Sunday, 21 January 2018

BAKERI - Nil Kuhaku


BAKERI
(Kisah bertemakan/unsur Teksi, Grab, Uber, MyLorry etc seperti yang dicadangkan oleh Dr Chaku. Kesinambungan kisah Cinta Luar Biasa oleh Nadey

Karya:Nil Kuhaku
=======

Malam kian pekat. Lelaki itu berusaha fokus terhadap tulisan-tulisan kecil di telefon bimbitnya. Aplikasi kereta sewa itu dipilihnya. Di tekan butiran hala tuju, sebelum dia tersandar di tempat perhentian bas yang mulai sunyi. Sesekali - dia terdengar bunyi gagak yang menyapa kasar, dalam, dan dia tersenyum-senyum dalam mabuknya. Sebab alkohol, atau rokok entah apa yang diberikan si Hans - dia tak tahu.

Beberapa helai kertas, sampah berterbangan di atas jalan raya yang sunyi. Dia - yang menyarungkan t-shirt, jeans dan blazer kasual yang lengannya ditarik bergaya hingga ke siku - duduk terbongkang di tempat duduk perhentian bas. Rambutnya sesekali mengurai ke dahi, dan dia menyebaknya ke belakang.

Ting!

Dia memicingkan mata. Ada mesej.

“Hello. I’m here.”

Oh, dari kereta sewa tersebut. Dia menggenyeh-genyeh mata, sebelum sebuah kereta hitam keluaran Malaysia muncul di hadapannya.

Cermin pemandu diturunkan. Lelaki, sebayanya. Barangkali? Dia bangun, memicingkan mata dengan mulut separuh ternganga.

“Hai. You ni… driver I ke?” Dia mengangkat telefonnya separas telinga.

Lelaki itu tersenyum, mengangguk.

Dia merenung gambar di aplikasi kereta sewa terkenal tersebut. Dibandingkan dengan lelaki di hadapannya.

Ha. Samalah.

Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Lantas, pintu kereta dibuka. Dia disapa bau vanilla yang lembut.

“Wanginya. Macam kedai kek.” Dia berkata, sebelum tergelak sendiri. Pemandunya - cuma tersenyum di balik cermin.

“Saya boleh simpan pewangi ini, kalau encik tak suka.”

Dia mencebikkan bibir, menggeleng kepala, menghayun tangannya. “Tak apa. Biarlah. Tak kisah pun.” Ujarnya, melepek di tingkap kereta. Lagu perlahan berkumandang di dalam kereta tersebut.

“I’ll seek you out, flay you alive.
One more word and you won’t survive.
And i’m not scared of your stolen power,
I see right through you, any hour.”


Dia menarik nafas dalam. Lagu itu membuainya dalam khayal, ditambah dengan bau vanilla lembut. Dia menutup mata, relaks. Bau vanilla ini mengingatkannya waktu dia masih kecil, waktu keluarganya masih bahagia. Masih cukup lengkap. Tiap petang ibunya akan berada di dapur, dengan peralatan membuat kek, kuih-muih - dan bau vanilla akan bertebaran ke seisi rumah, menghangatkan rumah kecil mereka. Ayahnya akan turut sekali menguli doh - apa sahajalah. Dia menolong memilih bentuk kuih-muih comel yang ibunya belikan, hiasan berkilau dan manik-manik kecil yang boleh dimakan, berwarna-warni memenuhi setiap biskut, dan waktu petang itu hanya ketawa bahagia yang kedengaran. Mereka gembira. Bahagia. Sempurna.

Hinggalah ibunya jatuh sakit, dan ayahnya bosan. Bosan berendam air mata. Bosan memikirkan masa depannya dan anaknya yang kini tiada ibu. Bosan dengan ibunya yang selalu merintih sakit.

Jadi, lelaki keparat itu meninggalkan ibu. Tanpa ada sebarang alasan, sebarang selamat tinggal, sebarang peluk cium. Dia kemas barang-barangnya, dan dia tinggalkan rumah. Begitu sahaja. Sewaktu dia pulang dari sekolah, rumahnya sudah pun kosong. Tiada penghuni. Ibu waktu itu, di hospital.

Dia mengetap bibir. Membuka matanya, merenung lampu-lampu jalan yang malap. Ah. kenapa memori itu datang? Dah sepuluh tahun. Lantaklah! Apa jadi lelaki itu, dia sudah tak ambil tahu. Tak kisah.

Dia mengerling pemandunya, yang berpakaian baju berkolar warna hitam dan berseluar jeans. Sesekali jarinya mengetuk-ngetuk stereng.

“Encik Ziyad?” tiba-tiba suara pemandunya menegur.

“Hm.” Dia menjawab, malas. Masih merenung tingkap.

Diam tiba-tiba. Lagu rentak perlahan itu masih membuainya.

“...I won't soothe your pain,
I won't ease your strain
You'll be waiting in vain,
I got nothing for you to gain.”


Dia kehairanan. Masih menunggu soalan yang bakal ditebak pemandunya. Segera, Ziyad mengerling cermin pandang belakang di hadapannya.

Sekilas, kilauan mata jingga garang memandangnya. Dia terkejut.

“Kenapa, Encik Ziyad?”

Mata itu bertukar hitam kembali. Sesekali memandangnya melalui cermin pandang belakang, sebelum memandang arah yang dipandu.

“Tak… tak ada apa-apa. You panggil I ke tadi?” ujarnya. Mungkin biasan lampu jalan?

Mata itu memandangnya lagi, sekilas. Kening tajam. Mata sedikit sepet. Mata itu kemudiannya mengecil, dengan kedutan halus mesra terbentuk di hujung mata. Lelaki itu sedang tersenyum.

“Ya, ada. Encik Ziyad kerja?”

“Tak perlu panggil I encik. Panggil Ziyad je. Ya, kerja.”

“I see. Kerja apa?”

Ziyad menyandar lagi, selesa. Mungkin pemandu ini cuba berbasa-basi.

“Kerja pejabat biasa-biasa je. You? Part time atau full time ni?”

Lelaki itu tertawa pendek.

“Boleh dikatakan, full time.”

“I get you. Kerja sekarang ni susah kan.” ujar Ziyad, sebelum dia duduk membetulkan diri.

“Say. Ini cuma cakap kosong sahajalah ya, you jangan ambil hati. But you’re… quite good looking. I tahu kerja kosong yang sesuai untuk lelaki macam you.” ujar Ziyad bersahaja.

Lelaki itu tertawa. Barisan gigi putih terpamer, dengan dua batang gigi taring manis.

“Terima kasih. Tapi saya tak berminat. You kerja di ‘bidang’ yang sama?” Tanya pemandu itu.

“Yeah. Part time. Quite nice you know. Entertaining rich, ‘mature’ woman. Or rich man, if you’re okay with that.” Ziyad mengangkat bahu, tersenyum malas. Pemandu itu cuma tersenyum ke arah jalan. Alkohol masih membuainya. Lagu perlahan masih berkumandang.

“...I'm taking it slow
Feeding my flame
Shuffling the cards of your game
And just in time
In the right place
Suddenly I will play my ace”


Jalan yang malap tiba-tiba berubah cerah. Ziyad tergamam, melihat sebuah kedai yang bercahaya dengan lampu berwarna-warni dari jauh.

“Kedai apa buka pagi-pagi buta ni?” gumam Ziyad. Dia menjenguk.

“Kedai kek.” ringkas pemandu itu menjawab.

“Kedai kek?”

“Ya.”

“Kedai kek apa buka tengah-tengah pagi buta?”

“Entahlah.”

“I… I want to see.” ujarnya terpinga-pinga. Hairan. Kedai itu muncul bagaikan bunga api di tengah malam pekat. Lampu-lampu terang berkelip-kelip indah, riang. Pemandu itu tersenyum.

“Menjadi satu kesalahan bagi saya, Encik Ziyad. Tetapi - apa salahnya. Kita turun sebentar.”

Ziyad mengangguk. Kereta itu menderum perlahan sebelum diam, diparkir berdekatan kedai kek itu. Ziyad turun, bagai ditarik magnet. Dia melangkah ke pintu masuk. Bau vanilla, bau kek, pastri yang baru masak dibakar menusuk hidungnya. Lazat.

Pintu masuk ditolak, tetapi tidak bergerak.

“Apakah…?”

“Kedai ni tutup nampaknya.” Ujar pemandu itu. Ziyad ternganga, merenung tanda ‘Closed’ di balik pintu kaca kedai.

“Tutup? Dah tu kenapa buka lampu?”

Pemandu itu cuma tersenyum, menyeluk poket, menyandar pada pintu keretanya sambil tersenyum malas.

Ziyad mengelilingi kedai. Kedai itu dibuat dari dinding kaca. Dia nampak barisan kek-kek gebu, pastri yang rapuh dan peroi yang lazat, dilapisi jem-jem berwarna-warni, kuih-muih dengan aising warna-warni dan pelbagai puding sejuk tersusun di dalam peti.

Samar-samar, dia ternampak manusia di dalam kedai. Dia merapatkan wajah ke cermin.

“Ada oranglah kat dalam!” getus Ziyad. Dia berpaling ke arah pemandu yang masih berdiri, menyandar di kereta. Pemandu itu masih tersenyum, mengangguk.

Ziyad menggosok-gosok mata.

Dia lihat seorang perempuan muda. Mungkin sebayanya. Memakai baju t-shirt, kain batik. Menyanggul rambutnya kemas. Dia sedang tersenyum, membawa bekas besar terisi sesuatu.

Seorang lelaki lagi muncul. Dia sedang tertawa. Dia mengambil mangkuk tersebut dari tangan wanita itu - mengatakan sesuatu, dan mereka berdua tergelak. Seorang kanak-kanak lelaki berlari menyertai mereka, membawa acuan kuih pelbagai bentuk. Dia menunjukkan acuan tersebut kepada wanita itu, teruja.

Mata Ziyad berair.

“Ibu…?” bisiknya.

Wanita itu berbual seronok dengan budak lelaki tersebut, yang persis dirinya sewaktu kecil dahulu.

Lelaki berwajah ayahnya mengusap kepala budak tersebut. Mereka ke meja. Ke dapur kecil rumahnya dahulu. Ziyad cuma mampu memerhati dari balik cermin, seperti pengemis yang kelaparan.

“Apa ini?” ujarnya. Dia menggosok mata berulang kali. Dia mabuk? Khayal? Apa si Hans itu bubuh dalam rokoknya?

“Kau… kau nampak juga kan? Nampak tak?” dia bertanya pemandunya yang sedang menyalakan sebatang rokok. Rokok itu dihembusnya, dan pemandu itu tersenyum. Menampakkan barisan gigi yang bersinar putih, dua batang taring manis yang kelihatan panjang dari biasa.

“Mungkin.” ujarnya bersahaja. Ziyad masih ternganga-nganga, terus memerhatikan gelagat tiga manusia di dalam. Dia melekapkan wajahnya rapat pada cermin kedai kek tersebut, merenung ke dalam penuh teringin.

“Kau nak masuk ke dalam, Ziyad?” Ziyad terdengar pemandu itu berkata. Ziyad mengangguk, masih tidak memalingkan muka dari cermin kedai kek tersebut.

“Siapa kau sebenarnya?” Ziyad berbisik.

Pemandu itu menyeringai, sebelum dia menghampiri pintu kedai kek tersebut. Pintu ditolaknya mudah. Di balik cahaya gemilang kedai kek tersebut -pemandu itu kelihatan kelam, malap, seperti satu bayang-bayang.

“Come, Ziyad. Masuklah.” Senyumnya manis, sambil memegang pintu.

Ziyad melangkah masuk. Merenung sekeliling tergamam, seperti kanak-kanak. Dia berjalan, sekejap melihat barisan pastri, sekejap melihat barisan kek.

Dia kemudiannya menuju ke dapur. Menelan air liur.

“Ibu…?” katanya lirih.

Tiada.

Yang ada - cumalah seorang gadis berambut hitam, ikal mayang mencecah pinggang, bergaun putih tidak berlengan, labuh separas betis, sedang membelakangkan dirinya. Gadis itu sedang menyanyi-nyanyi kecil, memicit aising dari beg aising.

“S… siapa tu?” Ziyad berkata hairan. Dia sudah tidak kisah. Khayalan, imaginasi, realiti - persetankan itu semua kini.

Gadis itu berpaling.

Wajahnya mulus, dengan alis hitam, anak mata biru-kelabu pucat. Merenungnya manja.

Gadis itu tersenyum manis. Dia menyelak rambutnya yang panjang dari pipinya, malu-malu, menyisip rambut hitam pekat itu di celah telinga - sebelum menyambung menghias kek cawan.

“Saya pemilik kedai kek ini.” ujar gadis itu. Ziyad terdiam.

“Awak… nak tolong…?” Ujar gadis misteri tersebut. Dia memandang Ziyad malu-malu, menghulurkan beg ‘piping’ aising.

Seperti dipukau, Ziyad menghampiri gadis tersebut. Bau vanilla lembut menusuk hidungnya, terbit dari tubuh hangat gadis tersebut, dari rambut hitamnya yang ikal. Membuainya asyik.

Beg dicapai.

“Sini, saya tunjukkan.” ujar gadis tersebut, lembut. Dia memicit aising keatas kek cawan, membentuk aising merah pekat comel diatas kek cawan putih gebu.

“Nah, awak cuba.”

Ziyad menyambut. Dipicitnya, tetapi tiada aising keluar. Dia memandang gadis tersebut penuh tanda tanya.

“Oh! Dah habis ke? Tak apa. Kita isi aising baru.” ujarnya teruja. Dia menuju ke meja belakang. Membawa semangkuk besar aising putih.

“Tapi ini warna putih… tak ada ke warna merah? I like red.” senyum gadis tersebut. “Boleh awak ambilkan saya pewarna?” dia bertanya kepada Ziyad.

Ziyad mengangguk.

“Di mana pewarna tu?”

Gadis itu tersenyum lagi. Manis.

“Mari,” dia menarik tangan Ziyad. “Saya tunjukkan.”

Dia memimpin Ziyad ke sebuah stor di belakang bakeri. Stor tersebut dibuka, dan Ziyad tergamam.

Manusia.

Sedang khayal. Memandang dinding kosong. Mereka digari didinding, dengan tengkuk yang dipasung utuh ke dinding.

“Pewarna.” Gadis itu menyuakan mangkuk aising. “Ambil ‘pewarna’ dari mereka.” Gadis itu menghulurkan pisau, entah muncul dari mana. Ziyad tergamam. Khayalnya seperti disentap.

“Ap… apa maksud awak?”

“Maksud saya?” gadis itu mendongak, memiringkan kepala bingung. “Ambil pewarna dari merekalah.” Dia menunjuk ke arah beberapa orang manusia yang digari tersebut dengan pisau.

Ziyad menggeleng.

“Saya. Saya tak faham…” Ziyad tergagap.

“Oh!” Gadis itu mengangkat kening. “Cain, can you show him?” dia berkata, memandang seseorang di balik bahu Ziyad. Ziyad berpaling, si pemandu sedang berdiri di belakangnya dengan tangan dikilas kebelakang.

“With pleasure, M’lady.” Cain seakan menderam. Dia mencapai pisau dari tangan mulus gadis tersebut, sebelum menuju ke seorang gadis beruniform sekolah. Dia mengelar pergelangan tangan perempuan tersebut, sebelum menitiskan darah merah itu ke dalam mangkuk aising.

“See? Tak susah sangatkan?” Gadis itu menepuk tangan, memandang ke arahnya.

Ziyad menggeleng, wajahnya berubah pucat. Gadis itu merenungnya hairan.

“Cain, dia nampak tak faham.”

“Nak saya tunjukkan lagi ke? Oh, oh dear. Dia dah sedar.” Ujar pemandunya yang dipanggil Cain itu tiba-tiba. Ziyad menjenguk. Gadis berbaju sekolah itu seakan tersedar dari tidur, wajahnya yang awal-awal merenung kosong - berkerut, memandang sekeliling.

“Saya… kat mana ni?” gadis itu berkata lirih. Lemah.

“Kat rumah lah. Kat mana lagi?” Cain menjawab, sinis.

“Saya nak balik! Awak ni siapa? Tolong! Tolong!” pelajar sekolah itu menjerit ketakutan. Cain dan gadis di hadapan Ziyad itu - tertawa.

“Lepas kan saya!” tangisnya. “Tolonglah, lepaskan saya. Saya nak balik. Saya lapar. Saya dahaga. Tolonglah, saya minta maaf. Lepaskan saya.” pelajar yang mungkin baru mencecah umur belasan tahun itu menangis.

Cain tersenyum.

Dia membuka kunci di pasungan tersebut.

“Nah. Baliklah.” katanya bersahaja. Gadis di hadapan Ziyad terkekeh-kekeh tertawa. Ziyad bagai dipukau, cuma mampu memerhati. Pelajar sekolah itu bangun, terhuyung-hayang, sebelum rebah.

“Kenapa tak balik? Baliklah.” Cain berkata, duduk bersila memerhatikan pelajar tersebut. Pelajar tersebut pucat lesi, sedaya upaya cuba bangun, mengheret kakinya untuk berjalan.

“Jangan… buat saya macam ni. Saya merayu. Mak saya tunggu saya dirumah tu… siapa nak tolong dia menjahit baju. Ayah saya dah lumpuh… saya je yang tolong dia dirumah. Tolonglah encik…” Pelajar itu teresak. Dia merangkak di lantai tersebut, berpaut pada kaki Ziyad. Ziyad memandangnya dengan mata terbeliak.

“Abang, tolong, tolong saya-”

Shakkkk!

Darah terpercik ke seluar Ziyad. Ziyad menjerit, melihat pisau tajam terbenam di belakang tengkuk gadis tersebut. Dia memandang Ziyad, terkejut, sebelum menjerit kesakitan. Ziyad berundur ke belakang sebelum tersandung, jatuh.

“See? Tak susahkan, Ziyad?” Gadis berambut ikal mayang itu tersenyum manis, sebelum menarik pisau dari belakang tengkuk pelajar tersebut. Perempuan itu - menangis kesakitan, berguling-guling dalam darahnya sendiri.

“Shh. Shh. Okay je kan? Kata nak balik?” Cain menghampiri entah bila, melutut bersebelahan gadis berlumuran darah tersebut.

“Janganlah, jangan buat macam ni, lepaskan saya, saya merayu…” darah merah membasahi uniform putih pelajar itu.

“It’s okay. Tutup mata. Cuba tutup mata. Doa.” Cain menutup mata perempuan itu dengan tangannya. Gadis itu, dalam esakannya, berdoa lirih. “Ya Allah, bantulah hamba Mu ya Allah, bantu aku ya Allah, tolong -”

Pelajar itu mendengus.

Gadis ikal mayang itu - menikamnya bertubi-tubi dari belakang. Darah terpercik, ke gaun putihnya yang mulus, ke wajahnya, ke rambut ikal hitamnya, ke arah Ziyad sendiri.

Ziyad mendengar bunyi mengeruh dasyat; sebelum pelajar itu kaku.

“Nah! Senang je kan? Apa kata Ziyad pula cuba?” gadis itu menghulurkan pisau.

“Ada ramai lagi tu. pilihlah Ziyad nak yang mana satu.” Sambungnya lagi, tersenyum manis dalam simbahan darah.

“Kau… kau gila!” Ziyad bertempik. “Kau gila! Aku tak membunuh! Aku tak buat kerja gila macam ni!” jerkah Ziyad lagi.

Wajah gadis itu berubah. Kelam. Cain ketawa terbahak-bahak, sebelum menarik tubuh pelajar yang kaku itu. Dia menari-nari dengan mayat gadis belasan tahun tersebut, bersenandung perlahan. Kepala jasad itu terliuk-lentok mengikut tarian Cain.

“Saya… saya ingatkan. Ziyad macam saya.” gadis berambut ikal mayang berkata murung.

“Sapa macam kau? Kau gila! Kau pembunuh!”

“Tapi Ziyad, kitakan adik beradik? Cuma ibu sahaja berlainan. Ayah kita sama. Saya kan kakak awak?”

“Aku tak ada kakak macam kau!”

Gadis itu kelihatan seperti mahu menangis.

“Cain, panggil Eidie datang.” gadis itu berkata sedih. Ziyad terpinga-pinga. Cain yang masih menari-nari dengan mayat yang kian kaku tersebut, tersenyum.

“Of course, Miss Rosanne.”

====================================

“Satu lagi, Cain?” lelaki bermata coklat cair itu menggosok bahunya yang lenguh.

“Oh, dua, sebenarnya. Satu lelaki, satu perempuan.” Jawab Cain dari corong telefon. Eidie tersenyum malas. Menunggu pemandu Grabnya sampai.

“Hai, selamat pagi!” pemandu Grab wanita kacukan Cina-India menegurnya riang. Eidiey merenung nama pemandunya di telefon bimbit.

‘Sofiey’.

Eidie menyembunyikan senyumannya, sebelum melangkah masuk ke dalam kereta.

*Nantikan pengakhiran kisah ini oleh Dee Edot. Terima kasih kerana membaca!


======
Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com

No comments: