ASPURI
Oleh: Nur Kasih
=============================================
Sebut saja 'asrama' pasti ada di antara anda yang pernah menjadi penghuni asrama mengalami kisah misteri, dan yang pastinya anda 'si penghuni' asrama juga pasti pernah dimomokkan dengan kisah-kisah hantu di asrama.
Kisah hantu perempuan berbaju merah yang sering menghantui pelajar-pelajar asrama dan Pontianak yang bertenggek di atas almari sudah menjadi buah mulut penghuni asrama dari generasi ke generasi. Tidak terkecuali denganku. Tetapi, aku bersama beberapa rakan yang lain mengalaminya sendiri.
Sekolah aku terdiri daripada bangunan tua yang telah dibina berpuluh tahun lamanya.Sekolah ini terletak di atas bukit dalam daerah Sandakan. Nama sekolah pula adalah rahsia... Hehe… Sekitar tahun 2008, aku telah mendaftar masuk ke asrama puteri. Ketika zaman persekolahan dahulu aku mungkin kelihatan sedikit pendiam tapi sebenarnya terselit juga kenakalannya.
Aku ditempatkan di dalam bilik nombor 9. Aku ada mendengar cerita bahawa bilik ini baru sahaja dibuka. Bilik ini dahulunya ditutup atas sebab yang tidak diketahui. Setiap bilik mempunyai lapan orang pelajar yang dibahagikan secara rawak tanpa mengikut tingkatan. Ini bermakna setiap bilik akan mempunyai pelajar baru dan pelajar lama daripada semua tingkatan.
Cerita yang aku ingin kongsikan ini bukanlah rekaan. Kisah ini betul-betul berlaku dan selepas kejadian malam itu aku serik untuk menakut-nakuti kawan aku yang lain, sumpah tak berani!
Malam tu, selepas menunaikan solat fardhu Maghrib di surau aspuri kami diberi pelepasan sama ada untuk pulang ke asrama masing-masing atau terus berada di surau sementara menunggu masuknya waktu solat fardhu Isyak. Jadi, aku pun mengambil keputusan untuk balik ke asrama aku.
Dalam keadaan yang masih memakai telekung, aku berjalan santai sambil menuju ke arah bilik.Aku ingin terus masuk tapi… Nanti dulu! Aku mematikan langkah, perlahan-lahan aku bersembunyi di balik daun pintu.Apa yang kalian rasa ingin lakukan apabila melihat seorang rakan sedang belajar sendirian dan hanya ditemani oleh muzik? Tanduk mula tumbuh di kepala. Hehe…
Agak lama aku berdiri di situ sambil merancang 'kerja jahat' untuk menakut-nakutinya. Untuk pengetahuan semua, kawan aku ni satu-satunya ‘non-muslim’ yang tinggal sebilik dengan aku.
Langkah diatur dengan penuh berhati-hati, aku berdiri di tengah-tengah muka pintu. Pada mulanya aku terfikir untuk tanggalkan telekung dan melepaskan rambut aku yang sudah sedia panjang seperti pontianak. Tapi bila difikirkan semula takut keterlaluan, dibuatnya sawan terkejut budak tu aku juga yang susah. Jadi, aku pun meneruskan rancangan yang telah diubah suai tadi.
Malam itu angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membuatkan telekung yang aku pakai berkibar persis kain 'CikPonti' yang menambahkan lagi kesan dramatik. Aku berdiri menunggu reaksi rakan yang sedang fokus, 1saat... 2saat... 3saat...
Perlahan-lahan gadis itu berpaling ke arah aku, dia sudah mula rasa sedang diperhatikan tapi…Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan. Aku meyerah. Aku mendekatinya.
“Wei, kau tak nampak ke tadi ?” Aku menarik kerusi dan duduk di sebelahnya.
"Nampak macam ada benda putih kat pintu.. aku ingatkan warden buat rondaan," dia memandang aku dengan mata polos.
Hampeh!
__________________________________________
Keesokan harinya.......
Hari ini berlangsung seperti biasa. Belajar, makan, balik asrama, solat dan pelbagai aktiviti rutin yang sudah biasa dilakukan sejak beberapa bulan di sini.
Usai mandi dan membersihkan diri, aku bergerak ke surau bagi menunaikan solat Maghrib bersama rakan-rakan yang lain. Bosan menunggu pelajar yang lain untuk tiba, aku memandang ke luar pintu. Tiba-tiba... Zupp! Satu kelibat berwarna putih melintas dari arah bilik tetamu menuju ke tangga dan naik ke atas. Aku terpinga-pinga.
“Fuyoo laju gila dia jalan.Tapi siapa?” Aku langsung tak fikir hal yang lain, bagi aku mungkin itu hanya ilusi. Lurus bendul katakan..
Selepas selesai menunaikan solat, malam tu kami hanya berehat di dalam bilik masing-masing. Almaklumlah, malam hujung minggu. Jadi kami tidak perlu pergi kelas tambahan.
Aku memilih untuk tidur awal, tapi yang peliknya aku langsung tak boleh nak lelapkan mata walaupun kelihatan sudah mengisi setiap genap tubuh. Pusing kiri tak kena pusing kanan pula rasa tak selesa. Semuanya jadi serba tak kena, akhir sekali apabila aku pusingkan badan aku kekanan semula. Dupp! Jantung aku seperti terhenti seketika. Apa yang aku lihat?
Aku terlihat satu kelibat perempuan yang mukanya persis dengan aku dalam keadaan memakai telekung berdiri di hujung katil dengan wajah yang pucat. Peluh dingin mula membasahi dahi dan badan. Dengan sepantas kilat aku pejam mata dan capai surah yaasin memang sudah terletak di tepi bantal. Agak lama mata dipejam rapat dan apabila dibuka semula... Alhamdulillah, benda tu sudah hilang. Mujurlah tak histeria malam tu, taubat!
Keesokan harinya, aku menceritakan hal tersebut pada rakan-rakan yang lain. Salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa 'benda' yang ada di asrama itu memang suka sangat 'meniru' perkara yang pelajar lakukan.Aku mengaku memang salah aku sebab orang dulu-dulu selalu pesan 'jangan suka takutkan orang, nanti terkena semula kat diri sendiri'. Memang padanlah dengan muka aku sebab terkena.
----------------------------------------------------------------------
Kisah ini berlaku kepada jiran bilik sebelah pula...
Kisah A
Pada suatu malam disaat bekalan eletrik terputus, sekumpulan pelajar perempuan termasuk rakan yang tinggal di bilik sebelah aku duduk berkumpul di hadapan pintu.Pintu sengaja dibuka bagi membenarkan cahaya bulan untuk masuk bagi menerangi malam yang gelap itu.
Tak lama kemudian, muncul satu kelibat kanak-kanak yang sedang jalan itik dengan kepala tertunduk ke bawah bergerak dengan laju sambil mengeluarkan bunyi suara seakan merengek.
Apa yang kalian akan buat sekiranya tiba-tiba ternampak benda seperti itu? Dan tahu tak apa yang paling seram?
“Wei… Benda tu bergerak menuju ke sini wei,” bisik seorang pelajar perempuan ke telinga sahabatnya.
Mereka lari bertempiaran masuk ke dalam bilik. Dalam kekalutan itu, tiada seorang pun yang sempat menutup pintu. Alhamdulillah, mereka tidak menerima sebarang ‘kunjungan’ pada malam itu.
Kisah B
Telefon bimbit adalah barangan terlarang di setiap asrama tapi kami adalah daripada‘spesis’ yang agak degil, jadi kami mencuri-curi membawanya juga. Lokasi yang kami selalu guna untuk membuat panggilan adalah sebuah bilik kosong yang berada di hujung bangunan.Iaitu bilik nombor 8, bilik itu sudah agak lama terbiar. Kalau sekali pandang, memang agak menyeramkan juga. Walaupun pada siang hari tetap terasa keseramanya.Tapi tu sajalah lokasi yang paling selamat.
Kejadian berlaku pada malam hari, sewaktu kawan aku sedang membuat panggilan di depan bilik nombor 8. Pada mulanya tiada perkara pelik yang berlaku, akan tetapi tidak lama selepas itu dia mula rasa ada yang tak kena sebab setiap kali dia gelak (ala-ala gelak manja) dia seakan terdengar semula suara dia.
Pada awalnya, dia tidak mahu ambil kisah.Tapi apabila suara itu sudah semakin jelas kedengaran, dia pun mula rasa semacam. Dia membuat keputusan untuk memutuskan panggilan telefon, tapi yang peliknya suara orang ketawa tadi masih lagi kedengaran.
Dia pun berpaling ke arah katil kosong yang ada di dalam bilik kosong itu, kelihatan kelibat seorang kanak-kanak sedang duduk di atas katil kosong itu dalam keadaan kaki yang terjuntai ke bawah sambil tergelak memandang ke arah kawan aku.
Tanpa menunggu lama dia buka langkah seribu bak pelari pecut negara.Kalau aku ada di tempat dia, aku rasa awal-awal lagi dah pengsan.
Tapi, aku tak pasti sama ada kanak-kanak yang ada dalam cerita A itu adalah kanak-kanak yang sama di dalam cerita B.
Jadi, pesanan aku kalau nak bergurau biarlah berpada-pada.Jangan sampai mendatangkan masalah pada diri sendiri. Ingat tu!
-TAMAT-
#ASPURI'08#
**********************
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment