Monday, 15 January 2018

CINTA LUAR BIASA - Kamenrider


CINTA LUAR BIASA (tema Grab yang disarankan oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan)
Karya Oleh: Kamenrider

===========================

“Macam mana kau kenal suami kau Sab?” Menjemah sangat soalan Sofiey. Perempuan pertengahan umur 30-an sepertinya masih belum berumahtangga, semestinya dia juga impikan love story yang indah-indah seperti kisah cinta kawan-kawannya. Sepanjang hidupnya tidak pernah ada pengalaman bercinta, nak kenal dengan lelaki pun payah. Bukan antisosial, dia cuma seorang yang agak introvert. Dia lebih suka menyendiri, kalau bersosial pun hanya beberapa kenalan baiknya sahaja.

“Aku kenal dia semasa dia menyewa rumah sewa abah aku tiga tahun lepas, kiranya kami berjiran la. Sebelah rumah kau ni, dia menyewa sini dulu!” Menarik, cinta berputik sesama jiran. Sofiey kagum dengan cerita Sabrina. Dia berdoa suatu hari nanti dia juga akan menemui jodohnya walaupun kemungkinan untuk dia berjumpa jodoh agak payah. Namun dia impikan kisah cintanya luar biasa, tak boleh dibanding-bandingkan dengan orang lain.

Sofiey ini gadis kacukan Cindian, berumur 30 tahun, masih bujang dan anak yatim piatu sejak dua tahun yang lepas. Tiada adik beradik yang lain, tunggal. Sanak-saudara pula masing-masing jauh nun di Kedah, dia hanya ‘loneranger’ di Kuala Lumpur. Tidak berpelajaran tinggi mana, cukup ada ijazah jurusan Biologi namun dia masih menghadapi masalah mencari pekerjaan. Dia membuat keputusan untuk membawa Grab sementara mencari perkerjaan tetap.

Malas-malas Sofiey pun, boleh la dia membayar sewa kereta, sewa rumah, cukup sekadar mampu tampung makan minum dan waktu kecemasannya. Tak mewah namun dia bolehlah menyimpan sedikit. Hampir tiga bulan juga dia membawa Grab, keluar seawal 6 pagi dan habis pukul 6 petang. Boleh lah dapat busuk-busuk pun RM100 ke RM200 sehari selepas tolak minyak, tol dan penyelenggaraan servis minyak hitam, tayar semua.

Buat Grab ini agak mudah, walaubagaimanapun memandu bukanlah semudah yang disangka. Mentaliti juga kena kuat. Dia perlukan tidur yang cukup untuk sentiasa fokus membawa kereta dengan selamat. Disebabkan itu juga dia terpaksa tidur awal, selepas makan malam dalam pukul 10 malam dia akan tidur. Itulah rutinnya hariannya. Sesekali hujung minggu dia hanya duduk di rumah sahaja. Jika Sabrina mengajaknya keluar barulah dia bersosial.

Ada masa Sofiey terpaksa menghadap karenah penumpang yang pelik-pelik. Dimaki-hamun itu biasa, ada yang mabuk muntah dalam kereta, yang gatal tu jangan cakap la, ada juga yang calit tahi hidung pada tempat duduk tapi biasalah adat bekerja perlu menghadap dengan beberapa risiko bodoh ini.

Pernah juga satu tahap Sofiey rasa nak putus asa untuk teruskan menjadi pemandu Grab ini tapi apa pilihan yang dia ada? Ini sahaja mata pencariannya buat masa ini. Hari-hari dia berdoa agar rezekinya mendapat pekerjaan yang tetap sehinggalah suatu hari yang mengubah hidupnya 180 darjah.

“Hai selamat pagi!!” Sofiey menegur ceria kepada penumpang pertama hari Jumaat yang mulia ini. Tegurannya tidak disambut, lelaki itu hanya diam dan terus masuk ke tempat penumpang di belakang. Tak senyum langsung? Huh! Namun Sofiey masih berlagak sopan melayan penumpangnya. Sekali pandang boleh tahan kacak juga rupa parasnya. Tinggi lebih kurang 185cm, berat dalam 70kg, kulit sawa matang, dan paling mempesonakan adlaah matanya yang sungguh cantik, coklat cair~~

Sepanjang perjalanan, lelaki yang dikenali sebagai Eidie itu berdiam diri sahaja. 45 minit Sofiey masih terfikir-fikir cara untuk membuka tajuk perbicaraan, akhirnya dia matikan sahaja niat itu. Melihat aplikasi Grab di telefon bimbitnya, Eidie ini membuat tempahan untuk dua lokasi jauh-jauh, tapi memang rezekinya pagi Jumaat ini bila melihat jumlah hasilnya hari ini melebihi pendapatan hariannya. Kalau begini boleh balik awal gamaknya.

Akhirnya, “Encik nak saya turunkan encik di mana ya?” Sofiey bertanya kerana kawasan ini tiada penghujung. Kiri kanan bendang sawah, yang terletak di suatu kawasan di Kuala Selangor. Kalau tak kerana upahnya yang agak lumayan, Sofiey mungkin tak ambil peduli mana.

“Sini sahaja!” Mendengar suara dalam Eidie membuatkan Sofiey tersentak. Aduhai menusuk kalbu, menggetarkan jiwa.

“Tapi encik, hujan ni...kiri kanan tiada tempat nak berteduh…”

“Tak apa, renyai je. Tunggu sini ya! Nanti tolong siap-siap buka bonet ya. Ada barang…”

Eidie keluar dari kereta dalam keadaan bersahaja, seperti hujan itu tak memberi kesan padanya. "Aduh kacaknya, berjalan pun macam model.." spontan dia mengomel. Sempat Sofiey terfikir habislah kusyen keretanya basah nanti. Dia keluarkan alas kain yang dia sering gunakan untuk berkelah dan hamparkan pada tempat duduk belakang. Lihat kiri kanan Eidie masih tidak kelihatan.

Jam menunjukkan pukul 10 pagi, sudah hampir sejam dia menunggu. “Aku kena tipu ke ni?” Sofiey menelek telefonnya dan menghubungi Eidie. “Tolong buka pintu bonet!” Sofiey terkedu, tak sempat dia hello terus-terus kena arah. Kemudian, kelihatan Eidie memikul sesuatu yang amat berat. Sekali tengok sebiji macam pocong. Bungkusan kain putih yang bergulung-gulung, comot-comot dengan tanah dan figura lonjong sebegini seolah-olah berisi manusia!

“Apa benda tu?” Sofiey terkejut, dia keluar dari kereta sambil terkedu dengan bungkusan di hadapannya. “Buka pintu bonet ni!” Kelam-kabut Sofiey buka bonet. Nak ditolong, takut pula. Tapi dari gaya Eidie yang agak bersusah payah mengangkat bungkusan itu memerlukan bantuannya. Lalu dicapai hujung bungkusan masuk ke dalam perut bonet. Berat semacam. ‘Macam mana ni? Kalau betul dalam bungkusan itu manusia macam mana?’

Sofiey terus masuk ke kereta dan mencari pepper spray dalam dashboard keretanya dan disisipkan laju di bawah peha kanan. Kalau terjadi apa-apa, dia akan bertindak. Dia sempat memastikan kamera rakaman menghala ke arah belakang penumpang. Itu sahaja yang dia mampu lakukan. Kalau dia hubungi polis nanti tiada bukti kukuh.

Beberapa ketika selepas Eidie mengemas masuk bungkusan itu akhirnya dia masuk dengan keluhan berat, bersisir bunyi lelahnya. “Fuh! Settle satu kerja,” tanpa sedar Sofiey telah menangkap ayatnya. Lagi menggelabah perempuan itu dibuatnya. ‘Kalau dia pembunuh bersiri macam mana?’

“Okay, boleh teruskan ke destinasi kedua. Bakery Rossane!”

“Baik encik, kalau tengok waze ni kita akan sampai dalam masa 40 minit.” Sofiey cuba menyorokkan getaran suaranya yang dalam ketakutan memikirkan, siapa Eidie ini? Dia pelik sangat.


Lihat aplikasi Waze, lagi 3 kilometer sampai destinasi. Sempat dia mengerling ke arah Eidie melalui cermin belakang. Paling mengejutkan Eidie juga membalas pandangannya dengan senyuman. Senyuman yang paling indah. Mencairkan segenap kerisauannya pada bungkusan misteri tadi. Aduhai, lemahnya jiwa Sofiey.

“Nah tips RM100 untuk kusyen basah dan bonet yang agak berlumpur kotor. Jumpa esok ya!” Ayat terakhir tadi membuatkan Sofiey blur, bingung. “Esok?” Eidie hanya menjawab dengan senyuman yang sangat menggodakan.

Walaupun target Sofiey hari ini melebihi RM200, dia tetap meneruskan sehingga petang. Syukur rezekinya murah hari ini. Sesampainya di rumah, dia teringat tentang kotor bonetnya dengan lumpur, teringat juga dia pada bungkusan misteri tadi terus membuatkan dia meremang satu badan. Dia memberanikan diri untuk membuka bonet kereta. Ternyata memang agak kotor dengan rumput dan lumpur. Terpaksalah dia bersihkan juga, jika tidak esok dia tak boleh buat Grab.

Sabtu, hujung minggu seperti biasa dia keluar seawal 7 pagi, dengan niat untuk buat Grab separuh hari sahaja. Dia memulakan aplikasi Grab terus mendapat ping. “Eidie?!” Kali ini dari tempat semalam ke Puchong. Agak jauh, dengan waktu begitu harga yang diletakkan adalah agak tinggi. 10 saat sahaja dia perlu buat keputusan untuk terima arahan atau tidak, akhirnya dibiarkan sahaja kerana dia teringat kes bungkusan semalam cukup membuatkan dia seriau. Tapi jauh dasar hatinya, dia teringin sungguh bertemu lagi dengan Eidie. Tarikan auranya luar biasa memikat.

Makin kuat curiganya. 20 minit dia menunggu ping masuk, tetapi hanya ping Eidie sahaja yang keluar. Boleh ke pihak Grab mengatur pemilihan pemandu pada penumpang? Kali ketiga ping Eidie juga masuk, kali ini harga yang ditawarkan agak tinggi. Sofiey teragak-agak, mungkin Sabtu kali ini kurang penumpang dari kebiasaan. Biasanya hujung minggu begini dia akan keluar awal untuk target penumpang ke KLIA. Namun dia terpaksa menerima kalau tidak mata penerimaannya akan menurun, lebih kurang insentif dia akan dapat nanti.

Dari jauh dia melihat Eidie tersenyum menunggu di hadapan Bakery Rossane. Segaknya lain macam hari ini, dia berpakaian kemeja kemas dengan seluar coklat cair, kasut berkilat dengan beg tangannya diperbuat dari kulit yang pasti ditempah khas, designya unik. Semerbak haruman bauan Eidie ketika masuk ke dalam kereta. “Kenapa selepas tiga kali baru terima ping masuk saya?” Ternyata Eidie hari ini lebih ramah dari semalam.

“Erkk, saya ada sedikit hal pagi tadi. Maaf, selamat pagi encik. Jika tengok waze ni, ke Puchong mengambil masa lebih kurang sejam. Encik boleh tidur dahulu…” berseloroh Sofiey menutup gabranya. Kali ini debarannya berganda lebih dari semalam. Hatinya berdebar, namun kali ini debarannya akibat hormon oksitosin terembes.

Seperti semalam, kali ini Eidie mengangkut pula sebuah beg tarik yang agak berat dan destinasi terakhirnya adalah Bakery Rosanne. Sekali dua boleh la fikir logik, termasuk kali ini sudah dua minggu berturut-turut dia berjumpa Eidie. Satu hari, sebelum Eidie turun dari kereta di hadapan Bakery Rossane dia duduk di bahagian depan penumpang. Dengan matanya yang menggoda, suara garaunya yang menusuk asyik ke dalam jiwa Sofiey lantas dia bertanya, “sudi tak kalau awak jadi pemandu tetap saya? Saya akan bayar tiga kali ganda dari pendapatan harian awak membawa Grab. Mudah sahaja, setiap hari saya cuma perlukan dua ke tiga jam saja perjalanan. Selebihnya awak bebas untuk terus buat Grab atau pulang ke rumah. Saya tak halang selepas itu.”

Dua minggu dia menahan perasaan, Sofiey bagaikan mahu menjerit. Tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju, asalkan dia dapat berjumpa dengan Eidie.

“Ada satu syarat!” Eidie serius.

“Syarat?”

“Awak tak boleh tahu saya buat apa, dan jangan langsung persoalkan barang-barang dan bungkusan saya dalam bonet awak. Boleh tak sayang?” Kali ini jari telunjuk Eidie pada dagu polos Sofiey. Bertambah cair jiwanya, banjir dengan sungai cinta Eidie. Bukan sungai lagi, INI BAH. Kini dia betul-betul dilamun cinta. Bertambah meleret senyuman Sofiey apabila diperlaku sebegitu sehingga dia lupa dengan tanda tanyanya mengenai bungkusan misteri itu. Biarkan, baginya cinta itu membutakan segalanya.

“Amboi, macam orang dilamun cinta nampak! Sampai aku yang besar ni pun kau tak nampak.” Tegur Sabrina. Dia perasan, sejak dua menjak ini setiap kali Sofiey pulang ke rumah kedengaran kawannya itu menyanyi-nyanyi gembira. Mulanya dia ingatkan menang loteri tapi lain macam pula sampaikan memasak di dapur pun dia menyanyi, adakala dia tergelak-gelak. Angau sungguh! Ini luar biasa pada Sofiey. Dia bukan begini.

“Kan! Aku kan Sab, sepanjang hidup aku tak pernah bercinta. Macam ni ke perasaan bercinta? Ada sampai satu tahap aku lupa makan tau! Malam-malam aku tidur lewat, kami berbual berjam-jam lamanya pun tiba-tiba matahari naik. Aduh…, tapi aku tak pernah rasa penat. Aku lagi bersemangat buat Grab.” Sofiey tersenyum sumbing sambil bermain-main dengan hujung rambutnya.

“Siapa dia? Tunjuk kat aku gambar please! Siapa jejaka yang berjaya tawan hati kawan aku yang introvert ni? Bestnya, mana kau kenal?” Jemah Sabrina sehingga dia sanggup masuk ke rumah Sofiey semata-mata untuk mengenali lelaki yang dimaksudkan oleh Sofiey.

“Heyyyy!!! Mana kau dapat lelaki ni? Kacaknya. Macam Hugh Jackman la, aduh mata dia macam Zayn Malik. Model mana kau kenal ni? Pergi clubbing tak ajak aku pun?”

“Nope! Nope! Dia penumpang grab awalnya… hikhikhik!” Gatal sungguh bunyinya. Ini kali pertama dalam sejarah buat Sofiey untuk berkongsi kisah cintanya. Tak pernah dia terfikir akan berjumpa dengan Eidie dan sepantas ini mereka serius. 30 tahun penantiannya dirasakan begitu berbaloi.

“Dia kerja apa? Kalau model macam ni mesti kaya, tengok pakaian dia, kasut… OMG jam dia! Tissot ni harga dia lebih kurang RM30k! OMG, Sofiey kali ini betul-betul rezeki kau. Dia bukan calang-calang lelaki…” ayat Sabrina membuatkan Sofiey tergamam. Tak pernah dia tahu Eidie memakai jam berjenama mahal sebegini. Dia memang langsung tak menahu mengenai pakaian dan barang-barang berjenama di pasaran. ‘Apa agaknya kerja Eidie ini? Yang aku tahu, Bakery Rosanne sahaja,’ monolog dirinya sendirian sehingga bebelan Sabrina tidak lagi dihiraukan.

Sejak hari itu, Sofiey tertanya-tanya apakah pekerjaan yang menjadi rahsia sangat oleh Eidie ini? “Ada kaitan ke dengan bungkusan misteri itu? Kenapa perlu rahsia? Kami kan pasangan kekasih, sudah menjadi tanggungjawab aku mengetahui latar belakang Eidie…” bebelnya sendirian sambil menunggu Eidie di suatu tempat area Bangi. Paling dia curiga adalah setiap bungkusan atau beg berat itu, berisi apa? Kenapa perlu berahsia?

“Sayang, you owner Bakery Rossane ni ke?”

“Owner? I tak kaya la sayang, Rosaane is my boss. She's…. Ermm nevermine later I’ll talk to you because sayang, I sudah lewat nanti Rosanne marah, I kena buang kerja nanti macam mana?” Laju Eidie mencium pipi Sofiey, menarik perhatian wanita itu agar tidak bertanya lebih lanjut lagi. Namun ciuman itu tidak berjaya melenyapkan rasa ingin tahunya.

Pelik juga, kedai ini buka waktu malam sahaja. Siang tutup, peniaganya mungkin burung hantu. Kali ini, Sofiey tekad. Dia berhak tahu di mana kekasihnya itu tinggal, dan apa yang dilakukan pada setiap bungkusan berat itu? Setelah menghantar Eidie, Sofiey memakir keretanya di belakang masjid yang berdekatan dengan Bakery Rosanne.

Dia selalu memerhatikan Eidie akan mengusung bungkusan misteri itu terus ke pintu belakang Bakery Rosanne. Berdingkit-dingkit pergerakan Sofiey menyelusup pintu demi pintu rumah yang berdekatan dengan Bakery Rossane. Akhirnya dia melihat satu pintu kayu yang merupakan seperti sebuah kolong atau stor bawah tanah. Pintu itu sedang ternganga luas, lampu dalam stor itu juga terbias sehingga ke luar, pasti Eidie baru sahaja turun.

Laju dia berlari menuruni stor itu tanpa memikir sesaat dua, berdesup!

Bummm! Pintu stor ditutup kuat. Ada seseorang telah menguncinya dari luar. Sofiey yang dalam keadaan terkejut menyorok di sebalik rak-rak tinggi yang bersusun dalam bilik bawah tanah itu. Sekali lagi dia terkejut, hampir sahaja dia menjerit. Susunan baling-balang yang mempunyai organ-organ seperti mata, telinga, hidung, jari-jari diawet rapi. Namun, bagi diri Sofiey itu bukanlah suatu yang luar biasa bagai dirinya yang merupakan seorang ahli biologi malah...

“Sofiey! What are doing here???!” Eidie menekup mulut Sofiey dari arah belakang dan memarahi Sofiey dalam keadaan berbisik. Tindakan Sofiey tak seperti yang dijangkakan oleh Eidie. Sofiey terus memeluk badan tegap Eidie dan berbisik pada telinga lelaki itu. “You are very sexy dear. I suka sangat dengan koleksi barang-barang yang you awet ni. Is it real? Really really real?” Sofiey teruja. “Show me more…” Sofiey merangkul jari-jemari Eidie memaksa lelaki itu menunjukkan koleksi-koleksi yang dia ada sehingga pada satu aquarium gergasi berkaca, Sofiey melepaskan pegangan tangan Eidie.

“Sayang, you kerja apa sayang? I’m so amazed! I don’t know what to say, this is so cool!” Sofiey melonjak-lonjak badannya teruja. Kolong bawah tanah milik Eidie ini seperti muzium pengawetan mayat! Cita-citanya dahulu sebagai ahli forensik namun dibantah oleh bapanya atas alasan Sofiey anak perempuan tak perlu bekerja dengan mayat-mayat yang menakutkan ini.

Senyuman yang terukir di bibir Sofiey membuatkan Eidie tersenyum lega, bangga semua ada. Kekasihnya ini sememangnya luar biasa. Semakin bertambah sayangnya pada Sofiey. Dia tidak harus berpura-pura lagi. Inilah dunia sebenarnya. Sudah tiba masanya giliran Sofiey mengetahui segalanya.


Sebulan kemudian….
Tuhan memang adil. Tak pernah Sofiey menyangka dia akan berjumpa bidadara sehebat seperti suaminya. Siapa sangka kisah cintanya sangat-sangat luar biasa. Malam mereka bertemu di bilik rahsia Eidie itu juga malam yang paling indah sepanjang hidupnya. Mereka ‘bersama’ malam itu bersaksikan ratusan mayat yang dirawet, mereka tenggelam indah, terhanyut dalam arus cinta.


Eidie membuat keputusan gila untuk berkahwin di kolong rahsianya itu. Sofiey tidak membantah. Biarpun Sabrina tidak dapat hadir menyaksikan perkahwinannya, namun mereka berasa seperti dihadiri oleh ramai para jemputan yang lain. Mereka bisu, hanya mampu tersenyum kaku di dalam aquarium-aquarium yang berawet. Semuanya tersenyum seperti tanda restu mereka pada pasangan itu. “Terima kasih cinta…”

******

"Baby, dah lama I nak tanya benda ni. Since kita pun dah kahwin, I rasa I ada hak nak tanya."
"Tanya apa dear?"
"I tahu you hanya awet smua mayat ni…, tapi I know, my husband bukan seorang pembunuh. So, siapa yang?"
Eidie terdiam. Dia memandang redup wajah Sofiey, isteri kesayangannya. Dikucup perlahan bibir munggil itu.
"Sayang, betul you nak tahu? Tapi, you kena janji. Keep this promise until your last breath. Kalau tak....."
"Kalau tak, apa baby?”
"Mungkin nama you akan masuk dalam list...mangsa seterusnya. Dan, I takkan mampu nak halang!"
"Okay baby. I'll promise. Janji kita sampai ke mati."
"The killer was..... Rosanne."
-TAMAT-



Nota: Cerita ini rentetan untuk kisah Nil Kuhaku akan datang hehehehe
================================

Kredit khas Dee Edot & Nil Kuhaku
Gambar: Kamenrider
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negera.

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: