Thursday, 4 January 2018

DARI FAIL SERAM CEMPAKA DAHLIA - The Flash


Dari Fail Seram Cempaka Dahlia.

========================
Nota kaki- Cerita ini dari tunang aku (ketika hal ini diceritakan pada aku,sekarang kami dah kahwin). Untuk pengetahuan pembaca, tunang aku, si Cempaka Dahlia berasal dari Pontian dan hidupnya sejak kecil memang penuh misteri. Ini adalah kisah beliau. Kejadian circa 2010-2011 macam itu. Aku di dalam cerita ini adalah Cempaka Dahlia (CD). Ini adalah cerita dari pandangan mata dia.

Untuk pengetahuan, aku akan cerita hal CD ini selama 3 minggu berturut turut. Kisah CD memang banyak dan sampai sekarang, kami berdua masih tertanya tanya kenapa benda itu terjadi.

----------------------------
Pelaris kedai?

Tunang aku (Man) baru tiba dari Putrajaya, kebetulan dia ada cuti 4 hari. Usai aku ambil dia di stesen bas Larkin, aku terus suarakan pada dia,.

"Jom makan steambot dekat padang bola tu. Yang ada jam besar tu," ujar aku. Memang aku mengidam juga. Maklumlah, dekat Pontian aku tahu, takda seumpama itu.

"Tak nak lah,kita makan tempat lain. I ada tahu satu tempat ini. Ada ikan bakar sedap sedap, I bawa you ok? Takpe, I belanja," balas Man. Aku hanya senyum, seronok tunang nak belanja. Dalam kereta ketika itu ada emak. Memang ke mana mana aku selalunya akan bawa mak dia sekali, kecuali ke kerja.

Kira-kira jam 930 malam kami bertiga tiba di lokasi. Memang aku akui, tempat ini cukup ramai, meriah betul! Suasana kedai ini memang klasik. Tapi nampak ciri ciri moden. Tampak kemas dan teratur.

Mujur ada pekerja restoran yang perasan ketibaan kami. Jadinya dia buka meja baru untuk kami. Kalau nak tunggu giliran meja, sampai sudah kami tak makan! Usai memesan makanan, aku berjalan sekitar restoran. Ada banyak sudut bacaan. Ada beberapa naskhah majalah dan juga sejarah restoran ini bertapak. Sudah hampir 8 tahun mereka mula berniaga. Man dan emak duduk berborak. Aku lihat sahaja dari jauh. Biarlah mereka berdua berbual. Lagipun kan elok juga bakal menantu berbual dengan emak. Merapatkan ukhwah gitu.

Aku duduk, memerhatikan keadaan sekeliling. Ada pasangan kekasih sedang suap menyuap, ada yang datang berkeluarga sambil memangku bayi. Ada juga yang duduk berseorangan, barangkali menunggu teman tiba.

Aku beralih pandangan. Mata aku tertumpu pada atas meja. Pandangan pertama aku, aku sangkakan kucing. Aku gosok mata aku berkali kali. Bukan kucing! Tapi beruk! Mengelilingi meja, dan ada yang naik atas meja, duduk di hadapan pelanggan yang menjamu selera.

Fikiran aku pada mulanya, mungkin peliharaan restoran ini, tapi macam tak logik! Kotor! Beruk itu senang-lenang melangkah pinggan berisi nasi, duduk di tepi cawan minuman!

Aku bingkas bangun, menuju ke meja Man dan Emak. Ya, aku perhati beberapa meja, memang penuh dengan beruk! Berbulu hitam, matanya merah menyala,saiz badannya kecil, semacam anak kucing! Tapi kuantiti yang banyak! Ada yang sedang seronok kencing di dalam pinggan nasi! Aku mengucap panjang! Sah, aku seorang sahaja yang nampak! Itu bukan haiwan peliharaan.

Dekat meja Man dan emak duduk pun ada. Sedang seronok memanjat bahu Man! Aku menerpa ke arah mereka.

"Man, jom balik! I nampak sesuatulah! Please!" Rayu aku. Aku lihat Man agak terkejut dan dia bangun dan terus ke kaunter. Mujur makanan dan minuman kami tak siap lagi. Semasa aku nak masuk ke dalam kereta, aku lihat di kaunter pembayaran, wanita di depan kaunter itu mengusap tangannya, tetapi pada pandangan mata aku, dia mengusap kepala beruk itu!

Dalam kereta, Man dan Emak hanya diam. Mereka mesti menunggu penjelasan aku.Man berhenti di restoran makan segera, dia ajak kami turun untuk makan. Aku tahu dia lapar. Aku terangkan segala yang aku nampak tadi. Man hanya senyum, menurut pemahaman dia, kemungkinan beruk itu mungkin pelaris kedai. Macam mana aku boleh dapat penglihatan sedemikian? Wallahualam. Aku pun kadang kadang hairan dengan kebolehan aku ini.

Ular Sawa Kuning jam 3 pagi.
Kejadian ini berlaku sekitar tahun 2008. Ketika itu aku balik ke rumah sempena cuti semester. Untuk pengetahuan, sekitar rumah aku dikelilingi pokok sawit, dan tandas aku memang arwah bapak bina di luar rumah. Memang kami kena keluar rumah menuju ke tandas kalau kalau nak lepaskan hajat atau mandi.

5 hari aku di rumah. Satu malam, perut aku meragam dek melantak 6 biji durian. Durian ini korang faham fahamlah, memang bagi lawas air besar. Aku nak kejut emak, rasa tak sampai hati. Aku capai lampu picit dan parang pendek sebagai langkah keselamatan.

Malam itu tersangatlah sejuk. Tapi memang keadaan kampung aku, sejuk bila malam. Tapi kali ini amat terasa sejuknya.

Perlahan lahan aku menuruni tangga.Takut juga terpijak katak. Tiba di tandas, cepat-cepat aku lepaskan hajat. Masa dalam tandas, ya Tuhan. Aku sangatlah takut. Bunyi burung pungguk,bunyi kelawar, bunyi cengkerik membuatkan aku jadi kaget.

Siap semuanya, aku berlari anak menuju ke rumah. Waktu aku naik tangga, aku berlari. Masa nak tutup pintu, mata aku tertangkap pada lantai bawah. Ada ular sawa berwarna kuning! Memanjang dari hujung tangga hingga ke depan.Yang hairannya, aku tak nampak masa aku mendaki tangga. Atau ketika itu aku berlari sebab ketakutan?

Aku terpaku. Agak hairan juga, fikir aku. Ular sawa yang biasa tu, selalulah aku jumpa. Ini berwarna kuning. Agak pelik. Sedang aku terfikir, tiba-tiba aku nampak kelibat manusia!

Entah datang dari mana? Susuk tubuh wanita, berambut panjang dan memakaia baju seakan akan penari kebudayaan, siap selendang dan sanggul di kepala, serba kuning! Wanita itu membelakangkan aku, dan terus mencapai ular sawa kuning terus ke lehernya! Aku menjerit bila wanita itu berpusing mengadap aku, wajahnya sama seperti aku!! Cumanya wajahnya agak berusia dan berkedut. Tapi memang saling tak tumpah macam aku!

Cepat-cepat aku tutup pintu, dan berlari ke bilik tidur. Emak tak dengar sebenarnya jeritan aku. Sebab itulah dia tak bangun.

Hidangan waktu malam.

Hal ini berlaku sewaktu aku praktikal di Johor Bahru. Ketika itu, aku berulang-alik dari Pontian ke Johor Bahru, dan kebiasaannya hari Rabu selalunya aku balik lewat. Itupun hari Rabu adalah hari aku turun ke site. Sebab aku belajar dalam jurusan pembinaan. Emak sudah maklum dengan kelewatan aku tiap Rabu.

Malam itu selepas Maghrib, aku dan rakan sekerja singgah di Jusco. Sedar tak sedar dah jam 10 malam! Sampai tutup pasaraya itu kami berdua ralit membeli-belah.

Malam itu, aku bawa kereta agak perlahan dek kerana jalan agak sibuk. Aku tiba rumah kira kira jam 1130 macam tu. Sampai di rumah, emak dah lama tidur.

Aku ke sinki dapur, basuh muka, lap-lap badan, gosok gigi dan mengambil wuduk. Usai solat, hidung aku menangkap bau kari dan bau orang goreng sesuatu. Aku ke dapur, aku angkat tudung saji, ada mee goreng. Dah sejuk pun. Aku tercari-cari bau makanan itu. Rumah aku dan rumah jiran selangnya agak 80 meter macam itu. Mustahil lah boleh bau.

Sudahnya aku duduk, ceduk mee goreng dan makan. Waktu aku sudah separuh menjamah, aku terdengar bunyi sudu berlaga dengan pinggan.

'Kting'.
Aku berhenti mengunyah. Sekali lagi bunyi itu datang. Suasananya seakan-akan bunyi orang tengah menjamu makan. Bunyi senduk berlaga dengan pinggan. Aku bangun, dan jenguk di bawah rumah.
Rumah aku bahagian bawahnya ada meja makan dan ada macam ruang untuk melepak.


Alangkah terperanjat, aku lihat ada hidangan di atas meja. Lengkap dengan lauk pauknya. Siap ada kendi basuh tangan dan tepak berisi sirih. Saat aku melihat tiba-tiba sahaja sudu di angkat udara, dan senduk nasi di ceduk masuk ke dalam pinggan, aku dah mula rasa lemahnya lutut aku!.Bayangkan, semua peralatan itu semua di gerakkan tanpa ada seeorang manusia pun di depan hidangan!

Aku menutup mulut! Aku bergegas lari masuk ke bilik emak. Aku tertidur ketakutan. Esok pagi aku dengar emak membebel di stor tepi rumah. Katanya, pinggan mangguk berselerak tak disusun ikut susunan.

Aku turun dan bantu. Mata aku terpandang set pinggan mangkuk yang separa tembaga. Bila aku amati, memang sama macam malam tadi! Aku ambil pinggan dan aku hidu, ada bau kari bercampur kemenyan! Aku terus tanya emak.

"Mana dapat pinggan semua ni mak? Tanya aku ingin tahu.

"Dari istana,ada orang sana bagi," ringkas sahaja jawapan emak. Tapi cukup buat aku tertanya tanya. Apa kaitan keluarga aku dengan pihak istana. Aku pun kurang pasti!



----------------------------------------------

-TAMAT-
**********************
Suntingan: KamenRider
Gambar : Azman Zainordin

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: