KEBAYA MERAH DI MALAM KRISMAS
===============================
Ini adalah berdasarkan kisah benar, berlaku pada Disember 2016 atau lebih tepat lagi berlaku pada hari Sabtu, 24 Disember 2016.
Ketika hampir majoriti masyarakat Malaysia yang lain sibuk bercuti kerana keesokkannya ialah hari Krismas, kami pekerja industri pengeluaran atau istilah mudah, matatau minah kilang bersiap untuk memulakan tugas syif malam pada hari itu.
Memang berat kaki melangkah dan bosan bila fikirkan balik bila terpaksa bekerja pada malam minggu dan mood cuti perayaan. Tapi bila difikirkan bab bayaran yang lumayan, hilanglah sedikit kebosanan dan serta-merta bersemangat hendak mula bekerja!
Waktu kerja kami adalah standard kerja kilang, 12 jam. Masuk 7 petang dan balik 7 pagi. Kalau bertugas sebagai operator mesin pengeluaran, kau faham-fahamlah bila dah mood bercuti ini, sudah semestinya ada pekerja yang malas nak datang kerja.
Ada yang dah dua tiga bulan awal memohon cuti tahunan. Mesin yang sepatutnya beroperasi sebanyak 2 buah, hanya beroperasi sebuah. Itupun kerana hanya kami bertiga sahaja yang hadir, kalau dikira sekali supervisor aku, jadilah 4 orang!
Jam tepat pukul 7 malam, tugasaku bermula dan cerita ini bermula.
Masuk saja ke kawasan mesin, mesin yang kami ambil alih dari pekerja syif pagi tiba-tiba terhenti. Tiada tanda-tanda kerosakkan.
Pelik!
Tiada sebarang tanda amaran yang keluar di skrin utama mesin, semuanya ok, tapi mesin tetap tidak dapat dijalankan. Waktu itu jam sudah pukul 8 malam, kami dan supervisor bertungkus lumus mencari punca.
Aku lihat supervisor aku menelefon pekerja penyelengaraan. Katanya, mesin sudah diservis minggu lalu, lagipun mesin yang aku kawal selia ini masih 1 tahun usianya.
Sementara pekerja di bahagian pembungkusan, sedap sahaja melepak. Macam-macam skill dan pengalaman kami keluarkan, namun mesin tetap tak dapat beroperasi. Siap buat video call dengan pekerja penyelengaraan tetap mesin tidak beroperasi!
Hampir pukul 10 malam, kami berempat dah mati akal, baju dah lencun. Akhhirnya supervisor aku bersuara.
"Kita rehat dulu, lagipun aku nak solat Isyak ni, dah la maghrib terlepas tadi", kami yang lain menurut.
Oh ya, untuk pengetahuan supervisor kami ini orangnya agak warak dan yang paling menarik tentang dia, hijab matanya terbuka! Jadi dia memang dapat lihat benda-benda ghaib ni, tapi dalam masa sama dia juga penakut juga orangnya!
Supervisor aku terus bergegas ke surau yang terletak agak jauh dari mesin kami, sementara kami pula melepak depan kipas melepaskan lelah. Untuk ke surau tu pula, kena melalui jalan di bahagian mesin yang agak luas, gelap dan agak menakutkan bila tibanya malam.
Kilang ni memang besar dan luas, tapi tak semua lampu di pasang, hanya di kawasan mesin dan pembungkusan. Sebagai langkah penjimatan katanya.
Kejadian seram bermula di mesin, sedang kami melepak sambil borak-borak kosong, tiba-tiba seorang rakan aku bersuara.
"Woi, cuba kau tengok lampu kat atas tu!" Sambil jarinya dituding. Untuk pengetahuan lampu-lampu kalimantang dekat kilang ni semua tergantung ala-ala buaian. Dalam berpuluh lampu yang tergantung tu, ada satu unit yang terletak betul-betul di pertengahan mesin kami, berhayun secara tiba-tiba!
Mula-mula perlahan, kemudian laju, kemudian perlahan balik, seperti ada sesuatu yang sedang berbuai. Hendak kata hembusan atau tiupan angin, mustahil! Kilang ini tertutup rapat, nyamuk seekor pun susah nak masuk dan memang tiada saluran angin langsung. Kami berpandangan dan mata kami tertancap memerhatikan hayunan lampu itu dalam keadaan agak cuak.
"Sepanjang aku kerja dekat di sini, tak pernah jadi macam ini, mesin pun buat hal tiba-tiba. Jangan-jangan ada benda kat atas tu!" Ujar seorang rakan. Yang lain semua senyap, tiada siapa pun berani bersuara. Lampu masih berayun, perlahandan kemudian laju.
Tiba-tiba, supervisor kami muncul dengan muka pucat. Terkejut kami, sekejap betul solat dia, selalunya tak macam tu. Seorang rakan bertanya kepada dia,
"Boss, tengok atas kat lampu tu, apa yg kau nampak?"
Dia dongak ke atas, tak sampai 5 saat, pandangannya turun ke lantai.dia bersuara,
"Aku tak nak cakap, tapi kalau korang nak tengok, jom ikut aku". Kami segera mengekori langkah supervisor.
Kami melalui jalan ke surau, sampai di bahagian belakang mesin yang agak gelap tu, dia berhenti.
"Cuba korang tengok, apa benda yang bertenggek dekat atas tangki tu?" Ujar supervisor aku.
Untuk pengetahuan, dari jarak lebih kurang 100 meter sahaja, kami semua terlihat susuk tubuh berkebaya merah, rambut panjang mengurai sedang bertenggek membelakangi kami. Tiada pergerakkan. Seolah-olah terpaku, kami memerhati dan diam membisu. Kali ni, bukan supervisor kami sahaja yang boleh nampak, dengan kami sekali terjebak.
Supervisor kami memberikan isyarat diam dan menyuruh kami beredar, perlahan, kami berempat melangkah keluar dan menuju ke tempat merokok, jam dah hampir 12 malam, kami bertiga membisu sambil di temani udara tar dan nikotin.
"Korang nak tahu ke apa benda yang main buaian kat atas lampu tu?" Supervisor aku bersuara, tanpa dipinta, dia meyambung.
"Ada 2 ekor syaitan situ, satu yang korang nampak kat belakang mesin tu, tapi yang dekat lampu tu, memang agak mengerikan muka dia, kebaya merah juga, tapi lidah terjelir, mata sebelah terkeluar, kulit muka sopak habis, nampak isi muka! Hoi, geli dengan seram gila woi, aku terbayang-bayang lagi ni!"
Kami diam, masih dalam mood takut tambah terkejut. Pengalaman pertama mungkin.
"Habis tu, macamana ni bro? Takkan kita nak melepak kat sini sampai balik, budak-budak packing ada lagi kat dalam tu, mujur mereka tak tahu" Ujar rakan aku.
Supervisor aku diam, tangannya sedang sibuk menaip sesuatu di skrin telefon. Kemudian dia bersuara, "kita tunggu lagi sejam, buat masa ini, biar budak-budak packing lepak sahaja dulu, jangan bising-bising, nanti kecoh pulak!" Kami mengangguk setuju.
Jam 1:30 pagi, setelah separuh kotak rokok habis disedut kami berempat, supervisor aku memberikan isyarat agar masuk ke kawasan mesin, kali ini,semua lampu dinyalakan.
Aku whatssap boss tadi, dia suruh buka semua lampu dan cuba run mesin," ujarnya.
Terang-benderang semua kawasan kat kilang tu, kurang sikit rasa takut. Lampu yang berbuai sudah pun berhenti, semua nampak normal. Supervisor kami cuba menghidupkan mesin, sekali tekan, mesin terus hidup berfungsi macam biasa. Alhamdullillah, tiada gangguan sampai ke pagi. Walaupun masih ketakutan, kami meneruskan tugas seperti biasa, mesin pula beroperasi dengan lancar sekali.
7 pagi, sebelum balik kami bertanya kepada supervisor kami, apakah sebenarnya makhluk itu. Jawapan dia, "entahlah, aku pun tak boleh nak jawab, apa yang aku tahu, itu pertama kali aku nampak hantu macam itu, sebelum ni yang biasa-biasa dan baju putih sahaja! Tapi ni kebaya merah pula! Cuma yang aku ingat kata orang tua-tua,yang baju merah ni, biasanya yang paling gerun dan bahaya, mujur malam tadi dia tak kacau kita semua."
Terlopong jugaklah kami mendengar. Dia bertanya kami, jika lampu semua dah padam semula ke? Jangan bagi terpasang pula untuk syif pagi.
"Sebelum balik ni, jom ikut aku pergi guardhouse jap, kita layan cctv," ujar supervisor kami dengan wajah serius.
Sampai di guardhouse, di skrin cctv, dalam keadaan kilang yang gelap gelita tu, kali ni bukan si kebaya merah sahaja yang ada, ada yang berbungkus, ada yang berambut panjang mengurai ,sedang bertenggek di atas mesin kami!
2 minggu berselang, atas usaha pihak syarikat, ustaz-ustaz dari pengamal perubatan Islam seramai lebih kurang 15 orang, datang untuk 'memagari' sekitar kawasan tempat kerja kami. Alhamdullilah, setakat kisah ini di tulis, tiada lagi gangguan kelihatan.
Tempat kerja anda bertugas tak ada kisah seram ke? Hehehe
-TAMAT-
======================================
Karya: Nurkasih
Karya ini eksklusif milik penulis dan Arkib Angker Negara. Sebarang perlakuan plagiat akan diambil tindakan tegas.
Jika anda ada kisah atau cerpen untuk dikongsikan, Sila email ke aanrc2017@gmail.com atau inbox ke page kami. Kami menerima cerpen bergenre mistik, seram, thriller, misteri dan juga mind-blowing. Akaun media social anda akan kami nyatakan jika cerpen anda dipilih untuk disiarkan oleh page dan blog kami.
No comments:
Post a Comment