Sunday, 14 January 2018

PAWANG BENAYAT - Dhaifullah Az-Zayyani


Tajuk: Pawang Benayat
=========================

Malam. Kurang lima minit mencecah tengah malam. Dendangan pungguk mula bersahut-sahutan. Di kejauhan, lolongan anjing hutan semakin galak kedengaran.

Jendela rumah terkuak bertalu-talu seiring deruan angin yang menganas disulangi titis mata awan yang kejap. Belintar kilat menyabung memecah hening malam yang kelam. Api jamung di penjuru rumah terlentok ke kiri kanan mengikut tarinya deruan angin. Di tengah-tengah rumah yang kian usang itu, terlantar lemah wanita tua. Matanya melilau memerhati siling rumahnya. Malap. Hanya ada suluhan jingga rembesan lampu jamung. Wanita tua itu berusaha untuk duduk. Tangan kanan dipasakkan untuk menampung berat badannya. Dia tidaklah terlalu besar. Hanya serangka tulang yang jelas tampak dibaluti kulit kendurnya. Sesekali dia terbatuk. Tangan terketar-ketar menuang air ke dalam gelas. Kembang Semangkuk. Nama ubat yang cuba diminumnya. Terketar-ketar jemari tuanya menyuakan gelas kaca ke bibir tuanya yang mengelupas. Giginya sudah lama rongak dan hitam kerana sirih yang selalu dikunyah sejak 13 tahun yang lalu.

Digagahkan tubuh tuanya untuk berdiri. Sambil membongkok, kakinya diseret melangkah ke jendela rumah. Dia rimas dan sedikit gerun melihat jendela yang terbuka. Deruan angin dan lolongan anjing ibarat penambah rasa seram yang menyelubungi rumah usangnya itu. Jauh tersisih dari rumah jiran-jirannya yang lain. Semakin dekat langkah tuanya pada jendela, bau kemanyan mula menerawang di segenap rumahnya. Hati tuanya semakin kecut. Takut sendiri. Dalam keadaan terketar, bulu romanya semakin meremang. Dengan pantas dia berpaling. Terkocoh-kocoh kembali ke pembaringannya. Dia takut jika dia tiba di jendela, akan ada yang muncul menggigit tengkuknya. Seram. 

Hujan di luar semakin lebat. Kilat dan petir semakin rancak. Kibasan daun jendela rumahnya semakin laju selaju degupan jantung tuanya yang semakin takut. Tiba-tiba, api jamungnya terpadam. Dia tersentak. Berdiri bongkok di dalam gelap. Pelahan-lahan telinga menangkap bunyi deraman kasar dari arah belakang. Tanpa memandang ke belakang, wanita tua itu cuba mencari pemetik api yang disembunyikan di dalam gulungan kain batiknya. Tidak ada. Dia duduk lalu merangkak menuju tikar mengkuangnya. Sedaya-upaya dia cuba mencari tikar itu. Esakan tangisnya mula kedengaran. Dia boleh rasakan ada lembaga sedang merangkak masuk melalui jendela rumahnya.

“Jangan ganggu aku!” jeritnya. Tangannya masih galak meraba-raba dalam gelap. Tangannya diunjurkan ke hadapan untuk mencari kedudukan tikarnya. Akhirnya, dia berjaya mencapai tikarnya. Rabaan tangan diteruskan lagi ke arah bantal. Dia sangat menggeletar saat itu. Air mata ketakutan sudah mula mengalir. Dia cuba gagahi rasa takut yang semakin memuncak di dada. Seram sejuk terasa semakin mengitari suasana. Bantal berjaya ditemui. Dia menggerakkan tangannya mencari pemetik api yang dia sembunyikan di bawah bantal. Risau. Kelak tangannya tersentuh benda lain. Mujurlah dia menemui pemetik api berwarna biru itu. Dia nyalakan lalu dia menuju ke jamung yang terletak di penjuru kiri rumahnya. Dipaksanya tubuh tua yang penuh kedut itu merangkak sehingga tiba di jamung.

Jamung dicapai lalu dinyalakan api. Percubaan pertama, dia gagal. Api yang dinyalakan terpadam seperti ditiup angin. Dia mencuba lagi. Gagal lagi. Wanita tua itu mula menangis. Esakan semakin kuat.

“Jangan ganggu aku lagi.. aku dah penat..” rintihnya.

Dia mencuba sekali lagi. Jamung dinyalakan. Akhirnya dia berjaya. Ruang rumahnya terang bercahaya. Masih suram. Dia menarik nafas lega. Jamung diangkatnya bercadang untuk membawa jamung tersebut ke tepi tikar. Ketika dia berpusing ke belakang. Tiba-tiba satu Lembaga sedang menyeringai memandangnya. Dengan gigi yang tajam dan mata membundar hitam. Rambut panjang mengurai. Badannya dilitupi kain berwarna putih. Wanita tua itu terkejut bukan kepalang sehingga jamung di tangannya terlepas. Dia terjelopok jatuh. Terduduk.

Lembaga itu menghalakan tangannya. Jari-jemarinya tajam dengan kuku yang runcing. Pelahan-lahan dia mengilai. Tangisan wanita tua itu semakin kuat. Dia menjerit-jerit meminta tolong.

Tiba-tiba, pintu rumahnya ditendang kuat sehingga terbuka. Satu susuk tubuh lelaki berdiri dalam gelap. Dia sedang menggenggam sesuatu. Hujan diluar masih lebat. Dalam gelap, wanita tua itu nampak lelaki yang baru muncul itu lencun kebasahan. Laungan meminta tolong wanita tua itu dia kuatkan. Tangannya dihalakan ke arah lelaki itu sambil meminta bantuan. Saat itu, lehernya terasa dijerut oleh lembaga di hadapannya.

“Aahhhhhuuurghh!” Lembaga itu menjerit. Garam dibaling oleh lelaki itu bertalu-talu sehingga akhirnya lembaga itu hilang. Lampu suluh kemudian dihalakan ke arah wanita tua itu.

“Mak, okey mak?” lelaki itu mendekati lalu memeluknya. Dia melepaskan tangisan di bahu lelaki itu.
“Jangan tinggalkan mak lagi, nak.. mak takut.” Ujarnya sambil menangis.

“Baiklah. Saya tak kan tinggalkan mak. Sekarang kita baiki dulu lampu. Baru kita makan. Ehsan dapat banyak ikan ni.” Ujar anaknya. Dia dibaringkan kembali di atas tikar. Kemudian, anaknya cuba pergi ke belakang rumah.

“Ehsan.. jangan tinggalkan mak, nak..” panggilnya.
“Baik mak. Ehsan nak baiki lampu sebentar.”
“Jangan lama nak.”

Anaknya, Ehsan hilang dibalik pintu belakang rumah. Dia masih terlantar baring. Matanya melilau melihat kalau-kalau Lembaga tadi muncul kembali. Tiupan angin sudah mula tenang. Daun jendela rumahnya sudah tidak terkuak-kuak lagi. Di luar, Lembaga putih tadi sedang bertenggek terapung di dalam hujan. Tangannya masih dihalakan ke depan dengan jari-jemari yang tajam.

“Ehsan..! Cepat nak!” Lampu rumah menyala. Seluruh rumahnya kembali terang-benderang. Ehsan kembali. Dia menenangkan emaknya itu.

“Dia masih ganggu mak, nak. Padahal kita dah buang dia jauh-jauh.” Ujarnya.

“Sabar mak. Mungkin masih ada yang belum selesai. Selepas makan kita jumpa Pak Benayat. Tanya apa yang berlaku. Kenapa dia masih kacau mak.” Dia hanya mengangguk. Ehsan, anaknya itu basah lencun. Paras wajahnya tak tumpah macam arwah suaminya yang hilang di laut lima tahun yang lepas. Kehilangan suaminya menjadi punca anaknya itu terpaksa berhenti sekolah. Walaupun baru berusia 21 tahun, tetapi Ehsan sudah terpaksa menjadi nelayan untuk menyara hidup mereka berdua.

“Dah. Mak rehat dulu. Ehsan nak siang ikan. Minum air ni dulu.” Ehsan membantunya untuk duduk. Air putih dihulurkan. Dengan tangan yang terketar-ketar, dia minum. Kemudian, dia dibaringkan semula. Ehsan kembali ke belakang rumah selepas dia memasang radio dan memainkan bacaan Yaasin. Hujan sudah mulai redah. Akhirnya dia dapat menarik nafas yang lega.

“Ehsan, nak masak macam mana nak? Nak goreng ke rebus?” dia bertanya. Namun, tiada jawapan.

“Ehsan?” panggilnya lagi.

“Nakk… ikan tu nak masak macam mana? Mak nak makan ikan goreng ni.” Sambungnya lagi. Masih tiada sebarang jawapan. Dia melepaskan nafas. Agaknya Ehsan tidak mendengar suaranya yang perlahan itu. Dia cuba untuk bangun. Kalau boleh, dia tidak mahu berenggang dengan anaknya itu. Takut di hatinya masih ada.

Dia berdiri membongkok. Cuba mengatur langkah menyusul anaknya di dapur. Tiba-tiba, pintu rumahnya diketuk.

“Seha…! Oooo Mak Seha.” panggil satu suara.
“Siapa??” tanyanya.

“Benayat ni. Bukan pintunya Mak Seha.” Jawab suara tersebut.
“Jap jap.. Nayat.. aku datang.” Dia menukarkan arah langkah ke pintu. Pintu dibuka. Pak Benayat berdiri tercengang seorang diri di hadapannya sambil memegang payung.

“Ada apa? Aku baru je bercadang nak ke rumah kamu selepas makan malam.” Dia memulakan bicara.
“Macam ni.. anak kamu Ehsan..” ujar Pak Benayat.

“Kenapa dengan anak aku, Nayat?” dia mula risau. Pintu ditutup. Dia dapat rasakan Pak Benayat membawa berita yang tidak elok berkaitan anak kesayangannya itu. Dia risau kelak Ehsan terdengar apa yang Pak Benayat khabarkan.

“Anak kamu orang kampung jumpa mati di tepi pantai tengah malam tadi. Ada kesan gigitan di tengkuknya. Mayat dia ada kat rumah aku. Orang kampung bawa.” Khabar yang disampaikan oleh Pak Benayat itu mengejutkannya. Mana mungkin anaknya sudah mati padahal baru sahaja tadi dia bersembang dengan anaknya.

“Kamu jangan main-main Nayat. Tak mungkinlah anak aku dah mati...”
“Betul Seha. Buat apalah aku nak tipu kamu.” Pintas Pak Benayat.

“Mari ikut aku ke rumah aku. Tengok dengan mata kamu sendiri. Lagipun, tak selamat kamu duduk seorang diri di sini.” Sambung Pak Benayat.

Mak Seha termangu sebentar. Kalau anaknya dah mati, jadi siapa yang tadi datang menyelamatkannya. Tak kanlah Pak Benayat ini menipu. Sebagai orang yang disegani di kampung ini, mustahil Pak Benayat menipunya.

“Seha… kau kenapa termenung? Tak percaya?”
“Sebentar. Aku nak ambil tudung sebentar. Kau tunggu di luar.” Ujar Mak Seha lalu menghilang di balik pintu.

Mak Seha mengatur langkahnya ke dapur. Dia ingin memastikan bahawa dia tidak bermimpi tadi. Memang benar Ehsan yang telah datang tadi menyelamatkan dia daripada gangguan Niyang Ropek lagi. Jadi, siapa yang ditemui mati oleh orang kampung.

Mak Seha tiba di dapur. Ehsan sedang kusyuk menyiang ikan. Tanpa memakai baju hanya menggenakan seluar kaos berwarna biru. Mak Seha dapat melihat tanda lahir anaknya di bahu sebelah kiri. Dia baru sahaja hendak menegur anaknya itu. Tiba-tiba Ehsan bersuara.

“Mak dah tahu?” ujar Ehsan, anaknya.
“Tahu apa, nak?” tanya Mak Seha.

Ehsan menoleh ke belakang. Hanya bahagian kepalanya sahaja yang terpusing. Namun, badan masih membelakangkannya. Terkejut bukan kepalang Mak Seha melihat keadaan itu. Hampir sahaja dia menjerit. Tetapi melihat wajah sayu anaknya, rasa takutnya memudar.

“Seha!! Cepatlah. Ramai orang sedang tunggu kamu di rumah aku. Jangan lama sangat cari tudungnya.” Ujar Pak Benayat dari luar rumah.

Mak Seha menangis melihat anak tunggalnya itu menangis. Walaupun dia tidak pasti sama ada itu betul-betul Ehsan atau tidak.

“Maafkan Ehsan, mak. Ehsan tak dapat jaga Mak lagi. “ ujar Ehsan. Badannya sudah dipalingkan menghadap Mak Seha. Air matanya mengalir. Pelahan-lahan, kulitnya bertukar warna daripada sawo matang kepada putih kebiru-biruan.

“Apa yang terjadi dengan kamu nak?” Mak Seha tidak dapat menahan sebak di dadanya lalu menangis. Ehsan tidak menjawab. Lalu menghilang. Tangisan Mak Seha semakin galak. Ehsan muncul kembali dengan sehelai selendang kuning di tangannya. Selendang itu disarungkan di kepala Mak Seha.

“Maafkan Ehsan tak dapat jaga mak lagi. Mak jaga diri ye.” Ehsan menyeka air mata Mak Seha yang sudah berjejeran di pipi.

“Baik, Ehsan. Mak akan jaga diri. Ehsan pergilah dengan tenang, nak. Jangan risaukan mak di sini. Pak Benayat ada.” Tiba-tiba wajah Ehsan bertukar marah. Amarah jelas tampak pada aura matanya. Ehsan mengepal-ngepalkan penumbuknya.

“Jangan percaya dengan Pak Benayat, Pawang tak guna tu! Dia…”
“Seha! Dah siap belum!” Pintu rumah ditendang dan terkuak. Ehsan hilang. Mak Seha mengelap air mata.

“Lambat sangat…” omel Pak Benayat. Mak Seha memandangnya tersenyum. Pak Benayat sendu melihat kesan air mata di hujung mata Mak Seha.

“Maaflah Seha aku bawa berita buruk ni. Aku faham kau mesti sedih dan terkejut.” Ujar Pak Benayat serba salah. Rupa-rupanya Mak Seha sedang menangis. Mungkin itu punca dia lambat bersiap tadi.

“Tak mengapa, Nayat. Aku cuba redha. Jom, kita pergi rumah kamu. Aku nak tengok wajah anak aku.” Ujar Mak Seha. Dia cuba menyembunyikan kebimbangan di hatinya. Pesanan terakhir anaknya tadi mengejutkannya. Mengapa Ehsan melarangnya percaya kepada Pak Benayat?! Apa yang sahabat setuanya ini telah lakukan?.

Mereka menapak beriringan ke rumah Pak Benayat yang terletak di tengah-tengah kampung mereka. Jarak rumahnya ke rumah Pak Benayat lebih kurang dalam 200 meter sahaja. Terbongkok-bongkok dia berjalan sambil dipimpin Pak Benayat. Setibanya di sana, orang kampung sudah ramai berkumpul. Masing-masing menunjukkan raut wajah yang bersimpati kepadanya. Mana taknya, Ehsan merupakan satu-satunya keluarga dan penjaga yang dia ada. Kematian Ehsan ini bermakna dia akan hidup seorang diri di dunia. Pak Benayat membawanya ke ruang tamu.

Mayat Ehsan terbaring kaku di atas tikar. Dia hanya memakai seluar kaos berwarna biru, sama dengan seluar yang dia pakai rumah tadi. Memang ada kesan gigitan di leher anaknya itu. Sebahagian leher anaknya itu terkoyak. Bibir anaknya sudah biru memucat. Mak Seha tidak dapat membendung air matanya, lalu menangis dan meraung sekuat hatinya. Orang-orang kampung di situ hanya memandangnya. Sayu. Tidak kurang juga yang turut sama mengalirkan air mata. Mak Seha mengucup dahi anaknya untuk kali terakhir. Dia hanya mampu menatap wajah anaknya untuk kali terakhir malam itu. Dinihari. Pukul 3 pagi. Hari Rabu. Kali terakhir dia akan melihat jasad anaknya. Dia tahu, kematian anaknya ini bukan kematian biasa. Kematian ini pasti ada kaitan dengan Niyang Ropek. Gangguan yang dia alami sebelum jelmaan anaknya muncul pasti ada kaitan dengan kematian anaknya ini.

Tangisan Mak Seha diteruskan. Kali ini dia telah ditenangkan oleh beberapa kampung. Mak Seha membaringkan bahunya di bahu isteri ketua kampung, Mak Kandik. Matanya memerhatikan Pak Benayat yang sedang berbua-bual dengan Pak Kandek, ketua kampung Kampung Pagung. Kematian anaknya ini pasti ada kaitan dengan pawang kampung mereka itu. Dia pasti.

******

Awal Disember, 1993. Kampung Pagung. Matahari seperti enggan bersinar. Lima hari selepas jenazah anaknya selamat dikebumikan. Kilasan cahayanya hanya dipancarkan di balik awan yang kian menggelap di segenap langit. Pelahan-lahan angin dari arah tenggara berpuput membelai-belai kulit tuanya. Tasbih dimain-mainkan di jari-jarinya. Pandangan matanya dihalakan ke arah hujung laut yang kelihatan dilanda lebatnya hujan. Pada hari kebiasaannya, dari pangkin rumahnya ini, dia akan melihat wujud pulau sebelah yang tampak lebih kecil berbanding pulau yang mereka diami ini.

Kampung Pagung pada pagi itu kelihatan suram seperti biasa. Berita kematian anaknya sangat menggemparkan penduduk kampung. Walaupun mereka sudah terbiasa melihat kejadian-kejadian pelik di kampung ini, tetapi kematian anaknya merupakan kes pertama yang melibatkan kematian. Mindanya masih dapat membayangkan kesan gigitan di leher anaknya. Tampak seperti digigit manusia. Di bahagian belakang anaknya, kesan-kesan cakaran jelas kelihatan. Seperti dicakar menggunakan kuku yang tajam. Dia teringat akan lembaga putih yang mengganggunya pada malam kematian Ehsan. Sebenarnya, dia sudah seringkali mendapat kunjungan daripada lembaga tersebut. Almarhum suaminya memaklumkan bahawa lembaga itu adalah jin suruhan bidan Kampung Pagung yang telah diusir keluar beberapa tahun yang lalu. Niyang Ropek. Orang kampung telah berjaya membongkar kejahatan yang dilakukan oleh Niyang ketika Niyang sedang bersedia untuk menyeru rakan-rakan jin untuk menyerang Tok Kandek. Kebetulan pada masa itu, Mak Kandik sedang sarat hendak melahirkan anak sulung mereka. Walaupun akhirnya anak mereka itu meninggal dunia.

“Nek Seha..” dia menoleh. Farihah, cicitnya memandangnya dengan sayu. Farihah duduk di sebelahnya. Tangannya diletakkan di bahu cicitnya itu.

“Kenapa Reha?” Mak Seha bertanya kerana melihat muka sugul cicitnya itu. Farihah memeluknya. Gadis mungil yang baru berusia enam tahun itu masih belum mengerti tragedi yang menimpa kampung mereka saat itu.

“Sabar nek. Nenek mesti sedih sebab Pak Ehsan dah tiada,” Farihah membelai-belai wajah tuanya. Mak Seha hanya mampu tersenyum melihat tingkah cicit kesayangannya itu. Farihah memeluknya.

“Oh… beratnya cicit nenek ni…” Mak Seha membalas pelukan cicitnya sambil tergelak. Hati tuanya rasa diciut melihat kecomelan tingkah cicit mungilnya itu.

“Reha makan apa sehingga berat macam ini? Makan ikan banyak sangat?” canda Mak Seha. Farihah meleraikan pelukannya. Tudung yang disarungkannya sedikit comot kerana berpelukan tadi. Tiada senyuman langsung di wajah mungilnya.

“Nek Seha mesti paksa diri untuk ketawa sekarang ni kan?” ujar Farihah. Wajah sugulnya dikekalkan. Tergelak Mak Seha mendengar ujaran cucunya itu. Masih kecil sudah petah berkata-kata. Dipicit-picitnya pipi Farihah.

“Nenek memang sedih.. tapi kita tak boleh meratap pemergian manusia lama-lama. Allah lebih sayangkan Tok Ehsan…” Mak Seha menerangkan isi hati tuanya kepada Farihah.

“Kita yang masih bernyawa ni kena teruskan hidup ni. Perbanyakkan ibadah dan amal. Dekatkan diri dengan Allah.”

“Nyawa tu apa nek?” pintas Farihah. Mak Seha mengulum senyuman. Dia terlupa bahawa dia sedang berbual dengan kanak-kanak yang masih belum mengenal dusta dunia.

“Nyawa adalah anugerah yang Allah berikan kepada kita supaya kita boleh hidup di muka bumi ini. Nyawa adalah lambang kekuasaan Allah yang mampu menghidupkan dan mematikan. Jadi, maksudnya kita yang hidup ini akan mati. Macam Tok Ehsan. ..” terang Mak Seha. Walaupun dia tidak pasti sama ada Farihah dapat memahami butir penerangannya itu, tetapi dia tetap cuba untuk memberikannya faham.

“Kalau Allah dah beri dekat Tok Ehsan, kenapa Tok Ehsan mati?” tanya Farihah lagi.

“Maksudnya, nyawa yang Allah beri itu hanya pinjaman. Sampai satu masa.. Allah akan ambil semula. Sebab tu kita wajib pelihara nyawa yang kita ada. Jangan sia-siakan. Islam juga anjurkan kita pelihara nyawa dengan baik,” sambung Mak Seha. Farihah termangu. Otak kecilnya cuba memproses nasihat yang diberikan oleh nenek tuanya itu.

“Reha tahu macam mana nak pelihara nyawa?” tanya Mak Seha. Pantas Farihah mengelengkan kepalanya.

“Macam ni…. Cuba tengok apa yang ibu dan ayah Farihah selalu buat? Apa yang Tok Ehsan selalu buat? Solat mereka tinggalkan tak? Setiap malam apa yang ayah Reha buat? Tudung ni… kenapa ayah suruh pakai?” tanya Mak Seha bertalu-talu sambil memegang tudung merah jambu yang dipakai cicitnya itu. Dia memaksa cicitnya itu berfikir.

“Ayah kata… supaya Reha masuk syurga…” jawab Farihah lambat-lambat.

“Betul… kita buat semua tadi.. supaya kita masuk syurga. Sebab.. dengan masuk syurga.. barulah nyawa kita betul-betul terpelihara. Solat yang kita wajib lakukan salah satu cara kita pelihara nyawa. Tudung yang Reha pakai ni… untuk jaga nyawa Reha. Supaya nanti tidak ada mata-mata nakal yang tenung Reha sambil fikir yang bukan-bukan. Nanti Reha kena culik!” sambung Mak Seha lagi panjang lebar. Farihah masih termangu. Entahkan faham atau tidak penjelasan neneknya itu.

Sedang Mak Seha kusyuk memberi tazkirah ringan kepada Farihah, tiba-tiba Pak Syahriyan datang dengan kalut. Derapan lari kakinya menyebabkan Mak Seha dan Farihah menoleh ke arahnya. Dia berlari. Syahriyan. Anak kepada adik iparnya. Walaupun sudah berusia 50 tahun, tetapi kudratnya masih seperti pemuda berusia 20-an. Berkat kerajinannya mengamalkan ilmu-ilmu persilatan barang kali.

“Kau dah kenapa lari macam tak cukup tanah ni? Cuba bawa bertenang sikit,” bebel Mak Seha.
“Anak saya Mak… Anak saya…” Pak Syahriyan tercungap-cungap.

“Tarik nafas dulu. Bertenang. Aku peliklah orang kampung ni… macam semua tak pandai nak bertenang. Kalau ada masalah sekalipun, tak payah nak lari macam tak cukup tanah. Risau jatuh tersadung bertambah lagi masalah..”bebel Mak Seha lagi. Pak Syahriyan menarik nafas panjang lalu menghembuskannya. Dia tersengih macam kerang busuk.

“Hah.. kenapa dengan anak kamu?” tanya Mak Seha.
“Dia nak melahirkan dah Mak. Alhamdulillah.”
“Alhamdulillah. Dia ada kat mana?”
“Rumah Tok Ketua. Cepat Mak Seha..” Pak Syahriyan kembali kelam-kabut.

“Sabarlah Riyan. Aku ni dah tua. Tak larat bukan macam kau…” terkedek-kedek Mak Seha menurunkan Farihah dari pahanya.

“Pak Benayat kata dia nak bidankan!” perlahan suara Pak Syahriyan menuturkannya. Mak Seha mendongak. Ada raut kerisauan pada garit wajah tuanya. Benayat? Keparat tak guna itu. Apa pula rancangannya kali ini?.

“Tak guna. Mari Farihah. Kita pergi selamatkan adik kamu. Dukung cucu kamu ini Riyan. Aku tak larat dah,” Mak Seha terbongkok sambil bertongkak lutut menggagahkan dirinya untuk berdiri. Pak Syahriyan membantunya. Farihah yang dari tadi hanya terpinga-pinga mendengar perbualan mereka segera didukung. Mereka beriringan ke rumah Tok Kandek yang terletak di hujung sebelah kampung mereka. Jauh bagi Mak Seha.

“Lajulah Mak Seha. Aku risau ni.”
“Sabar. Bertenang. Kau kena faham orang tua macam aku ni bagaimana keadaannya..”

“Tak tua manalah. Kita cuma beza 20 tahun.” rungut Pak Syahriyan. Farihah di tangannya diturunkan.

“Reha jalan sendiri. Dah besar. Pergi lari..” arah Pak Syahriyan. Mak Seha hanya tercengang. Belum sempat dia menambah bebelan, Pak Syahriyan dengan pantas mengangkat tubuh tuanya lalu diletakkan di pundaknya.

“Mak Seha lambat sangat…”ujar Pak Syahiran sambil tergelak.

“Riyan… turunkan aku Riyan… adoiii.. patahlah tulang-tulang tua aku….” Kata Mak Seha sambil mengetuk-ngetuk kepala Pak Syahriyan. Tanpa mempedulikannya, Pak Syahriyan segera berlari dengan pantas sehingga dapat meninggalkan Farihah yang sedang terkedek-kedek lari. Kaki pendek. Getus hati Pak Syahriyan.

Setibanya di rumah Tok Kandek, orang kampung sudah ramai berkumpul di luar rumah. Tok Kandek sedang mundar-mandir di hadapan pintu. Bertalu-talu pintu di ketuk oleh beberapa orang. Ada yang sedang menendang-nendang pintu. Pak Syahriyan menurunkan Mak Seha di hadapan Tok Kandek. Ketibaan mereka menimbulkan kehairanan di benak penduduk kampung. Mungkin disebabkan Pak Syahriyan yang mendukung orang tua seperti Mak Seha. Dari dalam rumah Tok Kandek, kedengaran suara dua orang wanita sedang menjerit kesakitan. Tok Kandek memandang mereka lalu segera memeluk Pak Syahriyan.

“Mengapa lama sangat Syahriyan?” ujar Tok Kandek. Pelukan dileraikannya. Belum sempat Pak Syahriyan menjawab, Mak Seha segera mencela.

“Isteri kamu juga hendak melahirkan?” tanya Mak Seha kepada Tok Kandek. Pak Syahriyan terkejut. Dia sangkakan hanya anaknya sahaja yang akan melahirkan.

“Sebenarnya bulan dia tak sampai lagi. Tetapi Nayat arahkan isteri saya masuk. Dia halau semua ibu-ibu keluar lalu pintu rumah semua dikunci. Saya risaulah Mak Seha. Entah apa dia nak buat dengan bayi-bayi kami kelak,” Tok Kandek memegang pundak Pak Syahriyan.

“Mana Hafizul?” tanya Mak Seha.

“Dia masih belum pulang dari kebun. Saya dah arahkan Ethihar panggil dia,” jawab Tok Kandek. Raut wajahnya jelas menampakkan kebimbangan. Kredibiliti seorang ketua kampung jelas tidak dipamerkan pada gayanya. Mak Seha memahami keadaan Tok Kandek. Lagipun, jawatan Ketua Kampung itu dia ambil alih tanpa kerelaan hatinya selepas kematian suami Mak Seha.

“Abanggggggg…!!! tolong banggggg…!!!” tiba-tiba kedengaran suara Mak Kandik menjerit dari dalam rumah. Semua orang kampung mula kaget mendengar jeritan itu. Kekagetan ditambah lagi dengan suara hilai tawa yang kedengaran dari arah dalam rumah. Langit yang cerah tiba-tiba berpetir. Angin yang tadinya tenang tiba-tiba menderu dengan ganas.

“Astaghfirullah. Apa yang Nayat cuba lakukan ini? Tolonglah Mak Seha,” rayu Tok Kandek. Matanya kuyu meminta simpati.

“Yang kau pergi benarkan dia jadi bidan mereka kenapa? Tak boleh tunggu aku ke?” bebel Mak Seha bermula. Dalam keadaan gawat seperti itu, dia masih sempat memarahi anak-anak didik almarhum suaminya itu.

“Tak payah nak marah-marah sekarang Mak Seha. Selamatkan isteri kami dulu,” pintas Pak Syahriyan. Orang-orang kampung yang tadi berusaha membuka pintu sudah bersurai dan memberi ruang kaki lima rumah Tok Kandek kepada ketiga-tiga orang tua Kampung Pagung itu.

“Aku cuba. Ingat. Aku ni dah tua. Kudrat tak sama macam dulu. Kamu berdua pergi ke bawah. Baca apa-apa yang patut. Aku malas nak ulang. Pastikan Hafizul sampai dengan segera,” ujar Mak Seha tegas. Dengan pantas Tok Kandek dan Pak Syahriyan menuruni tangga rumah. Mak Seha mengetatkan simpulan rambutnya yang sudah memutih itu. Zikir Basmalah digunakan sebagai pembuka bunga langkahnya. Terketar-ketar lutut wanita tua itu cuba mengagahkan tubuh kedingnya. Dia menghela nafas panjang lalu dihembuskan ke daun pintu.

“Kandek! Arahkan orang kampung baca Isti’adha! Kuat!” jerit Mak Seha tanpa menoleh ke belakang.
Mak Seha segera menyarungkan selendang yang dililit dilehernya ke kepala. Dia tawakkal kepada Allah. Langkah seterusnya, dia mulakan dengan membaca ayat keempat dari Surah Al-Anbiyaa’.
“Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan (perbuatan) di langit dan di bumi dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Orang kampung sedang membaca Isti’adha dengan lantang. Pada saat itu, suara hilai tawa mula menerawang dengan kuat di sekeliling mereka. Langit yang tadinya sedikit cerah mulai mendung. Tiupan angin semakin mengganas. Tetapi, pintu dan jendela-jendela rumah Tok Kandek masih kejap walaupun dipukul-pukul angin bertalu-talu. Dari dalam rumah, kedengaran suara tangisan dan jeritan Mak Kandik semakin kuat. Hanya suara Mak Kandik. Mana suara anak saudaranya? Mak Seha menutup mata lalu duduk bersila. Rasa sakit dilutut tuanya diabaikan. Dia cuba mengumpulkan kembali kekuatan dalaman yang pernah diajarkan almarhum suaminya dahulu. Terkumat-kamit bibir tuanya membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan memuji keesaan Allah. Terasa tubuhnya seperti ditolak-tolak ke belakang. Mak Seha segera menepukkan tangannya pada lantai. Kedengaran sedikit suara ghaib meraung. Mak Seha melanjutkan bacaaanya dengan melagukan doa yang pernah diajar oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah dahulu ketika peristiwa Israk Mikraj. Doa Ta’awudz.

“Aku berlindung dengan wajah Allah yang Maha Mulia dan dengan Kalimat-Kalimat Allah yang Sempurna yang tidak ada “melampauinya” segala kebaikan mahupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari, kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan, wahai yang Maha Penyayang.”

Doa Ta’awudz yang pernah digunakan oleh Rasulullah untuk menewaskan Ifrit itu dibaca sebanyak tujuh kali. Sedang kusyuk membaca, suara jeritan Mak Kandik yang sudah tidak kedengaran mewujudkan kegalauan di hati Mak Seha dan juga orang kampung. Dengan pantas Mak Seha menghentakkan telapak tangan kirinya ke atas lantai.

“Allahu’akbar!” tangan dihentakkan. Seiringan dengan itu, darah merah mengalir keluar dari hidung kiri Mak Seha. Dibiarkannya. Jantungnya terasa sakit seperti direntap-rentap. Mak Seha cuba bertahan dan berusaha menewaskan jin terkutuk yang dia yakini menjadi rakan sekutu Pak Benayat. Doa Ta’awudz dibaca dengan kuat kali ini.

Suasana di hadapan rumah Tok Kandek terlihat tegang. Orang kampung masih gigih membacakan kalimah isti’adha secara berjemaah. Hujan mencurah-curah namun diabaikan oleh orang kampung. Mata Mak Seha masih dipejamkan rapat. Dengan menggunakan mata batinnya, dia dapat melihat tubuh Mak Kandik dan anak saudara sedang terkujur lintang di sebalik pintu tersebut. Mak Kandik sudah mula sekarat. Kaki kedua-duanya berlumuran darah. Anak saudaranya, Umairah nampak kojol dengan wajah pucat. Dicelah-celah kakinya, tampak lembaga yang pernah menyerangnya dulu sedang menghisap darah yang mengalir. Air mata Mak Seha menitik. Tahulah dia bahawa anak saudaranya itu sudah menemui ajal. Pertahanan Mak Seha semakin longgar. Hatinya tidak dapat menahan sebak. Seluruh temulangnya terasa bergoyang. Lelehan darah di hidungnya semakin deras.

Suara hilai tawa semakin kuat kedengaran. Mak Seha dapat melihat Mak Kandik sedang cuba mengesot ke belakang. Dia hanya mampu menangis teresak-esak. Tiba-tiba, Pak Benayat muncul dalam pandangannya lalu mengheret kaki Mak Kandik mendekati lembaga yang menghisap darah Umairah. Dia terdengar suara tangisan bayi yang sedang merengek. Mak Seha membuka kedua matanya.

“Cicit aku,” ujarnya. Mak Seha segera bangun. Berdiri menghadap pintu. Bibirnya terkumat-kamit membaca salah satu kalimat Isti’anah. Kedua tapak tangan dirapatkan antara satu dengan yang lain dengan hala jari disilangkan. Jari kanan dihalakan ke atas, manakala jari kiri dihalakan ke bawah. Mak Seha mengerahkan seluruh kudrat tuanya yang masih tersisa. Peluh dingin mulai membasahi segenap tubuh kedingnya itu. Dalam terketar-ketar, Mak Seha akhirnya berjaya berdiri tegak betul-betul berhadapan dengan pintu rumah. Mindanya sempat berdoa kepada Allah agar Hafizul segera sampai membantunya. Dia dapat rasakan kudrat tuanya semakin lemah. Namun, tekadnya kuat untuk menyelamatkan cucunya.

“LAHAULA WALA QUWATA ILLA BILLAHIL ALIYIL ADZIM….”

“Allahu’akbar!” Mak Seha menghentakkan telapak tangan kanannya ke pintu rumah Tok Kandek. Seiring dengan itu, tubuh tuanya terpelanting ke belakang seperti ada kuasa yang menolaknya. Mak Seha tersungkur dan hampir terjatuh ke tangga. Mujurlah tangannya sempat berpaut pada sendi-sendi rumah. Mak Seha terbatuk-batuk. Darah tersembur keluar dari mulutnya. Mak Seha mengelap mulutnya dengan bajunya.

Bahu Mak Seha disentuh seseorang. Mak Seha mendongak memandang orang itu. Hafizul. Mak Seha tersenyum gembira sambil menahan kesakitan. Dia lega. Hafizul merupakan pewaris almarhum suaminya untuk menguruskan ilmu persilatan Kampung Pagung itu dan secara tidak langsung menjadi penjaga kepada seluruh penduduk kampung mereka. Dia? Zamannya sudah berlalu. Tubuhnya sudah dimamah usia. Hari ini dia hanya berusaha untuk menyelamatkan anak dan cucunya. Walaupun nampaknya dia kecundang. Mak Seha merebahkan dirinya di lantai rumah itu. Tubuhnya sangat lemah. Dia menutup mata sambil tersenyum. Dia dapat rasakan tubuh tuanya diangkat dan diusung turun daripada rumah Tok Kandek. Kemudian, segalanya terdengar senyap. Dia penat.

Hafizul membaca kalimat-kalimat Al-Fatihah lalu diiringkan dengan surah tigal Qul. Seraya kakinya dihalakan ke arah pintu dan ditahan tegak. Dia membaca ayat 1 sehingga 4 dari surah al-Fath. Surah yang menjanjikan kemenangan kepada Rasulullah dalam peristiwa Hudaibiyyah dulu. Dengan kuat kakinya menendang pintu rumah tersebut. Pintu terpelanting dan terbuka seiring dengan raungan kesakitan suara ghaib.

Di dalam rumah, tampak lembaga hodoh sedang membongkok memegang kepala Umairah. Lembaga itu meraung marah. Mulutnya terbuka luas. Anak matanya membuntang hitam. Rambutnya kusut-masai meliuk-lentuk seperti ular. Jarinya yang runcing dihalakan ke arah hadapan menunjuk Pak Hafizul yang sedang berdiri gagah di hadapan pintu. Darah memenuhi segenap ruang. Jasad Mak Kandik sudah terlihat kojol di atas tikar yang berlumuran darah. Pak Benayat tidak kelihatan di mana-mana sudut. Pak Hafizul segera menerpa masuk mengambil kedua-dua bayi yang sedang menangis di sebelah Mak Kandek. Tali pusat bayi itu masih belum dikerat. Kedua-duanya hanya dibungkus menggunakan kain yang berwarna kuning. Pak Hafizul beristighfar di dalam hati melihat kesyirikan yang berlaku di hadapan matanya itu.

Pak Hafizul menapak keluar lalu melompak tinggi mendekati orang kampung yang sudah menjarakkan diri dari rumah Tok Kandek itu. Titisan hujan sudah mulai kebah. Namun, deruan angin masih menggila dan langit masih kelabu. Pokok-pokok kelapa yang sekeliling kampung mereka meliuk-lentuk ditiup angin menambahkan lagi suasana seram ketika itu. Halaman rumah Tok Kandek sudah dipenuhi ramai orang. Mak Seha telah dibaringkan di atas tanah sambil diribakan oleh Pak Syahriyan. Wanita tua itu kelihatan sangat tenat selepas memaksa seluruh kudratnya melawan kekufuran Pak Benayat.

“Pegang bayi-bayi ini. Lindungi mereka!” Pak Hafizul menyerahkan bayi-bayi tersebut kepada Tok Kandek yang menapak ke hadapan.

“Isteri aku macam mana Izul?” tanya Tok Kandek. Risau jelas terpampang pada wajahnya. Pak Hafizul hanya mampu menepuk-nepuk pundak sahabatnya itu. Dia tidak tahu bagaimana hendak memaklumkan kebenaran kepada sahabatnya itu.

“Kita perlu redha kepada ketentuan Allah,” ujar Pak Hafizul lalu memalingkan badannya semula menghadap rumah Tok Kandek. Pertarungan belum selesai.

“Kurang ajar kau keparat…!” parau dan lantang kedengaran suara Pak Benayat mengaum dari dalam rumah. Suaranya bergema memenuhi segenap ruang. Angin mengelilingi rumah Tok Kandek sehingga membentuk satu pusaran kecil. Semakin lama semakin padat dan menghimpit rumah Tok Kandek. Rumah Tok Kandek akhirnya pecah. Papan-papan dan bumbung rumah berterbangan ke udara. Terpusar-pusar dalam pusaran beliung yang wujud di hadapan mereka. Pak Hafizul membaca isti’adha dan dilanjutkan dengan bacaan isti’anah. Kakinya dihentakkan ke bumi dengan iringan kalimah takbir. Hentakan kaki itu diikuti dengan bunyi deruman dan alur angin yang tajam menuju ke arah pusaran. Apabila angin hentakan kaki Pak Hafizul menyentuh pusaran angin itu, kedengaran suara raungan ghaib menjerit sakit. Terlerai pusaran angin itu diikuti dengan bilah-bilah papan yang bertaburan di udara jatuh ke bumi.

Di balik pusaran angin itu, tampak tubuh Pak Benayat sedang terapung. Mata hitamnya membulat gelap. Tangannya didepakan. Ada bulatan bebola putih di kedua-dua tangannya.

“Terkutuk kau Benayat!” jerit satu suara wanita dari kelompok orang kampung. Sakinah. Isteri Pak Hafizul.

Pak Benayat merengus marah. Dengan menggunakan kekuatan sakti hasil bantuan jin, bilah kayu yang tajam dihumbankan ke arah Sakinah. Tujuannya agar wanita berlidah lancang itu mati tertusuk kayu. Namun, ketangkasan Pak Hafizul berjaya menyelamatkan isterinya. Kakinya segera dilayangkan menyepak bilah kayu itu. Menepisnya ke kanan. Pak Benayat menjerit marah. Kali ini tubuhnya bertukar menjadi kepul-kepul asap hitam. Bau busuk mula menyengat hidung. Meloyakan dan menyebabkan Pak Hafizul terasa mual hampir termuntah. Pak Hafizul hanya mengeluarkan ludah. Pandangan matanya dihalakan tajam melihat perubahan Pak Benayat. Tubuh manusia terkutuk itu berubah menjadi sosok wanita tua yang menyeramkan. Berkurudung hitam dan gaun hitam panjang. Bibir wanita itu berwarna hitam. Matanya tajam seperti disolek. Wanita itu tersenyum. Menyeringai.

“Adakah kalian merindukan aku?!” ujarnya dengan suara yang kuat. Kemudian dia tertawa kuat. Apung badannya diturunkan menyentuh lantai rumah yang masih belum hancur. Di kakinya, mayat Umairah dan Mak Kandik bergelimpangan.

Niyang Ropek. Wanita terkutuk yang menjadi punca kekacauan di kampungnya beberapa tahun dulu. Wanita terkutuk yang menjadi punca kematian tok gurunya. Penyembah Syaitan dan hamba Jin Laknaktullah! Terlalu banyak kejahatan yang dia lakukan sehingga akhirnya tersebar luas hampir ke seluruh nusantara.

“Niyang Ropek??” Orang kampung tercengang kehairanan melihat wujud wanita di hadapan mereka ini. Tok Kandek menapak ke hadapan. Berdiri di samping sahabatnya.

“Bagaimana kamu boleh terlepas?!” marah Tok Kandek. Hatinya terasa panas. Dia masih ingat lagi. Dia membantu Pak Ediris memenjarakan wanita terkutuk ini dan menghantar kurungannya jauh ke Tanah Emas. Dikurung di satu lokasi yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali dia, Pak Syahriyan dan Mak Seha.

Niyang Ropek tergelak mendengar soalan yang diajukan oleh Tok Kandek. Hilai tawanya sangat menyeramkan sehingga boleh menyebabkan sesiapa yang mendengarnya merinding seluruh tubuh.

“Apa kau ingat aku terlalu lemah untuk kau tangkap sesuka hati?” ujar Niyang Ropek lalu tertawa lagi seperti orang gila.

“Kau sepatutnya ku penjarakan saja di Estodania,” ujar Tok Kandek lagi. Marah.

“Apa kau kira kota itu mampu melawan kesaktian ku?” balas Niyang Ropek bongkak. Ada cebikan geram di wajahnya. Dalam ketakburan, sebenarnya dia mengakui keampuhan Estodania yang diperintah oleh Sultan Iltizam itu.

“Hentikan basa-basi mu! Isterimu sudah ku bunuh. Darahnya habis ku hisap!” sambung Niyang Ropek disusuli dengan gelak tawa pongah. Mayat-mayat Mak Kandik dan Umairah ditendang dengan kasar sehingga jatuh tergolek betul-betul di hadapan Pak Hafizul dan Tok Kandek. Pak Syahriyan hanya mampu memandang mayat anaknya dari jauh. Air mata jantannya menitis perlahan-lahan. Bayi-bayi dalam dukungannya dikecup perlahan-lahan. Hatinya sayu. Farihah yang berada di sampingnya hanya memandang kosong. Wajah mungilnya kelihatan tidak ikhlas bersedih. Mungkin kerana dia masih belum mengerti peristiwa yang berlaku ketika itu.

“Keparat kau Niyang!” bertempik marah Tok Kandek lalu berlari meluru Niyang. Pak Hafizul segera menahan langkah sahabatnya itu.

“Lepaskan aku Izul. Biarku bunuh orang tua kutuk ini!” ujarnya.

“Sabar Dek.. Sabar.. Ingat Allah. Sollu alan Nabi,” Pak Hafizul menyapu-nyapu dada sahabatnya itu.

“Biar aku yang uruskan. Kamu jaga orang kampung kita. Bawa semua berlindung di rumah Allah,” arah Pak Hafizul. Dia tahu, jika Tok Kandek mengikut rasa marahnya, dengan mudah sahabat Iblis di hadapan mereka ini akan membunuhnya. Tambahan pula, ilmu persilatan Tok Kandek masih mentah jika dibandingkan dengan kesaktian yang Niyang Ropek miliki.

Niyang Ropek mendapat peluang yang dinantikan, segera melayang terbang melepaskan satu tumbukan padu ke arah rusuk Pak Hafizul. Kepantasan pukulan Niyang Ropek itu tidak dijangka oleh Pak Hafizul kerana kawalannya terleka ketika cuba menenangkan Tok Kandek. Orang kampung berbondong-bondong meninggalkan halaman rumah Tok Kandek lalu menuju ke masjid.... Dbuuuk!!! Pak Hafizul menyerang balas. Tumbukan ghaib kuat dan tepat mengenai sasaran. Bergema kuat jeritan Niyang Ropek kesakitan lalu terlambung 10 depa kebelakang dan terjelopok ke tangga rumah Tok Kandek yang masih belum musnah dek pusaran jelmaan Niyang Ropek sebentar tadi. Tangga itu patah tertolak tubuh Niyang Ropek.

Niyang Ropek memegang dada kanannya. Ada darah pekat mengalir. Hitam likat. Rupanya, Pak Hafizul telah membenamkan belati perak di situ. Darah tersembur keluar dari mulut Niyang Ropek. Dia terbatuk-batuk kasar.

“Keparat kamu Hafizul!” sumpah Niyang Ropek. Pak Hafizul tidak mempedulikannya. Dia segera mengatur bunga silat. Kalimat-kalimat Kursi kali ini disulangkan dengan setiap gerak yang dia lakukan. Seraya jurus angin dikeluarkan. Dihalakan ke arah Niyang Ropek yang semakin lemah. Bertubi-tubi pukulan angin dilayangkan. Peliknya, Niyang Ropek hanya mampu tersenyum Tubuhnya renyuk dan kemek seperti tin yang dipukul-pukul sehingga senyuman di bibirnya membiut.

“Aku akan kembali. Tanah ini tidak akan pernah aman tanpa aku…” ujar Niyang Ropek sebelum tubuhnya bertukar menjadi api. Ada garit senyuman kejahatan pada wajahnya. Bilah-bilah kayu berhampiran dengannya terbakar dijilat api.

Pak Hafizul menarik nafas lega. Dia memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah. Matahari mulai menampakkan dirinya. Deruan angin yang tadinya ganas mula bertukar lembut. Suasana yang tadinya suram mula bertukar tenang. Pak Hafizul mengukir senyuman. Puas hati dan berterima kasih atas bantuan yang dihulurkan. Dia rasa tenang apabila menyedari keyakinan kepada Allah berjaya menewaskan kebatilan yang dipentaskan oleh syaitan dan sekutu-sekutunya di muka bumi ini.

Melihat kepada perubahan cuaca, tahulah bahawa Pak Hafizul berjaya menewaskan Niyang Ropek. Terasa pantas sangat Pak Hafizul menewaskan musuh Islam yang nyata itu. Mereka kembali ke halaman rumah Tok Kandek yang telah musnah dalam pertarungan tadi. Pak Hafizul sedang mengumpulkan mayat Mak Kandik dan Umairah di kawasan lapang hadapan tangga yang hangus dijilat api. Dia menoleh memandang rombongan orang kampung menujunya. Terlihat indah apabila Jemaah seramai itu keluar dari masjid. Terserlah kebergantungan mereka kepada ALLAH agar mereka sentiasa dipelihara. Subhanallah. Semoga penduduk Kampung Pagung ini akan terus-menerus meyakini Allah. Cukuplah hanya Pak Benayat yang akhirnya berpaling tadah menyekutukan Allah. Termakan hasutan Niyang Ropek. Pak Hafizul melambaikan tangannya ke arah penduduk kampung sambil mengukir senyuman sebagai simbolik kedamaian. Walaupun mungkin damai itu hanya sementara. Tiba-tiba, isterinya meluru lari dengan reaksi wajah yang takut.

“Abangggggg!” jerit isterinya. Isterinya hanya beberapa tapak lagi hampir dengannya.

“Awas, belakang!” sambung isterinya. Belum sempat Pak Hafizul menoleh ke belakang, lehernya dikelar menggunakan pisau tajam. Perlahan-lahan, tubuhnya terjatuh menyembah bumi. Badannya dilentangkan memandang langit yang membiru. Terpancut darah merah dari lehernya. Terasa perit, dan nafasnya rasa tersekat. Tahulah dia bahawa ajalnya sudah tiba. Dia melihat, Pak Benayat sedang berdiri di sebelahnya. Tersenyum puas. Pak Benayat membaling pisau yang tajam ke hadapan. Arah isterinya yang berlari. Pak Hafizul pasrah. Jika hari ini adalah hari dia dan isterinya dijemput Allah. Perlahan-lahan dia mengucap syahadah dan kesaksian bahawa hanya Allah yang layak disembah. Matanya ditutup perlahan.

“Lindungi kampungku, Ya Allah.”


=========================
Suntingan dan gambar: Nil
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negera.

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: