Friday, 26 January 2018

HILANG PART 4 - Suhana Azman


HILANG PART 4
==============

Borhan cuba untuk menghubungi Razali. Acap kali Razali cuba dihubungi namun gagal. Akhirnya Borhan hanya menghantar mesej sahaja. Mengharap koperal Razali membaca mesej tersebut.


"Tuan, handphonenya di offkan. Saya hantar mesej sajalah."

Nizam hanya memandang tanpa berkata apa-apa. Matanya masih tertumpu pada fail-fail didepannya. Sesekali tangannya ligat menulis didalam buku catatan siasatannya. Segalanya yang tertulis dari pelbagai sudut penilaiannya serta teori orang hilang, penculikan, sebab musabab pembunuhan ada tercatat didalam buku catatannya. Semuanya memudahkan dirinya untuk membuat semakan keatas keseluruhan kes tersebut.

Hmmm....

Keluhan berat mula terhasil di corong hidungnya. Cuba melepaskan sedikit keluhan yang mula bersarang didada dan mindanya. Dia mula terfikir akan kata-kata Razali itu. Ada sebab mengapa dia bersetuju dengan segala asas dakwaan yang dikemukakan oleh Razali pada kes di Lembah Damai. Semuanya ada perkaitan walau dianggap ada perkara yang tidak logik. Kes lama pada tahun 1977 membawa kepada tahun 2017. Satu persoalan yang menjadi tanda tanya dikotak fikirannya.

Kenapa baru sekarang? Kenapa si pelaku sanggup menculik dan membunuh gadis-gadis muda itu?

Tiba-tiba muncul seorang pegawai polis wanita datang kepadanya untuk menyerahkan fail lama yang dimintanya setengah jam yang lalu.

"Ini failnya tuan."

"Terima kasih."

Lalu fail lama yang baru sahaja diberi oleh pegawai polis wanita itu diambil dan dibuka. Diselak dan dibelek setiap helaian satu persatu. Laporan lama yang tertulis didalam fail itu agak sedikit kabur dek kerana dimakan tahun. Walau bagaimana pun Nizam tetap tekun meneliti laporan didalam fail tersebut. Sesekali terkerut-kerut dahinya membaca satu persatu maklumat didalamnya. Cuba mentafsir dan menilai segala logik perkaitan antara kes kematian Datuk Kamarul dan isteri serta kes kehilangan lima orang gadis yang berlaku baru-baru ini di kawasan yang sama iaitu di Lembah Damai.

Dalam ralit dia membaca keseluruhan laporan lama itu, tidak berapa lama selepas itu Razali pun tiba di dalam pejabatnya.

"Maaf tuan, lambat. Phone saya off. Buka saja phone penuh dengan miss call dari sarjan Borhan. Maaf sangat-sangat!" jelas Razali kepada Nizam sambil menunjukkan wajah kesalnya.

"Kenapa off? Awak tahu tak kita kena selesaikan kes ni dengan segera. Saya tak nak ada mangsa terbaru lagi! Jangan ambil mudah! Ini melibatkan nyawa!" tegas Nizam.

Razali terkulat-kulat dihadapan bosnya sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Rasa bersalah mula mencengkam diri.

"Ya, silap saya tuan! Lagipun ada sebab kenapa saya offkan. Burung dalam genggaman tuan, takut terlepas kalau terganggu dengan bunyi lain. Saya cuba guna cara psikologi tuan!" jelas Razali lagi. Cuba memberi kata-kata tersirat agar bos yang berada dihadapannya memahami maksud yang hendak disampaikan.

"Saya faham. Kau terlalu lambat beri maklumat. Sedangkan kita kena cepat! Saya risau akan ada mangsa lain. Setakat ni lima orang. Kau nak ke mangsa jadi enam, tujuh atau ke lapan orang!" Tegas Nizam dengan nada yang sedikit tinggi.

Razali hanya terdiam! Tiada sekelumit kata-kata yang terkeluar dari mulutnya lagi. Dia terkedu. Hanya mampu menunduk dan memandang meja. Suasana didalam pejabat menjadi tegang. Tiba-tiba....

"Koperal Razali! Aku call kau kenapa kau off phone?" Sarjan Borhan yang muncul secara mengejut dari arah belakang terus menerpa ke arah Razali.

Tiada jawapan dari Razali. Jawapan hanya diberi dengan ekor mata sahaja. Masih lagi terkulat-kulat dihadapan bosnya Nizam.

"Tuan ini saya nak tunjukkan sesuatu. Surat ni pak Munawir berikan pada ayah saya untuk diberikan kepada saya sebelum dia pergi umrah tempohari. Lagipun pak Munawir dah tak ada. Dia meninggal semasa menunaikan umrah di tanah suci. Ini juga boleh dijadikan bukti!" Terang Razali kepada Nizam sambil menunjukkan sepucuk surat. Lalu surat itu diambil. Namun sebelum dia membuka sampul itu, Nizam telah menyerahkan fail lama perkaitan kes pembunuhan Datuk Kamarul kepada Razali.

"Cuba kau baca laporan dalam fail ni."

Lalu Razali membuka fail lama itu kemudian membaca disetiap helaian kertas laporan itu seperti yang diminta Nizam. Razali terkedu saat membaca laporan itu sambil tingkah lakunya diperhatikan oleh Borhan yang seraya tadi tidak berganjak berdiri di sebelahnya dari tadi.

"Menurut yang tertulis dalam laporan ni, Datuk Kamarul dan isteri telah dibunuh. Mereka dibunuh didalam rumah. Kedua-dua tangan Datuk Kamarul telah dikerat hingga ke siku. Manakala isterinya telah dikerat kedua belah kakinya sehingga keparas betis. Mayat kedua-dua pasangan itu telah dijumpai didalam kereta mereka yang telah terhumban kedalam lombong dengan sengaja."

Razali terhenti seketika. Dia terdiam. Membiarkan jiwanya tenang saat membaca laporan itu sehingga habis.

"Ketiga-tiga anak pasangan itu masih hidup. Mereka juga berada di tempat kejadian. Suspek utama adalah...." sekali lagi Razali terdiam. Matanya tertumpu kepada Nizam. Segala apa yang difikirannya itu adalah benar. Jawapan pada surat yang diberi oleh pak Munawir juga adalah benar.

"Suspek utama adalah anak sulung Datuk Kamarul sendiri!"

"Ya Razali, anak sulung Datuk Kamarul sendiri. Motif pembunuhan adalah disebabkan dia dan adik-adiknya rasa terabai. Pada pandangan anak-anaknya, Datuk Kamarul dan isterinya lebih mengutamakan orang luar, dari memikirkan hal mereka. Mereka rasa terpinggir didalam rumah sendiri. Mereka menyimpan dendam dan amarah yang sangat dalam. Ironinya cara pembunuhan Datuk Kamarul dan isterinya sama dengan cara pembunuhan mayat tiga orang gadis yang kita temui tu. Kaki dan tangan dipotong. Mulut diikat dan mayat mereka sengaja direndam didalam air." Nizam memulakan hujahnya termasuklah beberapa teori yang difikirkan logik.

"Jadi tuan fikir, pembunuh adalah orang yang sama?" Borhan mula memberi pendapatnya.

"Saya tak fikir dia, Borhan! Sebab itu saya menyuruh Razali siasat terlebih dahulu. Siasat dari awal kes bermula dari dua orang gadis itu mula-mula hilang. Sudah tiga bulan saya menyuruh Razali mengikut saspek ni." sambung Nizam lagi.

"Kalau macam tu Tuan, segala jawapan ada dalam surat pak Munawir ni. Saya harap sangat tuan dapat baca surat tu sekarang! Lepas tu tuan boleh bertindak sekarang atau tidak!" Pinta Razali pula untuk bosnya membaca surat yang diberi pak Munawir sebelum dia meninggal di Makkah.

Surat yang diberi oleh Razali tadi yang ditulis sendiri oleh pak Munawir itu dibuka. Lalu dibacanya.....

.............................................

Sebelum itu.....

Jali memakirkan keretanya diperkarangan rumah. Sedang dia baru sahaja keluar dari perut kereta, tiba-tiba dia melihat ayahnya sudah menanti dimuka pintu. Bila dilihat dari jauh, ada terlihat wajah tenang seorang ayah kepadanya. Jali mengulum senyum. Rasa bersyukur terbit dihatinya apabila melihat ayahnya sudah berada dihadapan mata.

"Eh! Ayah! Bila ayah sampai? Bukan ayah sepatutnya dekat rumah along ke?" Jali terkejut apabila melihat ayahnya, Haji Ismail yang baru pulang dari umrah muncul di muka pintu.

"Saja nak balik rumah sendiri. Lagipun memang sengaja ayah nak balik rumah sebab sebab ada amanah dari pak Munawir yang perlu ayah sampaikan kepada kamu. Lagipun dia tak sempat nak berikan surat ini kepada kamu, dia sudah meninggal di Makkah ketika beribadah di sana." Balas Haji Ismail dalam keadaan sedikit sebak, namun sempat dia mengeluarkan sesuatu didalam beg bajunya yang masih lagi terletak diatas sofa diruang tamu.

"Innalillahiwainnailaihirrajiun. Akhirnya tercapai juga hasratnya. Tapi amanah apa yang arwah pak Munawir nak sampaikan pada Jali?" soal Jali ingin kepastian. Difikirannya saat itu mula memikirkan pelbagai perkara.

"Ini suratnya. Kamu bacalah sendiri. Sebagai pegawai polis, ayah rasa kamu pasti bijak membuat keputusan. Along kamu sudah ceritakan segalanya tentang apa yang berlaku di Lembah Damai sewaktu perjalanan hantar ayah pulang kerumah siang tadi. Ayah rasa budak Amira tu masih hidup. Percayalah!" Terang Haji Ismail dengan penuh mendalam. Sebagai pesara polis, dia adalah orang yang paling tepat untuk Jali membuat rujukan selain dari pegawai polis yang lebih tinggi pangkatnya di balai tempatnya bertugas.

Lalu surat yang sudah tersedia ditangan terus di buka dan dibaca....

Buat Koperal Razali atau Jali.

Assalamualaikum,

Maaf Jali. Pakcik memohon seribu kemaafan buat Jali, Tuan Ismail dan orang-orang kampung di Lembah Damai.

Sebenarnya banyak kisah pahit yang berlaku pada keluarga Datuk Kamarul. Nampak di luar tenang, bahagia. Malah indah bila dilihat. Tetapi didalamnya tersimpan seribu kepahitan buat anak-anak Datuk Kamarul. Datuk Kamarul dan isteri nampak sahaja baik dari luaran tetapi apabila didalam villa, anak-anaknya langsung diabaikan. Dipukul tanpa belas kasihan. Pakcik sendiri pun tak mengerti kenapa Datuk Kamarul membuat perlakuan begitu. Orang kaya dan berkuasa yang punya hati kering. Benci pada zuriat sendiri. Anak sendiri, dikatanya bukan darah dagingnya. Dituduh isterinya menyundal dengan orang lain. Dia kerap melakukan amal jariah adalah kerana ingin menutup kejahilan dirinya sendiri. Rasuah adalah permainan dalam hidupnya. Hanya orang-orang tertentu saja yang tahu. Pembunuhan Datuk Kamarul dan isterinya telah dilakukan oleh anaknya sendiri. Anak sulung Datuk Kamarul. Ahmad Effendi. Dia sendiri mengaku pada pakcik bahawa dia yang melakukannya. Kerana dia benci kedua orang tuanya.

Tangan ayahnya dipotong kerana tangan itulah yang selalu memukul dirinya dan adik-adiknya. Kedua kaki ibunya dipotong kerana ibunya tidak selalu berada dirumah. Tidak selalu berada disamping mereka, disaat mereka memerlukan belaian seorang ibu. Hanya sentiasa bersama dengan rakan-rakan persatuannya sahaja. Hanya isteri pakcik tempat mereka menumpang kasih dan bermanja. Selepas Effendi ditangkap dan dipenjarakan, adiknya Ahmad Emrizal yang bongsu pakcik jaga sehingga sekarang. Dia kerap juga melawat abangnya dipenjara. Terlalu kerap! Dia berhenti jenguk abangnya dipenjara kerana Effendi meninggal dunia ketika dalam penjara kerana serangan astma yang teruk. Satu tamparan hebat buat Emrizal. Jali pasti tertanya-tanya, dimana anak nombor dua Datuk Kamarul? Adiknya pakcik jaga, sebab pakcik hanya mampu menjaga seorang sahaja. Tapi Ahmad Ezwan pakcik terpaksa serahkan pada sepupu Datuk Kamarul yang tinggal di Johor iaitu Abdul Wahab Ibrahim. Abdul Wahab seorang guru disana. Maafkan pakcik kerana menyimpan rahsia. Pakcik takut tak sempat nak beritahu dan minta maaf sebab sudah terlalu lama rahsia ini disimpan. Walaupun ramai yang tahu Datuk Kamarul dan isterinya dibunuh tetapi mereka semua tidak tahu kenapa dia dibunuh. Hanya andaian mereka tinggalkan. Jadi Jali sudah tahu siapa Ahmad Ezwan sebenarnya?

Yang menulis,

Munawir Bin Buyung.

Jali memegang kemas surat terakhir dari pak Munawir. Kini barulah dia mengerti disetiap perkara yang berlaku dihadapan mata.

.............................................

"Bagaimana Tuan? Tuan faham kandungan didalam surat tu?" Razali mengajukan soalan kepada Nizam.

Nizam terdiam. Namun akhirnya terukir senyuman dihujung bibir. Kini baru dia faham. Disebalik tersurat pasti akan ada tersirat.

"Tapi tuan yang pasti bukan dia tuan! Bukan Ahmad Ezwan pembunuhnya." satu nada yakin yang cuba dilontarkan Razali. Matanya yang redup sempat mengerling kearah Nizam yang sedari tadi mula mendiam selepas membaca surat terakhir dari pak Munawir.

Nizam memahami apa maksud yang hendak disampaikan oleh Razali itu. Diam bukan bermakna dia tidak tahu tetapi kepalanya ligat berfikir tentang strategi yang perlu diatur. Agar pembunuh sebenar tidak lari!

"Jali, saya nak awak pergi rumah cikgu Wahab! Saya dan anggota lain akan follow awak! Bak menarik rambut dalam tepung. Tepung tak berselerak, rambut tak putus! Ingat!"

"Ingat Tuan!" Razali dan Sarjan Borhan bersuara serentak.

"Baiklah! Kita bertindak sekarang!"


-TAMAT PART 4-
===============
Suntingan dan gambar: NIL 
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: