PEMAKAN DAGING 2/2
Siri 1 : https://m.facebook.com/story.php…
Tba-tiba, terasa cekikan di leher Belinda lalu menyebabkan Belinda mula hilang fokus memandu. Cekikan itu kejap dan kuat. Belinda mula rasa sesak nafas dan pandangannya mula merasa hampir kelam. Pantas, Belinda menekan brek dan keretanya terhenti di sisi jalan.
Aneh, apabila kereta selamat berhenti, cekikan itu turut sama terhenti. Bau busuk yang sebelum ini wujud bersama cekikan itu turut hilang dibawa angin lalu.
Didepan, tersergam sebuah rumah agam yang seolah sedang menanti kedatangan tetamu. Kelihatan kemas terjaga disekelilingnya. Seekor burung hantu, seolah menjadi penyambut tetamu memandang Belinda tajam. Bau dari bunga kemboja mewujudkan sedikit rasa seram di hati Belinda.
Rumah itu, seolah memanggil-manggil Belinda untuk masuk ke dalamya. Dan seperti ditarik-tarik, kaki Belinda menghampiri pintu rumah itu. Automatik, pintu terbuka seolah kehadiran Belinda di tunggu-tunggu.
"Seronok kau lari dari aku? Mana kau nak pergi?" suara yang terdengar betul-betul di belakang telinganya membuatkan peluh jantan menitis keluar. Herman!
Baru sahaja mahu melarikan diri, tangan Belinda dipegang kejap. Tidak terdaya Belinda mahu melepaskannya. Cincin yang kemas didalam genggamannya terlepas. Pantas Herman mengambilnya seraya itu tamparan hinggap di pipi mulus milik Belinda menyebabkan Belinda jatuh dan terhantuk ke bucu meja dihadapannya. Darah di dahi dan bibir Belinda tidak separah hatinya yang separa nanar.
Cincin itu, pantas disarungkan ke jari kelingkingnya semula. Terasa segala kuasa di alam semesta meresap masuk ke tubuhnya. Herman terasa seperti baru dilahirkan semula.
Belinda bermonolog. Rasanya, Herman jauh ketinggalan dirumahnya tadi usai tidur kerana kesan ubat tidurnya. Mengapa pula Herman boleh berada disini, dihadapannya walau sudah berpuluh kilometer dia memandu.
Rentapan rambutnya menyebabkan imbas semula Belinda terhenti. Rasa seperti mahu tercabut akar rambutnya dengan cengkaman kemas dari Herman. Tidak pernah Belinda lihat wajah bengis Herman seperti itu. Selama ini, Herman menatangnya seperti minyak yang penuh, layanannya malahan terlalu mesra. Tapi hari ini, sisi Herman yang satu lagi telah ditunjukkan. Mustahil lelaki tua itu punya tenaga sekuat ini.
Belinda didudukkan di kerusi betul-betul dimeja makan rumah itu. Dua buah pinggan, sudu garpu tersusun cantik. Cawan kaca juga sudah terisi air berwarna merah pekat.
Tangan dan kaki Belinda diikat kuat. Dari sisi mata, Belinda melihat Herman sedang menyediakan sesuatu. Pisau pemotong daging dipegang kemas oleh Herman. Bau enak sejenis masakan menerpa rongga Belinda. Entah apa yang disediakan oleh Herman. Hairan.
"Selama ni, aku tatang kau elok. Syarat kau aku ikut. Keluarga kau aku mewahkan. Tapi sayang, kau khianat pada aku. Kau menyibuk dengan urusan aku." tutur Herman sambil menyuakan pinggan berisi daging yang dimasak separa mentah itu. Potongan daging, disua pada Belinda. Dalam terpaksa, Belinda mengunyah.
Belinda perhati, begitu Herman menikmati juadahnya hinggakan tidak ada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Sesekali, cincin dijari diusap-usap. Sayang benar dengan cincin tersebut.
"Kenapa tak makan. Tak sedap daging yang aku masak? Kau ingat senang ke aku nak cari daging istimewa ni?" soal Herman.
Herman, entah mana suis telah dipetik, berjalan mundar mandir dihadapan Belinda sambil menarik-narik rambutnya. Triggered entah kenapa. Seolah dibisikkan kalimah hasutan kiri dan kanan cuping telinga.
'Perempuan sama sahaja. Habis madu sepah dibuang. Dah beri betis, nak peha'
'Aku dah jemu dengan perempuan-perempuan gila harta macam ni. Asal nampak aku kaya, aku pinang terus terima.'
Herman mengomel sendirian.
.
Imbas Kembali.
Maria, wanita yang dicintainya selepas Sarah. Dinikahinya tanpa ragu dengan izin Sarah. Disangka ikhlas mencintainya, rupanya ada udang disebalik batu.
Mahukan harta, malahan tidak malu-malu tinggal serumah bersama Sarah asalkan hajat dihati untuk membolot segalanya tercapai.
Suatu malam, Maria meracuni Sarah. Jasad Sarah dipotong dan isinya disajikan kepada Herman saban hari. Tulang temulang ditanam dibelakang rumah itu. Menggunakan sihir, Herman seolah masih melihat kelibat Sarah di dalam rumah dan berintraksi seperti biasa. Hinggalah keanehan 'Sarah' dapat dikenalpasti Herman apabila Sarah sering enggan mengikutnya balik ke rumah keluarga mereka. Punya banyak alasan Sarah beri dan Maria pula menyokong tindakan Sarah.
Herman, mula berang dan menikam Maria serta mencarikkan muka serta tubuh Maria kerana amarah yang menggunung. Cebisan daging Maria itu dibakar dan dijamu dihadapan Maria. Belum sempat nyawa Maria dicabut, Maria lolos. Hingga kini, Maria tidak ditemui lagi.
Dan Herman, kerana dendam yang tidak sudah, maka ilmu yang pernah mahu diturunkan kepadanya sedari dulu dipelajari tanpa ragu. Semua kerana Maria yang mengkhianati cinta dan kasihnya. Malahan, Sarah yang tidak berdosa pula menjadi mangsa.
Hirisan pisau pemotong daging ke peha Belinda menyebabkan Belinda menjerit kesakitan. Terasa mahu tercabut nyawa saat Herman menghiris hingga ke lutut. Perkara yang sama dilakukan ke peha sebelah lagi. Suara Belinda serak kerana jeritan kesakitannya.
Tikaman demi tikaman oleh Herman menyebabkan Belinda seolah sudah hampir putus nyawa. Wajah cantik Belinda, dicakar-cakar menggunakan garfu. Geram sungguh Herman.
Bisik khadam setianya agar menjamu dirinya dengan darah segar Belinda dituruti. Dibiarkan sahaja makhluk itu menjamah setiap titis darah sehingga kering.
Belinda pengsan kerana kesakitan teramat.
Herman, kepenatan dan merebahkan dirinya diatas katil yang tersedia. Puas melihat derita Belinda. Wajah yang mirip Maria itu perlu dihapuskan. Masih terasa sakit lagi dengan apa yang dilakukan Maria dahulu.
Belinda terjaga kerana rasa dahaga dek perit tekak akibat menjerit sewaktu diseksa Herman. Entah kenapa, ikatan tangan dan kaki Belinda terasa seperti sudah dilonggarkan dilonggarkan. Kunci kereta elok terletak diatas meja.
Herman, perutnya dirobek. Habis ususnya keluar. Kakinya ditetak, luka besar itu kelihatan masih baru darahnya. Herman, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Entah siapa yang telah membunuhnya.
Belinda, kejung melihat keadaan itu. Kedua tangannya spontan dilihat. Tidak ada kesan darah seperti baru sahaja melakukan pembunuhan kecuali hanya carik kesan luka diperlakukan oleh Herman.
Tanpa menanti, Belinda berlari keluar dan menuju kekeretanya yang diparkir ditepi jalan lalu memandu tanpa arah. Segala kejadian seolah diulang tayang seperti tayangan video. Pandangan Belinda kabur dengan air mata.
Cahaya entah dari mana yang muncul didepan menyebabkan Belinda gagal mengawal pemanduannya, lalu bunyi seretan tayar kereta dan hentaman satu objek menggemparkan awal pagi pekan itu. Kereta itu, menjunam masuk ke dalam gaung. Saat itu, terlihat susuk tubuh seseorang dengan kerudung hitam melambaikan tangan kepadanya. Dan ia merupakan detik terpisahnya nyawa Belinda dari jasadnya.
"Satu mayat lelaki seperti dicederakan binatang buas ditemui disebuah rumah agam terbiar. Anehnya, berpuluh tulang dipercayai milik manusia juga ditemui disekitar rumah tersebut. Terdapat dua kubur baru digali menempatkan sepasang lelaki dan perempuan tua dengan anggota badan tidak lengkap turut ditemui. Tidak jauh dari lokasi kejadian pula, sebuah kereta dilaporkan melanggar tiang lampu jalan dan terbabas ke dalam gaung berdekatan. Mayat wanita dengan wajah yang cedera parah tanpa pengenalan diri ditemui. Identiti wanita tersebut sedang dikenalpasti. Ini merupakan kejadian aneh yang belum pernah lagi terjadi di negeri ini. " ulasan dari wartawan TV10 itu menarik perhatian pelanggan Bistro Larut Malam.
Disatu sudut, seorang wanita tersenyum kepuasan. Sekurang-kurang dendam lamanya terbalas. Masih dia ingat lagi rupa Herman yang merayu meminta nyawanya nyawanya malam itu. Lebih-lebih lagi apabila cincinnya dirampas saat dia sudah tidak terdaya untuk melawan kerana tikaman yang diterimanya. Cincin itu, berderai dipecahkan betul-betul dihadapannya. Sosok khadamnya yang berang jelas kelihatan. Terkaman dari si khadam yang dahaga darah, selain tikaman bertubi diselang seli dengan cakaran dari sosok tubuh yang kurang dikenalinya itu terasa merentap nyawanya sedikit demi sedikit. Makhluk khadamnya rakus menjamah sisa percikan darah dan serpihan isinya yang bersepah sana sini.
Darah dibalas dengan darah. Cukup lama dia memerhati Herman dari jauh. Cukup lama juga dia dalam persembunyian, parut diwajahnya menyebabkan dirinya enggan bertemu masyarakat. Hidupnya dijahanamkan Herman.
Kecantikkannya yang dulu telah dirosakkan oleh Herman. Dan dia berasa puas saat merobekkan perut boroi Herman. Dia puas melihat rayu Herman untuk nyawanya hingga roh terpisah dari jasad.
Dan dia, Maria sudah terlerai dendamnya. Maria melangkah keluar dari Bistro dengan 1001 rasa. Berakhir sudah kisah si pemakan daging yang bersekongkol dengan syaitan demi dendam di atas dendam. Dan akhirnya dendam yang tidak ada kesudahan menamatkan riwayat si pemuja syaitan.
Tamat
.
Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Arkib Angker Negara
Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com
Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan
No comments:
Post a Comment