SIRI PARADOKSIKAL : TEKSI SONGSANG
Aizad menenyeh organ penglihatannya beberapa kali. Cahaya pendarflour yang merelang merengsakan retina sehingga tersepet-sepet saiz bukaan kelopak matanya. Dikerling jam G-Shock siri Rangeman gred AAA yang baru dibeli minggu lepas di uptown.
“Dah 3:40 pagi. Lebih kurang 20 minit sampai la ni,” gumam Aizad sendiri. Hatinya melonjak riang kerana sudah hampir tiga bulan dia tidak pulang ke rumah ibunya. Tak sabar hendak merasa keenakan masakan ibu walaupun sekadar telur dadar bodoh. Mana sama air tangan ibu dengan air tangan tukang masak restoran.
Rambutnya dirapi bercerminkan tingkap keretapi elektrik yang membiaskan suasana dalam koc. Jaket dizip penuh ke paras leher. Sejuk. Beg galas dirangkul rapat ke dada sebagai cubaan untuk menghangatkan badan yang sesekali terketar dek hembusan ganas penghawa dingin. Hujan renyai-renyai yang menurunkan suhu bumi beberapa darjah celsius memperparah lagi kedinginan.
Telefon bimbit Huawei dikeluarkan daripada kocek seluar jeans lantas dihantar pesanan ‘Whatsapp’ kepada penerima yang bernama ‘ADIK’.
‘Abang Chik tak jauh dah. Pukul 4 sampai la. Jangan lupa ambik kat stesen kereta api.’
Lama dia merenung skrin telefon bimbitnya. Mengharapkan balasan daripada tuan badan yang bernama ‘ADIK’. Hampa. Pesanannya langsung tidak dibaca. Hembusan deras terbit dari rongga hidungnya.
Didial nombor ‘ADIK’. Kedengaran nada daripada pembesar suara telinga bahawa panggilan telah disambungkan. Hampir sepuluh saat nada berbunyi, namun tidak dijawab panggilan itu. Dia mencuba buat kali kedua dan ketiga. Tetap hampa.
Kali ini dengusan hampa lebih kuat kedengaran daripada peti suara Aizad. Kasar keluhannya. Rahang diketap tanda amarahnya sedang dibentengi oleh kesabaran.
“Spesis tidur mati! Orang telefon pun tak sedar apa dah!”
Tak sampai hati pula Aizad hendak menelefon telefon bimbit ibunya. Tak mahu diganggu tidur orang tua kesayangannya itu yang sudah pun berumur 66 tahun.
Dia sudah berkira-kira untuk melanggan perkhidmatan Uber atau Grab sahaja sebentar nanti. Nak diharapkan adiknya, harapan tinggal harapan sahajalah. Jarak antara rumah orang tuanya dengan stesen kereta api tidaklah jauh mana. Kalau bermotosikal, 10 minit dah sampai.
“Grab je lah! Eh ada lagi ka Grab pepagi buta cenggini?” Persoalan yang dirinya sendiri tak mampu dijawab. “Dah sampai stesen nanti baru aku check.”
Aizad termenung. Ralit dia memandang ke tingkap yang diliputi titisan air hujan yang mengalir melintang di permukaan kaca. Objek di luar pantas ditinggalkan kereta api elektrik yang bergerak dengan kelajuan 140 km/j itu.
* * *
Tepat jam 4.00 pagi, Aizad menjejak kaki di pelantar stesen kereta api. Terus dikeluarkan sigaret lari cukai berjenama John berkotak putih. Dia mengitar pandangan di sekitar pelantar. Terdapat tanda larangan merokok namun langsung tidak dihiraukannya. Sudah hampir 5 jam ditanggung seksa gelodak nafsu akan nikotin.
Sambil bersandar di tiang bersama sigaret di jari, penglihatannya ditebar ke arah penumpang kereta api. Dikira cincai dalam minda, dia menganggarkan hampir 15 orang yang turun di stesen yang sama dengannya. Semua berjalan pantas ingin segera ke destinasi seterusnya.
Setelah menghabiskan dua batang sigaret dan berjaya menambah hitamkan paru-paru, dia berjalan longlai menuju pintu keluar. Sudah 5 kali ditelefon Adiknya, namun tetap tak diangkat. Perkhidmatan Uber dan Grab juga langsung tiada pemandu yang online.
Sebuah teksi merah bergerak meninggalkan pintu keluar stesen. Sunyi sepi. Langsung tiada siapa lagi yang ada di situ. Pengawal keselamatan yang selalunya patrol di situ juga tidak kelihatan. Hanya dirinya yang terkebil-kebil berdiri di tangga stesen. Leher dipanjangkan ke kiri dan kanan mencari teksi.
“Macam mana aku nak balik rumah ni? Satu haprak teksi pun takdak.” Aizad duduk di anak tangga sambil berkali-kali meraup mukanya. Badan dah sengal-sengal, kepala pula memberat akibat tidur yang sering terganggu sepanjang perjalanan tadi.
Tiba-tiba kelihatan dua biji cahaya halogen kuning memasuki perkarangan stesen. Sebuah kereta Datsun 120Y tahun 70-an berwarna hitam, berbumbung warna kuning dan ber’tinted’ gelap pekat berhenti betul-betul berhadapan dengan Aizad. Di atas bumbungnya terdapat papan tanda kecil bertulis ‘TEKSI’.
Kondisi teksi itu masih cemerlang, tiada langsung tanda karat atau kemek walaupun telah hampir separuh abad umurnya.
Pintu belakang kereta itu terbuka seakan mengajak Aizad supaya masuk. Aizad menoleh ke sisi dan belakang untuk memastikan bahawa dirinyalah yang dijemput naik oleh kereta itu. Perlahan-lahan dia melangkah lalu menjenguk ke dalam. Lampu oren menerangi ruangan dalam kereta membuatkannya dapat melihat dengan jelas rupa pemandu.
“Cepat masuk dik! Abang hantar adik balik.” Pemandu lelaki berusia lingkungan 30-an menggamit kedatangan Aizad.
“Teksi ke ni?” Tanya Aizad teragak-agak kerana warna teksi itu bukanlah seperti yang selalu dilihatnya. Setahunya warna teksi sebegitu adalah ketika zaman Ogy Ahmad Daud masih muda bergetah.
“Ya. Cepat-cepat masuk.”
Aizad berasa sedikit lega kerana dia dapat segera pulang ke rumah. Belum sempat dia menutup pintu, kereta itu telah bergerak pantas. Tersandar dia ke sofa fabrik. “Amboi ganas betul abang ni bawa kereta. Tak menyempat-nyempat.”
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Selamat datang ke Teksi Songsang… songsang … songsang … songsang … songsangggggg…’
Radio analog di dalam kereta itu berbunyi secara tiba-tiba. Terkejut Aizad hingga hampir tersembul keluar bola matanya lantaran pembesar suara memuntahkan bunyi di tahap maksima. Spontan jari telunjuk dimasukkan ke lubang telinga agar gegendangnya terselamat daripada ketulian. “Teksi songsang? Lain macam betul.”
Kemudian keadaan menjadi senyap sunyi.
“Eh bang, saya belum bagitau destinasi saya.” Aizad baru saja teringat yang dia langsung belum memberitahu destinasinya kepada pemandu. Dia pun pelik melihat pemandu itu yang penuh yakin terus memandu laju tanpa bertanya kepadanya akan arah tuju.
“Aaa ahaa ye… ye… Adik nak pi mana?” Soal pemandu berbangsa Melayu. Terdapat sedikit getaran dalam nada suaranya.
“Kampung Sungai Jagung.”
“Okay.”
Keadaan kembali menjadi sepi. Hanya kedengaran sayup-sayup deruan ekzos. Tak semena-mena radio berbunyi dan memainkan lagu klasik. Kali ini tahap kekuatan bunyi sedap telinga mendengar. Terasa hanyut dalam asyiknya lagu yang mendayu-dayu.
Aizad mengimbas suasana di dalam teksi. Mentol kecil pada siling yang dibiarkan terpasang membolehkan dia melihat jelas dalaman kereta. “Walaupun umur kereta ni dah berpuluh tahun, tapi tetap kemas dan tampak seperti baru. Masih terbau bauan kilang,” bisik hati kecilnya.
Matanya kemudian tertancap pada balutan pada pergelangan tangan pemandu. Ditenungnya lama kerana dia terperasan seperti ada darah pada balutan tersebut. Kesan darah tersebut masih basah dan selepas beberapa ketika, kesan darah semakin bergenang di permukaan balutan.
Melalui cermin pandang belakang, diintainya muka pemandu. Dahinya berkerut dan manik-manik peluh sesekali bersinar disimbah lampu jalan. Wajahnya kelihatan sangat pucat seperti orang yang sedang sakit teruk. Sebaik pemandu itu terperasan yang Aizad sedang memerhatikannya, segera Aizad berpura-pura melarikan pandangan ke arah jalan di depan.
Suasana di luar semakin berkabut. Semakin lama semakin berkabus tebal sehinggakan cahaya lampu kereta seakan menyuluh permukaan dinding sahaja. Jarak penglihatan jatuh ke tahap hanya beberapa meter. Namun kereta masih bergerak laju seakan pemandunya langsung tidak terganggu akan keadaan itu.
Aizad mula berasa tidak sedap hati. Degupan jantung sudah seakan sama pantas dengan hembusan nafasnya. Dirasakan sudah terlalu lama di dalam kereta namun belum juga tiba di kampungnya.
“Abang boleh drive ke? Kabus tebal je tu.”
“Hmmm…”
“Lambat lagi kita nak sampai? Rasa macam dah lama dah ni.”
“Hmmm… tak lama dah kot.”
Dingin sahaja tutur kata pemandu itu setiap kali dia menjawab soalan. Mendatar. Yang peliknya kereta itu langsung tidak membelok atau berhenti di mana-mana lampu isyarat. Aizad sudah nekad jika kereta itu berhenti di simpang atau lampu isyarat, dia akan terjun keluar.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Pemandu boleh pakai topeng mulut.’
Radio analog yang sedang memutarkan lagu klasik tiba-tiba diganggu dengan suara yang seakan memberi arahan. Pemandu segera memakai topeng mulut sama jenis seperti yang dipakai oleh petani yang melakukan kerja meracun lalang.
Aizad terasa bingung dengan keadaan yang terjadi. “Kenapa pakai topeng bang? Ada apa?” Namun langsung tiada jawapan daripada pemandu. Aizad menjadi semakin gelisah tatkala salur penghawa dingin mula menghembus asap tipis berwarna putih kekuningan. Panik mula singgah ke benak fikirannya.
Aizad cuba memutarkan tuil bagi membuka cermin tingkap namun tak berjaya. Tuil itu terlalu ketat, langsung tidak bergerak. Kemudian ditariknya tuil pintu pula. Pintu tak terbuka. Berulang kali dia mencuba hingga seperti mahu tertanggal tuil itu.
Pemandu teksi itu hanya sekadar menjeling melalui cermin pandang belakang. Aizad menggoyangkan kerusi tempat duduk pemandu sehingga berhinggut badannya.
“Bang! Berhenti bang! Berhenti! Saya nak turun!
Namun pemandu itu tetap meneruskan pemanduan melalui jalan yang lurus seakan-akan lebuhraya yang tidak berselekoh. Aizad berasa badannya tiba-tiba lemah. Hendak diangkat tangan pun tak mampu. Nafasnya terasa sesak dan memberat. Penglihatan semakin kelabu, minda kabur dan akhirnya dia jatuh terjelepok pengsan sambil mulut tercungap seperti meminta nyawa.
* * *
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… ‘
Perlahan-lahan Aizad membuka mata. Kabur. Sesekali dia memicingkan kembali tatkala kepalanya rasa sakit seperti dicengkam. Sayup-sayup gelombang bunyi radio berputar masuk melalui koklea telinganya. Semakin lama saraf auditori kembali berfungsi normal dan dia dapat mendengar jelas bunyi radio yang ketiadaan siaran itu.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Tahniah anda telah menjadi pemandu yang baru untuk Teksi Songsang… songsang… songsang… songsang… songsanggggg…’
Aizad tersentak. Pemandu tadi telah tiada. Dilihatnya ke sekeliling luar kereta. Dia sedang berada di luar pagar stesen kereta api namun bangunannya kelihatan buruk dimamah usang seperti sudah ditinggalkan selama berpuluh tahun. Cat sudah terkopek. Dinding menguning dan penuh bekas-bekas aliran air karat. Cermin berhabuk dan bingkainya kopak.
Kelam-kabut dia cuba membuka pintu namun tetap gagal. Barulah dia perasan yang pergelangan tangannya sedang berdarah. Menitik-nitik darah itu mengenai lantai dan seluar jeans birunya. Urat dan saraf ulnarnya telah dikelar.
Terkocoh-kocoh dia mencari kain di dalam begnya untuk membaluti luka parah yang dialaminya. Baju kemeja lengan panjangnya menjadi pilihan sebagai pembalut. Pedih, sakit dan kebas semua bercampur-baur. Air matanya mula mengalir. Dirasakan ajalnya semakin mendekat. Terngiang-ngiang seakan ‘Izrail sedang memanggil namanya.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Ikut arahan radio jika anda ingin selamat.’
Aizad keliru. Fikirannya kusut. Dia seakan tak percaya apa dilaluinya sekarang. Semuanya bagaikan mimpi. Semuanya tampak paradoksikal.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Anda tidak bermimpi. Ikut arahan yang diberi.’
Aizad akhirnya mengalah. Mungkin satu-satunya jalan keluar adalah mengikut arahan seperti yang disiarkan melalui corong radio. “Ba… baiklah. Saya ikut arahan.”
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Bagus! Di dalam glove box di hadapan ada barang-barang untuk anda menyelamatkan diri. Ada topeng muka, pisau dan mangkuk.’
Aizad segera melompat ke tempat duduk penumpang hadapan dan membuka glove box. Memang benar terdapat semua barang seperti yang diberitahu.
“Nak… Nak buat apa dengan barang ini?” Aizad teragak-agak bertanyakan soalan. Janggal. Seumur hidupnya tak pernah dia bercakap dengan radio.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Anda perlu mencari mangsa untuk menggantikan tempat anda. Masih ingat pemandu teksi tadi? Dia telah selamat kerana meyempurnakan tugas ini dengan jayanya. Sekarang giliran anda pula menjadi pemandu.’
Aizad hanya membatukan diri untuk cuba mendengar arahan dengan teliti agar dia tidak terlepas mana-mana arahan yang diberikan. Ini merupakan garisan pemisah antara hidup dan matinya.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Apabila arahan diberi untuk memakai topeng, anda harus segera memakai kerana asap tersebut akan menyebabkan sesiapa yang menghidu akan hilang kesedaran diri. Anda kemudian akan menggunakan pisau tersebut dan mengelar mana-mana bahagian badan penumpang untuk mengambil darah. Isikan darah di dalam mangkuk. Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt…Pastikan mangkuk itu penuh. Darah yang telah penuh kemudian dituang di dalam lubang tangki minyak.’
“GILA! Takkan aku kena kelar orang. Buatnya orang tu mati macam mana. Nanti aku akan lari bila pintu dibuka untuk ambil penumpang.” Aizad berbisik di dalam hati.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Ya anda boleh lari. Anda nampak tengkorak dan jasad yang sedang berjalan bagaikan zombie tu? Itulah pemandu-pemandu yang tidak berjaya menyelesaikan tugas ini. Mereka akan selamanya terperangkap di dimensi ini.’
Aizad terkejut kerana radio itu boleh membaca isi hatinya. Kemudian dia merenung ke luar. Baru dia terperasan banyak tengkorak bergelimpangan. Dalam kesamaran kabus terdapat juga beberapa tubuh yang sedang berjalan perlahan seperti tanpa tujuan. Ada yang telah tersandar kelesuan di pokok.
Air matanya kembali mengalir. “Siapa kau!”
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… HAHAHAHAHAHA! Aku hidup dengan menghisap darah manusia. Aku mengambil kesempatan atas kesempitan mereka. Kenyang.’
“Dasar teksi cekik darah! Penipu! Pembunuh!” Jerit Aizad.
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Sekarang mulakan tugas anda. Anda hanya diberi 30 minit. Jika tidak, nasib anda seperti tengkorak itu. Boleh pilih pokok mana yang ingin jadi tempat persemadian terakhir anda. Hahahahahahaha!’
* * *
Aizad memandu pantas ke arah stesen bas. Stesen kereta api tadi langsung tiada mangsa kerana jadual ketibaan masih lambat. Berpeluh dahinya. Jantung berdetak kencang. Tangan kirinya terketar-ketar menahan sakit akibat luka kelaran. Setiap saat baginya kini amat berharga.
Dari kejauhan kelihatan seorang gadis awal 20-an berdiri di tepi jalan. Keseorangan. Kelihatan gelisah. Lengkap ciri-ciri untuk menjadi mangsa yang seterusnya.
Perlahan-lahan Aizad memandu dan berhenti di hadapan gadis itu. Dia memanjangkan tangan lalu membuka pintu belakang.
“Dik… Marilah naik. Cepat masuk. Abang hantar adik balik.”
Gadis itu kelihatan teragak-agak untuk memasuki kereta. Mungkin cuba berhati-hati agar tidak tersalah masuk jerat penjahat yang ingin mengambil kesempatan. Sebaik dia menutup pintu…
‘Shhhhrrrrrrttttttt… Shhrttttt… Selamat datang ke Teksi Songsang… songsang… songsang… songsang… songsangggggg…’
-TAMAT-
Karya: DeeFen DF
Suntingan Gambar (sumber internet): DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment