ANGKARA TOYOL
Nukilan : Pangrimau
Status : Kisah benar yang diceritakan daripada dua generasi terdahulu dan diolah semula bagi tujuan melancarkan jalan cerita. Latar masa, latar tempat dan watak-watak adalah imaginasi penulis. Tiada kaitan dengan orang yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
===================================
KAMPUNG LONJONG SEPTEMBER 1962
------------------------------------
Suasana di kedai kopi Pak Meon riuh rendah pagi itu. Hal ini berikutan kes-kes kecurian yang kerap berlaku di kampung mereka sejak kebelakangan ini. Mereka syak, kes ini didalangi oleh toyol kerana ada di antara mereka pernah terserempak dengan toyol tersebut. Semua mata tertumpu pada watak-watak penting di kampung mereka. Lebai Najib lebih banyak mengangguk kepalanya yang berserban itu. Di tangannya masih laju membilang tasbih walaupun mata dan telinganya tertancap pada Pak Madey, Penghulu Kampung Lonjong.
"Aku tak habis fikir lagi ni, siapalah yang rajin sangat membela toyol di kampung kita ni? Sudah berbelas tahun aku menjadi penghulu di sini. Ini kali pertama kampung kita diserang toyol! Rumah Man Kengkang, rumah Don Tebu, rumah Sarip Misai Kucing dan rumah Dollah Rimau pula yang kena serang malam tadi. Habis duit mereka kena kebas!" Berapi-api Tok Penghulu melepaskan amarahnya.
"Betul tu Tok. Saya sokong benar kata-kata Tok tu. Mesti ada di antara kita ini yang membela toyol. Mana mungkin toyol itu muncul tiba-tiba di sini. Saya syak, ni mesti kerja Dukun Isa tu!" Samad bangun melontarkan pendapatnya sambil menjeling ke arah Dukun Isa yang duduk di meja yang berada di penjuru kedai kopi itu.
"Ewah-ewah…. Main sedap betul mulut kau je Samad nak menuduh aku. Kau ada bukti ke? Keris aku ni dah lama tak makan orang. Kalau dah rasa lama hidup, kau fitnah la aku lagi. Tapi, jangan pelik la kalau kau sedar esok, kau nampak tubuh kau tu tengah kena kambus dalam liang lahad!" Jerkah Dukun Isa sambil mengusap-ngusap keris di pinggangnya. Kata-kata yang keluar dari mulut Dukun Isa itu membuatkan Samad menggeletar satu badan. Dia ingatkan, jawatannya sebagai orang kanan Tok Penghulu sudah cukup baginya untuk menyasarkan tuduhan itu kepada Dukun Isa. Dia lupa bahawa Dukun Isa itu bukan calang-calang orangnya.
Melihatkan keadaan yang semakin tegang membuatkan Tok Penghulu Kampung Lonjong terpaksa mencelah;
"Sudah! Tak perlu bergaduh! Tak perlu bertikam lidah! Aku ajak kamu semua berkumpul ni adalah untuk berbincang bagaimana mahu menangkap toyol durjana tu. Bukannya untuk bertekak! Kau ni pon Samad, aku kenal lama sangat dah dengan Dukun Isa ni. Dia ni dah la kaki masjid. Mengubat orang pun guna ayat-ayat al-Quran. Aku tak percaya lansung kalau dia terlibat." Hujah Tok Penghulu itu membuatkan anak-anak buahnya yang berada di kedai itu menganggukkan kepala tanda bersetuju. Samad pula hanya terkidum-kidum malu sendiri. Dia bangun lalu menghampiri Dukun Isa sambil menghulurkan tangan sebagai tanda memohon maaf di atas keterlanjuran kata-katanya tadi. Lega hatinya apabila huluran tangannya disambut oleh Dukun Isa. Tok Penghulu hanya tersenyum melihatkan ulah orang kanannya itu.
"Haa… begitulah. Kita hidup sekampung ni perlu muafakat. Bukan saling tuduh menuduh. Semua itu hanya menambahkan lagi kekusutan yang sedia ada." Tok Penghulu berhenti berucap apabila Rosmah Janda keluar dari bahagian dapur lalu menghidangkan air kepada para pelanggannya. Semua mata terarah pada lenggokan Rosmah Janda yang ayu memakai kebaya merah.
"Ehem-ehem!" Deheman daripada Lebai Najib itu mematikan aksi yang memukau sebentar tadi.
"Beginilah Tok Penghulu, saya ada satu cadangan. Tok Guru di tempat saya mengaji dulu pernah ajar cara-cara untuk menangkap toyol ni. Tapi, saya belum pernah lagi mencubanya. Menjadi atau tidak cara tu, saya tak berani jamin la. Sekurang-kurangnya, kita mencuba." Lebai Najib bersuara.
"Apa caranya tu Lebai?" Tok Penghulu tampak berminat dengan usul yang bakal keluar daripada mulut Lebai Najib itu. Beliau tahu benar akal Lebai Najib ni. Orang yang kuat agamanya. Banyak diam daripada bercakap. Kes orang minyak dulu pun berjaya diselesaikan oleh Lebai Najib juga.
"Tok Guru saya dulu pernah berkata, toyol ni suka benar dengan kacang hijau. Pantang saja jumpa kacang hijau, dia akan ambil. Jadi, kalau kita nak tangkap toyol tu, kita perlu menabur kacang hijau itu terlebih dahulu sebagai umpan. Semasa dia sedang ralit mengutip kacang hijau tu, kita tangkap la!" Cadangan yang keluar daripada mulut Lebai Najib itu mendapat sorakan daripada orang-orang kampung yang lain.
"Baiklah. Kalau begitu, aku perintahkan kamu semua balik ke rumah masing-masing, dan tabur kacang hijau itu sebanyak mungkin di rumah kamu semua. Terutama sekali di tempat kamu semua menyimpan duit. Kamu semua juga perlu sediakan parang, keris atau apa jua senjata untuk menghadapi toyol tersebut kerana kita tak tahu sejauh mana kebolehan toyol tu. Walaupun tubuhnya kecil seperti kanak-kanak, kita tidak boleh pandang rendah kepadanya. Siapa-siapa yang ada jala, boleh juga guna jala itu untuk menangkap toyol itu hidup-hidup. Dari situ kita akan cari tahu siapa tuannya." Tok Penghulu berkata sambil memandang anak-anak buahnya.
Usai saja Tok Penghulu menghabiskan ucapannya, beliau menikmati air kopi yang disediakan oleh Rosmah Janda sebentar tadi. Beliau kemudiannya memanggil Rosmah Janda untuk membayar harga kesemua minuman termasuk yang diminum oleh anak-anak buahnnya sekali. Pagi itu biarlah dia berhabis duit asalkan kesepakatan untuk menangkap toyol itu berhasil. Selang beberapa minit, seorang demi seorang beredar meninggalkan kedai kopi Rosmah Janda itu. Masing-masing kelihatan bersemangat untuk menangkap toyol durjana itu. Semua malapetaka ini pasti segera berakhir!
Dalam ramai-ramai manusia tadi, hanya ada seorang yang pulang dengan tersenyum sumbing. Dia hanya ketawa besar di dalam hatinya.
***********************************************
RUMAH SAMAD
12.30 TENGAH HARI
----------------------------------
"Assalamu’alaikum…." Samad memberi salam dari luar rumah sambil menanggalkan kasut.
"Wa’alaikum salam. Oh, abang rupanya. Bagaimana dengan mesyuarat tadi?" Rafidah, isteri Samad menjawab salam sambil menjengah ke muka pintu.
"Alhamdulillah. Sudah ada jalan keluarnya. Tapi, menjadi atau tidak, kita tak tahu lagi sebab ini kali pertama cara itu digunakan di sini." Perlahan-lahan Samad menaiki anak tangga lalu duduk dimuka pintu. Tangannya menyeka peluh di dahi.
"Apa caranya tu bang? Siapa yang bagi cadangan tu?" Rafidah menyoal sejurus melabuhkan punggung disisi suaminya.
"Lebai Najib. Dia yang bagi cadangan. Katanya ajaran daripada Tok Gurunya. Tapi, dia belum pernah mencubanya lagi. Menurut Lebai Najib, kita kena tabur kacang hijau banyak-banyak dalam rumah kita terutamanya kawasan bilik kita. Kemudian, kalau toyol tu masuk, dia akan ralit kutip kacang hijau tu. Masa tu nanti la kita tangkap dia." Samad menjawab sambil memandang muka isterinya.
"Ish.. takut la saya bang. Kalau toyol tu melawan macam mana?" Riak muka Rafidah bertukar risau.
"Sayang jangan takut. Abang dah sediakan parang panjang abang bawah tilam kita. Kalau dia melawan, abang tetak la dia. Baru padan muka dia. Nak mencuri sangat." Ujar Samad sambil tangannya melibas-libas di udara.
"Eeee… seriau la saya dengar abang cakap macam tu. Eh! Anak kita dah sedar tu bang. Lapar susu dah agaknya dia. Makanan tengahari untuk abang, ada kat dapur tu. Saya dah simpan bawah tudung saji. Abang layan diri ya."
Samad mengangguk. Dia tersenyum melihat isterinya berlalu pergi mendapatkan anak mereka yang sedang merangkak keluar dari pintu bilik tidur. Sudah lebih 10 tahun mereka berkahwin. Baru beberapa bulan lepas mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel. Sekian lama mereka menunggu, akhirnya kesabaran mereka terbalas jua.
Samad bangun lalu menuju ke dapur apabila kelibat isteri dan anaknya hilang dari pandangannya. Dia mengangkat tudung saji untuk melihat juadah santapannya tengah hari ini. Nasi putih, gulai lemak labu, ikan pekasam goreng dan ulam pucuk gajus. Seleranya benar-benar terbuka. Langsung saja dia mengalihkan tudung saji lalu mencedok lauk pauk dihadapannya ke dalam pinggan nasinya itu.
Selepas selesai menjamah makanan tengah hari itu, Samad tercari-cari kacang hijau di bahagian barang-barang masakan yang disimpan oleh isterinya.
Lelaki, macam ni la. Jarang masuk ke dapur. Mula la tak tahu dimana barang yang nak dicari. Selepas satu persatu barang-barang masakan dialih ke tepi, akhirnya dia menemui sebungkus kacang hijau yang terikat kemas di dalam plastik berwarna putih. Mujurlah masih ada baki kacang hijau yang digunakan untuk membuat bubur durian tempoh hari. Lalu diambilnya bungkusan kacang hijau tersebut dan mengemas kembali tempat menyimpan barang itu. Dia ingin menabur kacang hijau tersebut di biliknya pada masa itu juga. Malam nanti, dia akan meletakkan duit-duit simpanannya berdekatan dengan tempat tidurnya sahaja.
Malam itu, suasana hening sekali. Diselangi bunyi cengkerik, katak memanggil hujan dan musang yang sedang memburu ayam. Warga kampung khususnya kaum lelaki sedang berjaga-jaga di rumah masing-masing. Mereka semua telah membuat seperti yang diamanahkan oleh Tok Penghulu iaitu menabur kacang hijau di dalam rumah masing-masing.
Di dalam kegelapan malam itu, seekor makhluk hijau sebesar kanak-kanak muncul dari sebuah semak kecil. Terkedek-kedek makhluk hijau itu bergerak. Tiba-tiba, ia hilang di sebalik sebuah rumah.
Samad, sepertimana warga lelaki Kampung Lonjong yang lain, sedang berpura-pura tidur. Sudah berapa jam dia terpaku begitu. Matanya terpejam. Hakikatnya, telinganya diperincikan untuk menangkap sebarang bunyi pelik yang muncul di rumahnya. Rumahnya pada malam itu sama seperti malam-malam sebelumnya. Suram. Hanya disirami dengan pelita minyak tanah sahaja. Dia meraba ke bawah tilam bagi memeriksa parang panjang yang disimpannya di situ. Alhamdulillah. Masih ada.
Tiba-tiba, dia terdengar bunyi sesuatu sedang membuka beg yang berisi pakaiannya. Baru dia teringat, masih ada saki baki duit di dalam beg pakaiannya itu. Dalam kesamaran, dia melihat suatu susuk kecil sedang duduk menghadap beg pakaiannya. Dengan rasa geram, dia mengambil parang panjang di bawah tilamnya itu lalu terus melibas ke arah makhluk kecil itu.
"Heyarghhh!!! Heyargghhh!!! Rasakan kau toyol! Baru puas hati aku!" Libasan pertamanya tadi tepat mengenai bahagian leher makhluk itu menyebabkan kepala makhluk itu terputus dua. Dia kemudiannya mencantas tubuh makhluk kecil itu sehingga putus beberapa bahagian. Darah merah terpercik ke badan dan mukanya.
Jeritan Samad tadi membuatkan isterinya tersedar daripada tidur. Terpisat-pisat Rafidah bangun lalu menuju ke arah suaminya di penjuru bilik tidur mereka.
"Kenapa bang? Abang dapat tangkap ke toyol tu?" Tanya Rafidah yang masih mamai.
"Tangkap? Abang dah cantas-cantas toyol ni haaa. Awak pergi ambil pelita minyak tanah tu kejap. Abang nak tengok muka toyol ni."
Rafidah akur dengan arahan suaminya itu. Dia mengambil pelita itu dan menyerahkan kepada suaminya. Walaupun takut, dia juga ingin melihat wajah toyol yang berjaya dibunuh oleh suaminya itu.
Alangkah terperanjatnya mereka apabila cahaya pelita itu menyuluh tepat ke arah jasad makhluk kecil tadi.
"Abanggggg! Anak kita ni bangggg! Argggghhhhh…." Terjelupuk tubuh Rafidah. Dia pengsan di sebelah jasad anaknya itu. Samad tergamam. Tangannya terketar-ketar.Badannya menggigil melihatkan tubuh anak tunggalnya itu terpisah-pisah dan berlumurah darah.
Orang-orang kampung yang terkejut mendengar suara jeritan daripada rumah Samad tadi berpusu-pusu menuju ke sana. Kelihatan Tok Penghulu cuba mendahului penduduk kampung yang lain. Jamung-jamung yang dibawa oleh penduduk kampong membuatkan kawasan di rumah Samad terang benderang. Situasi bertambah gempar apabila Samad kelihatan keluar dari rumahnya dalam keadaan berlumuran darah. Dia kemudiannya duduk terpaku di atas tangga rumahnya. Di tangannya masih tergenggam erat parang panjang.
"Kau dah bunuh ke toyol tu Samad?" Tok Penghulu terus bertanya tanpa menunggu panjang.
Melihatkan Samad yang terus diam membisu, membuatkan semua orang di situ menjadi bingung. Tiba-tiba mereka terdengar suaran tangisan Rafidah di dalam rumah.
Beberapa lelaki dewasa diketuai oleh Tok Penghulu terus naik ke rumah Samad untuk memeriksa keadaan yang berlaku. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat Rafidah sedang memeluk erat satu tubuh kecil yang telah dikerat-kerat. Rafidah yang baru sedar dari pengsannya itu terus menceritakan apa yang berlaku. Fahamlah mereka situasi sebenar. Samad telah membunuh anaknya sendiri kerana menyangkakan anaknya itu adalah toyol yang selama ini bermaharajalela di kampung mereka.
Tok Penghulu memanggil isterinya dan beberapa orang wanita lain untuk menenangkan Rafidah. Manakala, beliau mengarahkan beberapa orang lelaki dewasa tadi untuk menguruskan jenazah anak Samad itu.
Tok Penghulu berasa galau. Sepanjang beliau memegang jawatan sebagai penghulu di kampung itu, inilah kisah yang paling tragis berlaku. Semuanya angkara toyol. Cubaan untuk menangkap toyol kali ini berakhir dengan tragedi yang sangat menyayat hati. Beliau telah membuat pengumuman kepada semua orang kampung yang hadir pada malam itu mengenai apa yang terjadi. Beliau melepaskan Samad tanpa sebarang hukuman kerana beliau menganggap Samad telah membunuh anaknya tanpa niat.
***********************************************
RUMAH LEBAI NAJIB
MALAM YANG SAMA
-----------------------------------
"Hahaha bagus! Kau memang pandai buat kerja. Lepas ni, aku nak kau pergi ke kampung sebelah pula." Kata Lebai Najib kepada toyol belaannya sambil menghulurkan ibu jari kakinya untuk dihisap toyol tersebut. Dia tahu apa yang terjadi pada keluarga Samad. Dia tak peduli. Asalkan hidupnya kaya raya.
Sejak hari itu, Samad menjadi seorang yang pendiam dan tidak terurus. Isterinya, Rafidah telah meminta cerai dan pulang ke kampung asalnya. Kadangkala, orang kampung melihatnya bercakap seorang diri. Ada masanya, mereka terserempak Samad sedang berjalan di waktu malam sambil memeluk bungkusan kain putih seakan bayi. Tetapi, apabila mereka mendekati Samad, bungkusan itu rupa-rupanya adalah batu nisan!
TAMAT!
Pangrimau030118
===================================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment