Wednesday, 10 January 2018

RUMAH LELONG SENAI - SenyumanPerantau SP


RUMAH LELONG SENAI

=======================
Rumah lelong. Rumah yang boleh didapati dengan harga yang agak murah jika dibandingkan harga pasaran. Segelintir membeli rumah lelong untuk dijadikan kediaman sendiri dan tidak kurang juga yang membelinya sebagai pelaburan. Apapun, aku ada kisah berkaitan rumah lelong. Rumah Lelong Senai!

“Assalamualaikum, Jie. Ana ada citer best kat anta pasal rumah ana ni, ada kena GANGGU sket-sket la,” Mads mulakan perbualan.

“Hantu memey suko saim ngey pelesit,” balas aku sambil ketawa terbahak-bahak.

“Jubake ko, dengar la dulu.”

Mads ni memang jenis ber “ana anta”, tapi bila dah kena sakat dengan aku, sumpah seranah manja pun akan mula keluar.

----

Buat pengetahuan semua, Mads ni sudah mendirikan rumah tangga sejak zaman universiti lagi dan kini mempunyai 3 orang anak. Mads ni merupakan orang Johor sejati. Setelah Mads mendapat kelulusan berpindah dari Sarawak untuk bekerja di Johor, Mads menyewa di sebuah rumah teres.

Setelah beberapa ketika, Mads mendapat berita bahawa sebuah rumah lelong yang agak murah untuk dijual di Senai, Johor. Dengan memikirkan harganya yang agak berbaloi dan keadaan anak yang semakin membesar, Mads pun tanpa teragak-agak membeli rumah tersebut. Rumah yang dibeli Mads merupakan sebuah rumah teres 20×80.

Menurut Mads rumah ini ditinggalkan kosong selama setahun setengah atas sebab yang dia sendiri pun belum pasti. Ada desas desus mengatakan pemilik sebelum ini meninggalkan rumah ini disebabkan pindah tempat kerja. Wallahu a'lam.

Setelah berjaya membida rumah lelong tersebut, Mads pun bersetuju untuk membaik pulih rumah tersebut kerana terdapat kerosakan-kerosakan kecil seperti siling yang bocor. Setelah pekerja memecahkan siling yang bocor itu untuk diganti siling baru, mereka mendapati terdapat ruang yang agak luas di tingkat atas siling. Maka, Mads pun bercadang untuk membuat tangga menjadikan sebuah bilik tetamu di tingkat atas.

Sepanjang proses penambahbaikan rumah ini, tiga orang pekerja telah jatuh daripada tingkat atas dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius. Menurut mereka, mereka jatuh ke bawah setelah terdengar suara yang menyuruh mereka memijak ke hadapan walaupun mereka tahu bahawa tempat itu tidak dapat menampung berat mereka. Mads sendiri pun sukar mempercayai alasan mereka. Eleh, alasan je tu! Disebabkan kejadian-kejadian itu, proses penambahbaikan itu dilanjutkan sehingga 5bulan - satu tempoh yang agak lama.

Setelah proses penambahbaikan selesai, Mads dan keluarga berpindah masuk ke rumah baru. Keluarga Mads berpuas hati akan rumah tersebut walaupun adakalanya suasana rumah agak suram pada masa tertentu. Di halaman rumah terdapat sepohon pokok mangga yang agak merendang dan merimbun. Pada minggu pertama, semuanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Akan tetapi, pada minggu kedua, sedikit demi sedikit gangguan mula berlaku. Kejadian pertama berlaku pada akhir tahun lepas, di mana anak sulung dan anak kedua Mads diganggu oleh makhluk tersebut. 

Salmah - anak sulung Mads- memberitahunya pada malam tersebut terdapat seekor jembalang hitam cuba memasuki bilik mereka.


Jembalang itu cuba masuk bilik tersebut dari salah sebuah tingkap akan tetapi tidak berdaya untuk menerobos bilik tersebut. Mungkin kerana Mads telah membuat pagar di sekeliling rumah mereka sebelum berpindah masuk ke rumah itu.

Mads telah menghantar gambar tentang gambaran jembalang tersebut hasil lukisan daripada Salmah dan adiknya, Syahida. Jembalang tersebut mempunyai tubuh yang besar, rambut bergulung-gulung panjang, mukanya hitam dan mempunyai tiga biji mata yang tersusun sebaris. Mulutnya pula besar dan tersergam gigi-gigi yang tajam tetapi jarang. Jembalang yang sama berulang-kali cuba untuk masuk ke bilik anak-anak Mads akan tetapi masih gagal hingga ke hari ini.

Pada asalnya, Mads seperti tidak mengendahkan cerita anak-anaknya. Dia beranggapan itu hanyalah khayalan dan imaginasi kanak-kanak yang sedang membesar.

"Ala, tu perasaan along dan angah je. Jangan peduli."

"Baca Surah Al-Fatihah, tiup je ye."

"Tu la banyak tengok kartun."

----

Kejadian yang berlaku tiga hari selepas itu telah mengubah persepsinya tentang rumah lelong itu. Mads baru pulang daripada program Usrah yang dihadirinya dan program itu berakhir agak lewat. Mads tiba di rumahnya sekitar 11.00 malam.

Setelah membersihkan dirinya dan mula merebahkan badan di sebelah isterinya, tiba-tiba dia terdengar suara sekumpulan kanak-kanak bergelak tawa, bermain dengan riang. Mads sedikit berang dan mulanya beranggapan bahawa anak-anak mereka sedang bermain dan belum tidur.

"Eh-eh, nak kena budak-budak ni. Tak tidur lagi."

Mads bingkas bangun dari birai katil dan menuju ke arah bilik-bilik anaknya. Pintu bilik ditolak perlahan, kepala dijenguk ke dalam. Sunyi. Gelap. Eh, semua dah tidur - hatinya berbisik.

Suara budak-budak sayup-sayup masih kedengaran. Anak jiran kot? Lambat betul tidur, pukul 12.30 malam dah ni! Biar je la, tidur je la.

Setapak dia memijak ke dalam bilik tidur utama, suara ketawa bertukar daripada sayup-sayup kepada suara yang lebih jelas dan sangat hampir dengan deria pendengarannya. Suara itu seolah-olah muncul di sekitar garaj kereta yang terletak betul-betul di tepi tingkap bilik tidur utama.


Mads mula resah. Mads menuju ke tetingkap bilik tidur dan cuba mengamatii arah bunyi tersebut.Mads berhenti di tingkap yang menghadap ke garaj rumahnya. Badannya dipaksikan di atas kedua lutut, dan kepala Mads selari dengan tingkap.

“Gulp, time ni aku takut giler Jie, rasa nak terkucil je,” jelas Mads kepada aku. Aku masih ketawa tak henti-henti.

Mads terlihat tiga orang budak berwajah pucat sedang bermain-main di sekeliling pokok mangga tersebut. Pokok mangga terletak di seberang jalan bertentangan dengan garaj Mads. Mads melihat seorang budak perempuan berambut separas bahu sedang melemparkan tulang-tulang ayam ke arah dua orang lagi kawannya yang berambut agak pendek dan sedikit jarang.

Tiba-tiba tulang ayam yang dibaling budak tersebut agak jauh dan menuju betul-betul di hadapan pagar garajnya. Mads kaget. Mads menundukkan kepalanya agar lebih tersorok. Kini, hanya matanya sahaja separas tingkap.

Dalam keadaan debaran yang semakin menggunung, Mads terlihat sepasang tangan yang panjang, berkulit gelap, berkuku panjang keluar daripada belakang pokok tersebut, mengambil tulang ayam dan menyerahkan kembali kepada budak perempuan tadi. Hanya tangan sahaja kelihatan daripada sebalik pokok mangga itu.

"Mak dah kata. Main lempar-lempar tu hati-hati. Takut ada yang memerhati..hahaha!"

Mads tidak dapat bertahan lagi, dia bergegas kembali ke arah katil lalu memejamkan mata.

----

"Tu je? Lagi? Eleh takdak la seram mana pun," sindir aku.

"Ada lagi. Esok paginya..." sambung Mads.

Keesokkan paginya, Mads bangun awal dari tidur. Mads tak dapat tidur nyenyak. Solat tahajud yang sering dilakukannya juga burn akibat terlampau takut. Terdengar je azan subuh, Mads terus masuk ke bilik air. Dia terjumpa segumpal rambut panjang putih beruban di dalam sinki. Segumpal lagi di dalam mangkuk tandas. Dan segumpal lagi di bawah pancur bilik air. Pelik. Rambut siapa ni?

Kalau nak dikatakan rambut isterinya, rambut isterinya separas telinga sahaja. Mustahil. Rambut yang dijumpainya sangat panjang - kira-kira dua jengkal ukuran - apabila dibuka dari gulungan.

"Rambut sapa ni sayang?" soal Mads tergesa-gesa.

"Mana ada orang nak guna bilik air bilik ni, air slow. Abang je la yang sorang guna," jawab Suzana - isteri Mads.

----
"Ala, tu je ke gangguannya?" sengaja aku mahu menyakitkan hati Mads walaupun aku mulai meremang bulu roma.

"Tadi gangguan nyata. Ni gangguan tidak nyata. Abstrak!" tegas Mads.

"Hang ingat ni lukisan ka, abstrak bagai," aku mempermainkan kata-kata Mads.

"Jap, aku sambung..."

Mads sering bertengkar dengan isterinya apabila berada di dalam rumah, walaupun perihal yang sangat remeh. Namun, sebaliknya berlaku apabila mereka melangkah keluar dari rumah. Hati panas terus sejuk. Mads berasa lebih tenang dan jarang bertengkar apabila di tempat lain. Mads pelik. Dia rasa dirinya seperti personaliti lain apabila pulang ke rumah.

"Ok, yang ni tak boleh buat main bro. Kau kena berubat. Sampai kacau rumah tangga!" - suara aku bernada serius.

"Aiks, baru percaya ke? hehe. Aku tengah usaha la ni." jawab Mads ringkas.

"Jap, tingkat atas siling tu seram tak? Ada sapa duduk?" soal aku.

"Tingkat atas tu dijadikan bilik tetamu. Tiap-tiap malam berbunyi seperti bunyi orang bersembang tengah malam. Sampai sekarang, bilik tetamu itu belum berpenghuni atau didiami mana-mana tetamu. Belum cerita lagi bab-bab kacau dalam tidur. Kalau tetidur bilik atas tu, macam-macam kau mimpi Jie! Bila kau nak datang tidur umah aku?" usik Mads.

"Haha. Tak payah. Rela aku tidur hotel!"

“Jie, ana ok lagi setakat ni, tapi kalau dah melampau sangat kacau anak-anak ana, kacau wife ana, memang kena usaha something ni”.

“Molek la tu, kito kat dunio ni sebagai khalifah, takkan senang-senang nak tunduk ko dio, bereh Mads, aku doa baik-baik blakow ko mu.” - panggilan ditamatkan.

----

Sebenarnya satu benda yang aku tak pernah beritahu Mads sampai hari ni. Ketika dia menghubungi aku mengisahkan cerita di atas, dia di dalam kereta, perjalanan pulang ke rumahnya daripada masjid. 
Aku ingat lagi, masa tu baru pukul 9 malam. Aku terdengar sayup-sayup suara perempuan mengilai ketawa, bunyinya agak jelas, tapi sangat jauh.


Aku sempat bertanya kepada Mads, adakah isterinya menemani ke masjid?

"Takla dia cuti, aku sorang je ni. Kenapa ek?” soal Mads kembali.

“Saje je.” - sengaja aku memberikan jawapan begitu agar tidak menambahkan lagi kekusutan hati Mads.


----

Semoga Mads cepat "memulihkan" rumah lelong kesayangan. Rumah Lelong Senai. Tak mustahil rumah lelong lain juga terlepas daripada perkara-perkara sebegini!

TAMAT




Kepada sesiapa yang teringin mendapatkan karya sulung gabungan deefen, shizu dan SP, sila whatsapp 014-539 0603.
Untuk membaca lebih banyak karya SenyumanPerantau seperti Titik Hitam Pendosa, boleh add FB SenyumanPerantau SP.
============================================
Gambar: Azman Zainordin

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog atau page anda untuk pengkreditan.

No comments: