SUSUK VS SAKA- Sahabat Syaitan.
Karya Nur Kasih
============================================
Cerita ini telah diadaptasi dari kisah benar yang dialami oleh sahabat saya. Tujuan cerita ini dikongsikan bukanlah bertujuan untuk mengaibkan sesiapa, tetapi tidak lebih sebagai pengajaran bagi kita semua sahaja.
-Setiap nama watak dalam cerita ini telah diubah untuk menjaga aib dan 90% cerita ini adalah kisah benar.
====================================================
(Aku di dalam cerita ini sebagai Along)
Bismillah.
Assalamualaikum, nama aku Syukri atau lebih dikenali sebagai Along. Pada mulanya aku memiliki keluarga yang normal, sama seperti orang lain. Tapi sejak peristiwa hitam itu berlaku, semuanya berubah.
Ceritanya bermula begini, aku ada seorang nenek yang aku panggil sebagai 'Opah'. Opah aku ni sangat rajin dan hebat dalam memasak kuih muih tradisional. Di dalam kampung aku, rumah Opah adalah satu-satunya rumah yang terpanjang. Susun atur bilik di dalam rumah Opah menyamai susun atur bilik-bilik di hospital.
Rumah Opah aku ni setinggi dua tingkat dan bilik aku berada di tingkat atas. Begitu juga dengan bilik ibu dan ayah aku. Bilik Opah pula berada di tingkat bawah. Kami perlu melalui satu-satunya tangga yang ada di dalam rumah Opah untuk pergi ke tingkat atas. Tangga tu pula berada di tengah rumah. Ini bermakna, semua orang akan menggunakan tangga tersebut.
Apa yang merimaskan aku adalah, cermin antik Opah. Ya, cermin. Opah aku meletakkan sebuah cermin antik yang agak besar, betul-betul berhadapan dengan tangga. Setiap kali aku menuruni anak tangga, aku mesti akan berhadapan dengan cermin besar itu. Biarpun kondisi cermin sedikit kabur, tapi aku masih mampu melihat bayang-bayang diriku pada cermin tersebut, termasuklah apa saja yang berada dibelakangku. Tidak dinafikan, rumah Opah memang agak menyeramkan. Mungkin kerana rumah Opah aku agak sunyi hinggakan aku sering berasa diperhatikan. Ke mana saja aku pergi, setiap gerak geriku terasa seakan ada sepasang mata yang memandang.
PADA HARI TU
Tepat pukul 03:00 pagi, aku terjaga dari lenaku. Ini bukan kali pertama aku terjaga pukul 3 pagi untuk pergi ke tandas. Aku terjaga akibat perut aku yang begitu memulas-mulas. Tanpa berfikir panjang, aku terus meluru keluar dari bilik untuk ke tandas. Untuk makluman anda, tandas di rumah Opah aku berada di luar rumah dan hanya itu saja tandas yang ada. Dalam keadaan yang gelap gelita, aku terpaksa menghidupkan suis lampu satu persatu. Cuba korang bayangkan, dalam sebuah rumah yang besar, dan gelap gelita dengan suasana keadaan sekeliling yang sangat sunyi. Hanya kedengaran nyanyian cengkerik serta lolongan anjing. Menakutkan, bukan? Tapi itulah kenyataan yang perlu aku lalui setiap hari dan setiap malam.
Nak dijadikan cerita, semasa aku sedang menuruni anak tangga melalui cermin besar Opah, aku sekilas terlihat satu kelibat betul-betul berada di belakangku. Segera aku menoleh kebelakang, tapi tak ada sesiapa pun. Aku cuba berlagak selamba dan meneruskan niat aku untuk pergi ketandas. Aku kira takkan ada perkara lain yang terjadi. Ternyata aku silap. Langkahku serta merta terhenti tatkala aku melihat bayang sepasang kaki tanpa tubuh yang berwarna hitam sedang berlegar-legar di ruangan dapur. Aku seakan tak percaya dengan apa yang aku lihat. Rasa macam nak pengsan, kecut perut aku dibuatnya. Segera aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Beberapa minit kemudian mujurlah bayang-bayang tadi tidak lagi kelihatan. Aku meneruskan langkahku dengan penuh berhati-hati. Tombol pintu kupulas perlahan-lahan.
Zuppp!
Tiba-tiba terasa seakan ada angin yang bertiup menerpa ke wajahku.
“Apa nak jadi pun, jadilah. Tak tahan sangat dah sakit perut ni” bisik hatiku.
Dalam kesamaran cahaya bulan, aku mengatur langkah menuju ke arah pintu tandas yang hanya beberapa langkah saja jaraknya.
Stretttttt........
Hilang fokus aku untuk 'melepaskan' hajat. Aku fokuskan deria pendengaran ku kepada bunyi yang datang dari arah bumbung tandas sebentar tadi.
Stretttttt.....strettttttttttt
Bunyi cakaran!
Tanpa menunggu lama aku membersihkan segala apa yang patut, bunyi cakaran tidak lagi aku hiraukan. Aku segera meluru keluar dari tandas. Berdesup aku lari. Malam tu aku tidur dalam keadaan yang serba tak kena. Rasa takut menghantui fikiran ku, sesekali terdengar suara seakan memanggilku, tapi tidak sedikit pun aku hiraukan. Keesokan harinya, aku bangun pagi seperti biasa. Aku lihat ibuku sedang menyediakan sarapan pagi, lalu aku menceritakan hal semalam kepada ibu ku.
"Ibu, semalam masa Along nak ke tandas," ujarku terhenti seketika.
"Ada apa Along?" Soal ibu.
"Along nampak...ada bayang-bayang sepasang kaki warna hitam.." sambungku.
"Ibu tau. Bayang-bayang tu berlegar kat ruang dapur kan?" Soal ibu.
"Ibu tau?" Soal ku kembali.
"Tiap kali ibu bangun pukul 5 subuh, ibu selalu nampak benda tu. Mulanya ibu pun takut juga, tapi bila dah selalu nampak benda tu ibu dah jadi terbiasa," ujar ibuku lagi.
Aku terdiam seketika, berfikir sejenak. Macam mana aku nak lalui semua ni? Keluhan berat kulepaskan.
____________________________________________________________
Beberapa bulan selepas kejadian aneh malam tu, Opah aku pula jatuh sakit. Doktor sahkan Opah lumpuh dari paras pinggang dan ke bawah. Ini bermakna Opah dah tak mampu berjalan seperti biasa. Aku sedih melihat keadaan Opah yang dah tak macam dulu lagi. ibu dan ayahlah yang berusaha sebaik mungkin untuk menjaga Opah. Bertahun lamanya Opah sakit, dan bermacam-macam perkara pelik yang berlaku. Aku masih ingat lagi malam itu, semasa aku menghantar makan malam untuk Opah di dalam bilik.
"Assalamualaikum Opah." Aku menghampiri Opah
Sementara Opah hanya mengangguk sambil tersenyum padaku, aku kemudian meletakkan dulang makanan di atas meja tepi katil Opah.
"Jom makan. Along suapkan nak?"
Opah hanya menggelengkan kepalanya. Begitulah kebiasaannya Opah.
"Opah, Along keluar dulu. Nanti kalau Opah lapar, Opah makan tau." Aku kemudian melangkah keluar meninggalkan Opah sendirian.
"Along, kenapa tak kejutkan adik?" Ibu berdiri di muka pintu bilik Opah.
"Dah kejutkan. Adik dah tunggu kat meja makan tadi," ujarku.
"Habis tu yang baring sebelah Opah tu siapa?" Ibu menunding jari ke arah Opah. Aku pandang ibu, pelik.
Namun, baru sahaja aku ingin berpaling memandang ke arah Opah...
Zupp!!
Satu kelibat berwarna putih melintas di depan ku menuju ke arah pintu bilik Opah. Ibu yang berdiri di muka pintu sejak dari tadi, terus diam terkaku. Begitu juga denganku. Habis pucat wajah ibu. Aku?? Aku tak payah cakaplah, rasa nak terkucil pun ada juga. Aku dan ibu hanya mendiamkan sahaja tentang kejadian yang kami alami sebentar tadi. Bimbang adik kecilku berasa takut. Adik aku baru saja berusia 7 tahun pada masa itu.
Namun, peristiwa tu tak berhenti disitu saja...
____________________________________________________________________
Beberapa hari selepas kejadian yang berlaku malam tu...
02:45 pagi, JUMAAT
Semasa ibu hendak ke bilik air, ibu terdengar bunyi bising seperti seseorang tengah memasak di dapur. Ibu segera bergegas ke dapur, bimbang rumah dipecah masuk. Namun, apa yang memeranjatkan ibu ialah, setelah ibu sampai di muka pintu dapur, orang yang sedang berada di dapur itu ialah Opah!
"Mak?"
Opah berpaling melihat ibu. Opah kemudian tersenyum hingga menampakkan baris-baris giginya. Perlahan-lahan Opah berjalan mendekati ibu, tangan Opah pula dihalakan ke depan seolah ingin mencapai ibu yang masih berdiri dimuka pintu. Ibu yang masih terpinga-pinga, masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Saat Opah sudah semakin hampir, secara tiba-tiba Opah melompat ke arah ibu.
03:00 pagi
Seperti biasa, aku akan terjaga untuk pergi ke bilik air. Semua ini sudah menjadi satu kebiasaan bagiku. Semasa aku sedang menuruni anak tangga, tiba-tiba...
"Argghhhhhhh!!!!" Suara jeritan bergema di segenap rumah.
Sejurus mendengar suara jeritan, aku segera berlari semula ke tingkat atas.
"Bunyi apa tadi tu?" Mindaku berteka-teki. Jantungku bergerak laju.
Waktu itu perasaan takut dan rasa ingin tahu bercampur baur. Setelah beberapa ketika, aku berfikir dan berbekalkan sedikit keberanian, aku membuat keputusan untuk menyiasat tentang bunyi yang datang dari arah dapur tadi. Perlahan-lahan aku menuruni anak tangga. Langkah yang penuh berhati-hati. Setibanya aku di tingkat bawah, aku terlihat ibu terbaring di muka pintu dapur. Aku segera berlari untuk mendapatkan ibu.
"Ibu, kenapa ni?"
"Along......O..pah..opah…" Ibu menghalakan jarinya ke arah dapur.
Namun, tidak ada sesiapa pun yang berada di situ, tapi aku perasankan sesuatu. Ruangan dapur berada dalam keadaan yang sangat kotor dan bersepah. Aku kemudian membawa ibu ke ruang hadapan.
"Ada apa ni?" Ayah datang menghampiri kami.
"Ibu kata ibu nampak Opah" aku menjawab pertanyaan ayah.
"Opah kamu?" soal ayah lagi.
"Ha'ah. Kat dapur tadi,"jawab ibu dengan suara yang agak lemah.
Ayah menghampiri kamar tidur Opah yang sememangnya berada di tingkat bawah.
"Opah kamu ada je kat dalam bilik tu, tengah tidur." Ayah menghampiri kami semula.
"Habis yang tadi tu, siapa?" Soal ibu.
Kami terdiam.
Tidak mampu untuk menjawab pertanyaan ibu, aku seakan dapat membaca apa yang berada dalam kotak fikiran ayah. Opah yang ibu lihat sebentar tadi bukanlah Opah yang sebenar, tapi yang lebih tepat lagi adalah 'sesuatu' yang telah menyerupai seperti Opah.
Saban hari, semakin banyak perkara pelik yang berlaku, termasuklah orang-orang kampung yang pernah terlihat ada pontianak yang mencakar-cakar bumbung rumah kami hinggakan mereka berasa takut untuk lalu berhampiran rumah kami.
____________________________
Pada awal tahun 2013, Opah semakin tenat. Puas kami panggilkan doktor untuk merawat Opah, tapi doktor sendiri tak mampu untuk mengesan apa jenis penyakit yang Opah hidapi. Kami hampir berputus asa. Namun atas saranan pihak keluarga terdekat, kami telah mendapatkan khidmat perubatan Islam. Hasil pemeriksaan Ustaz yang merawat Opah, amat mengejutkan kami sekeluarga.
"Macam ni encik, saya nak cakap pun jadi serba salah" Ustaz itu datang menghampiri ayah.
Aku yang kebetulan berada di situ cuba mendengar dengan teliti tiap butir bicara yang cuba disampaikan ustaz tersebut.
"Mak cik ni sebenarnya dah lama meninggal! Tapi, ada sesuatu yang telah menjaga jasad makcik ni," Ujar ustaz perlahan.
Aku macam tak percaya apa yang aku dengar sebentar tadi. Opah dah lama meninggal? Habis tu Opah yang ada bersama kami selama ni, siapa?
____________________________________________________________________
Keesokan paginya...
Suasana didalam rumah menjadi riuh rendah, aku pun tak pasti apa yang menjadi topik utama perbualan mereka.
"Kenapa ni ibu?" Aku menghampiri ibu.
"Ayah kamu semalam terserempak dengan 'benda' tu." terang ibu.
Aku tahu benda apa yang ibu maksudkan. Si makhluk berwarna putih yang kerap dilihat mencakar bumbung rumah kami adalah benda yang sama yang ayah terserempak semalam, atau lebih tepat lagi pontianak! Kesian ayah, sampai demam jadinya. Seminggu juga ayah demam masa tu.
Petang tu, pada pukul 06:30 petang, Ustaz yang datang merawat Opah telah datang ke rumah sekali lagi. Menurut Ustaz, Opah aku ada membela saka dan saka itulah yang kini menjaga tubuh Opah, mengawal tubuh Opah. Sebab itulah kelakuan Opah dah tak macam Opah yang dulu, tapi itu adalah masalah yang kedua. Masalah utamanya di sini ialah susuk yang Opah tanam di dalam tubuhnya. Susuk yang digunakan untuk mengekalkan kecantikan Opah. Malangnya, gagal dikeluarkan hinggakan kami menemui jalan yang buntu. Keadaan menjadi bertambah buruk setelah kami mendapat tahu Ustaz yang membantu kami merawat Opah telah meninggal dunia.
Kami meluangkan sedikit masa untuk pergi menziarahi rumah arwah. Di sana, kami telah bertemu dengan salah seorang sahabat arwah. Sahabat arwah telah menceritakan bahawa arwah pernah diganggu makhluk halus. Ya, makhluk sama yang menjaga tubuh Opah. Makhluk tersebut seolah-olah sedang marah kerana tindakan Ustaz yang cuba mencampur tangan dalam hal keluarga kami, dan enggan melepaskan jasad Opah. Dalam keadaan yang semakin kucar kacir, ayah telah mengambil keputusan untuk kami berpindah keluar dari rumah Opah.
Namun, seminggu selepas itu kami mendapat berita bahawa Opah telah meninggal dunia. Selama mak cik aku menjaga Opah, mak cik aku juga menerima nasib yang sama dimana banyak kejadian pelik yang berlaku sebelum Opah aku meninggal. Akhirnya, jenazah Opah selesai dimandikan dan dikafankan. Kami dibenarkan untuk menziarah jenazah Opah buat kali yang terakhir, tapi kami dilarang untuk melihat wajah Opah.
Sementara itu, saka yang pernah menjadi belaan Opah masih lagi terus mencari waris. Sehingga kini, kami masih tidak mengetahui siapa yang mewarisi saka arwah Opah. Setakat ini, alhamdulillah. Keluarga aku berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Aku harap kisah pahit yang pernah terjadi dalam keluarga kami suatu ketika dulu tidak akan berulang lagi.
Pesan aku pada kita semua, sebagai hamba Allah yang beragama Islam. Janganlah sesekali mendekati perbuatan syirik, jangan sesekali menduakan Allah. Tak kira apa pun agama anda, janganlah sesekali bersahabat dengan jin dan bersekutu dengan syaitan. Semoga kita mendapat pengajaran daripada kisah ini. Sekian.
-TAMAT-
Karya: Nurkasih
Gambar suntingan: Dikmang
Karya ini eksklusif milik penulis dan Arkib Angker Negara. Sebarang perlakuan plagiat akan diambil tindakan tegas.
Jika anda ada kisah atau cerpen untuk dikongsikan, Sila email ke aanrc2017@gmail.com atau inbox ke page kami. Kami menerima cerpen bergenre mistik, seram, thriller, misteri dan juga mind-blowing. Akaun media social anda akan kami nyatakan jika cerpen anda dipilih untuk disiarkan oleh page dan blog kami.
No comments:
Post a Comment