KAMPUNG ALOR : NYAWA KEDUA
=========================
"Siapa yang azan tu Omar? Aku ingatkan kamu," tanya Pak Ngah si ketua kampung. Bilal Omar diam tidak menoleh. Dia sedang terpacak berdiri di luar pagar surau Kampung Alor. Suasana masih gelap. Masih ada sepuluh minit sebelum masuk waktu subuh.
"Omar?"
"Ah, ya Ngah?"
"Siapa azan tu? Kenapa tak pakai speaker?"
Omar menghenjut bahu. Matanya masih terpaku pada pintu surau kayu yang terkuak sedikit. "Lampu pun tak pasang," balasnya sedikit lambat.
Suara laungan azan kedengaran sayup-sayup. Bukan dari pembesar suara, tetapi dari atas menara azan. Dah lama orang tak naik atas menara tu. Seingat Pak Ngah, semenjak pembesar suara dipasang. Tahun 81, kalau tak silap.
"Lain sikit azannya... macam campur bahasa Jawa," ujar Pak Ngah menggaru kepala. Sejenak kemudian, mereka berdua saling berpandangan. Laungan azan yang awalnya kedengaran normal, semakin berubah telo. Kini tiada lagi perkataan bahasa Arab yang dilaungkan. Jawa semata-mata. Kasar bunyinya. Cepat-cepat Bilal Omar melangkah naik ke surau. Pak Ngah menyusul di belakang. Pintu kayu tadi Bilal Omar tolak kasar.
"Hoi! Siapa azan tu? Main-main ke?!"
"Masuklah, Omar! Kamu laung dari sini buat apa?" Pak Ngah terjenguk-jenguk dari belakang Bilal Omar. Namun lelaki itu sekadar berdiri tercegat di muka pintu. Tangannya mencekak pinggang. Garang.
"Pak Ngah masuklah dulu..."
"Eh, aku pulak? Tepi!" Pak Ngah menolak tubuh dempak Bilal Omar. Tersengguk lelaki itu cuba mengimbang badannya.
Azan Jawa tadi masih berkumandang. Tidak terganggu. Pak Ngah meluru ke arah pintu menara yang terletak di sebelah kanan sejadah imam. Lelaki tua itu menggaru-garu kepala. Dia menoleh ke arah Omar yang sedang memetik deras suis-suis lampu dan kipas di belakang pintu masuk. Kemudian dia menoleh ke arah pintu kayu menara di hadapannya semula. Masih bermangga.
"BAMM! BAMM! BAMM!" Pak Ngah mengetuk deras pintu kayu di hadapannya. Berkelentang-kelentung mangga besi besar pada pintu itu menerima gegaran. "Hoi! Siapa dekat atas?!"
Azan Jawa tadi terhenti serta-merta. Pak Ngah dan Bilal Omar saling berpandangan. "Mana kunci?" Pak Ngah menggerakkan mulutnya tanpa mengeluarkan suara. Bilal Omar menuding ke arah kotak kunci yang tergantung pada dinding bertentangan. Pak Ngah mengangguk, lalu melangkah ke arah yang ditunjukkan. Kotak kunci besi itu dibuka kasar. Nah, bergemerincing beberapa bentuk anak kunci jatuh ke atas lantai. Bilal Omar menepuk dahi. Pak Ngah menoleh ke arah Bilal Omar, "mana satu?" Katanya tanpa mengeluarkan suara. Cepat-cepat Bilal Omar pergi mendapatkan lelaki tua itu.
"Yang paling usang," bisiknya sambil membelek-belek kunci di atas lantai. "Hah, yang ini."
Pak Ngah mengangguk. Dia melangkah ke arah pintu menara semula. Dadanya turun naik menahan marah. Anak kunci berkarat dalam tangannya terasa sejuk. Sedikit sukar untuk dia memasukkan anak kunci itu ke dalam lubangnya. Setelah dicuba untuk kali ketiga, mangga besar itu berkeletak terbuka. Pintu kayu di hadapannya ditolak perlahan. Berkeriut kuat. Engselnya pun sudah hitam berkarat. Kali terakhir pintu itu dibuka, waktu mereka nak pasang pembesar suara lama dahulu.
"Hah, masuklah," arah Pak Ngah. Bilal Omar mengangkat kening. "Kenapa? Kamu takut?" Sindir Pak Ngah geram.
Tercabar, Bilal Omar terus membuka langkah, berhati-hati mendaki tangga besi berpilin yang sempit. Berkeriut anak-anak tangga besi itu menerima berat tubuh Bilal Omar. Pak Ngah tunggu sampai Bilal Omar naik setengah jalan, baru dia menyusul. Bunyi keriutannya kedengaran sedikit perlahan.
Baru beberapa anak tangga Pak Ngah daki, langkah Bilal Omar terhenti. Pak Ngah mendongak. "Kamu kenapa, Omar?"
Bilal Omar diam.
Seingat Pak Ngah, selepas tangga berpilin itu, terus lantai. Tiada pintu. Maknanya, Bilal Omar boleh terus lihat siapa yang berada di bahagian atas menara itu. "Omar! Kamu kenapa?!" Bisik Pak Ngah deras.
Bilal Omar masih diam. Matanya tidak berkelip. Pak Ngah mengeluh geram. "Tepi!" Lelaki tua itu membuka langkah lebih besar, sambil mengempiskan perut, melepasi Bilal Omar. Sebaik sahaja sampai di bahagian atas tangga, langkah Pak Ngah terhenti. Tercegat dua orang lelaki itu di atas mata tangga. Tangan Bilal Omar terketar-ketar mahu mencuit Pak Ngah. Tapi tak mampu.
---
Waktu subuh sudah masuk. Namun azan belum berkumandang. Jam sudah menunjukkan pukul 5:57 ketika kaki Samad Rendang terkial-kial cuba menolak tongkat basikalnya. Kalau dia mandi dulu tadi, mesti matanya tak mengantuk begitu sekali. Tak apa, balik nanti pekena kopi dekat warung pasar, fikir Samad Rendang. Tubuh rendangnya kelihatan janggal tertonggok di atas basikal tinggi itu. Kayuhannya sekejap perlahan, sekejap laju. Fikirannya menerawang memikirkan masa depannya yang singkat. Apa pun yang terjadi, setiap kali subuh, dia mesti ke surau. Azam tahun baru. Atau mungkin juga kerana apa yang diberitahukan oleh doktor kepadanya. Sudah dapat merasa sambut tahun baru pun dia sudah cukup bersyukur. Mungkin itu juga tahun terakhirnya. Barah salur darah. Musuhnya, juga pemberi semangat untuk dia memanfaatkan sisa-sisa hidupnya.
Sampai depan rumah Kidin, Samad Rendang berhenti mengayuh. Panjang leher Kidin menjenguk ke luar tingkap. Bukan ke arah Samad, tapi ke arah barat daya. Arah surau Kampung Alor. Sebaik pandangan mata Kidin bertemu dengan matanya, Samad mengangkat kepala, "kau kenapa Kidin?"
"Apa pasal belum azan? Dekat telefon aku dah habis azan dah."
"Alah, Bilal Omar tak bangunlah tu. Jom! Aku pun boleh azan."
Kidin diam sejenak... "yalah," katanya sambil menarik tutup daun tingkap, "tunggu kejap. Aku turun."
Dua sahabat itu berkayuh seiringan. Kidin tak henti-henti merungut tentang pelbagai perkara. Dari hal pembahagian tanah sawah emaknya, sampailah tentang hal kenaikan harga lesen Majlis Perbandaran Banting. Samad Rendang pula cuma diam, berharap agar dia tak terlelap sepanjang perjalanan itu.
Sampai di perkarangan surau, mereka lihat beberapa orang lelaki kampung sedang berkumpul di hadapan pintu masuk. Bising-bising. Semuanya berkopiah. Tapi tak semua berbaju Melayu. Ada juga yang berjubah. Yang pasti, hanya seorang sahaja yang ber T-shirt dengan gambar tengkorak di bahagian belakang. Badar Metal, rakan mereka.
"Dar! Oi! Apa pasal bising-bising ni, Dar?" Tanya Kidin hairan, "kenapa semua tunggu dekat luar?"
Badar Metal menjeling ke arah Kidin dan Samad Rendang, menghenjut bahu, kemudian berpaling semula ke arah sekumpulan lelaki tadi. Dia memang macam tu. Bercakap hanya bila perlu.
"Dar! Oi! Sinilah!" Panggil Samad Rendang pula. Geram dia dilayan sebegitu rupa.
Badar Metal mengeluh kecil, kemudian melangkah malas turun ke tanah untuk mendapatkan dua orang rakannya itu. "Pergilah letak basikal korang dulu. Aku tengah dengar apa Poksu cakapkan tu. Nanti aku cerita," katanya perlahan. Kidin dan Samad saling berpandangan buat sejenak, kemudian mengangguk menurut.
---
"Aku syak ini kerja budak-budak kampung sebelah!" Terketar-ketar jari Poksu menuding ke arah entah mana (dia cukup yakin arah yang ditunjuknya itu adalah arah kampung sebelah).
"Poksu... kenapa pulak budak kampung sebelah yang dituduh? Sekarang ni, yang kita nak tahu, mana Bilal Omar sama Pak Ngah. Hal tentang tanah lumpur atas karpet tu, hal nombor dua." Derus, Ketua Biro surau cuba untuk menenangkan lelaki tua itu.
"Ah! si Ngah tak ada, aku pun boleh jadi imam! Si Omar tak ada, aku pun boleh azan! Karpet surau kotor, aku tak nak cuci!" Bentak Poksu. Hampir saja gigi palsunya tertanggal dengan setiap hamburan kata-katanya.
Badar Metal dari tadi asyik menggeleng-geleng menahan ketawa melihat gelagat Poksu.
"Hah, kenapa ni?" Tanya Kidin perlahan sambil menghentak-hentak kakinya, membuang tanah pada selipar. Samad Rendang pula terus saja ke kolah untuk ambil wudhu. Malas nak ambil tahu. Asalkan solat dia lepas, sudahlah.
"Itu hah, si Poksu tu. Dia kata, dia paling awal sampai tadi. Terkejut dia, dengan lampu, kipas terpasang. Pintu terbuka luas. Tapi tak ada orang. Karpet surau pula habis bercapuk-capuk terkena tanah lumpur. Macam ada orang nak sabotaj surau kita," jelas Badar Metal tanpa memandang wajah Kidin.
"Pak Ngah sama Bilal Omar mana?"
"Hah, itulah isunya sekarang. Selalunya orang tua dua orang tu yang akan sampai surau dulu. Lepas tu baru Poksu. Tapi orang tua dua orang tu, sampai sekarang tak nampak batang hidung."
"Habis? Tak payah solat? Solatlah dulu," ujar Kidin serius. Apabila dia sedar Poksu sedang memandang ke arahnya, suaranya sengaja dilantangkan, "kita solatlah dulu Poksu. Lepas tu, Poksu nak mengamuk, mengamuklah!"
"Engkau jangan kurang ajar, Kidin!" Jerkah Poksu. Kidin dan Badar tertunduk-tunduk menahan ketawa. Samad Rendang pula menonong berjalan melepasi rakan-rakannya dan kumpulan lelaki itu, terus masuk ke dalam surau. Dia mencapai selamba mikrofon dari atas rak, berdehem beberapa kali sebelum mula melaungkan azan. Suasana jadi senyap. Jam sudah menunjukkan pukul 6:15 pagi. Orang lain dah siap solat, mereka baru nak azan.
Selesai Samad Rendang melaungkan azan, dia berpaling ke belakang. Semua dah masuk ke dalam surau.
"Rapatkan saf," arahnya lembut, "kalau ada bahagian yang berlumpur tu, bentang sejadah atas tu. Jangan putus saf."
Beberapa orang lelaki menurut. Kemudian, Samad Rendang iqamat. Usai iqamat, dia juga yang imamkan solat. Tak sampai sepuluh minit, solat subuh mereka selesai. Setelah doanya diaminkan, Samad Rendang pun menonong keluar dari surau. Yang lain bersalam-salaman (kecuali Poksu) dan menyusul Samad Rendang keluar dari surau. Di luar, Samad Rendang sudah sedia duduk di atas bucu anjung.
"Hah, sambunglah mesyuarat. Saya nak dengar jugak," katanya selamba. Kidin dan Badar Metal turut duduk di sebelahnya. Lelaki-lelaki yang lain menjeling sinis ke arah Samad Rendang. Tapi Samad Rendang buat tak tahu.
"Cuba Poksu cerita balik apa yang berlaku..." pinta Derus lembut. Poksu merenung sejenak ke arah Derus. Berkira-kira. Kemudian, perlahan-lahan dia melabuhkan punggungnya di atas anjung. Semua mata tertumpu ke arah orang tua itu. Tanpa segan, Poksu membetul-betulkan gigi palsunya sebelum mula bercerita...
"Pagi tadi, lima minit sebelum masuk waktu, aku sampai surau. Selalunya, bila aku sampai, si Ngah sama Omar dah ada. Tapi pagi tadi, tak ada!" Poksu bangkit dari duduknya, "tapi kipas sama lampu terbuka! Dengan pintu terkangkang!" Poksu mula mencekak pinggang, "yang paling aku marah, tu!" Poksu menuding ke arah pintu surau, "apahal berlumpur-lumpur karpet surau kita?!"
"Poksu!" Derus menepuk dahi, "apa Poksu ni? Cerita perlahan-lahanlah. Tak payahlah jerit-jerit. Duduk," lelaki itu menepuk-nepuk perlahan belakang Poksu. Poksu terdiam sejenak, kemudian kembali duduk.
"Bang Derus," panggil Badar Metal penuh hormat, "tanah lumpur dekat dalam surau tu, ikut pemerhatian saya, macam kesan tapak kaki, kan?"
Derus berpeluk tubuh. Sebelah bahunya disandarkan pada tiang anjung. Berfikir-fikir. Perhatiannya kini tertumpu kepada Badar Metal. Sejenak kemudian, dia menoleh ke arah pintu surau. Kemudian ke arah Badar Metal semula. Derus mengangguk perlahan, "aku pun perasan jugak. Tapi kalau betullah itu tapak kaki, besar oi!"
"Itulah..." balas Badar Metal pendek.
"Kalau betul itu tapak kaki, datangnya dari arah mana?" Soal Kidin tiba-tiba. Yang lain semua berpaling ke arahnya. Matanya buntang mengangguk-angguk, "hah, dari arah mana?" Sengaja dia bangkitkan suasana misterius.
Serentak itu juga semua yang berada di situ meluru semula ke arah pintu surau. Kelihatan jelas kesan-kesan lumpur lonjong yang kalau diperhati betul-betul, memang mirip tapak kaki manusia. Cuma luar biasa besarnya. Jika dikira, ada 15 tompok kesemuanya. Derus terbongkok-bongkok mengamati kesan tapak kaki berlumpur itu. Lagak Sherlock Holmes. Dia melangkah perlahan, mencari puncanya. Yang lain mengekor dari belakang. Sampailah langkah Derus terhenti di hadapan pintu usang menara surau. Dia menoleh ke arah Poksu, "ini pintu apa, Poksu?"
"Itu pintu naik ke menara azan. Kau kan Ketua Biro? Takkan tak tahu?"
Derus buat tak tahu sahaja dengan soalan sinis Poksu. Dia baru dilantik dua minggu lepas. Itu pun sebab tak ada siapa yang sanggup galas jawatan tersebut. Dia menggenggam mangga yang tersemat kemas pada pintu kayu itu, menggoncang-goncang sedikit. Berkunci.
"Mana kuncinya?" Tanya Derus. Poksu menuding ke arah dinding bertentangan. Baru sahaja dia hendak berkata sesuatu, tudingannya diturunkan. Dia menggaru kepala.
"Aik, mana kotak kunci?" Tanya orang tua itu.
"Eh, baru jer aku pasang kotak tu minggu lepas. Takkan dah kena curi?" Derus mencekak pinggang.
"Sah kerja budak-budak kam..."
"Poksu! Sudah-sudahlah tu!" Derus menjerkah geram. Poksu terdiam. "Kidin, pergi stor belakang tu. Ambil tukul. Kita umpil saja engsel pintu ni. Nak pecahkan mangga ni..." Derus membelek-belek mangga lama sebesar separuh telapak tangan itu, "macam susah pulak."
Kidin menurut. Badar dan Samad mengekor. Beberapa minit kemudian, tiga orang pemuda itu kembali dengan tukul kuku kambing yang besar. Derus berundur sedikit. Tanpa disuruh-suruh, Kidin mula mengumpil engsel pintu kayu itu. Yang lain diam memerhati.
"PRAKKK!" Bunyi derakan pintu kayu lama itu memecah kesunyian pagi. Ternyata sudah rapuh dimamah usia.
"DAMM! DAMM! DAMM!" Tiga kali tendangan tumit Samad Rendang menghentam daun pintu. Bersepai serpih-serpih kayu. Di hadapan mereka, kelihatan tangga besi berpilin yang sempit mengarah ke atas menara. Bau lumpur pekat menerpa rongga hidung tetamu-tetamu rumah Allah itu. Masing-masing saling berpandangan.
"Jom," ujar Derus ringkas. Langkahnya dibuka perlahan. Anak-anak tangga besi itu berkeriut kuat menerima berat tubuh Derus. Selepas tiga langkah, Derus berpaling melihat yang lain. "Jomlah!" Ujarnya sekali lagi. Kidin, Samad dan Badar mengangguk. Yang lain cepat-cepat mengalihkan pandangan, sengaja tidak mahu bertentang mata dengan Derus.
Mereka berempat mendaki perlahan. Panjang leher Poksu menjenguk dari bawah. Tiada seorang pun yang bersuara. Sebaik sahaja Derus memijak anak tangga paling atas, langkahnya terhenti. Wajahnya berubah pucat. Serentak itu juga kedengaran suara seseorang berdehem dari bawah. Sengaja menarik perhatian. Kidin, Samad dan Badar yang berada sedikit jauh di belakang Derus menoleh ke bawah. Kelihatan Poksu sedang tersengih lebar. Pelik senyumnya. Mereka bertiga mengangkat kening, hairan, kemudian menoleh semula ke arah Derus.
"Eh, bang. Cepatlah. Abang berhenti dekat situ buat apa? Kitorang nak naik ni," ujar Samad tidak sabar.
Derus masih tercegat berdiri di atas anak tangga terakhir. Langsung tidak menoleh ke arah mereka.
"Bang? Kenapa? Ada apa atas tu?"
"Opo sing mbok delok (apa yang kau nampak)?" Poksu bersuara tiba-tiba. Separuh tertawa. Ketiga-tiga pemuda tadi menoleh ke belakang. Poksu berada betul-betul di belakang mereka. Bila masanya pula orang tua ni naik? Bahasa apa pulak orang tua ni cakap?
"Opo sing mbok delok, Derus?" Poksu mengulangi soalannya. Derus masih tercegat berdiri. Langsung tidak berpaling.
"Sampeyan pengin dadi kaya wong, Derus? (kau nak jadi macam diorang, Derus?)"
"Poksu cakap bahasa apa ni? Jawa ke? Abang Derus mana faham bahasa Jawa. Cakap Melayulah!" Tegur Samad geram. Namun Poksu langsung tidak memandang ke arahnya. Mata Poksu tetap pada Derus di atas sana.
"Supaya cangkemmu cedhak, kowe bakal ditinggalake (tutup mulut kau kalau kau nak selamat)..." Poksu tersengih jahat. Kembang-kempis hidung orang tua itu menutur bahasa Jawa pekat.
Derus menelan air liur. Entah kenapa suara Poksu kedengaran begitu dekat dengan telinganya. Dia sedar bahawa Poksu sedang bertutur dalam bahasa asing, namun maksud patah-patah kata orang tua itu difahami dengan hati.
"Mudhun, Derus... (turun, Derus)"
Derus mengangguk lalu berpaling. Perlahan-lahan dia melangkah menuruni anak tangga, berjalan melepasi Kidin, Badar dan Samad. Mulutnya bagaikan terkunci. Kidin, Badar dan Samad menjeling hairan. Poksu pula tersenyum senang.
"Jom turun," ujar Kidin. Belum sempat dia melangkah mengekori Derus, Samad mencapai lengannya. Badar pula tidak berganjak.
"Kau nak pergi mana?" Tanya Samad garang. Matanya sedari tadi asyik memerhatikan Poksu. Wajah orang tua itu kelihatan tenang.
"Nak turunlah. Abang Derus pun turun. Tak ada apa-apalah tu."
Samad menggeleng, "aku tak percaya. Jom, kita naik!"
Badar mengangguk, menyokong. Wajah Poksu berubah serta-merta. "Korang budak-budak tak payah sibuklah! Ikut jer Abang Derus kau tu turun!" Jerkah orang tua itu.
"Eh, apasal pulak? Suka hati kitoranglah!" Betah Samad.
"Kurang ajar!" Poksu merenung marah ke arah Samad. Samad langsung tidak mengalihkan pandangannya. Mencabar. "Hah, naiklah. Naik!"
"Nak naiklah ni!" Tempelak Samad. Namun Kidin sedari tadi asyik menggeleng-geleng. "Kau kenapa, Kidin?"
Kidin diam merenung rakannya itu. Kemudian, dia berpaling ke arah Poksu. "Poksu cakap apa dekat Abang Derus tadi?"
"Aku cakap, berdiri dekat tangga tu baik-baik. Takut dah reput dimakan anai-anai."
"Anai-anai apa Poksu? Tangga besi ni!"
"Ini Kampung Alor, Kidin. Banyak benda kau belum tahu."
"Hah, dari dulu macam tu. Ada jer benda pelik yang berlaku, mesti orang-orang tua sebut macam tu. Kampung Alor inilah, Kampung Alor itulah. Mengarut!" Betah Samad.
Poksu diam. Anak matanya bergetar menahan marah. "Aku turun dulu," katanya dengan suara menderam.
Samad, Kidin dan Badar sekadar menerhatikan sahaja lelaki tua itu melangkah menuruni anak tangga. Sebaik sahaja lelaki tua itu keluar dari pintu, mereka berpandangan sesama sendiri. Hidung Badar kembang-kempis, "kau perasan tak, Poksu blah jer, bau lumpur kurang sikit. Takkan badan orang tua tu bau lumpur?"
Kidin menarik nafas panjang, "ada lagilah bau lumpur," katanya yakin.
"Memanglah ada. Tapi masa Poksu berdiri belakang kita tadi, lagi kuat baunya!"
Samad diam berkira-kira. Memang ada yang tak kena dengan orang tua tu. Tanpa berkata apa-apa, dia melangkah perlahan menaiki anak tangga. Kidin kelihatan teragak-agak sebelum mengekori rakannya itu. Badar berjalan di belakang sekali. Sekejap-sekejap dia berpaling ke belakang. Sampailah ke anak tangga paling atas, langkah Samad terhenti. Dia menelan air liur. Lutut Kidin terketar-ketar. Wajah Badar pula berubah pucat. Nafasnya seakan tersekat melihat apa yang berada di hadapan mereka.
Dinding bertentangan dengan mereka disaluti lumpur hitam. Hanya mengambil masa dua saat sebelum mereka sedar bahawa dinding berlumpur itu sedang berdenyut. Seakan hidup. Sesekali terdapat gumpalan besar yang menggapai keluar dari dinding itu. Jika diperhatikan betul-betul, mirip lengan seseorang. Kidin menarik-narik belakang baju Samad. Samad menepis. Matanya masih tertumpu pada dinding ruang kecil menara itu. Tanpa berkata apa-apa, dia melangkah naik, berjalan menghampiri dinding berlumpur itu. Namun dia cukup bijak untuk memastikan terdapat jarak lebih dari tiga kaki di antara dinding itu dengan tempat dia berdiri. Matanya dikecilkan, mengamati setiap pergerakan gumpalan-gumpalan hitam di dalam lumpur itu.
"Satu denyutan..." kata Samad dalam hati, "dua denyutan..." dia membilang, "tiga denyutan...."
"GAHH!" Muncul wajah seseorang dari dalam lumpur itu, betul-betul di hadapan Samad. Wajahnya kelihatan tersiksa, dengan mulut ternganga seakan mencari nafas. Samad rebah ke belakang. Kidin dan Badar cepat-cepat berlari menuruni anak tangga. Samad cuba untuk bangkit, namun tubuhnya seakan terkunci. Matanya buntang memerhatikan wajah hitam itu. Sejenak kemudian, dia menyedari sesuatu. Itu wajah Bilal Omar!
"Bilal?"
Wajah hitam tadi masih bergerak-gerak, namun tidak mengeluarkan suara. Kelihatan jelas cuba meminta tolong. Lohong pada mulutnya dipenuhi lumpur hitam. Menyedari bahawa Bilal Omar memerlukan bantuan, Samad mengumpul seluruh daya di dalam tubuhnya untuk bangkit. Perlahan-lahan dia menghulurkan tangannya. Bilal Omar menggeleng sebelum sempat Samad menyentuh lumpur itu.
"Bilal? Apa dah jadi ni?"
Wajah hitam Bilal Omar kelihatan semakin jelas, namun tidak melepasi bahagian telinganya. Orang tua itu seakan tersekat di dalam dinding berlumpur. Samad menoleh ke kiri dan kanan, mencari akal. Di belakangnya, kedengaran bunyi berkeriut tangga besi yang dinaikinya tadi. Mungkin rakan-rakannya kembali. Dia menoleh penuh berharap.
Kelihatan Poksu sedang tersengih di belakangnya. Orang tua itu melangkah perlahan menghampiri dinding berlumpur tadi. Samad tercengang.
"Tahu pun kawan kau dua orang tu takut. Aku ingatkan berani sangat," ujar Poksu sinis. "Aku dah suruh semua orang balik."
"Apa Poksu dah buat dengan Bilal Omar? Apahal dia dekat dalam lumpur ni?!"
"Aku? Kau tuduh aku? Jangan main-main, Samad..."
"Habis, kalau bukan Poksu, siapa?"
Belum sempat Poksu menjawab, satu gumpalan lumpur menjulur keluar dari dinding di hadapan mereka, membentuk lengan yang besar. Samad melangkah menjauhi gumpalan itu.
"Aja ngganggu bocah iki (jangan ganggu budak ni)!" Jerkah Poksu ke arah lengan hitam tadi. Serta-merta pergerakannya terhenti. Buntang mata Samad, tercungap-cungap memandang Poksu tidak percaya.
Poksu menjeling sejenak ke arahnya, kemudian kembali memandang gumpalan lumpur tadi, "dheweke isih enom (dia budak lagi)," kata Poksu kepada gumpalan itu.
"Poksu suruh benda ni serang saya?!"
Poksu menggeleng tenang, namun pandangannya tetap pada gumpalan lumpur tadi. Berjaga-jaga.
"Apa benda ni Poksu? Belaan Poksu ke?"
"Belaan aku? Benda ini yang jaga kampung kita selama ni. Benda ni belaan kita semua."
"Khurafat! Ini rumah Allah! Macam mana benda macam ni boleh hidup dalam ni?!"
Poksu ketawa mengekeh, "kau budak, tak tahu apa-apa," kata orang tua itu mengejek.
"Baik Poksu jelaskan sebelum saya hentak Poksu dekat sini!"
Poksu langsung tidak kelihatan tercabar dengan kata-kata Samad itu. Kedua belah tangannya diletakkan di belakang badan. Dia mengeluh perlahan. "Tak ada siapa pernah perasan, surau kita ni tak betul kiblatnya. Selama berpuluh tahun kita orang-orang Kampung Alor ni bersolatkan kiblat yang salah."
Samad terdiam. Keningnya terangkat. "Takkan tak pernah ada siapa-siapa yang periksa?"
Poksu menjeling ke arah Samad, "kalau kau masuk surau, pernah kau periksa mana arah kiblat? Dekat situ sejadah imam, arah itulah kau sembahyang, kan?"
"Tapi... ini surau Poksu! Tak mungkin masa diorang buat surau ni dulu, diorang tak periksa dulu?!"
"Diorang periksa... cuma sengaja disalahkan kiblatnya," Poksu tersenyum lebar sehingga sepet matanya.
"Untuk apa?!"
"Untuk dia ni," Poksu menuding ke arah lumpur pada dinding tadi. Suasana diam sejenak. Poksu mengamati setiap liang-lentuk lengan hitam di hadapannya. Kemudian, dia berpaling ke arah Samad, "Kau berani, Samad. Tapi kau tak berkuasa. Kau ikut aku, aku akan jadikan kau pewaris benda ni."
Samad memandang Poksu tidak percaya, "gila! Untuk apa?!"
"Kuasa..." jawab Poksu ringkas.
Samad memerhati setiap inci dinding berlumpur di hadapannya itu. Wajah Bilal Omar sekejap muncul, sekejap tenggelam. Denyutan pada dinding itu sama rentaknya sedari tadi. "Mana Pak Ngah?" Soal Samad, "dalam ni juga ke?"
Poksu mengangguk tersenyum.
"Apa akan jadi dengan diorang?"
"Tak ada apa-apa. Nanti benda ni dah kenyang, dia muntahkan semula Bilal Omar sama Pak Ngah kamu."
"Hidup-hidup?"
"Ya, hidup-hidup..."
"Habis, apa yang dimakannya?"
"Semangat... benda ni cuma makan semangat manusia. Bukan zahirnya."
Samad merenung Poksu tidak percaya. Jika dia hanya mendengar tentang perkara itu tanpa melihat apa yang ada di hadapannya, pasti saja dia akan menganggap si pencerita itu gila. Serta-merta Samad tersedar akan sesuatu. Tiada sesiapa yang akan percaya jika dia menceritakan tentang perkara itu. Orang akan lebih dengar cakap Poksu. Lelaki tua itu dikenali sebagai orang surau. Dia pula, baru nak berjinak-jinak ke surau sejak tahun baru kelmarin. Derus pula terang-terangan penakutnya.
"Untuk apa benda ni makan semangat manusia?"
"Supaya dia terus hidup."
"Apa yang akan jadi dengan manusia yang dah dimakan semangatnya?"
Poksu menarik nafas panjang, kemudian dilepaskan perlahan-lahan, "akan hilang semangat untuk hidup."
"Habis tu, macam mana dengan Bilal Omar dengan Pak Ngah? Diorang orang penting dalam kampung ni!"
Tanpa memandang Samad, Poksu tersenyum penuh makna. Matanya kelihatan kosong, mengenang sesuatu. "Aku dulu pun pernah jadi makanan benda ni, tapi kau tengok aku macam mana? Masih hidup, kan? Kau tahu umur aku berapa?"
Samad menggeleng.
"105 tahun."
"105?! Macam mana Poksu boleh hidup lama macam tu?"
Poksu memuncungkan mulutnya ke arah dinding berlumpur tadi. Perlahan-lahan wajah Pak Ngah pula muncul dari dalam lumpur itu. Samad menjeling sejenak ke arah wajah hitam Pak Ngah, kemudian ke arah Poksu semula. Kini apa yang diceritakan Poksu lebih menarik perhatiannya.
"Benda ini, kalau kamu jadi pewarisnya, dia akan jaga kamu. Dengan syarat, setiap 30 tahun, kamu beri dia makan."
"Macam mana nak bagi dia makan?"
"Pandai-pandai kamu..."
---
Malam itu hujan turun dengan lebatnya. Lepas Isyak, kecoh satu kampung apabila Pak Ngah dan Bilal Omar ditemui sedang berbaring tidak sedarkan di luar surau. Yang jumpa mereka, Poksu dan Samad. Orang-orang kampung berkumpul di luar surau, ingin melihat keadaan dua orang lelaki itu. Seluruh tubuh Pak Ngah dan Bilal Omar bersalut lumpur. Selepas mereka terjaga, puaslah orang-orang kampung bertanya kepada mereka, apa yang berlaku sebenarnya. Namun mereka sekadar diam, merenung kaki masing-masing. Langsung tidak mendongak atau berkata apa-apa.
Derus, Kidin dan Badar sekadar berdiri di belakang orang ramai. Kidin terjenguk-jenguk, mencari Samad. Sebaik terlihat Samad, dia melambai-lambai memanggil. Samad melangkah perlahan mendapatkan rakan-rakannya itu.
"Errr... apa jadi tadi, Mad?" Tanya Kidin teragak-agak.
"Bila? Lepas korang lari tinggalkan aku tadi?"
"Kau gila Mad! Aku nampak muka orang dekat dalam lumpur tu! Kau pun nampak kan?"
"Muka orang? Mana ada?" Samad berdalih, kemudian dia menjeling ke arah Derus. Lelaki itu sengaja tidak memandang wajah Samad.
"Betul Mad! Masa kau jatuh tu, aku memang nampak ada muka orang! Kau pun nampak, kan Dar?"
Badar mengangguk bersungguh-sungguh.
"Tak ada apa-apalah. Benda dah selesai dah pun."
"Dekat mana kau jumpa Pak Ngah dengan Bilal Omar?" Tanya Badar pula.
"Dekat dalam hutan belakang surau tu. Lepas semua orang balik tadi, aku dengan Poksu masuk dalam hutan tu, sebab kitorang nampak samar-samar tapak kaki berlumpur menghala ke situ," sekali lagi Samad menjeling ke arah Derus, tertanya-tanya sama ada lelaki itu tahu dia sedang berdalih atau tidak. Namun lelaki itu masih tidak mahu memandang wajahnya. "Ini dah hujan pulak, dah hilang kesan tapak kakinya. Kalau tak, aku boleh tunjuk dekat korang. Besar!"
"Habis, apa benda yang dekat atas menara? Jin tanah?" Soal Kidin.
Samad mengangguk, "a'ah, Poksu kata, itu jin tanah."
"Benda tu ke yang culik Pak Ngah dengan Bilal Omar?"
"Ya. Tapi aku dengan Poksu dah selesaikan. Korang tak payah risaulah. Poksu tu tinggi ilmunya. InshaAllah, benda tu tak datang lagi dah. Pintu kayu ke menara tu pun aku dah ganti tadi."
Kidin menggaru-garu kepalanya, "eh, kenapa kau pulak yang ganti? Rajin pulak kau?"
Samad terdiam. Memang dia yang menggantikan pintu kayu itu tadi demi menjaga rahsianya dan Poksu. "Errr... kebetulan dekat dalam stor surau tu ada pintu. Aku pun ganti ajelah. Tak boleh ke?"
Kidin dan Badar berpandangan sesama sendiri, kemudian ke arah Samad semula. Jantung Samad berdegup kencang.
"Jadi, memang dah tak ada apa-apalah?"
Samad tersenyum tenang, "ya, tak ada apa-apa," balasnya. Sudah lama dia tidak berasa bersemangat seperti itu. Seakan dia dikurniakan nyawa kedua. Derus pula kekal diam demi menjaga dirinya sendiri.
-Tamat-
=========================
KAMPUNG ALOR – NYAWA KEDUA
©Ahmad Rusydi
Suntingan : Ahmad Rusydi
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com
No comments:
Post a Comment