Pokok Derdap
Penulis: kAiNKaPaN
============================
Hujan turun dengan lebatnya petang itu. Jamil dan Hadi berlari berkejaran sambal diselangi gelak tawa menuju bawah rumah Wan Dot di hujung kampung.
Selamat dari basah! Mungkin itu yang bermain fikiran mereka saat itu. Jamil dan Hadi saling berpandangan sambil tersengih.
Hadi memuncung - muncung bibirnya ke arah bawah rumah.
"Haaa..telur ayam," sambut Jamil sambil perlahan-lahan menuju tempat ayam bertelur.
Hujan sudah mulai berhenti. Rintik hujan semakin menipis sambil sesekali di selangi kilat. Kedua saudara bersepupu ini tersandar kekenyangan di tiang kayu. Begitulah adat budak kampung. Telur mentah pun boleh jadi santapan enak di kala perut kosong!
Keduanya berjalan seiringan. Tiba di simpang, mereka berpisah sambil mengikat janji untuk berjumpa keesokkan harinya. Destinasi mereka tetap sama – RUMAH WAN DOT. Wan Dot pun bukan orang lain, pangkat nenek saudara mereka juga.
Keesokkan harinya, mereka bertemu di bawah pokok derdap – betul-betul terletak di belakang Rumah Wan Dot. Aktiviti hari ini, main laga semut. Sesungut semut di buang setelah semut di pancing keluar dari lubang menggunakan tangkai kemuncup. Semut dilagakan sesama sendiri. Khusyuk betul mereka, sehinggalah di kejutkan oleh suara Wan Dot dari tingkap.
"Jamil! Hadi! Naik ke rumah mandi dulu. Dah nak maghrib ni."
-----
Malam itu mereka bermalam di rumah Wan Dot.
"Mak kamu si Milah tumpang ayah kamu Jamil oiii. Nak ke Gua Musang tengok orang sakit," cerita Wan Dot sambil mengunyah sirih, bersandar di bucu dinding. Terjuih-juih mulut Wan Dot bercerita kepada Hadi sambil mengunyah sirih. Sesekali air liur diludahkan ke dalam bekas besi khas.
"Mak tu bomoh handalan ke Wan? Sampai kena import ke sana," soal Hadi sambil mengorek-ngorek telinganya yang entah gatal ke tidak.
"Kau budak lagi Hadi. Nanti sampai masa kau fahamlah nanti."
-----
Hadi masih terkebil-kebil cuba melelapkan mata. Matanya merenung siling papan. Bunyi burung jampok saling bertingkah dengan bunyi cengkerik. Sesekali di sahut dengkuran Jamil yang tidur berbungkuskan kain pelikat.
Malam semakin dingin. Benak fikirannya masih ligat memikirkan emaknya yang selalu mengubatkan orang. Fikiran makin melayang entah ke mana. Mata Hadi sudah mula terlelap. Tiba-tiba dia tersedar dari tidur. Perutnya memulas-mulas minta di kosongkan. Hadi bangkit menuju ke tandas di luar rumah.
Memikirkan detik itu, hatinya gugup.
"Aahhhh! Kenapa la time ni nak sakit perut! Bedebah!" bebel Hadi sendirian.
Lampu ubat lapan jadi peneman. Digagahi jua langkahan kaki menuju ke tandas.
Selesai urusannya, cepat-cepat langkah di atur naik ke rumah. Seram sejuk buka kepalang apabila dia melintasi pokok derdap. Otaknya kreatif membayangkan benda yang bukan-bukan. Memang besar pokok derdap tu. Seingat Hadi, pokok itu sudah wujud lebih lama daripada usianya sendiri.
Perlahan - lahan langkah Hadi masuk ke bilik semula. Bimbang mengganggu tidur si Jamil. Dia merebahkan badan ke tilam kekabu empuk. Masih terbayang pokok derdap yang kelihatan seperti kelibat ‘benda’ semasa dia menyuluh kiri kanan selepas menunaikan hajat di tandas tadi..
Aahhh. Tidur lagi bagus! - bentak Hadi, sekadar menyedapkan hati.
-----
Di antara sedar dan hanyut dibuai rasa mengantuk, tiba-tiba bau hanyir menyucuk hidungnya. Hatinya mula mencetuskan kemungkinan yang bukan-bukan. Degup di dada bertambah kencang. Lampu ubat lapan dicapai lalu digenggam erat sambil berkalih ke arah Jamil di bucu katil.
Tangan mencapai cuba menguis sepupunya itu. Hujung kain berjaya dicapai, lalu direntap laju. Kosong! Kain yang membungkus Jamil melayang dan menutupi muka Hadi. Saat itu, baru dia merasakan kain itu basah, sejuk di hujung jarinya. Hadi menyuakan tangan ke hidungnya. Bau hanyir mula menyerang deria Hadi.
Hadi memberanikan diri.
Punat lampu suluh ditekan.
Lampu suluh dihalakan ke serata bilik. Tiada sosok tubuh sepupunya. Hanya sehelai kain pelikat yang lencun dengan darah. Jantunya mula berdetak kencang. Matanya tiba-tiba tertumpu pada kesan kehitaman di bawah suluhan lampu picitnya itu. Kesan seperti benda diseret menghala ke luar bilik. Hadi bangun berjalan menuju ke luar bilik, mengikuti kesan seretan itu. Sebaik sahaja tiba di muka pintu, telinganya menangkap bunyi.
KRUUKK! KRAAKK! KRUUKK! KRAAKK!
Diamatinya bunyi itu. Pantas lampu ditujukan ke arah bunyi itu. Tatkala cahaya lampu suluhnya menerangi tempat itu, spontan badannya mengundur ke belakang. Dia bagaikan tak percaya apa yang dilihatnya.
Pandangannya terus terpaku sambil langkahnya makin mengundur. Badannya mula berkeringat. Keringat dingin. Tangannya meraba selak tingkap sebaik sahaja badan bersentuh dengan dinding rumah. Dibukanya selak tingkap untuk sebarang kemungkinan.
Hadi masih belum dapat menerima apa yang dilihatnya sekarang. Matanya mengiyakan. Tetapi otak logik menidakkan. Mana mungkin sosok Wan Dot yang sedang membelakanginya sekarang ini di bawah suluhan lampu picitnya. Tingkap kini direnggangkan. Kakinya mengangkangi tingkap.
Sebaik saja dia bercelapak di pinggir tingkap, sosok itu berpaling dengan rambut menutupi muka menoleh. Di tangan ‘Wan Dot’ itu sedang memegang tangan yang berlumuran darah.
“Kau makan telur aku!” jerkah lembaga tersebut.
“Apa kata aku pula makan darah daging kau!”
“Dua telur untuk dua nyawa! Hahaha!” – lembaga it uterus menyeringai.
Hadi melompat terjun melalui tingkap. Langkahan kaki terasa seperti tak menyentuh tanah lagi. Tidak tahu ke mana harus dituju.
Bedebuk!
Seperti terlanggar sesuatu. Hadi terbaring di atas tanah.
Pandangannya berbintang.
-----
Kini 10 tahun telah berlalu.
Kehilangan Wan Dot dan Jamil makin dilupai penduduk kampung. Ada teori mengatakan mereka diculik. Ada berpendapat mereka dirompak dan dibunuh. Tak kurang juga yang terus mempercayai unsur mistik.
Hadi?
Hadi masih di bawah pokok derdap. Main laga semut sambil bergelak tawa. Walaupun dewasa pada zahirnya, namun jiwanya seperti 10 tahun dahulu.
Nak goreng telur? Pastikan ia telur ayam!
-TAMAT-
===========================================
Gambar suntingan: KamenRider
Peringatan.
Cerita ini telah disunting oleh pihak kurator AAN. Cerita yang telah disunting ini TIDAK BOLEH disiarkan di mana-mana medium/saluran lain.
Jika anda ada kisah atau cerpen untuk dikongsikan, Sila email ke aanrc2017@gmail.com atau inbox ke page kami. Kami menerima cerpen bergenre mistik, seram, thriller, misteri dan juga mind-blowing. Akaun media social anda akan kami nyatakan jika cerpen anda dipilih untuk disiarkan oleh page dan blog kami.
No comments:
Post a Comment