Friday, 26 January 2018

SATAY SPECIAL - Nur Kasih


SATAY SPECIAL
Karya: Nur Kasih

================================================


Suatu pagi yang hening di warung Wak Saleh. Keadaan ketika itu baru usai solat Subuh di surau. Wak Saleh yang baru pulang dari surau tergopoh-gapah menuju ke warung usangnya, walaupun usang, tapi itu tempat dia mencari rezeki untuk isteri dan tiga orang anaknya. Anak-anak Wak Saleh semua dah besar panjang. Isteri Wak Saleh hanya melirik senyuman pada suaminya itu.

Wak Saleh terus menuju ke ruangan dapur, secara spesifiknya di ruang membuat minuman. Dia tahu, sebentar lagi mesti geng-geng surau akan menerjah warungnya. Dah itu memang rutin harian mereka. Mereka akan berborak sehinggal jam 8 pagi. Segala macam hal akan dibualkan. Dari hal bola hatta hal gosip artis mesti dibincangkan.

Tengah sedap Wak Saleh menyusun cawan, dia didatangi Pak Hasim, salah seorang penduduk kampung yang mula mula duduk di sini. Dari raut wajah Pak Hasim kelihatan gusar. Boleh dilihat percikkan peluhnya di dahi.

"Mana vespa kau Sim?" Tanya Wak Saleh. Selalunya bunyi vespa Si Hasim mesti dari hujung simpang dah kedengaran. Pak Hasim tunduk ke bawah.

"Aku kelam-kabut sangat ni, sampai lupa aku nak naik vespa datang sini... Aku serabut betul ni. Aku datang nak jumpa Tok Ketua," balas Pak Hasim.

'Gila punya masalah.Sampai lupa nak naik motorsikal'

Getus di dalam hati Wak Saleh. Memang gilalah juga, jarak rumah dari warung ke rumah Pak Hasim kira kira 2 kilometer. Agak jauhlah untuk lelaki berusia 57 tahun.


"Itulah kau. Dah tua-tua taknak pergi surau. Kan kalau pergi dah lama jumpa Tok Ketua," sempat Wak Saleh memerli sikap Pak Hasim yang punyalah malas nak ke surau.Tapi kalau ada pertandingan memancing di kawasan pekan, pagi pagi sebelum Subuh dah terpacul.

Pak Hasim menyorot mata merahnya tepat ke arah Wak Hasim. Kalau diikutkan, mahu sahaja dia lempang si tua Saleh itu, tapi bila dikenang faktor umur dia yang lebih muda dari Wak Saleh dia hentikan hasrat berkenaan. Lagipun Wak Saleh banyak membantunya dalam urusan perkahwinan anaknya dahulu.

Pak Hasim mundar-mandir menunggu kehadiran Tok Ketua. Wak Saleh segera menyua segelas teh tarik kepada Pak Hasim, namun dia tidak mencicip teh tarik itu,hanya diletakkan ke tepi.

Dari jauh kelihatan kereta Proton Wira berwarna kuning, milik Tok Ketua. Barulah Pak Hasim terus duduk di meja panjang yang menjadi 'port' geng-geng surau melepak.

Usai saja Tok Ketua turun bersama 4 orang jemaah yang lain, Pak Hasim terus menyambut Tok Ketua langsung ke meja tersebut.

"Kenapa kau pagi ni Sim?" Tanya Tok Ketua. Pelik benar perangai Pak Hasim pagi ini
"TokKetua!" Pak Hasim menghampiri Tok Ketua. Jelas kerisauan terukir di wajahnya.
"Apahalnya kamu ni Hasim?" Soal Tok Ketua.
"KojieTok....Kojie!" Air mata Pak Hasim terasa ingin mengalir.
"Dah kenapa dengan Kojie?" Tok Ketua menghampiri Pak Hasim.
"Kojie hilang Tok!"
"Kojie hilang? Dah tu kamu dah buat laporan polis?" Soal Tok Ketua lagi.

"Dah... Polis tengah siasat kes ni.." jawab Pak Hasim yang kelihatan sudah mula bertenang. Tapi jelas di wajahnya, dia seakan-akan ingin menangis. Akhirnya, air jernih mula membasahi pipi Pak Hasim. Semua yang ada di gerai terasa sedihnya. Ada yang berhenti dari menjamah makanan. Bagi mereka, hubungan Pak Hasim dengan Kojie tersangatlah akrab.

"Sabar Sim, dia ada tu dekat kawasan sini. Takkan dia jalan jauh jauh..." pujuk Wak Saleh sambil mengusap bahu kawannya yang sedih itu.

##############################

Dari jauh aku dapat melihat dengan jelas. Mangsa aku yang seterusnya! Memang bodohlah si Kojie ni. Seorang diri je keluar malam-malam begini.

Bukan salah aku. Kalau tak kerana Bidin yang meminta aku mencuba satay special kat pekan malam tu, mesti aku tak ketagih!

'Rasa satu, nak dua. Rasa dua, nak lagi' Terngiang-ngiang suara Bidin di telinga kiri aku. Begitu hebatnya penangan satay special dari daging segar.

Mangsa kini telah berada dalam genggamanku, sudah pastilah aku takkan biarkan terlepas. Kalau terlepas aku juga yang rugi dan yang pasti kegiatan aku pasti akan terbongkar. Silap-silap memang ke lokaplah untuk beberapa masa yang lama.

Seperti biasa, mangsa aku tak mengira jantina. Dua-dua aku sebat, yang penting dagingnya pasti segar dan paling utama adalah daging muda! Biasalah, yang muda ini bukannya reti nak melawan, selalunya mereka ini diam dan pasrah. Tunggu saat nak mampos! Aku mengetap bibir. Tak sampai nak membunuh malam ini. Hobi ini dah sebati dengan aku.

Perlahan-lahan aku menghampiri mangsa aku malam itu, Kojie, sambil pisau yang tajam tersemat erat di tanganku. Misi aku malam ni mesti berjalan lancar seperti malam-malam yang sudah, nak buat kerja macam ni mestilah waktu malam.

Waktu di mana orang lain sedang elok menggapai mimpi, sementara aku pula sedang berkerja keras melapah daging dari tubuh mangsa aku untuk aku jadikan satay!

"Aku tahu kau pasti rasa takutkan?

Tapi nak buat macam mana..dah takdir kau jadi mangsa aku kali ni..hahahah..." senang rasanya hati. Mata Kojie terbeliak melihat aku menjulang pisau. Dia cuba meronta tapi segera aku menerajang badannya itu.

Buat apa aku nak rasa simpati? Yang penting perut aku kenyang. Biarpun mangsa aku malam ni hanya diam seakan pasrah bahawa dia akan menjadi santapan aku, tapi aku tetap berhati-hati.

Bimbang ada mata-mata yang mencuri pandang. Zaman sekarang ini, dinding pun boleh ada mata dan telinga!

Aku meneruskan tugas aku tanpa berlengah, kerana sebentar lagi Bidin akan datang untuk mengambil daging special ini.

Melihatkan darah pekat yang membasahi kedua tanganku membuatkan aku semakin tidak sabar untuk menjamahnya. Bau daging segar yang menembusi rongga hidungku begitu menyelerakan.

Semuanya aku lakukan dengan teliti. Leher yang hampir putus itu aku tetak kuat, dengan sekali tetakan saja maka terpisahlah kepala dari badan yang terkulai layu. Aku carik isi perutnya malam itu. Aku sudah ketagih daging segar! Darah si Kojie malam itu, aku sapu di lengan aku.Terasa panas. Ahh, darah segar. Mujur aku belum tahap si penghirup darah. Tapi itulah, mana tahu aku akan jadi seperti itu. Aku terima! Aku suka!

Kepala si Kojie segera aku letak ke tepi bersama satu lagi kepala mangsa yang terlebih dulu aku 'kerjakan', Si Ibrahim diawal senja tadi. Aku ketawa melihat mata mereka berdua terbeliak saat aku memancung kepala mereka. Padan muka. Bodoh! Tak reti jaga diri.

Sebentar lagi kepala itu akan aku tanam untuk mengelakkan 'makmal rahsia' aku menjadi busuk. Bahaya kalau dihidu manusia mahupun anjing liar. Semua orang tahu pondok dalam kebun ini milik aku.

Malam ni, cukuplah dua. Yang penting lepas aku dan Bidin jual daging ni, untung kami bagi dua. Dan yang paling penting, dapat makan satay percuma! Tak sangka, ada jual orang yang nak beli daging jenis macam ini hendak dibuat barang niaga. Bagi aku, Asrul si pembikin satay itu pun gila dan ketagih macam kami berdua, nak daging segar! Halal haram tolak ke tepi!


Tokk! Tokk! Tokk! Bunyi pintu pondok di ketuk. Agak kuat ketukan Bidin kali ini.

"Asmad, buka pintu. Aku ni." Kedengaran suara Bidin.

"Masuklah Din! Pintu tak kunci" jeritku dari dalam.

"Ohh...ini kerja kamu selama ni Mad!?" Aku pantas menoleh. Kelihatan Tok Ketua bersama beberapa lagi orang kampung. Sedar-sedar sahaja tengkuk aku disepak dari belakang. Natijahnya aku terjelepuk di tepi dinding pondok!

"Sorry Mat!" Bidin kemudian bersuara. Tangan Bidin telah diikat dengan tali. Kelihatan ada kesan lebam di wajahnya.

"Aku tak sangka Mad! Selama ni aku fikirkan kau seoranga nak muda yang baik, tapi tak sangka sikap luaran kau tak seiring dengan hati kau. Tok kecewa dengan korang berdua ni. "Marah Tok Ketua. Rahang Tok Ketua ketika itu aku berlaga dengan giginya.

"Sampai hati kau bunuh Kojie! Kenapa kau buat macam ni kat aku Mad!" Pak Hasim kini berang. Perlahan-lahan dia menghampiri Mat. Ikutkan hati mahu saja ditetaknya Mat, biar puas hatinya. Biar terbela kematian Kojie. Penumbuk dihadiahkan tepat ke muka Asmad!

Selepas itu Pak Hasim memijak perut Asmad. Tok Ketua dan beberapa orang lain segera menghalang!

"Sabar Pak Hasim. Sabar!" Orang kampung cuba menenangkan Pak Hasim.

Mahu tak menangis orang tua itu apabila Kojie dan Ibrahim yang menjadi mangsa Mad dan Bidin.

"Saya tak salahTok. Bidin yang paksa saya buat semua ni Tok!" Bohong Mad.

"Aku tak nak ambil tahu tu. Kau dan Bidin kena terangkan semuanya kat balai polis nanti." Tok Ketua kemudian mengarahkan orang kampung untuk membawa Mad dan Bidin ke balai polis.

Malam itu, Pak Hasim lega semuanya telah selesai. Tok Ketua sempat berbual dengan pegawai polis yang menguruskan kes kecurian kambing Pak Hasim.

"Terima kasih Tuan Inspektor," ujar Tok Ketua sambil menghulurkan tangan.

"Ya,sama-sama kembali. Selesai satu kes, ada satu kes lagi dekat kampung sebelah,kampung Sri Embun. Tapi bukan kambing yang hilang, budak-budak pula hilang. Dah dekat empat lima orang hilang," balas tuan Inspektor itu.

"Ooo! Ini mungkin kes ikut kekasih larilah ni. Biasalah budak zaman sekarang, tak kena culik, tapi bagitahu polis kena culik!" Balas Tok Ketua.

Mereka berdua ketawa.

##############################

Keesokan harinya, heboh kes si pencuri kambing yang telah tertangkap mula menjadi perbualan hangat orang kampung.

Ini semua berkat kerja keras Tok Ketua bersama orang kampung yang berusaha untuk menangkap si pelaku.


Secara kebetulan orang kampung ternampak Bidin yang berkelakuan mencurigakan di kawasan kandang kambing Pak Hasim. Dan akhirnya Bidin tertangkap lalu membocorkan kegiatan haram bersamar akan kongsinya iaitu Mad.

"Jadi selama ni, kes kecurian kambing yang berlaku kat dalam kampung ni semua kerja mereka berdualah ye?" Tanya Wak Saleh pada pelanggan warungnya.

"Ishh...mestilah! Nak salahkan siapa lagi?" Ujar Tok Ketua.
_________________________________________

Waktu malam di kampung Sri Embun, kelihatan seorang pemuda sedang asyik mengipas satay di gerai hadapan rumahnya. Kelihatan asap tebal menjulang ke atas. Beberapa orang sabar menunggu giliran sataynya siap.


"SATAY SPECIAL! SATAY SPECIAL, RASA SATU NAK DUA. RASA DUA NAK LAGI!!" Laung si pemuda itu sambil tersenyum orang ramai datang.

"Bang, nak rasa satay special tak?Nak satay isi kambing ke satay tulang kambing?" Tanya pemuda itu.

"Abang Asrul, aku nak satay daging 10, kambing 30 cucuk, tambah nasi impit tiga ya. Bawang lebih..." ujar pelanggannya.

Asrul tersenyum. Dia arahkan isterinya mengambil alih tugas mengipas.

"Saya nak ke stor ambil daging," ujar Asrul pada isterinya.

Asrul menuju ke belakang rumahnya. Asrul tersenyum, sambil membuka peti aisnya. Di dalamnya ada beberapa potongan satay separa beku dan kelihatan ada kepala budak lelaki!

Asrul mengusap kepala budak lelaki yang baru sahaja di pancungnya malam tadi.

"Nasib kau la budak, takda kau..satay aku tak laku! Ha ha ha ha !"


-TAMAT-
Karya: Nurkasih
Suntingan: TheFlash 555
Gambar: KamenRider

Karya ini eksklusif milik penulis dan Arkib Angker Negara. Sebarang perlakuan plagiat akan diambil tindakan tegas.
Jika anda ada kisah atau cerpen untuk dikongsikan, Sila email ke aanrc2017@gmail.com atau inbox ke page kami. Kami menerima cerpen bergenre mistik, seram, thriller, misteri dan juga mind-blowing. Akaun media social anda akan kami nyatakan jika cerpen anda dipilih untuk disiarkan oleh page dan blog kami.

No comments: