Saturday, 27 January 2018

HILANG (AKHIR) - Suhana Azman


HILANG (AKHIR) 





"Assalamualaikum!"
"Assalamualaikum, cikgu!"

Sebaik sampai diperkarangan rumah cikgu Wahab Razali langsung memberi salam tanpa dapat ditunggu-tunggu lagi. Manakala Nizam dan Borhan akan bertindak sebaik sahaja mendapat green light dari Razali. Menunggu dari jauh di perkarangan rumah cikgu Wahab. Membiarkan Razali melaksanakan tugas yang perlu diselesaikannya dari awal lagi. Lagipun Razali sedikit pun tidak kisah dengan tugasan yang diberi. Setiap tygas yang diberi akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Kelihatan lampu dari dalam rumah sudah dinyalakan sehingga terangnya melimpah keluar rumah. Pintu rumah dikuak perlahan. Kelihatan cikgu Wahab terpisat-pisat seperti baru sahaja bangun dari tidur.

"Kau Jali. Masuklah." Tanpa bertanya dan meragui sedikit pun cikgu Wahab terus sahaja mempelawa Razali masuk ke dalam rumah.

Lalu Razali terus masuk selepas dipelawa cikgu Wahab. Sesekali dia tersenyum apabila melihat suasana didalam rumah cikgu Wahab. Meliar matanya memandang sekeliling tanpa sekelumit perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Namun matanya tetap memerhati setiap tingkah dan kelakuan yang dipamerkan cikgu Wahab itu. Membiarkannya dalam khayalan dan dunianya sendiri.

Tidak sampai beberapa minit cikgu Wahab muncul dari dapur dengan membawa dua cawan kopi untuk Razali dan juga untuk dirinya. Tanpa disuruh kopi yang baru dihidang cikgu Wahab itu terus sahaja diambil lalu dihirup perlahan. Mujur suam airnya, kalau tidak sudah tentu melecur bibirnya.

"Sedap kopi yang cikgu buat." puji Razali kepada cikgu Wahab sambil menikmati keenakkan secangkir kopi.

"Sedapkan. Nanti boleh tambah. Kak Rohani kau yang buat. Bukan saya yang buat." jelas terpamer wajah gembira di wajah cikgu Wahab. Gembira saat kopi yang dihidang dipuji Razali.

"Rohani?" Razali menyebut kembali nama Rohani. Intonasi suaranya lebih kearah satu soalan.

"Rohani! Isteri sayalah, Rohani! Kau ni Jali, buat- buat tak kenal pulak!" terang cikgu Wahab sambil ketawa kecil. Terasa lawak pula si budak Jali di hadapannya tidak kenal akan isterinya Rohani. Masakan begitu, fikirnya.

Razali membiarkan dahulu cikgu Wahab dengan dunianya buat seketika. Bahagia dengan dunia ciptaannya. Membiarkan cikgu Wahab ketawa dengan soalannya tadi. Kemudian barulah dia akan membongkar segala-galanya walaupun dia sendiri sedar cikgu Wahab itu tidak seperti orang yang normal sifatnya.

"Saya tak pernah nampak Rohani. Semenjak cikgu pindah ke Lembah Damai ni. Saya hanya nampak cikgu dan Amira sahaja. Cikgu tak rasa ke itu hanya khayalan cikgu? Cikgu menggambar Rohani itu ada. Ya, itu saya tahu Rohani sememangnya pernah wujud dalam hidup cikgu tetapi itu dulu. Sekarang dia hanya hidup dalam minda cikgu sahaja. Isteri cikgu sudah lama meninggal dunia. Dia terlibat kemalangan bersama dengan cikgu dan Amira beberapa tahun yang lalu. Hanya cikgu dan Amira sahaja yang terselamat. Cikgu sudah sakit sebelum berkahwin dengan Rohani lagi. Rekod perubatan cikgu ada ditangan saya. Lagipun sebenarnya....."

Razali terdiam seketika. Ada sedikit keluhan terbit dirongga bibirnya. Cuba untuk bertenang. Cuba untuk mengawal emosi agar mudah untuknya mencari rentak bagaimana hendak mengeluarkan imaginasi cikgu Wahab yang sememangnya disahkan pengidap spikoneurosis atau gangguan jiwa. Umpama terperangkap pada kisah lama. Traumatik dengan kisah-kisah lampau serta kehilangan orang-orang tersayang. Dia selalu membayangkan dirinya adalah orang lain dan bukan dirinya sendiri. Nampak seakan dia cuba lari dari realiti kehidupan yang sebenar tetapi hakikatnya dia tidak dapat membezakan kehidupan sekarang, mahupun kehidupan lampaunya. Semuanya bercampur aduk. Kerana itulah dia masih mengingati akan kehilangan anaknya Amira, namun dalam masa yang sama memegang peranan sebagai orang lain. Iaitu sebagai isterinya sendiri, Rohani. Tetapi sebenarnya ada masalah lain selain menganggap dirinya sebagai Rohani.

"Sebenarnya, cikgu bukanlah CIKGU! Awak bukanlah Cikgu Wahab! Awak adalah AHMAD EZWAN BIN DATUK KAMARUL ZAMAN! Anak kedua Datuk Kamarul dan Datin Dahlia! Ingat tak dengan nama-nama yang saya sebut tu!" Razali menujah Ezwan dengan soalan keras!

Ezwan terpana! Berdesing telinganya saat Razali menyebut nama-nama itu. Mahu sahaja dia menjerit.....

"DIAMMM!!!!"

Namun ditahan sedalam-dalamnya ke hati. Biar terus reput dimamah masa.

"Bapa angkat awak Cikgu Wahab Ibrahim yang sebenar sudah meninggal dunia sebelum awak dan Rohani kemalangan lagi. Sudah tentu memberi tamparan hebat buat awak selepas kematian orang-orang yang awak sayang. Sakit awak lebih teruk selepas kemalangan. Sekarang ni dua karekter yang berada dalam jiwa awak Ezwan. Awak mengaku diri awak cikgu, dalam masa yang sama awak menganggap Rohani wujud dan awak melihat seperti 'dia' sentiasa berada disamping awak. Itu hanya sangkaan awak Ezwan! Sedangkan awak yang jadi Rohani! " sambung Razali lagi. Cuba untuk menggali lagi ingatan Ezwan walaupun bukan atas dasar untuk menyembuhkan tetapi demi mencari anaknya Amira. Cukuplah ingatan Ezwan itu cuba dipulihkan buat seketika, agar kes itu dapat diselesaikan.

Razali terpaksa melakukannya. Cuba untuk menyedarkan agar orang yang menyangka dirinya sebagai Cikgu Wahab itu tahu bahawa dia bukanlah orang yang seperti dirinya sangka.

"Kenapa kau cakap macam tu? Aku cikgu Wahab! Kau sendiri kesana kesini bersama dengan aku! Aku sendiri yang bawa kau! Aku cari Amira dengan kau dan juga penduduk kampung! Rohani pun ada sama!"

Ezwan masih lagi tidak mampu untuk menerima kata-kata dari Razali itu. Cuba untuk disanggah semahu-mahunya. Kebenaran yang menyakitkan! Malah sungguh pahit untuk ditelan! Anggapnya Razali itu adalah seorang pendusta! Pembohong!

"Kau jangan sekali-kali nak menipu aku! Kopi ni Rohani sendiri yang buat! Kalau kau tak percaya nanti aku panggil dia!"

Sebaik kata-katanya itu dihabiskan, terus dia berlari menuju ke dapur. Tujuannya adalah untuk membuktikan bahawa Rohani benar-benar wujud. Dia ingin membuktikan kepada Razali bahawa anggapan Razali itu salah.

"Ani! Ani! Keluarlah! Jali tak percaya dengan Rohani. Keluar sayang! Rohani!"

Bagai hilang punca Ezwan mencari kelibat isterinya. Disetiap ceruk dapur sehingga ke bilik air Rohani dicari namun tiada. Habis ruang dapur dicari, dia menuju pula ke dalam bilik tidurnya. Berlegar- legar bagai tidak tentu arah! Pencariannya disitu juga hampa. Akhirnya bilik Amira digeledah! Cadar katil Amira cuba diselak. Fikirnya, manalah tahu Rohani menyorok di bawah katil anaknya. Sampai begitu sanggup difikirnya. Namun pencariannya hampa. Bayang dan kelibat Rohani langsung tidak kelihatan. Dia semakin buntu!

"Tak ada..." bisiknya.

Ezwan terduduk? Melepaskan lelah seketika. Lelah kerana mencari Rohani yang disangkanya ada dan lelah kerana pencariannya itu satu sia-sia.

"Kenapa dengan aku?" bisiknya mula menyoal diri sendiri.

Kemudian saat dia berdiam seketika di dalam bilik Amira. Sedikit demi sedikit memori kematian Rohani dan bapa angkatnya Cikgu Wahab terbayang-bayang diruangan mata. Segala detik permulaan kehilangan Amira juga mula terimbas dikotak mindanya.

Mindanya mula memproses segala maklumat. Segala peristiwa kehilangan Amira mula diingati satu-persatu.

............................................

Pada petang sebelum Amira meminta izin dengannya untuk keluar....

"Papa? Amira nak keluar ni!" jerit Amira.

Papa? Amira nak keluar ni! Papa dengar tak?" Berulang-ulang Amira memberitahu pada papanya bahawa dia ingin keluar.

Ezwan diam. Tubuhnya statik duduk diatas kerusi. Tidak berganjak sedikit pun. Matanya hanya di pegun ke satu arah. Seolah-olah sedang berkhayal.

"Papa dah makan ubat? Tak apalah. Mira keluar dulu ya." pinta Amira pada papanya.

Ezwan mula memandang Amira.

"Bye, bye. Jangan balik lewat tau..." lenggok suaranya berubah serta merta! Lagak seperti seorang ibu menegur anak perempuannya. Dengan lenggok tangannya yang lembut sambil mengusap lembut tangan anaknya.

Amira hanya mampu menggeleng. Masak benar dengan tingkah laku papanya apabila penyakitnya itu datang secara tiba-tiba. Sekejap dia merasakan bercakap dengan papanya, sekejap lagi seperti bercakap dengan mamanya. Karekter papanya sentiasa berubah-ubah. Tiba-tiba...

"Keluar dengan siapa?" Ezwan menyoal.

Amira merenung papanya. Tidak pasti untuk mengagak "siapa" yang bertanya, papanya ataupun "mamanya".

"Mira nak keluar! Ada sesuatu yang perlu Mira selesaikan." Jelas Amira.

Amira melangkah ke muka pintu. Namun langkahannnya terhenti seketika. Lalu menoleh ke arah papanya. Wajahnya mencuka.

"Papa, Mira nak cakap sikit. Lain kali kalau kawan-kawan Mira datang rumah, papa jangan kata papa tu cikgu. Lagipun papa bukannya cikgu! Semua kawan-kawan Mira gelakkan Mira! Bila masa papa jadi cikgu di Lembah Damai? Dan lagi satu, lain kali jangan suruh paksu datang bila kawan-kawan Mira datang ke rumah. Mira tak suka! Mereka cakap paksu suka pandang macam nak bunuh orang! Nak menjeling saja! Suka hatilah Mira nak bawa siapa dalam rumah ni. Papa tahu tak, empat orang kawan Mira sudah lama tak datang sekolah. Lepas seorang, seorang lagi tak datang! Semua orang risau. Kawan-kawan sekolah cakap mereka hilang sebab ada yang kata mereka lari ikut boyfriendlah, itulah, inilah! Tapi Mira tak percaya! Sebab tu Mira perlu jumpa pakcu. Seperti ada sesuatu yang dia cuba sembunyikan! Oklah papa, Mira pergi dulu!"

PAMM!!

Bagai terkena panahan petir apabila dia teringat akan kata-kata terakhir dari Amira sebelum dia dapati hilang. Dengan segera dia terus keluar dari bilik anaknya menuju ke arah Razali yang menunggunya di ruang tamu.

.............................................

"Jali....."

Termengah-mengah Ezwan saat berada dihadapan Razali. Sungguhpun lariannya dari arah bilik Amira ke ruang tamu tidak jauh namun lelahnya dia disaat itu seakan melumpuhkan setiap sendi anggota tubuh badannya. Lalu dia terjatuh terduduk dihadapan Razali.

Apabila melihat keadaan Ezwan yang tidak bermaya itu, terus Razali memapah Ezwan duduk di atas sofa.

"Ezwan, ingat tak masa saya bawa kamu pergi Villa Dahlia semalam. Ingat tak?" soal Razali dalam nada perlahan. Kali ini sengaja dia tidak meninggikan suaranya.

"Bukan aku ke yang bawa kau? Kau yang suruh berhentikan kereta tepi jalan dekat dengan Villa tu? Lagi satu kamu boleh tanya sekolah, pergi jumpa pengetua. Pengetua sendiri yang beritahu saya nak buat solat hajat dan bacaan yassin untuk Amira!" Ezwan persoal kembali kepada Razali. Difikirannya dia merasakan dirinya adalah betul. Dia akan menyanggah sehabis-habisnya kalau dia merasakan dirinya adalah benar.

"Apa yang kamu cakap ni Ezwan? Saya yang bawa kamu Ezwan! Saya yang pandu kereta! Saya yang beritahu pengetua sekolah bahawa seorang lagi muridnya hilang! Lagipun pengetua sekolah bukan buat solat hajat untuk Amira sahaja tetapi untuk empat lagi pelajarnya yang hilang! Kamu langsung tak ingat? Lagipun memang sengaja saya berhentikan kereta berhampiran villa tu. Sengaja saya nak melihat reaksi awak Ezwan. Sebab itu saya bawa awak ke villa tu. Tapi tak sangka pula awak keluar dari kereta dan terus nak masuk ke Villa tu. Awak sedar tak?" Tegas Razali lagi.

Ezwan menekup wajahnya. Kepalanya mula terasa hendak pitam. Seakan tunggang-langgang dunia di hadapannya ketika cuba untuk memaksa diri mengimbas semula kejadian semalam. Terasa dirinya hilang dalam kehidupan yang sebenar. HILANG identiti dirinya sendiri.

"Awak membiarkan nama Ahmad Ezwan HILANG dari memori awak. Awak membawa imej palsu dalam diri awak sehingga meminjam identiti orang-orang yang awak sayang. Ahmad Effendi, iaitu abang sulung awak membawa negatif buruk dalam hidup awak dan adik awak Ahmad Emrizal." sambung Razali lagi.

"Beritahu saya mana Emrizal tinggal. Hanya awak sahaja yang tahu mana dia berada. Tolong kami mencari anak awak Ezwan. Awak sendiri tahu Emrizal adalah pembunuh kepada tiga gadis yang hilang tu. Amira masih boleh diselamatkan!" Pujuk Razali. Matanya yang redup itu tepat memandang ke wajah Ezwan. Menanti jawapan dari Ezwan sendiri. 

"Tak boleh! Amira anak yang keras kepala. Biar dia menerima nasibnya!" Ezwan bingkas bangun. Karektornya turut bertukar menjadi seorang yang keras kepala! Degil! Sifatnya sukar dijangka.


"Awak nak Amira mati ke? Amirakan peninggalan Rohani untuk awak! Sungguh nak dia mati! Sungguh!"

Razali semakin geram. Intonasi suaranya semakin tinggi mendengarkan kata-kata Ezwan itu. Nampaknya tidak dapat cara ini, dia terpaksa menggunakan cari lain. Cara yang lebih drastik!

"Apa beza awak dengan Datuk Kamarul! Tak sayangkan anak! Pentingkan diri sendiri! Selfish!"

Ezwan terpempan mendengar kata-kata dari Razali itu. Terbeliak matanya mendengar nama Datuk Kamarul disebut Razali. Meluap-luap kemarahannya bagai disimbah api!

"Aku sayang Amira! Sayang sangat! Jangan samakan aku dengan bapak aku!" Tengking Ezwan.

Lalu Razali terus menghampiri Ezwan sambil memegang bahunya. Mengharapkan satu jawapan untuk menyelamatkan satu lagi nyawa.

"Kalau macam tu beritahu saya, dimana Emrizal tinggal?"

Ezwan tertunduk lemah. Terlihat ada takungan jernih dikelopak matanya. Cuba untuk menahan tangis.

"Villa Dahlia....."

Razali tersenyum. Berpuas hati dengan jawapan yang diberi Ezwan itu. Lalu telefon bimbitnya dikeluarkan....

"Hello tuan....."

...........................................

Didalam Villa Dahlia.....
Seorang lelaki sedang duduk mengadap dinding. Terdapat sebilah kapak ditangan kanannya dan ditangan sebelah kirinya tergenggam batu asah. Tujuannya adalah untuk menajamkan bilah kapak. Sesekali terdengar dia tertawa mengekek-ngekek sendirian. Tidak tahu apa yang menggelikan hatinya. Kemudian bercampur aduk dengan perkataan yang keluar dari mulutnya.

"Aku benci kau, aku benci kau. Hihihi..."

Dalam pada itu, lelaki itu sangat tekun menajamkan bilah kapak ditangannya. Sesekali ditelek bilah itu agar ketajaman bilah itu mengikut kehendaknya. Kemudian dia memandang ke belakang. Dia tersenyum. Seakan puas dengan hasil tangakapan di depan mata. Malah dirinya puas tatkala melaksanakan hukuman. Ya, Emrizal merasakan dirinya seorang pelaksana hukuman. Seorang algojo. Seorang pesalah perlu dihukum.

Banyak yang Emrizal belajar dari abang sulungnya Effendi sewaktu melawat abangnya ketika dipenjara dahulu. Hatinya merasa lega saat Effendi tidak dijatuhkan hukuman mati. Sebelum itu pernah juga Effendi dihantar ke hospital bahagia untuk menilai tahap mentalnya. Namun terbukti ketika itu Effendi disahkan masih waras saat melakukan pembunuhan pada kedua-dua ibubapanya. Maka Effendi terlepas dari pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hukuman mati mandatori kerana faktor umur yang masih muda. Lalu dia ditempatkan ke dalam penjara sehingga mencapai umur dewasanya.

Salah satu perkara yang meragut jiwanya apabila dia telah dipisahkan dari abang nombor duanya iaitu Ahmad Ezwan. Sehingga cikgu Wahab membawa jauh abangnya itu ke negeri lain. Setelah kematian Effendi ketika dalam penjara. Dunia Emrizal sangat suram, malah merudum jatuh sehingga dia tidak mampu untuk bangkit lagi. Pak Munawir dan isterinya juga tidak mampu membawa kebahagian dalam hidup Emrizal. Dia semakin jauh dari hidupnya.

Dia belajar dari apa yang telah dilihatnya. Menganggap Effendi sebagai guru untuk rujukan. Idola dalam setiap rentak hidupnya dan juga pengatur perjalanan hidupnya. Itulah anggapannya terhadap Effendi. Saat dia melihat Effendi mengerat-ngerat dengan rakus kedua-dua anggota tangan ayahnya dan juga kaki ibunya, dia mula belajar sesuatu. Setiap pesalah perlu dihukum. Termasuklah menghukum kedua ibubapanya. Dari seorang yang anak bersifat pasif kini menjadi seorang agresif terutama kepada mereka yang memandang kepadanya. Setiap mata yang memandang itu dianggapnya satu penghinaan kepadanya.

Sehinggalah dia bertemu kembali abangnya Ezwan. Justeru itu dia menganggap kali ini biar dia pula yang melindungi abangnya. Itupun setelah melihatkan Ezwan dengan penyakit jiwanya membuatkan dirinya bersungguh-sungguh mahu melindungi dan menjaga abangnya.

Di belakangnya kelihatan dua orang gadis sedang tergantung-gantung di atas sebatang kayu yang telah dipaku diatas siling. Melayut-layut kayu itu apabila dua gadis itu meronta- ronta minta untuk dilepaskan.

Lalu Emrizal mendekati salah seorang darinya. Kaki gadis itu dipegang. Apabila melihatkan perlakuan Emrizal itu, seraya itu juga gadis yang tergantung itu meronta-ronta. Cuba untuk melepaskan kakinya dari terus dipegang Emrizal.

"Shhh..., diam jangan melawan!" tingkah Emrizal pada gadis itu.

Namun gadis itu tidak dapat bersuara memandangkan mulutnya telah diikat dengan kain agar gadis itu tidak dapat membuka mulut apatah lagi menjerit. Kelihatan berpeluh-peluh gadis itu kepenatan. Tangannya yang tergantung di atas kayu itu kelihatan kemerah-merahan dek kerana diikat terlalu kuat.

"Kau pilih, kaki atau tangan. Aku nak kau buat keputusan sekarang!" paksa Emrizal kepada gadis itu.

Kelihatan gadis itu terlalu takut. Takut dirinya diperlakukan seperti rakan-rakannya yang lain. Dia mula meronta-ronta sekuat hati. Mengharapkan agar dirinya terjatuh ke bawah dan boleh berlari menyelamatkan diri.

Seorang lagi gadis yang sedari tadi melihat rakannya diperlakukan begitu oleh Emrizal cuba untuk berkata sesuatu. Namun tidak berdaya memandangkan mulutnya juga turut diikat. Ya, gadis itu adalah Amira. Amira cuba sedaya upaya untuk melepaskan diri dengan tanpa disedari oleh Emrizal. Cuba untuk melonggarkan tali ikatan ditangannya. Namun tetap gagal!

"Amira! Kau jangan cuba-cuba nak lepaskan diri. Kau ingat aku tak tahu! Kau dengan kawan-kawan kau sama je! Suka memandang serong orang seperti aku! Kawan kau semua memang patut mati! Aku benci dengan orang hipokrit seperti kau!" Jerkah Emrizal kepada Amira.

Terkejut Amira saat dijerit begitu oleh bapa saudaranya sendiri. Saat ini Amira mula terbayang wajah rakan-rakannya yang telah dibunuh oleh bapa saudaranya sendiri. Kejam!

Malah dia juga mula memikirkan yang bukan-bukan. Adakah nasibnya sama seperti rakan-rakannya yang lain? Adakah kaki atau tangannya akan dikerat-kerat dan mayatnya

akan dicampak di mana-mana? Antara persoalan yang berlegar difikirannya saat ini. Hendak lari, tidak mampu. Dirinya sudah pun tergantung dengan tangan diikat diatas kayu sehingga terjuntai-juntai kakinya cuba untuk memijak lantai. Sakit!


Tiba-tiba Emrizal meluru dan menerpa ke arah Amira lalu kain yang diikat dimulut Amira terus dilucutkan ke bawah leher.

"Kau mahu aku potong kaki atau tangan? Atau kau mahu aku potong kedua-duanya sekali? Budak bodoh!" sekali lagi Amira dijerkah Emrizal.

"Pakcu lepaskan kawan saya Fatin. Tolonglah lepaskan dia. Biarlah saya yang jadi penggantinya. Tolonglah pakcik....."

Amira merayu-rayu kepada Emrizal agar melepaskan kawannya yang kelihatan sudah tidak bermaya. Bukan sahaja diikat dan digantung malah dari awal dia diculik, tubuhnya kerap dipukul dengan batang kayu. Seolah-olah Emrizal dengan sengaja menyeksa mangsanya agar mati secara perlahan-lahan. Perasaan teruja apabila melihat mangsanya mengeletik dalam kesakitan yang teramat sangat.

"Kau ingat aku makan dengan pujuk rayu kau!" Emrizal menghampiri Amira lalu mencekak leher Amira. Amira cuba melawan dengan cuba untuk meleraikan tangan Emrizal dengan menggoncang-goncang tubuh badannya sekuat tenaga dan kakinya cuba dihayun-hayun dengan sepenuh hati. Namun kudrat gadis remaja tidak terdaya hendak melawan tenaga lelaki dewasa. Semakin kuat Amira melawan, semakin kuat pula Emrizal mencengkam leher Amira. Sehingga longlai tubuh Amira diperlakukan begitu. Namun akhirnya, dengan sehabis fikir disaat genting itu, juga disaat nyawanya dihujung tanduk Amira tekad!

Satu tendangan dari kaki kanan Amira tepat mengenai kemaluan Emrizal!

"Aduh!!!"

Emrizal terasa senak! Kesakitan dibahagian kelakiannya itu tidak terungkap dengan kata-kata. Dia cuba mencari ruang untuk bernafas, sehingga terduduk di atas lantai sambil memegang kemaluannya. Masih menahan kesakitan!

"Celaka kau Amira!"

Setelah kesakitannya semakin berkurangan, tanpa diduga Emrizal terus bangun dengan wajah yang bengis lalu terus meluru sambil tangannya cuba menghayunkan kapak diatas kepala Amira. Tetapi.....

PANGG! PANGG!

Dua das tembakan tepat mengenai kedua-dua kaki Emrizal sehingga tersembam tubuhnya dihadapan Amira.

Lalu Borhan dengan pantas terus menggari kedua-dua tangannya ke belakang. Kapak ditangannya terus dirampas!

Kelihatan Nizam yang sedang memegang sepucuk pistol berdiri dimuka pintu bilik dimana Emrizal berada. Dimana Amira dan juga Fatin Husna berada. Didalam bilik itu jugalah kesemua mangsanya di simpan, diseksa serta di dalam bilik itu juga anggota tangan dan kaki mangsa dipotong satu persatu. Disaksikan sendiri oleh mangsa-mangsanya lain. Malah di dalam bilik itu jugalah Effendi telah membunuh kedua ibubapa mereka. Disaksikan sendiri oleh Ezwan dan Emrizal.

Sejurus itu Razali dan seorang lagi anggota polis sedang melepaskan Amira dan juga rakannya Fatin Husna, mangsa keempat yang telah diculik oleh Emrizal sebelum Amira. Selepas ikatan tali dilerai dan mereka pun diturunkan, Amira dan Fatin Husna terus berpelukan. Menangis dan terus menangis. Meraung kedua sahabat itu apabila tidak menyangka bahawa setelah menerima pelbagai penyeksaan fizikal dan mental dari Emrizal terhadap mereka, akhirnya mereka dapat diselamatkan dan berpeluang untuk hidup. Bebas dan masih lagi boleh bernafas. Namun dihati, Amira dan Fatin Husna tetap terkenangkan rakan-rakan mereka yang telah menemui ajal. Menjadi mangsa pembunuhan seorang pembunuh gila!

Ezwan yang sedari tadi berada diluar villa saat operasi menyelamatkan Amira sedang dilakukan, cuba untuk menghampiri adiknya Emrizal yang sudah bergari itu sebaik sahaja dua orang anggota polis membawanya keluar dari dalam Villa Dahlia tersebut. Wajah Emrizal ditatap pilu. Merenung sayu adiknya. Tiada ungkapan kata yang mampu diucapkan oleh Ezwan. Membiarkan raut wajahnya menjadi satu jawapan.

"Abang tak perlu sedih. Rizal tak apa-apa. Nampaknya selepas ni Rizal tak dapat nak jengok abang lagi. Setiap malam Rizal datang rumah abang. Abang saja yang tak tahu. Rizal pernah datang rumah abang dalam keadaan basah pada malam tu. Maaf sebab Rizal dah basahkan lantai rumah abang. Itupun selepas Rizal selesai humban budak dua ekor tu dalam parit. Bagus mereka dah mati! Lagipun Rizal tak nak abang tahu yang Rizal masuk curi-curi dalam rumah abang. Ingatkan nak ambil kain dalam bilik Amira, masa tu abang sibuk bercakap sorang-sorang. Sekejap abang jadi diri sendiri, lepastu abang jadi Rohani pula! Gila! Hahaha! Abang sebenarnya dah gila. Gila! Sama macam Rizal dan abang long. Cuma nasib abang lebih baik sebab abang dijaga oleh orang yang baik. Tapi, jangan risau! Kita adik-beradik! Nasib kita sama! Hahahaha!"

Emrizal ketawa sehingga bergema suasana malam yang suram di Villa Dahlia itu. Dia benar-benar berpuas hati saat mengatakan abangnya sudah gila. Sungguh! Dia benar-benar berasa puas!

Jawapan yang diberi Emrizal itu langsung tidak memberi kesan padanya. Ezwan tetap mendiam. Membisu. Langsung tidak berkutik sedikit pun. Hanya memerhati, langsung membiarkan Emrizal dengan emosi gilanya yang sama seperti dirinya. Cuma gila Emrizal lebih ekstrim! Kini dia sedar, rupa-rupanya dia hanya berinteraksi bersendirian. Rohani yang berada dihadapannya hanya ilusinya semata-mata. Satu ilusi mengharapkan agar isterinya kembali, walaupun itu adalah sesuatu yang mustahil terjadi.

Lalu untuk tidak membuang masa dua orang anggota polis itu membawa Emrizal masuk ke dalam kereta peronda polis sehingga terjengkit-jengkit kakinya berjalan akibat terkena dua das tembakan dari Inspector Nizam.

Memang sengaja Nizam meyasarkan tembakannya ke arah kaki Emrizal. Sememang matlamat Nizam mahu undang-undang sendiri yang menghukum pembunuh gila seperti Emrizal. Biar Emrizal sendiri tahu, undang-undang tidak mengenal siapa. Adakah Seksyen 302 menjadi dambaannya?

Tidak lama selepas itu anggota paramedik pun tiba untuk merawat serta membawa Amira dan Fatin Husna ke hospital. Rawatan lanjut akan diberikan sejurus mereka tiba di hospital nanti.

"Patutlah..." Razali melontarkan ayat tidak habis sambil memerhatikan Amira dan Fatin Husna masuk ke dalam perut ambulance.

"Patutlah apa?" Nizam berasa pelik. Berkerut dahinya memandang Razali yang tiba-tiba berada di sebelahnya.

"Masa saya berhentikan kereta di depan villa ni tempohari, saya terperasan macam ada seseorang sedang mengintai dicelah tingkap dalam bilik dimana Amira dan Fatin digantung tadi. Rasanya sudah lama Ezwan tahu yang adiknya tinggal didalam villa ni. Lagipun saya teringat masa dia bercakap sorang-sorang dengan handphone dia hari tu. Nak tergelak pulak saya bila teringat balik. Tapi tak sampai hati pulak saya nak beritahu. Biarlah!" Terang Razali tersenyum sambil memandangkan kembali Villa Dahlia yang penuh dengan seribu kelukaan

"Dia fikir, dia yang bawa saya dengan kereta. Sebenarnya saya yang bawa dia. Cari anak dia, pergi pengecaman mayat lagi. Memang sengaja saya mengikut rentak dia." sambung Razali lagi.

Nizam masih terdiam seperti selalu. Cuma kali ini hatinya merasa lebih lega. Lega kerana dapat menyelesaikan kes pembunuhan di kampung Lembah Damai. Sebenarnya memang begitulah dirinya. Lebih banyak diam apabila seseorang dihadapannya sedang berkomunikasi dengannya walaupun orang bawahannya sendiri.

"Saya bersyukur sangat. Sebab bukan seorang yang kita dapat selamatkan tetapi dua orang!" Nizam tersenyum.

Razali mengangguk tanda bersetuju. Sungguh mereka tidak sangka mangsa keempat yang diculik sebulan yang lalu masih hidup. Malah masih boleh bertahan tubuhnya walaupun jarang diberi makan oleh penculiknya.

"Saya harap dia akan mendapat hukuman yang setimpal! Seksyen 302 memang sesuai dengan dia tuan." Gumam Razali kegeraman.

"Awak jangan lupa Razali, mungkin juga dia boleh terlepas dari hukuman mati. Orang tak siuman boleh terlepas daripada Seksyen 302." tegur Nizam kepada Razali.

Nizam sengaja mendatarkan suaranya. Tidak mahu terlalu teruja dengan hasil buruannya.
Mendengarkan kata-kata dari Nizam itu terus sahaja Razali terdiam. Baru dia terfikir, ada benar kata-kata dari Inspector Nizam itu.


"Kemungkinan kalau ada peguam yang membelanya pasti mereka akan menggunakan Seksyen 342 (3) Kanun Acara Jenayah. Memohon pada mahkamah membuat penilaian psikiatri pada Emrizal!" Jelas Nizam lagi.

"Kalau macam tu, kenapa tuan tidak tembak saja kepala dia. Biar dia mati!" Razali bersuara kegeraman.

Nizam diam. Tiada jawapan yang diberi. Anggota polis dan beberapa orang pakar forensik mula menjalankan tugas masing-masing didalam Villa Dahlia itu sambil Nizam memerhatikan dari satu sudut yang lain.

"Seboleh-bolehnya saya tak mahu menjatuhkan hukuman sendiri kerana mengikut kata hati. Saya lebih suka mahkamah yang menjatuhkan hukuman. Sungguh pun dia boleh terlepas dari hukuman gantung. Dia masih tidak lepas! Dia pasti akan diletakkan dihospital Bahagia. Disitu tempat yang sesuai buatnya."

Nizam menyambung kembali hujahnya. Razali yang sedari tadi berada disebelahnya ralit mendengar hujah-hujah dari Inspector Nizam.

"Bagaimana dengan Ezwan tuan?" Razali menyoal.

"Dia akan dirawat dahulu. Menilai tahap mentalnya dahulu. Kalau keputusan sudah dapat, barulah dia akan diletakkan ditempat yang sesuai untuknya juga. Kalau boleh saya tak mahu pisang berbuah dua kali! Malang sungguh! Mereka tiga beradik, Effendi, Ezwan dan Emrizal sudah hilang kewarasan diri, hilang sebagai manusia yang normal...." Jelas Nizam lagi.

"Kesian Amira...." Razali menyuarakan kesedihannya.

"Kesitu pulak awak fikir! Pergi tolong anggota yang lain! Berdiri dekat sini buat apa!" Tegas Nizam sambil membulatkan matanya pada Razali.

Tereranjat Razali mendengarkan suara Nizam yang lantang itu sambil menyuruhnya kembali menjalankan tugasnya sebagai anggota polis.


"Baik Tuan!"


-TAMAT -
===============
Suntingan dan gambar: Nil 
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: