JELEBU
============================
Amri baru sahaja selesai menghantar penumpang ke Terminal One, Seremban. Letih. Perkataan itu umpama telah luput ertinya. Amri menyibukkan dirinya dalam bisnes prebet sapu.
Duit bukanlah isu penting. Bisnes kereta sapu yang diusahakan sendiri sekadar mengisi masa lapang dan menimba pengalaman. Kalau diikutkan duit simpanan persaraan dan pencen pun sudah memadai untuk dia hidup mewah.
"Terima kasih, Bang Amri," ucap remaja lelaki berumur 20 tahun sebelum turun dari kereta Wira biru -kereta kesayangan Amri yang digunakan dalam bisnes prebet sapu.
"Okay jaga diri Hafiz. Balik Kelantan elok-elok, hati-hati. Bukan semua orang dalam dunia ni, hati baik," pesan Amri sambil tersenyum.
RM 15 dihulur, dimasukkan kemas di celahan pelipat dompet Amri.
Nilai harga prebet sapu dari Jelebu ke Seremban. Murah. Jika dibandingkan dengan caj biasa dikenakan teksi. Teksi juga sangat jarang untuk naik ke Jelebu. Memandangkan pekan itu agak jauh ke dalam dan mengambil masa kira-kira 40 dari minit dari Seremban.
Amri tersenyum. Puas berbakti untuk anak muda. Hafiz merupakan seorang guru muda yang ditempatkan mengajar di sebuah sekolah di Simpang Pertang.
----
Kereta Wira biru Amri membelah kesesakan jalan raya Seremban. Sesekali Amri merenung jam keretanya. Tepat 10 malam.
Kriukkk!
Perut Amri mula bernyanyi. Lapar. Baru dia tersedar yang dia belum menjamah apa-apa makanan sejak pukul 10 pagi.
Baik aku singgah minum dulu di Paroi. Sebelum balik Jelebu. Hari biasa, kedai semua tutup awal. -omel Amri sendiri.
Signal kiri dinyalakan menuju Paroi Jaya. Kedai mamak berdekatan stadium sudah biasa menjadi destinasi persinggahan sebelum balik ke Jelebu.
Kereta diparkir di bawah pokok ru merendang lebat.
Kaki dilangkah perlahan. Amri menoleh kiri dan kanan sebelum berlari anak mendapatkan meja kesayangan di hadapan skrin layar gergasi.
"Man United vs Liverpool"
"Aney, mee goreng mamak ayam, Naan Cheese Special, teh tarik halia."
Sambil mulutnya berdecup-decup mengunyah makanan. Mata Amri terus terpasak di skrin layar. 5 berbalas 5. Seri. Gila. Bola sepak dah jadi macam hoki.
Amri menghirup saki-baki terakhir teh tarik halia yang masih bersisa. Not kertas merah dua keping dibayar.
Baki diambil terus dimasukkan ke dalam saku baju.
Aku dah ngantuk. Aku mahu balik -raung hati Amri.
----
Amri memandu perlahan menuju Bukit Tangga. Sebelum tiba di kaki Bukit Tangga, Kampung Pantai dilalui dengan tenang. Amri mengusap matanya berulang-kali bagi mengelakkan diri terus diulit perasaan mengantuk.
Amri terus memaksa dirinya meneruskan perjalanan. Seram. Gelap dan tenang sepanjang jalan.
Jam 12.00 malam.
Bukanlah terlalu lewat untuk pemanduan ke Jelebu. Jika hujung minggu, kenderaan masih berderu-deru melalui jalan ini. Tetapi hari ini Isnin malam Selasa. Jalan begitu sunyi dan kelam.
Amri bukanlah seorang penakut. Dia biasa hidup sorang. Daripada beristeri hingga hidup sebatang-kara, dia tak pernah takut atau gentar dengan apa-apa.
Seusai tiba betul-betul di kaki Bukit Tangga, di persimpangan Lenggeng, Amri terlihat seorang gadis berusia dalam lingkungan 20- an sedang melambai-lambai tangan.
Dari jarak 10 kaki, wajah gadis tadi semakin jelas. Bertubuh langsing, cantik, berkulit putih, berlesung pipit di kedua belah dan bertudung dan berkurung merah hati. Cantik dan sopan.
Mustahil. Itu perkataan pertama terungkap di mulut Amri. Mustahil ada manusia pukul 12.00 malam, masih tercegat di sini. Merompak? Aku ada silat. Hantu? Aku tak percaya hantu. Kalau hantu pun, mana ada hantu secantik ini. - bentak Amri.
----
"Assalamualaikum dik. Nak pergi mana ni?" Tegur Amri.
"Waalaikumussalam bang. Saya tunggu ayah dan ibu saya. Tak muncul-muncul dari Maghrib tadi." -lembut suara gadis itu sambil menghadiahkan senyuman manis.
Amri terkedu apabila memandang wajah gadis itu. Wajah gadis persis seseorang yang dikenalinya. Tapi dia pun tidak pasti siapa. Yang pasti wajah itu terasa sangat dekat dengan hidupnya.
"Ooh. Adik nak gi mana? Bahaya sorang-sorang sini. Hutan Lipur Lenggeng, Bukit Tangga ni, bukan area elok malam-malam. Tambah-tambah anak gadis macam awak. Jemput masuk kereta, nanti pakcik hantarkan. Tapi duduk seat belakang ye, sebelah pakcik ni penuh barang."
"Ya abang. Saya tumpang ye. Saya nak balik ke Kampung Pradong," jelas si gadis sambil melabuhkan punggung di kerusi belakang.
"Masuk lah."
Seraya si gadis menutup pintu kereta, deria bau Amri diserang bauan yang amat harum semerbak. Bunga melati! Automatik mulut Amri terlepas.
"Eh, macam mana abang tahu nama saya?" Soal gadis manis itu sambil berkerut. Comel.
"Eh-eh. Mana ada. Bau perfume awak macam bunga melati. Wangi. Melati? Jarang orang sekarang nama macam ni." -Amri tersengih sambil melirikkan mata melalui cermin pandang belakang.
"Abang, nama ni ibu saya yang bagi. Nama penuh saya Melati Francisca."
"Tak payah berabang la dengan saya. Pakcik ni dah umur 50 tahun lebih dah." -bersungguh Amri menafikan gelaran abang yang diberikan. Memang jika diikutkan riak wajah tampan dan rambut hitam pekat Amri, umurnya baru sekitar 30-an sahaja.
"Ok pak cik. Pakcik nanti turunkan saya di Kampung Pradong ye."
"Baiklah nak. Sedap nama Melati Francisca tu. Sedap ibu pilih nama," puji Amri.
Amri terus giat mengawal stereng kereta. Hujan mula turun dengan lebat. Bukit Tangga bukanlah jalan yang mudah untuk dipandu. Jalannya yang berbengkak-bengkok, licin ketika hujan serta di kelilingi gaung amatlah berbahaya.
Mujurlah Bukit Tangga sekarang telah diperlebar dan diperluaskan jalannya. Jika tidak, bahayanya lebih berganda. Jika hujan, pasti ada kemalangan menimpa.
"Betul pakcik. Ibu dulu suka sangat main dengan bunga. Ibu kata ayah dulu selalu hadiahkan dia bunga. Ibu pun nama bunga tau pakcik. Nama ibu, Melur Florence."
"Allah..." -jerit Amri.
Kepala Amri tiba-tiba pening dan berbayang-bayang. Gelap dan hilang sedar. Dengan permukaan jalan yang licin, kawalan kereta Wira biru semakin hilang arah lalu..
BAMMM!
Bonet tersadai di tepian warung lama di tengah-tengah Bukit Tangga. Asap mula terapung keluar dari permukaan kemek.
"Aduhh. Maafkan pakcik nak. Pakcik tiba-tiba sakit kepala. Pakcik pun tak pasti kenapa. Anak okay?" -Amri mengeluh, sambil tangan kirinya mengusap lembut dahinya yang panas dibasahi darah.
"Melati okay pakcik sihat saja. Melati ni susah luka pakcik. Dari kecil lagi."
"Betul Melati? Baguslah."
----
"Okay Melati. Cuba hidupkan enjin," arah Amri.
Eeeiiiitttt vrooom!
"Alhamdulillah. Berjaya juga hidup kereta ni pakcik," tinggi suara Melati, bergembira dengan kejayaan itu. Sudah setengah jam mereka tersadai.
"Alhamdulillah. Terima kasih Melati. Jom kita teruskan perjalanan. Lagipun dah pukul 2 pagi ni."
"Baik pakcik."
Amri mengusap kepala Melati seperti seorang ayah kepada anak kesayangan. Kepala pening, berbayang-bayang dan gelap tiba-tiba tadi rupa-rupanya memberikan sinar baru kepada Amri.
Perlahan-lahan air jernih mengalir turun dari kelopak mata Amri.
----
"Pakcik, Melati sebenarnya nak ucap ribuan terima kasih dekat pakcik tau," ujar Melati sayu. Suaranya tersekat-sekat.
"Ya Melati. Kenapa? Pakcik sudi dengar."
"Melati dulu ada ibu. Ibu Melati tu cantik. Orang kampung selalu kalau jumpa Melati akan cakap. Melati, muka kau saling tak tumpah kelembutan muka ibu kau. Cuma, kulit kau, saling tak tumpah secerah kulit ayah kau," teresak-esak suara Melati.
"Maaf tanya. Melati, ibu Melati sekarang di mana?" Soal Amri.
"Selepas ibu lahirkan saya. Ibu meroyan. Post-partum depression." Putus kata Melati setakat itu. Tangis melebihi segalanya.
"Sabar nak. Pakcik simpati."
Mata Amri berkaca. Memori baru yang diperoleh sebentar tadi, masih disemat kemas dalam kotak fikirannya.
"Huuuu.. huuu.. Lepas tu kan pakcik, ibu dah tiada. Ibu meninggal dunia. Dia teringat kat ayah. Kata nenek, ayah kerja KL, terus tak balik-balik. Masa tu ibu mengandungkan saya," tangis Melati semakin mendayu-dayu.
Amri buntu. Hati Amri hiba. Jika benar apa yang ada dalam memorinya kini. Dia rasa dirinya sangat berdosa.
"Maaf pakcik tanya. Ayah Melati orang mana?" Tanya Amri.
Tangan Amri masih mengawal stereng kereta tertib. Kereta meluncur mula menuruni Bukit Tangga menuju Kuala Klawang.
"Saya pun tak pasti. Tapi ikut kata nenek. Ayah saya orang kacukan. Hensem katanya. Tapi. Tapi." Terputus lagi ayat Melati. Tudung melati mulai basah.
"Tapi apa nak? Sambung sayang."
"Tapi ayah dah tak sayang kami. Ayah tinggalkan ibu. Tinggalkan saya dalam perut!" Melati tangis meraung.
"Ya Allah. Jangan cakap macam tu nak. Semua ni ketentuan Allah." Pujuk Amri.
"Nah pakcik, tengok gambar ibu san ayah saya. Saya ada gambar sekeping ni je. Buat kenangan saya," hulur Melati.
Melati bertukar rupa. Tangisnya sekarang tidak lagi memuntahkan jernih air mata, tetapi lelehan merah pekat. Biji matanya pula terjojol kedua belah.
Bibirnya mula merekah, memuntahkan lava-lava nanah. Hanyir. Tudung merah hati kini berubah menjadi segumpal ikatan pocong.
Kepala Melati terkehel, melentok kiri kanan. Kedua tangannya dihulur ke tempat duduk Amri. Dipeluk erat badan Amri. Sambil mulutnya terus mencium pipi Amri bertalu-talu.
"Melati sayang ayah!"
Nafas Amri tersekat seolah-olah terkunci. Rongga dada mula senak seperti kehausan oksigen. Muka Amri kebiruan. Pegangan stereng sudah mula terlepas.
Kereta Wira biru bertembung dengan sebuah lori tangki minyak, terjunam ke dalam gaung Bukit Tangga. Amri bersemadi tenang di dasar gaung Bukit Tangga.
----
"Allah! Maafkan ayah nak. Maafkan abang, Melur."
Ungkapan terakhir Amri selepas menatap foto perkahwinan ibu dan ayah Melati. Benar. Memori yang terpadam selama 20 tahun, baru muncul kembali.
Ya. Kini Amri mula mendapatkan semula cebisan memori tertinggal selama ini. Dia mula sedar Amri hanyalah nama baru diberikan arwah isteri keduanya setelah dia terlantar koma, kemalangan di Kuala Lumpur.
Nama sebenar dia James Rasyid. Jejaka kacukan Perak- Pakistan.
Dia bekerja sebagai pemandu kepada arwah isterinya, Hamidah, sebelum mereka dijodohkan. Amri pun tak pasti, kenapa Jelebu menjadi destinasi pilihan selepas arwah Hamidah meninggal.
Dia hanya mengikut gerak hatinya. Kini dia mula sedar. Itu bukanlah kebetulan. Itu semua telah tersemat kemas di ruang mindanya. Ini semua kerana kampung halaman isterinya di Jelebu.
"Melur, Melati. Mari peluk ayah. Ayah takda niat nak melukakan hati awak berdua."
"Jom abang kita pulang. Nanti Melur masak gulai kuning otak lembu kesukaan abang."
Benar kata orang-orang tua.
KALAU KONO KOMAT JOLOBU,
TAK MATI BADAN MERASAI.
----
Penulisan ini adalah fiksyen penulis semata-mata sebagai anak jati, Jelebu, Negeri Sembilan. Cerita ini tiada kaitan bagi yang hidup ataupun meninggal dunia.
Sila follow FB SP untuk membaca kisah-kisah seterusnya😊
=======================
Gambar: KamenrRider
Karya ini adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment