Wednesday, 31 January 2018

KUCHISAKE-ONNA - Xander Xavier


KUCHISAKE-ONNA

Karya Oleh: Xander Xavier

========================
Brandon Lee adalah salah seorang pelajar cemerlang yang mendapat tajaan syarikat gergasi untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam bidang kejuruteraan kimia. Sebagai pelajar tahun pertama banyak perkara yang dia perlu pelajari apabila menetap di negara orang. Begitu juga dengan legenda-legenda masyarakat Jepun yang dia tidak pernah ambil tahu sebelum ini.

Kehidupannya sebagai seorang pelajar berjalan dengan lancar. Di universiti tempat Brandon belajar, dia mendapat banyak perhatian disebabkan oleh tahap kecerdasan otaknya. Namun, kepintaran itu membuatkannya terlalu mempercayai logik dan menolak segala perkara yang berkaitan dengan alam lain atau mistik. Baginya, setiap perkara itu mesti ada ‘sains’ tersendiri.

Pada suatu hari, Brandon sedang berbual-bual dengan rakan-rakan senegara yang turut melanjutkan pelajaran di universiti yang sama dengannya. Lima orang pelajar itu berkumpul di sebuah ‘Maid CafĂ©’. Daripada topik pelajaran perlahan-lahan beralih kepada perkara yang paling tidak disukai oleh Brandon.

“Semalam ‘classmate’ Jepun aku kena kacau dengan Kuchisake-Onna,” Anuar meneguk jus yang dipesannya.

“Kuchisake-onna?” Zain buat muka binggung.

“Korang tak tahu ke?” Pertanyaan Zain dijawab dengan pertanyaan oleh Anuar.

Serentak keempat-empat mereka menggelengkan kepala. Rajan yang duduk di sebelah Brandon mengelengkan kepalanya dengan sangat laju.

“Kuchisake-onna ni hantu perempuan dalam lagenda Jepun. Mulut dia koyak sampai telinga. Diceritakan dulu masa zaman Heian, ada perempuan ni sangat lawa. Tapi dia sombong. Dahlah sombong, curang pula dengan suami dia. Jadi, satu hari tu suami dia pergi tangkap dia lepastu koyakkan mulut dia sampai telinga supaya tak ada orang cakap bini dia ni cantik lagi. Lepastu, dia mati di tangan suami dia juga,” Anuar berhenti seketika bagi membenarkan oksigen masuk ke peparunya.

“Sejak peristiwa itu, Kuchisake-onna selalu muncul dekat jalan-jalan sunyi masa hujan. Dia akan tanya orang yang dia jumpa sama ada dia cantik ataupun tidak. Kalau orang tu cakap ‘ya’, dia akan buka ‘mask’ yang dia pakai dan tunjukkan wajah sebenarnya. Cerita ni ‘hits’ juga tau sampai pada tahun 1970-an, setiap sekolah kena pastikan pelajar-pelajarnya pulang dalam kumpulan atau ditemani oleh guru mereka tiap-tiap malam,” panjang lebar Anuar bercerita.

Dia sekali lagi menyedut minuman bagi menghilangkan rasa dahaga. Semua mengangguk faham kecuali Brandon.

“Ah… Karutlah semua tu! Takkanlah dekat negara maju macam Jepun ni ada hantu. Jepun antara negara paling maju dalam dunia tau. Tak mungkinlah ada hantu. Teknologi pun dah canggih, hantu mesti takut nak keluar punyalah. Lagipun, orang mati mana boleh bangun semula. Apalah korang ni,” Brandon sedikit meremehkan cerita Anuar.

“Eh, Brandon! Tak baiklah kau cakap macam tu. Kalau Kuchisake-onna jumpa kau macam mana?” Rajan membantah.

“Takdelah. Aku kan berani,” Brandon menepuk bahu Rajan. Ketiga-tiga rakan Brandon yang lain hanya mengelengkan kepala mendengar kata-kata yang terpacul dari mulutnya. Tidak kurang juga yang mencebik.

Beberapa minggu setelah itu, Brandon mengalami peristiwa yang tidak mungkin dia lupakan seumur hidupnya. Dia terpaksa pulang lewat pada malam itu kerana ada aktiviti kelab yang harus disiapkan segera.

Dia melihat jam di tangannya. Pukul 12.30 malam. Sudah lewat benar. Dia harus mengambil jalan 'tikus' untuk sampai ke penempatan pelajar dengan segera. Hujan daripada siang tadi berlarutan sehingga ke malam dan semakin lebat. Brandon mengeluarkan payung boleh lipat miliknya daripada beg sandang dan berjalan dalam hujan.

Dalam kelam dia terpaksa melalui lorong-lorong sunyi untuk segera sampai ke kediamannya. Suasana berkabus menambahkan suasana seram. Dia tidak pernah takut, namun entah mengapa hatinya dirasakan agak gementar malam itu. Penglihatannya agak terhad dek kerana kabus tebal tapi Brandon dapat melihat ada seseorang sedang berjalan ke arahnya.

Beberapa langkah ke hadapan dia dapat melihat seorang wanita Jepun berambut panjang dan memakai topeng penutup mulut. Tiada terlintas apa-apa di fikiran Brandon kerana masayarakat Jepun menganggap amalan memakai ‘mask’ adalah budaya menghormati orang lain dengan tidak menyebarkan virus kepada mereka. Apabila mereka berselisih, wanita terbabit tiba-tiba menarik tangan Brandon.

“Watashi kirei (adakah saya cantik)?” Wanita tadi bertanya.

“Hai (Ya),” Brandon tidak berfikir panjang ketika menjawab. Dia hanya ingin cepat pulang. Dia kesejukkan. Lagipula, dia tidak mahu mendatangkan masalah buat dirinya dengan masyarakat setempat.

“Watashi wa ima, kirei (adakah saya cantik sekarang)?” Wanita itu bertanya lagi sambil membuka ‘mask’ yang dipakainya.

Alangkah terkejutnya Brandon apabila dia melihat wanita di hadapan matanya itu mempunyai mulut yang terkoyak sampai ke telinga. Malah masih berdarah. Matanya yang tadi hitam dan bundar bertukar menjadi merah terang.

Brandon berlari sekuat tenaga. Wanita tersebut mengejar. Malah lebih laju daripada kebolehan seorang manusia biasa. Dalam sekelip mata wanita itu ada di hadapannya. Brandon menukar arahnya dan berlari ke arah kedai runcit berdekatan. Dia masuk dan mencampakkan payungnya ke luar kedai. Juruwang di situ menghampirinya. Agak muda. Mungkin pelajar sekolah tinggi yang bekerja separuh masa.

“Are you okay, sir?” Juruwang itu memegang bahu Brandon. Percakapan gadis itu sedikit pelat. Brandon hanya mengelengkan kepalanya sekuat hati.

“I see a scary woman out there,” Brandon menjawab jujur.

“Is she the woman?” Juruwang itu menunjukkan jarinya ke arah cermin kaca yang memisahkan ruangan luar dengan dalam kedai.


Brandon mengigil. Wanita itu telah memakai ‘mask’ semula. Matanya juga telah kembali hitam. Dia melambaikan tangannya ke arah Brandon. Brandon memalingkan wajahnya. Dia merentap tangan juruwang terbabit. Juruwang itu agak terkejut. Brandon masih mengigil.


“Kuch… Kuchisake… Onna,” dia hanya boleh berharap agar juruwang itu faham apa yang dimaksudkannya.

P/S : Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata yang diadaptasi daripada ‘urban legend’ Kuchisake-Onna. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Sekian… -XX



-TAMAT-

Suntingan Karya: KamenRider 

Gambar: XX

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: