Monday, 29 January 2018

SIAPA DIA - Maria Arshad


SIAPA DIA
Karya Oleh: Maria Arshad

=============

Hari ini aku kerja seperti biasa. Tiada apa pun yang berbeza dari hari-hari lain. Seperti biasa apabila jam sudah menunjukkan pukul 11: 25 malam, kelihatan beberapa pekerja berlumba-lumba menuju ke tandas untuk membuang air kecil tetapi ada juga yang sekadar ingin membetulkan solekan wajah mereka.

Jam 11:40 malam tetapi aku masih leka mengadap komputer. Aku terpaksa pulang lewat sedikit kerana aku perlu siapkan lagi sedikit kerja aku, ditambah lagi pelbagai dengan idea yang sedang mencurah-curah membasahi fikiranku.

"Wei dah la tu, tak perlu rajin sangat. jom balik!" tegur kawan aku yang sudah bersiap untuk pulang kerumah.

"Ok kejap. Aku nak ke toilet dulu ye, leh tak?" tanya ku separuh menjerit kepada kawanku sambil menutup dan mengemas sedikit mejaku.

"Haishhhh!" keluh kawan aku, seraya melemparkan senyuman yang menampakkan giginya yang putih. Dengan segera aku melangkah naik ke tingkat satu untuk ke bilik air. Tiada tempat paling dekat melainkan aku perlu ke tingkat satu.

Sampai sahaja ditingkat satu, dihadapanku terdapat seorang gadis yang turut menuju kearah bilik air.

"Fuhh, selamat ada teman," bisik hatiku. Jarak antara aku dengan gadis itu lebih kurang dalam dua depa.

Sewaktu dia sudah melangkah kedalam bilik air mata aku terpandang pada betis kakinya yang putih gebu macam kulit Jepun, bunting padi tapi kurus kemas.

"Cantiknya gadis ni, perfect," berdetik dalam hati aku. Gadis itu memakai baju gaun kembang berwarna putih bersih berlengan panjang, kain dari jenis lembut beralun dan berkasut tumit tinggi bertali warna sedondong. Rambutnya ikal mayang lembut melepasi bahu menampakkan lagi kecantikannya. Tetapi sayangnya aku tidak dapat melihat wajah gadis itu.

Gadis itu terus masuk ke bilik air dihadapan sekali, manakala aku terus menuju ke bilik air nombor dua. Baru sahaja aku menutup pintu tiba-tiba lampu bilik air berkedip-kedip, seakan hidup segan mati tidak mahu.

"Arghh, time ni lah kau nak rosak!" rungut aku sendirian.

Disebabkan lampu berkedip-kedip, aku cuba secepat mungkin untuk melepaskan segala hajat. Sewaktu aku hendak keluar dari bilik air kecil tiba-tiba pintu itu tidak boleh dibuka. Jantung aku mula berdegup kencang. Aku cuba mengoncang pintu namun masih sama. Lampu bilik air berkedip semakin laju.

"Hallo.... sesiapa boleh tolong saya tak?!" bergema suara aku menjerit minta bantuan. Aku tahu gadis tadi masih ada kerana aku tidak mendengar pintu bilik airnya terbuka dan tertutup, yang menandakan dia sudah keluar.

Ktakkk!

Tiba-tiba bunyi tombol pintu bilik air aku berbunyi. Lantas, aku cuba membuka.

Kreeeeuuukkkk…

Aku membuka perlahan pintu aku. Lampu yang tadinya berkedip-kedip kini kembali normal.

Aku melangkah perlahan ke bahagian sinki yang terletak dihadapan tandas aku. Mataku menjeling kearah pintu tandas pertama yang dimasuki gadis tadi melalui cermin sinki.


"Masih tertutup!" bisik hatiku, sedikit lega bermakna masih ada orang bersama aku.

Selepas aku selesai basuh tangan, perlahan-lahan aku jalan menuju kepintu bilik air untuk keluar. Sewaktu berada betul-betul dihadapan tandas gadis tadi, tiba-tiba tangan aku menolak sedikit pintu tandasnya.

Kreeeeeuuuukkk...

"Eh kosong!" hati aku separuh terkejut.

Duuuummmmmm!

Pintu utama bilik air tiba-tiba tertutup kuat!

Terkejut dengan bunyi pintu yang dihempas kuat itu, aku berundur sedikit. Dan waktu itu juga tiba-tiba lampu bilik air berkedip kembali. Aku berlari kearah pintu lalu cuba membuka untuk keluar. Malangnya pintu itu bagaikan dikunci.

"Tolongggg!!!"
"Tolonggggg!!"

Aku jerit sekuat hati meminta bantuan sesiapa yang ada di luar.

Sambil aku mengoncang dan mengetuk pintu bilik air, aku sempat memandang kearah cermin yang terletak di hadapan tandas. Melalui cermin itu aku lihat seakan satu tubuh memakai baju putih berambut panjang kasar dan wajahnya ditutupi rambut yang lebat, serta kedudukannya didalam tandas pertama.

Traakkkkk….

Tiba-tiba pintu yang sedang aku cuba buka dan goncang itu terbuka.

Dengan pantas kaki aku melangkah keluar dari bilik air lalu berlari menuruni anak tangga. Tiba sahaja di bawah aku berlagak tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku.

"Lamanya kau pergi tandas? bersolek ke?" tanya kawan aku yang mula bimbang.

"Taklah." jawabku ringkas.

"Dah jom, dah lambat ni. Dah pukul 12:15 pagi dah." balas kawanku kembali.

Aku mengambil beg tangan yang dipegangkan oleh kawanku sebentar tadi, kemudian kami mula menapak untuk ke tempat parkir kereta kami. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri kerana masih terkejut dengan apa yang terjadi tadi.

Tak mungkin mata aku salah,! sampaikan sekujur tubuh mungil depan dengan hanya jarak tujuh langkah sahaja aku tidak dapat bezakan yang sebenar-benarnya adalah makhluk yang tidak nyata. Fizikal belakangnya sangat jelas aku melihat.

Jika wanita itu keluar dahulu dari tandas, mesti pintu bilik berbunyi, dan tak mungkin telinga Aku tak mendengarnya kerana pintu tandas bilik air wanita bangunan pejabat itu, bila dibuka akan berbunyi kuat ensel bergesel. Maklumlah pejabat lama, segalanya sudah berkarat, berbunyi sana sini jika digerakan.

Peristiwa yang aku lalui itu tidak aku ceritakan kepada sesiapa termasuklah kawan baik aku, bimbang jika mereka katakan aku sengaja membuat cerita atau menakutkan mereka.

Selepas dua minggu dari kejadian itu, sedang kami duduk makan didalam pejabat, salah seorang dari kawan aku telah memberitahu, ramai pengawal-pengawal bertugas pada waktu malam diganggu makhluk halus, ada juga pengawal yang sampai demam kerana terkejut.

Alhamdulillah, bagaimanapun aku rasa bersyukur, Maha Kaya Allah yang telah memberikan aku untuk tidak dilihatkan dengan wajah makhluk itu. Sesungguhnya aku percaya memang ada makhluk lain selain dari manusia yang telah Allah jadikan untuk hidup bersama-sama di dunia nyata ini. Wallahualam.

--

TAMAT
================================
Suntingan: FateStay Nite
Gambar: KamenRider

Karya merupakan hakcipta penulis.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: