ORCHARD SQUARE
Karya Oleh: Madame
======================
ORCHARD SQUARE, bangunan ini agak familiar untuk pelajar UiTM Kampus Bandaraya Melaka. Setinggan di luar, kondo di dalamnya. Nampak agak angker tapi harga sewaannya agak berpatutan untuk pelajar-pelajar di sini. Ia menjadi pilihan utama untuk pelajar yang kononnya mahu privasi, macam aku.
Selesai urusan menandatangani segala dokumen dan bayaran deposit, akhirnya kunci bertukar tangan. Waktu pertama kali menjejakkan kaki ke rumah sewa kami ini, langsung tiada perasaan aneh hatta seram sekalipun, atau sebenarnya aku sememangnya sangat mengamalkan sistem demokrasi dengan makhluk Allah yang lain pada waktu itu. (tak percaya hantu).
Bulan pertama berpindah ke sini, aku cuma tinggal berdua dengan BFF aku yang merangkap classmate aku juga, Nor. Kami sama-sama mengikuti program kepimpinan pelajar. Jadi, masa kami banyak terluang di kampus sebelum bermulanya semester baru.
Bila dah agak lapang, aku dan Nor mula mengiklankan 2 bilik yang masih berbaki di rumah kami untuk disewa. Tak sampai seminggu selepas pengiklanan, penuh sudah isi setiap bilik di rumah itu. Sewa pula kami bahagikan ikut kepala. Bilik medium dihuni oleh 3 pelajar junior. Sanggup berhimpit janji dapat berjimat-cermat. Bilik yang hujung pula, sepupu aku menghuni bersama sorang lagi junior dari kampus kami.
Tinggal dengan junior ini, masalahnya sifat kanak-kanak mereka masih menebal. Yelah, kami dari diploma melangkah ke degree manakala diorang fast track selepas Matrik. Tapi masihb boleh tahan kalau nak diberbandingkan dengan perangai sepupu aku yang minta kena tampar dengan bilah kipas.
Sepupu aku ni pelajar MMU. Disebabkan dia tak carry banyak paper semester tu, dia buat part time kerja 7-Eleven kat Gajah Berang. Takat balik lepas jam 12 tengah malam itu perkara normal. Itu tak menjadi masalah. Yang jadi masalahnya bila dia balik tengah-tengah malam, dia pasang muzik kuat-kuat kat laptop dan dia pula kat dapur tengah masak Maggi atau mandi.
Satu hal lagi, tak kira pukul berapa dia balik, dia akan switch on lampu sampai terganggu si Ika ni tidur. Makanya, bertengkar la diorang satu malam ni kira-kira pukul 2 pagi. Aku dan si Nor pula tak ada kat rumah sebab aku ikut Nor balik kampungnya di Batu Pahat.
Isnin petang, selepas 2 hari kejadian pertengkaran mereka, Ika bersama housemate yang lain datang mengadu pada Nor. Nak mengadu kat aku diorang segan sebab Anne tu sepupu aku. Tapi disebabkan aku bertanggungjawab nak selesaikan masalah, aku kena berlagak neutral, barulah diorang nak bercerita tentang kejadian malam tu yang berakhir kira-kira pukul 3 pagi.
Itupun sebab dah kena tegur dengan Ah So rumah sebelah.
Oh lupa nak baritahu, rumah sebelah kami ada sepasang ibu dan anak tinggal bersama. Si anaknya lelaki cina yang aku rasa umur dalam 30-an, tak berkahwin lagi. Ibunya pula selalu duduk kat atas kerusi roda di tepi dapur, hampir setiap hari.
Dapur kami saling berhadapan termasuklah bilik si Anne dan bilik budak bertiga tu. Malam kejadian, Ah So tu katanya datang ketuk tingkap tengah malam suruh diam jangan bising-bising. Bila dah dengar macam tu, aku dengan Nor ambil peluang tambah menyakat budak-budak junior ni supaya tak buat bising tengah malam.
Diorang ni pun ada perangai pelik. Kalau katakan diorang habis kelas pukul 4 petang, balik jer rumah diorang akan tidur sampailah pukul 10-11 malam. Waktu tu mereka bangun sebab rumah Ah So tu dah ketung-kelentang macam kat Jonker Walk dah bisingnya. Belum lagi dengan bau kopi macam kau dah tidur kat kaunter Coffee Bean. Mungkin anak terunanya rajin memasak tapi pelik juga orang Cina biasanya makan sebelum pukul .
Lepas kejadian Ah So 'tegur' haritu, maka amanlah sikit rumah. Tapi masuk minggu ketiga, Anne buat hal lagi. Aku dengan Nor cuma geleng kepala. Sampailah kami ada cuti midterm. Aku balik ke KL dan cuma datang kira-kira 2 hari sebelum kelas bermula. Waktu aku sampai, rupanya housemate yang lain semua tak balik kampung.
Kali ini, aku balik aku dapat rasakan suasana sangat berbeza. Diorang sangat senyap dan tak banyak bercakap seperti kebiasaan. Malam pun berlainan. Tepat jam 10 malam, bilik semua dah gelap. Rumah Ah So pun senyap je. Aku dengan Nor yang jadi pelik. Anne pula dah 3 hari tak balik rumah katanya.
Aku ingat lagi.
Haritu hari Ahad.
Sehari selepas aku tiba di Orchard Square, Nor ajak kami ulangkaji soalan kuiz Social Marketing di rumah classmate kami yang merangkap jiran sebangunan kami, Lila. Bezanya, rumah aku terletak betul-betul di depan lif manakala rumah Lila di hujung laluan.
Hampir 2 jam di sana, sebelum balik sempat Lila bagitahu yang ada junior dari fakulti kami sedang mencari rumah sewa dan dia minta nombor cina kat sebelah rumah kami kalau-kalau ada, kalau-kalau dia nak sewakan rumahnya. Kami pelik, sebab setahu rumah tu ada Ah So yang tinggal bersama anak lelakinya itu. Mungkin Ah So nak pindah rumah lain.
Tak memasal Lila tampar pipi Nor sekali dengan aku-aku kena. Dia beritahu kami yang rumah tu dah nak masuk 2 bulan kosong lepas Ah So tu meninggal. Bila masa meninggal tak tahu pula! Disebabkan aku ni degil, aku tak nak percaya sebab aku rasa baru sangat aku nampak Ah So tu dari pandangan rumah kami. Cepat-cepat aku meminta diri untuk balik atau sebenarnya aku nak tengok sendiri betul ke rumah tu kosong.
Dan bila kami sampai di depan pintu rumah Ah So, pintu grill rumah Ah So berselerak dipenuhi dengan kertas merah, bertampal di setiap inci pintu. Ketika itu barulah kami percaya apa yang diceritakan oleh Lila! Kenapa sebelum ni kami tak tahu menahu langsung......??
Malam itu aku cuba nak berkomunikasi dengan housemate yang lain tentang hal itu dan rupanya diorang dah lama tahu. Dan itu menjawab persoalan kenapa sejak akhir-akhir ini diorang berubah menjadi lebih beradab. Dah dua bulan pemergian Ah So, namun rumahnya sekali-sekala seperti masih berpenghuni. Paling asyik, bau kopi, harum semerbak menerjah ke rumah kami.
Mesti korang fikir yang kami dah tinggal dengan harmoninya untuk semester terakhir kami kan? Belum lagi kawan-kawan.
Waktu aku dah final semester ni, bukan takat belajar je ligat. Berembun pun aku ligat. Lokasi utama kami tentulah McD Dataran Pahlawan atau paling dekat pun ke Subaidah makan Maggi goreng telur mata sambil lepak dengan budak kelas tengok Man U. Man U zaman dulu lain..tak macam zaman sekarang ni.
Berbalik pada cerita aku ni, selalunya aku akan parking kereta betul-betul depan meja Guard kat bawah blok. Dalam ramai-ramai pakcik Guard kat sini, ada sorang Pakcik Guard ni dia pesara askar. Tempang tapi masih cergas.
Selalunya, takda perkara pelik selama aku dan Nor balik lewat pagi-pagi tapi malam itu merubah segalanya.
Malam tu aku dan Nor balik lebih kurang pukul 4 pagi. Pakcik Guard tu tegur aku dengan Nor dengan penuh ramah sambil mencatat sesuatu di log book. Waktu aku masuk ke perut lif, aku perasan dia masih di tempat yang sama, sedang menulis. Saat pintu lif terbuka di tingkat lima, Pakcik Guard tu boleh pulak slumber berjalan-jalan depan kami!
Dia berjalan dengan muka serius menuju ke tangga kecemasan dengan membawa torchlight, sama seperti waktu-waktu biasa dia meronda. Aku pegang tangan Nor sambil cuba berkomunikasi melalui pandangan mata. Mungkin tak pelik kalau lampu di tangga kecemasan tu memang menyala, tapi yang mana tahu, Orchard Square ialah sebuah bangunan pasaraya yang mati!
Tingkat 1 hingga Tingkat 4 adalah bekas tapak pasaraya yang tak berpenghuni dan tak mungkin pakcik tu mampu naik sepantas itu dengan cuma berbekalkan torchlight. Disebabkan terkedu atau sebenarnya takut dengan kejadian malam tu, aku tak bercakap dengan Nor hinggalah waktu lunch keesokannya di kampus.
Mesti korang fikir aku dengan Nor dah serik kan?
Kejadian yang ni pula berlaku sewaktu kami sedang dalam peperiksaan akhir semester. Waktu ni memang aku dengan Nor dah kurang melepak kat Subaidah. Kami banyak habiskan masa main game kat laptop sambil Nor layan lagu Wali Band dan ST-12.
Aku rasa malam tu baru pukul 8 malam. Dari pukul 6 aku layan game kat laptop, perut dah mula lapar. Nor dah bagi idea untuk drive-thru kat McD siap dengan offer dia belanja. Ini dah cukup bagus.
Selesai mandi, aku minta Nor panaskan enjin kereta sebab dah dua hari tak berusik kereta tu. Jadi aku turun sendirian memikirkan malam masih muda. Dengan berlenggang kangkung, aku menuju ke lif. Sekali tekan, eh..dah terbuka.
Tadi pintu lif ni buka sepantas kilat tap nak tutup pula bermasalah. Puas aku tekan butang tutup tapi pintu tu dah macam 'hang'. Baru aku nak melangkah keluar, pintu tertutup dengan sendiri dan hampir aku tersepit sebab lif tu takda sensor!
Waktu lalu di Tingkat 4, lif terhenti dan pintu lif terbuka, walhal aku langsung tak tekan punat tingkat 4. Terundur aku ke belakang bila disajikan dengan pemandangan yang gelap-gelita. Masa ni aku mampu berfikiran positif sahaja. Mungkin ada guard yang meronda kat tingkat 4 tadi cuba nak guna lif kot.
Mujurlah sekejap je pintu itu terbuka. Aku tarik nafas lega. Tapi tak sempat nak lega lama-lama, sekali lagi pintu lif terbuka di tingkat 3. Jadahnya nak positif lagi. Kali ni aku ubah posisi menyandar ke dinding lif belah kanan sambil aku tundukkan kepala merenung lantai.
Bezanya di tingkat 3 ni, aku dapat rasa lantai dipijak sepertinya ada ‘beberapa orang' yang menumpang lif yang sama dengan aku. Masa ni baru lah ingat Tuhan .Tadi sebelum keluar rumah tak pandai nak solat maghrib. Adoii. Azab pulak lama-lama dalam ni.
Walaupun aku dalam ketakutan, aku tak tutup mata sebab aku takut nanti 'dia' cuit atau main cak-cak dengan aku. Punyalah lama lif ni berhenti. Perut pun dah berbunyi. Masa ni aku dah redha kalau lepas pintu lif tertutup,
Lif berhenti lagi kat Tingkat 2.
Memang betul jangkaan aku. Tapi apa masalah la leher aku ni? Waktu ni la rajin nak toleh ke luar lif. Dan waktu aku toleh ni lah melintas satu kelibat yang aku pun samar-samar je nampak. Tak lama selepas itu, barulah pintu lif tertutup kembali.
Kali ni aku nekad. Kalau lif ni terbuka lagi kat Tingkat 1, aku dah ready nak lompat keluar berlari guna tangga kecemasan je untuk ke level G. Tak tahan dah aku kat dalam lif tu. Bukan takat dada je nak pecah tapi pundi kencing pun macam menanti masa je.
Tapi jangkaan aku meleset lif tak berhenti kat tingkat 1 dan terus ke G floor. Elok je pintu lif terbuka, aku dengan pantas meluru keluar. Tapi dalam tergopoh gapah aku keluar tu, aku sempat menangkap bunyi gelak ketawa mengekek kat dalam lif tu. Nak toleh?Jangan harap.
===============
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment