering juga penduduk kampung itu melihat kelibat perempaun seperti Pailin setiap kali ada kelahiran. Jelmaan Pailin akan menunggu di luar rumah untuk memakan uri.
Setelah kes itu sering hangat diperkatakan, tok sami dan Tok Cha mengambil keputusan untuk menghalau roh Pailin yang mengganggu orang kampung itu. Pelbagai ritual dijalankan dan akhirnya tiada lagi orang menemui kelibat Pailin sejak itu sehinggalah malam ini jelmaan Pailin kembali dan merasuk jasad Pherapat.
“Kau tipu aku, Chica. Aku tak dapat darah kau. Aku dibunuh pun sebab kau. Sekarang aku nak balas dendam. Anak kau ni akan mati!” Jerit Pailin yang menggunakan suara Pherapat.
“Jangan harap! Aku takkan biarkan!” Tok Cha Surin tiba di muka pintu bilik Pherapat. Dibacanya beberapa patah mantera Siam sambil memercikkan air jampi ke arah Pherapat. Pherapat mengelupur kesakitan sambil meraung kuat.
“Jangan kacau aku Tok Cha!” Jerit Pherapat.
Tok Cha menghiraukan jeritan kesakitan Pherapat itu dan seterusnya mengeluarkan suatu tangkal kecil daripada koceknya. Diletakkannya tangkal itu pada dahi Pherapat. Pherapat meraung menahan azab sakit dan akhirnya dia pengsan.
“Kejut anak kau. Benda tu dah keluar,” Arah Tok Cha.
Chica menampar-nampar pipi Pherapat untuk mengejutkannya dan akhirnya dia sedar. Tok Cha menyapu air jampi pada muka Pherapat yang masih lemah.
“Salah kamu juga kerana tidak memenuhi syaratnya. Tapi dia dah mati. Kita tak mampu nak buat apa-apa. Esok hari Wanpret. Kamu doakanlah dia. Biar dia tenang dan tidak ganggu kamu lagi. Doakan juga supaya dia memaafkan kesalahan kamu.” Tok Cha menasihati Chica.
Esoknya ketika semua warga Siam di kampung itu berkumpul di Wat Machimmaprasit, Pherapat sekeluarga turut di sana mendoakan semua pret mendapat ketenangan terutama sekali roh Tok Bidan Pailin. Pherapat sempat melemparkan pandangannya ke arah luar wat melalui tingkap. Tidak jauh daripada wat itu ada seorang perempuan menutup kepala dengan kain batik dan berpakaian seperti bidan dan di sebelahnya pula berdiri suatu lembaga menyerupai perempuan berjubah putih, berambut panjang, bertaring dan bermata merah menyala.
Nota Kaki: Cerita ini sepenuhnya berlatarkan masyarakat Siam. Maaf juga aku tidak sertakan kalimat-kalimat jampi mantera Siam yang dalam cerita ini kerana aku bimbang nanti korang hafal dan salah gunakannya.
-TAMAT-
**********************
Suntingan & Gambar : Azman Zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment